Pages

Thursday, 29 May 2014

Mempersaudarakan Gerakan Islam

Dunia Islam kini menyaksikan lahirnya berbagai harakah, tanzim, jamaah dan firqah Islamiyah yang beraneka ragam.
Terdapat bermacam-macam madrasah pemikiran yang masing-masing memiliki manhaj tersendiri dalam berkhidmat dan berjuang menegakkan Islam di muka bumi sesuai dengan :
  1. Penentuan sasaran.
  2. Keutamaan.
  3. Tahapan.
Dr Yusuf Al Qaradhawi dalam kitabnya ‘Fiqhul Ikhtilaf ‘menyatakan bahwa tidaklah menjadi masalah adanya beberapa kelompok dan jamaah yang berjuang untuk menegakkan Islam selagimana perkara itu merupakan :
  1. Perbezaan yang bersifat variatif (ta’addudu tanawwu’)
 BUKAN
  1. Perbezaan yang bersifat kontradiktif (‘ta’addudu ta’arudh’)”.
Syarat lainnya adalah antara semua pihak perlu ada hubungan kerja dan koordinasi sehingga mereka saling menyempurnakan dan menguatkan. Dalam menghadapi masalah-masalah asasi dan keperihatinan bersama, ia perlu mencerminkan satu barisan, laksana bangunan yang kukuh. 
Namun, pada kenyataannya seperti yang diungkapkan oleh Ustaz Fathi Yakan bahwa “ta’addudiyah” (berbilang harakah, tanzim, jamaah dan firqah Islamiyah) yang ada kini tidak melahirkan kecuali :
  1. Semakin memuncaknya permusuhan.
  2. Menghembuskan nafsu hasad dan dengki kepada sesama sendiri.
  3. Saling bertengkar.
  4. Saling mengintai kelemahan.
Ianya benar-benar bertentangan dengan kehendak Islam bahwa perlu wujud suasana saling memahami dan saling menutupi kesalahan di antara gerakan Islam. 
Realiti yang diungkapkan oleh Ustaz Fathi Yakan benar-benar berlaku di mana ketika ini, antara anggota harakah, kerap berlaku pergeseran samada secara langsung ataupun tidak.
Yang secara langsung misalnya nampak dalam persaingan antara kelompok harakah di kampus, sekolah, masjid dan berbagai institusi lainnya yang sudah tersentuh dengan angin dakwah sehingga ia menimbulkan suasana untuk saling menonjolkan diri dan mengambil peranan yang lebih dominan.
Sementara yang tidak secara langsung adalah melalui penggambaran yang tidak seimbang tentang harakah lain yang dilakukan oleh kumpulan elit sesebuah harakah terhadap pengikutnya seperti berikut :
  1. Sering membid’ahkan yang lain.
  2. Menggambarkan kumpulan lain sebagai agen Yahudi.
  3. Menuduh sesuatu terlalu keras.
  4. Menuduh orang lain sebagai penyokong ‘LGBT’ dan ‘humanrightisme’.
  5. Menuding jari kepada kumpulan yang nampak begitu bersikap toleransi dengan kaum yang tidak sebangsa dengannya.
Proses tersebut, secara tidak sedar, akan menciptakan suatu identifikasi picisan bahwa kita benar dan mereka salah dan dalam jangka panjang akan menimbulkan kesedaran yang cukup naif bahwa mereka adalah lawan kita.
Para aktivis dakwah hendaklah berwaspada dengan fenomena yang berlaku ini sehingga jangan sampai limpahan negatif ‘ta’aduddiyah’ ini tumbuh subur tidak terkendali sehingga memungkinkan musuh-musuh Islam memanfaatkannya untuk menghancurkan harakah Islam itu sendiri.
Sudah sampai masanya para aktivis dakwah dalam berbagai harakah, tanzim, jamaah dan firqah Islamiyah :
  1. Saling bersinergi.
  2. Berusaha mendekatkan persepsi.
  3. Menyatukan hati.
  4. Membersihkan diri dari ‘ta’assub’ (sikap fanatik) serta membina suasana penuh ukhuwah, kerjasama dan saling memahami.
MENGAPA KITA PERLU BERSINERGI?
PERTAMA : Dalil dari Al-Qur’an
Taujih Rabbani dalam Al-Qur’an dengan jelas dan tegas menekankan kewajiban bersinergi.
Allah Azza wa jalla menyeru orang-orang beriman agar memelihara persatuan dan kesatuan.
Firman-Nya :
“Berpeganglah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah, dan janganlah bercerai berai, ingatlah akan nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu (masa Jahiliyah) bermusuh-musuhan, maka Allah mempersatukan hatimu, lalu menjadilah kamu kerana nikmat Allah, orang-orang yang bersaudara; dan kamu telah berada di tepi jurang neraka, lalu Allah menyelamatkan kamu daripadanya. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayat-Nya kepadamu, agar kamu mendapat petunjuk.” (QS Ali Imran : 103)
“Janganlah kamu seperti orang-orang yang berpecah belah dan bertikai setelah datang sejumlah petunjuk kepada mereka.” (QS Ali Imran : 105)
“Orang-orang beriman itu sesungguhnya bersaudara. Sebab itu damaikanlah (perbaikilah hubungan) antara kedua saudaramu itu dan takutlah terhadap Allah, supaya kamu mendapat rahmat.” (QS Al-Hujurat : 10)

