Sebuah Jamaah yang berjuang
untuk :
1. Mengembalikan manusia pada penghambaan kepada Allah swt semata-mata.
2. Mengembalikan kejayaan umat.
3. Menegakkan keadilan.
4. Mensejahterakan masyarakat.
5. Membuktikan bahwa Islam itu ‘rahmatan lil alamin’ (rahmat bagi
seluruh alam).
sudah tentu tidak mungkin
dibangunkan hanya dengan satu profesyen, potensi dan kemampuan.
Ini adalah kerana Islam
yang diperjuangkan itu adalah satu sistem yang ‘syamil’ (menyeluruh) yang mencakupi seluruh aspek
kehidupan.
Allah
swt berfirman :
“Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berperang di jalanNya
dalam barisan yang teratur seakan-akan mereka seperti suatu bangunan yang
tersusun kukuh.” (QS Ash-Shaff : 4)
Bangunan yang tersusun kukuh itu tentulah tidak hanya terdiri dari satu
komponen, tetapi terdiri dari beberapa komponen yang saling kait mengait dan
serasi antara satu dengan yang lainnya.
Seorang kontraktor struktur yang akan membangunkan sebuah bangunan akan
memulakannya dengan mimpi, doa, membuat rancangan, mencari bahan dan kemudiannya
mengumpulkan bahan yang diperlukan.
Bahan yang sudah terkumpul akan dipilih sesuai dengan keperluan bahagian-bahagian
dari pembinaan bangunan tersebut di mana :
a. Pasir akan diayak dan disaring.
b. Batu akan dibentuk dengan ukuran-ukuran tertentu.
c. Kayu yang kurang lurus akan diluruskan terlebih dahulu.
Bahan-bahan yang tidak terpakai untuk pembinaan utama bangunan akan
dimanfaatkan untuk keperluan-keperluan lainnya seperti meratakan halaman, hiasan
di luar dan sebagainya sehingga tidak ada satu bahan bangunan pun yang terbuang
percuma begitu sahaja.
Maka begitulah gambaran pembinaan bangunan Islam di mana ia adalah negara
dan tanah air atau pemerintahan dan umat, akhlak dan kekuatan atau kasih sayang
dan keadilan, wawasan dan undang-undang atau ilmu pengetahuan dan hukum, material
dan kekayaan alam atau penghasilan dan kekayaan, serta jihad dan dakwah atau
pasukan dan pemikiran. Sebagaimana juga ia adalah aqidah yang murni dan ibadah
yang benar, tidak kurang dan tidak lebih.
Jamaah memerlukan ahli politik yang menangani masalah politik dan
pemerintahan, doktor dan para ahli perubatan yang menangani kesihatan, pakar
ekonomi, ahli pendidikan, teknokrat, agamawan dan keahlian lainnya.
Namun untuk :
1. Menghimpunkan mereka dalam sebuah jamaah.
2. Menyatukan mereka semua dalam satu visi dan misi.
3. Mengikat mereka dalam kerjasama yang rapi.
memerlukan usaha yang lebih serius berbanding membangunkan sebuah
bangunan.
Sebuah Jamaah yang mantap dan produktif dibangunkan melalui satu proses
yang panjang iaitu :
a. Bermula dari menjalin komunikasi dengan seluruh lapisan masyarakat.
b. Memilih anggota masyarakat yang bersedia menerima dan menjunjung
perubahan.
c. Mentarbiyah mereka-mereka yang terpilih.
Jika, untuk membangunkan bangunan yang kukuh dan indah diperlukan waktu
yang relatifnya lama, padahal bahan-bahannya adalah benda yang tidak bergerak
dan tidak mempunyai kehendak.
Maka apalagi jika kita membangunkan Jamaah yang mantap dan produktif
yang anggotanya adalah manusia di mana manusia mempunyai fikiran, keingingan,
latar belakang dan sejumlah karakteristik yang telah dijelaskan dalam Al-Qur’an
dan As-Sunnah.
Proses pembentukan Jamaah yang mantap dan produktif inilah yang disebut
dengan istilah ‘tarbiyah’ atau pembinaan.
Oleh kerana Jamaah yang berjuang untuk tertegaknya agama Allah swt itu
tidak dibatasi oleh waktu, maka pembinaan pun tidak akan pernah berhenti kerana
jika pembinaan terhenti, maka itu adalah petanda bahwa Jamaah itu pun akan
berhenti.
