Kepimpinan
adalah keperluan naluri umat manusia untuk kelangsungan kehidupannya kerana manusia
adalah makhluk sosial di mana kecenderungannya untuk hidup bersosial memberinya
petunjuk agar hidupnya lebih teratur dalam kumpulannya.
Keteraturan
tersebut tidak mungkin dicapai tanpa wujudnya sebuah sistem yang mengatur tatacara
dan pola hidup mereka dan sistem tersebut mestilah dilakukan oleh orang-orang
yang mengelola dan melaksanakan segala peraturan yang berlaku demi merealisasikan
tujuan dan maksud mereka.
Sepanjang
sejarah kemanusiaan, kepimpinan menjadi keperluan hidup atau dengan kata lain “Tiada
kehidupan tanpa kepimpinan”.
Memahami
makna yang sama juga, Imam Hasan Al Banna pernah berkata :
“Pemimpin adalah unsur
penting dakwah dan tidak ada dakwah tanpa kepimpinan.”
Kepimpinan
dalam terminologi Islam dikenali dengan istilah-istilah yang berbagai antara
lain:
- Imamah.
- Qiyadah.
- Khilafah.
- Imarah.
- Ulil Amri.
- Ri’asah.
Dalam
bahasa Inggeris ia disebut “leadership”.
Dalam
sejarah kepimpinan umat manusia, Islam memandang bahwa pengutusan para rasul adalah “Intipati Kepimpinan”.
Ini adalah kerana dengan
diutusnya para rasul, ia sebenarnya adalah untuk memimpin umat manusia membawa
mereka dari kegelapan kepada cahaya yang terang benderang. Allah swt
menjelaskan bahwa tiada satu umat yang wujud kecuali Allah mengutus seorang
manusia pilihanNya yang mampu :
- Menegakkan
prinsip dan nilai ‘islah’.
- Memperbaiki
aqidah.
- Meluruskan
perilaku-perilaku yang menyimpang di tengah masyarakat.
Firman
Allah swt :
“Dan
sesungguhnya Kami telah mengutus rasul pada tiap-tiap umat (untuk menyerukan):
Sembahlah Allah dan jauhilah thagut sesembahan selainNya.” (QS An-Nahl : 36)
Oleh
kerana beratnya tugas yang dipikul oleh para rasul iaitu membimbing dan membawa
umat manusia ke jalan yang benar, maka sifat-sifat kompeten yang asas yang
dimiliki oleh mereka juga merupakan kesan dari posisi mereka sebagai pemimpin, iaitu
:
- ‘Shiddiq’
(jujur).
- ‘Amanah’ (penuh
tanggungjawab).
- ‘Fathanah’ (bijaksana).
- ‘Tabligh’ (menyampaikan
misi).
Sifat-sifat
itu pulalah yang sebenarnya diperlukan oleh pemimpin yang ingin berjaya dalam
melaksanakan misinya di tengah umat. Ia merupakan sifat asas bagi para pemimpin umat dari kalangan para nabi dan rasul
Allah swt.
PERTAMA : ’SHIDDIQ’
Ia adalah visi hidup seorang muslim kerana hidup ini berasal dari Yang
Maha Benar (Jujur), maka hidup mestilah benar dan dirumuskan dengan benar dan
baik. ’Shiddiq’ akan memunculkan konsep pengurusan dan kepimpinan
efektif dan efisyen. Efektif dapat diukur dengan pencapaian matlamat secara
benar dan tepat, sedangkan efisyen dapat diukur dengan keluhuran kegiatan
dengan teknik dan metod yang tidak membazir dan tidak sia-sia.
KEDUA :
’AMANAH’
Amanah ertinya tanggungjawab. Ia boleh pula bermakna sebuah kepercayaan
dan kredibiliti yakni kemampuan melaksanakan tugas dengan benar dan baik. Jika ’Shiddiq’
merupakan visi hidup, maka amanah adalah misi hidup setiap muslim, ertinya
setiap pemimpin sebenarnya melaksanakan tugas kepimpinan dan kewajiban
kemaslahatan umat dengan penuh amanah dan tanggungjawab dengan cara
melaksanakannya secara benar sesuai dengan peraturan agama dan perlembagaan
yang berlaku serta baik dan sesuai dengan etika dan akhlak sebagai seorang
tokoh ikutan umat; kerana Allah hanya dapat ditemui dengan ridha dan diridhai
iaitu apabila amanah ditepati.
