Pages

Sunday, 7 October 2012

Murabbi Membina Jamaah Dan Umat


Sesungguhnya tugas murabbi yang asasi adalah membina dalam sebuah halaqah atau kelompok pengajian dan ia merupakan satu cara dakwah fardiyah yang sangat konkrit dalam pembentukan ‘Syakhsiyah Islamiyah’ (keperibadian Islam).

Dengan cara itu, dia sebenarnya membuka langkah untuk “membumikan” Al-Qur’an dan akhirnya Islam akan semakin nyata terserlah dalam masyarakat.

Inilah konsep ‘Tarbiyah Islamiyah’ (pendidikan Islam) yang mana untuk menuju ‘Daulah Islamiyah’ (negara Islam) diperlukan capaian terhadap keperibadian Islam, keluarga Islam dan masyarakat Islam.
Namun, rantai tarbiyah’ ini akan terputus apabila tidak ada usaha yang berterusan dalam pembinaan.

Boleh jadi sebuah keperibadian Islam telah tercapai, namun jika peribadi ini tidak “menularkan” ilmu atau kefahamannya kepada orang lain, maka rasanya agak sukar untuk mewujudkan cita-cita kejayaan Islam di atas muka bumi ini.

Mengingatkan betapa pentingnya peranan murabbi dalam kesinambungan kewujudan sebuah umat dan dakwah, maka sudah semestinyalah kita mempersiapkan diri kita untuk tugas membina dan menjadi seorang murabbi.

Dalam ruang lingkup peribadi, menjadi mad’u’ dan murabbi’ adalah sebuah kewajiban yang saling berkaitan. Ertinya, selain wajib belajar, kita juga perlu menyampaikan atau dengan kata lain selain jadi mad’u’, kita juga mesti menjadi ‘murabbi’.

“… Hendaklah kamu menjadi orang-orang rabbani, kerana kamu selalu mengajarkan al-Kitab dan disebabkan kamu tetap mempelajarinya.” (QS Ali-Imran : 79)

“Sebaik-baik kamu ialah yang mempelajari Al Qur’an dan mengajarkannya.” (HR Bukhari)

Sungguh banyak sekali hikmah yang dapat diperolehi bagi seseorang yang menjadi seorang murabbi.
Di antaranya adalah :

PERTAMA : PAHALA YANG BERLIPAT KALI GANDA

Bagaimana tidak, amal jariyah di atas ilmu yang bermanfaat yang murabbi sampaikan kepada para mad’u’nya (objek dakwahnya) tentu akan terus berguna dan disampaikan dari generasi ke generasi di mana pahala yang diperolehi oleh murabbi kurang lebih sama seperti konsep MLP (Multi Level Pahala).

KEDUA : MEMOTIVASI DIRI UNTUK MENJADI LEBIH BAIK

Ini adalah kerana seorang murabbi akan terdorong untuk belajar lebih terutama perkara yang berkait dengan bahan-bahan Islam, memperkuat ibadahnya serta akan meningkatkan kemampuan komunikasi dan pengurusannya. Dengan kata lain, menjadi murabbi sama halnya dengan membina diri sendiri.

Bukan terhenti setakat itu, masih banyak sekali hikmah yang akan diperolehi dengan menjadi seorang murabbi seperti meningkatkan iman dan taqwa, merasakan manisnya ukhuwah dan yang paling penting adalah melaksanakan kewajiban syar’ie dan menjalankan sunnah Rasulullah saw.

Betapa tidak akan ruginya untuk menjadi seorang murabbi, bahkan akan sentiasa untung. Bahkan, Allah swt akan sentiasa memberikan pertolongan dan kedudukan yang mulia serta digolongkan sebagai umat terbaik.