Ustaz Mustafa Masyhur berkata :
“Berbagai
peristiwa dan perjalanan waktu menjadi saksi bahwa perhatian terhadap proses
pembinaan menjadi penentu bagi kadar kemurnian, kesinambungan dan
perkembangan sebuah jamaah (pergerakan).
Ia juga
menjadi ukuran bagi sejauh mana kesepaduan di antara anggota-anggotanya, penyatuan
barisannya, kerjasamanya, pergerakannya serta produktiviti dan keberkesanan
potensi yang dicurahkan, harta yang diinfakkan dan waktu yang dihabiskan.
Sebaliknya,
apabila aspek pembinaan dilalaikan atau kurang mendapat perhatian, maka
:
1.
Akan nampak kelemahan dan kegoncangan dalam barisan.
2.
Akan muncul benih-benih permusuhan dan perpecahan.
3.
Tenaga kerja semakin melemah.
4.
Produktiviti dakwah akan semakin menurun.”
Proses pembinaan sesungguhnya hanya terdiri dari dua unsur utama iaitu :
a. Rekrutmen anggota pembinaan baru dari masyarakat.
b. Pemeliharaan serta peningkatan anggota yang telah terbina.
Di mana dua unsur tersebut saling berkait serta salah satu mempengaruhi
yang lainnya.
Rekrutmen berfungsi untuk menambah jumlah anggota yang akan menjadi
bahan utama bangunan sehingga bangunan semakin besar dan tinggi menjulang. Oleh
yang demikian, apabila kegiatan rekrutmen mengalami kemunduran, maka
pertumbuhan jamaah pun akan terhenti.
Kemenangan dakwah di setiap masa sentiasa diukur dengan pertumbuhan aktivis
dakwah yang berkualiti dalam jumlah yang mencukupi.
Pada musim Haji tahun ke-11 kenabian, 6 pemuda Yatsrib masuk Islam dan
bertekad untuk menyebarkan risalah Islam di Madinah. Mereka melakukan rekrutmen
secara meluas di daerah asal mereka. Hasilnya, pada tahun berikutnya, iaitu
tahun ke-12 kenabian berlaku Bai’atul Aqabah pertama yang diikuti oleh 12 orang
Yatsrib yang telah masuk Islam dan seorang dari 6 orang yang pertama tidak ikut
kerana sakit. Ini bererti jumlah anggota jamaah di Yatsrib ketika itu ialah 13
orang dari asalnya 6 orang. Kalau dihitung dengan peratusan, pertumbuhan aktivis
dakwah melebihi 100%
Setelah itu Rasulullah saw mengutus Mush’ab bin Umair ra untuk membantu
rekrutmen dan pembinaan aktivis dakwah di Yatsrib. Dengan bantuan Mush’ab, aktivis-aktivis
dakwah Yatsrib berhasil merekrut tokoh-tokoh Yatsrib, hingga tahun berikutnya, iaitu
tahun ke-13 kenabian, berlaku Bai’atul Aqabah kedua yang diikuti oleh 73 orang
dari penduduk Yatsrib dan aktivis dakwah yang bersiap sedia berangkat ke Makkah
dengan risiko kematian, jika diketahui oleh kaum kafir Quraisy, tentunya bukan aktivis
biasa. Ini bererti pertumbuhan aktivis dakwah yang bersedia memikul amanah
perjuangan ketika itu lebih dari 600%.
Pertumbuhan tersebut terus berlangsung tanpa henti dan ditambah dengan
proses hijrah nabawiyah, maka proses pertumbuhan menjadi semakin pesat dan
tidak pernah mengalami saat tidak bergerak, apalagi penurunan.
Tujuh tahun kemudian, iaitu tahun ke-6 Hijriyah, Rasulullah saw memobilisasi
para shahabat untuk pergi umrah yang dikenail dengan ‘Umrah Hudaibiyah’. Yang
berangkat bersama baginda saw pada waktu itu sekitar 1,500 aktivis dakwah meskipun
pada akhirnya tidak jadi melaksanakan umrah kerana berlakunya perjanjian
Hudaibiyah.
