Pada umumnya, kepimpinan boleh didefinisikan sebagai seni atau proses
mempengaruhi kegiatan manusia yang berkaitan dengan tugas mereka supaya mereka
rela bergiat dan berusaha ke arah pencapaian organisasi. Sebaik-baiknya, manusia
patut digalakkan untuk menanam kegigihan, keazaman dan keyakinan untuk bekerja
dan beramal.
Kepimpinan adalah satu amanah dan bukannya tempat untuk
mencari kemuliaan kerana amanah ini akan ditanya di akhirat nanti. Realitinya kita
melihat pada hari ini pemimpin dipuji, diberi sambutan dan ditepuk sorak. Siapakah
yang tidak ada keghairahan atau keinginan serta memasang angan-angan untuk menjadi
pemimpin sehingga ada yang berkata:
“Asyik dia orang sahaja dapat,
bila pula giliran kita.”
Islam sejak beratus tahun lampau mencipta rekod
kepimpinan di pelbagai benua dan kota, terus melakarkan beberapa pra-syarat
agar pemimpin betul-betul ‘menjadi’ dan orang yang dipimpin
menerima nikmat kepimpinan, bukan hanya orang yang dipimpin selamat di dunia malah
juga di akhirat nanti.
Kepimpinan memiliki beberapa syarat
seperti berikut :
PERTAMA : IMAN
Dalam surah Al-Kahfi, Allah swt
menyatakan iman itu ada tiga implikasi, iaitu :
a.
‘Imun’.
b.
‘Aman’.
c.
‘Amin’.
‘Imun’ maknanya kebal daripada
maksiat dan kebal daripada rasuah.
‘Aman’ maknanya dia berasa aman apabila
bersama Allah, malah di depan orang dia baik, di belakang orang pun dia tetap
baik, bukannya hipokrit.
Manakala ‘amin’ pula maknanya
orang yang boleh dipercayai. Apabila sudah dipercayai barulah layak ia menerima
amanah.
KEDUA : ILMU KEPIMPINAN
Kepimpinan bukannya secara
spontan atau pakai tangkap muat sahaja, sebaliknya mesti ada ilmu.
Makna kepimpinan ialah cara
menggunakan pengaruh untuk mempengaruhi pengikut mencapai matlamat yang
digarap. Jika tidak ada ilmu, sepak terajang dan karenah kepimpinan, nanti kita
pula yang dipimpin.
KETIGA : ‘KEPIMPINAN KENDIRI’ (self leadership)
Bagaimana kita boleh memimpin
orang lain kalau diri kita tidak terpimpin?
Perkataan ‘leader’ merujuk kepada
tanggungjawab (Al-Mas’uliyah).
Sabda Rasulullah saw :
“Setiap kamu adalah pemimpin dan setiap kamu akan
diminta pertanggungjawaban berdasarkan apa yang kamu pimpin.”
Syarat ini menggambarkan orang
yang memimpin itu mampu bertanggungjawab terhadap diri sendiri. Maknanya,
pemimpin tidak cepat melatah dan melemparkan tanggungjawabnya kepada orang lain
dan tidak cepat terpengaruh dengan khabar yang tidak pasti.
Jika dia melakukan kesilapan,
dirinya sendirilah yang menanggung risiko dan bukannya mengkambing-hitamkan
orang lain demi keselamatan dirinya.
KEEMPAT : KEKUATAN KOMUNIKASI
Ketika
berinteraksi dengan pengikut, ia akan menghadapi pelbagai karenah, keinginan
dan tuntutan di mana dengan komunikasi yang berkesan, ia seharusnya mampu
menenangkan mereka walaupun hajat pengikut tidak tertunai, bukannya mengelak
dengan pelbagai putar belit.
Cara
berkomunikasi ada empat (4) :
1) Percakapanya mudah difahami, bahasanya terang, arahannya jelas dan tidak
berbelit-belit.
2) Kesamaan. Setiap orang mudah didampingi dan tidak ada tembok
pemisah atau terlalu menjaga protokol. Sebuah pasangan biasanya akan
melangsungkan perkahwinan disebabkan banyak kesamaan di antara mereka. Mereka akhirnya
akan mencari jalan untuk bercerai jika sudah wujud banyak perbezaan di antara
kedua pasangan tersebut.
3) Ikhlas. Walaupun ikhlas terletak di dalam hati dan tidak nampak
dengan mata kepala namun ianya dapat dirasai. Jika tidak ikhlas, seakan ada
satu gelombang yang mengganggu perasaan orang yang dipimpin. Kata-kata yang tidak
tajam tidak akan masuk di hati.
