Pages

Saturday, 27 October 2012

Pemuda Pemikul Risalah


Pemuda-pemuda telah memainkan peranan yang penting dalam kebangkitan Islam dari zaman generasi Al Quran hinggalah kepada zaman mutakhir kerana pada usia muda wujud harapan yang dipenuhi dengan idealisma.

Selepas kejatuhan Khilafah Islamiah di Turki, bangkit seorang pemuda bernama Hasan Al Banna pada tahun 1928 ketika umurnya hanya 23 tahun. Beliau berusaha menyedar, membina dan menggerakkan jiwa umat Islam yang telah mati.

Kini pemuda-pemuda baru lahir di Tunisia, Libya, Mesir, Jordan, Syria dan pelbagai negara umat Islam menyambung tugasan beliau setelah beliau tinggalkan apabila dipanggil pulang oleh Rabbul Jalil pada 12 Februari 1949.

Dalam memikul risalah Islam, pemuda memiliki beberapa potensi sehingga dengan potensi yang dimiliki itu, ianya dapat dikembangkan melalui tarbiyah. Potensi pemuda ini dapat digerakkan hingga mencapai objektif yang dikehendaki.

Kebangkitan pemuda-pemuda hari ini untuk merubah sistem masyarakat, tidak dapat tidak ianya perlu kepada bimbingan ulama’-ulama’ dan guru-guru mursyid yang boleh bersama-sama dengan mereka. Justeru itu Dr Yusof Al Qardhawi menasihati pemuda-pemuda Islam dengan beberapa perkara :

PERTAMA : HORMATI KEPAKARAN SESEORANG

Setiap ilmu ada ahlinya dan setiap kepandaian ada orangnya. Sesungguhnya Al Qur’an dan As Sunnah mengajar kita supaya merujuk kepada pakar dan ahli setiap bidang dalam perkara-perkara yang tidak kita ketahui.

Firman Allah swt :

“Maka bertanyalah kamu kepada ahli ilmu jika kamu tidak mengetahui.” (QS Al Anbiya : 7)

Dalam sirah telah berlaku peristiwa di mana seorang sahabat yang meninggal dunia akibat dari mandi junub dalam keadaan luka. Apabila perkara ini sampai kepada pengetahuan Rasulullah saw, baginda bersabda :

"Mereka membunuhnya, Allah membunuh mereka. Mengapa mereka tidak bertanya sekiranya mereka tidak tahu? Sesungguhnya penawar bagi kelemahan itu ialah bertanya."

KEDUA : AMBIL ILMU DARI ORANG YANG WARA’ DAN SEDERHANA

Apabila tiap-tiap ilmu itu ada ahlinya, maka pemuda perlu mengambil ilmu syar'ie dari ulama’-ulama’ yang thiqah, iaitu yang berhimpun pada mereka keluasan ilmu, wara’ dan sederhana.

Tidak akan diterima ilmu dari seorang alim selagi ia tidak mengamalkan ilmunya. Inilah yang diistilahkan dengan wara’. Asasnya ialah takut kepada Allah yang merupakan buah ilmu yang benar, sebagaimana firman Allah swt yang bermaksud:

"Sesungguhnya yang takut kepada Allah di antara hamba-hambaNya hanyalah ulama’." (QS Faatir : 28)

KETIGA : PERMUDAHKAN DAN JANGAN MENYUSAHKAN

Apabila berhadapan dan berurusan dengan orang awam, pemuda-pemuda hendaklah memudahkan dan menghindarkan diri daripada keterlaluan dan keras.

Islam menganjurkan seseorang mengambil pendapat yang lebih 'azimah dan selamat dalam masalah-masalah tertentu.

Namun, jika meninggalkan rukhsah dalam semua perkara, maka jadilah agama ini hanya himpunan pemdapat-pendapat yang ‘azimah yang menggambarkan kesempitan dan kesukaran.
Padahal Allah swt menghendaki kelapangan dan kemudahan bagi hambanya.
Firman Allah swt :

"Allah menghendaki kemudahan bagi kamu dan tidak menghendaki kesempitan bagimu."
(QS Al Baqarah  : 185)

Dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah, bahawa seorang Arab Badwi telah kencing dalam masjid, lantas orang ramai bangun hendak memukulnya, tetapi Nabi saw bersabda:

"Biarkan dia dan tuangkan oleh kamu ke atas kencingnya satu timba air, kerana kamu diutus adalah untuk memudahkan bukan untuk menyukarkan." (HR Bukhari)

Tatkala Muaz memanjangkan bacaan sembahyang bersama umat Islam, Nabi saw bersabda kepadanya :

"Adakah engkau hendak membuat fitnah wahai Muaz? Diulang-ulangnya tiga kali." 

Mengambil 'azimah bagi keseluruhan manusia akan memberatkan mereka dan menimbulkan fitnah tapi bagi amal individu, adalah harus baginya untuk mengambil 'azimah bagi tujuan sempurna dan berhati-hati sebaliknya bagi masyarakat awam tidak harus baginya semata-mata untuk mengelakkan mereka dari lari dari agama Allah.