Ketika suasana aman, tidak ada tekanan dan tidak ada pertempuran, maka
rekrutmen aktivis dakwah menjadi semakin meningkat hingga dua tahun berikutnya,
iaitu pada tahun 8 Hijriyah, Rasulullah saw berangkat bersama sekitar 10,000
pasukan untuk membebaskan kota Makkah.
Pada saat kemenangan besar telah diraih oleh kaum muslimin, maka
rekrutmen tidak lagi dilakukan secara individu, tetapi secara berkelompok,
bahkan masyarakat secara berbondong-bondong bergabung dalam barisan dakwah.
Ini sebagaimana yang ditegaskan oleh Allah swt dalam firman-Nya :
“Apabila telah datang
pertolongan Allah dan kemenangan. Dan kamu lihat manusia masuk agama Allah
dengan berbondong-bondong, maka bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu dan mohonlah
ampun kepadaNya. Sesungguhnya Dia adalah Maha Penerima taubat.” (QS An-Nashr :
1-3)
Pertumbuhan itu terus berlangsung sehingga pada musim Haji Wada’, iaitu 10
Hijriyah, peserta yang hadir ketika itu sekitar 100,000 sahabat.
Di antara faktor berjayanya pertumbuhan itu adalah semangat setiap aktivis
dakwah untuk melakukan rekrutmen dan pembinaan di mana semangat untuk merekrut
dan membina pun sentiasa dihembuskan oleh Rasulullah saw melalui janji-janji
menarik, antara lainnya :
“Maka
demi Allah, sesungguhnya jika Allah memberi hidayah kepada seseorang dengan
(perantaraan) kamu, maka itu lebih baik bagimu daripada kamu mempunyai unta
merah (HR Bukhari dan Muslim)
Rasulullah saw bersabda :
“Barangsiapa
menunjukkan pada suatu kebaikan, maka ia mendapat pahala seperti pahala orang yang
melakukannya.” (HR Muslim)
Memang tidak semua aktivis dakwah memiliki kemampuan rekrutmen dan
pembinaan yang memadai. Oleh kerana itu, apabila seorang aktivis memiliki
berbagai keterbatasan (uzur syar’ie) hingga tidak dapat melakukan rekrutmen
atau proses membina, maka mereka memberi kemudahan kepada aktivis dakwah lain
agar dapat melakukan rekrutmen atau pembinaan dengan cara memberikan sumbangan
dana kepada aktivis yang mempunyai kemampuan merekrut atau membina, maka
pahalanya sama dengan orang yang melakukan rekrutmen atau pembinaan secara
langsung.
“Siapa
yang membekalkan pejuang di jalan Allah, maka ia mendapat pahala seperti pahala
pejuang tersebut, tanpa mengurangi pahala pejuang itu sedikit pun.” (HR Ibnu
Majah)
Tentunya masih banyak dalil dari Al-Qur’an, Hadits, Sirah Nabawiyah dan
lain-lainnya tentang pentingnya proses rekrutmen dan pertumbuhan aktivis dakwah
dalam usaha menggabungkan mereka kepada jamaah yang mantap.
Penggabungan diri seorang aktivis dakwah ke dalam gerakan
Islam bukanlah hanya setakat :
1.
Mengemukakan permohonan untuk
menjadi ahli.
2.
Mendaftarkan nama sahaja.
3.
Berulang alik ke markas dan pejabat-pejabat
gerakan Islam untuk menghadiri perhimpunan sahaja.
Malah penggabungan ini mestilah :
a.
Membawa pengertian yang lebih jauh.
b.
Melewati batas-batas formal.
c.
Menggambarkan penilaian-penilaian
lahiriah yang dapat membuktikan kedalaman aqidah dan kekuatan hubungan
pemikiran dan tanzim.
Penggabungan secara ‘tanzimi’ bermaksud :
Mengerah seluruh tenaga
individu untuk memberi khidmat kepada jamaah dengan meletakkan seluruh
kepentingannya untuk Islam, bukan sebaliknya.
Konsep penggabungan
merupakan kombinasi sinergi (memerlukan dua elemen yang mesti bersifat
lengkap-melengkapi) yang amat berkait dengan konsep bai'ah. Tiada penggabungan
tanpa adanya bai'ah dan begitulah juga sebaliknya.
