Pages

Sunday, 25 September 2016

Bijaksana Dalam Menyikapi Perbezaan

Perbezaan pendapat di tengah-tengah kehidupan manusia adalah suatu perkara yang lumrah dan tidak dapat dielakkan. 

Setiap orang menerima informasi yang berbeza menggunakan potensi pendengaran dan penglihatan yang Allah SWT berikan sebagai bekalan bagi manusia.

Setelah itu, akal (kefahaman) akan memberikan respon yang berbeza pula. Bahkan, walaupun manusia dihadapkan pada satu objek yang sama, penilaian yang dihasilkan boleh berbeza.

Maka, bagaimanakah pula apabila perkara yang dijadikan objek penilaian itu berbeza dan berbeza pula masanya?

Di zaman Rasulullah SAW pun, para sahabat sudah pernah menunjukkan adanya perbezaan pendapat ini. Hanya sahaja, sepanjang dasar dari pendapat mereka tidak keliru, maka perbezaan pendapat itu menjadi satu perkara yang dimaklumi. Inilah yang berlaku di kalangan para sahabat dalam menanggapi pesanan Rasulullah SAW, “Janganlah kamu solat Asar sebelum sampai di tempat Bani Quraizhah!”
Nah, apabila ternyata perbezaan pendapat itu sudah berlaku di saat Rasulullah SAW masih hidup, maka bagaimana pula yang berlaku di kalangan kita ketika ini di mana kita tidaklah lebih sempurna kefahaman agamanya berbanding para sahabat Rasulullah SAW dahulu?
Dr. Salman Al-Audah menjelaskan dengan secara terang di dalam bukunya “Kaifa Nakhtalif?” (Bagaimana Kita Berbeza Pendapat?) tentang apa-apa sahaja yang menjadi sebab berlakunya perbezaan pendapat, bentuk-bentuknya dan bagaimana cara kita menyikapinya.
Sungguh, apa yang beliau tuliskan amatlah sesuai untuk menjadi bahan pertimbangan dalam menentukan sikap sebagaimana beliau sendiri mengatakan di akhir bukunya ini,
“Ini adalah ajakan secara tulus untuk :
1.     Mengelola perbezaan.
2.     Menghindari perdebatan yang mandul.
3.     Kembali pada dasar-dasar umum dan kemaslahatan bersama.
4.     Menjaga pesaudaraan dan akhlak.
5.     Berprasangka baik kepada orang lain.
6.     Memilih kata-kata yang sesuai untuk digunakan ketika berinteraksi dengan orang lain.”
Sikap beliau berbeza dengan sebahagian ulama’ yang juga menyerukan persatuan tetapi tetap sahaja mengutamakan kelompoknya. Beliau mengajak umat Islam untuk bersatu dalam satu nama; Islam dan BUKAN;
a.      Nama kelompok.
b.     Nama golongan.
c.      Nama parti.
Selain itu, beliau menghuraikan pesanan-pesanannya dengan perbandingan yang cukup menarik untuk diikuti. Beliau tidak berlepas diri dari sejarah yang berlaku pada zaman Rasulullah, sahabat, tabi’in, tabi’it tabi’in dan para ulama’ di zaman mutaakhirin ini.
Itu semua menggambarkan bahwa memang perbezaan pendapat ini tidak layak diperselisihkan. Perbezaan ini sifatnya kepastian. Hanya sahaja, cara kita menyikapinyalah yang perlu dipersoalkan.
Seutama-utama sikap adalah mencari persamaan, bukan perbezaan semata-mata.
Dalam buku ini, Dr. Salman Al-Audah menjelaskan tentang perkara ini dengan bahasa yang sangat baik, halus, lembut dan nyaman.
Beliau dengan tegas membantah orang-orang yang merasa tidak bersalah terus-menerus melakukan perdebatan-perdebatan yang mandul sifatnya. Ertinya, perdebatan itu dilakukan bukan untuk mencari kebenaran tetapi untuk membenarkan fahaman kelompok masing-masing.
Kesan dari perdebatan-perdebatan seperti ini sangatlah besar. Ada ramai orang yang baru belajar untuk mengenali Islam dan mereka akan merasa kebingungan apabila menyaksikan perdebatan-perdebatan yang semacam ini.
Maka, umat Islam perlu memiliki kecekapan dalam mengelola perbezaan pendapat. Orang yang mendalam ilmunya akan tergambar dari :
1.     Kebijaksanaan pemikirannya.
2.     Keluhuran akhlaknya.
3.     Kelembutan lisannya.
Sebaliknya, orang yang dangkal ilmunya biasanya akan terdengar seperti tin yang kosong muatannya; bunyinya bising apabila diketuk namun tidak membawa apa-apa manfaat.
Sesungguhnya, ilmu untuk menyikapi perbezaan pendapat ini seharusnya menjadi bekalan yang wajib bagi setiap muslim agar;
a.      Kaum muslimin tidak terjatuh ke lembah keburukan.
b.     Umat Islam terbebas dari bahaya saling mengkafirkan.
c.      Umat Islam terbebas dari pertumpahan darah.
Ini adalah kerana yang dilaung-laungkan adalah syahadah, takbir dan agama yang sama.
Demikianlah, karya Dr. Salman Al-Audah ini sangat bermanfaat untuk mencapai tujuan-tujuan di atas.
Oleh yang demikian, dengan banyaknya kita menggali ilmu pokok dalam agama serta memiliki kecekapan dan kebijaksanaan dalam menyikapi perbezaan, akan terciptalah suasana yang kita dambakan iaitu suasana di mana umat Islam bersatu menegakkan agama meskipun berbeza pendapat, namun tetap sahaja persaudaran mengalahkan kedengkian, kebencian dan rasa irihati. Itulah keindahan yang seharusnya kita zahirkan.
Semoga Allah;
1.     Memudahkan ilmu bersarang di dalam pemikiran kaum muslimin.
2.     Memberkati kaum muslimin dalam perbezaan pendapat yang kerap berlaku.
3.     Menghindarkan kaum muslimin dari perpecahan disebabkan perbezaan pendapat.
Ameen Ya Rabbal Alameen

WAS

Wednesday, 21 September 2016