Pages

Tuesday, 26 March 2013

Mesin Penggerak Dakwah

Dakwah adalah ibarat ladang tanaman di mana kita sentiasa bekerja di atasnya sehingga ladang dakwah itu telah memberikan banyak hikmah dan pelajaran kepada kita semua.
Semakin berlalunya masa, sudah semestinya kita juga akan menjadi semakin dewasa kerana telah melalui banyak :
  1. Peristiwa.
  2. Halangan dan rintangan.
  3. Pergeseran.
  4. Perselisihan pendapat.
yang mampu memberikan kematangan kepada kita dalam menjalani usaha-usaha dakwah yang berterusan.
Ketika dakwah mampu menghimpun para aktivis dalam sebuah sistem, sesungguhnya pada dirinya mengandungi dua sudut yang berbeza sekaligus.
PERTAMA : SUDUT POTENSI YANG MELIMPAH RUAH
Ini adalah kerana dakwah akan dikuatkan oleh berbagai potensi yang dibawa oleh setiap aktivis tersebut.
KEDUA : SUDUT PELUANG UNTUK BERLAKUNYA PERGESERAN PERINGKAT TINGGI
Ini adalah kerana semua orang memiliki kemampuan yang setara untuk memimpin dan menempatkan diri pada posisi atau kedudukan yang strategik.

Misalnya ketika menentukan kepimpinan institusi dakwah, semua aktivis dakwah pada hakikatnya memiliki kemampuan, kapasiti dan keupayaan yang setara, ertinya, semua aktivis dakwah memiliki peluang yang sama dalam memenuhi posisi tersebut.
Demikian pula ketika menentukan seseorang individu untuk memenuhi pos-pos strategik dalam dakwah, samada di dalam institusi ataupun di luar institusi, semua aktivis dakwah secara relatifnya memiliki kapasiti yang setara untuk mendudukinya.

Para pemimpin sering menghadapi kesukaran ketika ingin memilih individu, bukan kerana tidak ada potensi, namun justeru kerana semua aktivis dakwah memiliki potensi sementara pos-pos strategik samada dalaman ataupun luaran, jumlahnya cukup terbatas, yang tentu sahaja tidak mungkin mampu menjadi wadah kepada semua aktivis dakwah.
Mahu tidak mahu, suka tidak suka, ia mestilah memilih. Bagi yang tidak terpilih, bukan bererti “tidak berpotensi” atau “tidak terpakai” namun, pos yang ada sangat terbatas.
PERGESERAN ADALAH KEMESTIAN

Setiap titik interaksi kita sentiasa menimbulkan pergeseran. Walaupun interaksi itu semuanya dalam kebaikan dan tidak ada satupun yang bernilai kejahatan, namun ia sentiasa menimbulkan pergeseran.
Justeru kerana saling bergeseran antara satu komponen dengan komponen lainnya itulah yang menyebabkan mesin menjadi berfungsi dan mampu menggerakkan roda kereta dakwah.
Geseran itu kadang-kadang terasa menyakitkan, namun kerana kita semua menginginkan kebaikan, ianya adalah sesuatu yang tidak dapat dielakkan.
Sejak dari mula kita menjadi “mesin” yang menggerakkan roda perjalanan dakwah, kita semuanya sedar bahwa apapun yang akan kita tempuh dalam perjalanan ini adalah semata-mata untuk mencapai tujuan yang mulia. Kita menyedari ada bahaya dan halangan dari luar, namun amat banyak pula yang berasal dari dalam.

Pengurusan apapun tidak akan dapat menghindarkan kita dari saling bergeseran kerana sebagai mesin, kita semua mesti bergerak. Satu komponen berpengaruh dan terhubung dengan komponen yang lain serta saling berinteraksi secara positif sehingga bergeraklah roda dakwah.
Namun sepanjang perjalanan, mesin tentu mengalami proses pemanasan dan semakin kuat kelajuan kereta dakwah, semakin kuat pula geseran antara komponennya.

Pengurusan yang diperlukan bukanlah menghindarkan geseran antara komponen, tapi ia perlu menjadi satu aktiviti bagi melicinkan pergerakannya agar geseran yang berlaku menjadi sebuah kemestian yang tidak saling menyakiti dan tidak pula saling melukai.
Semua komponen diperlukan, walaupun hanya “skru” dan “nut”, namun semuanya menjadi satu kesatuan bagi berfungsinya mesin dengan baik.

Dalam sesetengah organisasi terutama di kalangan parti-parti politik, geseran boleh menjadi suatu yang keras dan kasar. Kesannya, sebahagian pihak akan tercampak keluar, sebahagian terjatuh, sebahagian terbuang, sebahagian tersingkir dan sebahagian lainnya berkuasa. Mereka tidak tahan terhadap geseran kerana memiliki watak ingin menguasai. Semua komponen ingin mengalahkan dan menjatuhkan yang lainnya dalam sebuah persaingan yang kuat.