Secara ringkasnya, intima’
diterjemahkan dengan makna penggabungan atau keterlibatan.
Mengikut beberapa aktivis dakwah
Islamiyah, intima' disyarahkan sebagai :
“Penglibatan seorang ‘amilin’ dalam organisasi yang telah
beliau bai'ahkan.”
Ada juga yang
mengistilahkan intima' sebagai :
“Larutnya seseorang yang telah
berbai'ah itu dalam perjuangan Islam secara jamaie (berkumpulan).”
Namun, ada juga yang lebih
cenderung kepada menyebut intima' sebagai :
“Keberadaan dan keterlibatan
seseorang yang telah berbai'ah dalam perjuangan Islam secara faham dan
bersungguh-sungguh.”
Para ulama' telah
membahagikan intima' kepada beberapa bahagian.
PERTAMA : INTIMA’ SYAKHSI
Ianya adalah penggabungan seseorang dalam perjuangan tersebut kerana tokohnya atau individu-individu yang terlibat dengan
perjuangan tersebut. Kebiasaannya mereka yang mengamalkan intima' ini adalah atas
dasar minat kepada tokoh dan pemimpin dalam perjuangan tersebut.
Intima' ini adalah intima'
yang rapuh. Mereka yang mengamalkan intima' ini amat besar
risikonya untuk kecundang kerana tidak
ada kefahaman yang kukuh tentang perjuangan tersebut.
Intima' Syakhsyi juga boleh mewujudkan :
1.
‘Kutlah’ (kelompok-kelompok
kecil) dalam jamaah.
2.
Sikap
fanatik dan ta’asub.
3.
Sikap
sukar untuk menerima pandangan
orang lain.
4.
Kerencatan
amal disebabkan oleh kematian
tokoh tersebut.
5.
‘Inhiraf’
(peyelewengan) dari jalan dakwah yang sebenar.
KEDUA : INTIMA’ MASLAHI
Ianya adalah penggabungan dalam perjuangan tersebut
kerana mempunyai kepentingan tertentu
yang hendak dimiliki. Contohnya, jika mendaftar menjadi ahli dalam institusi
perjuangan tersebut, mereka akan mendapat duit atau mereka inginkan jawatan
atau mereka akan dapat memegang faedah dan keuntungan syarikat dalam institusi
tersebut atau mereka mendapat apa sahaja jenis habuan duniawi (termasuklah
diskaun atas sesuatu pembelian).
Ini adalah intima' yang memiliki bibit atau unsur
rasuah kerana mereka yang seperti ini hanya bersifat ‘ananiyah’
(individualistik) dan kemungkinan besar boleh mengabaikan amanah
atau tanggungjawab dalam perjuangan ketika diuji dengan harta duniawi.
KETIGA : INTIMA’ ‘AFAWI
Ianya adalah penggabungan kerana kecenderungan terhadap elemen-elemen yang disukai dalam organisasi
atau perjuangan tersebut. Contohnya, trend fesyen yang dipakai oleh kebanyakan
ahlinya atau gaya hidup atau jenis pemikiran (suka benda-benda berunsur Islamik
atau sebaliknya) dan sebagainya.
Intima' ini adalah intima' yang sangat terpesong dari
landasan perjuangan. Ini kerana kecenderungan
manusia boleh berubah mengikut peredaran zaman dan kesesuaian tempat serta
jenis manusia.
Sebagai contoh, si A minat kepada organisasi Y
kerana majoriti pengikutnya memakai kopiah. Suatu hari si A pergi ke masjid dan
terserempak dengan si B yang merupakan antara pimpinan organisasi Y sedang
memakai songkok. Si A amat terkejut dan lantas ketika pulang ke rumah, beliau
bertekad untuk keluar dari organisasi Y.
KEEMPAT : INTIMA’ IRTIJALI
Ianya adalah penggabungan dalam organisasi tersebut
secara spontan. Mereka yang
berintima' dengan intima' ini kebanyakannya tidak sedar kenapa dan mengapa mereka
berada dalam organisasi tersebut.
Setelah selesai zaman kanak-kanak barulah mereka
menyedari bahawa meraka telah ada dalam organisasi tersebut. Kebanyakan orang
yang berintima' secara spontan ini berlaku kerana lahir dalam keluarga yang
terlibat dengan organisasi tersebut atau telah didoktrinkan dengan organisasi
tersebut sejak kecil.