Bahkan lebih jauh lagi, Al-Qur’an menegaskan bahwa berbantah-bantahan akan menyebabkan kegagalan dan hilangnya kekuatan.
“Taatlah kepada Allah dan rasul-Nya, janganlah kamu berbantah-bantahan, yang menyebabkan kamu menjadi gagal dan hilang kekuatan. Bersabarlah. Sesungguhnya Allah beserta orang-orang yang sabar.” (QS Al-Anfal : 46)
Tanpa penafsiran yang mendalam terhadap ayat-ayat di atas pun, kita dapat fahami dengan terang, bahwa Allah swt menyeru setiap dari kita untuk sentiasa bersatu padu.
KEDUA : Dalil dari Sunnah
Sepertimana Al-Qur’an, Sunnah Nabawiyah juga menegaskan tentang pentingnya bersinergi, saling mendukung dan bersatu padu.
Rasulullah saw bersabda :
“Orang mukmin terhadap orang mukmin yang lain bagaikan bangunan yang sebahagiannya menyangga sebahagian yang lain.” (HR Bukhari dan Muslim)
“Seorang Muslim adalah saudara bagi Muslim yang lain, ia tidak meremehkannya, tidak menghinakannya dan tidak menyerahkannya (kepada musuh).” (HR Muslim)
“Perumpamaan kaum Muslimin dalam cinta, kepedulian dan kasih sayang bagaikan satu tubuh, jika salah satu anggota tubuhnya mengeluh sakit, maka seluruh anggota tubuh juga ikut menjaga dan berjaga.” (HR Bukhari)
KETIGA : Dalil dari realiti
Realiti kompleks dan beratnya permasalahan dakwah kontemporari juga menjadi dalil yang kuat bagi mendorong setiap dari kita untuk bersinergi.
Krisis yang sedang melanda umat Islam ketika ini tidak lagi bertumpu kepada aspek-aspek tertentu dalam kehidupan umat, melainkan menyentuh keseluruhannya di mana hampir dalam semua sudut kaum muslimin mengalami kemunduran.
Imam Hasan Al-Banna mengungkapkan situasi pada zamannya bahwa :
  1. Dalam bidang politik, kaum muslimin terjajah oleh musuh-musuhnya, sementara rakyatnya terpecah belah dalam kelompok-kelompok kepartian.
  2. Dalam bidang ekonomi, sistem riba bermaharajalela dan perusahaan-perusahaan asing menguasai hampir seluruh sektor ekonomi dan mengeksploitasi sumber daya alamnya.
  3. Dalam bidang pemikiran, berbagai ‘isme’ telah memudarkan ideologi, aqidah, kesedaran dan pola berfikir putera-putera bangsanya.
  4. Dalam bidang sosial, keruntuhan moral dan gaya hidup hedonisme telah mencabut akar keluhuran budi pekerti dan rasa kemanusiaan yang mereka warisi dari pendahulu-pendahulu mereka. Sementara demam kebaratan telah merubah gaya hidup dalam semua sudutnya secara begitu cepat, secepat aliran bisa ular yang menjalar ke seluruh tubuh melalui pembuluh darah dan akhirnya mengeruhkan ketenangannya.
  5. Dalam bidang undang-undang, mereka dikuasai oleh undang-undang bumi (buatan manusia) yang belum pernah terbukti mampu menghentikan langkah-langkah bongkak para penjenayah, mencegah kezaliman dan di atas itu semua tidak pernah mampu mengungguli perundangan langit yang telah ditetapkan oleh Yang Maha Pencipta, Pemilik seluruh jiwa manusia.
  6. Dalam bidang pendidikan, bangsa-bangsa muslim dililit oleh sistem pendidikan barat yang terbukti gagal membangun generasi penerus yang akan memikul amanah kebangkitan di masa akan datang.
  7. Dalam bidang kejiwaan, ia telah dijangkiti oleh keputusasaan yang membinasakan, kemalasan dan sikap tidak acuh, pengecut dan rasa rendah diri, tiada sikap kejantanan, sifat ego berlebihan serta kebakhilan, yang semua itu telah berhasil mengikis semangat berkorban dan menyeret umat Islam keluar dari barisan para mujahidin menuju barisan orang-orang yang lengah dan lalai.
Oleh kerana itu, setiap kita perlu sedar bahwa usaha memajukan Islam dan umat Islam mustahil hanya dapat dipikul oleh satu harakah, tanzim, jamaah atau firqah Islamiyah tertentu.
Ia pun mustahil dapat dilakukan hanya dengan satu bentuk pendekatan dakwah iaitu :
  1. Tabligh sahaja.
  2. Ta’lim sahaja.
  3. Tarbiyah (pendidikan) sahaja.
  4. Tatsqif (penyebaran wawasan) sahaja.
  5. Amal khidami (pelayanan & khidmat sosial) sahaja.
  6. Iqtishadi (ekonomi) sahaja.
  7. Siyasah (politik) sahaja.
  8. Jihad sahaja.
Lebih-lebih lagi, gerakan Islam ketika ini menghadapi tentangan yang cukup berat. Realiti dakwah gerakan Islam kontemporari sangat berbeza dengan realiti dakwah gerakan Islam pertama di masa lalu yang dimulakan oleh Rasulullah saw.
PERTAMA : Dakwah Islam yang pertama dahulu merupakan suatu sistem yang menghimpun seluruh kekuatan kaum muslimin, sedangkan gerakan Islam kontemporari hanya menghimpun sebahagian dari mereka.
KEDUA : Gerakan Islam yang pertama dahulu merupakan ‘Jama’atul Muslimin’, sedangkan gerakan Islam kontemporari hanyalah merupakan ‘Jama’ah Minal Muslimin’.
Inilah realiti yang menjadikan dakwah Islam pertama bergerak secara bersepadu menghadapi jahiliyah, sedangkan gerakan Islam kontemporari berada dalam situasi yang sukar.
Di samping dituntut untuk menghadapi gerakan jahiliyah kontemporari, ia juga dipaksa mengambil sebuah sikap yang sesungguhnya sukar atas asas yang lebih luas bahwa mereka bangsa muslim yang berbeza dan tidak mahu tunduk kepada kehendak orang lain. Keadaan seperti ini banyak dimanfaatkan oleh sistem-sistem jahiliyah.
LANGKAH MENUJU SINERGI
Mewujudkan sinergi antara gerakan Islam mungkin bukan suatu perkara yang mudah, tapi ianya bukan bererti mustahil untuk diwujudkan. Oleh kerana itu, setiap kita mesti mulai mencuba untuk melangkah bagi melakukan usaha pendekatan menuju sinergi.
Langkah-langkah tersebut boleh kita mulai dengan usaha-usaha berikut :
1.      Memahami ‘ikhtilaf’ (perselisihan).
2.      Melakukan dialog haraki untuk mendekatkan persepsi.
3.      Bekerjasama dalam masalah yang disepakati.
A.MEMAHAMI ‘IKHTILAF’
Dr Yusuf Al Qaradhawi memaparkan beberapa langkah menuju tercapainya saling pengertian antara gerakan Islam dalam menimbang ‘ikhtilaf’ yang berlaku di antara mereka.
PERTAMA :  Bahwa untuk masalah-masalah furu’, perbezaan pendapat adalah sebuah kemestian dan rahmat.
Kemestian itu berlaku kerana tabiat agama Islam memang memberi peluang berlakunya perbezaan pendapat.
Dalam kitab Al-Arbain, Imam An-Nawawi meriwayatkan hadits dari Daraquthni :
“Sesungguhnya Allah swt telah membuat ketentuan-ketentuan, janganlah kamu melanggarnya; telah mewajibkan sejumlah kebaikan, janganlah kamu abaikan; telah mengharamkan banyak perkara, janganlah kamu melanggarnya; telah mendiamkan banyak masalah sebagai rahmat bagimu, bukan kerana lupa, janganlah kamu mencarinya.”
Mengambil istilah Al Qaradhawi, wujudnya ‘wilayah kosong syariat’ yang sengaja Allah ta’ala sediakan.
KEDUA : Mengikuti manhaj pertengahan dan meninggalkan sikap berlebih-lebihan dalam beragama.
Meruncingnya masalah ‘ikhtilaf’ berlaku kerana satu atau kedua belah pihak mengambil sikap berlebihan dalam beragama. Sikap ghuluw’ (berlebih-lebihan) dalam perlaksanaan agama sering menyebabkan seseorang memandang rendah dan mencerca mereka yang tidak mengikutinya.
Maka, tidak hairanlah jika Rasulullah saw mencela sikap ini :
“Jauhkan dari kamu sikap berlebih-lebihan dalam agama. Kerana orang sebelum kamu hancur hanya sebab berlebih-lebihan dalam agama.” (HR Ahmad, Nasa’ie, Ibnu Majah, Al-Hakim, Ibnu Khuzaimah dan Ibnu Hibban dari Ibnu Abbas)

