Pages

Wednesday, 12 September 2012

Istiqamah Seorang Aktivis Dakwah


Melahirkan aktivis dakwah yang baik bukanlah sebuah hasil, melainkan ianya adalah sebuah proses yang perlu diusahakan dengan memperkuatkan kefahaman dan kesungguhan dalam beramal.

Di antara aktivis-aktivis dakwah yang baik itu, ada yang menjadi baik :

1.      Dengan kuatnya ibadah yang mereka lakukan.
2.      Kerana hebat dalam keilmuan.
3.      Lantaran keluasan usaha dakwahnya yang luar biasa.
4.      Kerana banyak melakukan kebaikan.

Itulah di antara bukti baik dan sejahteranya iman mereka.

Namun, ibarat sebuah besi di mana  hanya mereka yang diasah secara terus menerus sahaja yang akan menjadi pisau yang tajam dan sentiasa mampu untuk memotong dan menghancurkan kebatilan-kebatilan.

Boleh jadi, seorang aktivis dakwah memiliki kebaikan yang membuatkan mereka baik tetapi jika tidak terus di asah, ianya tidak menutup kemungkinan dirinya akan menjadi tumpul dan rosak.

Begitu juga seorang aktivis dakwah yang sangat bersemangat beramal tapi jika tidak diiringi dengan proses tarbiyah yang sehat, maka cepat atau lambat ia akan segera “tumpul dan rosak”.
Ini juga berlaku sebaliknya.

Maka oleh yang demikian, sebuah pisau yang baik adalah yang tajam, dipakai lalu tumpul, diasah dan menjadi tajam lagi, dipakai lagi lalu tumpul semula, diasah lagi dan seterusnya.

Proses ini berjalan terus menerus dan tidak terputus. Dengan cara begitu, pisau akan terus dalam keadaan baik dan memberi manfaat.

Di sinilah terdapat sebuah pola yang mengkagumkan bahwa untuk tetap menjadi aktivis dakwah yang baik diperlukan satu syarat di mana syarat ini boleh menentukan kualiti daya tahan mereka dalam berdakwah, iaitu KETETAPAN (consistency).

Nama lain dari ketetapan adalah :

a.       Berkesinambungan.
b.      Berkelanjutan.
c.       Berterusan.
d.      Stabil.
e.       Istiqamah.

Katakanlah ada aktivis dakwah yang sangat bersemangat dalam berdakwah. Dalam satu minggu, dirinya akan hadir di setiap pertemuan ataupun agenda-agenda dakwah tanpa terkecuali. Ini adalah baik tapi setelah beberapa ketika, batang hidungnyapun tidak pernah kelihatan lagi dan inilah yang tidak baik.

Begitu juga jika ada aktivis dakwah yang bertilawah satu juz sehari, itu baik tapi kalau beberapa hari kemudiannya ia tidak bertilawah, itu satu petanda yang tidak baik.

Itulah sebabnya, tanpa ketetapan, seseorang tidak akan menjadi aktivis dakwah yang baik kerana  predikat atau kata sifat ‘baik’ itu adalah sebuah proses dan bukan hasil. Maka oleh kerana itu, perlu diusahakan untuk laksanakan secara terus menerus atau istiqamah.

Lebih baik “1 x 10” iaitu kita membuat satu kebaikan secara berulang selama 10 kali daripada “10 x 1” iaitu kita membuat 10 kebaikan tapi hanya sekali sahaja.

Dengan kata lain, lebih baik kita melakukan kebaikan kecil tapi secara istiqamah daripada berbuat sesuatu yang besar tapi jarang-jarang.Meski lebih baik lagi adalah menjalankan kebaikan besar dengan tetap konsisten. 

Rasulullah saw bersabda :

Amal yang paling disukai Allah ialah yang berterusan, sekalipun hanya sedikit.” (HR Bukhari)

Pada akhirnya, dakwah ini hanya dapat dipikul oleh mereka yang memiliki sifat istiqamah.