SEPULUH WASILAH NILAI

Dalam dakwah ini, telah dipersiapkan wasilah yang memungkinkan semua komponen bersedia untuk bekerja dengan optimum.
WASILAH PERTAMA : KEFAHAMAN
Dengan wasilah ini, semua komponen mengerti berbagai tuntutan perjalanan dakwah sehingga mampu menyiapkan diri dan menyesuaikan diri dengan tuntutan tersebut.
WASILAH KEDUA : KEIKHLASAN
Dengan landasan keikhlasan, berbagai geseran tidak akan sampai menghasilkan korban yang berjatuhan. Bukankah kita semua bekerja untuk mencari ridha Allah dan bukan mencari jawatan, kemuliaan, kemasyhuran, kedudukan dan lain-lain sebagainya.
WASILAH KETIGA : AMAL YANG BERTERUSAN
Bekerja dalam dakwah memerlukan penerusan amal sehingga menuntut bekerjanya semua komponen mesin dakwah setiap detik. Dakwah tidak akan berhenti hanya oleh kerana ketakutan terkena kesan geseran.
WASILAH KEEMPAT : KESUNGGUHAN ATAU JIHAD
Semua komponen dituntut untuk melaksanakan kegiatan dan agenda dakwah dengan penuh kesungguhan termasuk bersungguh-sungguh menyiapkan jiwa agar memiliki daya tahan utama di medan dakwah yang penuh tentangan.
WASILAH KELIMA : PENGORBANAN
Dakwah tidak akan dapat berjalan tanpa didukung oleh pengorbanan. Semua komponen siap sedia memberikan pengorbanan terbaik demi tercapainya tujuan-tujuan dakwah termasuk mengorbankan harga diri dalam rangka mencapai tujuan dakwah.
WASILAH KEENAM : KETAATAN
Semua pihak dalam susunan dakwah mesti memiliki ketaatan terhadap rujukan utama dari Allah dan Rasul-Nya. Dalam sistem praktikal, dituntut pula memiliki ketaatan terhadap manhaj dakwah serta keputusan syura dan para pimpinan, walaupun di antara isi keputusan tersebut ada yang tidak sesuai dengan pendapat peribadinya.
WASILAH KETUJUH : KETEGUHAN
Seluruh aktivis dakwah mesti memiliki keteguhan dan ketegaran dalam menjejaki jalan dakwah. Sangat banyak ujian dan halangan di sepanjang perjalanan dakwah di mana, hanya aktivis yang memiliki keteguhan hati, ketegaran jiwa, kekukuhan sikap yang akan mampu melaluinya.
WASILAH KELAPAN : KEMURNIAN
Dakwah menuntut kemurnian hati, pemikiran dan aktiviti. Ia menghajatkan kemurnian orientasi, niat dan tujuan agar terbebas dari penyimpangan tujuan yang sangat membahayakan.
WASILAH KESEMBILAN : PERSAUDARAAN
Kita semua diikat dalam sebuah tali persaudaraan yang kuat. Setiap dari kita lebih mengutamakan saudaranya daripada diri sendiri. Kita akan menjadi bahagia jika mampu membahagiakan saudara kita. Semua kita akan bersedih jika membuatkan saudara kita berduka. Kebersamaan adalah kunci kemenangan dakwah.
WASILAH KESEPULUH : KEPERCAYAAN
Ikatan dalam dakwah bukanlah material, bukan jawatan, bukan kedudukan duniawi, namun yang wujud adalah :
a. Ikatan iman
b. Ikatan visi.
c. Ikatan tujuan.
d. Ikatan manhaj.
Oleh kerana itu, sangat diperlukan saling mempercayai antara satu bahagian dengan bahagian yang lainnya, antara pimpinan dengan anggota dan antara sesama aktivis dakwah.
Kita hendaklah sentiasa merangkaikan sepuluh wasilah tersebut dalam satu kesatuan kerana kesemua wasilah itu adalah mutiara yang berkilauan.
Sebelum kita berbicara tentang pengurusan yang praktikal, kita terlebih dahulu diikat oleh sepuluh wasilah nilai yang menyebabkan kita mampu melalui semua ‘mahaawir’ (paksi-paksi) dakwah, semua marhalah, semua fasa dalam dakwah, walaupun sangat banyak geseran yang berlaku dalam perlaksanaan kegiatan dakwah.
MENGHIDUPKAN PERSEKITARAN TARBIYAH

‘Mihwar sya’bi’ (paksi sosial) dan ‘muassasi’ (institusi) yang ketika ini sedang dilalui oleh dakwah bukanlah satu jalan yang bebas dari halangan. Ada banyak permasaalahan yang muncul pada paksi ini bermula dari masaalah individu hingga kepada masaalah yang melibatkan jamaah.

Seiring dengan kelajuan arus pergerakan dakwah dan padatnya aktiviti, maka proses tarbiyah juga mulai terganggu, padahal tarbiyah adalah asas sekaligus ruh bagi dakwah ini.

Di sinilah perlunya usaha untuk menghidupkan suasana tarbiyah. Sebuah usaha untuk mencurahkan segala aktiviti bagi menguatkan tarbiyah sehingga permasaalahan masa kini dapat
diatasi dan dakwah mampu menyongsong paksi berikutnya dengan persiapan yang sempurna.

KEDUDUKAN DAN PENGUATAN TARBIYAH

Sebagaimana yang kita ketahui bahwa tarbiyah adalah kekuatan inti kepada dakwah yang akan mencetak aktivis sebagai aset utama gerakan dakwah (rashidul harakah).

Tarbiyah juga merupakan penyelesaian kepada permasaalahan umat. Sebagaimana Rasulullah saw menempuh jalan tarbiyah untuk memperbaiki umat jahiliyah menjadi sebaik-baik umat, maka tarbiyah pada zaman sekarang ini juga sepatutnya mampu menyatukan fikrah dan amal umat Islam sehingga terwujudnya “Izzul Islam wal muslimin.” (kemuliaan Islam dan kaum muslimin)

Kedudukan tarbiyah yang sangat strategik ini telah terbukti mampu menghantarkan dakwah sampai pada ‘mihwar muassasi’ (paksi institusi).
Dengan yang demikian, penguatan tarbiyah akan menjamin penerusan dakwah sekaligus perkembangannya pada arah yang benar.

Penguatan ini bergantung kepada keberkesanan, kedinamikan dan produktiviti usrah atau halaqah yang mana peranan pentingnya dipegang oleh para murabbi sebagai pengelolanya.

Maka, penguatan tarbiyah bererti penguatan para murabbi dalam mengelola usrah atau halaqahnya. Usaha menghidupkan suasana tarbawi adalah ketika para murabbi mampu memimpin dan mengarahkan usrah atau halaqah dalam suasana tarbawi.