KETIGA : Mengutamakan muhkamat’ bukan mutasyabihat’.
Ayat ‘muhkamat’ memberi kepastian, sedangkan ayat mutasyabihat’ tanpa ilmu yang mendalam akan membuatkan seseorang yang mengikutinya mendapati pertentangan ayat yang satu dengan lainnya.
Dari Abdullah bin Amr ra, ia berkata :
“Rasulullah saw pernah keluar mendatangi dan mengecam serta mengingkari para sahabat yang sedang berbantah-bantahan tentang masalah taqdir.”
KEEMPAT : Tidak memastikan dan tidak menolak dalam masalah-masalah ‘ijtihadiyah’.
Syaikhul Islam Ibnu Taimiyah pernah ditanya tentang orang yang mengikuti sebahagian ulama’ dalam masalah ‘ijtihadiyah’, apakah ia perlu dihindari atau diingkari?
Beliau menjawab :
“Segala puji milik Allah. Orang yang dalam masalah-masalah ‘ijtihadiyah’ mengamalkan sebahagian pendapat ulama’, tidak boleh diingkari dan dihindari. Demikian pula orang yang mengamalkan salah satu dari dua pendapat, tidak boleh dikecam. Jika dalam suatu masalah terdapat dua pendapat, maka bagi orang yang telah nampak mana yang lebih kuat boleh beramal sesuai dengannya. Tapi jika tidak, ia boleh mengikuti sebahagian ulama’ yang dapat dipercayai dalam menjelaskan mana yang lebih kuat (rajih) di antara dua pendapat.”
KELIMA : Menelaah perbezaan pendapat para ulama’.
Dengan penelaahan yang jernih dan mendalam, akan nampak dalil-dalil yang menjadi punca kepada perbezaan pendapat tersebut. Kemudian akan diketahui bahwa lautan syariah itu amat dalam dan luas.
Akhirnya kita akan nampak kebenaran ungkapan berikut :
“Siapa yang tidak mengetahui ‘ikhtilaf’ ulama’, maka dia bukan ulama’. Siapa yang tidak mengetahui ‘ikhtilaf’ para fuqaha’, maka hidungnya belum mencium bau fiqh.”
B. MELAKUKAN DIALOG HARAKI (DIALOG ANTARA GERAKAN ISLAM) UNTUK MENDEKATKAN PERSEPSI
Frekuensi dialog dua hala antara harakah Islam perlu ditingkatkan, samada secara rasmi ataupun tidak rasmi.
Dialog haraki yang sistematik, walaupun mungkin tidak menghasilkan kesepakatan di akhirnya, namun, secara minimumnya, ia akan memudahkan proses saling memahami dan mengerti antara sesama harakah Islam.
Dalam konteks realiti kita, dialog haraki itu memerlukan dua perkara :
  1. Keluasan wawasan.
  2. Kematangan jiwa.
dalam menangani perbezaan.
Dalam beberapa peristiwa, aspek kematangan jiwa sering lebih diperlukan. Ini adalah kerana, ada banyak konflik yang berlaku bukan disebabkan oleh perbezaan sudut pandang, melainkan hanya ketidakmatangan jiwa para peserta dialog.
C. BEKERJASAMA DALAM MASALAH YANG DISEPAKATI
Sungguh elok jika para aktivis gerakan Islam mampu duduk dalam satu majlis untuk :
  1. Merumuskan agenda bersama.
  2. Menggarap masalah-masalah besar yang dihadapi oleh umat Islam.
  3. Melupakan sejenak pertentangan-pertentangan kecil di antara mereka.
Sebagai kesimpulan, mari kita renung beberapa usaha yang sepatutnya dilakukan oleh gerakan Islam untuk meningkatkan persaudaraan di kalangan gerakan Islam :
  1. Marilah kita bekerjasama dalam menanamkan nilai-nilai keimanan dan Al-Qur’an pada jiwa generasi muda dan membuang jauh-jauh perdebatan falsafah serta ilmu Kalam dan pengaruh ajaran-ajaran lain yang menimbulkan kebingungan dan pertentangan.
  2. Marilah kita bekerjasama dalam membenteng jiwa generasi muda dari wabak ‘atheisme’ (fahaman tidak bertuhan) dan segala ‘penghantar’nya berupa keraguan dan syubhat yang menggigit aqidah dan mengotori pemikiran.
  3. Marilah kita bekerjasama dalam memperkuatkan keimanan umat kepada akhirat dan keyakinan akan balasan. Marilah kita usir segala syubhat yang berusaha untuk mendangkalkan aqidah yang agung ini atau segala bentuk syahwat yang menggoda manusia sehingga melalaikannya dari keyakinan ini.
  4. Marilah kita bekerjasama dalam meningkatkan pengajaran rukun-rukun amaliah Islam kepada kaum muslimin dan mencari cara yang terbaik untuk mendakwahkannya kepada mereka.
  5. Marilah kita bekerjasama dalam memperjelaskan, memperkukuhkan dan menyampaikan asas-asas keimanan yang enam dalam akal dan hati kaum muslimin dengan bahasa yang sederhana sesuai dengan kesederhanaan Islam.
  6. Marilah kita bekerjasama dalam melebarkan pengaruh ‘makarimul akhlaq’ pada diri generasi muda dan tua.
  7. Marilah kita bekerjasama dalam mengusir segala kerendahan dan kenistaan yang bertentangan dengan nilai-nilai kebaikan.
  8. Marilah kita bekerjasama dalam memelihara, mengaplikasikan dan melindungi syariah dari permainan orang-orang yang ingin mengubah perkara-perkara yang qath’ie’ (tegas dan terang) menjadi perkara-perkara yang zhanni’ (samar-samar); perkara-perkara yang muhkamat’ menjadi perkara-perkara yang mutasyabihat’.
  9. Marilah kita bekerjasama dalam mengajarkan asas-asas Islam dan dasar-dasar aqidah, ibadah, akhlak dan adab yang tidak diperselisihkan oleh para ulama’.
  10. Marilah kita bekerjasama menyampaikan dakwah Islam kepada semua penduduk bumi dengan bahasa yang mereka fahami, agar mereka dapat mengenali Islam secara benar dan tidak menjadi korban kejahatan musuh-musuh Islam yang merosakkan gambaran agama yang hanif ini.
Selain dari usaha-usaha positif di atas, kita juga perlu merenung persoalan-persoalan berikut bagi memastikan usaha-usaha di atas tidak terbantut dan terbengkalai.
  1. Mengapa kita tidak bekerjasama bagi menggarap pekerjaan yang sangat besar ini serta mempersiapkan para da’ie  di samping dana yang mencukupi?
  2. Mengapa para pemikir dan aktivis dakwah tidak melupakan perselisihan mereka mengenai masalah-masalah juz’iyyah ijtihadiyah’, untuk kemudiannya menyatukan barisan mereka dalam menghadapi kekuatan-kekuatan besar yang bersepakat untuk menghancurkan mereka?
  3. Mengapa kita perlu berputar pada masalah yang diperselisihkan yang menyebabkan kita lalai mengerjakan masalah lain yang kita sepakati yang jumlahnya jauh lebih banyak?
Ya Allah, jadikanlah hati-hati kami tenang dalam mengikuti apa-apa yang diperintahkan olehMu dan dipraktikkan melalui Sunnah NabiMu. Jauhkanlah kami dari sikap suka menimbulkan perselisihan, pertentangan dan permusuhan sehingga kami gentar dan hilang kekuatan dalam berhadapan dengan musuhMu yang sebenar. Jadikanlah kami aktivis-aktivis yang bersaudara dalam sebuah gerakan yang menjunjung nilai-nilai mulia bagi menegakkan kalimahMu yang tinggi di atas muka bumi ini.
Ameen Ya Rabbal Alameen