4) Kekuatan memberi khidmat. Percakapan hanya perlu pada tempatnya
tetapi bertindak semestinya lebih banyak daripada bercakap. Allah memberikan
kita dua telinga supaya kita banyak mendengar dan Allah memberikan kita dua
mata supaya kita banyak melihat dan membuat pemerhatian, kemudiannya bertindak
berasaskan pendengaran dan pemerhatian.
Rasanya elok juga jika disinggung
sedikit perkara yang boleh menambah komitmen akhlak seorang pemimpin berasaskan tafsir lima ayat dari
surah Al-Muddatthir.
a. Bangun dan beri peringatan.
Pemimpin mempunyai kepedulian sosial yang tinggi. Sekiranya di
sekelilingnya terdapat perkara yang menyalahi kebenaran, dengan kuasanya dia
akan meluruskannya.
b. Mesti membesarkan Allah.
Pemimpin perlu sentiasa ke depan tetapi jangan mendahului Allah.
c. Bersihkan pakaiannya.
Pakaian luar dan juga dalam iaitu hati yang juga turut bersih.
d. Tinggalkan dosa.
e.
Janganlah
memberi sesuatu kerana ingin mendapat lebih banyak malah kalau boleh jangan
ingat bahawa kita pernah memberi sesuatu kepada seseorang.
Islam sangat mementingkan
pemimpin-pemimpin yang berkualiti tinggi. Sejarah telah membuktikan bahwa Islam
berkembang dengan pesat sekali dan mendapat tempat di hati umat kerana
pemimpinnya benar-benar dapat memahami dan menghayati hakikat ajaran Islam secara
komprehensif, terutama dalam masalah aqidah, ibadah, akhlak dan muamalah.
Kepimpinan
sebagai satu seni atau proses mempengaruhi orang-orang sehingga mereka akan
berusaha untuk mencapai matlamat sesebuah kelompok dengan kemahuan yang tinggi dan
sikap penuh keterujaan.
Pengertian
kepimpinan merupakan suatu gambaran tentang kegiatan seseorang yang dinilai
sebagai pemimpin dan yang memiliki ciri-ciri berikut :
1. Posisinya sebagai pusat peranannya.
2. Sebagai penunjuk arah.
3. Sebagai penggerak aktiviti kelompok.
4. Memberikan bentuk dalam sesuatu kegiatan.
Pengertian
kepimpinan lebih dititik beratkan pada sudut fungsinya berbanding pada sudut
strukturnya. Oleh kerana itu, pengertian kepimpinan merupakan ciri-ciri aktiviti
seseorang yang dapat mempengaruhi pengikutnya serta merupakan sebuah instrumen
agar dapat melancarkan suatu aktiviti untuk mencapai sebuah tujuan.
Dari
beberapa pengertian tentang kepimpinan ini dapat dibuat kesimpulan bahwa
seseorang pemimpin tidak setakat ada kemahuan untuk bekerja tetapi kemahuan
bekerja dengan penuh semangat dan yakin.
Semangat
mencerminkan hasrat, kesungguhan dan intensiti dalam perlaksanaan pekerjaan
selain ianya juga menggambarkan rasa keyakinan yang mencerminkan pengalaman dan
kemampuan teknikal.
Memimpin
bererti :
a. Memberi arahan.
b. Membimbing.
c. Mendahului.
d. Melaksanakan.
Para pemimpin bertindak untuk membantu sesebuah kelompok
untuk mencapai tujuan dengan cara menggembeling kemampuan secara maksimum.
Meningkat atau menurunnya kualiti sesebuah
organisasi ataupun sesebuah institusi dipengaruhi oleh kualiti kepimpinan samada
secara langsung ataupun tidak langsung.
Diutusnya para Rasul kepada manusia pada hakikatnya
adalah hanya untuk memimpin umat dan mengeluarkan mereka dari kegelapan menuju
cahaya. Tidak ada satu umat pun yang wujud kecuali Allah mengutus orang yang membetulkan
aqidah dan meluruskan penyimpangan individu-individu dalam umat tersebut.
“Dan
sungguhnya Kami telah mengutus rasul pada tiap-tiap umat (untuk menyerukan):
"Sembahlah Allah (sahaja), dan jauhilah Thaghut itu", maka di antara
umat itu ada orang-orang yang diberi petunjuk oleh Allah dan ada pula di
antaranya orang-orang yang telah pasti kesesatan baginya. Maka berjalanlah kamu
di muka bumi dan perhatikanlah bagaimana kesudahan orang-orang yang mendustakan
(rasul-rasul).”
