Pages

Thursday, 2 April 2015

Tenangkan Duniamu Dan Resahkan Akhiratmu

Perjalanan kehidupan kita di atas dunia ini akan terus menguji keimanan kita sehingga ajal datang menjemput.

Ujian ini akan terus menghampiri hidup kita dan tidak pernah sekalipun kita terluput dari ujian yang dimulai dari pandangan mata, pendengaran telinga dan getaran hati yang kesemuanya itu dipengaruhi oleh alam dengan segala bentuknya yang rupawan dan menawan hati.

Rasulullah saw bersabda :

“Dunia ini hijau dan membuat hati terlena kerananya”.

Pandangan mata kepada indahnya dunia ditambah dengan merdunya cerita tentang dunia membuatkan hati terpaut untuk sentiasa menginginkan dan menyeru akal untuk memikirkan bagaimana cara bagi mendapatkannya.

Maka akhirnya, muncullah angan-angan dan tergeraklah seluruh organ tubuh badan untuk meraih segala impian duniawi dengan segala kenikmatannya. 

Dalam batasan tertentu, menikmati dunia tentunya bukan suatu perkara yang dilarang, namun yang menjadi persoalan adalah ketika  gejolak yang membara dalam hati dan  menutup mata terhadap tujuan utama dalam kehidupan.

Yang ada dalam hati dan fikiran adalah bagaimana dapat meraih itu semua dengan apa cara sekalipun, lalu terbayanglah dalam fikirannya akan kesenangan diri walaupun masih dalam khayalan.

Akhirnya :

1.      Seluruh tubuh mula merasa letih.
2.      Fikiran menjadi resah.
3.      Hati menjadi gundah gulana

Ini adalah kerana segala khayalan tidak kunjung tiba bahkan iapun  lupa bahwa ternyata :

a.       Usianya begitu terbatas.
b.      Kekuatannya terbatas.
c.       Fikirannya juga terbatas.

Bahkan yang paling mengerikan lagi, bahwa ia lupa akan cita-cita akhirat.

Resah gelisah dan gundah gulana dalam mengejar obsesi duniawi hendaklah segera diakhiri kerana walauapapun alasannya, urusan duniawi pasti akan berakhir.

Telah tiba saatnya untuk kita kembali belajar dan yakin bahwa urusan duniawi sudah ada yang mengurusnya, iaitu Allah Azza wajalla. Walau siapapun kita, perlu diakui bahwa tidak akan luput sesuatupun dari limpah kurnia Allah swt. 

Tugas kita adalah melaksanakan apa yang menjadi tugas dan kewajiban kita sebagai hamba Allah dengan kemampuan yang kita miliki sebagai kurniaan Ilahi.

Maka dengan cara itu, barulah tenang hati ini dalam memikirkan soal duniawi, dan resahlah hati ini untuk urusan ukhrawi kerana di sana adalah alam pertanggungjawaban dari semua yang kita lakukan di sini. Tidak ada yang dapat menanggung segala perbuatan kita kecuali diri kita sendiri. 

Dengan merasa resah tentang urusan akhirat, maka tibalah saatnya untuk kita mengatur semua urusan akhirat dan terus berfikir bagaimana kita dapat selamat pada saat pengadilan yang Maha Adil itu memanggil kita.

Sekali lagi, tenangkan hatimu tentang urusan duniamu, kerana Allah sudah menjamin rezekimu, sebaliknya resahkanlah urusan akhiratmu kerana itu akan menjadi pertanggungjawabanmu di hadapan Allah di atas semua amal perbuatanmu.

Ini sebagaimana pesanan ibnu Attha’illah dalam kitab Al-Hikamnya :

“Rehatkan dirimu dari mengurus urusan duniawi dengan susah payah, kerana sesuatu yang telah diurus untukmu oleh selain dirimu (sudah diurus oleh Allah) tidak perlu engkau turut mengurusnya”.

Ya Allah, sesungguhnya Engkaulah yang mencipta bumi ini dan Engkaulah sebaik-baik pentadbir dan kami memahami bahwa tujuan kami ditempatkan di bumi adalah untuk menjadi khalifah yang mengurus bumi ini menurut kehendakMu serta hamba yang tunduk dan patuh kepada syariat yang diturunkan olehMu.

Ameen Ya Rabbal Alameen

WAS 

2 comments:

  1. (y) Jazakallahu khayran kathira

    satu soalan ustaz.. bagaimana mengurus "keresahan terhadapa rusan ukhrawi" dengan baik dan tenang? :D

    ReplyDelete
  2. As Salam saudara Azwan, maksud keresahan terhadap urusan ukhrawi adalah dalam kehidupan kita di dunia ini, kita hendaklah sentiasa memikirkan apakah bekalan2 yang akan kita bawa bertemu Allah di akhirat nanti yg melayakkan kita utk mendapat syurga Allah dan keredhaanNya. Apakah bekalan2 tersebut sudah mencukupi, mempunyai kualiti yang tinggi serta diterima oleh Allah sebagai amal soleh yg ikhlas semata2 keranaNya. Jika semua kehendak Allah itu kita tunaikan mengikut cara yang telah dicontohkan oleh Rasulullah saw, maka jiwa kita akan merasai ketenangan dan pengharapan yang tinggi akan balasan yang baik dari Allah swt kerana setiap amal soleh walau sebesar zarah sekalipun akan diperlihatkan oleh Allah di akhirat nanti sebagai balasan kpd pelakunya.

    ReplyDelete