WAS

Monday, 26 May 2014

Kuliah Isra' Mi'raj Hasan Al Banna


Kita panjatkan pujian dan syukur ke hadhrat Allah subhanahu wa ta’ala dan kita ucapkan selawat dan salam untuk junjungan kita Nabi Muhammad saw, juga untuk seluruh keluarga dan sahabatnya, serta siapa sahaja yang menyerukan dakwahnya hingga ke hari kiamat.

Amma ba’du. Assalamu’alaikum wa rahmatullahi wa barakatuh.

Kita bersyukur kepada Allah subhanahu wa ta’ala yang telah memberikan kesempatan berkumpul kepada kita dalam rangka acara peringatan agung dan tercinta, iaitu peringatan Isra’ Mi’raj.

Setiap tahun kita berkumpul di bulan Rajab yang mulia. Ia adalah bulan yang diberkati, waktu-waktunya merupakan kemuliaan rabbani’. Barangsiapa yang berbuat baik, maka Allah akan menambah kebaikannya di dalamnya dan barangsiapa yang berbuat jahat, maka Allah akan membukakan pintu ampunan untuknya pada bulan yang diberkati ini.

Di sini saya tidak akan membahas kisah Isra’ dan Mi’raj secara terperinci kerana anda semua tentu sudah mendengar dan membacanya. Tetapi kita akan mengadakan ulasan singkat sahaja. 

Isra’ adalah perjalanan yang dilaksanakan oleh Rasulullah shalallahu ‘alayhi wa sallam dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsha, sedangkan Mi’raj’ adalah perjalanan samawiah’ yang dilaksanakan oleh baginda shalallahu ‘alayhi wa sallam dari Masjidil Aqsha ke langit paling tinggi.

Kedua-dua perjalanan ini dilaksanakan dalam satu malam dan dilaksanakan oleh Rasulullah shalallahu ‘alayhi wa sallam sebagai manusia secara utuh. Kisah ini telah disinggung oleh Al-Qur’an dalam surah Al-Isra’.

Ada orang yang bersikap ragu terhadap kisah Isra’ dan bertanya,

 “Apakah kisah tersebut sesuai dengan hukum-hukum Allah yang berlaku bagi makhluknya?

Mungkinkah manusia yang komposisinya terdiri dari daging dan darah serta memerlukan elemen-elemen material, dapat naik ke langit, padahal kita mengetahui bahwa di tempat tertentu terdapat ruang hampagas dan pada titik ketinggian tertentu sudah tidak terdapat oksigen?”

Saya pernah mengatakan kepada mereka,

“Ini adalah kekuasaan Allah yang meliputi segala sesuatu. Ia merupakan perkara yang mungkin dan tidak mustahil dalam logik kekuasaan Allah. Tetapi, perlu saya tanyakan juga, apakah kamu mengetahui seluruh ilmu Allah yang telah lalu mahupun yang akan datang?”

Ikhwan sekalian, pada kenyataannya, ilmu moden telah menyingkap rahsia itu dan bahwa manusia mempunyai unsur lain selain unsur material, iaitu unsur kejiwaan, yang disebut sebagai ‘alam ruh’ atau ‘alam kejiwaan’.
Sekalipun ilmu pengetahuan belum mampu menyingkap hakikat alam ini, tetapi ia telah sampai pada pengetahuan bahwa ruh dapat menguasai badan sehingga dapat menguasai, membatasi dan menundukkannya kepada hukum-hukumnya, bukan kepada hukum-hukum kebendaan.
Sebenarnya, beberapa kejadian boleh membuktikan perkara ini. Ada sebahagian penganut sufi di India yang mampu menguasai badannya dengan kekuatan ruhnya serta bertahan selama satu minggu.

Kita juga mengenali akan adanya ‘hipnotis’, yang menjadikan ruh menguasai badan, sehingga ia berubah menjadi mata yang melihat.

Yang berlaku dalam kisah Isra’ Mi’raj adalah, bahwa Allah subhanahu wa ta’ala mengurniakan kepada Nabi-Nya yang mulia ini kekuatan ruhani yang besar, sehingga menguasai badannya. Ini bukan bererti bahwa baginda diisra’kan dengan badan tanpa ruh, tetapi diisra’kan dengan ruh dan jasad.

Sebahagian orang bertanya-tanya, “Apakah hikmah Isra’ Mi’raj?”

 
Saya berkeyakinan bahwa Isra’ Mi’raj adalah bahan asas dalam kurikulum pentarbiyahan Ilahi. Ini adalah kerana Allah subhanahu wa ta’ala telah menyiapkan Rasul-Nya yang mulia agar menjadi penghulu para ‘murabbi’ dan para pengajar. Maka baginda perlulah mempunyai kedudukan ilmu yang melebihi kedudukan-kedudukan yang dimiliki oleh manusia lainnya.

Oleh yang demikian, Allah mengelilingkan baginda di seluruh ceruk langit agar keimanan baginda merupakan keimanan yang berdasarkan :


a.      Penyaksian.

b.     Penglihatan.

dan tidak sekadar keimanan yang berdasarkan pada keyakinan dan teori.