Makna hakiki kepimpinan dalam Islam adalah untuk
mewujudkan khilafah di muka bumi, demi terwujudnya kebaikan dan reformasi.
Perintah Allah begitu jelas dalam firmanNya :
“Maka
demi Tuhanmu, mereka (pada hakikatnya) tidak beriman hingga mereka menjadikan
kamu hakim terhadap perkara yang mereka perselisihkan, kemudian mereka tidak
merasa dalam hati mereka sesuatu keberatan terhadap keputusan yang kamu berikan,
dan mereka menerima dengan sepenuhnya.”
Para ulama’ Islam memberi keutamaan kepada topik
kepimpinan dengan perhatian yang khusus kerana ia merupakan satu daya dukung kepada
agama.
KEPIMPINAN
TARBAWI
Di antara jenis kepimpinan yang paling spesifik
dalam Islam adalah :
“Kepimpinan
Tarbawi.”
Ini disebabkan kerana kejayaan mendidik generasi,
membina umat dan berusaha membangkitkannya berkait erat dengan pemenuhan
kepimpinan tarbawi yang benar.
Krisis yang mengepung umat ketika ini adalah
lunturnya kepimpinan pendidikan yang memberi contoh tauladan atau kepimpinan
tarbawi.
Para ulama’ secara konsensus bersetuju bahwa intipati
dari proses kepimpinan terletak pada kewibawaan interaktif antara pemimpin dan
pengikutnya. Kepimpinan yang berjaya adalah yang mampu mempengaruhi perilaku
individu-individu untuk menunaikan tugasnya dalam rangka memberikan arahan dan
petunjuk serta mewujudkan sasaran jamaah, mengembangkan, memegang teguh serta
menjaga kekuatan bangunannya.
Maju atau mundurnya sesebuah organisasi atau jamaah
sangat dipengaruhi oleh aspek kepimpinannya.
Wasilah mempengaruhi yang paling berkesan bagi
seorang pemimpin adalah melalui pendekatan kepimpinan tarbawi.
Pemimpin yang bersifat murrabi adalah pemimpin yang
memahami tujuan pendidikan, sasaran dan tahapannya yang secara globalnya
terdapat dalam tiga perkara berikut :
1. Pembentukan dan pembinaan.
2. Peningkatan dan pencapaian secara bebas.
3. Konsistensi dan kesinambungan.
Seorang pemimpin yang berkesan adalah pemimpin yang
berjiwa pengajar atau ‘mu’allim’. Ringkasnya, seorang
pemimpin yang berpengaruh beserta para pengikutnya mampu mewujudkan perkara-perkara
berikut :
a. Membangkitkan kemampuan.
b. Mempertajamkan obsesi yang tinggi.
c. Memotivasi mereka untuk terus berinovasi.
Agar pemimpin yang mempunyai karakter pengajar
dapat mencapai tujuan-tujuan di atas, maka sudah semestinya ditempuh dengan
beberapa cara di antaranya dengan menanamkan pada diri pengikutnya tiga perkara
iaitu :
1. Kecintaan kepada amal.
2. Rasa bertanggungjawab.
3. Jiwa berjamaah.
Aspek peningkatan karakteristik kepimpinan juga perlu
diperhatikan. Karakteristik kepimpinan yang efektif adalah bahwa pemimpin :
a. Mesti yakin akan tugasnya.
b. Memiliki sasaran yang jelas.
c. Mampu melaksanakan sasaran tersebut.
Pemimpin yang baik adalah pemimpin yang mampu
mengenali dan memahami pengikut dan anggotanya. Pemimpin juga perlu memiliki
kecekapan serta penuh inovasi.
Pergerakan untuk merubah sesebuah kebiasaan
masyarakat terus dilakukan oleh berbagai jamaah, termasuk jamaah tarbawi yang
menegakkan kepimpinan tarbawi.
Seiring dengan berlalunya masa, kadang-kadang sebuah
idealisma itu mulai luntur kerana terlalu asyik dengan kencangnya arus dunia, samada
ia mengikuti arus ataupun melawan arus. Asas yang mendasar sesebuah gerakan Islam
seharusnya dapat terus diperkasakan agar gerakan tidak terlena dengan berbagai
godaan dunia.
Tarbiyah memiliki asas gerakan yang boleh dikatakan
cukup kukuh pada kelompok-kelompok kecil yang dinamakan “usrah” dan berbagai aktiviti
lainnya yang dijadikan sebagai wasilah dalam ruang lingkup tarbiyah.