KETIGA :
’FATHANAH’
’Fathanah’ maknanya kebijaksanaan dan dengan bahasa yang lain ia melibatkan
penggunaan intelektual untuk mencapai sesuatu yang benar dan baik iaitu dengan
mengerahkan segala potensi antara lain akal; kerana itu Allah swt selalu ’menyindir’
orang yang menolak kebenaran dengan firmanNya, ”Afalaa Ta’qiluun” (adakah kamu menggunakan akalmu),
’Awalam yatafakkaruun’ (apakah
mereka tidak berfikir?) dan sebagainya.
Implikasi politik dari sifat ’Fathanah’ adalah segala aktiviti sebenarnya
dilakukan berdasarkan ilmu, kebijaksanaan dan memaksimumkan potensi akal. Ini
adalah kerana kejujuran, amanah dan
kredibiliti tidak cukup dalam kepimpinan, tetapi mesti ada kebijaksanaan agar
tidak mudah terperangkap dalam tipu muslihat orang lain. Islam juga tidak
mengajarkan pemisahan antara ”Work
Hard and Work Smart”, bahkan keduanya mesti berjalan seiring secara
harmoni dan seimbang.
KEEMPAT : ’TABLIGH’
Ia bererti menyampaikan, iaitu menyampaikan visi dan misi pembinaan umat
sebagaimana semestinya. ’Tabligh’ juga boleh bermakna
pemimpin yang melaksanakan komunikasi dengan masyarakatnya. Implikasi politik
dari sifat ’tabligh’ ini antara lain kemampuan berkongsi dengan masyarakat
dan institusi-institusi yang membantunya serta memiliki sikap perihatin iaitu
empati dan kepedulian terhadap sesama ahli masyarakat sehinggakan ’Tabligh’ dalam kepimpinan
merupakan ’Prinsip Komunikasi Persendirian dan Massa’, atau boleh juga disebut
sebagai ’Sistem Pemasaran’ atau ’Pengurusan Terbuka.’
KEPIMPINAN DALAM DAKWAH
Kepimpinan dalam dakwah adalah sifat dan ciri tingkah laku pemimpin yang
mengandungi kemampuan untuk mempengaruhi dan mengarahkan daya kemampuan seseorang
atau kelompok bagi mencapai tujuan dakwah yang telah ditetapkan.
Dengan kata lain pemimpin dakwah adalah orang yang menggerakkan orang
lain yang ada di sekitarnya untuk mengikutinya dalam proses mencapai tujuan
dakwah.
Seorang pemimpin dakwah mestilah berusaha mengembangkan motivasi dalam diri sasaran dakwah serta mengarahkan motivasi tersebut ke arah tujuan dakwah.
Selain itu ia juga perlu memiliki sifat-sifat dan ciri-ciri dinamik yang dapat mempengaruhi dan
menggerakkan orang ke arah satu tujuan sehingga terciptalah suatu suasana dinamik di kalangan
pengikutnya yang terarah dan bertujuan. Selain ciri-ciri pemimpin secara umum, Islam menggariskan ciri
pemimpin yang paling penting iaitu keimanan dan ketaatan kepada Allah swt.
KEPIMPINAN DALAM ORGANISASI
Pemimpin merupakan kekuatan utama di sebalik kejayaan sesebuah organisasi
dan untuk melahirkan sebuah organisasi yang mantap dan teguh, diperlukan kepimpinan bagi menolong
organisasi untuk mencapai sesebuah visi tentang apa yang akan berlaku serta memobilisasikan organisasi ke arah visi tersebut.
Pemimpin juga mempunyai
peranan yang aktif dalam segala bentuk masalah yang berhubungan dengan keperluan-keperluan anggota organisasinya
di mana seorang pemimpin mestilah
berusaha agar kelompok yang dipimpinnya
dapat merealisasikan tujuan organisasi dalam kerjasama
yang produktif, kerana walaupun anggota dalam organisasi mempunyai keyakinan yang sama namun mereka sering pula memiliki
pandangan yang berbeza mengenai sesebuah
tugas dan misi yang perlu dilaksanakan.
