Rijal
berasal dari perkataan ‘Rojul’ (bahasa Arab) di mana secara
istilahnya mempunyai erti yang sangat luas iaitu segala sesuatu yang
menunjukkan :
a. Ketokohan.
b. Kepahlawanan.
c. Kepiawaian.
seseorang.
Oleh yang
demikian, Rijal boleh diertikan sebagai seorang pemimpin dan tokoh yang dikenali
serta mampu memikul amanah umat.
Di dalam Al-Qur’an,
perkataan ‘Rojul’ digunakan pada konteks kebaikan dan kepahlawanan.
Perhatikan
ayat-ayat berikut :
“dan
datanglah seorang laki-laki dari hujung kota bergegas-gegas seraya berkata:
"Hai Musa, Sesungguhnya pembesar negeri sedang berunding tentang kamu
untuk membunuhmu, sebab itu keluarlah (dari kota ini) Sesungguhnya aku termasuk
orang-orang yang memberi nasihat kepadamu” (QS Al-Qashash : 20)
“Bertasbih
kepada Allah di masjid-masjid yang telah diperintahkan untuk dimuliakan dan
disebut nama-Nya di dalamnya, pada waktu pagi dan waktu petang, Laki-laki yang
tidak dilalaikan oleh perniagaan dan tidak (pula) oleh jual beli dari
mengingati Allah, dan (dari) mendirikan sembahyang, dan (dari) membayarkan
zakat. mereka takut kepada suatu hari yang (di hari itu) hati dan penglihatan
menjadi goncang.” (QS An-Nur : 36 )
“Di
antara orang-orang mukmin itu ada orang-orang yang menepati apa yang telah
mereka janjikan kepada Allah; Maka di antara mereka ada yang gugur. dan di
antara mereka ada (pula) yang menunggu- nunggu dan mereka tidak merobah
(janjinya)” (QS Al-Ahzab : 23 )
Rijalud
Dakwah adalah :
1. Orang-orang yang memiliki kapasiti
ketokohan dan kepimpinan dalam menjalankan roda dakwah demi mencapai
tujuan-tujuan mulia kehidupan.
2. ‘Da’ie’ (pendakwah) profesional yang
handal dalam mengarahkan umat menjadi manusia-manusia yang bertaqwa.
Perkataan
‘da’ie’
dalam bahasa Arab adalah bentuk ‘isim fail’ (perkataan menunjukkan
pelaku) dari asal perkataan dakwah (da
’a wa) ertinya orang yang melakukan dakwah. Secara terminologinya, da’ie
iaitu setiap muslim yang berakal mukallaf dengan kewajiban dakwah.
Definisi terminologi
dakwah tersebut memberi kefahaman kepada kita bahwa kewajiban dakwah diberikan
kepada setiap muslim yang telah mencapai usia baligh, ‘aqil’ (berakal) dan ‘mukallaf’
(terpikul kewajiban-kewajiban syariah), baik lelaki mahupun perempuan.
Manakala
perkataan profesional pula berasal dari bahasa Inggeris “Professional” yang bererti
tenaga keahlian atau seseorang yang bekerja pada bidang tertentu yang
memerlukan keahlian dan kecekapan.
Sebahagian
orang menterjemahkan profesional ke dalam bahasa Arab dengan perkataan “Itqan” yang bererti mantap,
baik dan bermutu.
Sedangkan
dalam kamus-kamus bahasa Arab, perkataan Profesional diterjemahkan dengan perkataan
‘mihani atau hirfi atau muhtarif’
yang ertinya :
“Pekerja yang mempunyai keahlian
dan kecekapan.”
Oleh yang
demikian, ‘Da’ie Profesional’ adalah seorang pendakwah yang bekerja di
medan dakwah dalam segala komponennya secara baik, tertib, cekap dan
berdasarkan keahliannya sebagai da’ie.
‘Da’ie Profesional’ sebagaimana dalam definisi di atas adalah pendakwah
yang memikul amanah dakwah sekaligus akan menghadapi berbagai halangan dan tentangan
yang tidak mudah.
Merekalah
sebenarnya adalah ’Rijalud Dakwah’.
Rijalud Dakwah inilah yang memperolehi penghargaan dari Allah sebagai peribadi
terhormat sesuai dengan besarnya amanah yang dipikul.
Dia adalah :
a. Peribadi manusia pilihan Allah yang terhormat.
b. Manusia biasa yang diberi kelebihan oleh Allah swt berupa hidayah
(petunjuk) untuk beramal soleh dan mengajak orang lain untuk sama-sama beramal
soleh.