Usrah yang menjadi pencetus awal jamaah mampu
berkembang pesat sejak dari zaman Imam Hasan Al Banna lagi. Seiring dengan berjalannya
waktu, pergeseran idealisma dan akibatnya mulai dapat dirasakan ketika asas
dasar gerakan mulai dilupakan.
Syeikh Jum’ah Amin mengingatkan melalui tulisannya “Taghyir
‘Ala Minhajun Nubuwwah” (Perubahan
berdasarkan sistem kenabian) di tahun-tahun 90’an tentang perkara tersebut
bahwa akan ada kesan-kesan yang timbul ketika tarbiyah sebagai sebuah idealisma
gerakan mulai dilupakan. Di antara kesan-kesan tersebut adalah :
PERTAMA
: Jamaah boleh berubah dari jamaah yang
berbentuk tarbawi dan haraki kepada yang hanya berasaskan politik dan
pengurusan.
Ketika jamaah mulai melupakan tarbiyah, kekuasaan
menjadi tujuan utama yang ingin direbut padahal dakwah memiliki tujuan yang
jauh lebih tinggi dan mulia dari sekadar habuan dunia. Akibatnya, segala
carapun dihalalkan untuk mencapai kekuasaan tersebut. Hanya mereka yang tidak
memiliki ideologi yang jelas menginginkan kekuasaan dan berusaha mencapainya
dengan segala cara.
KEDUA
: Muncul ketidaksediaan para aktivis dakwah dalam menghadapi ujian-ujian yang
berat.
Tabiat jalan dakwah akan dihadapkan pada ujian dan cobaan
yang berat. Ketika tarbiyah tidak lagi menjadi asas kepada aktivis dakwah untuk
bergerak dalam dakwah, maka boleh jadi mental dan keimanannya tidak bersedia untuk
menghadapi ujian tersebut. Tarbiyah sesungguhnya menjadi wasilah untuk kembali
mengisi keperluan ruhani, akal dan jasad para aktivis dakwah untuk bersiap siaga
melalui jalan dakwah.
KETIGA
: Harakah akan terpecah belah dan bercerai berai.
Apabila dunia yang menjadi tujuan dan ianya dikejar
oleh mereka yang mulai melupakan tarbiyah, maka ia akhirnya akan membuatkan
mereka terpecah belah. Kerakusan dan ketamakan akan memperkuatkan nafsu dalam
hati mereka sehingga masing-masing akan berusaha untuk saling injak menginjak
antara satu dengan yang lain sehingga perpecahan pun berlaku dalam jamaah.
KEEMPAT
: Berlaku pergantian dari kepimpinan tarbawi kepada kepimpinan parti dan
pengurusan organisasi semata-mata.
Keperibadian pemimpin dalam jamaah pada ketika itu akan
dianggap tidak penting ketika tarbiyah tidak lagi dihiraukan. Kepimpinan yang
lebih dihormati adalah sosok peribadi yang ada di puncak jawatan parti atau institusi.
Kesibukan mengurus parti dan pengurusan institusi seraya melupakan tarbiyah
itulah yang akhirnya akan membuatkan ikatan hati dengan pemimpin tarbawi
menjadi lemah dan beralih kepada pemimpin parti atau institusi.
KELIMA
: Tidak terwujudnya tujuan-tujuan besar yang memerlukan waktu yang panjang
Tujuan besar dakwah adalah menjadikan Islam sebagai
landasan dari berbagai aspek dalam kehidupan. Di dalam tarbiyah, ianya dikenali
dengan istilah ‘Ustaziyatul Alam’.
Perbaikan peradaban menjadi mimpi yang seharusnya tertanam dalam pemikiran
seorang muslim ketika melaksanakan setiap aktivitinya. Di saat tarbiyah sudah
dilupakan, maka tujuan-tujuan jangka pendek dan hasil yang cepat akan lebih
banyak dibahas dan dikejar daripada tujuan jangka panjang tersebut.
KEENAM
: Boleh jadi akan mengambil wasilah-wasilah moden tanpa memperhatikan kaidah-kaidah
‘syari’yyah’ serta tidak jelas antara
tujuan dan wasilah di samping meninggalkan ‘asholah’
(keaslian) dakwah dan menghilangkan ciri-ciri keimanan.
Wasilah moden merupakan alat yang dapat digunakan
untuk mencapai tujuan. Inovasi teknologi yang terus berkembang juga perlu
diimbangi oleh gerakan dakwah. Namun, kaidah ‘syari’ah’ merupakan perkara yang utama dan tidak boleh
diabaikan demi kepentingan perkembangan wasilah dan boleh jadi gerakan dakwah
akan disibukkan dengan wasilah yang ingin terus dikembangkan tanpa berfikir terhadap
tujuan besar dakwah ketika tarbiyah sudah dilupakan.