Pemimpin mesti bijak untuk mengintegrasikan pandangan anggota organisasinya yang menyeluruh mengenai situasi dalam kelompok dan luar kelompok.
Pandangan tersebut hendaklah mampu diterima
oleh semua anggota organisasi yang berkaitan.
Dalam
susunan atau tingkatan kepimpinan, ada lima (5) gear yang akan memacu kehebatan
sesebuah kepimpinan.
- Gear 1 – Individu Yang
Berkeupayaan Tinggi
Menghasilkan
sumbangan yang produktif melalui keterampilan, pengetahuan, skil dan carta
bekerja yang baik.
- Gear 2 – Ahli Pasukan Yang
Menyumbang
Menyumbang
melalui keupayaan individu bagi mencapai objektif kumpulan dan bekerja dengan
efektif dengan rakan lain dalam satu kumpulan.
- Gear 3 – Pengurus Yang
Kompeten
Mengurus
manusia dan sumber lain ke arah suatu gerakerja yang efektif dan berkesan dalam
memenuhi objektif yang telah ditetapkan.
- Gear 4 – Pemimpin Yang
Berkesan
Menggerakkan
komitmen dan usaha yang bersungguh-sungguh ke arah visi yang jelas dan
termaktub yang merangsang kepada ketetapan yang lebih baik.
- Gear 5 – Eksekutif Gear 5
Membentuk
kehebatan yang berterusan melalui persenyawaan muafakat antara kerendahan diri
dan cita-cita yang profesional.
Pernahkah kita mendengar ungkapan berikut :
“Baik” adalah
musuh kepada “Hebat”.
Ramai orang sudah merasa puas dengan melakukan sesuatu yang baik sehingga
mereka berhenti berusaha untuk menjadi lebih baik, untuk akhirnya menjadi yang
terbaik (hebat).
Namun ianya tidak demikian bagi pemimpin gear 5 di
mana mereka tidak akan berhenti berjuang untuk
melakukan yang terbaik yang boleh mereka
kerjakan dan mereka tidak akan
berhenti untuk sentiasa berjuang untuk menghasilkan sesuatu yang paling baik
(hebat).
Siapakah pemimpin gear 5 tersebut?
Jika kita melihat adanya kejayaan yang berterusan
dan tidak nampak seorangpun yang menonjolkan diri sebagai ‘pahlawan’ maka di situlah adanya pemimpin gear 5.
Penelitian yang dilakukan oleh pakar pengkaji
perniagaan menunjukkan bahwa perniagaan yang dapat bertahan di posisi puncak untuk waktu yang lama (sekitar 15
tahun atau lebih), iaitu perniagaan yang
berhasil melebihi prestasi pasaran di dalam industri yang diceburi, umumnya diketuai oleh para pemimpin gear 5 dengan
karakteristik seperti berikut :
PERTAMA : RENDAH DIRI
Jika pemimpin “biasa” akan berusaha menarik perhatian dunia pada prestasi yang dilakukannya
dan berfokus pada diri sendiri, maka pemimpin gear 5 melakukan yang sebaliknya.
Mereka melakukan yang terbaik untuk ramai orang tanpa banyak bicara. Sedapat mungkin, mereka cenderung untuk mengalihkan topik pembicaraan dari prestasi mereka kepada prestasi dan
dukungan orang-orang yang ada di sekitar mereka.
Mereka mengatakan bahwa orang-orang di sekitar merekalah yang berperanan lebih
penting dalam meraih kejayaan dan dengan
kerendahan dirinya itulah yang menyebabkan mereka disayangi dan dihormati oleh rakan taulan, keluarga dan masyarakat.
KEDUA : SEDERHANA
Selain rendah diri, para
pemimpin gear 5 juga memilih untuk hidup secara sederhana dan tidak berlebihan. Mereka juga tidak menuntut
untuk diperlakukan secara istimewa oleh orang-orang di sekitar mereka.
Pada saat ia berehat di rumah, ia juga lebih suka memakai pakaian seperti orang kebanyakan
yang dibeli di pasaraya atau kedai biasa.
