Pages

Tuesday, 9 October 2012

Tarbiyah Warisan Suci


Ada satu persoalan besar yang kini dihadapi oleh setiap pendakwah di mana persoalan ini perlu dihadapi dengan segenap potensi dan kemampuan mereka di seluruh dunia Islam.

Ianya adalah kelemahan Tarbiyah Islamiyah di mana dengan kelemahan inilah yang menjadi pokok pangkal kepada terkoyaknya umat Islam serta terkeluarnya mereka dari gelanggang dunia.

Ia seakan-akan hilang dari budaya umat Islam di mana mereka kebanyakannya tenggelam di lautan kejahilan dan kelalaian. Lemahnya sektor tarbiyah bererti hilangnya ruh Islam itu sendiri.

Islam adalah sistem “Rabbani” dan sistem ini hanya dapat tegak dengan Tarbiyah Islamiyah yang sahih.

Islam itu bersifat Rabbani kerana ia bersandar pada Allah sebagai :

  1. Ar-Rabb.
  2. Pencipta
  3. Pemilik.
  4. Pemelihara.
  5. Pendidik.
  6. Penguasa Alam Semesta.

Allah yang maha Perkasa dan Maha Bijaksana itulah yang menjadi sumber Islam, menjadi pemilik dan pendidik mereka yang hidup dalam naungan Islam.

Generasi para sahabat Rasulullah saw adalah contoh konkrit hidupnya ruh tarbiyah dalam suatu masyarakat.

Allah membimbing dan memimpin mereka menjadi umat terbaik yang ditampilkan ditengah-tengah manusia.

Umat pilihan ini hidup di bawah naungan hidayah Allah (Al Qur’an) dan gerakan aktiviti mereka tidak lain melainkan penghayatan dan pengamalan Al Qur’an.

Inilah generasi Qur’ani yang unik, yang patut diteladani sepanjang masa oleh setiap generasi.

Generasi Qur’ani yang Rabbani ini telah melaksanakan suatu pola pentarbiyahan yang paling benar dan tepat serta tidak mungkin dapat ditandingi oleh pola-pola lain yang datang di belakangnya, apalagi yang datang dari sistem jahiliyah.

Pola ini dapat digali dari sirah perjuangan Rasulullah saw namun intipatinya telah dinyatakan oleh Allah swt :

“Tetapi jadilah kamu orang-orang Rabbani, disebabkan kamu selalu mengajarkan Al Qur’an dan disebabkan kamu sentiasa mempelajarinya”. (QS Ali Imran : 79)

Hidup bersama Al Qur’an bererti :

  1. Belajar.
  2. Mengajar.
  3. Menghayati.
  4. Mengamalkan.
  5. Memperjuangkan petunjuk Allah ini.

Allah akan menjadi pembimbing suatu masyarakat yang melaksanakan sistem ini selama mana mereka memiliki motivasi yang benar.

“Dengan Kitab (Al Qur’an) itu Allah menunjuki orang-orang yang mengikuti keridhaanNya ke jalan-jalan keselamatan. Dan dengan (Al Qur’an) itu Allah mengeluarkan mereka dari gelap gulita kepada cahaya yang terang benderang dengan seizinNya, dan menunjuki mereka kejalan yang lurus”. (QS Al Maaidah : 16)

Ironiknya kaum muslimin dewasa ini semakin jauh dari pola ini yang menyebabkan mereka terlepas dari pertolongan Allah.

Hilangnya interaksi kaum muslimin dengan Al Qur’an menyebabkan kehilangan imuniti untuk menolak konsep lain. Maka merasuklah pemikiran-pemikiran jahiliyyah pada diri mereka.

Allah swt  memperingatkan mereka :

“Dan barang siapa berpaling dari peringatanKu (Al Qur’an) maka baginya sungguh ada kehidupan yang sempit”. (QS Thaha : 124)

Hilangnya ruh  dan cahaya Al Qur’an memang merupakan satu penyakit yang kronik ditubuh umat Islam. Ia menggigit dan memakan setiap potensi dan kekuatan umat Islam serta menggelincirkan pada lumpur-lumpur kesesatan.

Hanya dengan kembali kepada sunnah Rasulullah saw dalam mentarbiyah para sahabatnya, cahaya yang hampir padam itu dapat dikobarkan kembali.