KETUJUH
: Tidak memberikan perhatian terhadap pewarisan dakwah dan sekadar berorientasikan
kepada hasil.
Penerusan dakwah merupakan perkara yang sangat
penting demi tujuan besar yang ingin dicapai. Boleh jadi kejayaan dakwah tidak
dinikmati oleh generasi yang menjadi aktivis dakwah pada ketika itu, namun
ianya dapat dinikmati oleh beberapa generasi selepasnya.
Oleh yang demikian, ‘taurith’ atau pewarisan risalah pergerakan dan cita-cita
dakwah sepatutnya dapat difahami oleh generasi yang akan meneruskan roda
pergerakan di masa yang akan datang.
Ketika tarbiyah sudah mulai dilupakan, boleh jadi
generasi saat itu tidak lagi memikirkan masa depan tapi sekadar hasil yang akan
dicapai pada masa itu sahaja.
Maka, fokuslah pada tarbiyah dan jangan sekali-kali
lupakan tarbiyah kerana tarbiyah bukan segala-galanya tapi segala-galanya bermula
dan dapat dicapai melalui tarbiyah.
KEKUATAN TARBIYAH
Sebuah jamaah yang mantap seharusnya hadir sebagai
jamaah yang produktif dalam membangun sendi-sendi peradaban. Produktiviti dari
sebuah jamaah salah satunya adalah disokong oleh kekuatan tarbiyah dari setiap aktivis-aktivis
yang ada dalam jamaah tersebut.
Ketika keadaan tarbiyah setiap aktivis dakwah dalam
sebuah jamaah mulai menjadi lemah, maka gerakan dari jamaah itu pun akan turut
melemah pula sehinggakan sebuah jamaah memerlukan proses ‘tarbiyah mustamirrah’
atau tarbiyah secara berterusan.
Tarbiyah yang berterusan ini yang kemudiannya akan
menjadi kekuatan asas dalam sebuah jamaah. Tarbiyah memberikan banyak peluang
dan ruang untuk melahirkan banyak bidang mahupun idea-idea “segar” dalam sebuah ‘jama’ah
harakiyyah’. Kesan dari sebuah proses tarbiyah memang sangat luar biasa sehingga proses tarbiyah ini perlu
mendapatkan perhatian yang besar bagi setiap aktivis dakwah dalam jamaah.
Adapun tarbiyah dalam sebuah jamaah terbahagi kepada dua sudut iaitu:
PERTAMA : TALQINIYAH
‘Talqiniyah’ merupakan sebuah
kegiatan di mana dalam kegiatan tersebut diangkat suatu permasalahan Islam yang
dibahas dalam bentuk ‘halaqah’ atau ‘liqa’ tarbawi’. Ini
berdasarkan kepada ayat Al Qur’an berikut :
“Akan tetapi hendaklah kamu menjadi
orang-orang rabbani, kerana kamu selalu mengajarkan al-kitab dan disebabkan
kamu tetap mempelajarinya.” (QS Ali Imran : 79)
Untuk dapat memahami ajaran Islam
diperlukan sebuah pengkajian yang mendalam dan berterusan sehingga kefahaman
terhadap ajaran Islam tidak menjadi sebuah kefahaman yang keliru atau pun tidak
menjadi sebuah kefahaman yang ‘juziyyah’.
KEDUA : TAJRIBIYAH
‘Tajribiyah’ merupakan sebuah usaha
pembelajaran dengan menerima pengalaman secara langsung di medan dakwah.
Allah swt berfirman :
“Dan
bertaqwalah kepada Allah; dan Allah mengajarmu; dan Allah mengetahui segala
sesuatu.” (QS Al-Baqarah : 282)
Ilmu yang terbaik adalah ilmu yang
disertai dengan amal sehingga ketika seorang aktivis dakwah dalam sebuah jamaah
melalui proses ‘talqiniyah’, maka secara idealnya ia kemudiannya dapat terlibat
secara aktif mengamalkan berbagai bentuk kefahamannya atas apa yang ia perolehi
dari proses ‘talqiniyah’ itu sehingga kapasiti aktivis dakwah tersebut
menjadi luas dan tidak sekadar dalam bentuk
teori tetapi kapasitinya pun mampu mengembang sehingga ke lapangan amal.
Tarbiyah bagi setiap aktivis
dakwah dalam sebuah jamaah adalah akar bagi pergerakan jamaah itu sendiri dan
di sudut lainnya, tarbiyah pun menjadi factor utama bagi tercapainya
keselamatan potensi harakah.