KETIGA : KEYAKINAN YANG KUAT
Seorang pemimpin gear 5 lebih cenderung untuk memiliki keyakinan untuk mendapat kejayaan.
Keyakinan yang kuat ini mengeluarkan tenaga dan semangat yang luar biasa untuk berjuang bagi meraih kejayaan yang diyakininya tersebut.
Segala masalah, halangan, kesulitan, bahkan krisis
ekonomi sekalipun tidak dapat mematahkan
semangatnya untuk meraih kejayaan.
Mereka berkeyakinan bahwa manusia, walau siapapun
mereka memiliki darjat yang sama. Keyakinannya
ini terus dipegang dengan teguh sehingga
ia berjaya menikmati kemenangan yang luar biasa.
KEEMPAT : CITA-CITA DALAM MELAKUKAN YANG
TERBAIK
Pemimpin gear 5 selalunya berusaha melakukan yang terbaik untuk setiap pekerjaan yang menjadi
tanggungjawabnya. Terbaik di sini tentu sahaja bukan terbaik hanya untuk
dirinya sendiri, melainkan terbaik untuk ramai orang.
Ia tidak akan berhenti, sebelum ia berhasil mempersembahkan karyanya
yang terbaik. Api cita-cita untuk
melakukan yang terbaik sentiasa dipelihara dengan baik dalam dirinya sendiri, mahupun dalam organisasi yang dipimpinnya agar ia tidak padam.
Para pemimpin gear 5 percaya
bahwa keinginan kuat untuk sentiasa melakukan
yang terbaik akan membuahkan inovasi dan perubahan yang positif.
KELIMA : TEGAS DALAM BERTINDAK
Ketika seorang pemimpin gear 5 telah
memiliki keyakinan untuk berhasil, mereka tidak akan tinggal diam bahkan mereka akan bertindak untuk bergerak ke arah mencapai
kejayaan.
Dalam bertindak, mereka tidak segan-segan untuk bertindak dengan tegas, jika memang itu yang diperlukan untuk menyingkirkan akar
permasalahan yang mengganggu perjalanan bagi membawa para pendukungnya menuju kejayaan.
KEENAM : MENABUR KHIDMAT UNTUK
MASA DEPAN
Sebuah organisasi boleh sahaja menjadi organisasi terkemuka di suatu ketika di bawah kepimpinan seorang pemimpin tertentu. Namun, setelah pemimpin itu sudah tidak ada lagi di situ, maka organisasi itu mula menghadapi masalah dan goyang.
Pemimpin gear 5 tidak memikirkan kejayaan sesaat, tetapi apa yang difikirkan adalah
suatu kejayaan yang berterusan. Semua keputusan yang diambil
sentiasa berorientasikan kepada kejayaaan yang berterusan sehingga sampai ke masa
depan.
Untuk itu, mereka tidak merasa sombong untuk menyimpan kepada diri sendiri semata-mata, seluruh kepandaian, pengalaman dan keterampilan
yang mereka miliki.
Sejak mereka masih menjawat jawatan sebagai pemimpin, mereka telah menyiapkan calon-calon pemimpin masa
depan sebagai generasi penerusnya.
Tidak hairan apabila kita melihat ada organisasi yang tetap melahirkan kejayaan walaupun pemimpin mereka sudah ramai berganti.
APAKAH YANG PEMIMPIN GEAR 5 LAKUKAN?
Setelah kita mengenali
karakteristik pemimpin gear 5, seterusnya kita tentu ingin tahu apakah yang mereka
lakukan untuk meraih kejayaan.
PERTAMA : PILIH ORANG DAHULU KEMUDIAN BARU
TENTUKAN TUJUAN
Jika pemimpin biasa menentukan tujuan terlebih dahulu lalu baru mengumpulkan orang, pemimpin gear 5 melakukan yang sebaliknya.
Mereka memilih dan mengumpulkan orang-orang yang tepat terlebih dahulu,
sebelum akhirnya bersama-sama menentukan kejayaan yang akan diraih. Orang-orang yang terbaik pada posisi yang tepat akan
menjadi satu pasukan yang hebat untuk meraih kejayaan.