KEPIMPINAN
ADALAH SEBAHAGIAN DARI AGAMA
Demikian
besar perhatian Islam kepada kepimpinan, sehingga dalam hal musafir yang
dianggap kecil itu pun, Islam memandang perlu agar dilakukan pemilihan seorang
pemimpin, sepertimana yang Rasulullah
saw anjurkan agar memilih pemimpin ketika 3 orang mengadakan perjalanan (safar)
:
“Apabila tiga orang keluar untuk
melakukan perjalanan maka hendaklah mereka mengangkat salah seorang di antara
mereka sebagai pemimpin.” (HR Abu Daud).
Dalam ruangan
yang lebih besar lagi, Islam memandang bahwa kehidupan rumahtangga hendaklah
diatur dalam mekanisma kepimpinan dengan menumbuhkan ‘mas’uliyah’ (tanggungjawab) setiap anggota keluarga,
dari laki-laki sebagai seorang bapa dan suami, wanita sebagai ibu dan isteri,
anak-anak yang memberikan komitmen dan ketaatannya dalam menjaga keharmonian
dan norma kehidupan keluarga.
Rasulullah
saw menjelaskan hal tersebut dalam sabdanya :
“Setiap kamu adalah pemimpin dan
bertanggungjawab terhadap kepemimpinannya, laki-laki bertanggungjawab atas
seluruh keluarganya, wanita (ibu) bertanggungjawab atas rumah tangga
keluarganya, pembantu bertanggung jawab atas harta tuannya.” (Muttafaq ’Alaih)
Prinsip
kepimpinan juga nampak dalam ajaran solat berjamaah; ada imam yang meski
memiliki keupayaan sebagai seorang pemimpin jamaah solat, ada ma’mum sebagai
pengikut setia yang mengikuti segala gerak geri seorang imam.
Dalam
ruang lingkup yang lebih besar, kepimpinan ditegaskan sebagai sebuah
kelangsungan kehidupan bernegara dan bermasyarakat luas, terbukti adalah
prinsip taat sebagaimana firman Allah SWT :
“Wahai orang-orang beriman,
taatlah kepada Allah dan taatlah kepada Rasul serta kepada ulil amri di antara
kamu.” (QS An-Nisa’ : 59)
Model
kepimpinan inilah yang disebut-sebut oleh para ulama’ Islam sebagai sebuah persetujuan
para sahabat dan tabi’in yang menyatakan bahwa kepimpinan (al-Imamah) merupakan
kewajiban bagi warga muslim untuk merealisasikannya bagi menjalankan
tugas-tugas kemaslahatan dunia dan melaksanakan kewajiban-kewajiban agama
secara utuh dan sekaligus.
Demikian
pula para ulama’ Islam mengutamakan kepimpinan dengan perhatian yang khusus, kerana
kepimpinan ini adalah prinsip yang dapat memberikan dukungan besar bagi merealisasikan
ajaran Islam. Di antara para ulama’ tersebut adalah Ibnu Taimiyah yang
menegaskan dalam kitabnya “As-Siyasah Asy-Syar’iyah” :
“Wajib diketahui bahwa memimpin
urusan manusia termasuk kewajiban agung dalam agama, bahkan tidak akan tegak
agama kecuali dengannya. Sesungguhnya kepentingan dan kemaslahatan anak-anak
Adam tidak akan terealisisasi secara utuh kecuali dengan perkumpulan, kerana
mereka saling memerlukan antara satu sama lain. Dalam perkumpulan itu sudah semestinya
ada seorang pemimpin”.
KEPIMPINAN
BERMORAL & BERMARTABAT
Pemimpin
dalam Islam merupakan wakil dari umat yang menyatakan kesediaannya untuk
berdedikasi bagi umat. Oleh yang demikian, pemimpin dalam Islam bukan sekadar
seorang penguasa yang memiliki kekuasaan dan wewenangan mengurus masyarakat,
lebih dari itu ia adalah seorang ‘Mas’ul’
(Orang yang bertanggungjawab) dan ‘Khadim
al-Ummah’ (pelayan umat).
Abu Bakar
ash-Shiddiq memberikan contoh teladan bagi para pemimpin selepasnya untuk tetap
mengutamakan kebersamaan dalam memikul amanah besar itu, seraya berkata :
“Wahai
hadirin sekalian, sesungguhnya aku telah diangkat menjadi pemimpin kamu,
padahal aku bukanlah orang yang terbaik dari kamu. Jika kamu melihat aku berada
dalam kebenaran, maka bantulah aku, tetapi jika kamu melihat aku keliru maka
luruskanlah aku. Taatlah kepadaku selagi aku taat kepada Allah, sebaliknya jika
aku berbuat durhaka maka tidak ada kewajiban bagi kamu untuk taat kepadaku.”
Umar bin Al
Khatthab berkata pada hari pertama dinobatkan menjadi khalifah :
“Barangsiapa yang melihat
penyimpangan dari diriku maka luruskanlah aku”.