Meskipun, banyak sebab yang boleh melemahkan mereka, tapi mereka sentiasa tetap dapat bertahan dalam menjejaki dakwah ini kerana kekuatan mereka terletak pada besarnya cinta mereka kepada Allah swt.

Bukankah cinta dan istiqamah saling berkait?

Bukan cinta namanya apabila tidak disertai dengan istiqamah dan tidak ada istiqamah jika tidak berlandaskan dengan rasa cinta.

Sejarah mengajarkan kepada kita betapa istiqamahnya para pejuang dakwah yang telah melahirkan perubahan dan karya yang besar di dunia ini.

Lihatlah Rasulullah saw, meskipun ditentang dakwahnya sehingga diboikot selama tiga tahun di samping menghadapi banyak peperangan melawan pihak-pihak yang mendokong kebatilan, baginda tidak pernah surut dalam berdakwah.

Bahkan di saat dipujuk rayu oleh kaum Quraisy dengan harta, wanita dan kedudukan, baginda tampil menyuarakan bahwa :

“Jika mereka meletakkan matahari di tangan kananku, bulan di tangan kiriku, untuk meninggalkan urusan ini (dakwah), aku tidak akan bersedia hingga Allah memenangkan kebenaran atau aku mati dalam usaha ini.”

Sikap istiqamah yang sama juga terserlah dengan jelas pada perjuangan Nabi Nuh as. Sebahagian besar usianya yang ‘seribu kurang lima puluh’ itu telah dihabiskan untuk berdakwah siang dan malam samada secara sembunyi-sembunyi ataupun terang-terangan. Meskipun demikian,  amatlah sedikit yang menjadi pengikutnya di mana selebihnya lebih banyak membangkang termasuk anaknya sendiri.

Namun, apakah Nabi Nuh as menyerah kalah?

Tidak! baginda tetap berjuang hingga Allah swt memberikan pertolonganNya.

Siapa yang tidak kenal Syaikhul Islam’, Ibnu Taimiyah?

Agak lama dirinya dipenjarakan hingga akhir hayatnya kerana dianggap dakwahnya tidak selari dengan penguasa Mesir yang zalim pada masa itu. Namun, dirinya tetap tidak berhenti berdakwah sehingga ramai para banduan yang insaf dan menjadi pendukungnya. Bahkan banyak karya-karya besarnya yang ia tulis di dalam penjara!

Kesempurnaan perjuangan ini juga telah ditunjukkan oleh Syaikhul Intifadhah’, Syeikh Ahmad Yasin.

Usianya yang tua renta dengan matanya yang sukar untuk melihat serta tubuhnya yang lumpuh tidak pernah menyekat langkah dakwahnya. Ia tetap memimpin pergerakan dakwah dan perjuangan untuk membebaskan Palestin serta juga melindungi kiblat pertama Masjidil Aqsha yang dirampas oleh Israel hingga akhirnya beliau gugur syahid dalam jihadnya.

Dalam perjalanan hidup para Nabi dan Rasul, Sahabat, para Tabi’in, Tabi’ut Tabi’in dan para salafus soleh, sentiasa sahaja kita temui :

1.      Perjuangan yang tidak pernah mengenal erti berhenti.
2.      Semangat yang membuncah.
3.      Sumbangan terus menerus demi dakwah Islam.

Mereka tetap istiqamah kerana mereka mencintai kebenaran serta mencintai dakwah dan itu semua adalah kerana cinta mereka kepada Allah swt.

Sebagaimana berterusannya titisan air, walau sekeras manapun batu, pasti ia akan luluh juga.

Maka, tidak ada istilah menyerah dalam perjuangan kerana aktivis dakwah yang baik menyedari bahwa dakwah ini adalah keperluan hidup mereka. Mereka menyedari bahwa dakwah ini tidak tersekat ruang dan waktunya selama mana kaki mereka masih berpijak di bumi dan semangat dakwah ilallah’ mereka sentiasa melangit.

