Pages

Wednesday, 25 June 2014

Menyingkap Tabir Hikmah Ramadhan


Alhamdulillah, Ramadhan yang kita tangisi pemergiannya hampir setahun yang lalu kini bertandang kembali.

Mereka yang beriman dan yakin kepada janji-janji Allah pasti menanti kehadiran bulan yang penuh keberkatan ini dengan pelbagai perasaan yang bercampur baur.

Di samping rasa syukur yang tidak terhingga kerana masih diberi kesempatan untuk menyambut bulan yang mulia, mu’min juga dihambat oleh perasaan sedih dan sayu kerana ketibaan bulan yang dinanti ini menandakan peningkatan usia dan bertambah dekatnya hujung kehidupan kita di alam fana ini.

  1. Apakah pertambahan usia seiring dengan peningkatan pahala atau sebaliknya?
  2. Apakah di penghujung usia yang teramat singkat ini, amalan dan kebaktian kita semakin berganda atau semakin meredup?
Sesungguhnya kelebihan dan keistimewaan Ramadhan bukan lagi satu rahsia.

Allah swt telah memilih daripada bulan ini satu detik paling bersejarah dalam kehidupan umat sejagat, iaitu detik turunnya Kitab Suci yang paling agung.

Kitab yang diturunkan khusus untuk :

  1. Memimpin tangan manusia ke jalan yang benar.
  2. Mengeluarkan mereka dari kegelapan kepada cahaya yang terang benderang.
Bayangkan sekiranya Kitab ini tidak diturunkan!

Pastilah kita tidak akan mengenal erti kehidupan, dari mana kita datang, untuk apa kita hidup di dunia yang sementara ini dan ke mana kita akan pergi selepas ini.

Lantaran itu, mereka yang tidak mengambil manfaat dari Kitab yang mulia ini adalah golongan yang paling malang dan paling rugi.

Bulan Ramadhan juga mencatat sejarah gemilang iaitu kemenangan golongan yang menjulang panji kebenaran ke atas golongan ‘mustakbirin’ yang mempunyai kekuatan kebendaan tiga kali ganda di dalam peperangan ‘Badar al-Kubra’.

Maka ketibaan bulan mulia yang penuh sejarah ini sewajarnya disambut dan diraikan dengan acara yang gilang gemilang serta tidak ada acara yang lebih bermakna yang dilakukan oleh seorang insan selain mengikhlaskan pengabdiannya kepada Pencipta Yang Maha Esa.

Sesungguhnya Allah swt telah mensyariatkan beberapa perkara wajib dan sunat pada bulan Ramadhan. Itulah yang mesti dipatuhi dan dilaksanakan dengan ikhlas dan bersungguh-sungguh.

Ibadah paling penting yang disyariatkan pada bulan Ramadhan ialah puasa.

 Puasa ditakrifkan sebagai :

 “Menahan diri dari makan dan minum atau apa-apa jua yang boleh membatalkan puasa, sepanjang hari mulai dari terbit fajar hingga terbenam matahari.”

Tujuan utama puasa ialah mendidik manusia agar menjadi hamba yang bertaqwa.  

Taqwa bermaksud memelihara diri dari azab Allah dengan mentaati segala suruhan dan menjauhi segala laranganNya.

Mungkin timbul persoalan, apakah dengan meninggalkan makan, minum dan syahwat pada siang hari dapat melahirkan insan yang bertaqwa?

Sekadar meninggalkan makan dan minum memang tiada apa-apa kesan kecuali lapar dan dahaga. Namun apa yang dimaksudkan dengan meninggalkan makan dan minum ketika berpuasa ialah menahan dan menguasai diri agar tidak melakukan sesuatu yang Allah larang.

Kita tidak makan bukan kerana :

  1. Tidak ada makanan untuk dimakan.
  2. Tidak ada duit untuk membeli makanan.
  3. Tidak ada selera untuk makan.
  4. Ditahan dan disekat dari mengambil makanan.
Kita tidak makan adalah semata-mata kerana mematuhi perintah Allah ‘Azza wa Jalla.

 Allah swt telah berfirman di dalam kitab suciNya bermaksudnya :

 “...... dan makanlah serta minumlah sehingga nyata kepada kamu benang putih (cahaya siang) dari benang hitam (kegelapan malam), iaitu waktu fajar. Kemudian sempurnakanlah puasa itu sehingga waktu malam (maghrib);…..” (QS Al-Baqarah : 187)

Sebagai hamba, kita mesti menyedari bahawa segala sesuatu yang ada di atas muka bumi ini milik Allah swt yang mutlak.

Tidak ada sesiapapun yang berkongsi denganNya dalam pemilikan itu dan tidak ada sesiapapun yang boleh menggugat kekuasaanNya.

Puasa mengajar kita agar menginsafi perkara ini. Tidak ada sesuatupun yang mampu kita sentuh tanpa izinNya, sehingga makanan yang kita beli dengan duit sendiri atau yang kita masak di dapur sendiri. Semuanya itu adalah milikNya. Dia sahaja yang berhak menentukan bilakah masa kita boleh menikmatinya dan bilakah masanya kita tidak boleh.

Inilah pengajaran yang hendak diterapkan dalam hati setiap mu’min ketika dia meninggalkan makan dan minumnya di waktu berpuasa.

Hari ini kita dapati ramai muslim berpuasa menahan diri dari lapar dan dahaga. Namun pada  masa yang sama mereka tidak segan silu melakukan perbuatan yang Allah larang.

Mulut dikawal tidak mengunyah makanan lazat yang terhidang di depan mata, tapi pada masa yang sama mulut itu disumbat pula dengan daging-daging busuk dan berulat dengan mengumpat dan mengadu domba.