Tradisi Rasulullah saw pun akan  memberi kekebalan terhadap masuknya kefahaman jahiliyah dari luar Islam. Ia merupakan sistem Rabbani yang khas dan tidak akan sama dengan sistem lain.

Tarbiyah Islamiyah yang sahih meliputi tiga unsur :

a.      Tarbiyah Ruhiyah
b.      Tarbiyah Aqliyah
c.       Tarbiyah Amaliyah

Ketiga-tiganya hanya dapat tumbuh dalam suasana harakah (gerakan) dalam rangka memperjuangkan kalimah Allah.

Ia  bukan diajarkan di sekolah-sekolah sebagaimana umumnya pola pendidikan sekarang namun dihidupkan di ruangan jihad bagi menghancurkan kekufuran dan  menegakkan keimanan.

Rasulullah saw menerima Al Qur’an dan mendidik para sahabatnya selama lebih kurang 23 tahun. Selama masa itu, baginda berjihad menegakkan peraturan hidup dari Allah ini (Iqamatut Deen).
Setiap peristiwa, kesukaran mahupun penderitaan yang dihadapi oleh baginda dan para sahabatnya merupakan proses interaksi mereka dengan Al Qur’an.

Ruh, akal dan aktiviti mereka terus berkembang menuju kesempurnaan kualiti dengan bimbingan dan petujuk Allah. Tanpa perjuangan dan jihad Qur’ani, masyarakat Islam ini tidak akan tegak.

“Maka janganlah kamu mengikuti orang-orang yang kafir, dan berjihadlah terhadap mereka dengan Al Qur’an dengan jihad yang besar”. (QS Al Furqan : 52)

TARBIYAH RUHIYAH

Tarbiyah ruhiyah mengorientasikan pendidikan pada :

  1. Peningkatan mutu iman.
  2. Kesucian jiwa.

Dengan tarbiyah ini, seorang muslim didekatkan pada Pencipta alam semesta dan Pencipta dirinya. Ruhnya membumbung naik menghadap dan bersemuka dengan Allah swt.

Sasaran utamanya adalah membentuk peribadi yang muttaqin yang sentiasa takut, cinta dan berharap kepada Allah. Ia merupakan syarat utama penerimaan total kepada konsep Rabbani dalam pembinaan Al Qur’an.

Untuk mempersiapkan jiwa menerima Al Qur’an, Allah swt menuntun jiwa orang yang beriman dengan :

  1. Solat malam.
  2. Zikir.

Bangun diwaktu malam di kala manusia lain sedang tidur mendengkur, berhadapan dengan Allah serta menerima limpahan cahaya dariNya.

Semuanya merupakan bekalan memikul perkataan yang berat (Al Qur’an). Beban berat dan pahit yang menanti siapa sahaja yang mewarisi perjuangan dakwah Rasulullah saw.

Solat malam dan zikrullah merupakan :

  1. Obor penerang hati dalam menempuh perjuangan yang panjang penuh ranjau.
  2. Benteng pendinding yang ampuh dari godaan pesona syaitan.
  3. Permohonan ampun, pengakuan dosa dan pujian pada Pencipta yang menghaluskan dan melembutkan hati orang yang beriman.

Hati yang khusu’ dan tunduk inilah tempat persemaian yang subur tumbuhnya ruh Al Qur’an dalam peribadi manusia.

“Sesungguhnya Kami akan menurunkan kepadamu perkataan yang berat (Al Qur’an)”. (QS Al Muzzammil : 5)

“Seandainya Kami turunkan Al Qur’an ini kepada sebuah gunung, niscaya kamu lihat gunung itu tunduk terpecah belah kerana takut kepada Allah”. (QS Al Hasyr : 21)

Tarbiyah Ruhiyah melahirkan akhlaq keperibadian Qur’ani iaitu peribadi yang memancarkan iman dan taqwa dalam setiap langkah aktiviti hidupnya. Inilah karakteristik Ibadur-Rahman sebagaimana yang diterangkan dalam Al Qur’an :

“Dan hamba-hamba Allah yang Maha Pemurah itu adalah mereka yang berjalan di muka bumi dengan rendah hati. Dan apabila orang-orang jahil menyapa, mereka mengucapkan kata-kata yang mengandung keselamatan. Mereka yang melewatkan waktu malamnya dengan sujud dan shalat dihadapan Rabbnya”. (QS Al Furqan : 63 – 64)

TARBIYAH AQLIYAH

Tarbiyah ruhiyah diimbangi dengan tarbiyah aqliyah yang berorientasi pada :

  1. Peningkatan kapasiti intelektual.
  2. Meluaskan wawasan pengetahuan.

Tarbiyah aqliyah meliputi tiga perkara pokok :

  1. Kefahaman pengetahuan Islam yang sempurna dan lengkap.
  2. Kefahaman pengetahuan moden.
  3. Kefahaman hubungan antara pengetahuan Islam dan pengetahuan moden (pengetahuan persiapan).