Kemuliaan dakwah tidak pernah bertukar di mana jika usaha yang mereka lakukan belum membuahkan hasil, itu tidak akan mengurangi sedikitpun kemuliaan mereka.

Banyaknya ujian yang mereka terima, tidak pernah melemahkan mereka kerana :

a.       Mereka menyedari bahwa tidak ada kata gagal dalam dakwah ini.
b.      Mereka meyakini bahwa kemenangan dakwah ini terletak pada hidayah dan pertolongan yang Allah berikan.

Mereka hanya perlu berusaha semaksimum yang mungkin dan selebihnya mereka bertawakkal kepada Allah swt. Mereka meyakini betul bahwa hakikat kegagalan sesungguhnya adalah ketika mereka berhenti untuk mencuba.

Penolakan terhadap dakwah atau usaha yang belum menampakkan hasil bukanlah alasan untuk menghentikan dakwah ini.

Itulah sebabnya kesabaran menjadi daya tahan utama seorang aktivis dakwah.

Rasulullah saw telah diingatkan agar jangan sampai mengikuti kekhilafan Nabi Yunus as yang meninggalkan kaumnya lantaran tidak mahu menerima dakwahnya.

“Maka bersabarlah kamu (wahai Muhammad) terhadap ketetapan Tuhanmu, dan janganlah kamu seperti orang yang berada dalam (perut) ikan ketika ia berdoa sedang ia dalam keadaan marah (kepada kaumnya).” (QS Al-Qalam : 48)

Itulah konsep ketetapan atau istiqamah di mana ianya dibalut dengan jiwa yang penuh :

1.      Keikhlasan.
2.      Kesabaran.
3.      Kesyukuran.
4.      Tawakkal.

Mereka tidak pernah berputus asa terhadap rahmat Allah dan oleh yang demikian, mereka tidak akan terperosok jika menghadapi kegagalan.

Begitu juga, mereka pun tidak cepat puas hati jika mendapat keberhasilan.

Bahkan, mereka tetap istiqamah dan terus berdakwah sambil memohon kepada Allah agar dimudahkan usaha dakwahnya se bagaimana kata-kata seorang pendakwah :

“Mungkin kita sudah berusaha mengajak hingga ke 1,000 kali, tapi boleh sahaja hidayah Allah itu turun pada usaha kita yang ke 1,001,”

Sifat istiqamah seorang pendakwah adalah sebuah harga tetap. Ia menjelma sebagai sebagai suatu kewujudan dari integriti di samping kemandirian seorang aktivis dakwah dalam menjaga komitmennya dalam berdakwah. Sifat inilah yang melahirkan keselarasan dalam perbuatan, perkataan, pemikiran hingga kepada keimanan.

Dengan yang demikian, jika setiap dari aktivis dakwah bersungguh-sungguh untuk memproseskan diri mereka untuk menjadi aktivis dakwah yang baik serta memiliki sifat istiqamah yang baik, niscaya tidak akan ada lagi isu-isu yang melibatkan :

a.       Tiada disiplin.
b.      Tiada kawalan.
c.       Tidak bergerak.
d.      Lemah semangat.
e.       Keburukan akhlak.

yang mungkin wujud dalam dakwah mereka.

Semuanya akan menjadi baik kerana sifat istiqamah itu telah terpancar pada :