Demikian
para pemimpin selepas mereka meneruskan kefahaman ini kerana mereka sedar bahwa
pemimpin adalah penerima amanah yang memikul tanggungjawab berat di atas bahunya
sebagaimana dijelaskan oleh Rasulullah saw dalam sabda baginda :
“Kepimpinan adalah tanggungjawab,
dia (jika diabaikan) menjadi penyesalan dan kehinaan di hari kiamat.” (HR
Muslim)
Arahan
Rasulullah saw tersebut menegaskan bahwa kepimpinan dalam Islam :
1.
Bukan peluang untuk mencari kedudukan dan jawatan.
2.
Bukan kesempatan untuk meningkatkan sikap kediktatoran.
3.
Bukan saat yang sesuai untuk bersikap zalim.
Tetapi,
ia adalah amanah yang dipikul untuk mewujudkan :
a.
Ketenteraman.
b.
Keamanan.
c.
Kesejahteraan hidup umat manusia.
INTIPATI
KEPIMPINAN & KARAKTER RIJALUD DAKWAH
Intipati
kepimpinan adalah ‘Influence’ atau “Ta’tsir” iaitu memberikan pengaruh
iaitu usaha mempengaruhi orang lain dengan nilai-nilai tertentu dan cara-cara
tertentu untuk mencapai tujuan yang ditentukan.
Dalam prinsip
‘Influence’,
faktor-faktor yang dapat memberikan pengaruh boleh dalam bentuk akhlak mahupun
fizikal. Aspek Fizikal yang menjadi faktor terhadap pengaruh banyak dipelajari
dan dikenali orang ramai seperti penampilan, tutur bahasa, kesegaran fizikal
dan sebagainya.
TUGAS RIJALUD DAKWAH
Tugas utama ’Rijalud Dakwah’ adalah mengajak kepada kebaikan, amar makruf
dan nahi munkar, sebagaimana firman Allah swt :
“Dan hendaklah ada segolongan di antara kamu
berdakwah kepada al-khoir,
melakukan amar makruf nahi munkar, dan mereka itulah orang-orang yang
memperolehi kemenangan.” (QS Ali Imron : 102-104)
Ayat 102
di atas merupakan ayat yang menyatakan kewajiban berdakwah. Sebagian ulama’
berpendapat bahwa kewajiban dakwah hanya kepada sebahagian orang sahaja (fardhu
kifayah), namun ada pendapat lain yang mengatakan bahwa kewajiban dakwah adalah
fardhu ‘ain, setiap orang berkewajiban menyampaikan dakwah Islam sesuai
kemampuan yang dimilikinya.
Perkataan
(min) dalam kalimat (minkum) menunjukkan makna (tab’idh) yang bererti
sebahagian, maksudnya bahwa sebahagian orang sahaja yang berkewajiban untuk berdakwah,
kerana tidak semua orang mampu melakukan dakwah dengan benar dan baik. Pendapat
ini di antaranya diungkapkan oleh Imam Zamakhsyari. Mereka itulah yang disebut
sebagai Pemimpin Dakwah (Rijalud Dakwah).
Pendapat
lain memandang bahwa kata (min) dalam kalimat (minkum)
juga menunjukkan makna (bayan)
yang bererti keterangan, bahwa kewajiban dakwah dilakukan oleh kamu, perlaksanaannya
sesuai dengan kemampuannya, sebagaimana sabda Rasulullah saw
“Sampaikanlah dariku walau satu ayat.”
Hadith di
atas membawa maksud bahwa ajaran Islam yang bersifat kesejagatan dan
komprehensif ini mesti disebarkan kepada seluruh manusia, tidak hanya dengan
cara berceramah, tetapi juga melalui “Qudwah Hasanah”. Pendapat ini di antaranya
didukung oleh Imam Fakhrurrazi dalam tafsirnya “At-Tafsir Al-Kabir Wa Mafatih Al-Ghaib”.
Beliau mengatakan,
bahwa dakwah utama adalah menyeru kepada keimanan kepada Zat Allah,
sifat-sifatNya dan penyucianNya dari segala penyerupaan dangan alam. Dakwah
tersebut mengandungi dua kegiatan iaitu :
1. Perintah mengerjakan semua yang
layak dan makruf.
2. Perintah membenci dan menjauhi
segala yang tidak layak dan mungkar.
Ayat ini
ditutup dengan sebuah penegasan bahwa jalan kemenangan hakiki adalah dengan
cara aktif dalam dakwah, amar makruf dan nahi munkar (wa ulaaika humul muflihun); penegasan tersebut tersurat
dalam perkataan (Hum) iaitu ‘dhomir’ untuk orang ketiga,
yang diapit oleh ‘isim isyarah’ (ulaaika) sebagai ‘mubtada’ (subjek) dan perkataan
(al-muflihun) sebagai ‘khabar’ (kata keterangan).