Saranan Nabi saw dalam hadis yang bermaksud :

"Apabila solat salah seorang kamu bersama orang ramai, maka hendaklah ia meringankannya, kerana di antara mereka itu ada orang lemah, orang sakit dan orang tua, dan apabila salah seorang kamu solat untuk dirinya, maka hendaklah ia memanjangkannya mengikut kemahuannya." (Hadis Muttafaqun 'alaihi)

KEEMPAT : MENYERU MANUSIA DENGAN BIJAKSANA DAN BAIK

Firman Allah swt :

"Serulah (manusia) ke jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pengajaran yang baik dan berbincanglah dengan mereka dengan cara yang lebih baik." (QS Ah Nahl : 125)

Pendakwah yang bijaksana akan menyampaikan dakwah kepada orang lain dengan cara yang lemah lembut dan kata-kata yang paling manis dengan tidak mencuaikan sedikitpun isi kandungannya.

Seorang lelaki telah menggesa Khalifah Al Makmum (Abbasiah) supaya melakukan amar makruf dan nahi mungkar dengan menggunakan tutur kata yang kesat dan kasar.

Khalifah Al Makmum telah menegur lelaki tersebut :

“Wahai saudara, berlemah-lembutlah kerana Allah telah mengutus orang lebih baik dari engkau kepada orang yang lebih buruk dari saya dan Allah menyuruhnya dengan lemah lembut.

Allah telah mengutus Musa dan Harun di mana keduanya lebih baik dari engkau kepada Fir'aun yang lebih buruk daripada saya, dan menasihatkan keduanya dengan firmanNya yang bermaksud”:

"Pergilah kamu berdua kepada Fir'aun, sesungguhnya dia telah melewati batas. Maka berbicaralah kamu berdua, kepadanya dengan kata-kata yang lemah lembut, mudah-mudahan ia ingat atau takut." (QS Thaha : 42-43)

Peranan pemuda dirasakan penting kerana mereka mempunyai beberapa potensi seperti :

1.      Membangkitkan ‘himmah’ di dalam menimbulkan persoalan.
2.      Memindahkan generasi.
3.      Menukar generasi.
4.      Memperbaharui maknawiah umat.
5.      Unsur perubah.

Namun, kita perlu membekalkan pemuda agar potensinya berkembang melalui beberapa perkara:

a.       Tarbiyah secara fitrah.
b.      Hikmah dan ilmu.
c.       Pembentukan keperibadian kepimpinan dan pengikut.

Dengan bekalan-bekalan di atas, maka akan wujudlah pemuda-pemuda yang bergerak.

Risalah Islam atau apapun bentuk seruan ke arah perubahan hanya dapat dilaksanakan oleh para pemuda.

Sepanjang perjalanan sejarah manusia dari Nabi Adam as hingga kepada Nabi Muhammad saw dan diteruskan hingga ke zaman kini membuktikan bahwa perubahan-perubahan sentiasa dipelopori oleh para pemuda. Pemuda yang berpotensi di masa sekarang ini adalah mereka yang bergelar pelajar atau mahasiswa.

Dakwah Islam, sejak zaman Nabi saw lagi ianya dipelopori oleh para pemuda seperti Ali bin Abi Talib, Mushab bin Umair, Usamah bin Zaid dan sebagainya.

Pelajar atau mahasiswa merupakan nyawa gerakan pemuda dan masyarakat.

Kehadiran pemuda sangat dialu-alukan bagi membawa suatu perubahan dan pembaharuan. Usaha reformasi di segala bidang juga menjadi salah satu seruan pemuda dalam pembentukan masyarakat madani.

Perubahan yang dibawa oleh pemuda ini tidak mungkin dapat dibawa oleh orang tua ataupun anak-anak sehingga potensi yang dimiliki oleh pemuda mampu membawa kepada kejayaan.

PERTAMA : MEMBANGKITKAN HIMMAH DALAM MENIMBULKAN PERSOALAN

Nabi Ibrahim as, Nabi Musa as, Nabi Isa as dan nabi-nabi lainnya yang masih pemuda seringkali memberikan persoalan dan kritikan kepada apa sahaja yang berlaku di sekitarnya.

Para pemuda kerap menimbulkan pertanyaan terhadap perkara-perkara yang :

1.      Tidak betul.
2.      Tidak benar.
3.      Tidak adil.

Keadaan yang tidak sesuai ini biasanya dijadikan sebagai suatu tempat kritikan atau persoalan pemuda.

“Ketika ia berkata kepada bapanya dan kaumnya: “Apakah hakikatnya patung-patung ini yang kamu sungguh-sungguh memujanya?” (QS Al Anbiya’ : 52)

“Maka tidaklah ada yang beriman kepada Nabi Musa melainkan sebilangan kecil dari keturunan kaumnya, itupun dalam keadaan takut kepada Fir’aun dan ketua-ketua kaum mereka menyiksa mereka; kerana sesungguhnya Fir’aun bermaharajalela di muka bumi, dan sebenarnya ia dari orang-orang yang melampaui batas. Dan Nabi Musa berkata (kepada kaumnya): “Wahai kaumku! Kalau kamu sungguh-sungguh beriman kepada Allah, maka hendaklah kamu berserah diri kepadaNya, jika kamu benar-benar orang Islam.” (QS Yunus : 83 – 84)

Potensi membangkitkan suatu persoalan ini adalah ciri pertama kenapa pemuda ini dapat melakukan perubahan.