“Wahai orang-orang yang beriman, jika kamu menolong (agama) Allah, niscaya Dia akan menolongmu dan meneguhkan kedudukanmu.” (QS Muhammad : 7)

“Sesungguhnya Allah, malaikatNya, serta penduduk langit dan bumi, hingga semut yang ada pada lubangnya, dan ikan-ikan yang ada di laut, (semuanya) berselawat atas orang yang mengajarkan kebaikan kepada manusia.” (HR Tirmizi)

“Kamu adalah umat yang terbaik yang dilahirkan untuk manusia, menyuruh kepada yang ma’ruf dan mencegah, serta beriman kepada Allah…” (QS Al-Imran : 110)

“Siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah, mengerjakan amal yang soleh dan berkata: “Sesungguhnya aku termasuk orang-orang yang berserah diri?”” (QS Al-Fushshilat : 33)

Bahkan, tugas sebagai murabbi hanyalah menyampaikan secara optimum, tidak perlu memikirkan hasilnya lantaran itu sudah ditanggung oleh Allah swt.

Ini sesuatu yang menarik, bukan?

Namun, semua itu rupanya belum cukup untuk menggerakkan kesedaran sebahagian aktivis dakwah untuk membina dan yang lebih aneh lagi, mereka tidak membina bukan kerana tidak mengetahui keutamaan membina, apalagi tidak layak dan kurang ilmu.

Bahkan mereka adalah orang-orang yang tergolong sudah dan masih terbina hingga sekarang. Mereka adalah orang-orang telah merasakan manisnya ‘Tarbiyah Islamiyah!

Lantas, apa jadinya jika ilmu itu hanya ditumpukkan dan tidak disampaikan?

Bahkan di antara mereka juga terbilang aktif dalam organisasi Islam atau gerakan dakwah, menurut mereka, 

“yang penting saya tetap berdakwah.”

Inilah yang uniknya di mana seseorang itu aktif berdakwah secara jamai’e, tapi enggan untuk membina.

Padahal sesebuah organisasi Islam dan amal jamai’e yang berlaku di dalamnya tidak akan kuat dan teguh jika di dalam usaha perekrutan, tidak ada pembinaan yang “sihat”.

Sementara, di hari akhirat nanti, setiap manusia akan dihitung pahalanya sendiri-sendiri, bukan secara kolektif! Lantas mengapa masih enggan untuk membina?

Sesungguhnya, marhalah’  (tingkatan) keutamaan dakwah boleh dimulai dari dakwah zatiyah’ (dakwah pada diri sendiri). Kemudian bergerak ke arah dakwah fardiyah’ (dakwah kepada orang lain / kelompok yang dilakukan secara peribadi) dan akhirnya dakwah jam’iyah’ (dakwah kepada orang lain / kelompok yang dilakukan bersama-sama).

Mengapa dikatakan marhalah’ keutamaan?

Ini adalah kerana ketiga perkara tersebut saling berkesinambungan dan saling memperkuatkan antara satu sama lain.

Secara ringkasnya, ia dapat difahami begini :

1.      Apakah kita akan mendapat kejayaan dalam sebuah amal jama’ie’ yang tidak diikuti dengan dakwah fardiyah’?
2.      Apakah kita akan mendapat kejayaan sebuah dakwah fardiyah’  tanpa diselangi oleh dakwah zatiyah’?

Walaubagaimanapun, ketiga-tiga perkara tersebut adalah satu kesatuan yang tidak boleh ditanggalkan, lantaran sememangnya Rasulullah saw melakukan ketiga-tiganya.

Memang di sudut lain, ada beberapa penyebab mengapa mereka belum mampu membina hingga sekarang.
Di antara sebab-sebab itu adalah kurangnya :

a.       Kemahuan.
b.      Kemampuan.
c.       Kesempatan.

Ya, semuanya bersumber dari kurangnya kemahuan. Kemahuan mereka yang kurang itulah yang membuatkan kemampuan dan kesempatan menjadi kurang.

Padahal, jika semua halangan-halangan itu dilalui dengan keimanan dan ketaqwaan serta mengharapkan ridhaNya, niscaya halangan yang besar sekalipun seolah-olah akan menjadi kecil dan halangan yang kecil pula tidak ubah seperti angin yang berlalu.

Dengan kata lain, sebesar mana sekalipun harapan seseorang untuk masuk syurga namun, jika tidak diimbangi dengan kemahuan, maka hasilnya adalah kosong.