Syed Qutb
menyatakan dalam tafsir “Fi Zilalil Qur’an” bahwa :
“Jika suatu kelompok atau komuniti yang berada
dalam lingkungan yang baik, saling membantu, bekerjasama dalam menyeru kepada
kebaikan, mencegah yang munkar; jika dengan ditegakkannya kebenaran maka segala
aspek kehidupan akan terhindar dari angkara kemurkaan dan segala bentuk
kemunkaran. Mereka itulah yang mendapatkan keberuntungan di dunia dan akhirat.”
Di antara
tugas Rijalud Dakwah juga adalah ‘Tabligh’ yang bererti menyampaikan
pesanan-pesanan kepada orang lain agar pesanan-pesanan tersebut difahami dan
diaplikasi secara baik dan benar, sehingga peranan ‘Tabligh’ ini dapat direalisasikan
dengan baik kepada mad’u dan dapat diterjemahkan dalam sikap perilaku yang baik.
Peranan ‘Tabligh’
sebagaimana yang dijelaskan di atas memerlukan orang yang mampu melaksanakan
dengan metod dan medium yang efektif dan efisyen di mana :
a. Efektif ertinya pesanan-pesanan
dapat dilaksanakan serta memberikan pengaruh yang signifikan.
b. Efisyen bererti perlaksanaan tersebut dilakukan secara baik namun dengan
hanya mengeluarkan tenaga dan usaha yang minimum.
Dengan kata lain, tugas ’Tabligh’ seperti ini
hanya dapat dilakukan oleh para pemikul amanah dakwah yang profesional.
Firman Allah swt :
"Wahai Rasul, sampaikan
(tabligh) apa yang diturunkan kepadamu dari Allah, jika engkau tidak lakukan
bererti engkau tidak menyampaikan (tabligh) risalahNya, Allah menjagamu dari
(gangguan) manusia, sesungguhnya Allah tidak memberi petunjuk kepada
orang-orang kafir.” (QS Al-Maidah : 67)
’Tabligh’ tidak sekadar menyampaikan pesanan tanpa usaha keras penyampaiannya
dapat diterima oleh mad’u dan direalisasikan dalam sikap dan perilaku mereka. Ini adalah kerana jika hanya sekadar
menyampaikan, maka dakwah tidak memerlukan kemunculan para pahlawan dakwah yang
berjuang dan berkorban demi kejayaan dakwah Allah swt.
Para rasul adalah peribadi dakwah profesional
yang sengaja diutuskan oleh Allah swt untuk menyampaikan (tabligh) pesanan-pesananNya
kepada umat manusia; dengan kerana itulah mereka dibekalkan dengan bekalan-bekalan
yang utama untuk menghadapi segala kemungkinan yang berlaku di saat melaksanakan
dakwah.
Dapat kita fahami bahwa ’Tabligh’ dalam erti
seluas-luasnya adalah tugas utama ’Da’ie Profesional’ atau ’Rijalud
Dakwah’.
Syeikh Al-Bayanuni dalam kitabnya, “Al-Madkhal
ila ilmi Ad-Dakwah’ memberi pengertian secara
lebih mikro bahwa ’Tabligh’ adalah sebahagian dari kegiatan dakwah ketika beliau mendefinisikan
dakwah, bahwa :
“Dakwah adalah ’Tabligh’
(menyampaikan) dan ’Ta’lim’ (mengajarkan)
Al-Islam kepada manusia serta (berusaha keras) mengajak untuk mengamalkan
ajaran Islam dalam realiti kehidupan.”
MISI RIJALUD DAKWAH
a.Misi Menegakkan Keadilan.
Firman Allah swt :
”Sesungguhnya Allah menyuruh kamu supaya menyerahkan
segala jenis amanah kepada ahlinya (yang berhak menerimanya), dan apabila kamu
menjalankan hukum di antara manusia, (Allah menyuruh) kamu menghukum dengan
adil. Sesungguhnya Allah dengan (suruhanNya) itu memberi pengajaran yang
sebaik-baiknya kepada kamu. Sesungguhnya Allah sentiasa Mendengar, lagi
sentiasa Melihat.” (QS An-Nisaa’ : 58)
Para mufassir mengatakan bahwa ayat ini adalah
perintah Allah kepada manusia beriman untuk menjaga dan menyampaikan amanah
serta berlaku adil dalam menegakkan hukum bagi seluruh manusia. Ada juga sebahagian
mufassir dari kalangan sahabat yang mengatakan, bahwa ayat ini difokuskan untuk
para pemimpin dan penegak hukum.