Pemuda tidak akan senang dengan sesuatu yang sudah dicapainya. Pemuda juga tidak dapat tenang melihat ketidakadilan.

Peranan pemuda ini sangat penting, lebih khususnya dalam membentuk budaya dan arus perdana di kampus dan juga dalam masyarakat.

KEDUA : GENERASI PENERUS

Generasi tua atau generasi pemegang kepimpinan samada dalam suatu pemerintahan, dakwah atau masyarakat tentunya akan semakin tua dan mungkin mati.

Keadaan demikian memerlukan adanya generasi penerus yang menggantikan peranan pemimpin sebelumnya. Keadaan ini adalah suatu yang logik.

Namun, siapakah penggantinya?

Jawabannya adalah pemuda.

Kepimpinan, pemerintahan dan sebagainya perlu diteruskan kepada generasi berikutnya.

Generasi ibu bapa perlu digantikan oleh generasi anaknya, begitulah seterusnya diganti pula oleh generasi cucunya. Di tengah masyarakat dan dalam organisasipun berlaku sedemikian rupa, iaitu perubahan pimpinan kepada generasi seterusnya yang masih bergelar pemuda.

“Dan orang-orang yang beriman yang dibawa oleh zuriat keturunannya dalam keadaan beriman, Kami hubungkan (himpunkan) zuriat keturunannya itu dengan mereka (di dalam syurga); dan Kami (dengan itu) tidak mengurangi sedikitpun dari pahala amal-amal mereka; tiap-tiap manusia terikat dengan amal yang dikerjakannya.” (QS At Thur : 21)

“Dan juga mereka (yang diridhai Allah itu ialah orang-orang) yang berdoa dengan berkata:”Wahai Tuhan kami, berilah kami dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami; (generasi pengganti) perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam bagi orang-orang yang bertaqwa.” (QS Al Furqan : 74)

KETIGA : GENERASI PENGGANTI

Memindahkan generasi bererti menggantikan pemimpin sebelumnya dengan meneruskan semua program-program yang telah dirancang sebelumnya.

Manakala menukar generasi pula disebabkan generasi sebelumnya tidak baik atau kurang berjaya sehingga diperlukan penukaran generasi kepada generasi yang baru.

Allah swt menyebutkan bahwa orang yang tidak beriman ini akan digantikan oleh orang yang beriman.

Begitu juga yang berlaku dalam negara atau suatu pemerintahan di mana pemerintah yang tidak berlaku adil, jujur dan amanah maka kepimpinan sebelumnya perlu diganti oleh kepimpinan baru.

“Wahai orang-orang yang beriman! Barangsiapa di antara kamu yang murtad dari agamamu, maka Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Allah sayang kepada mereka dan mereka sayang kepada Allah; bersifat lemah lembut terhadap orang beriman dan tegas terhadap orang-orang kafir, mereka berjihad di jalan Allah, dan mereka tidak takut terhadap celaan orang-orang yang suka mencela. Yang demikian itu ialah kurniaan dari Allah kepada siapa sahaja yang dikehendakiNya; sesungguhnya Allah maha luas kurniaNya lagi maha mengetahui.” (QS Al Maaidah : 54)

KEEMPAT : MEMPERBAHARUI MAKNAWIYAH UMAT

Siapakah yang dapat bergerak untuk memperbaharui maknawiyah umat?

Jawabannya adalah pemuda.

Pemuda dengan potensi yang dimiliki, semangat yang berkobar-kobar, jasad yang kuat, pemikiran yang cerdas dapat memperbaharui maknawiyah umat.

Usaha pembaharuan ini adalah dengan memberikan dakwah, tarbiyah dan jihad. Usaha-usaha pemuda yang sedemikian dapat memperbaharui maknawiyah umat.

Orang tua tidak akan mungkin dapat melaksanakan peranan ini begitu juga para anak-anak tidak dapat berperanan secara berkesan. Hanya pemuda yang dapat menjalankan peranan perubahan ini.

“Dan Nabi mereka berkata kepada mereka:”Sesungguhnya Allah telah melantik Thalut menjadi raja bagi kamu. Mereka menjawab:”Bagaimana dia mendapat kuasa memerintah kami sedang kami lebih berhak dengan kekuasaan itu daripadanya, dan ia tidak diberi keluasan harta kekayaan?” Nabi mereka berkata:”Sesungguhnya Allah telah memilihnya (Thalut) menjadi raja kamu, dan telah mengurniakannya kelebihan ilmu pengetahuan dan kekuatan fizikal”. Dan (ingatlah), Allah juga yang memberikan kekuasaan kepada siapa yang dikehendakiNya; dan Allah Maha Luas (rahmatNya dan kurniaNya), lagi Maha Mengetahui.” (QS Al Baqarah : 247)

KELIMA : UNSUR PERUBAH

Pemuda dengan potensi yang dimilikinya juga mempunyai unsur perubah kepada :

a.       Ketidakadilan.
b.      Kejahiliyahan.
c.       Kesesatan.
d.      Kemusyrikan.

Pemuda dengan unsur perubahnya dapat menjalankan peranan tersebut secara baik dan berkesan.

Di zaman Nabi saw, para pemudalah yang merubah :

1.      Jahiliyah kepada Islamiyah.
2.      Kemusyrikan kepada tauhid.
3.      Kebatilan kepada Al-Haq.
4.      Sekular kepada Islam.