Mari kita renung tentang sebuah cerita di mana suatu ketika Allah swt menyuruh malaikat untuk menghancurkan sebuah desa yang mana penduduknya gemar melakukan kemaksiatan.

Namun tidak beberapa lama, malaikat kembali dan berujar,

“Ya Allah, bagaimana aku akan menghancurkan desa yang di dalamnya ada hambaMu yang sedang berzikir?”

Lalu Allah swt memerintahkan menghancurkan orang yang soleh itu terlebih dahulu. Mengapa?

Kerana orang yang soleh itu dia hanya soleh dan faham agama untuk dirinya sahaja, namun tidak menyampaikannya kepada masyarakat di desanya!

Ringkasnya, kita tidak boleh ego dengan hanya menjadi soleh secara peribadi. Kita juga perlu menyampaikannya kepada yang lain, sehingga terciptalah kesolehan sosial.

Lantas, apakah langkah konkrit yang mampu menciptakan kesolehan sosial yang berkesan?

Jawabnya adalah dengan membina iaitu :

1.      Membina halaqah’. 
2.      Menjadi murabbi’.

Jika kita dapat mengarahkan kepada diri kita di mana;

Ilmu sudah ada (kalau tidak pun boleh sambil belajar). Kemampuan juga ada (bagaimana boleh mampu kalau tidak pernah mahu mencuba?). Semangat dakwah pun telah bergelora. Tapi yang anehnya, kenapa kita masih enggan untuk membina?

HAKIKAT PEMBINAAN JAMAAH

Jamaah yang ideal yang pernah wujud secara nyata di suatu fasa sejarah ini :

a.       Tidak tumbuh dengan tiba-tiba.
  1. Tidak wujud secara kebetulan.
  2. Tidak diciptakan dalam sehari semalam.
  3. Tidak muncul dari hasil sebuah anugerah yang mengubah watak segala sesuatu dalam masa yang singkat.
Namun, ia :

1.              1.  Tumbuh secara alami.
  1. Membesar secara perlahan-perlahan, sebagaimana pohon yang menjulang dan akarnya menghunjam ke bumi.
  2. Memakan waktu yang lazim untuk perkembangannya.
Selain itu, ia juga memerlukan al-juhd’ (susah payah) yang :

a.       Berterusan.
b.      Tetap.
c.       Tidak berubah demi perkembangan ini.

Sebenarnya, ia memerlukan :

1.      Perhatian yang teliti.
2.      Kesabaran yang panjang.
3.      Usaha yang cermat

Semua ini diperlukan agar ia dapat :

a.       Membersihkan dan membuang yang tidak baik.
b.       Memangkas yang berlebihan.
c.        Melakukan pengarahan.
d.       Memberi dorongan dan motivasi.
e.        Melakukan penguatan
f.        Memberi peneguhan.

Di sudut yang lain, ia memerlukan :

1.      Pengalaman-pengalaman sebenar yang pahit.
2.      Ujian-ujian yang berat dan meletihkan.
3.      Pengarahan untuk mengambil pelajaran dari berbagai pengalaman dan ujian ini.

Di dalam semua usaha-usaha dan pengalaman-pengalaman di atas, akan terserlah ri’ayah ilahiyah’ (pemeliharaan Ilahi) terhadap jamaah pilihan bagi memikul amanah terbesar ini dan merealisasikan kehendak Allah di muka bumi.

Padahal, pada jamaah ini terdapat berbagai keutamaan dan potensi-potensi yang tersimpan di dalam generasi tersebut.

Di samping terdapat berbagai situasi dan keadaan yang disiapkan untuknya.

Dengan ini semua, cahaya yang mengkagumkan itu memancar dalam sejarah manusia dan terealisasilah hakikat yang nampak dari jauh seolah-olah mimpi yang mengepak-ngepak di dalam hati atau mimpi-mimpi yang melayang-layang di dalam khayalan!