1.      Ibadah mereka.
2.      Tarbiyah mereka.
3.      Dakwah mereka.
4.      Amal mereka.
5.      Setiap aspek kehidupan mereka. 
Oleh sebab itu , untuk menjadi seorang aktivis dakwah yang baik, memang kita dituntut untuk terus belajar.
Mengingatkan begitu banyaknya persoalan umat dan pergolakan dalam dakwah, ianya membuatkan kita perlu terus sentiasa belajar dan menjadi seorang pelajar.
Sementara pembelajaran pertama yang mesti kita lakukan adalah belajar untuk terus belajar. Ketika kita tidak belajar untuk terus belajar, maka kita bukanlah seorang pelajar yang baik kerana hanya seorang pelajarlah yang dapat mengajar atau berdakwah.
Betapa ramai di antara kita yang mungkin sudah kepupusan dari segi tarbiyah’ atau telah terpelanting dari dakwah lantaran tidak mampu bertahan untuk terus belajar termasuk :
a.       Belajar memahami kepimpinan atau pengikutnya.
b.      Belajar menghargai waktu.
c.       Belajar menahan ego.
d.      Belajar bersikap amanah.
e.       Belajar ridha kepada keputusan jamaah.
f.       Belajar sabar ketika merasa paling benar.
g.      Belajar bersyukur walau hati sedang hancur.
h.      Belajar istiqamah meskipun itu terasa susah.
Pembelajaran sebenar akan membawa kita kepada sebuah proses pendewasaan yang mana akan melahirkan kebijaksanaan dan kesedaran sehingga seorang aktivis dakwah yang betul-betul belajar, dirinya tidak akan terkungkung pada perkara-perkara yang bersifat ‘juziyyah’ tanpa memahami intipati secara umum atau sebaliknya, terjebak dengan intipati secara umum tanpa memperhatikan perkara-perkara yang bersifat ‘juziyyah’.
Diri kita akan tahu mana agenda yang perlu diberi keutamaan misalnya antara memilih kepentingan ‘wajihah’ atau mengutamakan organisasi’ secara lebih luas.
Ukuran untuk memilih juga tidak terletak pada mana yang ‘enak’ untuk dirinya atau tidak. Ada kefahaman yang ia sedari bahwa agenda dakwah ini bukanlah berbentuk upacara istiadat atau kesenangan semata-mata, melainkan ada tujuan yang lebih besar di sebalik itu semua.
Namun, tujuan besar dakwah ini tidak akan mampu direalisasi sekiranya para aktivis dakwahnya masih memandang ringan perkara-perkara yang mungkin dianggap remeh temeh seperti :
1.      Penjagaan waktu.
2.      Kebersihan.
3.      Komunikasi yang baik.
Sebagai contoh, dirinya tidak akan terlambat datang pada pertemuan-pertemuan halaqah atau usrah tanpa ada ‘uzur syar’ie’
Walaupun dalam keadaan benar-benar ia tidak dapat datang, ia akan mengatakan :
“Minta maaf banyak-banyak, ketika ini, saya masih menguruskan agenda X. Sekiranya telah selesai, saya akan sampai ke sana dalam setengah atau satu jam lagi.”
Sekiranya sukar untuk dia datang ke pertemuan halaqah atau usrah dia akan mengatakan :
“Minta maaf, sekiranya kamu izinkan, saya tidak hadir. Bagaimana pandangan kamu? Saya bersedia menerima apapun keputusan kamu.”
Dirinya akan menjelaskan situasinya dengan lengkap, tanpa dikurangi atau ditambah dan yang terpenting adalah, dirinya meminta izin dan bukannya memberitahu izin seperti :
“Minta maaf, tidak dapat datang.”
Menjadi aktivis dakwah adalah menjadi agen bagi sebuah perubahan. Maka sudah selayaknyalah, perubahan besar umat ini kita mulai dengan belajar merubah diri kita sendiri.
Ibarat lilin di mana dirinya tidak akan mampu menyalakan lilin lainnya, apabila dirinya sendiri tidak menyala, bukan?
Seperti yang pernah diungkapkan oleh seorang pujangga :
“Orang yang tidak siuman adalah orang yang menginginkan hasil yang berbeza, tapi tidak mengubah tindakannya.”
Oleh kerana itu, marilah kita membuat penilaian di mana barangkali ada yang salah pada diri kita atau kita sememangnya salah terutama dalam melihat penilaian itu sendiri sehingga tidak hairan jika selama ini, dari setiap penilaian, poin-poin kesalahan masih tetap sahaja sama dari masa ke masa kerana kita lupa bahwa sentiasa ada pembelajaran yang dapat kita petik dari setiap penilaian itu iaitu pembelajaran yang menimbulkan perbaikan dan melahirkan kebaikan.
Kita jangan lupa bahwa tanggungjawab terbesar kita adalah melakukan tajdid (pembaharuan) dan naql’ (mengalih generasi) iaitu pembaharuan ajaran Islam dan proses perubahan terhadap seorang muslim dari satu keadaan ke keadaan yang lain dan perubahan umat Islam dari satu fasa ke fasa yang lain.