Gejala tidak mengawal diri dari melakukan perbuatan yang ditegah oleh Allah semakin ketara ketika menyambut ketibaan Hari Raya.

Pelbagai acara diatur dan direka dengan kreatif dan inovatif. Semuanya untuk keseronokan dan memenuhi tuntutan nafsu yang tidak mengenal sempadan halal dan haram. Hari Raya adalah hari perisytiharan kemenangan melawan nafsu, bukan memperaja dan memenangkan nafsu.

Untuk menjadikan ibadah puasa lebih bermakna seharusnya kita berusaha memahami rahsia dan hikmahnya serta berusaha menghayatinya sedaya mungkin.

Matlamat puasa ialah untuk kita menjadi insan yang bertaqwa. Sahabat Nabi saw pernah membuat perumpamaan keadaan orang yang bertaqwa itu seperti seseorang yang sedang berjalan di sebatang jalan yang penuh dengan onak dan duri. Dia melangkah dengan sikap waspada dan sentiasa berhati-hati agar kakinya tidak terpijak duri.

Demikianlah orang yang bertaqwa. Setiap perkataan yang diucapkan dan pekerjaan yang dilakukan akan diteliti terlebih dahulu agar tidak terlanggar dan terbabas ke sempadan yang dilarang.

Di sinilah letaknya kepentingan untuk kita menyingkap tabir hikmah puasa sebagai salah satu bahagian terpenting ibadah Ramadhan.

Ada lapan hikmah utama puasa yang membolehkan kita merasakan kenikmatan dalam ibadah ini.

PERTAMA : MENGUATKAN JIWA

Dalam kehidupan ini, kita dapati tidak sedikit manusia yang dikuasai oleh hawa nafsunya lalu ia menuruti apa sahaja yang menjadi keinginannya meskipun keinginan itu sesuatu yang batil serta mengganggu dan merugikan orang lain.

Oleh yang demikian, dalam Islam ada perintah untuk memerangi hawa nafsu dengan maksud berusaha untuk mengendalikannya dan bukan untuk membunuh nafsu yang membuatkan kita tidak mempunyai keinginan terhadap sesuatu yang bersifat duniawi.

Sekiranya dalam peperangan dengan hawa nafsu ini, manusia mengalami kekalahan, malapetaka besar akan berlaku kerana manusia yang kalah dalam peperangan itu akan mengalihkan pengabdiannya daripada Allah swt kepada hawa nafsu yang cenderung mengarahkan manusia kepada kesesatan.

Allah memerintahkan kita untuk memerhatikan masalah ini dalam firmanNya yang bermaksud :


"Maka pernahkah kamu melihat orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai Tuhannya dan Allah membiarkannya sesat berdasarkan ilmuNya." (QS Al-Jaathiyah : 23)

Dengan puasa, manusia akan :

  1. Berjaya menguasai hawa nafsunya yang membuatkan jiwanya menjadi kuat.
  2. Berhasil memperolehi darjat yang tinggi seumpama para malaikat yang suci.
  3. Mampu mengetuk dan membuka pintu-pintu langit sehingga segala doanya dimakbulkan oleh Allah swt.
Rasulullah saw bersabda :

"Ada tiga golongan yang tidak ditolak doa mereka : Orang yang berpuasa hingga berbuka, pemimpin yang adil dan doa orang yang dizalimi." (HR At-Tirmizi)

KEDUA : MEWUJUDKAN KETENANGAN JIWA

Pergolakan akan berlangsung terus menerus antara jiwa yang menyuruh berbuat kejahatan dengan jiwa yang menyuruh berbuat kebaikan.

Setiap kemaksiatan yang dilakukan oleh seorang muslim adalah akibat dari penguasaan jiwa yang memerintahkan berbuat kejahatan. Sedangkan setiap usaha pendekatan kepada Allah yang dilakukan oleh seorang muslim adalah senjata kuat yang digunakan oleh jiwa yang memerintahkan berbuat kebaikan.

Oleh kerana itu, puasa akan membangun kekuasaan jiwa, menguatkan serta meneguhkannya untuk melaksanakan risalahnya dan memfungsikan peranannya dalam menjaga kedamaian dan ketenangan dalam diri seseorang.

Peranan penting dari kekuasaan jiwa itu adalah pengarahan melalui kecaman dan teguran yang keras setiap kali gangguan jiwa berusaha untuk mengajak kepada kejahatan, memperdayanya atau menjeratnya agar tunduk kepadanya.

Demikianlah, berbagai pertempuran bersembunyi di dalam jiwa dan berbagai kekuatan kebaikan akan menang, yang seterusnya kedamaian dan rasa aman akan menyelinap ke dalam jiwa, kemudian berpindah ke seluruh anggota badan sehingga bahagian yang lain pun menikmati rasa aman dan ketenangan. Akhirnya semua kebaikan dapat direalisasikan bagi setiap muslim yang melaksanakan puasa.

KETIGA : MENDIDIK KEMAHUAN KE ARAH KEBAIKAN

Puasa mendidik seseorang untuk memiliki kemahuan kepada kebaikan, meskipun menghadapi pelbagai rintangan. Puasa yang dikerjakan secara terbaik akan membuatkan seseorang itu terus mempertahankan keinginannya yang baik, meskipun peluang untuk menyimpang begitu besar.

Rasulullah saw menyatakan bahawa puasa itu setengah daripada kesabaran.

Rasulullah saw bersabda yang bermaksud :

"Puasa itu sebagai benteng." (daripada serangan keburukan)

Dalam kaitan ini, puasa akan menjadikan kerohanian seorang Muslim semakin ampuh. Kekuatan rohani yang unggul ini akan membuatkan seseorang itu tidak akan melupakan diri, meskipun sudah mencapai kejayaan atau kenikmatan duniawi.