Dalam kalimat di atas, Sayyid Qutb menjelaskan bagaimana jamaah Sahabat Nabi Muhammad saw terbentuk pada waktu itu.

Ada empat bahagian yang disorot oleh Sayyid Qutb.

PERTAMA :

Susah payah dan usaha Nabi Muhammad saw sebagai murabbi yang dikerahkan dalam mentarbiyah mereka.

KEDUA :

Aspek pemeliharaan Ilahiyah.

KETIGA :

Potensi para sahabat Nabi itu sendiri.

KEEMPAT :

Situasi dan keadaan.

Dengan kata lain, terwujudnya jamaah sahabat Nabi Muhammad saw sebagai sebuah jamaah yang menakjubkan dalam sejarah umat manusia adalah kerana adanya faktor pemeliharaan Ilahi di samping potensi dan kelebihan sahabat yang luar biasa. Selain itu, situasi dan keadaan yang telah dipersiapkan sedemikian rupa oleh Allah swt dengan kehadiran peribadi murabbi agung iaitu Rasulullah saw.

Lalu bagaimana dengan keinginan kita untuk memunculkan semula generasi baru yang akan memikul amanah dakwah ini?

Menurut Syeikh Jasim Muhalhil yang mengambil kata-kata Imam Hasan Al Banna :
“Apa yang paling banyak dilakukan oleh Rasulullah saw tidak lain adalah mendakwahkan manusia pada keimanan dan amal. Kemudian memadukan hati kaum mu’minin di atas tiang cinta dan persaudaraan. Lalu terpadulah antara kekuatan aqidah dan kekuatan persatuan.”
Dalam kesempatan lain, Imam Al Banna mengatakan :
“Wasilah-wasilah umum bagi dakwah tidak berubah, tidak berganti dan tidak lain dari aspek iman yang mendalam  (Imaan ‘amiq), pembentukan yang cermat (takwin daqiq), dan amal yang berterusan (amal mutawashil).”
Selain itu, beliau telah menyebutkan bahwa rukun-rukun dalam dakwah ada tiga :

a.      Manhaj yang benar (minhaj shahih).
b.      Orang mukmin yang beramal (mu’minun ‘amilun)
c.       Pemimpin yang tahan lasak dan dipercayai (qiyadah hazimah mautsuq biha).

Melalui penjelasan singkat di atas, kita dapat mengetahui bahwa misi utama dakwah Ikhwan, adalah melakukan ‘ishlah’ (perbaikan) dalam diri umat Islam.
Sebagaimana yang kita ketahui bahwa salah satu dari faktor penting yang diperlukan untuk melakukan misi tersebut ada pada ungkapan Imam Hasan Al Banna :
“Pemimpin yang tahan lasak dan dipercayai.”
Ini adalah kerana sesungguhnya setiap amal yang bertolak dari selain permulaan ini, tidak dapat bertahan lama dan kekal abadi. Lebih diperlukan lagi pemimpin yang mampu melakukan pembaharuan, penelitian dan melaksanakan kewajiban seluruhnya sebagaimana kemaslahatan umat Islam seluruhnya.
Oleh yang demikian, mencari unsur kepimpinan Islam dalam hal ini, membinanya dan memberinya peranan yang sesuai merupakan isu yang asasi dan penting dalam amal Islami, sehingga jalan dakwah perlu sungguh-sungguh cermat  bagi mewujudkannya.
Pemimpin mestilah :

1.      Mampu memiliki iman yang mengakar.
2.      Mampu mengurus amaliyah’ pembinaan (takwin) secara terperinci.
3.      Mampu melakukan pekerjaan terus menerus di atas petunjuk manhaj yang shahih.
4.      Mampu melaksanakan kerja bersama-sama para pendakwah yang lain.