Ada hikmah lain yang mengandungi nilai ketinggian dan kemuliaan.

Allah subhanahu wa ta’ala telah mewajibkan solat kepada kaum muslimin pada malam Isra’ Mi’raj. Allah tidak menghendaki kewajiban ini diperintahkan melalui wahyu sebagaimana  kewajiban-kewajiban lain, tetapi Dia mengundang Nabi-Nya yang mulia agar baginda dapat menjelaskan kepada manusia bahwa solat mempunyai nilai yang tinggi dan agung serta merupakan bahan asas dalam kurikulum pentarbiyahan Islam. Solat adalah :
 

1.     Kebersihan.

2.     Keaktifan.

3.     Kesihatan.

4.     Ilmu.

5.     Akhlak.
 

Saya kira, anda semua telah mengetahui bahwa ‘Hadits Tsulatsa’ (pertemuan selasa) kali ini mengambil tema Isra’ Mi’raj. Tema ini dibahas oleh para Ikhwan bukan sebagai kisah semata-mata, tetapi di satu sudut ia sebagai pelajaran dan di sudut yang lain sebagai pemacu kepada amal.

Sebagai kisah, cukuplah kita mendapatkan informasi yang dibawa oleh Al-Qur’anul Karim, 

“Mahasuci Allah, yang telah memperjalankan hamba-Nya pada suatu malam dari Masjidil Haram ke Masjidil Aqsha yang telah Kami berkati sekelilingnya agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda (kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Melihat.” (QS Al-Isra’ : 1 )

Ayat ini mengandungi keterangan mengenai Isra’. Di antara makna yang dikandungnya bahwa ayat ini menyebut Masjidil Aqsha, padahal apabila ditinjau dari definisi masjid ketika itu, ia belum merupakan sebuah masjid, melainkan sekadar tempat ibadah.

Sebutan masjid yang digunakan oleh Allah dapat menjadi pembakar semangat bagi kaum muslimin untuk masjid ini iaitu :

a.      Menguasai tanah yang diberkati ini.

b.     Memperjuangkannya.

c.      Menjaganya jangan sampai terlepas dari tangan mereka.

Ini juga merupakan isyarat bahwa ia kelak menjadi masjid dan ia akan tetap demikian, sekalipun orang-orang kafir membencinya.

Semoga Allah memberikan pahala kebaikan kepada tamu Mesir yang agung, Sahibus Samahah Mufti Akbar (Amin Al Husaini) yang telah berulang kali mempertaruhkan darahnya agar Masjidil Aqsha ini tetap merupakan masjid.

Orang-orang Yahudi pernah menawarkan kepada beliau tebusan sebesar satu juta pound agar memberikan konsesi dengan menyerahkan tiga belas meter tanah di Masjidil Aqsha.

Beliau menjawab dengan keimanan mendalam :

“Demi Allah, andaikata kamu mampu mengumpulkan seluruh harta orang-orang Yahudi di dunia, niscaya aku tidak akan menyerahkan kepada kamu walaupun hanya setengah meter.”

Kenyataannya, ia merupakan salah satu mukjizat Islam dan sebab terjaganya Masjidil Aqsha, kerana Allah memudahkan orang-orang seperti Sahibus Samahah Mufti untuk mengambil sikap agung ini.

Sebagaimana yang telah disinggung tentang peristiwa Isra’, Allah juga menyinggung tentang peristiwa Mi’raj, di dalam firman-Nya, 

“Dan sesungguhnya Muhammad telah melihat Jibril itu (dalam rupanya yang asli) pada waktu yang lain. (Iaitu) di Sidratul Muntaha. Di dekatnya ada syurga tempat tinggal. (Muhammad melihat Jibril) ketika Sidratul Muntaha diliputi oleh sesuatu yang meliputinya. Penglihatannya (Muhammad) tidak berpaling dari yang dilihatnya itu dan tidak (pula) melampauinya. Sesungguhnya dia telah melihat sebagian tanda-tanda (kekuasaan) Tuhannya yang paling besar.” (QS An-Najm : 13-18)

Yang penting kita perhatikan tentang Isra’ dan Mi’raj adalah ramai manusia menganggap bahwa Isra’ dan Mi’raj merupakan peristiwa yang bertentangan dengan hukum-hukum alam, kerana perpindahan manusia dari satu tempat ke tempat lain dengan jarak seperti ini merupakan suatu perkara yang mustahil berdasarkan kebiasaan.

Aduhai, masih cukup baik jika mereka berhenti sampai pada batas ini, namun ternyata lebih dari itu, mereka berkata,

“Baginda dinaikkan ke langit, lantas bagaimana baginda bernafas?”

Selama masa yang panjang mereka masih ragu terhadap peristiwa ini.

Para salaf pendahulu kita mempunyai jawaban atas pertanyaan ini dan jawaban mereka tetap sama iaitu :

“Sesungguhnya peristiwa ini adalah mukjizat yang berlaku di luar kebiasaan. Kekuasaan Allah subhanahu wa ta’ala boleh mewujudkan perkara-perkara semacam itu, dan itu merupakan sunnah-sunnah yang dikenali di kalangan orang-orang yang beriman.”


“Wahai manusia, apakah yang telah memperdayakan kamu (berbuat durhaka) terhadap Tuhan kamu Yang Maha Pemurah. Yang telah menciptakan kamu lalu menyempurnakan kejadian kamu dan menjadikan (susunan tubuh) kamu seimbang. Dalam bentuk apa sahaja yang Dia kehendaki, Dia menyusun tubuh kamu.” (QS Al-lnfithar : 6-8)

 
Bahkan, kita katakan kepada orang-orang yang ragu tersebut :

“Mari berfikir sejenak! Apakah kamu telah mengetahui seluruh hukum yang berlaku di alam semesta?”

Kamu sendiri mengakui bahwa kamu belum mengetahui seluruh kekuatan yang tersimpan di alam semesta dan tidak mengetahui secara menyeluruh tentang hukum-hukum alam. Oleh kerana itu, anggap sahaja ini sebagai suatu perkara yang belum kamu ketahui ilmunya dan belum sampai kepada akal fikiran kamu.

“Dan tidaklah kamu diberi pengetahuan melainkan sedikit.” (QS Al-Isra’: 85)

 

Andaikata kamu memperhatikan sejarah penemuan-penemuan ilmiah, niscaya kamu ingat bagaimana setiap penemuan diikuti dengan penolakan dan pengingkaran. Kemudian akal manusia tunduk mengikuti hukum realiti setelah sebelumnya mengingkari dan menolak.

