Pages

Thursday, 14 June 2012

Meningkatkan Integriti Diri


Rasulullah saw diutuskan sebagai “Rahmatal lil ‘alamin’ (rahmat untuk sekelian alam). Kebenaran Islam adalah wasilah tunggal yang akan mendekatkan manusia kepada kebahagiaan dan kemuliaan dunia dan akhirat. Kebenaran Islam yang berada di dalam jiwa kita ini adalah hak yang perlu dikongsikan oleh semua insan tanpa mengira warna kulit dan bahasa.

Rasulullah saw adalah Rasul tarbiyah dan dakwah di mana baginda tidak hanya mendidik sahabat-sahabat di rumah Arqam bin Abi al Arqam tetapi baginda telah membangunkan satu barisan pendakwah yang akhirnya telah menyebarkan cahaya kebenaran Islam ke seluruh pelusuk dunia.

Tabiat dakwah ini adalah ianya akan berkembang dan menyebar ke berbagai ceruk rantau dan pelosok alam semesta. Ini adalah kerana misi dakwah ini adalah untuk menyebarkan rahmat bagi dunia untuk seluruh umat manusia sebagaimana firman Allah swt :

“Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.” (QS Al Anbiya’ : 107)

Oleh yang demikian, dakwah ini menjadi hak semua orang agar mereka mampu meraih hidayah Allah swt di mana semua kalangan seharusnya mendapatkan nikmat dakwah ini atau paling kurang, semua manusia dapat merasakan kerahmatan ajaran ini.

Namun, keadaan seperti itu akan banyak dipengaruhi oleh kualiti keperibadian para penyeru dan aktivis dakwah.

Aktivis dakwah yang mampu memandu ajaran ini agar berkembang dan tersebar luas ke segenap pelosok bumi adalah mereka yang mampu meningkatkan integriti dirinya.

Peningkatan diri aktivis dakwah selaras dengan berkembangnya dakwah yang menjadi tugas dan tanggungjawab mereka.

Pengembangan dan peningkatan integriti diri bagi aktivis dakwah dikenali juga dengan sebutan Tarbiyah Zatiyah’ (Tarbiyah Kendiri).

Kemampuan ‘Tarbiyah Kendiri’ setiap aktivis akan menjadikan mereka mempunyai daya tahan terhadap berbagai ujian dan mehnah dakwah.

Ia tidak :

  1. Mudah  merasa ‘futur’ (bermalas-malasan).
  2. Mudah kendur semangat juangnya.
  3. ‘jumud’ dalam pemikirannya.
  4. Bingung menjawab berbagai tuduhan palsu.
  5. Lemah serta mampu menyelesaikan berbagai persoalan yang menghalangnya.
  6. Akan menjadi aktivis yang “pasif” lantaran sentiasa bersikap menunggu ‘arahan dari orang atasan’ atau ‘menurut petunjuk murabbi’.

Dengan sikap itu, aktivis dakwah tidak terlalu bergantung sepenuhnya kepada arahan-arahan kepimpinan melainkan ia mampu mengembangkan dakwah sebagaimana semestinya serta dapat mengambil keputusan yang tepat.

Utusan-utusan Rasulullah saw telah membuktikan diri mereka dalam mengembangkan dakwah di berbagai tempat. Mereka dapat bertahan sekalipun jauh dari Rasulullah saw dan komuniti muslim lainnya.

Ja’far bin Abi Talib sebagai contoh di mana beliau dan sahabat lainnya telah tinggal di Habasyah dalam waktu yang cukup lama sekalipun mereka sangat merindukan suasana berkumpul bersama dengan saudara muslim yang lainnya. Mereka dapat mempertahankan diri mereka dalam keimanan dan ketaqwaan. Begitu kuatnya daya tahan mereka hidup bersama dakwah jauh dari saudara-saudaranya yang lain dalam waktu yang cukup lama sehinggakan Rasulullah saw begitu bangga terhadap mereka di saat mereka pulang ke Madinah.

Baginda Nabi saw menyatakan :

‘Aku bingung apa yang membuat diriku gembira, apakah kerana menangnya kita di Khaibar ataukah kembalinya kaum muslimin dari Habasyah?’

Demikian pula Mush’ab bin Umair sebagai duta Islam pertama yang mampu mengembangkan dakwah di Madinah dan berhasil membangun masyarakat Islam di sana. Mush’ab sebagai guru pertama di Madinah dapat memperluaskan jaringan dakwah dan aktivisnya sehingga tempat itu menjadi asas komuniti umat Islam di kemudian hari serta menjadi mercusuar peradaban Islam.