PERINCIAN WASILAH DAKWAH IKHWANUL MUSLIMIN 

PERTAMA : MENYEBARKAN DAKWAH
Ini dilakukan melalui semua wasilah sehingga dapat difahami oleh masyarakat umum dan mereka akan menjadi penolong dakwah yang didorong oleh aqidah dan iman.
KEDUA : MENYARING SEMUA UNSUR-UNSUR YANG BAIK
Tujuan saringan ini adalah untuk dijadikan tiang pendukung yang kukuh bagi fikrah perbaikan.
KETIGA : MEMPERJUANGKAN PERUNDANGAN
Ini adalah suatu yang penting untuk memastikan suara dakwah Islam dapat berkumandang secara formal dan ‘legal’ dalam pemerintahan sekaligus mendukungnya dan menjadi kekuatan dalam perlaksanaannya.
Di atas landasan ini, Ikhwan telah mengajukan calon mereka dalam pemilihan parlimen ketika datang saat yang tepat pada umat untuk melakukannya.
Ikhwan yakin akan kejayaan dakwah yang merupakan pertolongan Allah swt, selama mana mereka mengharapkan itu kepada Allah swt semata-mata.
“Dan niscaya Allah akan menolong orang yang menolong (agama)Nya. Sesungguhnya Dia Maha Kuat dan Maha Mulia.” (QS Al Hajj : 40)
KEEMPAT : MANHAJ YANG BENAR
Ikhwan telah mendapatkannya dari Al Qur’an, sunnah RasulNya dan melalui berbagai hukum Islam ketika kaum muslimin memahaminya secara bersih, jauh dari tambahan unsur asing dan kedustaan.
Ikhwan melakukan kajian terhadap Islam di atas landasan ini dengan mudah, luas disertai penguasaan yang menyeluruh.
KELIMA : KAUM MUKMININ YANG BERAMAL ATAU AKTIVIS MUSLIM
Ikhwan menerapkan apa yang mereka fahami dari agama Allah dengan penerapan yang menyeluruh tanpa pilih bulu.
Ikhwan, alhamdulillah, mengimani fikrah, meyakini tujuan dan percaya dengan pertolongan Allah kepada mereka selama mana mereka bekerja untukNya serta berada di atas petunjuk Rasulullah saw.
KEENAM : KEPIMPINAN YANG TAHAN LASAK DAN DIPERCAYAI
Ikhwanul Muslimin telah mendapatkannya di mana anggota Ikhwan taat pada pimpinannya dan beramal di bawah benderanya.
Ringkasnya, tujuan asasi Ikhwanul Muslimin di mana sasarannya yang paling utama dan perbaikan yang diinginkan serta dipersiapkan untuknya adalah :
“Islah secara menyeluruh dan sempurna serta disokong oleh kekuatan umat dan diarahkan untuk seluruh umat yang mencakupi perubahan dan pergantian seluruh keadaan yang negatif.”
Ikhwanul Muslimin menyuarakan dakwah, mengimani manhaj, memperjuangkan aqidah, beramal dalam rangka menunjukkan manusia pada sebuah sistem kemasyarakatan yang mencakupi segenap aspek kehidupan Islam.
Ikhwan ingin membangkitkan sebuah umat Islam ideal yang memeluk Islam secara benar dan menjadikannya sebagai petunjuk dan imam hingga manusia mengetahuinya sebagai negara Al Qur’an yang sepenuhnya bersandar pada Al Qur’an, yang mendakwahkannya, yang berjihad di jalannya, yang berkorban di atas jalannya, dengan jiwa dan harta.
Wasilah-wasilah ini memerlukan kesabaran yang berlipat kali ganda.
Imam Hasan Al Banna mengatakan :
“Sesungguhnya jalan kamu telah ditentukan langkah-langkahnya, ditetapkan batasan-batasannya. Aku tidak ingin melanggar batasan ini yang telah aku yakini sebagai jalan yang menjamin sampai pada tujuan… Benar, ini merupakan perjalanan yang panjang, akan tetapi di sana tidak ada lagi selain jalan ini.
Sesungguhnya sikap ‘rujulah’  (kejantanan) itu terserlah pada sikap :
a.      Sabar.
b.      Kesungguhan.
c.       Amal yang terus menerus.
Maka barangsiapa di antara kamu ingin terburu-buru memetik buah sebelum saat matangnya, atau mengambil bunga sebelum masanya, aku tidak bersama mereka dalam hal tersebut. Lebih baik baginya untuk keluar dari dakwah ini kepada selainnya.
Tetapi barang siapa yang bersabar bersamaku hingga biji telah tumbuh menjadi sebuah pohon dan menghasilkan buah hingga tiba saatnya untuk dipetik, maka Allah yang akan membalasnya sebagaimana balasan untuk orang-orang muhsinin, yakni kemenangan atau kekuasaan, mati syahid atau kebahagiaan.
Sesungguhnya perjalanan waktu akan menyingkap banyak peristiwa-peristiwa besar. Kesempatan masih terbuka bagi amal-amal yang agung. Dunia menanti dakwah kamu. Dakwah hidayah, cahaya, dan keselamatan agar dapat membebaskannya dari derita kesakitan.
Peranan kamu adalah memimpin dunia.
“Dan hari-hari itu akan Kami (Allah) gilirkan di atara manusia.”
Kamu mengharapkan pada Allah sesuatu yang tidak dapat mereka harapkan kepadaNya. Maka bersiaplah, beramallah sekarang juga, mungkin kamu tidak mampu lagi beramal untuk esok hari.
1.      Kepada mereka yang bersemangat di antara kamu, saya anjurkan untuk menanti perputaran zaman.
2.      Kepada mereka yang masih tinggal diam, saya anjurkan agar bangkit dan beramal, kerana tidak ada istirahat bersama jihad.”
“Dan orang-orang yang berjihad di jalan Kami, niscaya akan Kami tunjukkan mereka jalan-jalan Kami. Dan sesungguhnya Allah pasti bersama orang-orang yang muhsinin.” (QS Al Ankabut: 69)
Syeikh Sa’id Hawwa mengatakan :
“Imam Hasan Al Banna telah meletakkan prinsip untuk kefahaman, prinsip dalam pembinaan, prinsip dalam organisasi dan prinsip dalam berstrategi dan berharakah. 
Oleh kerana itulah, Imam Hasan Al Banna berhasil mendirikan sebuah bangunan yang tetap sesuai dengan berbagai keadaan zaman.