Mereka tidak perlu lagi dimotivasi kerana mereka telah memiliki motivasi diri. Mereka tidak perlu terlalu diawasi
kerana mereka telah memiliki sikap positif dan keterampilan yang tinggi sehingga seorang pemimpin mampu melakukan konsentrasi
untuk mengatur kendalian dan
memastikan bahwa arah pergerakan organisasi yang dipimpinnya benar-benar
berada di landasan yang tepat.
Jika, ternyata arah pergerakan perlu diubah, maka orang-orang
pilihan ini tidak akan menghadapi kesukaran
untuk menyesuaikan diri kerana mereka bersama-sama terlibat untuk meraih kejayaan.
Dalam memilih, para pemimpin gear 5
biasanya lebih memusatkan perhatian mereka kepada “sikap” bukannya pendidikan, keterampilan ataupun pengalaman.
Ketika orang-orang yang terbaik
dengan sikap yang positif sudah berhasil direkrut, ia tidak akan segan-segan untuk menyanjungi mereka jauh lebih besar dari
yang diberikan oleh organisasi-organisasi lain.
KEDUA : MENGENALI REALITI TANPA KEHILANGAN
KEYAKINAN UNTUK BERJAYA
Pemimpin gear 5 sentiasa melihat pada realiti.
Mereka juga tidak malu-malu untuk mengakui :
- Kelemahan yang mereka miliki.
- Kesulitan yang dihadapi.
- Krisis yang mesti ditanggung.
Jika sememangnya mereka tidak mampu untuk menunjukkan prestasi atau mempersembahkan yang terbaik
di satu bidang, maka mereka akan mengalihkan perhatian kepada bidang lain yang
mereka yakini boleh unggul dibandingkan dengan bidang yang diceburi sebelum ini.
KETIGA : BERJUANG UNTUK MENJADI YANG TERBAIK
Jika kita tidak boleh menjadi
yang terbaik di satu bidang, tinggalkan bidang tersebut dan carilah bidang lain
yang boleh kita jadikan tempat berpijak untuk menghasilkan yang terbaik.
Inilah sikap yang ditunjukkan oleh pemimpin gear 5. Mereka akan memilih bidang di mana mereka boleh mempersembahkan karya terbaik. Jika bidang pilihan sudah ditentukan,
maka mereka akan berjuang segigih mungkin untuk tampil terbaik (untuk orang ramai, dengan kesan yang menjangkau waktu yang
panjang, sehingga ke masa depan) dalam semua tindakan dan keputusan yang mereka ambil.
KEEMPAT : MEMILIKI DISIPLIN
YANG TINGGI
Para pemimpin gear 5 sentiasa
menunjukkan kedisiplinan diri yang tinggi hampir di semua bidang.
Mereka sangat berdisiplin dalam menggunakan waktu iaitu :
- Dalam memenuhi sasaran dakwah.
- Dalam
memenuhi tarikh sasaran yang ditetapkan.
- Dalam
mengatur keseimbangan kegiatan mereka di pejabat, keluarga dan masyarakat.
Mereka juga berdisiplin dalam menerapkan
prinsip-prinsip kejayaan yang mereka
yakini, misalnya prinsip untuk sentiasa melakukan yang terbaik.
KELIMA : MEMANFAATKAN TEKNOLOGI
Ramai pemimpin yang memanfaatkan teknologi untuk menciptakan perubahan namun banyak berlaku di mana mereka seringkali berakhir
dengan “dimanfaatkan” oleh teknologi yang perkembangannya di
luar kendalian mereka.
Para pemimpin gear 5 ini memanfaatkan teknologi untuk mendukung kegiatan organisasi mereka untuk menjadi yang terbaik.
Jika teknologi baru dirasakan tidak menambah
nilai secara signifikan bagi kejayaan organisasi yang
dipimpinnya, maka mereka tidak akan secara “ikut-ikutan” menggunakan teknologi baru tersebut. Mereka akan hanya menggunakan teknologi sebagai kemudahan yang akan memperlancarkan lagi usaha-usaha bagi mencapai sasaran dakwah mereka.
KEENAM : BERKEMBANG DENGAN
RODA PERUBAHAN
Perubahan, walaupun merupakan bahagian yang tidak terpisah dari sebuah pertumbuhan, namun ia selalunya akan dimulai dengan ketidaksenangan.