Syed Qutb berkata di dalam tafsir ”Fi
Zilalil Qur’an” bahwa :
“Pesanan-pesanan dalam ayat ini merupakan kewajiban syar’ie bagi umat
Islam dan merupakan akhlak mulia bagi umat ini iaitu menjaga / menyampaikan
amanah dan menegakkan hukum secara adil, berdasarkan sistem dan ajaran Allah
swt.”
Sabda Rasulullah saw dalam sebuah hadith :
”Tujuh orang yang akan mendapat perlindungan
Allah pada hari yang tidak ada perlindungan selain dari perlindungan Allah, di
antaranya pemimpin yang adil.” (HR Bukhari dan Muslim)
Sabda Nabi saw lagi :
“Para pemimpin yang adil di akhirat kelak
berdiri tegak di atas mimbar-mimbar yang bercahaya.” (HR Muslim)
Arahan-arahan Rabbani inilah yang mendasari
kepimpinan Islam sepanjang sejarah kemanusiaan di mana dengan jelas Allah swt mengaitkan
keadilan dengan persamaan antara kelompok sosial, tanpa membezakan antara orang
yang berstatus sosial tinggi atau rendah, atau antara ’sayyid’ dengan yang ’bukan
sayyid’, tidak dikenali dalam masyarakat Islam kaum “agamawan”
apalagi feudalisma. Keterkaitan tersebut bukan sekadar berbentuk konsep dan teori
semata-mata, tetapi ia merupakan bukti konkrit dalam sikap dan perilaku para
pemimpin Islam dalam sejarah.
Jika kita meneliti ayat di atas, pada permulaan ayat,
amanah dan keadilan dinyatakan dengan perkataan “amar” (perintah) tetapi
pada penutup ayat dinyatakan dengan sebutan “mau’izhah” (nasihat). Di antara hikmahnya adalah bahwa
dengan sebutan nasihat dan bimbingan dari Allah diharapkan amanah dan keadilan
dapat dilaksanakan dengan lapang dada dan ketulusan hati; ternyata ia bukan
hanya perintah, tetapi ia merupakan nasihat yang baik dari Pencipta hambaNya.
b) Misi Menyebar Rahmat Ke Seluruh Alam
Allah swt berfirman :
"Dan tidaklah Kami utus engkau (Wahai Muhammad) selain sebagai
rahmat bagi sekalian alam." (QS al-Anbiya : 107)
Rahmat (kasih sayang) adalah seuntai perkataan sejuk yang dirindukan oleh
setiap insan dari manapun kasih sayang itu datang. Kasih sayang bukanlah
sekadar untaian kata-kata manis yang didambakan, bahkan lebih dari itu, ia
merupakan keperluan hidup manusia untuk saling menyayangi, agar mereka mampu
hidup secara seimbang dan sejahtera.
Dalam Al-Qur'an, rahmat menjadi sebuah perkataan yang mengandungi segala
unsur kebaikan dan keindahan.
Ada 14 makna dari perkataan ’Rahmat’ dalam ayat-ayat Al-Qur'an
antara lain :
PERTAMA :
Rahmat ialah Islam itu sendiri, sepertimana dalam surah Al-Insan (Dia
Allah memasukkan siapa yang dikehendakiNya ke dalam rahmatNya…)
sebagaimana Allah firmankan dalam surat-surat al-Fath, al-Baqarah dll.
KEDUA :
Rahmat juga bermakna Syurga, seperti dalam firmanNya; "dan
sedangkan yang putih wajahnya mereka berada dalam rahmat Allah"
yakni SyurgaNya. Demikian
firmanNya dalam ayat-ayat lain.
KETIGA :
Makna
rahmat yang lain adalah ‘Hujan’, Allah swt berfirman : "Dan
Dia Allah yang meniupkan angin sebagai pembawa berita gembira sebelum
kedatangan rahmatNya" (QS al-A'raf : 57) iaitu: hujan. Seperti yang
tertera dalam surah Al-Furqan, Ar-Rum dan sebagainya.
KEEMPAT :
Rahmat
juga bererti kenabian, firman Allah swt dalam surah Shad : "Apakah mereka memiliki
kunci-kunci rahmat Tuhanmu Yang Maha Perkasa lagi Maha Pemberi".
Rahmat di sini adalah kenabian. Hal ini senada dengan firman Allah dalam surah Az-Zukhruf:
"Apakah
mereka mampu menganugerahkan rahmat Tuhanmu" yakni kenabian.
KELIMA :
Rahmat
juga bermakna kenikmatan. FirmanNya : "(Yang dibacakan itu adalah) penjelasan
tentang rahmat Tuhanmu kepada hambaNya Zakaria". Rahmat dalam ayat
ini bererti kenikmatan. Demikian firmanNya dalam surah Aal-Kahfi, Ali Imran,
Yunus dan lain-lain.