Suasana yang perlu ditumbuhkan dan dikembangkan serta dijaga dalam proses tarbiyah itu meliputi empat perkara :

PERTAMA : MENGHIDUPKAN SUASANA RUHIYAH DAN UBUDIYAH

Suasana tarbawi pertama yang perlu dihidupkan adalah suasana ruhiyah dan ubudiyah. Ertinya, tarbiyah bertujuan agar mutarabbi memiliki hubungan yang erat dengan Allah swt dalam bentuk penghambaan yang utuh dan sempurna.

Dalam suasana ruhiyah ini, seluruh anggota yang terlibat dalam tarbiyah terikat dengan asas-asas keimanan, rukun islam dan dasar-dasar syariah lalu aktivis tarbiyah menjaga keikhlasan dan berusaha untuk istiqamah agar komitmen padanya serta membuang semua perilaku yang boleh
mengotori dan menyebabkan kerapuhan ruhiyah.

1. Aktivis tarbiyah terikat dengan asas-asas keimanan dan ini bererti ia mengetahui dengan kefahaman yang mendalam tentang hakikat keimanan kepada masalah-masalah yang ghaib yang
terangkum dalam 6 rukun iman.

2. Aktivis tarbiyah terikat dengan asas-asas rukun Islam di mana ianya bererti pelaksanaan rukun Islam dilakukan secara berterusan dan berusaha mendakwahkannya sekaligus terikat dan komitmen dengan akhlak Islam.

3. Aktivis tarbiyah terikat dengan dasar-dasar syariah bererti, dalam kehidupannya, ia komitmen dengan sistem atau peraturan Allah swt berupa perundangan, peraturan, hukum dan lain-lain yang termaktub dalam Al-Qur'an dan As Sunnah.

KEDUA : MENGHIDUPKAN SUASANA KEILMUAN DAN PEMIKIRAN

Suasana tarbawi kedua yang perlu ditumbuhkan dan dikembangkan dalam tarbiyah adalah suasana keilmuan dan ilmiah.

Setiap aktivis tarbiyah didorong untuk meraih ilmu pengetahuan, melahirkan pemikiran-pemikiran dan konsep-konsep yang kemudian diwujudkan dalam alam realiti.

Di dalamnya dibangun suasana ilmiah dan pemikiran yang aplikatif. Secara garis besarnya, sifat keilmuan yang dikembangkan dalam tarbiyah meliputi beberapa aspek, di antaranya wawasan :

a. Keilmuan.
b. Teoretikal.
c. Konseptual.

Aspek wawasan keilmuan mengarahkan aktivis tarbiyah untuk menguasai berbagai bidang ilmu keislaman dan ilmu umum (terutama yang menjadi pengkhususannya).

Aspek teoretikal mengarahkan aktivis tarbiyah melahirkan teori-teori baru yang bersifat aplikatif dalam menghadapi masalah seharian seperti bagaimana menjalin perhubungan, teori berjiran tetangga, teori rumahtangga dan lain-lain.

Aspek konseptual mengarahkan aktivis tarbiyah untuk mampu menguasai konsep Islam dan dengan mudah menjelaskan kepada orang lain sebagai seorang pendakwah dan murabbi.

KETIGA : MENGHIDUPKAN SUASANA PERGERAKAN  DAN PENSTRUKTURAN

Suasana tarbawi ketiga yang perlu ditumbuh dan dikembangkan dalam tarbiyah adalah suasana pergerakan dan penstrukturan.

Suasana ini perlu dihidupkan berasaskan paradigma bahwa tarbiyah memiliki karakter sebagai :

1. Gerakan yang dinamik (ruhul harakiyyah).
2. Realisasi dari sebuah jihad yang besar (ruhuh jihadiyyah).
3. Realisasi dari sistem yang mapan antara kepimpinan dan pengikut (ruhul jundiyyah).

Selain itu, tarbiyah juga diarahkan untuk mampu :

a. Meransang penglibatan aktivis dakwah dalam gerakan beserta peranan optimumnya.
b. Menghidupkan semangat juang dan ketegaran aktivis dakwah dalam amal jamai’e,
c. Memiliki kesetiaan kepada jamaah dan dengan secara tepat mampu mengaplikasikan konsep ‘Al-Qiyadah wal Jundiyah’.

KEEMPAT : MENGHIDUPKAN SUASANA RUKUN-RUKUN USRAH / HALAQAH

Suasana tarbawi keempat yang perlu ditumbuh dan dikembangkan dalam tarbiyah adalah suasana rukun-rukun usrah / halaqah.

Usrah atau halaqah sebagai proses awal tarbiyah yang terdiri dari 3 unsur (murabbi, mutarabbi dan proses tarbiyah) memiliki 3 rukun halaqah iaitu ‘ta'aruf’, ‘tafahum’ dan ‘takaful’.

Ketiga-tiga rukun ini mesti dihidupkan semampu mungkin sehingga usrah / halaqah menciptakan
perasaan berjamaah.

‘Ta'aruf’(yang secara bahasa bererti saling mengenal) bukan sekadar mengenal nama, tapi lebih dari itu, ia juga mengenal secara mendalam berbagai aspek identiti dan keperibadian mulai dari
nama, pekerjaan, alamat, kecenderungannya, keadaan sosial dan ekonominya sehingga kepada jadual kerja dan aktivitinya.

‘Tafahum’ (saling memahami) bererti memiliki pengertian yang mendalam terhadap saudaranya. Dengan kefahaman itu, ia dapat berbuat yang terbaik kepada diri dan saudaranya serta mengambil keputusan yang tepat ketika saudaranya dalam masalah atau meminta penyelesaian dari persoalan yang dihadapinya.

‘Takaful’ (saling menanggung beban) di mana ianya dimulai dengan saling mencintai, lalu tolong menolong dalam berbagai aktiviti yang memerlukan kerja kuat, saling membela dan saling gotong royong dalam memikul beban sehingga sebahagian anggota membawa beban anggota yang lain.