Para pemimpin gear 5 sedar akan hal ini sehingga mereka tidak menciptakan perubahan yang mendadak yang sangat menyakitkan dan yang kemungkinan besar akan berakhir dengan kegagalan (disebabkan banyaknya halangan dan penolakan dari banyak pihak).
Sebaliknya, perubahan dijadikan sebagai sesuatu yang sentiasa ada (sebahagian dari budaya organisasi) di mana perubahan dirancang dan diterapkan secara bertahap dengan tujuan untuk
mencapai kejayaan yang berterusan.
Oleh yang demikian kepimpinan gear 5 merupakan salah satu kunci lompatan
sesebuah organisasi dari ‘Baik’ menjadi ‘Hebat’.
Kepimpinan gear 5 memberi makna sebagai suatu tingkatan dalam memimpin
yang tidak memerlukan jawatan serta tanpa perlu melakukan banyak perkara untuk
mempengaruhi orang lain. Para pemimpin di peringkat ini mampu mewujudkan keseimbangan
antara kerendahan diri dan peribadi dan cita-cita profesional. Mereka memiliki
cita-cita, namun cita-cita itu ditujukan untuk kemajuan organisasi, bukan untuk
diri sendiri.
Pemimpin gear 5 akan menjauhkan diri mereka dari kepentingan peribadi
dan memusatkan tenaga dan cita-citanya untuk membangun organisasi. Ini bukan
bererti pemimpin gear 5 tidak memiliki cita-cita, bahkan justeru ia dilihat
sebagai pemimpin gear 5 yang memiliki cita-cita dan kemahuan yang besar untuk
memajukan dan mengembangkan organisasi.
Dalam diri pemimpin gear 5 tersebut, terdapat kombinasi yang unik antara
kehendak cita-cita dengan kerendahan diri.
KEPIMPINAN GEAR 5 DALAM PERSPEKTIF DAKWAH
Organisasi dakwah memerlukan pola kepimpinan gear 5, di mana dalam diri seorang
pemimpin berpadu antara kerendahan diri dengan cita-cita profesional.
Kerendahan diri merupakan syarat agar organisasi dakwah akan semakin
diterima dalam masyarakat.
Kesombongan dan sikap yang bongkak merupakan penghalang sampainya dakwah
kepada masyarakat dan ianya berpotensi untuk menjadi sikap penolakan masyarakat
terhadap peribadi dan organisasi tersebut.
Masyarakat secara umumnya sangat menghargai kesantunan sikap bahkan
mereka akan merasa selesa jika sikap ini diposisikan secara tepat dan seimbang
sehingga ia tidak akan diperlekehkan, direndahkan, dihina atau diejek.
Usaha memuliakan orang lain ini memerlukan sikap kerendahan diri. Ini
bukan sikap rendah diri yang negatif, bahkan ia merupakan sikap yang mulia dan indah
yang justeru mengangkat pelakunya pada kedudukan yang terhormat.
Pemimpin tidak akan :
- Terhina kerana menampilkan sikap kerendahan diri,
kesederhanaan dan kesantunan.
- Hilang kewibawaannya kerana ia bersikap rendah
diri serta berani bergaul dengan masyarakat dan pihak yang dipimpinnya.
Namun, pemimpin akan dijauhi oleh anggotanya dan juga dibenci oleh masyarakat
umum apabila menampakkan sikap-sikap sombong, meninggi diri, pantang dikritik,
tertutup serta tidak dapat menerima masukan dari orang lain dan sentiasa menempatkan
dirinya pada posisi menara gading yang tidak tersentuh oleh anggota organisasinya.
Pada masa yang sama, pemimpin gear 5 memiliki cita-cita profesional.
Mereka memiliki semangat yang kuat, cita-cita yang hebat untuk memajukan
organisasi dakwah. Berbagai cara dan usaha mereka tempuhi agar dapat membawa
organisasi dakwah dari ‘baik’ menjadi ‘hebat’. Berbagai cara
pengurusan diterapkan untuk mengembangkan organisasi dakwah bagi mencapai visi
dan tujuan-tujuannya.