Kekuatan rohani ini juga akan membuatkan seorang Muslim tidak akan berputus asa meskipun penderitaan yang dialami sangat sulit.

KEEMPAT : MEMBENTUK AKHLAK MULIA

Puasa merupakan tempat penggembelingan diri bagi orang yang melaksanakannya untuk membentuk akhlak mulia, akhlak ketaqwaan, kebajikan, kebaikan, kepedulian, tolong-menolong, kasih sayang, kecintaan, kesabaran dan akhlak mulia lainnya yang dibangunkan oleh puasa pada diri orang yang melaksanakannya.

Puasa dapat membentuk ‘muraqabah’ (rasa sentiasa berada dalam pengawasan Allah) bagi pelakunya. Bagi dirinya ada satu penjaga umum yang selalu mengawasi dirinya agar tidak ada sesuatu pun yang bersumber dari dirinya yang bertentangan dengan syari’at.

Dialah yang membinanya dari dalam sehingga darinya muncul amal-amal lahiriah yang tunduk pada pengawasan ini.

1.     Pernahkah kita melihat orang yang berpuasa dengan penuh kejujuran dan kesungguhan kepada Rabb-nya melakukan kebohongan kepada orang lain?

2.     Pernahkah kita melihatnya secara tulus ikhlas melaksanakan puasanya dan kemudian melakukan sikap kemunafikan dalam masyarakat?

Sesungguhnya keikhlasan itu merupakan satu bahagian yang utuh yang tidak mungkin dipisah-pisahkan, di mana puncaknya adalah ikhlas kepada Allah swt.

Oleh kerana itu, barangsiapa yang tulus ikhlas kerana Allah swt, maka mustahil baginya untuk melakukan penipuan, kecurangan atau berkhianat.

Oleh kerana itu, puasa merupakan salah satu faktor asas sekaligus wasilah bagi pendalaman akhlak, pembangunan sekaligus pembentukannya untuk mengambil satu sifat amaliyah (perbuatan) yang semuanya berkumpul pada buahnya yang cukup jelas yang telah diingatkan oleh Allah swt di dalam kitab-Nya : “Agar kamu bertaqwa.”

Ibnu Al Qayyim mengatakan :

“Puasa memiliki pengaruh yang sangat kuat dalam menjaga anggota tubuh yang bersifat lahiriah dan juga kekuatan batin serta melindunginya dari faktor-faktor pencemaran yang merosakkan. Jika faktor-faktor pencemaran tersebut telah menguasai dirinya, maka ia akan rosak. Dengan yang demikian, puasa akan menjaga kejernihan hati dan kesihatan anggota badan sekaligus akan mengembalikan segala sesuatu yang telah berhasil dirampas oleh nafsu syahwat. Puasa merupakan pembantu yang paling besar dalam merealisasikan ketaqwaan…”

KELIMA : MENYIHATKAN ROHANI DAN BADAN

Kesihatan rohani yang ditimbulkan oleh puasa adalah berupa bimbingan yang diberikan kepada orang-orang yang berpuasa kerana Allah swt mengetahui tujuan dari penciptaan mereka, mempersiapkan mereka untuk mengambil semua wasilah taqwa yang akan melindunginya dari kehinaan, kerendahan dan kerugian di dunia dan akhirat. Pada akhirnya hati mereka menjadi selamat dari penyakit syubhat dan penyakit syahwat yang telah menimpa ramai orang.

Di samping kesihatan dan kekuatan rohani, puasa yang baik dan benar juga akan memberikan pengaruh positif berupa kesihatan jasmani (tubuh dan anggota badan).

Hal ini tidak hanya dinyatakan oleh Rasulullah saw, malah telah dibuktikan oleh para doktor atau ahli perubatan dunia yang kita tidak perlu meraguinya lagi.

Mereka berkesimpulan bahwa pada saat-saat tertentu, perut memang perlu direhatkan dari bekerja memproses makanan yang masuk sebagaimana juga mesin yang perlu direhatkan.

Apalagi di dalam Islam, isi perut kita perlu dibahagikan menjadi tiga (3); sepertiga untuk makanan, sepetiga untuk minuman dan sepertiga lagi untuk udara.

KEENAM : MENGENALI NILAI KENIKMATAN DAN BERSYUKUR

Dalam kehidupan ini, sebenarnya terlalu banyak kenikmatan yang diberikan oleh Allah swt kepada manusia, tetapi ramai pula yang tidak pandai mensyukurinya. Dapat satu tidak terasa nikmat kerana menginginkan dua, dapat dua tidak terasa nikmat kerana menginginkan tiga dan begitulah seterusnya.

Padahal, jika manusia mahu memerhatikan dan merenungi, apa yang diperolehinya sebenarnya sudah sangat mencukupi kerana begitu ramai orang yang memperolehi sesuatu, tidak lebih banyak atau tidak lebih mudah dari yang kita perolehi.

Maka, dengan puasa manusia bukan hanya disuruh memperhatikan dan merenungi kenikmatan yang diperolehi, tetapi juga diminta untuk merasakan secara langsung betapa besar sebenarnya nikmat yang Allah berikan kepada kita.

Ini adalah kerana baru beberapa jam sahaja kita tidak makan dan minum, sudah terasa betul penderitaan yang kita alami dan pada saat kita berbuka, terasa betul besarnya nikmat dari Allah meskipun hanya berupa sebiji kurma atau seteguk air.