Hasil dari usaha menghidupkan persekitaran tarbiyah, kita akan mendapat kenikmatan yang besar iaitu berupa pengetahuan, harga diri,  kekuatan dan persatuan.

Dengan ilmu yang benar yang kita dapati melalui tarbiyah, ianya boleh menjadikan kita manusia yang berilmu dan sedar di atas tingkah laku yang kita lakukan.

Mempunyai ‘izzah Islam atau kemuliaan Islam bererti mengembalikan diri kita hanya kepada Allah, bukan kepada benda-benda yang tidak bernilai.

Dengan kemulian ini juga akan terserlah kekuatan Islam kerana semangat yang ditumbuhkan melalui tarbiyah dapat membangkitkan suasana kecintaan dan perjuangan sehingga akhirnya dengan melalui tarbiyahlah, kita dapat disatukan dengan fikrah dan amal yang akan menggerakkan mesin dakwah.

Akhirnya marilah kita merenung kata-kata Imam Hasan Al Banna sebagai pesanan kepada para pemuda dan mahasiswa :

“Wahai pemuda! kita telah beriman dengan keimanan yang tidak perlu diperdebatkan dan tidak ada keraguan di dalamnya. Kita juga telah yakin dengan sebuah keyakinan yang lebih kukuh dari gunung dan lebih dalam dari rahsia-rahsia yang ada di dalam fikiran, bahwa sesungguhnya tidak ada fikrah yang benar kecuali satu sahaja.

Dialah fikrah yang boleh menyelamatkan dunia dari penindasan, membimbing manusia yang bimbang dan menunjukkannya ke jalan yang lurus. Oleh kerana itu, hanya fikrah inilah yang layak untuk kita berkorban dengan jiwa dan harta, dengan yang murah ataupun yang mahal, demi deklarasi dan penyebaran kebenarannya, serta membawa manusia ke dalam naungannya.

Fikrah itu adalah Islam yang hanif yang :

1. Tiada cacat di dalamnya.
2. Tiada setitik noda menyelimutinya.
3. Tidak akan sesat bagi yang mengikutinya.

Allah swt menyatakan bahwasanya tidak ada Tuhan melainkan Dia, Yang menegakkan keadilan. Para malaikat dan orang-orang yang berilmu (juga menyatakan yang demikian itu).

"Tiada Tuhan melainkan Dia, Yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana" (QS Ali Imran : 18)

"Pada hari ini telah kusempurnakan untuk kamu agamamu, dan telah kucukupkan kepadamu nikmat-Ku, dan telah Ku ridhai Islam itu sebagai agama bagimu." (QS Al-Maaidah : 3)

Oleh kerana itu, fikrah kami adalah Islam :

a. Di atas Islam fikrah itu tegak.
b. Kepada Islam fikrah itu bersandar.
c. Demi Islam fikrah itu berjihad.
d. Kerana meninggikan kalimatnya fikrah itu beramal.

Kita tidak mungkin akan mengganti Islam sebagai sistem, tidak rela menjadikan selainnya sebagai imam dan tidak akan taat kepada yang lain dalam pengambilan hukum.”

"Barangsiapa mencari agama selain agama Islam, maka sekali kali tidak akan diterima (agama itu) darinya, dan dia di akhirat termasuk orang-orang yang rugi." (QS Ali Imran : 85)

Ya Allah, jadikanlah kami golongan yang sentiasa menjadikan dakwah sebagai ladang tanaman kami sehingga kami mampu menyemai benih-benih yang baik sehingga tumbuh menjadi tanaman yang menghijau dan memberikan hasil yang bermakna kepada penanamnya. Berilah kekuatan kepada kami untuk kami tetap berada di atas jalan tarbiyah dan mampu menghidupkan suasana tarbiyah walau dalam apa fasa dan paksi dakwah sekalipun.

Ameen Ya Rabbal Alameen
WAS

Monday, 25 March 2013

Hakikat Aktivis Dakwah Contoh

Sesungguhnya dakwah menjadi tinggi dan mulia dengan ketinggian dan kemuliaan pendukungnya.

Ianya terserlah melalui perkara-perkara yang positif yang lahir hasil dari manhaj teorinya yang dapat diambil pada buku-buku fikrah yang sudah tersebar luas yang menggambarkan tahap  ketsiqahan anggota gerakan dakwah terhadap manhaj dakwah.

Berikut adalah paparan contoh-contoh peribadi yang hendak dihasilkan oleh gerakan dakwah melalui proses tarbiyah dan arahan mereka. Semua ini tentulah tidak akan dapat diwujudkan jika bukan melalui taufiq dari Allah swt.

PERTAMA : MEMILIKI KEFAHAMAN YANG UTUH

Aktivis dakwah sepatutunya faham akan perkara-perkara berikut :

1. Falsafah dasar perjuangan.
2. Nilai-nilai yang diperjuangkan.
3. Cita-cita yang hendak dicapai.
4. Jalan yang mesti dilalui.

Mereka juga seharusnya memiliki kefahaman yang komprehensif dan terus berkembang di mana ia faham akan :

a. Marhalah-marhalah untuk merealisasikan tujuan.
b. Akibat dari setiap marhalah.
c. Logik tentangan dan halangan yang menyertai setiap marhalah.
d. Setiap marhalah dakwah memiliki tingkatan risiko yang berbeza.

KEDUA : MEMILIKI KEIKHLASAN YANG TINGGI

Ikhlas ertinya bekerja hanya untuk Allah semata-mata dan bukan untuk kesenangan diri sendiri.

Sangat banyak godaan di sepanjang perjalanan dakwah, samada berupa harta, kekuasaan dan godaan syahwat terhadap pasangan jenis.

Hanya keikhlasan yang akan membuatkan para aktivis dakwah mampu bersikap dengan tepat menghadapi segala bentuk godaan dan dinamik dakwah.

Sangat banyak peristiwa di sepanjang perjalanan dakwah yang menggoda para aktivis dakwah untuk meninggalkan jalan perjuangan.