Ada tiga unsur yang semestinya
ada dalam tarbiyah :
PERTAMA
: KEKUKUHAN ASAS
Kekukuhan asas ini ditentukan oleh kekukuhan
aqidah sehingga kekuatan pergerakan jamaah sentiasa berkaitan erat dengan
kekuatan aqidah kerana kekukuhan aqidah merupakan suatu perkara yang menjadi
intipati dalam proses tarbiyah dan tidak boleh putus dari setiap jamaah, lebih-lebih
lagi dari setiap individu atau anggota dalam sebuah jamaah.
KEDUA : TITIK TOLAK
KEDUA : TITIK TOLAK
Sebuah proses tarbiyah ditentukan oleh
kejelasan fikrah. Tarbiyah perlu meliputi kefahaman terhadap ajaran-ajaran
Islam sesuai dengan yang dicontohkan oleh Rasulullah saw.
KETIGA
: CARA BERJALAN ATAU BERGERAK
Proses tarbiyah hendaklah memiliki manhaj
yang dapat dijadikan sebagai acuan atau landasan dalam melayari perjalanan dan
perjuangan dakwah dengan sentiasa mengarah kepada apa yang dicontohkan oleh
Rasulullah saw.
Ketiga-tiga unsur tarbiyah di
atas tidak boleh diabaikan atau hanya dipenuhi salah satunya sahaja kerana jika
tidak, maka potensi pergerakan jamaah tidak akan selamat. Memang ia bukan merupakan
sesuatu yang mudah untuk dapat mewujudkan kesemua unsur tarbiyah di atas kerana
ia adalah sebuah proses yang panjang dan di sanalah sebetulnya kita akan
belajar hakikat istiqamah dalam tarbiyah.
KEPENTINGAN TSIQAH
Mungkin kita pernah mendengar para murabbi kita
mengucapkan kata-kata berikut terutama kepada mutarabbi yang baru nak menapak
di jalan dakwah dan tarbiyah.
"Kelak
ketika kita di tengah-tengah perjalanan dakwah ini, antum akan menemui
kekecewaan, maka ingatlah dengan baik bahwasanya jamaah ini adalah jamaah
manusia, bukan jamaah malaikat yang sentiasa sempurna dan tidak pernah mengenal
perkataan salah."
Jamaah adalah salah satu wasilah dakwah yang Allah
sediakan bagi setiap hambaNya untuk membangunkan Islam. Dakwah memang boleh
dilakukan oleh sesiapa sahaja, di mana sahaja, bila-bila masa sahaja dan dengan
sesiapa sahaja. Namun, sudah tentu ketika dakwah yang panjang ini dipikul
sendiri dan setiap titiannya dilalui sendiri, maka akan terasa sangat letih dan
berat sehingga di sinilah jamaah itu berperanan.
Teringat sebuah pepatah Melayu yang menyebut, "Berat sama dipikul, ringan sama
dijinjing". Pepatah yang sederhana yang mengingatkan kita akan
makna berkongsi, bergotong-royong, bekerjasama dan seperti itulah sebuah jamaah
tumbuh dan bergerak.
Seiring dengan berlalunya waktu, berbagai perbezaan
semakin nampak bermunculan bermula dari perbezaan idea, gagasan, pemikiran
bahkan hingga kepada strategi dan teknik bekerja di medan dakwah.
Jika kita keliru dalam menghadapi perbezaan-perbezaan
ini, tentulah jawaban yang pasti yang kita akan perolehi adalah satu, iaitu kekecewaan.
Bagaimana tidak, sebuah perbezaan kecil yang sangat
sederhana sekalipun ketika dinilai tidak sesuai dengan apa yang kita fikirkan
atau apa yang kita inginkan, maka yang akan muncul kemudiannya adalah ego dan
emosi yang tidak dapat dikendalikan.
Salah satu kunci penting dalam berjamaah adalah ‘tsiqah’. ‘Tsiqah’ secara bahasa ertinya adalah percaya, namun jika
kita telaah dengan lebih luas, ‘tsiqah’
ini tidak berhenti hanya pada satu titik iaitu sikap percaya atau tidak hanya berhenti
pada tahap percaya yang tidak memberikan ruang untuk kita belajar memahami.
‘Tsiqah’ atau
percaya semestinya dibangunkan di atas asas keterbukaan, ertinya terbuka dalam
hal memberikan peluang bagi para aktivis dalam sebuah jamaah untuk tetap
mengembangkan idea-ideanya atau gagasan-gagasan mahupun pemikiran-pemikiran
strategik untuk mengembangkan gerakerja dakwah dari sebuah jamaah.