Melalui penjelasan dari Imam Hasan Al-Banna tentang usaha-usaha yang dilakukan oleh Jamaah Ikhwanul Muslimun, kita mendapati ada dua fenomena :
PERTAMA :

Ikhwan sebagai sebuah jamaah yang memusatkan perhatian kepada masyarakat umum di mana ia ikut bersama-sama dengan semua jamaah Islam yang ada untuk berkhidmat kepada masyarakat umum dengan berbagai wasilah.

KEDUA :

Ikhwan sebagai sebuah gerakan pembaharuan.

Imam Hasan Al-Banna telah memfokuskan perhatiannya pada fenomena yang kedua ini kerana aspek inilah yang terpenting.

Di antara fenomena pembaharuan dalam gerakan ini ialah Ikhwan memahami betul berbagai keperluan amal islami dewasa ini, yang selama ini diabaikan oleh umat Islam sendiri.
Islam memerlukan sebuah gerakan yang menyeluruh yang menjadikan seorang muslim dapat :

a.       Merasakan bahwa dirinya muslim.
b.      Merasakan bahwa kita hidup secara bersama-sama.
c.       Merasakan ketertarikan secara umum dengan Islam dan kaum muslimin.
d.      Merasakan pula ikatan khusus dengannya.

Di samping itu, kita memerlukan gerakan secara menyeluruh yang dimulai dengan pengenalan Islam, diteruskan dengan proses takwin’ (pembinaan) secara mendalam dan berakhir dengan perlaksanaan secara menyeluruh untuk mewujudkan tujuan besar yang telah Allah swt tugaskan kepada setiap muslim untuk mewujudkannya, samada di peringkat kawasan, nasional, ataupun antarabangsa.

Bagi mewujudkan semua ini, Islam memerlukan sebuah jamaah yang mampu menggerakkannya sedangkan jamaah itu sendiri (untuk dapat tegak) memerlukan konsep dan tata nilai yang komprehensif.

Tentang dakwah kita, Imam Hasan Al-Banna berkata :

“Bersama kita, ia akan tegak sebagai salah satu dari berbagai dakwah pembaharuan bagi kehidupan umat dan bangsa-bangsa yang telah menggariskan sebuah manhaj baru yang diyakini dan dijadikan sebagai panduan.”

Berkaitan dengan aspek terakhir ini beliau berkata :

“Akan tetapi, intipati dakwah mereka (Ikhwan) adalah fikrah’ (pemikiran) dan ‘aqidah’. Mereka sematkan keduanya dalam jiwa semua orang lalu mereka bangunkan pandangan umum dengannya, dan mereka yakinkan semua hati kepadanya sehingga berhimpunlah semua ruh di sekelilingnya. Itulah prinsip-prinsip amal untuk dan bersama Islam dalam berbagai sektor kehidupan.”