Begitulah keperibadian aktivis dakwah yang kompeten dalam memikul amanah mulia. Mereka dapat menunaikan tugas tersebut dengan sebaik-baiknya lantaran ‘Tarbiyah Kendiri’ yang ada pada diri mereka sehingga banyak tugas-tugas lain dapat diselesaikan oleh mereka dengan begitu cemerlang.

Sebaliknya, aktivis dakwah yang tidak mampu meningkatkan integriti dirinya cenderung untuk berada dalam keadaan bingung bahkan berkemungkinan akan menimbulkan pergeseran dalam kerja dakwah sebagaimana ungkapan pujangga lama.

‘Aktivis yang tidak mempunyai kemampuan untuk berbuat sesuatu sangat berpotensi untuk menimbulkan pergaduhan dalam kerja dakwah’.

“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu mengkhianati Allah dan Rasul (Muhammad) dan (juga) janganlah kamu mengkhianati amanah-amanah yang dipercayakan kepadamu, sedang kamu mengetahui”. (QS Al Anfal : 27)

PERANAN PENTING TARBIYAH KENDIRI BAGI AKTIVIS DAKWAH

PERTAMA :  KEPERIBADIAN ISLAM YANG BERGERAK

Tidak dapat dimungkiri lagi bahwa Tarbiyah Kendiri’ menjadi tonggak kepada keperibadian aktivis dakwah. Bahkan Rasulullah saw melihat perkara ini sebagai prasyarat untuk para duta Islam dalam mengembangkan dakwah.

Oleh yang demikian, ia menjadi poin penting dalam ‘fit and proper test’ bagi mereka yang akan menjalani tugasnya sehinggakan seseorang yang akan diutus ke sesuatu tempat, Nabi saw mempertimbangkan kemampuannya dalam pengembangan integriti dirinya.

Ini sebagaimana yang ditanyakan oleh Rasulullah saw kepada Mu’az Bin Jabal ketika akan diutus ke Yaman.

‘Wahai Mu’az, apabila kamu berada di tempat yang baru nanti, jika menemui suatu persoalan apa yang akan kamu putuskan. Mu’az menjawab, aku akan putuskan berdasarkan kitab Allah. Rasulullah saw pun meneruskan, apabila tidak kamu temui pada kitab Allah, dengan apa kau putuskan. Jawab Mu’az, aku akan tetapkan berdasarkan Sunnah Rasulullah. Nabi saw kemudian menanyakan kembali, apabila tidak juga kamu dapati di dalamnya, apa yang akan kamu lakukan. Mu’az menjawab, aku akan putuskan dengan akal fikiranku (ijtihadku)’.

Ternyata jawaban Mu’az sangat memuaskan hati Rasulullah saw. Malah baginda memandang bahwa kualiti Mu’az sudah memadai untuk memikul tugas mulia tersebut.

Kemampuan yang seperti itu diharapkan mampu menyelesaikan setiap permasalahan yang akan muncul di medan dakwah sehingga ia tidak terus menyerahkan masalah itu pada kepimpinan dakwah ataupun aktivis lainnya. Dengan kemampuan itu, aktivis dakwah tidak kekok dalam mengendalikan berbagai urusan yang berkait dengan tanggungjawabnya.

Ini adalah kerana tanpa sikap itu, persoalan dakwah akan bertambah rumit dan menambah beban kepimpinan. Seringkali kita dengar kepimpinan dakwah mengarahkan agar aktivis dakwah tidak selalunya mengharapkan jawaban yang tuntas dari pusat atau menunggu arahannya melainkan mereka perlu menentukan sikap dengan cepat apa yang semestinya diambil bagi menangani suatu permasalahan.

Meskipun begitu, kita juga perlu melihat secara mendalam agar tidak terjebak dalam membebaskan diri atau selalu bersikap di luar kendali kepimpinan kerana ini pun akan menimbulkan kekecohan dalam struktur kendali dakwah.

Inilah sikap yang diambil oleh Huzaifah Ibnul Yaman sewaktu ditugaskan oleh Rasulullah saw untuk masuk ke dalam barisan musuh. Huzaifah mendapati Abu Sufyan sedang memanaskan tubuhnya disebabkan cuaca yang dingin. Ketika itu, Huzaifah mampu untuk membunuhnya, akan tetapi ia teringat pesanan Rasulullah saw bahwa tugasnya waktu itu adalah memperhatikan keadaan musuh dan mengabarkannya kepada Rasul sehingga ia batalkan niat untuk membunuhnya walaupun kesempatan itu ada di hadapannya. Oleh itu, kita perlu menempatkan secara seimbang terhadap permasalahan ini.