‘Tsiqah’ juga perlu
memiliki pintu yang mempersilakan aktivis-aktivis dalam sebuah jamaah untuk
belajar mengerti dan memahami akan konteks jamaah bahkan jika perlu hingga ke tahap
polisi yang diambil atau pun dilaksanakan dalam sebuah jamaah.
Memang bukan semua perkara atau polisi jamaah dapat
dan perlu dijelaskan secara terbuka kepada aktivis-aktivis yang ada dalam
jamaah, akan tetapi pola ketelusan dalam membangun kekukuhan jamaah adalah
sebuah kemestian.
‘Tsiqah’ bukan "alat" untuk menutup mulut aktivis
dakwah dan ia bukan pula cara yang berkesan untuk "membunuh" idea cerdas dan kreatif dari diri para aktivis
dakwah, justeru ‘tsiqah’
adalah gerbang yang menentukan kukuh atau tidaknya sebuah jamaah dakwah.
Ketelusan polisi dalam sebuah jamaah tidak selalunya
dipaparkan secara terperinci di hadapan para aktivisnya dan bagaimanakah kefahaman
aktivis dakwah terhadap jamaah dan segala sesuatu yang ada di dalamnya dapat
berkembang dengan baik tatkala aktivis itu tidak hanya sekadar tahu dan
melaksanakan, tetapi ia juga berhak untuk bertanya, berpendapat bahkan
mengkritik.
Tidak sedikit pihak dalam sebuah jamaah dakwah yang
memberikan penegasan bahwasanya kita, para aktivis dakwah cukuplah bertanya dan
tahu apa-apa yang menjadi hak kita, kita tidak usah bersusah payah menanyakan
dan mencari sesuatu maklumat yang bukan menjadi hak kita.
Penegasan tersebut tentulah memerlukan suatu
batasan yang jelas, kerana seorang aktivis dakwah dalam sebuah jamaah boleh
sahaja mengajukan pertanyaan atau mengetahui sesuatu perkara yang menurutnya
memang itu perlu ia tanyakan atau perlu ia ketahui akan tetapi jamaah melihat perkara
itu sebagai sebuah kekeliruan bahkan pelanggaran. Keadaan ini tidak boleh "dihapuskan"
begitu sahaja oleh jamaah dengan alasan pertanyaan itu bukan pada tempatnya
atau dengan alasan kerahsiaan.
Keadaan yang sedemikian jika tidak diperbaiki ianya
secara perlahan-lahan akan merosakkan kekukuhan ikatan dalaman dan gerakerja
jamaah. Di sinilah posisi ‘tsiqah’
itu berperanan penting di mana, memanglah diakui bahwasanya banyak bertanya
pun bukanlah suatu yang baik, namun ia tidak boleh disekat atau dibatasi untuk
bertanya atau pun mengetahui sesuatu perkara, lebih-lebih lagi dalam memberi
saranan atau kritikan untuk kebaikan struktur jamaah sehingga ‘tsiqah’ adalah jawaban yang
dapat menjadi jambatan bagi keduanya.
Bagaimana ‘tsiqah’
ini dapat berperanan?
‘Tsiqah’ bukanlah "senjata" yang dapat
digunakan untuk membuatkan aktivis dakwah tunduk tanpa tanya dan tanpa bicara. ‘Tsiqah’ memerlukan keterampilan
untuk dapat diterapkan dalam diri setiap aktivis dalam sebuah jamaah dakwah.
Sekurang-kurangnya adalah berikan pemaparan dan
kefahaman ketika seorang aktivis dakwah bertanya atau ingin mengetahui sesuatu perkara
yang berkait dengan polisi jamaah yang sifatnya rahsia ataupun tidak. Berikan
kesempatan untuk seorang aktivis itu berbicara, memberikan saranan atau pun
kritikan untuk jamaahnya, kerana bukankah jamaah ini bukan jamaah malaikat?
Saranan dan kritikan pada dasarnya dapat menjadi gerbang pengukuhan jamaah jika
ianya direspon dengan baik manakala saranan serta kritikan pun boleh menjadi
ancaman bagi kekukuhan jamaah ketika ia direspon dengan negatif.
Kekecewaan aktivis dakwah terhadap jamaah boleh
jadi lahir bukan sekadar kerana ego atau pun emosinya, bukan sekadar berlaku kerana
ia dinilai tidak ‘tsiqah’,
bukan pula perkara ini jamaah manusia atau ini jamaah malaikat, bukan sekadar berlaku
kerana perkara amanah dan agenda, akan tetapi kekecewaan itu justeru boleh
bermula dari tidak jelasnya konteks ‘tsiqah’
yang selama ini sentiasa ditanamkan dalam diri setiap aktivis dakwah, penanaman
‘tsiqah’ yang tidak
memberikan ruang bagi aktivis dakwah untuk melakukan apapun, lebih-lebih lagi melakukan
suatu perkara yang dinilai menyimpang dari peraturan yang sepatutnya dalam
jamaah.