Penggabungan ini adalah penggabungan yang boleh
digoncang kerana ianya bersifat subjektif dan boleh berubah-ubah mengikut
keadaan dan situasi. Seharusnya mereka yang terlibat dengan penggabungan
seperti ini perlu melalui proses
pentarbiyahan supaya intima'
mereka dapat dipulihkan ke landasan yang sebenar.
KELIMA : INTIMA’ ‘AQIDI
Penggabungan ini adalah penggabungan yang benar dan
sahih. Ia adalah penggabungan kerana aqidah
yang betul dan kukuh serta yakin dalam perjuangan yang didokongnya untuk
memperjuangkan Islam hanya kerana Allah
swt berlandaskan hukum-hukum Allah (Al-Quran), Sunnah Rasulullah saw, ijma'
ulama' dan qias serta bertepatan dengan syara' mengikut waqi’ semasa.
Mereka
yang berintima' dengan aqidah adalah mereka yang benar-benar yakin dan
insyaallah terus kukuh dalam perjuangan Islam.
PENGGABUNGAN
(INTIMA’) AQIDAH
Perkara pertama yang mesti kita ketahui apabila kita
menggabungkan diri ke dalam gerakan Islam ialah :
“Sejauh
mana kita melarutkan aqidah gerakan Islam itu ke dalam diri kita.”
Ini adalah kerana gerakan Islam menolak intima' (penggabungan) yang
dilakukan pada zahirnya sahaja, sebagaimana yang berlaku dalam
pertubuhan-pertubuhan yang hanya mementingkan soal-soal struktur kepimpinan
sahaja, yang mana keadaan ini telah menjadi kuman yang telah menyebabkan
kehancuran pertubuhan-pertubuhan tersebut.
Oleh itu penggabungan diri ke dalam gerakan Islam pertamanya
adalah membawa erti:
“Penggabungan
diri dan menganuti agama Islam itu sendiri.”
Keadaan ini seterusnya menuntut supaya seluruh perintah
Allah ditaati di samping mengharapkan keredaanNya.
Ini akan dapat mengelakkan penggabungan diri ke dalam
gerakan Islam itu dari terjejas oleh
kematian seseorang atau kehilangan mereka dari medan dakwah
kerana sesuatu sebab, kerana :
“Intima'
ke dalam gerakan Islam akan menjadikan seseorang itu terikat dengan Allah,
demikian juga perhimpunan anggota gerakan Islam turut terikat dengan Allah.”
Inilah yang menjadi rahsia di sebalik kekal dan
berterusannya gerakan dakwah Islamiyah.
Gerakan Islam juga menolak intima' (penggabungan)
diri yang dibuat secara melulu yang didorong oleh semangat semata-mata, kerana :
1.
Islam adalah cara hidup yg tegak di
atas dasar kefahaman yg tertentu tentang alam, insan dan kehidupan.
2.
Beramal untuk Islam adalah bermatlamatkan
untuk melaksanakan metod hidup yg dikehendaki oleh Islam dalam masyarakat.
3.
Membangunkan Islam bermaksud perlaksanaan
yang lahir dari kefahaman, ketelitian dan secara objektif.
Oleh itu :
1.
Kesedaran yg bersifat keakidahan.
2.
Kesedaran yg bersifat haraki.
3.
Iltizam yg bersifat ilmi.
adalah menjadi syarat bagi penggabungan diri ke dalam
gerakan Islam. Syarat ini mestilah larut dalam diri seseorang.
Malah :
a.
Keteguhan pendirian seseorang dalam
dakwah.
b.
Keteguhan seseorang dalam melakukan
kerja-kerja dakwah.
c.
Jaminan untuk seseorang itu kekal
terus dalam satu arus gerakan Islam dan dapat mencapai penghasilannya.
adalah mewajibkan wujudnya kefahaman yg betul dan kesedaran
yg waras terhadap pengertian penggabungan diri ke dalam gerakan Islam.
Kebanyakan mereka yang terkandas di pertengahan jalan dakwah
atau siang-siang lagi telah meninggalkan jalan ini ialah mereka yang
menggabungkan diri ke dalam gerakan Islam secara melulu dan bertindak didorong
oleh semangat kerana tekanan keadaan-keadaan tertentu, sedangkan mereka tidak
memahami apakah ertinya mereka menggabungkan diri ke dalam gerakan Islam.