Unsur perubah yang paling berpotensi adalah pemuda yang sedar, berpengetahuan dan mempunyai fikrah Islam yang mantap. Ciri-ciri seperti ini dapat diperolehi melalui usaha belajar dan menuntut ilmu.

“Kami ceritakan kepadamu (wahai Muhammad) perihal mereka dengan benar, sesungguhnya mereka itu pemuda-pemuda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan kami tambahkan mereka dengan petunjuk. Dan Kami kuatkan hati mereka (dengan kesabaran dan keberanian), semasa mereka bangun (menegaskan tauhid) lalu berkata: “Tuhan kami ialah Tuhan yang menciptakan langit dan bumi; kami sekali-kali tidak akan menyembah Tuhan yang lain daripadanya; jika kami menyembah yang lainnya maka kami mengakui sesuatu yang jauh dari kebenaran.” (QS Al Kahfi : 13 – 14)

BEKALAN-BEKALAN

Agar potensi-potensi pemuda tersebut muncul secara berkesan dan berpengaruh, maka pemuda perlu diberikan bekalan-bekalan yang akan memberi semangat dan kekuatan bagi mengharungi setiap cabaran dan ujian yang akan ditempuhi.

Tanpa bekalan-bekalan, maka potensi pemuda yang berharga akan menghilang manakala bekalan yang baik adalah bekalan yang mengikuti kaedah dan minhaj dari Allah dan RasulNya.

PERTAMA : TARBIYAH SECARA FITRAH

Tarbiyah secara fitrah adalah tarbiyah yang merujuk kepada fitrah manusia. Tarbiyah secara fitrah juga istilah lain dari ‘Tarbiyah Islamiyah’.

Fitrah manusia sangat sesuai dengan fitrah Islam. Pemberian fitrah Islam kepada pemuda akan diterima secara ikhlas dan dapat diamalkan oleh pemuda dengan baik.

Penerimaan tarbiyah secara fitrah ini terjejas apabila di dalam hatinya ada noda atau kotoran maksiat yang menutup fitrahnya.

Tarbiyah secara fitrah yang diberikan kepada pemuda adalah usaha untuk membangun potensi pemuda dan juga memelihara potensi tersebut.

Sebahagian dari aktiviti tarbiyah secara fitrah adalah :

a.       Membaca Al-Qur’an.
b.      Beribadah.
c.       Beramal soleh.
d.      Memelihara alam.

Contoh tarbiyah secara fitrah adalah memberikan sesuatu yang diperlukan oleh pemuda. Dengan cara ini pemuda dipenuhi keperluannya dan juga mereka dapat mengembangkan diri mereka.

Di antara ciri-ciri keperluan semasa para pemuda  adalah :

1.      Keperluan belajar.
2.      Keperluan persaudaraan.
3.      Keperluan ingin tahu.
4.      Keperluan dinamik dan aktif.

Cara yang fitrah melalui Islam mampu secara berkesan membangun potensi pemuda.

“Isa binti Maryam (berdoa kepada Allah) berkata:”Ya Allah, Tuhan kami! Turunkanlah kepada kami satu hidangan dari langit, untuk menjadi hari raya bagi kami, iaitu bagi kami yang ada di hari ini dan bagi orang-orang kami yang datang kemudian, dan sebagai satu tanda (mukjizat) dariMu (yang menunjukkan kebesaran dan kekuasaanMu); dan kurniakanlah rezeki kepada kami, kerana Engkau sebaik-baik Pemberi rezeki.” (QS Al Maaidah : 114)

KEDUA : HIKMAH DAN ILMU

Selain tarbiyah secara fitrah yang diberikan kepada pemuda, ilmu dan kebijaksanaan juga diberi sehingga kesedaran dan motivasi untuk bergerak di kalangan pemuda muncul.

Orang dewasa dan tua yang mempunyai banyak pengalaman dan ilmu serta telah merasakan asam manisnya kehidupan perlu memberikan kepada pemuda suatu kebijaksanaan serta ilmu pengetahuan.

Hikmah biasanya didapati oleh orang tua dan dewasa. Orang tua dengan pengalaman dan hidupnya yang sudah lama dapat memberikan hikmah kepada pemuda yang belum banyak pengalaman.

Ilmu pun biasanya didapati oleh orang dewasa dan tua, maka juga diperlukan memberikan ilmu dan pelajaran kepada pemuda kerana bekalan yang sedemikian dapat meningkatkan potensi pemuda.

“Dan ketika Musa sampai ke peringkat umurnya yang cukup kekuatannya dan sempurna. Kami beri kepadanya kebijaksanaan serta ilmu pengetahuan; dan demikian Kami membalas orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya.” (QS Al Qasas : 14)

KETIGA : KEPERIBADIAN KEPIMPINAN DAN PENGIKUT

Kepada pemuda juga diperlukan bekalan keperibadian yang mempunyai sifat pemimpin dan pengikut.

Pemuda diharapkan mempunyai sifat sebagai pemuda yang sedia memimpin dan sedia dipimpin.

Pemimpin yang ikhlas dan pengikut yang taat adalah sifat yang juga perlu ditanamkan kepada jiwa pemuda sehingga dengan cara ini pergantian, penukaran dan pemindahan generasi dari orang tua kepada pemuda dapat dilaksanakan dengan baik.