KEDUA : PENINGKATAN INTEGRITI DIRI DAN MEMATUHI KEPUTUSAN  KEPIMPINAN

Yang lebih berbahaya bagi seseorang aktivis dakwah adalah apabila mereka tidak memiliki kedua-dua sikap di atas.

Salah seorang sahabat awal Imam Hasan Al Banna iaitu Syaikh Hamid ‘Asykariyah pernah menegaskan kepada mereka yang bersikap seperti ini bahwa :

“Mereka yang sudah tidak mempunyai kebaikan (peningkatan integriti diri dan mematuhi keputusan kepimpinan) manakala mereka telah kehilangan kesedaran terhadap kemuliaan dakwah dan kerosakan perilaku taat kepada kepimpinan. Siapa yang telah kehilangan dua perkara ini, maka mereka tidak ada gunanya lagi untuk tetap berada dalam barisan dakwah bersama kita.”

KETIGA : MENYELESAIKAN TUNTUTAN MANHAJ

Manhaj dakwah memberikan ruang yang banyak untuk wasilah tarbiyah agar dapat merealisasikannya semaksimum mungkin samada melalui pertemuan tarbawi, daurah, nadwah, katibah, mukhayyam ataupun muktamar.

Untuk mengaplikasikan manhaj dakwah yang begitu banyak dan padat, tidaklah memadai hanya dengan melaksanakan wasilah tarbiyah yang tetap semata-mata kerana disebabkan oleh keterbatasan waktu mahupun keterbatasan Murabbi dalam menyelesaikan tuntutan manhaj.

Maka, oleh yang demikian, ‘Tarbiyah Kendiri’ menjadi wasilah untuk menyelaraskan tuntutan manhaj tersebut.

Oleh kerana itu, perlulah difahami dengan benar oleh setiap aktivis dakwah agar dapat melakukan ‘Tarbiyah Kendiri’ dalam dirinya.

Perkara ini akan membantu mengaplikasikan nilai-nilai tarbawiyah’ secara maksimum dan dapat mencapai arahan manhaj yang menjadi acuan dakwah untuk mewujudkan aktivis yang bersedia meringankan perjalanan dakwah ini. Apabila aktivis dakwah masing-masing sibuk untuk merealisasikan manhaj’ dalam dirinya sebagaimana tuntutan manhaj’, maka semua aktivis dakwah akan aktif dengan berbagai program dan kegiatannya.

Syaikh Ali Abdul Halim Mahmud menyatakan bahwa :

“‘Tarbiyah Kendiri’ merupakan tuntutan manhaj dakwah ini samada dalam arahannya agar menjadi aktivis dakwah yang bersiap sedia dan responsif dalam menyambut tugas dakwah ataupun juga dalam isi kandungannya yang tidak dapat diberikan secara kolektif disebabkan  berbagai pertimbangan, namun diselesaikan secara peribadi dengan peningkatan kemampuan ‘Tarbiyah Kendiri’ sehingga tampillah aktivis dakwah yang bersedia untuk menyerlahkan diri di kalangan masyarakat melaksanakan tugas-tugas di jalan dakwah ini.”

KEEMPAT : PENINGKATAN POTENSI DIRI

Peranan aktivis terhadap dakwah sangatlah diharapkan agar mereka dapat memberikan sumbangannya dan menjadi sebahagian dari dakwah. Aktivis yang dapat melakukan perkara ini adalah mereka yang benar-benar memahami akan potensi dirinya yang dapat memberi manfaat bagi perjalanan dakwah.

Menajamkan potensi diri seharusnya menjadi aktiviti harian seseorang aktivis dakwah di mana, semakin hari semakin tajam potensi diri yang dimilikinya. Graf potensi dirinya sentiasa naik seiring dengan perjalanan waktu sebagaimana yang dialami oleh para pendahulu dakwah di mana, mereka sentiasa berada dalam keadaan puncak setiap berlalunya waktu.

Imam Ibrahim Al Harby selalu membuat komentar terhadap sahabat-sahabatnya dengan ungkapan istimewanya :

‘Aku sudah bergaul dengan fulan bin fulan beberapa waktu, siang dan malam dan tidak aku jumpai pada dirinya kecuali ia lebih baik dari kelmarin’.