Dengan ketiga-tiganya, dibentuk peribadi muslim yang berpengetahuan dan sanggup mengamalkan ilmunya.

Kaum muslimin sangat memerlukan pakar-pakar pengetahuan dalam berbagai bidang untuk mengejar ketinggalan dalam teknologi.

Ilmu  pengetahuan dan teknologi merupakan wasilah untuk tegaknya masyarakat Islam. Ini tidak bererti seorang muslim perlu mengekor pada sistem dan budaya tamadun lain yang telah maju di bidang ini.

Sistem Islam yang sempurna telah memberi kerangka landasan untuk menegakkan ilmu pengetahuan dan teknologi itu.

“Sesungguhnya dalam penciptaan langit dan bumi dan silih bergantinya malam dan siang terdapat tanda-tanda bagi orang-orang yang mempunyai fikiran”. (QS Ali Imran : 190)

Islam memandang bahwa ilmu pengetahuan merupakan milik manusia sejagat. Suatu kurniaan Allah yang secara konsepnya telah dipersiapkan pada diri manusia.

Orang yang beriman bahkan yang paling berhak dengan ilmu itu. Mereka berkewajiban mengarahkan ilmu dan teknologi agar dipergunakan sepenuhnya dalam ibadah mentaati Allah.

Tarbiyah harakiyah seharusnya dapat memanfaatkan seluruh potensi yang disediakan Allah di alam semesta ini untuk menegakkan Islam.

Potensi  ini telah dirampas dan disalahgunakan oleh musuh-musuh Allah kerana keunggulan mereka dibidang teknologi. Orang yang beriman hendaklah mampu mengambil alih halangan teknologi yang memang milik mereka itu.

Oleh yang demikian, tarbiyah aqliyah mewujudkan orang-orang mukmin yang berpengetahuan dalam berbagai bidang.

Mereka berjuang dijalan Allah dengan menyumbang dari sudut keahlian masing-masing, bahu membahu dan saling melengkapi dalam beramal jama’ie.

Ruh dan akal yang sempurna hanya dapat diwujudkan setelah melalui rintangan, cobaan dan ujian di arena aktiviti.

Persiapan jiwa dan kematangan intelektual tidak bererti apa-apa sebelum diuji di medan jihad.

Oleh kerana itu, Tarbiyah Islamiah Harakiah sesuai dengan nama dan karakteristiknya perlu terus berlangsung dalam amal dan gerakan, tidak boleh berhenti walau sedetikpun. Di sinilah tarbiyah amaliah mengambil peranannya.

Setiap peribadi muslim mesti terdidik untuk bergerak secara teratur dan berdisiplin tinggi di setiap langkah. Gerakan ini laksana seorang tentera yang mematuhi komandannya.

Ia  adalah tentera Allah yang :

  1. Taat pada perintah-perintahNya.
  2. Bersedia melaksanakan arahan-arahan yang diberikan oleh Rasulullah saw dan gerakan Islam.

“Maka katakanlah : “Beramallah kamu, maka Alah dan RasulNya akan melihat aktiviti-aktivitimu”. (QS At Taubah : 105)

TARBIYAH AMALIYAH
           
Tarbiyah amaliyah meliputi pembinaan jasmani agar :

  1. Bersedia melaksanakan dakwah dan latihan–latihan.
  2. Berdisiplin dengan perintah.
  3. Bersedia untuk berkorban agar terlaksana amal Islami.

MURABBI YANG MENGHIDUPKAN SEMULA RUH DAN CAHAYA AL QUR’AN

Sekarang mari kita lihat bagaimana ruh dan cahaya Al Qur’an itu kembali dapat dihidupkan dalam jiwa orang-orang yang beriman sebagaimana yang telah dilakukan oleh Rasulullah saw.

Mari kita susuri apa yang telah dicatatkan oleh Ahmad Isa ‘Asyur sepanjang interaksi beliau dengan Imam Hasan Al Banna.