Di sini, pentingnya puasa bagi mendidik untuk menyedari betapa tingginya nilai kenikmatan yang Allah berikan supaya kita menjadi orang yang pandai bersyukur dan tidak mengecilkan erti kenikmatan daripada Allah. Rasa syukur memang akan membuatkan nikmat itu bertambah banyak, samada dari segi jumlah atau paling tidak dari segi rasanya.

Allah swt berfirman :

"Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmatKu), maka sesungguhnya azabKu sangat pedih." (QS Ibrahim : 7)

KETUJUH : MENGINGATI DAN MERASAKAN PENDERITAAN ORANG LAIN

Merasakan lapar dan haus memberikan kita pengalaman bagaimana beratnya penderitaan yang dirasai oleh orang lain. Pengalaman berlapar dan dahaga itu akan segera berakhir hanya dengan beberapa jam (lebih kurang 13 jam), sementara penderitaan orang lain entah bila akan berakhir.

Dari sini, sudah semestinya puasa akan menumbuhkan dan memantapkan rasa simpati kita kepada kaum Muslimin lainnya yang hidup dalam kemiskinan dan penderitaan seperti penderitaan yang dihadapi oleh saudara-saudara kita di berbagai benua seperti di Palestin, Syria, Afghanistan, Myanmar, Iraq dan lain-lain.

Oleh kerana itu, sebagai simbol daripada rasa simpati itu, sebelum Ramadhan berakhir, kita diwajibkan untuk menunaikan zakat fitrah agar dengan demikian, setahap demi setahap kita mampu mengatasi persoalan umat yang menderita.

Bahkan, zakat tidak hanya bagi kepentingan orang miskin dan menderita, malah juga bagi kita yang mengeluarkannya agar dengan demikian, akan menghilangkan kekotoran jiwa kita yang berkait dengan harta seperti gila harta, kikir dan sebagainya.

Allah swt berfirman :

"Ambillah zakat daripada sebahagian harta mereka dengan zakat itu, kamu membersih dan menyucikan mereka dan berdoalah untuk mereka. Sesungguhnya doa kamu itu (menjadi) ketenteraman jiwa bagi mereka. Dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui." (QS At-Taubah : 103)

Oleh kerana hikmah puasa merupakan sesuatu yang amat penting bagi kita, maka sudah sepatutnyalah kita perlu menyambut kedatangan Ramadhan tahun ini dengan penuh rasa gembira sehingga kegembiraan kita ini akan membuatkan kita boleh melaksanakan ibadah Ramadhan nanti dengan ringan meskipun sebenarnya Ramadhan itu berat.

Kegembiraan kita terhadap kedatangan bulan Ramadhan perlu kita tunjukkan dengan berusaha semaksimum mungkin untuk memanfaatkan Ramadhan tahun ini sebagai momentum untuk mentarbiyah diri, keluarga dan masyarakat ke arah pengukuhan atau pemantapan taqwa kepada Allah swt.

Ia adalah sesuatu yang amat kita perlukan dalam usaha untuk meraih keberkatan dari Allah swt bagi masyarakat kita yang hingga kini masih menghadapi pelbagai krisis kehidupan yang meningkatkan kadar keruntuhan moral dan indeks jenayah. Kita seharusnya lebih perihatin akan keadaan masalah dan krisis yang dihadapi oleh masyarakat kita di mana krisis ini hanya dapat diatasi dengan meningkatkan iman dan taqwa kepada Allah swt.

KELAPAN : MENJELMAKAN KEWUJUDAN KESATUAN UMAT ISLAM

Puasa merupakan satu penjelmaan secara praktikal dari berbagai penjelmaan kesatuan kaum muslimin, kesamarataan antara si kaya dan si miskin, penguasa dan rakyat, orang tua dan anak kecil, serta laki-laki dan perempuan.

Mereka berpuasa untuk Rabb mereka, seraya memohon keampunan-Nya dengan menahan diri dari makan pada satu waktu dan berbuka dalam satu waktu juga. Mereka sama-sama mengalami rasa lapar dan berada dalam pelarangan yang sama di siang hari, sebagaimana mereka mempunyai kedudukan yang sama dalam mengibarkan syiar-syiar lain yang berkenaan dengan puasa.

Dengan yang demikian, puasa mampu merealisasikan kesatuan tujuan, rasa, nurani dan tempat kembali dalam masyarakat yang berpuasa.

Secara keseluruhannya, umat Islam berdiri dalam satu barisan pada satu musim tertentu setiap tahun dan dalam beberapa hari tertentu di antara seluruh umat manusia ini. Ia merupakan barisan penghubung antara bangsa-bangsa yang kuat, antara komponen dari umat Islam secara keseluruhan, meskipun tempat tinggal mereka berjauhan dan berada dalam satu ikatan yang ditempatkan di hadapan satu pengalaman, yang memiliki satu pengaruh dan dalam satu penjelmaan secara kebersamaan.

Oleh yang demikian, hati dan perasaan mereka akan menjadi semakin erat dan akrab sehingga menjadi satu hati yang mengarah kepada kehidupan dengan satu pandangan.

Inilah satu contoh tauladan yang baik bagi persatuan antara berbagai masyarakat dari umat ini, bahkan sebagai contoh tauladan yang ideal bagi setiap kesatuan dalam kehidupan ini kerana ia merupakan kesatuan yang bersumber dari nurani dan menciptakan masa depan serta tempat kembali dan membangkitkan berbagai kemuliaan dari dalam diri yang nampak secara lahiriahnya, sehingga terwujudnya firman Allah swt :

“Sesungguhnya (agama tauhid) ini adalah agama kamu semua, agama yang satu dan Aku adalah Rabb kamu, maka bertaqwalah kepada-Ku.” (QS Al-Mu'minun : 52)

Kesatuan yang diwujudkan oleh puasa ini merupakan :

a.      Kesatuan permulaan kerana ia merupakan buah dari ibadah yang sungguh-sungguh.

b.     Kesatuan nurani, kerana ia bersumber dari amal perbuatan perasaan yang diasaskan kepada perencanaan jiwa kemanusiaan.

c.      Kesatuan tempat kembali, kerana ia menggiring umat ini secara keseluruhan kepada satu tempat kembali yang berakhir padanya dan berdiam di sana, iaitu taqwa yang Allah swt telah menjadikannya sebagai buah dari puasa.

d.     Kesatuan rasa, kerana ia menyatukan rasa dan perasaan umat pada satu tujuan dan menempatkannya pada satu jalan.

e.      Kesatuan aqidah, kerana ia bersumber dari keimanan dan keyakinan dan beredar di udara taqwa dan ibadah.