Sudah selayaknya, aktivis dakwah dapat mengembangkan diri agar potensi yang dimilikinya betul-betul dapat dipergunakan dengan seoptimum mungkin sehingga mereka mampu berada di garisan hadapan bahkan sepatutnya dalam keadaan yang lebih baik dari hari-harinya yang telah lalu iaitu keadaan yang prima dan sentiasa lebih baik dari kelmarin yang akan membuatnya mampu memenuhi panggilan dakwah yang semakin kompleks tuntutannya dengan cepat.

Dengan potensi yang demikian, aktivis dakwah dapat menempatkan diri mereka dalam satu garisan bagi melaksanakan tugas mulia yang berbagai ragam. Oleh yang demikian, ‘Tarbiyah Kendiri’ adalah usaha untuk meningkatkan dan menajamkan seluruh potensi aktivis dakwah yang berbagai ragam.

ASPEK-ASPEK PENTING DALAM TARBIYAH KENDIRI

PERTAMA : ‘AR RUHIYAH’ (KEROHANIAN)

Sudah menjadi kebiasaan bagi para aktivis dakwah untuk meningkatkan ketahanan ruhiyah’nya (kerohaniannya) sehingga ia tidak lemah dalam memikul tugas dakwah yang mulia. Kerohanian yang kukuh menjadi asas yang sangat menentukan kejayaan dakwah.

Setiap aktivis dakwah perlu memiliki program kendiri dalam menjaga ketahanan ruhiyah’ sepertimana merutinkan diri untuk solat berjamaah di masjid, puasa sunnah, qiyamullail, sedekah, ziarah kubur ataupun aktiviti lainnya yang memberi kesan pada kesihatan ruhaninya.

Dengan usaha yang sedemikian, insya Allah maknawiyah’ aktivis dakwah tidak akan berkurang dan kendur. Suasanamaknawiyah’ yang rapuh akan memberi kesan negatif bagi dirinya dalam melaksanakan tugas dakwah.

Di samping itu, para aktivis dakwah perlu meneliti keadaan naik turunnya ruhaniyah’ diri mereka sendiri. Bahkan sedaya mungkin, ia perlu mempunyai prinsip atau kaedah yang boleh diukur agar dapat dinilai dengan saksama samada melalui orang yang terdekat (murabbi, pasangan, teman) ataupun cukup dengan diri sendiri.

Ambillah pelajaran dari sikap para sahabat dalam mentarbiyah ‘ruhiyah’ mereka masing-masing.

  1. Ada yang selalu menjaga keadaan diri mereka agar sentiasa dalam keadaan berwudhu’.
  2. Ada pula yang sentiasa mengunjungi orang yang sedang mengalami ujian hidup.
  3. Ada juga yang berziarah ke kubur dan lainnya.

Mari kita teliti nasihat Umar bin Al Khatthab :

“Hitung-hitunglah dirimu sebelum kamu dihitung oleh Allah swt di hari Perhitungan (akhirat)”.

KEDUA : ‘AL FIKRIYAH’ (PEMIKIRAN)

Pada asasnya, pemikiran manusia sentiasa menuntut penggunaannya agar tidak mengalami kejumudan berfikir.

Untuk memenuhi tuntutan tesebut, tidaklah cukup untuk hanya bergantung kepada muatan pemikiran dari majlis pertemuan tarbawi semta-mata tetapi juga kemampuan untuk mencari dari berbagai sumber penggalian berfikir samada melalui penelaahan kitab, menghadiri acara kajian ilmiah ataupun kegiatan peningkatan wawasan lainnya.

Terlalu banyak paparan nas dari Al Qur’an ataupun Hadits yang menyuruh untuk memperkukuhkan kemampuan berfikir dengan melakukan pengamatan dan pengkajian sehingga pemikiran aktivis sentiasa dalam pencerahan bahkan ia selalu dapat mencari jalan penyelesaian  yang mudah. Apabila ini berlaku, pemikiran seseorang aktivis dakwah sentiasa berkembang dan menjadi pintu gerbang kepada kemajuan intelektual.

Imam Hasan Al Banna dalam ‘Majmu’ Rasail’ menegaskan tentang kewajiban aktivis dakwah yang di antaranya adalah kewajiban membaca buku beberapa jam dalam setiap hari serta memiliki perpustakaan peribadi di rumahnya walau bagaimana kecil sekalipun.