Imam Al Banna berhasil membentuk lingkaran global yang mampu menghimpun seluruh kaum muslimin pada satu fikrah dan tanzim. Beliau berhasil memadukan seluruh pemikiran yang positif dan menyaring pemikiran yang keliru.

Dalam dakwahnya, dapat dipadukan seluruh kebaikan yang mungkin menjadi faktor pemecah dalam organisasi selainnya. Sebaliknya, Ikhwan mampu menjauhi dakwah dari segala keburukan dan kekeliruan.”

Secara khususnya pula Sayyid Qutb mengungkapkan kekagumannya terhadap kejeniusan Imam Hasan Al Banna dalam dua sudut penting :
PERTAMA :
Kemampuannya membina ruh dan jiwa secara seimbang terhadap anggota harakah, melalui bahagian yang sesuai antara ilmu, ruh dan harakah, dan antara kekhususan ‘Tarbiyah Islamiyah’ berbanding sudut lain.
KEDUA :
Kemampuan pembinaan organisasi bagi Jamaah. Jamaah Ikhwan adalah jamaah pelopor amal jama’ie (kerja kolektif) yang pertama kali muncul dalam bentuk sebuah pertubuhan Islam.
Ya Allah, jadikanlah diri-diri kami sebagai murabbi yang akan membangunkan semula umat ini sebagaimana ianya pertama kali dibangunkan oleh murabbi agung iaitu Rasulullah saw. Kurniakanlah kesabaran kepada kami sehingga kami mampu memetik buah yang telah masak pada masanya yang telah ditentukan olehMu.
Ameen Ya Rabbal Alameen
WAS 

2 comments:

  1. artikel yang ada gambar HAB tu WAS ekstrak dari majmuk rasail ke?

    ReplyDelete
  2. Ada bahagian2 yg diambil dari majmu' rasail dengan sedikit pengubahsuaian ayat2 tanpa menghilangkan maksud asal.

    ReplyDelete