Kita juga mengatakan kepada mereka :

 

“Ilmu empirik yang kamu bergantung kepadanya telah membuktikan bahwa kekuatan kejiwaan boleh mempengaruhi jasad / fizikal, sehingga mampu memindahkannya dari satu tempat ke tempat lain dan mengangkatnya dari permukaan tanah. Jika manusia dengan kekuatan jiwanya mampu melakukan keajaiban-keajaiban itu, maka mustahilkah bagi Allah untuk memberikan kekuatan jiwa kepada Nabi-Nya, yang menguasai badan baginda yang mulia, sehingga badan tersebut berubah menjadi ruh murni dan badan ruhani ini menembusi bahan tersebut, kerana ia telah keluar dari ruang lingkup kebendaan kepada ruang lingkup ruhani.”

 

Semoga Allah merahmati ‘Asy-Syauqi’ yang mengatakan,

 

Dengan keduanya baginda diisra’kan ruh, ruhani dan cahaya.’

 

Mereka mengatakan :

 

“Sesungguhnya Musa alayhissalaam setelah selesai dari masa berbicara dengan Allah Yang Maha Tinggi, boleh mendengar rayapan semut dari jarak empat ‘farsakh’.” 

 

Maka, bagaimana pula menurut kamu jika perkara itu dalam keadaan tajalli’. Bagaimana pula dengan Rasulullah shalallahu ‘alayhi wa sallam sedangkan Allah subhanahu wa ta’ala telah bertajalli’ terhadap baginda dengan keruhanian yang sempurna.

 

Mustahilkah bagi baginda untuk menembusi batas-batas kebendaan. Jadi pada malam tersebut, ruh adalah yang berkuasa atas hakikat fizikal.

 

Ada satu kajian lain yang penting bagi kita, iaitu hikmah Isra’ dan Mi’raj.

 

Sebahagian orang bertanya, “Apa hikmah Isra’ Mi’raj?”

 

Menjawab pertanyaan ini, para Salaf pendahulu kita berkata,

 

“Allah berkehendak untuk memuliakan Nabi-Nya shalallahu ‘alayhi wa sallam, kerana itu Allah memanggil baginda dan membukakan di hadapannya kerajaan langit dan bumi.”

 

Kita katakan bahwa :

 

“Isra’ Mi’raj merupakan kemestian demi pembentukan keperibadian baginda shalallahu ‘alayhi wa sallam. Ini adalah kerana Allah subhanahu wa ta’ala telah :

 

1.     Mengutus baginda sebagai penghulu bagi seluruh orang yang beriman dan guru dari segala guru.

 

2.     Menjadikan baginda sebagai mata air jernih dan pemancar cahaya, iaitu cahaya ilmu dan petunjuk untuk semua makhluk.

 

Baginda adalah ‘dinamo’ yang akan memberikan tenaga untuk dunia secara keseluruhan, maka perlu diisi dengan sebanyak mungkin dari ilmu dan iman sedangkan ilmu dan iman yang paling kuat adalah apabila muncul dari kesaksian.

Oleh kerana itu, Allah memperlihatkan kepada baginda kerajaan langit dan bumi, agar baginda termasuk dalam golongan orang-orang yang yakin, sehingga :

a.     Iman baginda adalah iman yang berdasarkan kesaksian.

b.     Ilmu baginda adalah ilmu yang berdasarkan keyakinan pula.

“Dan kerana Allah telah menurunkan Kitab dan hikmah kepadamu, dan telah mengajarkan kepadamu apa yang belum kamu ketahui. Dan adalah kurniaan Allah sangat besar atasmu.” (QS An-Nisa’ : 113)

 

Jika Allah telah memperlihatkan kerajaan langit dan bumi kepada Ibrahim, maka Allah subhanahu wa ta’ala pun memperlihatkan kepada Nabi-Nya shalallahu ‘alayhi wa sallam kerajaan langit dan bumi tersebut, agar baginda menjadi salah seorang yang yakin, dengan bentuk yang lebih nyata dan lebih sempurna daripada yang dilihat oleh Ibrahim kerana baginda adalah penutup para Nabi dan sumber petunjuk bagi seluruh manusia.

 

“Mahasuci Allah yang telah menurunkan Al-Furqan (Al-Qur’an) kepada hamba-Nya agar dia menjadi pemberi peringatan kepada seluruh alam.” (QS Al-Furqan : 1)”

 

Ini yang pertama.

Yang kedua, dalam perjalanan ini, telah diwajibkan solat. Itu sebagai pernyataan mengenai keagungan kedudukan solat.

 

Allah subhanahu wa ta’ala hendak menyedarkan baginda mengenai ketinggian nilai solat, sebab itu Allah memerintahkannya secara langsung dari langit, agar :

 

1.     Menjadi pemakluman mengenai kuat dan agungnya keutamaan kewajiban ini.

2.     Manusia melihat ketinggian nilainya.

 

Barangsiapa yang telah menegakkan kewajiban ini, bererti ia telah menegakkan agama.

 

Ada hikmah ketiga, iaitu sebagai pelajaran.

 

Allah subhanahu wa ta’ala seolah-olah mengatakan kepada umat ini,

 

“Wahai umat Islam, yang Nabinya dikehendaki oleh Allah untuk menyaksikan seluruh alam ini sebagai penghormatan baginya, janganlah kamu menjadi ekor bagi umat lain, jangan menerima kehinaan, tetapi hendaklah kamu merasa tinggi, dan janganlah kamu berprasangka bahwa meneladani Nabi shalallahu ‘alayhi wa sallam itu hanya untuk satu aspek dengan mengabaikan aspek lain, tetapi meneladani baginda mestilah dalam seluruh aspek.”

 

“Sesungguhnya telah ada pada (diri) Rasul Allah itu suri teladan yang baik bagimu.” (QS Al-Ahzab : 21)

 

Kita hanya memohon kepada Allah agar mengembalikan kemuliaan dan kejayaan untuk umat ini, kerana Dia adalah semulia-mulia Zat yang dimohon dan seutama-utama Zat yang diminta.

Semoga Allah melimpahkan selawat dan salam kepada Sayyidina Muhammad shalallahu ‘alayhi wa sallam , juga kepada seluruh keluarga dan sahabatnya.

Peristiwa bersejarah dalam perjalanan dakwah baginda Sayyidina Rasulillah shallallahu ‘alaihi wasallam, yang berupa Isra’ Mi’raj, biasa diperingati oleh kaum muslimin pada setiap tanggal 27 Rajab. Padahal yang terpenting bahkan yang penting dari Isra’ Mi’raj dan dari setiap detik sirah yang lain, bukanlah peringatannya melainkan bagaimana dan apa yang perlu dan boleh kita ambil darinya berupa :

a.      ‘Ibrah’ (pengajaran).

b.     Hikmah.

c.      Pelajaran.

d.     Makna.

e.      Misi.

dan seumpamanya bagi keimanan, keislaman, perjuangan dakwah dan kehidupan kita secara umum.