“Sebenarnya saya mendengar tentang lelaki ini sejak sebelum beliau memindahkan dakwahnya dari Ismailiyah ke Kaherah.

Beliau seorang da’ie yang sukar dicari bandingannya. Kaki beliau kukuh dalam menyebarkan dakwah Islam. Saya sangat merasakan pengaruh yang positif dari beliau dalam perbaikan masyarakat. Itulah Imam Syahid Syeikh Hasan Al Banna (semoga Allah melimpahkan rahmat kepada beliau dan memasukkan beliau ke dalam syurgaNya yang luas, bersama para Nabi, shiddiqin, syuhada dan orang-orang soleh).

Saya berkenalan dengan beliau di Kaherah. Saya sering menghadiri ceramah yang beliau sampaikan di Markas Am Ikhwanul Muslimin setiap hari Selasa, yang akhirnya dikenali sebagai Haditsuts Tsulatsa atau yang beliau lebih suka menyebutnya Atifatuts Tsulatsa.

Hari Selasa adalah hari-hari yang menjadi saksi. Ribuan orang berkumpul dari berbagai penjuru Kaherah, Iskandariah hingga ke Aswan, bahkan dari luar Mesir. Mereka semua ingin mendengar dari Hasan Al Banna.
Maka, ia naik ke atas mimbar dengan jubah dan serban putihnya, lalu sejenak melemparkan pandangan beliau kepada seluruh hadirin, sebelum kemudiannya suara itu menggaung dengan kekuatan jiwa yang penuh dan kalimat-kalimat yang menyihir, yang segera merasuk dalam hati para pendengar.
Suara itu tidak bertumpu pada retorik semata-mata, juga tidak membakar emosi dengan teriakan bahkan suara itu sepenuhnya bertumpu pada :
a.       Kebenaran.
b.      Membangun semangat.
c.       Meyakinkan akal.
d.      Menggelorakan jiwa.
Suara itu penuh :
1.      Dengan makna bukan dengan kata-kata.
2.      Dengan ketenangan bukan dengan provokasi.
3.      Dengan hujjah bukan dengan hasutan.
Sehingga setiap orang yang pernah mendengarnya sekali, pasti akan terus mengikuti ceramah-ceramah itu secara rutin, walaupun dalam kesibukan dan halangan-halagan lainnya.
Saya adalah salah seorang dari mereka yang terpesona dan teruja mendengarkan ceramah beliau, sehingga muncul keinginan pada diri saya untuk menyadurnya ke dalam majalah I’tisham”.

Meskipun pada masa itu (1940), orang ramai belum mengenali alat perakam, Allah telah memberikan taufiq kepada saya untuk menyadurnya dengan cara yang jauh lebih baik dari seni kewartawanan.

Saya tidak mengerti dan tidak pernah mempelajari Stenografi’ dari sesiapapun. Keinginan saya itu wujud semata-mata kerana ilham dan taufiq dari Allah swt agar saya berbahagia dengan terpeliharanya warisan agung ini.

Semoga ia menjadi catatan amal baik saya. Maka, sejak saat itu, saya mulai mencatat ceramah hari Selasa itu sepanjang hidup Imam Syahid hingga menjelang wafatnya.,