Maka, ikhlas adalah penjaga kepada penerusan dakwah.

KETIGA : MEMILIKI AMAL YANG BERTERUSAN

Amal dalam dakwah bukanlah jenis amal yang bersifat separuh-separuh dan bukan pula jenis amal yang terpisah-pisah, spontan serta lahir tanpa perancangan yang teliti.

Bermula dari perbaikan diri dan keluarga, hingga kepada usaha perbaikan masyarakat, bangsa, negara bahkan dunia, amal dalam dakwah memiliki :

1. Marhalah yang jelas.
2. Tujuan yang pasti.
3. Orientasi yang hakiki.

Aktivis dakwah tidak hanya beramal pada satu marhalah dan meninggalkan marhalah lainnya bahkan ia sentiasa mengikuti perkembangan ‘mihwar’ (paksi) dalam dakwah, kerana itulah amal yang mesti dilalui untuk membangunkan peradaban.

KEEMPAT : MEMILIKI SEMANGAT JIHAD YANG ABADI

Semangat jihad dalam diri para aktivis dakwah seharusnya menjelma dalam bentuk kesungguhan, keseriusan dan kedisiplinan dalam mencapai visi dakwah yang hakiki dalam bentuk :

a. Kesungguhan membela hak-hak umat.
b. Kesungguhan mendidik masyarakat.
c. Keseriusan mengusahakan kesejahteraan masyarakat.
d. Kedisiplinan bersama dalam menyelesaikan persoalan kehidupan yang semakin kompleks.

Aktivis dakwah semestinya meletakkan kesungguhan dalam menjalankan semua agenda dakwah hingga menghasilkan produktiviti yang sempurna, di bahagian manapun mereka bekerja.

Itulah makna jihad dalam konteks perjalanan aktiviti dakwah.

KELIMA : MEMILIKI PENGORBANAN YANG TIDAK TERHINGGA NILAINYA

Dakwah tidak mungkin dapat dilaksanakan tanpa pengorbanan bermula dari pengorbanan harta, waktu, tenaga, fikiran, kemudahan hingga kepada pengorbanan jiwa.

Rasa penat, jemu dan letih yang sentiasa mendera jiwa raga di samping kesenangan diri, semuanya telah dikorbankan demi tetap berjalannya roda dakwah.

Aktiviti dakwah dijalani sejak berpagi-pagi hingga ke malam hari.

1. Kadang-kadang perlu mengharungi malam hingga ke awal pagi.
2. Kadang-kadang perlu bergerak pada jarak yang tidak terukur jauhnya.
3. Kadang-kadang  perlu memberikan sumbangan harta pada keadaan diri yang belum mantap dari segi ekonomi.

Pengorbanan tanpa rehat itulah sebenarnya yang menjadi ciri aktivis dakwah yang setia.

KEENAM : MEMILIKI KETAATAN KEPADA PRINSIP, KEPUTUSAN ORGANISASI DAN PEMIMPIN

Prinsip-prinsip dalam dakwah mestilah dilaksanakan dengan sepenuh ketaatan.

a. Taat kepada asas manhaj adalah bahagian penting yang akan menghantarkan dakwah pada tujuannya yang mulia.
b. Taat kepada keputusan organisasi merupakan syarat agar kegiatan dakwah sentiasa terbingkai dalam sistem amal jama’ie.
c. Taat kepada pemimpin merupakan tuntutan agar pergerakan dakwah berjalan secara berkesan pada usaha pencapaian tujuan.

Ketaatan bukan hanya berlaku dalam perkara-perkara yang sesuai dengan pendapat peribadi, namun tetap taat terhadap keputusan walaupun bertentangan dengan pendapatnya sendiri.

KETUJUH : KETEGUHAN TIADA HENTI

Aktivis dakwah hendaklah sentiasa bersikap tegar di jalan dakwah, kerana perjalanan amatlah panjang dengan berbagai gangguan dan tentangan yang menyertainya.

Terlalu ramai dari jumlah aktivis dakwah hari ini, di mana mereka memiliki semangat yang menyala pada suatu ketika, namun padam seiring dengan berlalunya usia.

Ada yang tahan tatkala mendapat ujian kekurangan harta, namun menjadi gugur saat berada dalam limpahan harta dunia.

Ada yang tegar saat dakwah dilakukan di jalanan, namun tidak tahan saat berada di puncak kekuasaan.
Aktivis dakwah mestilah berada di puncak kemampuan untuk sentiasa bertahan.

KELAPAN : MEMILIKI KEMURNIAN DAN KEBERSIHAN DALAM ORIENTASI AKTIVITINYA

Sangat banyak faktor-faktor yang mengotori kebersihan orientasi dakwah.

1. Ada kekotoran dalam cara untuk mencapai tujuan.
2. Ada kekotoran dalam usaha untuk mendapatkan harta.
3. Ada kekotoran dalam langkah untuk mencapai kemenangan.

Aktivis dakwah hendaklah sentiasa menjaga kemurnian orientasinya dan tidak berpaling dari kebenaran serta tidak terjebak dalam kekotoran.

Ini adalah kerana dakwah memiliki visi yang bersih, sehingga perlu dicapai dengan langkah dan usaha yang bersih pula.

KESEMBILAN : MEMILIKI KESEPADUAN, PERSAUDARAAN DAN KEBERSAMAAN YANG TINGGI

Persaudaraan adalah sebuah tuntutan dalam melaksanakan agenda-agenda dakwah.

Semakin besar tentangan yang dihadapi dalam perjalanan dakwah, semakin kuat pula ikatan ukhuwah diperlukan di antara pelakunya.

Aktivis dakwah :

a. Saling mencintai antara satu dengan yang lainnya.
b. Saling mendukung.
c. Saling menguatkan.
d. Saling meringankan beban.
e. Saling membantu keperluan.
f. Saling berbahagi dengan adil.
g. Saling mencukupi.

