Perbezaan pendapat di tengah-tengah kehidupan
manusia adalah suatu perkara yang lumrah dan tidak dapat dielakkan.
Setiap
orang menerima informasi yang berbeza menggunakan potensi pendengaran dan
penglihatan yang Allah SWT berikan sebagai bekalan bagi manusia.
Setelah itu, akal (kefahaman) akan memberikan
respon yang berbeza pula. Bahkan, walaupun manusia dihadapkan pada satu objek
yang sama, penilaian yang dihasilkan boleh berbeza.
Maka, bagaimanakah pula apabila perkara yang
dijadikan objek penilaian itu berbeza dan berbeza pula masanya?
Di zaman
Rasulullah SAW pun, para sahabat sudah pernah menunjukkan adanya perbezaan
pendapat ini. Hanya sahaja, sepanjang dasar dari pendapat mereka tidak keliru,
maka perbezaan pendapat itu menjadi satu perkara yang dimaklumi. Inilah yang berlaku
di kalangan para sahabat dalam menanggapi pesanan Rasulullah SAW, “Janganlah kamu
solat Asar sebelum sampai di tempat Bani Quraizhah!”
Nah, apabila
ternyata perbezaan pendapat itu sudah berlaku di saat Rasulullah SAW masih
hidup, maka bagaimana pula yang berlaku di kalangan kita ketika ini di mana
kita tidaklah lebih sempurna kefahaman agamanya berbanding para sahabat
Rasulullah SAW dahulu?
Dr.
Salman Al-Audah menjelaskan dengan secara terang di dalam bukunya “Kaifa
Nakhtalif?” (Bagaimana Kita Berbeza Pendapat?) tentang apa-apa sahaja
yang menjadi sebab berlakunya perbezaan pendapat, bentuk-bentuknya dan
bagaimana cara kita menyikapinya.
Sungguh,
apa yang beliau tuliskan amatlah sesuai untuk menjadi bahan pertimbangan dalam
menentukan sikap sebagaimana beliau sendiri mengatakan di akhir bukunya ini,
“Ini
adalah ajakan secara tulus untuk :
1. Mengelola perbezaan.
2. Menghindari perdebatan yang
mandul.
3. Kembali pada dasar-dasar umum dan
kemaslahatan bersama.
4. Menjaga pesaudaraan dan akhlak.
5. Berprasangka baik kepada orang
lain.
6. Memilih kata-kata yang sesuai
untuk digunakan ketika berinteraksi dengan orang lain.”
Sikap
beliau berbeza dengan sebahagian ulama’ yang juga menyerukan persatuan tetapi
tetap sahaja mengutamakan kelompoknya. Beliau mengajak umat Islam untuk bersatu
dalam satu nama; Islam dan BUKAN;
a. Nama kelompok.
b. Nama golongan.
c. Nama parti.
Selain
itu, beliau menghuraikan pesanan-pesanannya dengan perbandingan yang cukup
menarik untuk diikuti. Beliau tidak berlepas diri dari sejarah yang berlaku
pada zaman Rasulullah, sahabat, tabi’in, tabi’it tabi’in dan para ulama’ di
zaman mutaakhirin ini.
Itu semua
menggambarkan bahwa memang perbezaan pendapat ini tidak layak diperselisihkan.
Perbezaan ini sifatnya kepastian. Hanya sahaja, cara kita menyikapinyalah yang
perlu dipersoalkan.
Seutama-utama
sikap adalah mencari persamaan, bukan perbezaan semata-mata.
Dalam
buku ini, Dr. Salman Al-Audah menjelaskan tentang perkara ini dengan bahasa
yang sangat baik, halus, lembut dan nyaman.
Beliau
dengan tegas membantah orang-orang yang merasa tidak bersalah terus-menerus
melakukan perdebatan-perdebatan yang mandul sifatnya. Ertinya, perdebatan itu
dilakukan bukan untuk mencari kebenaran tetapi untuk membenarkan fahaman
kelompok masing-masing.
Kesan
dari perdebatan-perdebatan seperti ini sangatlah besar. Ada ramai orang yang
baru belajar untuk mengenali Islam dan mereka akan merasa kebingungan apabila
menyaksikan perdebatan-perdebatan yang semacam ini.
Maka,
umat Islam perlu memiliki kecekapan dalam mengelola perbezaan pendapat. Orang
yang mendalam ilmunya akan tergambar dari :
1. Kebijaksanaan pemikirannya.
2. Keluhuran akhlaknya.
3. Kelembutan lisannya.
Sebaliknya,
orang yang dangkal ilmunya biasanya akan terdengar seperti tin yang kosong
muatannya; bunyinya bising apabila diketuk namun tidak membawa apa-apa manfaat.
Sesungguhnya,
ilmu untuk menyikapi perbezaan pendapat ini seharusnya menjadi bekalan yang
wajib bagi setiap muslim agar;
a. Kaum muslimin tidak terjatuh ke lembah
keburukan.
b. Umat Islam terbebas dari bahaya
saling mengkafirkan.
c. Umat Islam terbebas dari
pertumpahan darah.
Ini
adalah kerana yang dilaung-laungkan adalah syahadah, takbir dan agama yang
sama.
Demikianlah,
karya Dr. Salman Al-Audah ini sangat bermanfaat untuk mencapai tujuan-tujuan di
atas.
Oleh yang
demikian, dengan banyaknya kita menggali ilmu pokok dalam agama serta memiliki
kecekapan dan kebijaksanaan dalam menyikapi perbezaan, akan terciptalah suasana
yang kita dambakan iaitu suasana di mana umat Islam bersatu menegakkan agama meskipun
berbeza pendapat, namun tetap sahaja persaudaran mengalahkan kedengkian,
kebencian dan rasa irihati. Itulah keindahan yang seharusnya kita zahirkan.
Semoga
Allah;
1. Memudahkan ilmu bersarang di
dalam pemikiran kaum muslimin.
2. Memberkati kaum muslimin dalam
perbezaan pendapat yang kerap berlaku.
3. Menghindarkan kaum muslimin dari
perpecahan disebabkan perbezaan pendapat.
Ameen Ya
Rabbal Alameen
WAS