KETIGA : ‘AL MALIYAH’ (MATERIAL)

Dakwah juga dipengaruhi oleh kekuatan material dan tidak terkecuali para pemikulnya dan oleh kerana itu, setiap aktivis mesti memiliki kemampuan pengurusan perniagaannya agar tidak menjadi beban kepada orang lain.

Imam Hasan Al Banna menetapkan ‘muwashafat’ aktivis dakwah yang di antaranya adalah memiliki kemampuan mencari penghidupan bagi dirinya (qadirun ‘alal kasbi).

Para sahabat yang diridhai oleh Allah swt telah memberikan pelajaran kepada kita semua bahwa mereka tidak menjadi beban bagi saudara mereka, kaum Muhajirin yang datang ke Madinah dengan tidak membawa apa-apa, namun mereka tidak mengharapkan bantuan kaum Anshar. Kaum Muhajirin mampu mengembangkan potensi maaliyah’ mereka sendiri. Mereka pun akhirnya dapat hidup sebagaimana selayaknya malah ada yang lebih baik dari kehidupannya di Makkah.

KEEMPAT : ‘AL MAYDANIYAH’ (PENGUASAAN MEDAN)

Penguasaan medan juga merupakan suatu yang sangat penting bagi perkembangan dakwah ini. Seorang aktivis dakwah mesti memahami medan yang dihadapinya dengan cepat. Penguasaan medan yang cepat dan lengkap membolehkan ia dapat memperolehi taktik dan strategi yang tepat untuk dakwah ini. Pengenalannya yang bagus terhadap sesuatu medan dapat menentukan apakah strategi yang betul dan tepat bagi sesuatu medan atau lapangan tersebut.

Maka ketika para sahabat berada di tempat yang baru, mereka mulai belajar untuk mengenali medan dan lingkungannya sehinggakan perjalanan dakwah mereka berkembang dengan pesat sepertimana dakwah di Madinah oleh Mush’ab bin Umair dan sahabat lainnya.

Dari sinilah setiap aktivis dakwah perlu mengenali dengan betul medan dan lapangan wilayah dakwahnya sehingga ia dapat mengesan dengan cepat mana yang menjadi peluang dakwah dan mana pula yang menjadi halangannya sehingga akhirnya, ia dapat menghadapi keadaan tersebut. Apabila menemui halangan dan sekatan, ia cepat dapat mengantisipasinya.

KELIMA : ‘AL HARAKIYAH’ (GERAKAN DAKWAH)

Penguasaan ‘harakiyah’ pun menjadi aspek tarbiyah kendiri yang perlu diperhatikan sehingga aktivis dakwah boleh mengikuti lajunya gerakan dakwah. Ini boleh berlaku apabila seorang aktivis dakwah dapat menyelami pergerakan dakwah. Pemahaman terhadap gerakan dakwah yang tepat melahirkan sikap aktivis yang mengerti benar tentang sikap apa yang perlu dilakukan untuk kepentingan dakwah.

Sebagaimana yang dilakukan oleh Huzaifah Ibnul Yaman ketika masuk ke tengah-tengah barisan musuh, keadaan malam yang gelap dan mencengkam seperti itu, Abu Sufyan sangat khuatir pasukannya akan diresapi musuh sehingga ia mengumumkan agar semua perajurit mestilah  mengenali siapa yang ada di kiri kanan mereka.

Setelah selesai memberikan arahan tersebut, Huzaifah lantas memegang tangan orang yang ada di kanan dan kiri beliau sambil menanyakan siapakah engkau. Tentu sahaja mereka menjawab saya fulan bin fulan. Dengan kelincahannya, Huzaifah tidak akan ditanya oleh orang lain.

SASARAN TARBIYAH KENDIRI DALAM DAKWAH

PERTAMA : GERAKAN TAKTIKAL DAKWAH

Sasaran ‘Tarbiyah Kendiri’ ini adalah untuk dapat mengembangkan gerakan taktikal dakwah ke berbagai wilayah dan pelosok sehingga banyak wilayah dan manusia lain yang mendapatkan sentuhan dari dakwah dan aktivisnya.

Wilayah dakwah semakin hari semakin meluas dan aktivis dakwahnya semakin hari semakin bertambah tentu juga peningkatan mutu kualiti iman mereka.

Dalam kajian Fiqhus Sirah’, Syaikh Munir Muhammad Ghadhban mengungkapkan bahwa Rasulullah saw setiap tahun selalu mendapatkan informasi mengenai bertambahnya suku, kabilah atau orang yang tersentuh dengan dakwah Islam dan menjadi pengikutnya yang setia. Ini tentulah sangat terkait dengan para penyebar dakwahnya. Mereka adalah manusia-manusia yang sentiasa dalam keadaan meningkat iman dan taqwanya serta meningkat dalam menyahut perintah dari Allah dan RasulNya. Dengan kata lain bahwa ‘Tarbiyah Kendiri’ nya sudah sangat mapan.