Mereka tidak mengobarkan dendam, irihati dan benci sebaliknya  mereka sentiasa membawa cinta dan menyuburkan dakwah dengan sentuhan cinta.

KESEPULUH : MEMILIKI TINGKATAN KEPERCAYAAN YANG TIDAK ADA BANDINGAN

Dakwah yang berjalan pada rentang waktu yang sangat panjang, dengan tentangan yang semakin kuat menghalang sebenarnya berhajat kepada tingkatan kepercayaan yang kukuh antara satu dengan yang lainnya.

Berbagai isu, fitnah dan tuduhan tidak akan menggoncangkan kepercayaan aktivis dakwah kepada para pemimpin dan kepada sesama pendukung dakwah.

Berbagai caci maki, lontaran kebencian, pelampiasan dendam kesumat tidak akan mengurangkan kepercayaan aktivis dakwah terhadap langkah dakwah yang telah dijalaninya.

Syeikh Jasim Muhalhil Yasin menambah beberapa ciri-ciri aktivis dakwah yang didambakan di dalam kitabnya : “Ikhwanul Muslimin : Penerangan; tuduhan; jawaban dan harapan.”
PERTAMA : BERGERAK KERANA ALLAH SWT
Aktivis dakwah yang hakiki sentiasa bergerak memohon kesyahidan kepada Allah swt di saat melakukan tugas dakwah sebagaimana syahidnya ‘Urwah bin Mas’ud Ats Tsaqafi ra yang mendakwahkan kaumnya kepada Islam.
‘Urwah adalah satu dari dua tokoh besar kaum musyrikin yang disebutkan dalam firman Allah tentang perkataan kaum musyrikin :
“Dan mereka berkata, “Mengapa Al Quran tidak diturunkan kepada seorang yang besar dari salah satu dua negeri (Makkah dan Thaif) ini?” (QS Az Zukhruf : 31)
Ketika ia menyatakan dirinya masuk Islam, sekaligus mendakwahkan kaumnya kepada Islam, tombak dan anak panah bertubi-tubi datang dari segala arah merobek tubuhnya hingga beliau syahid.
KEDUA : MEMILIKI SEMANGAT YANG TINGGI
Aktivis dakwah mestilah mempunyai semangat yang tinggi sebagaimana semangat Rabi’ah bin Ka’ab Al Aslami ra yang pernah diceritakan oleh Ibnul Qayyim rahimahullah :
“Apabila kamu ingin melihat tingkatan semangat, lihatlah semangat Rabi’ah bin Ka’ab Al Aslami ra.
Rasulullah saw bersabda : “Mintalah kepadaku.”
Rabi’ah mengatakan : “Aku ingin menjadi pendampingmu di syurga.”
Sementara orang lain ada yang meminta makanan dan pakaian.
KETIGA : MEMEGANG TEGUH JANJINYA
Seorang aktivis dakwah dibina untuk mengerti dan melaksanakan sikap ‘shiddiq’ (benar), sebagai sikap mulia para shahabat ridhwanullahi’alaihim.
Sikap ini terserlah dalam kisah Anas bin An Nadhar ra yang diriwayatkan oleh Anas bin Malik bahwa Anas bin An Nadhar tidak hadir dalam peperangan Badar.
Beliau mengatakan:
“Aku tidak ikut dalam perang pertama yang disaksikan Rasulullah saw. Apabila Rasulullah kembali berperang melawan kaum Quraisy setelah Badar, niscaya Allah ‘Azza wa Jalla akan memperlihatkan apa yang akan kuperbuat.”
Di saat perang Uhud, umat Islam menderita kekalahan.
Seseorang berkata kepada Anas bin An Nadhar ra : “Wahai Anas, kamu hendak ke mana?”
Anas berkata : “Saya ingin menghampiri bauan syurga di sebalik gunung Uhud.”
Anas pun berangkat hingga ia syahid.
Di tubuhnya terdapat lebih dari lapan puluh luka akibat pukulan pedang, tombak dan anak panah hingga jasadnya tidak dapat dikenali lagi oleh adik perempuannya, kecuali melalui pakaiannya.
Lalu turunlah firman Allah swt :
“Di antara orang-orang mukmin ada orang-orang yang menepati apa yang telah mereka janjikan kepada Allah, maka di antara mereka ada yang gugur. Dan di antara mereka ada (pula) yang menunggu-nunggu dan mereka sedikitpun tidak merubah janjinya.” (QS Al Ahzab : 23)
Demikianlah sepatutnya sikap teguh terhadap janji.
KEEMPAT : SEIMBANG DALAM SEMUA KEADAAN 
Aktivis dakwah diseru untuk membina dirinya agar memiliki sikap berani, namun tidak mengabaikan sikap berhati-hati, jauh dari sikap sembrono dan emosional. Mungkin sedikit manusia yang. dapat menyeimbangkan dalam melakukan perkara ini.
Seorang yang biasa bersikap berani, sentiasa berusaha memutuskan semua rintangan yang mengikatnya.  Mereka juga memiliki ketaatan tinggi yang diikat oleh kesedaran syar’ie yang cermat, jelas, tidak serampangan dan bukan sikap mengikut secara membuta tuli.
Di sudut lain, aktivis dakwah sentiasa memelihara potensi yang Allah anugerahkan pada dirinya. Seorang aktivis dakwah secara khusus mengerahkan semua kekuatannnya kepada setiap perkara yang mendatangkan manfaat kepada dakwah.
Penyaluran potensi itu tidak dibiarkan tanpa kendali, tanpa arah dan tujuan yang jelas. Bahkan ia sentiasa mengiringinya dengan langkah ‘takhtith’ (perancangan) yang matang.
KELIMA : KOMITMEN TERHADAP PETUNJUK NABAWI
Aktivis dakwah yang hakiki sentiasa :
1. Berjalan di atas jalur syari’at.
2. Tunduk kepada sunnah.
3. Menjauhkan diri dari perilaku bid’ah dan semua yang tidak diperintahkan oleh Rasulullah saw.
4. Tindak tanduknya berdasarkan petunjuk Nabawi.