Makna-makna
lain dari perkataan Rahmat dalam al-Qur'an adalah : rezeki, pertolongan dan
kemenangan, keselamatan, kecintaan, iman, taufiq (kemudahan), Isa a.s dan Nabi
Muhammad saw sendiri adalah rahmat.
Al-Asfahani
melalui kajiannya dalam kitab ‘Al Mufradat Li AlFazhil Qur’an’ membezakan
antara rahmat dari Allah yang bermakna ‘ihsan’
(berbuat baik secara bijak), sedangkan rahmat manusia adalah ‘riqqah’ (rasa hiba) dan ‘ta'athuf’ (simpati). Oleh
kerana itulah sifat Ar-Rahman hanya milik Allah swt semata-mata kerana hanya
Allah yang mampu memberikan kurniaanNya kepada semua makhlukNya di dunia tanpa
pilih kasih. Namun Allah swt mengkhususkan rahmatNya untuk orang beriman di akhirat
kelak, penjelasanNya: "…Rahmat-Ku meliputi segala sesuatu, Aku akan tetapkan (rahmat-Ku) untuk
orang-orang bertaqwa…" (QS al-A'raf : 156)
Syed Qutb
berkata dalam tafsir ‘Fi Zilalil Qur’an’ bahwa :
“Islam sebagai agama rahmat telah banyak memberikan
bukti nyata dalam realiti kehidupan manusia, kerana Islam adalah ‘manhaj’
(sistem hidup) yang sesuai dengan fitrah dan kemampuan yang dimiliki manusia. Tiada
satu ajaran Islam pun yang di luar batasan kemampuan manusia. Meskipun pada
awalnya kerahmatan Islam kadang-kadang tidak dirasai oleh sebahagian orang, kerana
mungkin kerahmatan tersebut memang tidak selari dengan realiti hidup mereka
yang paradoks dengan fitrah. Namun dengan sering berlakunya interaksi antara manusia
dengan ajaran Islam tersebut, maka perlahan-lahan tapi pasti bahwa mereka akan merasakan
keakraban, kesejukan dan kedamaian Islam.”
Kerahmatan
Islam tidak hanya tercermin pada intipati Islam itu sendiri, tetapi cerminan
itu tergambar dalam kehidupan para pemimpin Islam, khususnya imam ‘Rijal
Dakwah’ Nabi Muhammad saw, yang diberi julukan "Rauufur Rahim" (Penyantun dan Pengasih) sebagaimana
dinyatakan sendiri oleh baginda.
"Sungguh aku adalah rahmat dan petunjuk
jalan" (HR Al-Baihaqi, Ad-Darimi dari Abu Hurairah).
Beliau
pun meninggalkan pesanan yang monumental tentang rahmat itu.
"Barangsiapa yang tidak memiliki rasa kasih
sayang kepada manusia, maka Allah tidak akan sayang kepadanya." HR
Muttafaq 'Alaih)
Kerahmatan
tersebut juga wujud dalam kehidupan para pengikut Nabi seperti yang dinyatakan
Allah "Ruhama' Bainahum"
(mereka saling kasih mengasihi) dengan sikap saling menghargai,
menghormati, tidak menganiaya dan tidak merugikan orang lain, saling membantu
dan membahu, kerana mereka seakan satu jasad yang salah satu anggotanya terasa
sakit dengan apa yang dirasakan oleh anggota lainnya.
Sikap
toleransi itu juga nampak pada sikap-sikap sahabat Rasulullah saw sebagai
pengikutnya yang setia.
Ketika
Abdullah bin Amr menyembelih kambing untuk keluarganya. Dia bertanya: "Apakah kamu sudah memberikan daging
itu kepada tetangga kita yang Yahudi itu? Saya mendengar Rasulullah saw
bersabda : "Jibril tidak
henti-hentinya memberikan wasiat kepadaku supaya berbuat baik kepada tetangga
sehingga saya menyangka bahwa tetangga akan mendapatkan warisan (dari hartaku)."
(HR Abu Daud, Tirmizi dari Mujahid).
Rahmat Islam rupanya benar-benar ’lil-'alamin’
(bagi semesta alam). Tidak hanya manusia, tetapi haiwan, tumbuh-tumbuhan
dan lingkungan hidupan, semuanya memperolehi rahmat Islam.
Ibnu Abbas meriwayatkan, ada seorang lelaki yang merebahkan kambingnya
sementara dia masih menajamkan pisaunya. Lalu Nabi bersabda : "Apakah engkau ingin membunuh kambing
itu dua kali? Jangan lakukan itu. Tajamkan pisaumu sebelum kamu merebahkan
kambingmu".