Keperibadian yang mempunyai sifat pemimpin dan pengikut akan melancarkan perjalanan dakwah amal jama’ie.

“Yusuf berkata: “Jadikanlah aku pengurus perbendaharaan hasil bumi (Mesir); sesungguhnya aku sedia menjaganya dengan sebaik-baiknya, lagi mengetahui cara mentadbirkannya”. (QS Yusuf : 55)

“Salah seorang di antara wanita yang berdua itu berkata: “Wahai ayah, ambillah dia menjadi orang upahan (mengembala kambing kita), sesungguhnya sebaik-baik orang yang ayah ambil bekerja ialah orang yang kuat, lagi amanah”. (QS Al Qasas : 26)

PEMUDA YANG BERGERAK

Potensi yang dimiliki oleh pemuda kemudiannya dikembangkan dengan diberikan beberapa bekalan seperti tarbiyah kemudian melalui bekalan ini akan menghasilkan pemuda yang bergerak, dinamik dan aktif.

Pemuda yang aktif akan menghasilkan banyak perkara, sedangkan pemuda yang tidak aktif maka ianya akan menghancurkan dirinya sendiri.

Oleh sebab itu pemuda yang bergerak adalah pemuda yang mendapatkan tarbiyah bagi pengembangan dirinya.

“Dan jangan sekali-kali kamu menyangka orang-orang yang terbunuh (yang gugur Syahid) pada jalan Allah itu mati, (mereka tidak mati) bahkan mereka hidup (secara istimewa) di sisi Tuhan mereka dengan mendapat rezeki.” (QS Ali Imran : 169)

Kita mampu untuk menjadi pemuda-pemuda yang melakar sejarah yang signifikan untuk umat. Titik tolak dan perubahannya boleh kita jana dan gerakkannya.

Pemuda-pemuda perlu dilatih, dirancangkan dan diprogramkan untuk menjadi luar biasa.
Cara pandangan mereka terhadap dunia adalah suatu pandangan yang luar biasa di mana mereka
berfikir dengan minda yang luar biasa dan segala-galanya adalah luar biasa.

Luar biasa dengan acuan Allah swt di mana kini, ianya telah menjadi asing dan terpisah dalam kehidupan manusia biasa.

Mereka-mereka ini perlu diletakkan dalam acuan intensif dan khusus di mana mereka perlukan universiti khas dan kolej yang khusus yang akan menghasilkan para graduan yang akan mempunyai kemampuan untuk “mengubah” dunia.

Ya Allah, lahirkanlah di kalangan kami para pemuda yang akan menjadi generasi pengganti dan pewaris kepada perjuangan dakwah dan tarbiyah sehingga ianya mampu mengubah lanskap minda dan pemikiran umat untuk membangun kembali kegemilangan Islam di akhir zaman.

Ameen Ya Rabaal Alameen
WAS

Tuesday, 23 October 2012

Haji Suatu Kembara Rohani


Dalam setiap ibadah, pasti terkandung hikmah yang luar biasa berupa manfaat atau kandungan positif yang muncul di dalamnya di samping makna yang tersirat yang terkandung di dalam sebuah peristiwa.
Lebih-lebih lagi jika ianya merupakan ibadah dalam Islam di mana selain ia merupakan bentuk pengabdian dan kepasrahan kepada Allah swt, ia juga merupakan proses pembinaan diri, peningkatan kualiti keimanan dan ketaqwaan kepada Allah swt.
Jika kita merenung akan ibadah Haji yang dilaksanakan saban tahun oleh umat Islam dari seluruh pelosok bumi, ia sebenarnya adalah suatu kembara rohani yang berkait rapat dengan perubahan kerohanian para jamaah yang menunaikannya.
Menurut Syeikh Said Hawwa dalam kitabnya ‘Al-Islam’, ada beberapa perubahan kerohanian yang akan dirasai oleh setiap jamaah Haji.

PERTAMA : IBADAH HAJI ADALAH SIMBOL KEPASRAHAN SEPENUHNYA KEPADA ALLAH SWT

Perjalanan ibadah Haji, mulai dari manasik hinggalah kepulangan kita ke tanah air menyimpan beribu kenangan indah.

Sebuah kepuasan rohani bagi seseorang manusia yang mendekatkan diri kepada Allah swt dan hasilnya Allah akan memberi kenikmatan ibadah tersebut kepada para hambaNya.

Sebagaimana yang kita telah maklum bahwa ibadah haji mengajar kita ketaatan secara mutlak, tanpa melihat kandungan maknanya, kepada perintah Allah swt yang disampaikan kepada Rasulullah saw.

Thawaf, wuquf, sa'ie, melontar jamarah, tahallul dan lain-lain amalan haji, hanyalah simbol-simbol ketaatan seorang hamba kepada perintah Allah tanpa tawar menawar.

Ia juga merupakan simbol pertautan hati kita dengan Nabi Ibrahim as dengan cara menghidupkan syiarnya dan mengelilingi ka'abah yang dibangunkan oleh baginda.