Meskipun telah disepakati di antara seluruh ulama’ Islam sepanjang sejarah akan kebenaran dan kepastian kejadiannya, tapi pada masa yang sama telah berlaku perbezaan dan perselisihan pendapat yang sangat luas dan banyak berkait dengan penentuan waktunya.

 

Bahkan itu tidak hanya tentang hari atau tanggal dan bulannya, melainkan juga terkait dengan tahun berlakunya peristiwa agung dan luar biasa tersebut.

 

Memang semua telah berijma’ bahwa, Isra’ Mi’raj berlaku sebelum hijrah ke Madinah. Namun bila secara tepatnya sebelum hijrah itu, tidak ada yang dapat memastikannya di sini dan jarak perbezaan pandangan para ulama’ sangatlah luas sekali.

 

Mulai dari pendapat bahwa, Isra’ Mi’raj dialami oleh Nabi tercinta shallallahu ‘alaihi wasallam pada tahun pertama baginda diangkat menjadi Nabi dan Rasul (pilihan Imam Ath-Thabari), sampai ada juga mazhab yang mengatakan bahwa ia berlaku satu tahun sebelum peristiwa hijrah, yakni pada bulan Rabi’ul Awwal tahun 13 Kenabian. Selebihnya ada pendapat-pendapat lain yang mentarjih bahwa Isra’ Mi’raj berlaku pada tahun ke-5 Kenabian (tarjih Imam An Nawawi dan Al Qurthubi), atau pada tanggal 27 Rajab tahun 10 Kenabian (pilihan Al Manshurfuri, ulama’ India), atau pada bulan Ramadhan tahun 12 Kenabian, atau pada Muharram tahun 13 Kenabian, atau mungkin juga masih ada pendapat-pendapat lainnya lagi.

 

Oleh kerana tidak adanya dalil ‘sahih’ (kuat) yang ‘sharih’ (tegas), maka tidak boleh dipilih secara meyakinkan mana di antara pendapat-pendapat di atas yang paling kuat melainkan mungkin hanya boleh ditarjih secara umum dan global sahaja bahwa, Isra’ Mi’raj berlaku sebelum hijrah pada akhir tahun 10 Kenabian atau sesudahnya. Ini adalah kerana Ummul Mu’minin Khadijah radhiyallahu ‘anha wafat pada bulan Ramadhan tahun 10 Kenabian, dan itu sebelum diwajibkannya solat fardhu 5 waktu. Padahal tidak ada perselisihan bahwa, perintah kewajiban solat fardhu tersebut adalah pada malam Isra’ dan Mi’raj!

Jadi sekali lagi, yang terpenting dan bahkan yang penting dari kejadian Isra’ Mi’raj BUKANLAH

1.     Penentuan tanggal, hari, bulan dan tahunnya.

2.     Perayaan dan peringatannya.

Melainkan yang penting dan terpenting adalah ibrah, hikmah, pelajaran, makna, misi dan seumpamanya, yang boleh dan perlu kita ambil darinya, bagi keimanan, keislaman, perjuangan dakwah dan juga kehidupan kita secara umum.

Maka mari kita sentiasa fokus pada aspek-aspek ini ketika menyusuri setiap bahagian peristiwa penting dan saat-saat istimewa dari sirah dan sejarah!

Isra’ Mi’raj merupakan salah satu stesen paling penting dalam sirah Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam dan bahkan dalam perjalanan dakwah Islam sepanjang masa seluruhnya kerana tidak berselang lama selepas peristiwa Isra’ Mi’raj itulah terbentang lebar jalan kemenangan dakwah Islam, dengan berlakunya Bai’atul Aqabah I dan II dengan para pendahulu Islam dari generasi pertama sahabat Anshar, yang akhirnya berbuah kepada hijrah Islam secara total dan menyeluruh dari Makkah ke Madinah.

Isra’ Mi’raj berlaku pada saat bebanan tekanan perjuangan dakwah terhadap Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam dan juga para sahabat telah benar-benar sampai ke kemuncaknya pada zaman Makkiyyah. Khususnya dengan gugurnya dua peribadi terpenting dan terdekat bagi baginda Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam, yang sekaligus merupakan dua orang penyangga utama dakwah, iaitu isteri tercinta baginda, Ummul Mu’minin Khadijah radhiyallahu ‘anha dan bapa saudara baginda, Abu Talib sehingga tahun 10 Kenabian di ketika mana Khadijah radhiyallahu ‘anha dan Abu Talib wafat secara hampir berdekatan yang dikenali sebagai ‘amul huzn’, yakni tahun kesedihan khususnya bagi Rasul mulia shallallahu ‘alaihi wasallam dan umumnya bagi sahabat setia, radhiyallahu ‘anhum.

Maka waktu dinaikkan ke langit tujuh dan Sidratul Muntaha itu, ibaratnya Nabi tercinta kita shallallahu ‘alaihi wasallam membawa longgokan dan tumpukan seluruh bebanan persoalan kehidupan dan ujian perjuangan dakwah dari muka bumi.

Dan begitu pula baginda shallallahu ‘alaihi wasallam diturunkan kembali dari langit tertinggi ke bumi, dengan antara lain membawa syari’ah solat fardhu lima waktu, semua bebanan masalah itupun terlepaslah sudah.

Jadi hikmahnya, Rasululullah shallallahu ‘alaihi wasallam di-Isra’ Mi’raj-kan, dengan kehendak agung Allah secara langsung bukan oleh keinginan dan rancangan Nabi shallallahu ‘alaihi wasallam sendiri, adalah untuk “dihibur” dan sekaligus diberi penyelesaian secara sepenuhnya di atas berbagai bebanan persoalan kehidupan dan permasalahan dakwah di muka bumi.

Maka, ketika ada masalah dan persoalan apapun dalam kehidupan ini, janganlah pernah sekali-kali berfikir untuk mencari dan menemui penyelesaiannya dari bumi semata-mata melainkan adukanlah semua bebanan masalah dan persoalan kehidupan itu kepada Zat Yang di atas dan temuilah jalan penyelesaian pada bentuk dan susunan yang diturunkan dari langit kerana kadang-kadang langkah mencari jalan penyelesaian di bumi pula tidak dapat menyelesaikannya, melainkan justeru hanya akan menambah banyak lagi masalah atau semakin merumitkannya. Soalnya, bumi ini memang dicipta, diadakan dan dikehendaki sebagai tempat berlakunya masalah sedangkan jalan penyelesaian bagi semua itu justeru ada pada apa yang bersumber dari langit, bahkan termasuk rezeki kitapun ada di langit.