KEDUA : KEKUATAN DAYA TAHAN DALAMAN INDIVIDU

‘Tarbiyah Kendiri’ juga untuk meningkatkan daya tahan aktivis dakwah. Aktivis yang tidak lemah mentalnya, tidak jumud fikirannya, tidak menjadi beban material kepada aktivis lainnya, tidak bingung dengan persekitarannya dan tidak pula bingung atau ketinggalan jauh dari kelajuan dakwah ini. Aktivis yang tidak menjadi beban bagi dakwah atau membuat bertambahnya beban pemikiran para kepimpinan.

Dengan itu, akan muncul aktivis-aktivis yang teguh dalam menunaikan amanah dakwah. Aktivis yang tinggi staminanya dalam menjalankan tugas sehingga perjalanan ini semakin lancar dan mudah untuk meniti jalan kemenangan dakwah. Bila perkara ini tercapai, dakwah tidak akan disibukkan dengan urusan dalaman beserta konfliknya, sebaliknya para aktivis akan sibuk dengan pergerakan dakwahnya.

KETIGA : CARA MEMULAKAN TARBIYAH KENDIRI BAGI AKTIVIS DAKWAH

Untuk dapat melaksanakan program ‘Tarbiyah Kendiri’ hendaklah mempertimbangkan perkara-perkara berikut :

PERTAMA :

Buatlah fokus sasaran ‘Tarbiyah Kendiri’ yang akan dilaksanakan oleh setiap individu masing-masing. Misalnya, aspek ruhiyah seperti apa yang diinginkan dengan gambaran dan ukuran yang jelas seperti :

  1. Solat lima waktu berjamaah di masjid.
  2. Sentiasa membaca 1 juz Al Qur’an dalam setiap hari.

Demikian pula aspek fikriyah ataupun aspek yang lainnya sehingga semakin teranglah fokus yang hendak dicapai.

KEDUA :

Setelah menentukan fokusnya maka mulailah memperhatikan sudut keutamaan amal yang hendak dilakukan. Aspek mana yang akan dilakukan dengan segera. Hal ini tentu melihat pertimbangan keperluan saat ini. Misalnya aspek ruhiyah yang diutamakan maka buatlah program yang jelas untuk segera dikerjakan.

KETIGA :
Sesudah itu mulailah melaksanakan dari hal-hal yang ringan dan mudah dari program yang telah ditetapkan agar dapat dilakukan secara berterusan.
KEEMPAT :
Agar dapat menjadi program kegiatan yang jelas, tekadkan untuk memulainya dari saat ini dan berdoalah kepada Allah swt agar dimudahkan dalam menjalankan ikrarnya.
KELIMA :
Untuk dapat bertahan, terus melakukannya dan usahakan untuk mengenakan denda apabila melanggar ketentuan yang telah diikrarkan.

Apabila setiap aktivis dakwah telah mampu melaksanakan ‘Tarbiyah Kendiri’ maka ia akan memetik manfaat tarbiyah jati dirinya iaitu :

  1. Kebahagiaan.
  2. Ketenteraman jiwa.
  3. Kejayaan di dunia dan akhirat.
  4. Menjadi muslim yang berakhlak mulia yang senntiasa mendapatkan keridhaan Allah swt.
Ya Allah, berilah kekuatan kepada kami supaya kami mampu mendidik dan melatih diri kami untuk meningkatkan aspek ruhiyah, fikriyah dan amaliyah sehingga ianya benar-benar menjadi perisai kepada segala ujian dan mehnah kehidupan dunia dan kehendak hawa nafsu kami. Kurniakanlah kepada kami kemudahan untuk kami meningkatkan integriti diri kami sehingga ianya memberi kesan besar terhadap amal dakwah serta penyebarannya.

Ameen Ya Rabbal Alameen
WAS

1 comment:

  1. Website paling ternama dan paling terpercaya di Asia
    Sistem pelayanan 24 Jam Non-Stop bersama dengan CS Berpengalaman respon tercepat
    Memiliki 9 Jenis game yang sangat digemari oleh seluruh peminat poker / domino
    Link Alternatif :
    www.arenakartu.cc
    100% Memuaskan ^-^

    ReplyDelete