Saya mempunyai suatu kebiasaan, iaitu datang ke Markas Ikhwanul Muslimin menjelang Maghrib untuk melaksanakan solat jamaah.
Suatu ketika, setelah azan dan iqamah, Imam Syahid pernah meminta saya mengimami solat. Saya menolak kerana malu dan segan kepada beliau.
Beliau akhirnya berkata, “Solatlah dengan perintah!”
Maka tidak ada pilihan lagi bagi saya kecuali melaksanakan perintah dan mengikuti keinginan beliau tersebut.
Setelah solat, saya kembali bersama para hadirin mendengarkan ceramah beliau. Di antara mereka, saya adalah satu-satunya orang yang mencatat ceramah itu. Meskipun demikian, saya tidak meminta tempat khusus untuk menulis. Saya duduk di bahagian paling belakang dalam majlis tersebut.
Ada satu perkara yang bertentangan yang begitu menakjubkan, iaitu saya sentiasa dikejutkan oleh berakhirnya ceramah beliau. Saya dapat mengira bahwa perkara yang sama dirasakan pula oleh para hadirin yang lain.
Itu berlaku lantaran beliau menarik perhatian para pendengar di akhir ceramah dengan gaya yang lebih memikat daripada yang digunakan beliau untuk menarik perhatian mereka di awal ceramahnya. Saya tidak mengetahui apa rahsianya. Tetapi, itu merupakan salah satu kelebihan beliau yang paling menonjol berkat kurniaan Allah yang diberikan kepada siapa sahaja di antara hamba-hamba yang dikehendakiNya.
Pada tahun 1945, Allah telah memberikan taufiq kepada saya untuk melaksanakan kewajiban haji. Satu pertubuhan iaitu “Jam’iyah Syar’iyah” memberikan kehormatan kepada saya untuk memimpin delegasinya.
Di sana saya berjumpa dengan Imam Syahid, di Tanah Haram. Saya mendengarkan beberapa ceramah yang disampaikan oleh beliau di penginapan “Mesir” di Makkah bersama para pimpinan delegasi Islam atas undangan beliau.
Saya juga mendengarkan ceramah beliau di Mina, Madinah Al Munawarah dan di Darul Hadits. Semua ceramahnya saya catat.
Perlu juga saya sebutkan di sini bahwa delegasi-delegasi itu berdatangan dari berbagai penjuru iaitu dari Indonesia, Sri Lanka, India, Madagaskar, Nigeria, Cameroon, Iran dan Afghanistan.
Mereka berkenalan dan berkumpul dengan beliau. Beliau berbincang dengan setiap delegasi mengenai masalah-masalah yang menjadi pusat perhatian mereka serta masalah utama yang mereka hadapi. Beliau menarik perhatian mereka, seakan-akan beliau datang dari negeri mereka, bukan mereka yang datang kepada beliau. Oleh kerana itu, adalah wajar jika ramai orang berpandangan bahwa Hasan Al Banna merupakan peribadi yang unik di tengah-tengah manusia, bahkan di kalangan para pemimpin.
Dengan watak dan karakternya, beliau telah mengukir sejarah dan mengubah arah perjalanannya. Beliau juga tergolong unik ketika wafat kerana tidak ada seorangpun yang melakukan solat jenazah untuknya di masjid kecuali ayahnya. Tidak ada seorangpun di antara para pengikut beliau yang memenuhi dunia pada waktu itu yang berjalan di belakang jenazah beliau lantaran sebuah alasan yang cukup memeritkan iaitu kerana mereka pada masa itu sedang memenuhi penjara.
Walaupun Imam Hasan Al Banna telah meninggal dunia, namun pemikiran beliau tidak  mati. Pengaruh beliau masih wujud dan terus berkembang secara berterusan dalam generasi-generasi yang dicetak oleh beliau dengan cara moden dan terserlah dalam perkembangan gerakan Islam yang mempengaruhi dunia, di mana beliau merupakan peribadi yang pertama kali menabur benihnya.”
Sesungguhnya beliau telah menghasilkan dan mencetak ‘Rijal’ yang menjadi buku yang berjalan yang memberikan manfaat bagi siapa sahaja yang bersentuhan dengannya. Dari didikan dan tempaannya, lahirlah “Rijalud Dakwah” yang tersebar di seluruh dunia.
Di antara mereka, ada yang menjadi :
a.       Ahli fiqh seperti Abdul Qadir Audah, Abdul Halim Abu Syuqqah dan Yusuf Al Qardhawi.
b.      Ahli Hadith seperti Muhibuddin Al Khatib dan Abdul Fattah Abu Ghuddah.
c.   Pemikir dan penulis yang unggul seperti Sayyid Qutb, Muhammad Qutb, Muhammad Al Ghazali, Taufiq Yusuf Al Wa’iy, Fathi Yakan dan lain-lain.
Sungguh, Hasan Al Banna adalah mujadid’ (pembaharu) Islam di abad ke dua puluh.
Ya Allah, kekalkanlah warisan agung Tarbiyah Islamiyah yang ditinggalkan oleh Rasulullah saw dan kemudian diteruskan oleh para sahabat baginda, para ulama’ ummah dan pejuang dan mujahid yang datang bersilih ganti sehingga kami tetap berada di atas jalanMu yang lurus bersama para kafilah dakwah dan tarbiyah sehingga kami menemuiMu dalam keadaan Engkau ridha kepada kami.

Ameen Ya Rabbal Alameen
WAS 

No comments:

Post a Comment