Allah Ta’ala berfirman :

“Dan di langitlah terdapat rezekimu, dan terdapat (pula) apa yang dijanjikan kepadamu. Maka demi Tuhan langit dan bumi, sesungguhnya yang itu adalah benar seperti perkataan yang kamu ucapkan.” (QS Az Zaariyat : 22-23)

Sebagai hadiah utama dari rihlah (perjalanan) dari bumi ke langit yang penuh berkat, ibadah solat juga ibarat mi’raj bagi setiap mu’min untuk menuju, menghadap dan mengadu kepada Allah.

Boleh jadi juga kerana begitu istimewanya cara pensyariatan itulah, maka solat memiliki kedudukan yang sangat istimewa pula di antara seluruh kewajiban fardhu Islam. Di samping penempatannya di urutan kedua selepas dua kalimah syahadah, di antara lima rukun Islam, solat adalah merupakan rukun amal dan ibadah paling penting sebagai ukuran utama dan pertama bagi ketaqwaan serta kesolehan setiap muslim dan sekaligus di masa yang sama juga menjadi benteng terakhir pertahanan keislaman seseorang.

Maka Allah swt pun berfirman :

 

“Jadikanlah sabar dan solat sebagai wasilah penolongmu (dalam segala kepentingan dan urusan). Sungguh solat itu berat, kecuali bagi orang-orang yang khusyu’ (baik dalam solat secara khsusus, mahupun dalam hidup secara umum).” (QS Al Baqarah : 45)

 

Sementara itu Rasululullah shallallahu ‘alaihi wasallam bersabda :

“Kumandangkanlah iqamah wahai Bilal. Dan buatlah kita rehat dengan solat.” (HR Abu Dawud dan lain-lain)

Baginda shallallahu ‘alaihi wasallam juga bersabda :

“Dan dijadikan penyejuk hatiku di dalam solat.” (HR An Nasaa-i dan lain-lain)

Nah, apabila rehat-nya Rasululullah shallallahu ‘alaihi wasallam dan juga ketenteraman serta kesejukan hati baginda adalah justeru di dalam solat, lalu renungannya untuk kita adalah,

“Serehat apa, setenteram apa dan sesejuk apa hati kita saat bermunajat kepada Allah Ta’ala dalam setiap solat kita?”

Sebagai penutup perenungan terhadap Isra’ Mi’raj ini, penting diingatkan bahwa, darjat makam tertinggi seorang hamba di sisi Allah, adalah makam ‘ubudiyah’secara total (penghambaan diri kepada-Nya).

Dengan yang demikianlah, ketika Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam di-Isra’ Mi’raj-kan untuk bertemu, menghadap dan berdialog secara langsung dengan Allah di langit ketujuh dan ‘Sidratul Muntaha’ itu, Rasululullah shallallahu ‘alaihi wasallam justeru disebut dengan gelaran ‘abdihi’ (hamba-Nya) dan tidak dengan gelaran-gelaran pemuliaan dan pengagungan yang lainnya.

Allah Ta’ala berfirman :

“Maha Suci Zat Yang telah memperjalankan HAMBA-Nya pada suatu malam dari Al Masjidil Haram ke Al Masjidil Aqsha yang telah Kami berkati sekelilingnya, agar Kami perlihatkan kepadanya sebahagian dari tanda-tanda (kebesaran) Kami. Sesungguhnya Dia adalah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” (QS Al Israa’ : 1)

Dari kuliah pendek Imam Hasan Al Banna di atas tentang Isra’ Miraj kita boleh mengambil dua poin penting.

PERTAMA adalah kembalinya Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam  ke bumi setelah selesai peristiwa tersebut.

KEDUA adalah dibekalkan kepada baginda dengan perintah solat.

Perjalanan singkat yang penuh hikmah tersebut segera berakhir dan dengan segera pula baginda kembali menuju ke alam dunia.

Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam  sungguh sedar bahwa betapapun nikmatnya berhadapan langsung dengan Yang Maha Kuasa di suatu tempat yang agung nan suci, betapa nikmat menyaksikan dan mengelilingi syurga, tapi kenyataannya baginda memiliki tanggungjawab duniawi. Untuk itu, semua kesenangan dan kenikmatan yang dirasai baginda pada malam tersebut perlu ditinggalkan untuk kembali ke dunia semula bagi meneruskan amanah perjuangan yang masih perlu dipikulnya.

Demikianlah sepatutnya semangat kerohanian seorang muslim, yang sentiasa terkait dengan dunia "atas", namun kenyataannya dunia "bawah" juga merupakan kenyataan yang mesti dilalui.

Menelusuri alam material duniawi adalah sebuah kemestian. Mencari dunia adalah, tidak sahaja tuntutan hajat kemanusiaan, tapi menjadi kewajiban agama sekaligus.

Allah Ta’ala berfirman :

"Dan bekerja keraslah untuk akhiratmu, namun jangan lupa nasibmu di dunia ini",

Bahkan Al-Qur'an, sebagaimana diperintahkan untuk sungguh-sungguh pergi mengingati Allah (fas'au ilaa dzikrillah), dan bahkan diperintahkan mengabaikan "kesibukan jual beli" (wadzarul bae'), juga segera setelah itu disusuli dengan perintah yang berlawanan : "faidzaa qudhiyatis Shalaah fantasyirru fil ardh wabtaghuu min fadhlillah".

Kedua perintah tersebut adalah datang dari Tuhan yang sama dan oleh yang demikian, mesti dihadapi secara sama pula. Ertinya, kewajiban memenuhi ajakan untuk solat Jumaat adalah 100%, memenuhi peraturan-peraturanNya juga 100%. Namun pada saat yang sama, memenuhi ajakan kedua tadi, bertebaran mencari rezeki Allah adalah juga perintah 100% dan juga perlu memenuhi peraturanNya 100%.

Inilah sikap seorang muslim. Kita dituntut untuk turun ke bumi ini dengan membawa bekalan solat yang kukuh. Solat yang berintikan "zikir", dan dengan bekalan zikir inilah kita meneruskan ayunan langkah kaki kita menelusuri lorong-lorong kehidupan menuju kepada keridhaanNya.

"Wadzkurullaha katsiira" (dan ingatlah kepada Allah banyak-banyak), ini merupakan pesanan Allah kepada kita di saat kita bertebaran mencari kurniaan nikmatNya dipermukaan bumi ini persis sepertimana Rasulullah shallallahu ‘alaihi wasallam  membawa bekalan solat 5 waktu berjalan kembali menuju bumi setelah melakukan serangkaian perjalanan suci ke atas (Mi'raj).

Ya Allah, jadikanlah amal-amal kami di muka bumi ini sebagai buah-buah yang akan memberikan hasil yang lumayan kepada kami di akhirat nanti serta jadikanlah solat kami sebagai ‘mihrab’  di bumi untuk kami meningkatkan kerohanian kami menuju ketinggian ‘samawiah’Mu.

Ameen Ya Rabbal Alameen

WAS