la mengambil agamanya dari mata air Islam yang jernih dan minum dari sumber keimanan.
a. Apabila ditanya tentang prinsipnya, ia mengatakan: “Ittiba’”.
b. Apabila ditanya tentang pakaiannya, ia mengatakan : “Taqwa.”
c. Apabila ditanya tentang maksud serta tujuannya, ia mengatakan: “Ridha Allah.”
d. Apabila ditanya di mana ia menghabiskan waktunya dari pagi hingga petang, ia menjawab:
“Bertasbih kepada Allah di masjid-masjid yang telah diperintahkan untuk dimuliakan dan disebut nama-Nya di dalamnya, pada waktu pagi dan waktu petang.” (QS An Nur : 36)
serta di medan dakwah dalam usaha mengembalikan manusia ke jalan Al Haq.”
e. Apabila ditanya tentang nasabnya, ia mengatakan:
“Orang tuaku adalah Islam. Tidak ada orang tuaku selainnya. Sebahagian orang bangga dengan keturunan Qais atau Tamim.” 
KEENAM : MENYERLAHKAN SIKAP SABAR
Aktivis dakwah yang hakiki terbina dengan akhlak sabar, sehingga di awal perjalanannya, salah seorang dari mereka telah mengetahui apa yang diucapkan oleh Ibnul Qayyim rahimahullah :
“Sesungguhnya sikap untuk lebih mengutamakan ridha Allah, pasti akan berhadapan dengan permusuhan manusia, siksaan, bahkan usaha mereka untuk membunuhnya. Yang demikian adalah sunnatullah di antara makhluk-Nya. Jika tidak demikian, lalu apa dosa para Nabi dan Rasul yang memerintahkan keadilan di antara manusia dan menegakkan agama Allah?”
Maka, barangsiapa yang lebih mengutamakan keridhaan Allah, niscaya ia akan memperolehi permusuhan dari :
1. Orang alim yang jahat.
2. Manusia yang menyimpang.
3. Orang yang tidak cerdik.
4. Pelaku bid’ah.
5. Manusia yang banyak berdosa.
6. Penguasa ‘bathil’.
Barangsiapa berpegang teguh pada Islam secara sempurna, ia tidak dapat digoyahkan oleh manusia walaupun gunung sekalipun. Selain itu, ia juga tidak dapat dihalangi oleh berbagai ujian, kekerasan dan rasa takut.
Mereka mengetahui bahwa kesabaran dapat dilakukan melalui dua perkara :
a. Tarbiyah atas sikap zuhud di dunia.
b. Tarbiyah atas sikap zuhud terhadap pujian.
Tidaklah seseorang itu menjadi lemah atau terlambat di atas jalan ini, kecuali kerana kecintaannya yang sedemikian besar pada kehidupan, kekekalan serta kecintaannya pada pujian manusia dan usaha menjauhi kecaman mereka.
Jalan ini, bagi mereka merupakan jalan yang pasti berhadapan dengan pendustaaan, pengusiran dan siksaan sepertimana ungkapan Ibnul Qayyim Al Jauziyah rahimahullah :
“Seseorang yang berlalu menuju Allah swt adalah sebagai ‘uswah’. Dan itulah tingkatan yang sangat mulia. Seorang yang berakal cerdas rela beruswah kepada para Rasul, para anbiya’, aulia’, dan orang-orang yang dipilih Allah dari para hamba-Nya. Merekalah kelompok manusia yang paling berat ujiannya. Siksaan manusia terhadap mereka, lebih cepat berjalannya daripada air mata. Cukuplah, contoh kisah yang disebutkan tentang perjuangan para Anbiya’ alaihimus salam bersama umat mereka, juga perjuangan Rasulullah saw. Bagaimana siksaan musuh-musuh terhadap mereka. Siksaan berat yang belum pernah menimpa orang sebelum mereka.”
Waraqah bin Naufal pemah berkata kepada Nabi saw :
“Engkau pasti akan didustai, diusir dan disiksa.”
Kemudian baginda bersabda :
“Tidak seorangpun yang datang sebagaimana yang aku perjuangkan kecuali ia akan mengalami keadaan serupa dengan apa yang ku alami.”
Hukum ini berlaku hingga kepada para pewarisnya.
Tidakkah seorang hamba ridha menjadikan hamba Allah yang terbaik (Rasulullah saw) sebagai uswahnya?
KETUJUH : PEMBERI INFAQ YANG TIDAK KIKIR TERHADAP DAKWAHNYA
Imam Hasan Al Banna bercerita tentang sifat-sifat aktivis dakwah yang didambakannya :
Mereka tidak kikir terhadap dakwah, meskipun perlu mengeluarkannya dari bahagian makanan anak-anak mereka, mengalirkan darah mereka atau harga mahal untuk keperluan utama. Apalagi dari keperluan kedua dan keperluan yang tidak mendesak.
Mereka, tatkala menanggung bebanan dakwah ini, benar-benar mengetahui bahwa ia merupakan jalan dakwah yang tidak mungkin dilalui dengan sedikit pengorbanan darah dan harta. Maka mereka keluarkan perkara itu seluruhnya kerana Allah swt.  Ringkasnya, seorang al akh’ dari mereka tengah melakukan perjalanan menuju Allah swt bersama kelompok ‘Al Haq’ dan kafilah tauhid.
Mereka adalah orang-orang yang mempunyai keyakinan besar, para pendidik, manusia yang sedar dan berpegang teguh kepada Islam, yang sedang mempersiapkan diri dengan ilmu, keahlian untuk berangkat berjihad. Masing-masing berlomba untuk berangkat dan apabila mereka berangkat mereka lakukan dengan penuh kesempurnaan. Jika mengalami situasi sulit dalam peperangan, mereka bersabar.
Mereka tidak akan rela hingga dakwah mencapai tujuannya. Meskipun mereka mesti memeras seluruh kemampuan dan pemikiran mereka habis-habisan.