Ibnu Sirin juga meriwayatkan, bahwa Umar melihat seorang sedang menyeret
kaki kambing untuk disembelih, seraya menegur orang tersebut : "Jangan lakukan itu!!! giringlah haiwan
itu menuju kematiannya dengan baik." (HR Imam An-Nasai’e)
Kini ramai orang yang mendambakan rahmat kasih sayang. Betapa tidak, hampir
setiap hari mereka menyaksikan adegan-adegan kesombongan, menyayat hati serta memilukan
yang kini menjadi fenomena biasa yang memang menyedihkan namun, ianya sudah
menjadi suatu realiti.
Setiap diri kita sebenarnya mampu untuk merealisasikan Islam yang bersifat
’Rahmat’
itu dalam setiap nafas yang keluar, dalam seluruh langkah-langkah kehidupan
kita dan dalam setiap aktiviti kerja kita untuk meraih ridhaNya.
Kuncinya adalah Yakin dan Sabar. Firman Allah swt :
”Dan Kami jadikan dari mereka sebagai imam-imam (pemimpin) yang mendapat
petunjuk dari Kami (pemimpin yang soleh), ketika mereka bersabar dan yakin
dengan ayat-ayat Kami (QS As-Sajdah 32 : 24)
PERANAN RIJALUD DAKWAH
Dua misi besar (menegakkan keadilan dan menyebar
rahmat ke seluruh alam) ini menjadikan para ’Rijalud Dakwah’ memikul
peranan-peranan strategik bagi umat, iaitu :
PERTAMA : TABLIGH
Ia adalah peranan
untuk menyampaikan Islam secara dalaman mahupun luaran. Pada tahap dalaman,
dakwah Islam berusaha untuk melakukan interaksi sosial terhadap kaum muslimin
yang bertujuan untuk meningkatkan kualiti dan kuantiti informasi Islam yang
diterima oleh kaum muslimin. Sedangkan pada tahap luaran, dakwah Islam dalam
bentuk organisasi berasaskan Islam “Rahmatan
Lil-’alamin“ perlu menembusi daerah-daerah yang terbelakang samada yang
belum atau kurang mendapat informasi Islam.
KEDUA : TAU’IYAH
Ia adalah
peranan mengembangkan ‘Wa’yu
Islami’ (kesedaran Islam) kepada umat terhadap tanggungjawab dan
peranan hidup bagi setiap muslim, agar mampu mengekspresikan diri selaku muslim
serta merealisasikan keislamannya. Dengan kesedaran yang tinggi dan kemampuan
ekspresi dan realisasi Islam, diharapkan seterusnya mampu untuk memberikan sumbangan
positif bagi kehidupan bernegara termasuk membangun potensi umat, membangun
bangsa dan negara di samping memelihara integrasi bangsa dan negara.
KETIGA : TAUJIH
Ia adalah
peranan untuk mengarahkan potensi umat yang telah sedar bagi tujuan memberikan sumbangan
positif kepada umat agar potensi tersebut lebih efektif dan efisyen. Peranan ‘taujih’ juga mencakupi usaha
mengarahkan orientasi umat agar dapat dikerahkan, dikoordinasi, dikonsolidasi
dan dimobilisasi untuk mencapai berbagai kebaikan (Al-Khairat). Potensi umat yang di’taujih’kan ini dimaksudkan agar tidak terkumpul
pada institusi-institusi yang tidak Islamik atau pada organisasi dakwah yang
tidak jelas prinsip dan orientasinya. Ia bermaksud agar potensi tersebut tidak dibazirkan
atau berlaku pertindanan potensi dalam menangani permasalahan-permasalahan
umat.
KEEMPAT : TARSYID / IRSYAD
Ia adalah
peranan bimbingan terhadap potensi umat yang telah di’taujih’, agar selamat
dalam menghadapi jalan yang berliku-liku yang penuh dengan ’jeratan-jeratan’, dan
selamat dari penyimpangan kerana tarikan-tarikan dan rayuan-rayuan menggoda
untuk menjerumuskan dakwah dan pembelanya. Peranan ‘tarsyid/irsyad’ ini
dikemaskan dalam program silaturahim dan pertemuan yang diprogramkan antara
para pendakwah dalam rangka memelihara pemikiran dan meningkatkan wawasan
keislaman, mengarahkan emosi, menguatkan minda dan meningkatkan kualiti ketaqwaan
dan kerohanian pendakwah.
KELIMA : HIMAYAH
Ia adalah
peranan memelihara dan menjaga kewujudan dan kemampuan dakwah Islam dalam
melaksanakan misinya. Peranan ini mencakupi usaha-usaha pemeliharaan
da’ie terhadap:
1. Nilai-nilai dakwah dari usaha tahrif‘ (perubahan dan
penyimpangan)
2. Kesejahteraan umat dari usaha-usaha taj’zi’ah‘
(pemecahan kelompok) yang boleh mengakibatkan umat terpecah dalam kelompok-kelompok
berbeza.