Citi-cita ini barangkali dalam bahasa dakwahnya disebut sebagai ‘tumuhat’. Ia bukan cita-cita yang
bersifat negatif, namun ia dalam erti keinginan untuk maju yang kuat demi
kemaslahatan dakwah dan umat.
Cita-cita yang negatif adalah apabila ianya bersifat peribadi dan
seluruh keinginan tersebut sekadar untuk kepentingan dirinya sendiri. Dalam
perspektif dakwah, ciri cita-cita ini samada bersifat peribadi atau cita-cita untuk
kebaikan organisasi, dapat dilihat dari ketaatan terhadap mekanisma organisasi.
Cita-cita yang bersifat peribadi apabila tidak mengindahkan peraturan
dan mekanisma organisasi, maka semua keinginan itu semata-mata merupakan
refleksi dari visi dan keinginan peribadi dan bukannya sebahagian dari usaha
untuk memajukan dan mengkonsolidasikan potensi organisasi dakwah.
MENYIAPKAN DIRI MENUJU PEMIMPIN DAKWAH GEAR 5
Apakah semua orang boleh menjadi pemimpin gear 5 ?
Jawabannya pasti: Boleh!
Dalam konteks dakwah, semua aktivis dakwah adalah pemimpin pada tahap
masing-masing. Pemimpin bagi diri, keluarga dan masyarakat. Sebahagian memikul
amanah sebagai pemimpin dalam struktur organisasi di peringkat daerah, negeri
dan pusat.
Ramai kalangan meyakini bahwa kemampuan memimpin adalah sesuatu yang
sifatnya ‘bawaan dari kelahiran’, namun sesungguhnya memimpin adalah
sesuatu yang boleh dipelajari.
Kuncinya ada pada sikap :
- Keterbukaan terhadap masukan.
- Kemahuan untuk berubah.
Tanpa dua perkara tersebut, seseorang tidak akan pernah membangun
sesuatu yang lebih besar dan lebih abadi. Orang-orang ini bekerja berdasarkan
apa yang akan mereka dapatkan seperti kemasyhuran, keuntungan, pujian,
kekuasaan dan lain sebagainya, bukan berdasarkan apa yang ingin mereka bangun,
ciptakan dan sumbangkan untuk kebaikan organisasi.
Orang-orang yang terbuka terhadap masukan dan memiliki kemahuan untuk
berubah, mereka memiliki peluang untuk terus mengembangkan diri dan menjadi pemimpin
gear 5.
Penilaian diri peribadi, kesedaran akan pengembangan diri, bimbingan
para mentor dan guru serta orang-orang terdekat, juga pengalaman hidup yang
hebat akan dapat mempercepatkan kita untuk menjadi pemimpin gear 5.
Pada era dakwah sekarang ini, Kepimpinan gear 5 sangat dirasakan keperluannya.
Kita memerlukan seramai mungkin pemimpin yang bersikap rendah diri namun
memiliki cita-cita yang sangat kuat untuk memajukan organisasi dakwah.
Jika ramai orang memiliki kualiti pemimpin gear 5, maka dapat dipastikan bahwa kita akan dengan cepat :
- Meraih kejayaan yang
berterusan.
- Menciptakan sebuah negara
dengan rakyat yang hidup saling mendukung dan bukan saling curiga mencurigai ataupun memusuhi antara satu dengan yang lain.
- Melahirkan suasana
damai dan sejahtera (tidak bermusuhan, tidak saling menjatuhkan dan
tidak saling membunuh).
Apakah kita tidak ada pemimpin gear 5?
Jika ada, di manakah para
pemimpin gear 5 ini bersembunyi?
Sudahkah kita melihat di sekeliling kita?
Jika kita menemui mereka, bergurulah kepada mereka.
Jika belum, ciptakan dan tanamkan kualiti kepimpinan gear 5 pada diri kita sendiri.
Ia bukanlah sesuatu yang mustahil kerana
kita mampu untuk menjadi pemimpin gear 5 yang diimpikan tersebut.
Ya Allah, berilah kemudahan kepada kami untuk
kami menggilap potensi yang diberikan olehMu bagi melahirkan pemimpin yang
berjiwa hamba namun memiliki cita-cita dan kekuatan himmah untuk menegakkan
kalimahMu di mukabumi ini.
Ameen Ya Rabbal Alameen
WAS