Pada bahagian lain beliau berkata :
“Wasilah-wasilah umum dakwah ini tidak berubah, tidak diganti dan tidak  akan melampaui tiga perkara berikut :
1.      Iman yang mendalam.
2.      Pembinaan yang cermat.
3.      Amal yang berterusan.”
Di tempat yang lain beliau berbicara tentang unsur yang perlu ada dalam gerakan ini, iaitu :
a.       Manhaj yang sahih.
b.      Mukmin yang aktif.
c.       Pemimpin yang tegas lagi dipercayai.
Dari pemaparan sekilas lalu tentang poin-poin di atas, kita mengetahui tanggung jawab besar yang pertama bagi kita iaitu proses pembaharuan di tengah umat Islam.
Selain itu kita juga mengetahui salah satu unsur penting yang diperlukan oleh proses tersebut iaitu menurut istilah Imam Hasan Al-Banna adalah :
PERTAMA : PEMIMPIN YANG TEGAS LAGI DIPERCAYAI
Setiap langkah yang tidak bertolak dari permulaan ini adalah langkah yang rapuh dan tidak akan dapat bertahan. Selain itu ia tidak dapat memainkan peranan pentingnya.
Dengan yang demikian, maka titik permulaan adalah sebuah kepimpinan yang mampu :
1.      Melakukan pembaharuan.
2.      Mewujudkan cita-cita.
3.      Memutuskan dan melakukan perubahan.
4.      Menunaikan semua kewajiban.
Untuk memenuhi hajat Jamaah dan umat ini sekaligus, maka pencarian unsur-unsur kepimpinan Islam, lalu melatih dan memberinya peranan yang tepat merupakan perkara penting dan pokok di dalam medan amal Islami dan jalan menuju ke sana perlulah ditempuh dengan penuh cermat.
KEDUA : MENGUBAH UMAT SEBAGAI PENGANTAR KEPADA MENGUBAH DUNIA
Tanggungjawab pertama Jamaah atau pimpinannya adalah mengubah keadaan peribadi muslim dan seterusnya kaum muslimin.
Kebanyakan orang Islam di zaman kini telah mula lemah rasa keislamannya dan lemah pula penisbatan dirinya kepada Islam, selain juga lemah perasaannya bahwa dia adalah sebahagian dari umat Islam.
Oleh yang demikian, usaha pertama kita adalah membangkitkan perasaan orang-orang Islam  tentang kewujudan keislamannya dan kewujudan sifat berjamaahnya.
Dengan kata lain, ramai kaum muslimin merasakan ikatan umumnya dengan Islam dan institusi-institusi umum, tetapi ikatan khususnya dengan Islam serta ikatan emosinya dengan kaum muslimin hampir-hampir hilang.
Oleh kerana itu, menjadi tanggungjawab pertama Jamaah Ikhwanul Muslimin adalah menumbuhkan perasaan seorang muslim terhadap kewujudan dirinya sebagai muslim dan ikatannya kepada kaum muslimin secara umum.
Setelah itu, usaha-usaha hendaklah dilaksanakan bagi menghantarkannya ke suatu tingkatan yang lebih tinggi dalam Islam dan menggabungkannya ke dalam saf agar proses perubahan umat Islam dari satu fasa ke fasa berikutnya dapat berjalan dengan sempurna sehingga pada akhirnya terwujudlah impian-impian Islam, samada di peringkat kawasan mahupun antarabangsa di muka bumi ini.
Inilah dua tanggungjawab besar yang seharusnya disedari oleh aktivis dakwah dalam proses pembelajarannya sehingga ia menjadi seorang aktivis dakwah yang :
a.       Istiqamah.
b.      Berkoordinasi dengan baik.
c.       Menjaga perasaan saudaranya untuk tetap baik.
d.      Memberikan sumbangan terbaik.
e.       Berakhlak dan menunjukkan keteladanan yang baik.
Ya Allah, jadikanlah kami sebagai aktivis dan pemimpin dakwah yang mampu mewujudkan iman yang mendalam ke dalam jiwa umat, memandu proses pembinaan yang cermat dan membiasakan amal yang berterusan seiring dengan manhaj yang sahih serta bekerjasama dengan para aktivis muslim lainnya bagi meningkatkan kesedaran umat ke arah perubahan yang dicita-citakan.
Ameen Ya Rabbal Alameen
WAS


No comments:

Post a Comment