3. Pemeliharaan ajaran Islam dari usaha-usaha tasywih (penyelewengan ajaran), yang boleh menimbulkan pandangan
/ sangkaan yang buruk terhadap Islam.
KEPIMPINAN ISLAM DALAM BINGKAI SEJARAH
Ketika umat manusia dilanda berbagai krisis dan kemerosotan dalam
berbagai bidang, krisis dalam pandangan hidup, pemikiran, perasaan mereka
tertutup oleh nafsu duniawi yang membabi buta, nilai kemanusiaan saat itu
lenyap bahkan berubah menjadi kebinatangan; pembunuhan jiwa, mengubur anak
hidup-hidup, penganiayaan adalah salah satu sisi gelap kehidupan mereka.
Maka, ketika itu kelahiran ‘Juru-Selamat’ yang ditunggu-tunggu
muncul ke permukaan bumi, pemimpin umat manusia yang mengalami krisis multi
dimensi tersebut sedang dinantikan; persis sepertimana yang dijelaskan oleh Rasulullah
saw sendiri dalam sabda baginda :
“Perumpamaanku
adalah bagaikan bagaikan seorang yang menyalakan api. Maka tatkala api itu
menerangi ruangan sekitarnya, tiba-tiba serangga-serangga berterbangan
menjatuhkan diri ke dalam api itu. Dan orang tersebut telah berusaha
menghalaunya. Namun serangga-serangga tersebut tetap mendesak masuk ke dalam
api tersebut. Kata baginda : ’Maka itulah perumpamaanku dengan kamu, aku telah berusaha melindungimu dengan
api neraka, jauhi api neraka, jauhi api neraka, namun kamu tetap nekad dan
masuk ke dalamnya.” (HR Muslim)
Peribadi Nabi Muhammad saw yang memiliki kebersihan jiwa, kemuliaan
akhlak dan ketinggian akhlak adalah peribadi yang dinantikan umat manusia ketika
itu. Baginda merupakan peribadi yang teguh, tegar dan tabah, peribadi yang diperlukan
oleh umat manusia untuk menuntun mereka ke jalan yang lurus, mewujudkan
keadilan, menumpas segala bentuk kezaliman, menyebarkan kedamaian dan memerangi
berbagai jenis penyimpangan, sehingga agama Allah berdiri tegak di antara
agama-agama yang lain, kerana
“Kalimatullah (agama Allah) adalah tertinggi, tidak ada yang lebih tinggi
darinya” (al-hadits).
RAHSIA
KEJAYAAN PARA PEMIMPIN DAKWAH
Melihat sejarah Islam dan meneliti
sikap dan perilaku para pemimpin umat, Abul Hasan Ali An-Nadawi menjelaskan
beberapa rahsia kejayaan yang diraih oleh para pemimpin Islam dalam perjalanan
sejarah peradaban umat manusia, antara lain :
PERTAMA :
Mereka adalah orang-orang yang
memiliki pegangan hidup, ibarat buku tetap kepimpinan yang menjadi rujukan
dalam gerak dan langkah memimpin umat, yang sekaligus berfungsi sebagai nur
cahaya penerang bagi kepimpinan umat.
Firman Allah swt :
”Dan apakah orang yang mati lalu kami hidupkan dan baginya cahaya
berjalan dengan cahayanya seperti orang yang dalam kegelapan dan tidak dapat
keluar dari kegelapan itu?” (QS Al-An’am : 122)
KEDUA :
Mereka adalah aktivis-aktivis utama
yang dibina oleh Rasulullah saw untuk menjadi pemimpin yang memikul amanah
risalah Islam.
KETIGA :
Mereka adalah orang-orang yang
memiliki misi kepimpinan yang jelas, iaitu: ”Menyelamatkan umat manusia dari perhambaan sesama manusia, membawa
umat manusia kepada keadilan Islam yang berorientasikan dunia dan akhirat”.
KEEMPAT :
Mereka adalah peribadi-peribadi
yang menjunjung tinggi nilai-nilai kemanusiaan dalam berbagai aspeknya,
jasmani, rohani dan akal. Misi mereka membawa manusia untuk dapat hidup secara
seimbang antara aspek-aspek kemanusiaan tersebut. Pandangan yang seimbang ini
yang mampu membawa kejayaan mereka dalam mewujudkan kehidupan secara
berkeadilan dan bermartabat di mata bangsa-bangsa lain.
Ya Allah, lahirkanlah di
kalangan kami ’Rijalud Dakwah’ yang akan memikul bebanan dan amanah dakwah
yang menjadi pemimpin umat dan melaksanakan tugas dan peranan yang utama untuk
mencapai misi menegakkan keadilan dan menyebarkan rahmat Allah ke seluruh alam.
Ameen Ya Rabbal Alameen.
WAS