Dalam penampilannya yang cukup mengesankan, kesatuan ini memberikan gambaran yang benar mengenai kesatuan besar yang menyamaratakan semua anggota umat meskipun terdapat perbezaan keturunan, warna kulit dan kebangsaan.

Jika kita ingin membuktikan hal tersebut, silakan arahkan pandangan kita pada saat berbuka di negara yang aman, di Baitullah untuk menyaksikan ratusan ribu orang yang berbuka bersama dalam satu waktu.

Pernahkah kita menyaksikan penampilan kesatuan yang lebih jelas dari ini?

Pada hakikatnya, yang buta itu bukanlah pandangan mata, tetapi hati yang ada di dalam dada.

Ya Allah, singkapkanlah tabir hikmah Ramadhan kepada kami sehingga jiwa kami dapat merasakan kenikmatan beribadah kepadaMu melalui puasa dan amal-amal soleh lain yang kami laksanakan. Kurniakanlah kepada kami ketaqwaan yang mampu menyelesaikan semua masalah yang dihadapi oleh manusia.

Ameen Ya Rabbal Alameen

WAS

Friday, 20 June 2014

Mutiara Hikmah


 







 
 
 
 
 
 
 
 



Wednesday, 18 June 2014

Madrasah Pemupuk Taqwa

Seorang mu’min pastilah mengetahui bahwa hari-hari Allah swt itu bertingkat-tingkat kemuliaannya, sebagaimana pula waktu-waktuNya juga berbeza.

Sesungguhnya Allah swt telah memilih hari dan waktu-waktu termulianya pada bulan Ramadhan. Oleh kerana itu, jiwa-jiwa mulia sentiasa merindukan Ramadhan dan meminta kepada Rabbnya agar dipertemukan dengannya.

Namun, di sudut yang lain, ada sekelompok manusia yang hatinya dipenuhi dengan cinta dunia dan kelalaian pada musim-musim yang diberkati, maka perlulah untuk kita mengajak kepada jiwa-jiwa yang lalai bagi mempersiapkan diri dan sama-sama merindukan kedatangannya.

Ya, kita sudah semakin dekat dengan hari permulaan yang mulia itu, bahkan sudah tercium aroma harum di waktu penantian kemunculan “Syahru Ramadhan Al Mubarak”, yang Allah swt jadikan didalamnya segenap limpahan kebaikan.

Allah swt telah memberi keutamaan umat yang dirahmati ini dengan bulan mulia yang tidak diberikan kepada umat sebelumnya. Walaubagaimanapun, Allah swt hanya akan memberikan kemuliaan itu kepada hamba-hambanya dari umat ini yang dikehendakinya sahaja sesuai dengan kesungguhan dan pengharapan mereka yang melaluinya kerana sesungguhnya Dia adalah Zat yang Maha Mulia dan Maha Bijaksana.

Kita semua berharap kepadaNya agar kita tidak terhalang untuk mendapatkan segala keutamaan di bulan Ramadhan ini, insyaAllah.

Imam Hasan Al-Banna berkata di saat kedatangan Ramadhan :

Gunakanlah kesempatan dengan baik, dan masuklah pada madrasah ini sejak dari awal, sedang kamu dalam keadaan yang memiliki jiwa bersemangat, mencari untuk menggapai kejayaan pada akhir pelajarannya, mengambil risalah dengan menggunakan berbagai wasilah dan sebab-sebabnya,


a.      Perbaharuilah taubat kamu pada setiap waktu.
b.      Bacalah Al-Qur’an dengan penuh tadabbur dan khusyu’.
c.       Nikmatilah puasa dalam jiwa kamu.
d.      Mohonlah untuk dapat melakukan qiyam semampu kamu.
e.       Perbanyakkanlah zikir dan tafakkur.
f.        Hilangkanlah ruh dan jiwa kamu dari lingkaran kebendaan.
g.      Jadikan kesungguhan kamu sebagai tanda adanya keistimewaan di antara orang yang berpuasa”.

Ramadhan adalah suatu madrasah yang sarat dengan nilai dan makna. Begitu agung pesanan-pesanan Ramadhan yang Allah swt hendak sampaikan kepada insan yang beriman.

Melalui berbagai amalan ibadah seperti puasa, tilawah Al-Qur’an, solat tarawih, zakat, infak, sedekah, i’tikaf  dan lain-lain, Allah swt inginkan agar matlamat Ramadhan itu kita tangkap, hayati dan realisasikan dalam kehidupan seharian kita sehingga kita semua diharapkan akan menjadi insan yang bertaqwa dengan segala dimensinya.

Betapa besar kurniaan, rahmat dan nikmat yang telah diberikan oleh Allah swt kepada kita sehingga pada tahun ini, kita mengharapkan semoga Allah swt masih memberi kesempatan untuk bertemu dengan bulan yang :

1.      Penuh dengan kasih sayang, rahmat dan kebebasan dari api neraka.
2.      Melatih sikap disiplin pada diri setiap insan.
3.      Mendidik manusia untuk mencapai darjat taqwa di sisi Allah swt.