Selain itu, haji juga merupakan simbol bagi kesatuan umat seluruh dunia tanpa membezakan jenis suku bangsa, negara dan warna kulit sedangkan kesatuan kaum Muslimin terbentuk oleh kesatuan akidah dan syariatnya.

KEDUA : IBADAH HAJI ADALAH PENERAPAN SECARA NYATA BERBAGAI PRINSIP ISLAM

Ia adalah aplikasi secara konkrit dari ‘Ukhuwah Islamiyah’, di mana setiap orang ketika melaksanakan Haji merasai bahwa dirinya adalah saudara bagi sesama Muslim seluruh dunia.

Ia juga aplikasi secara nyata dari makna persamaan darjat berbagai bangsa tatkala mereka memeluk Islam sebagaimana firman Allah swt :

“Wahai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari seorang laki-laki dan seorang perempuan dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku supaya kamu saling kenal mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.” (QS Al-Hujurat : 13)

Ibadah Haji itu telah menjadi medium yang paling sesuai untuk mempertemukan berbagai bangsa Muslim di dunia.

KETIGA : HAJI ADALAH MEDAN PEMBINAAN UNTUK MENGHANTARKAN MUSLIM MENUJU DARJAT YANG TERTINGGI

Dengan Haji, seseorang hamba belajar sambil melatih kesabaran.

Bukankah dalam salah satu hadits Nabi saw menyebutkan bahwa :

"Jihad yang paling utama adalah haji mabrur"? (HR Bukhari)

Dengan Haji, kehidupan kita akan sentiasa dalam suasana ibadah; bersikap ramah dan kasih sayang kepada sesama mukmin serta mampu mengendalikan emosi dan nafsu.

Selain itu, orang yang melaksanakan ibadah Haji juga bererti :

  1. Memahami hakikat ubudiyah kepada Allah.
  2. Berinfak fi sabilillah tanpa mengharapkan apa-apa imbalan.
  3. Mengagungkan sesuatu yang diagungkan Allah.
  4. Merendahkan sesuatu yang direndahkan oleh Allah swt.
KEEMPAT : HAJI DAPAT MEMBANGKITKAN BERBAGAI PERASAAN DAN SIKAP PADA JIWA MANUSIA

Dalam amalan ibadah haji, seseorang jamaah menelusuri jejak perjalanan Nabi Ibrahim as.

Maka, ibadah haji juga bererti mengenang kembali perjalanan hidup generasi masa lalu yang pernah hidup di tempat itu, sekaligus menyambung kerohanian kita dengan mereka dalam ikatan akidah dan perhambaan kepada Allah swt.

KELIMA : PADA IBADAH HAJI TERDAPAT NILAI DAN PELAJARAN YANG TIDAK TERHINGGA

Di dalam setiap amalan Haji terkandung berbagai pelajaran dan makna.

Jika manusia menyedari, Haji akan melahirkan :

  1. Kefahaman-kefahaman Rabbani yang lebih banyak.
  2. Peningkatan akhlak Islam.
  3. Semangat meneladani Rasulullah saw secara lebih mendalam.
Beberapa praktik ibadah Haji yang sarat dengan kandungan hikmah simbolik akan hakikat kehidupan.

Arafah adalah tempat berkumpulnya manusia sebelum melaksanakan tawaf rukun. Semua orang yang berniat Haji berkumpul di padang Arafah.

Secara serentak, mereka memulakan keberangkatan untuk mengagungkan Ka'abah. Kemudian menuju Muzdalifah dalam keadaan telah bertaubat dan berserah diri. Mereka menuju Ka'abah dengan jiwa yang bersih.

Dari Muzdalifah mereka berangkat menuju Mina untuk melontar jumrah sebelum tawaf, sebagai pernyataan bahwa musuh Allah adalah musuh mereka.

Kemudian menyembelih haiwan qurban sebagai tanda syukur kepada Allah atas kurniaNya dalam menghalalkan binatang ternak kepada mereka.

Lalu akhirnya mencukur rambut sebagai persiapan tawaf dengan jiwa yang bersih, pakaian suci dan penampilan yang bagus.

Setelah itu, mereka menuju ke Makkah dan bertawaf di sekeliling Ka'abah sambil mengagungkannya kerana Allah telah mengagungkannya.

Allah swt berfirman :
“... dan barangsiapa mengagungkan syi'ar-syi'ar Allah, maka sesungguhnya itu timbul dari ketaqwaan hati.” (QS Al-Haj : 32)

Kemudian sa'ie antara Safa dan Marwah sebagaimana yang pernah dilakukan oleh ibu mereka, Hajar yang solehah, pada hari permulaan Baitullah dibangunkan. Seterusnya mereka kembali lagi ke Mina untuk melontarkan jumrah sebagai pernyataan permusuhan total terhadap syaitan untuk selama-lamanya.

Haji juga membawa kembali umat Islam kepada markas Islam yang pertama iaitu tempat asal bermulanya agama Nabi Ibrahim as dan Nabi Muhammad saw.

Ini akan berlaku apabila kita menziarahi tempat-tempat bersejarah yang ditinggalkan oleh para anbia’ tersebut. Hasilnya iman dan mental kita akan betambah kuat ketika menghadapi segala permasalahan di tanah air sendiri.