Ketika dikatakan bahwa ini bukanlah jamaah malaikat
yang selalu sempurna dan tidak pernah salah, maka jawabannya kini adalah justeru
kerana ini adalah jamaah manusia, maka berikanlah sedikit ruang untuk manusia
dalam jamaah itu "bernafas" dan tidak dengan diam, justeru kerana ini
jamaah manusia maka para aktivis dakwah di dalamnya perlu diberi keizinan untuk
‘tsiqah’ pada perkara yang sepatutnya.
JADILAH
BATU BATA YANG BERMANFAAT
Ibarat sebuah longgokan batu bata yang tersusun
rapi antara satu sama lain, saling mengisi setiap ruang kecil yang berlubang,
hingga kemudiannya menjadi sebuah asas bangunan yang kukuh.
Seperti itulah gambaran amalan jama'ie. Setiap dari
diri kita dituntut untuk kemudiannya dapat mengisi setiap bahagian yang belum
terisi atau melengkapi setiap sudut dakwah yang memerlukan kekuatan yang lebih.
Setiap sudut-sudut yang terisi itu pada dasarnya saling berkaitan antara satu
sama lain dan tidak menjadi asas bangunan yang terpisah bersendirian.
Dalam susunan batu bata itu tidak ada yang lebih
rendah mahupun yang lebih tinggi, kerana setiap satu batu bata itu memiliki
peranan dan tugasnya masing-masing. Tidak akan kuat susunan batu bata itu jika
ada satu bahagian sudut yang kosong. Tumpukan atas tidak akan kuat tanpa asas
batu bata yang ada di bawah. Begitu juga tumpukan batu bata yang di bawah tidak
akan bererti tanpa tumpukan batu bata yang ada di atasnya. Begitupun batu bata
yang di sudut-sudut ataupun di tengah-tengah, tidak akan wujud tanpa asas di
bahagian atas dan bawah.
Seperti itulah gambaran paling sederhana dari
sebuah amal jama'ie. Ertinya, bukan posisi struktur yang kita cari dalam
dakwah, tetapi bagaimana kita menempatkan diri untuk kemudiannya dapat
memberikan sumbangan dalam dakwah ini walau sekecil apapun itu dan sekalipun
tanpa posisi struktur.
Lantas jangan kita berbangga dengan posisi struktur
yang kita miliki dalam amal jama'ie ini, dan jangan pula bersedih hati jika
kita tidak miliki posisi struktur itu kerana struktur hanya salah satu dari
sekian banyak wasilah dakwah.
Fokus seorang aktivis dakwah tidaklah terhenti pada
orientasi struktur, akan tetapi fokusnya adalah ridha Allah dan tegaknya Islam
dengan atau tanpa adanya posisi struktur itu.
Begitulah,
batu bata itu tidak pernah buat 'protes' ketika ditempatkan di manapun,
atas, tengah, sisi atau bawah sekalipun. Bahkan ia tidak pernah 'protes'
ketika ia ditempatkan pada susunan asas yang lain atau tidak digunakan sama
sekali. Batu bata yang kuat dan berkualiti, meskipun tidak ditempatkan pada
suatu asas bangunan mewah, tapi ia kemudiannya akan memberikan manfaat pada asas
bangunan yang lainnya.
Sesungguhnya pemimpin
dan kepimpinan merupakan dua elemen yang saling berkaitan. Ertinya, kepimpinan (style of the leader) merupakan
cerminan dari karakter atau perilaku pemimpinnya (leader behavior).
Perpaduan atau
sintesis antara “leader behavior
dengan leader style” merupakan kunci kejayaan pengelolaan organisasi / jamaah
atau dalam skala yang lebih luas merangkumi pengelolaan daerah, negeri, wilayah
dan bahkan negara.
Ya Allah, kurniakanlah kepada kami seorang pemimpin
yang soleh yang mengangkat kepimpinan
tarbawi dalam melakarkan peta strategi dakwah di samping merancang dan
melaksanakan berasaskan amal jamai’e yang mampu menggembeling semua tenaga dan
unsur-unsur yang baik bagi memastikan laungan kalimahMu tetap nyaring dan
berkumandang tinggi.
Ameen Ya Rabbal Alameen
WAS