Maka sudah sepatutnyalah kita memuji dan bersyukur kepadaNya atas semua nikmat yang tidak terhingga tersebut.

Oleh yang demikian, kita seharusnya merenung kembali,

a.       Apakah kita sudah benar-benar bersiap sedia menghadapi Ramadhan pada tahun ini?
b.      Apakah kita akan meraih tujuan dari puasa Ramadhan itu nanti?.
c.       Apakah kita hanya menjadikan Ramadhan sebagai ladang ibadah sementara sahaja, lalu menjelang ‘aidil fitri’ nanti, ia menjadi anti klimaks kepada setiap amal ibadah kita?

Jika demikianlah keadaannya, maka ibadah Ramadhan yang penuh dengan nilai dan makna ini tidak akan menjadi apa-apa dan hanya akan jadi pesanan yang kosong belaka.

Tentu kita tidak ingin Ramadhan ini menjadi acara tahunan yang kosong tanpa makna atau kita tidak ingin ibadah Ramadhan kita seumpama tong kosong yang nyaring bunyinya apabila diketok namun tiada mempunyai apa-apa isi yang boleh dimanfaatkan.

Ketahuilah wahai jiwa yang lalai bahwa kita pasti merindukan Ramadhan kerana kelebihan-kelebihan berikut :

1. Di bulan Ramadhan, pintu syurga dibuka seluas-luasnya

Maka, akan diterima amal dan berbahagialah orang-orang yang bekerja keras dan yang ikhlas beribadah kepadaNya.

Kita akan merindukan Ramadhan kerana kita akan berkumpul dengan orang-orang yang mengumpulkan kebaikan ini, di mana mereka memenuhi masjid-masjid serta tidak mahu lepas dari Al Qur’an, bahkan akan disatukan hati kita dengan hati-hati mereka dalam ketaatan, serta jiwa kita dapat dikumpulkan bersama jiwa-jiwa mereka yang ikhlas.

2. Di bulan Ramadhan, ditutup pintu-pintu neraka

Ini adalah kesempatan :

a.       Dijauhkan kita dari perbuatan dosa dan maksiat.
b.      Dijauhkan kita dari neraka.
c.       Dijaga pandangan kita dari pemandangan yang haram.
d.      Dijaga pendengaran kita dari suara-suara yang haram dan jika ada yang mengajak kita kepada maksiat maka katakanlah: “Aku takut kepada Allah.”

3. Di bulan Ramadhan, syaitan dibelenggu

Maka, mereka tidak akan mengganggu seperti di luar Ramadhan di mana akan ditahan keburukan yang dibawa oleh mereka kerana berbagai ketaatan yang dilakukan oleh hamba-hambaNya serta sedikitnya dari orang-orang mu’min yang terjerumus dalam maksiat.

Namun, akan ada juga syaitan yang masih berlindung di hati sebahagian manusia, ini adalah kerana mereka tidak berusaha untuk melepaskan diri dari syaitan disebabkan :

a.       Dia selalu meninggalkan solat berjamaah.
b.      Dia membiarkan dirinya bergelumang dalam maksiat.
c.       Dia tidak menjaga pandangan dan pendengaran.
d.      Hatinya sentiasa terikat dengan kenikmatan yang sedikit.

Bilakah engkau akan kembali wahai jiwa yang lalai?

Abu Hurairah ra berkata, telah bersabda Rasulullah saw :

“Jika datang bulan Ramadhan maka dibuka pintu-pintu syurga, ditutup pintu-pintu neraka, dibelenggu syaitan.” (Muttafaqun’alaih).

4. Di bulan Ramadhan, dosa-dosa diampuni

Kita menginginkan agar sentiasa merenungi kurniaan Allah untuk hamba-hambaNya, kasih sayangNya kepada hamba-hambaNya.

Lihatlah bagaimana Allah swt menyediakan kepada kita di musim keberkatan ini, dengan mengampuni dosa-dosa serta menghapuskan kesalahan-kesalahan kita.

Adakah yang lebih mulia daripada ini?

Abu Hurairah ra meriwayatkan sebuah sabda Rasulullah saw :

“Solat lima waktu, Jumaat ke Jumaat, Ramadhan ke Ramadhan penghapus dosa di antaranya selama menjauhi dosa-dosa besar.” (HR Muslim)

Sabda baginda saw lagi :

“Barangsiapa berpuasa kerana iman dan berharap ganjaran pahala maka diampuni dosa-dosanya yang telah lalu.” (Muttafaqun’alaih)

Sudahkah kita melihat keutamaan ini?

Apakah kita tidak memikirkan kurniaan ini?

Dosa-dosa kita yang telah lalu… Kesalahan-kesalahan kita yang telah menompok bertahun-tahun… Allah mengampuni semuanya disebabkan oleh keutamaan amal di bulan itu.

Sungguh tidak dapat dibayangkan jika kita tidak merindukan Ramadhan ini.

a.       Tidakkah kita mengharapkan akan keampunan ini?
b.      Tidakkah kita mengharapkan keselamatan dengan kurniaan ini?

Jika Allah swt telah mengenalkan perasaan kerinduan ini di hati kita, kenapa kita tidak merindukan Ramadhan???

5. Di bulan Ramadhan, ada amalan yang paling murni / ikhlas

Tidaklah orang yang berpuasa menunggu sesuatu kecuali hanya mengharapkan pahala dariNya, iaitu pahala yang tidak terukur dan tidak ada padanannya, kerana Allah swt berfirman dalam hadith qudsi :

“Setiap amal anak Adam untuknya, kecuali puasa, sesungguhnya itu untuk-Ku dan Aku yang akan mengganjarinya.” (Muttafaqun’alaih)

Sehingga malaikatpun tidak mengetahui kadar pahala orang yang berpuasa.