Kita boleh menghayati secara langsung ujian yang menimpa para rasul terdahulu sehingga ujian yang kita alami terasa tidak seberapa. Di sinilah gunanya kita melihat secara langsung tempat-tempat
bersejarah dan menghayati perjuangan mereka.
Perjalanan kembali ini akan memperkuatkan ikatan seorang Muslim kepada pusat Islam. Ia adalah negeri kerohaniannya, kiblatnya, orientasi jasadnya, titik tolak semangat dan cita-citanya.

Sekembalinya dari tempat itu, sebahagian besar bentuk kehidupan muslim telah berubah dan berganti.

Dahulu, keterikatannya dengan markas Islam hanya bersifat teori, namun kini ianya telah menjadi kenyataan yang dapat dirasakan dan diamalkan.

Nabi saw bersabda :

“Barangsiapa berhaji kerana Allah, lalu tidak berlaku keji dan tidak berbuat fasik, ia kembali seperti hari dilahirkan ibunya.” (HR Imam yang enam kecuali Abu Daud)

Haji menghidupkan kenangan Rabbani yang abadi yang pernah dikenali oleh manusia.

  1. Kenangan sebuah keluarga yang tidak pernah memperdulikan apa pun dalam melaksanakan perintah Allah.
  2. Kenangan seorang anak yang menyerahkan dirinya menjadi kurban untuk Allah.
  3. Kenangan seorang ibu yang yakin sepenuhnya akan perlindungan Allah.
  4. Kenangan seorang ibu yang taat kepada Allah dan suaminya.
  5. Kenangan orang-orang yang bertawakkal sepenuhnya kepada Allah.
  6. Kenangan terhadap terbebasnya orang-orang yang tertindas.
Apabila mereka telah kembali ke rumah dengan rasa kemenangan maka semuanya akan terkenang.

Ia adalah neraca yang dengannya dapat diketahui orang-orang yang memperhatikan permasalahan umat Islam dan keadaannya dari segi kekuatan, kebaikan, kelemahan, kebodohan, kehinaan, kemiskinan, kemuliaan atau kejayaannya.

Haji adalah salah satu jalan pembebasan dari segala kejahatan syaitan menuju kehormatan ketuhanan, Zat Yang Maha Pengasih.

Tidak ragu lagi, jika para ulama’ Islam mampu memfungsikan Haji dan meletakkannya secara seimbang, maka ia akan dapat menyelesaikan berbagai permasalahan umat.

KEUTAMAAN IBADAH HAJI
Syeikh Sayyid Sabiq menyatakan dalam kitabnya “Fiqhus Sunnah” akan beberapa keutamaan  Haji yang disertai dengan hadits-hadits yang menjelaskannya.
PERTAMA : HAJI MERUPAKAN AMAL PALING UTAMA
Rasulullah saw ditanya mengenai amal yang paling utama.
Maka jawab baginda : "Iaitu beriman kepada Allah dan RasulNya."
Tanya orang itu lagi, "Kemudian apa?"
Jawab baginda, "Kemudian berjihad di jalan Allah"
Ditanya pula "Setelah itu apa?"
Baginda menjawab, "Setelah itu Haji yang Mabrur." (HR Bukhari)

Haji Mabrur ialah Haji yang tidak dinodai oleh dosa sedangkan menurut Al Hasan, ciri-cirinya adalah apabila seseorang kembali dari Haji dengan mencintai akhirat dan tidak menghiraukan dunia.
Diriwayatkan secara marfu' dengan sanad Hasan bahwa ‘Haji Mabrur’ (dipenuhi kebajikan) itu adalah apabila seseorang suka menyumbangkan makanan dan lemah lembut dalam ucapan.

KEDUA : HAJI MERUPAKAN JIHAD

“Ada seorang laki-laki datang kepada Nabi saw dan berkata : "Aku ini penakut dan aku ini lemah."
Ujar Nabi, "Ayuhlah berjihad yang tidak ada kesulitannya iaitu naik haji." (HR AbdurRazaq dan Thabrani)

“Jihad dari orang yang telah tua, dari orang yang lemah dan dari wanita adalah Haji dan Umrah. (HR An-Nasai’e)

“Dari Aisyah, bahwa ia bertanya kepada Rasulullah saw, "Ya Rasulullah, menurut engkau jihad itu adalah amal yang paling utama. Kalau begitu tidakkah kami akan berjihad?" Jawab Rasulullah SAW, "Bagi kamu adalah jihad yang lebih utama, iaitu haji yang mabrur." (HR Bukhari)

KETIGA : HAJI MENGHAPUSKAN DOSA

“Barangsiapa mengerjakan haji dan ia tidak menjima' isterinya pada waktu terlarang dan tidak pula berbuat maksiat, maka ia akan kembali seperti pada saat dilahirkan ibunya. (HR Muslim)

“Tatkala Allah telah menanamkan Islam di hatiku, aku datang menemui Rasulullah saw, lalu berkata, "Hulurkanlah tanganmu agar aku membai'ah kepadamu." Nabi pun menghulurkan tangannya, tapi aku masih menutup telapak tanganku." Maka tanya baginda, "Bagaimana engkau ini wahai Amar?" aku menjawab, "Aku akan mengajukan syarat" "Apa syaratnya?" tanya Rasulullah saw. "Iaitu agar aku diampuni" jawabku. Maka sabda baginda, "Tidakkah engkau tahu bahwa Islam itu menghapuskan keadaan sebelumnya, begitu juga hijrah menghapuskan apa yang sebelumnya, juga Haji menghapuskan apa yang sebelumnya?" (HR Muslim)