PENGGABUNGAN
(INTIMA’) MASA DEPAN
Satu perkara lagi yang semestinya wujud dalam penggabungan
diri seseorang ke dalam gerakan Islam ialah penggabungan masa depannya ke dalam
gerakan atau dalam kata lain :
“Penggabungan
masa depannya dengan masa depan gerakan.”
Ini membawa erti bahawa seseorang yang menggabungkan diri ke
dalam gerakan Islam mestilah:
“Mengikat
masa depannya dengan masa depan jamaah walau apapun keadaan yg akan berlaku.”
Penggabungan tersebut mestilah :
a.
Tidak
terikat dengan satu jangka waktu yg tertentu dan akan berakhir apabila jangka
waktu itu telah tamat.
b.
Tidak terikat
dengan satu keadaan tertentu dan akan berakhir dengan berakhirnya
keadaan-keadaan tertentu itu.
c.
Tidak
terbatas dalam masa muda dan sebelum berumahtangga dan menarik diri setelah
menjangkau peringkat dewasa dan berumahtangga.
d.
Tidak
dibataskan oleh keadaan kemiskinan dan kesusahan dan akan menghilangkan diri
setelah kaya dan senang.
e.
Tidak
hanya terbatas dalam keadaan tenang dan damai tetapi cabut lari sewaktu ditimpa
dugaan dan bala.
Nilai jamaah pada jiwa seseorang tidak akan sempurna kecuali
apabila wujud lima perkara :
1. Bangga
dengan ber intima’ dengan
jamaah ini.
2. Merasa
tenteram dengan keberadaan dirinya di dalam jamaah ini.
3. Jamaah
ini mewujudkan atau akan mewujudkan segala cita-cita keislamannya.
4. Setiap
anggota jamaah memberi sumbangan kepada jamaahnya dan jamaah pun membantunya.
Ia menyokong jamaah tersebut dan jamaah pun mendukungnya.
5. Seseorang
menjadi bererti dengan jamaah dan bukan dengan yang lainnya, sedangkan jamaah
itu walaupun tidak ditegakkan oleh dia pasti ditegakkan oleh orang lain.
“Dan
jika kamu berpaling maka niscaya Allah akan mengganti kamu dengan kaum yang lain dan mereka tidak akan seperti kamu.” (QS
Al-Maidah :54)
Manakala ciri-ciri seseorang yang ‘multazim’
(berilitizam) dengan jamaah pula adalah seperti
berikut :
1.Iltizam dengan
yang betul kepada tanzim Jamaah.
2.Iltizam dengan
siasah dan polisi Jamaah.
3.Iltizam dengan
manhaj, wasilah dan uslub Jamaah dalam mengoperasikan dakwah dan strategi.
4. Membayar infaq
atau sumbangan tetap bulanan.
5.Taat kepada murabbi
atau masul dan tahu taat mesti diberikan kepada yang memiliki kuasa mengarah.
6.Terikat dengan
pandangan jamaah dan qiadah yang dibuat melalui institusi berautoriti sekalipun
keputusan itu bercanggah dengan pendapat sendiri.
7. Memberikan ‘thiqah’ sepenuhnya
kepada qiadah Jamaah dan ‘thiqah’ diukur dari sejauh mana individu
tersebut :
i. Bertaaruf dengan qiadah.
ii. Puas hati terhadap qiadah.
iii. Menganggap arahan qiadah
muktamad selagi bukan maksiat.
iv. Sanggup menganggap dirinya salah
dan qiadah betul.
v. Sanggup merelakan kehidupannya
diatur oleh qiadah dan tanzim.
Ya Allah, jadikanlah kami
orang-orang yang tetap berada bersama jamaah walaupun diasak dengan berbagai
ujian dan cubaan. Jadikanlah penggabungan kami dengan jamaah yang berkat ini
sebagai penggabungan yang penuh dengan kefahaman dan ilmu sehingga kami tetap
setia menjunjungnya di samping menyumbang jiwa, harta dan masa kami untuknya
dalam rangka mentaati perintahMu.
Ameen Ya Rabbal Alameen
WAS