Wahai penyambut Ramadhan!!!

Engkau bersungguh-sungguhlah dalam menahan lapar dan dahaga, menahan hawa nafsumu, kerana sesungguhnya Allah telah menyiapkan bagimu, kurniaan yang tidak terbayang sebelumnya.

Jika engkau merasa gembira saat berbuka dan menyelesaikan puasa sehari suntuk, sesungguhnya engkau akan merasakan kebahagiaan yang hakiki nanti di dalam syurga ‘An Na’im’.

Allah swt berfirman :

“Setiap amal anak Adam untuknya, kecuali puasa, sesungguhnya itu untuk-Ku dan Aku yang akan mengganjarinya. Puasa itu adalah perisai. Jika datang hari puasa seseorang di antara kamu maka janganlah ia berkata kotor dan jangan memaki; jika ada orang mencacinya atau memancingnya untuk berkelahi, hendaklah ia berkata, ‘Aku sedang berpuasa.’” Demi Zat yang jiwa Muhammad di tangan-Nya, sesungguhnya bau mulut orang yang berpuasa di sisi Allah lebih wangi daripada wangian kasturi. Orang yang berpuasa memiliki dua kebahagiaan; jika ia berbuka, ia berbahagia; dan jika bertemu Rabbnya, ia berbahagia kerana puasanya.” (Muttafaqun’alaih)

6. Di bulan Ramadhan, pahala umrah kita seperti pahala berhaji bersama Rasulullah saw

Apabila kita menunaikan umrah di bulan Ramadhan dengan ikhlas dan mengikuti tuntunan yang datang dari Rasulullah saw maka kita akan mendapatkan pahala berhaji bersama Rasulullah saw.

Baginda saw bersabda :

“Umrah di bulan Ramadhan seperti berhaji bersamaku,” (Shahih Al Jami’)

7. Doa kita ketika berpuasa adalah mustajab

Rasulullah saw bersabda :

“Tiga doa mustajab : doa orang yang berpuasa, doa orang yang dizalimi dan doa orang yang musafir.” (Shahih Al Jami’)

8. Di bulan Ramadhan, ada malam-malam yang istimewa

Hal ini dapat kita lihat dari kesungguhan Rasulullah saw di mana kesungguhan baginda tidak sama dengan waktu-waktu yang lain.

Aisyah ra berkata :

“Rasulullah saw sangat bersungguh-sungguh di sepuluh hari terakhir di bulan Ramadhan tidak seperti diwaktu-waktu lain.” (Shahih Al Jami’)

9. Di bulan Ramadhan, ada ‘Lailatul Qadr’

Di sinilah Rasulullah saw sangat mengagungkan waktu ini, di mana baginda sangat berharap untuk mendapatkan kemuliaan di dalamnya, kerana malam itu adalah malam yang di mana amal seseorang sepadan dengan amal yang dikerjakan selama 83 tahun bahkan lebih.

Rasulullah saw bersabda :

“Barangsiapa menghidupkan malam ‘Al Qadr’ kerana iman dan mengharap ganjaran pahala maka diampuni dosa-dosanya yang telah lalu.” (Muttafaqun’alaih).

Allah swt berfirman :

“Lailatul Qadr lebih baik dari seribu bulan.” (QS Al Qadr : 3)

Kita semua sudah tahu bahwa tujuan utama puasa Ramadhan ini adalah untuk mencapai taqwa, sepertimana dalam firman Allah swt :

“Wahai orang-orang yang beriman telah diwajibkan atas kamu sekalian berpuasa sepertimana diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu, agar kamu bertaqwa”.

Maka, marilah kita bersegera dan berlumba-lumba dalam bulan yang berkat itu untuk memperolehi taqwa dengan membersihkan jiwa dari kemaksiatan.

Ketaqwaan ini sangat luas makna dan cakupannya di mana ia meliputi setiap aspek kehidupan seorang Muslim. Walaubagaimanapun, setidak-tidaknya, Al-Qur’an dan As Sunnah telah mengisyaratkan dimensi ketaqwaan yang perlu dijadikan pegangan oleh seorang Muslim di antaranya ialah :

PERTAMA : TAQWALLAH

Iaitu bertaqwa kepada Allah dengan sebenar-benarnya, yakni taqwa zahir dan batin dengan melaksanakan segala perintah dan menjauhi segala laranganNya.

Dengan bertaqwa kepada Allah, diharapkan seorang Muslim mempunyai sikap hanya takut dan berharap kepada-Nya. Oleh yang demikian, secara mendatarnya, ia tidak perlu cemas dan khuatir lagi terhadap apa yang akan menimpa dirinya kerana ia hanya akan bersandar sepenuhnya kepada kehendak Allah swt.

Dalam dirinya melekat suatu sikap bahwa Allahlah satu-satunya sebagai ‘Al Maula’ (penolong).

Sikap takut terhadap Allah berbeza dengan sikap takut terhadap makhluk kerana sikap takut kepada Pencipta justeru akan memunculkan sikap ‘raja’ (berharap) terhadap rahmat dan kasih sayangNya di mana Allah swt sendiri yang memproklamasikan diri-Nya bahwa rahmat-Nya itu meliputi segala perkara, tanpa kecuali.

KEDUA : TAQWA AZ ZULMU

Iaitu menjaga diri dari tindakan zalim terhadap orang lain.

Kezaliman adalah perbuatan yang sangat dilarang oleh Allah swt. Bahkan Allah sendiri telah mengharamkan kezaliman ke atas diri-Nya.