1. Apabila mereka memberi perintah, perintah mereka jauh dari sikap memaksa.
2. Apabila mereka taat kepada perintah, ketaatan mereka terlepas dari sikap merasa hina.
3. Apabila mereka melontarkan kritikan, kritikan mereka jauh dari sikap merosakkan dan menghancurkan.
Mereka adalah :
a. Golongan yang memiliki disiplin yang tinggi.
b. Golongan yang teratur.
c. Para murabbi.
d. Para perancang strategi menuju sasaran yang jelas.
e. Orang-orang yang teguh pendirian.
f. Berkomitmen tinggi.
g. Golongan yang apabila diberi amanah sebagai pemimpin mereka lakukan dengan ikhlas, jika diposisikan sebagai perajurit, mereka lakukan dengan penuh ketaatan.
Setiap dari diri mereka masing-masing mampu berfikir untuk terus meningkatkan kemampuannya secara seimbang untuk sentiasa berusaha mengatasi masalah yang dilihatnya, mengambil hukum suatu pekerjaan dan aktiviti dari fikirannya. Mereka merasa bertanggungjawab untuk membela Islam. Puas dengan jumlah yang sedikit.
Dalam jiwa mereka terdengar sebuah prinsip yang begitu indah,
“Pertolongan dari Allah dan kemenangan yang dekat.” (QS Ash Shaff : 13)
Betapa mereka bekerja keras di waktu siang, betapa indahnya lantunan “munajat” mereka, yang mereka ambil dari keluarga Daud pada waktu sahur.
Kemudian saat mereka berhadapan dengan orang yang bengis dan keras, perkataan mereka adalah:
“Suatu tentera yang besar yang berada di sana dari golongan-golongan yang bersyarikat, pasti akan dikalahkan.” (QS Shad : 11)
Mereka bertolak ke arah yang jelas, bergerak bersama sikap komitmen dengan ketaqwaan. Sumpah setia mereka sejati, ketaatan mereka bukan kerana paksaan tapi hasil kesedaran, pandangan mereka penuh perhitungan, wawasan pemikiran mereka luas dan tidak sempit.
Masing-masing dari mereka berprinsip menjadi pendukung setia terhadap pemimpinnya, cita-cita mereka adalah bertemu dengan Rabb sebagai syuhada’. Mereka memandang tanggungjawab syari’at sebagai penyejuk mata, penenang hati, penghidup ruh, mencampakkan sistem thaghut dan undang-undang yang bathil.
Mereka adalah para ‘rijal’ yang sentiasa memerangi kehendak nafsu mereka. Hati mereka rindu pada ketaqwaan, merasa tenang dengan zikir.
Mereka mengetahui bahwa jihad adalah aplikasi rahbaniyah dalam Islam. Oleh yang demikian, mereka persiapkan diri dengan senjata dan mereka hunus pedang serta bentangkan busur.
Mereka mengetahui bahwa ruh-ruh mereka akan kembali di antara penghuni kubur, mereka tinggalkan bangunan dunia, semangat mereka meninggi dan perilaku mereka menjadi lurus.
Mereka adalah ‘junudullah’ (tentera Allah) di manapun mereka berada. Mereka adalah para imam, pemberi petunjuk dan pemimpin kaum beriman.
Mata mereka sering terjaga di waktu malam dan kerap mengalirkan air mata. Berbahagialah orang yang berada dan berpegang teguh bersama mereka.
Mereka adalah para ‘rijal’ yang komited dengan seruan Rasulullah saw, secara zahir dan batin. Mereka berpendirian sebagaimana Rasul berpendirian. Mereka berjalan sebagaimana Rasul berjalan. Mereka ridha dengan keridhaan Rasul. Menyambut seruannya apabila Rasul menyeru mereka.
Landasan mazhab mereka adalah Al Qur’an dan As Sunnah, meninggalkan hawa nafsu, bid’ah, berpegang teguh dengan para imam dan berqudwah pada para salaf. Meninggalkan perbuatan bid’ah, berpendirian di atas apa yang ditempuh para generasi awal dari para sahabat, pembela Islam, telaga keimanan, intipati kepada sikap ihsan. Pengetahuan mereka murni mengambil dari misykat’ wahyu dan hadits Rasulullah saw. 
Mereka adalah para ‘rijal’ yang meyakini bahwa mempelajari ilmu ikhlas kerana Allah dapat melahirkan ‘khasyiyah’  (ketakutan), sehingga menuntut ilmu merupakan ibadah, muzakarah mereka adalah tasbih, pembicaraan mereka adalah tentang “jihad”.
Mereka menuntut ilmu hingga terbukalah hijab yang menyelimuti hati mereka, hilang kegelapannya, berganti dengan fajar tauhid dan terpancar di dalamnya matahari keyakinan. Jalan di hadapan mereka menjadi terang benderang, malamnya laksana siang. Hati dan jiwa mereka bangkit memperolehi ‘Al Haq’ dan meninggalkan selain-Nya.
Terlepas dari semua kehendak mereka. Yang terpatri dalam hati mereka hanyalah bara ‘khasyiyah’ yang membakar. Kerahsiaan mereka berhiaskan ‘Al Haq’ dan keterbukaan mereka terhias oleh akhlak.
Ya Allah, jadikanlah kami aktivis dakwah hakiki yang menjadi contoh tauladan kepada masyarakat di luar sana sehingga usaha-usaha kami mampu meninggikan dan memuliakan dakwah ini. Bukakanlah untuk kami rahsia kekuatan yang menyelimuti hati kami sehingga fajarnya bersinar yang akan menerangi jiwa-jiwa manusia yang lain serta menghilangkan kegelapannya.

Ameen Ya Rabbal Alameen
WAS