“Hendaknya engkau melakukan Haji dan Umrah itu secara beriringan kerana keduanya akan melenyapkan kemiskinan dan kesalahan tidak ubahnya seperti kipas angin menerbangkan kotoran-kotoran besi, emas, dan perak. Dan tiadalah ganjaran bagi Haji yang Mabrur itu selain syurga. (HR An-Nasa'ie dan Tirmizi)

KEEMPAT : ORANG YANG MELAKUKAN HAJI MERUPAKAN DUTA ALLAH

Orang yang mengerjakan Haji dan orang-orang yang mengerjakan Umrah merupakan duta-duta Allah. Jika mereka memohon kepadaNya pastilah dikabulkanNya dan jika mereka meminta ampun pastilah diampuniNya. (HR An-Nasa'ie dan Ibnu Majah)

KELIMA : GANJARAN HAJI ADALAH SYURGA
“Umrah kepada Umrah menghapuskan dosa yang terdapat di antara keduanya, sedang Haji yang Mabrur tiada ganjarannya kecuali syurga. (HR Bukhari dan Muslim)

“Rumah ini adalah tiang Islam. Maka siapa yang berangkat menuju rumah ini, baik untuk mengerjakan Haji mahupun Umrah, maka telah dijamin oleh Allah jika ia meninggal akan dimasukkanNya ke dalam syurga dan jika kembali akan diberkatiNya dengan ole-ole pahala.” (HR Ibnu Juraij dengan sanad hasan)

MOTIVASI MENDAPATKAN HAJI MABRUR
Setiap orang yang berangkat menunaikan ibadah Haji pasti dibekalkan dengan doa "Semoga mendapat Haji Mabrur".
Itulah dambaan semua orang yang pergi haji supaya mendapat Haji Mabrur. Betapa tidak, Haji Mabrur balasannya adalah syurga sebagaimana sabda Rasulullah saw,  "Haji yang mabrur tiada balasan kecuali syurga." (HR Bukhari/Muslim)

Ibadah Haji boleh dikatakan sebagai ibadah yang berhasil atau dalam hal ini sebagai Haji Mabrur apabila memenuhi beberapa ciri-ciri berikut :
  1. Motivasi atau niat ibadah tersebut adalah ikhlas semata-mata mengharap ridha Allah swt.
  2. Proses pelaksanaannya sesuai dengan contoh ibadah Rasulullah saw di mana syarat, rukun, wajib bahkan sunnah ibadah tersebut dipenuhi.
  3. Pembiayaan untuk ibadah tersebut mestilah diperolehi dengan cara yang halal, begitu pula pembiayaan untuk keluarga yang ditinggalkan juga mesti dari sumber yang halal.
  4. Kesan dari ibadah tersebut adalah positif bagi pelakunya iaitu adanya perubahan kualiti perilaku ke arah yang lebih baik dan lebih terpuji.
Sebuah potret Haji Mabrur tidak hanya dinilai pada ketika proses ibadah Haji yang berlangsung sahaja tapi juga mesti dinilai setelah ibadah Haji berakhir.

Ada semacam petunjuk kemabruran Haji yang nampak dari sikap-sikap tertentu setelah pulang ke tanah air seperti berikut:
  1. Patuh melaksanakan solat.
  2. Sentiasa membayar zakat.
  3. Bersungguh-sungguh membangun keluarga sakinah mawaddah warahmah.
  4. Bergaul baik sesama umat Islam.
  5. Sayang kepada sesama makhluk Allah.
  6. Meninggalkan apa-apa yang dilarang oleh Allah terutama dosa-dosa besar seperti syirik, riba, judi, zina, minum arak, rasuah, membunuh orang, bertengkar, menyakiti orang lain, khurafat, bid'ah dan lain-lain.
  7. Gemar melaksanakan ibadah-ibadah sunnah dan amal soleh dan berusaha meninggalkan perbuatan-perbuatan yang makruh dan tidak bermanfaat.
  8. Aktif memperjuangkan Islam dengan melaksanakan amar ma'ruf nahi munkar.
  9. Sifat-sifatnya berubah menjadi terpuji seperti sabar, syukur, tawakkal, bertolak ansur, pemaaf, tawadhu'dan lain-lain.
  10. Cepat melakukan taubat apabila terlanjur melakukan kesalahan dan dosa.
  11. Tidak membiasakan diri proaktif dengan perbuatan dosa.
  12. Bersungguh-sungguh memanfaatkan segala potensi yang ada pada dirinya untuk menolong orang lain dan menegakkan kemulian Islam dan kaum Muslimin.
Ya Allah, jadikanlah ibadah Haji yang dilaksanakan oleh umat Islam sebagai suatu kembara rohani yang akan merubah hati dan jiwa mereka ke arah meningkatkan hubungan mereka denganMu. Permudahkanlah jamaah-jamaah Haji yang akan melaksanakan ibadah tersebut pada tahun ini dan selamatkanlah perjalanan Haji mereka dan kurniakanlah Haji yang Mabrur untuk mereka.

Ameen Ya Rabbal Alameen
WAS