Selain ia akan menyebabkan kerugian di dunia, kezaliman akan juga menjadi malapetaka bagi kita di Hari Kiamat nanti.

Rasulullah saw bersabda :

“Bertaqwalah (takutlah) kamu terhadap kezaliman. Sesungguhnya kezaliman itu kegelapan di Hari Kiamat nanti.” (HR Muslim)

KETIGA : TAQWA AN NISAA’

Iaitu berhati-hati terhadap wanita.

Sikap berhati-hati ini bukan bermakna Islam menyisihkan wanita tetapi memang kerana Allah swt telah memberikan daya tarikan dan menciptakan anugerah luar biasa pada diri wanita sehingga betapa banyak peristiwa kejayaan seseorang yang akhirnya jatuh akibat dari hubungannya dengan wanita. Sebaliknya, wanita juga boleh menjadi sumber inspirasi dan motivasi bagi kejayaan seseorang.

Ada banyak kisah silam yang berlaku di Zaman Bani Israil, seperti kisah rahib Israil yang mengubati wanita kemudian berzina sampai hamil dan membunuhnya, sampai akhirnya menjadi musyrik kerana menyembah syaitan.

Hal inilah yang sangat diperingatkan oleh Rasulullah saw dengan sabdanya :

“Bertaqwalah (takutlah) kamu terhadap wanita. Kerana sesungguhnya fitnah pertama kali pada Bani Israil itu adalah wanita.” (HR Muslim)

KEEMPAT : TAQWA AN NAAR

Iaitu takut terhadap api neraka yang disediakan bagi orang-orang yang bermaksiat dan durhaka kepada Allah swt.

Menghindarkan diri dari api neraka ini dimulai dari diri sendiri kemudian keluarga. Jika setiap keluarga masing-masing melaksanakan fungsinya sebagai institusi pengendalian amar ma’ruf nahi munkar, niscaya akan muncul masyarakat yang soleh, yang tidak bermaksiat kepada Allah dan Rasul-Nya.

Oleh kerana itu, persekitaran rumahtangga sebagai tempat tersemainya asas-asas keluarga perlu menjadi sebuah persekitaran yang menyenangkan.

Maka, melalui persekitaran yang kondusif itulah, Islam mengasaskan sebuah konsep "Baiti Jannati", (Rumahku Syurgaku).

KELIMA : TAQWA AL ARHAAM

Iaitu taqwa silaturrahim.

Maksudnya, menjaga diri terhadap hubungan sosial dan kemasyarakatan.

Ketaqwaan ini bermula dari sikap asas manusia yang menurut Ibnu Khaldun sebagai manusia yang suka bersosial.

Dalam banyak hadith Rasulullah saw, secara jelas meletakkan ibadah sosial ini lebih utama berbanding ibadah solat malam dan puasa sekalipun.

Diceritakan bahwa ada seorang wanita yang di kala malam tiba, ia dirikan solat malam manakala apabila siang menjelma, ia berpuasa. Lalu diceritakan bahwa wanita itu seringkali menyakiti jiran tetangganya lalu Rasulullah saw pun mengatakan bahwa pada diri wanita itu sama sekali tidak ada kebaikan.

KEENAM : TAQWA AL FITNAH

Iaitu berhati-hati terhadap azab atau malapetaka samada di dunia ataupun di akhirat.

Allah swt mengisyaratkan kepada kita bahwa malapetaka dunia ini, samada berupa bencana alam ataupun krisis dan wabak penyakit, merupakan kumpulan dosa kolektif umat manusia.

Maka ketaqwaan terhadap fitnah ini dituntut agar kita memiliki tanggungjawab amar ma’ruf nahi munkar kerana kesolehan secara peribadi semata-mata tidak cukup untuk menghindarkan diri kita dari malapetaka alam ini. Kita memerlukan kesolehan kolektif sehingga bencana alam dapat dihindari sebaik mungkin.

Barangkali itulah sekelumit dimensi taqwa yang merupakan tujuan Allah swt mendatangkan  Ramadhan setiap tahun kepada kita supaya kita dapat pelajari dan perhatikan bersama, sehingga di madrasah Ramadhan ini kita benar-benar dapat membersihkan dan mensucikan diri dari segala bentuk kotoran maksiat yang telah melekat pada kehidupan kita sehari-hari, sehingga akhirnya berhasil untuk mencapai ridha Allah swt.

Sungguh, bulan Ramadhan adalah bulan yang dirindukan oleh setiap insan, maka kita semua hendaklah sentiasa meminta kepada Rabb yang Maha Pemurah agar mempertemukan kita dengan bulan mulia ini dan memasukkan kita dalam golongan orang-orang yang beruntung, kerana ada sahaja sebahagian manusia yang Allah swt pertemukan mereka dengan Ramadhan tetapi mereka tetap sahaja termasuk orang-orang yang rugi ‘wal ‘iyadzu billah’.

Ini adalah kerana mereka menzalimi diri mereka dengan melarutkan diri dalam maksiat dan dosa, sebagaimana sabda baginda saw :

“Sungguh rugi seorang yang dipertemukan dengan bulan Ramadhan kemudian meninggalkannya sebelum diampuni dosanya.” (HR Tirmizi)

Ya Allah berkatilah kami di bulan Sya’ban dan sampaikanlah kami ke bulan Ramadhan. Jadikanlah Ramadhan tahun ini sebagai bulan untuk kami memupuk sifat taqwa dalam diri-diri kami sehingga ianya tumbuh subur dan berkembang mekar serta menghasilkan buah-buahan yang ranum setelah berlalunya Ramadhan, insyaAllah.

Ameen Ya Rabbal Alameen

WAS