‘Himmah’ boleh diertikan sebagai sebuah kekuatan dalaman yang menjadi pendorong kepada keberhasilan dan pencapaian sesuatu matlamat dan tujuan. Ia membentuk gelombang yang terus bergejolak bagaikan angin deras yang bergulung-gulung.
Ia menggambarkan sebuah :
- Hati yang bergejolak.
- Jiwa yang sentiasa meronta-ronta.
- Cita-cita yang memandang jauh ke depan.
Barangsiapa yang dikurniakan ‘Himmah’, maka semangatnya akan membawa dirinya berkelana walaupun dia tetap tinggal ditempatnya. Hanya dengan bermodalkan ‘Himmah’, seseorang akan mampu melakukan perjalanan yang jauh, walaupun dia sekadar duduk di rumah.
Ia adalah rahsia kejayaan semua pejuang dan pendakwah sepanjang lintasan sejarah.
‘Himmah’ yang tinggi akan mendorong pemiliknya untuk :
- Lahir sebagai pejuang sejati.
- Sanggup berkorban mempertahankan keyakinan dan jati dirinya menghadapi cabaran luar.
‘Himmah’ kebiasaannya diberi pengertian sebagai cita-cita. Namun jika kita menyelami dan memperhalusi maknanya yang sebenar, ia bererti :
‘Sesuatu yang sentiasa hangat dan ada dalam fikiran kita’.
Pada siang hari, ia sentiasa difikirkan manakala pada malam hari, ia terus diimpikan.
Secara bahasanya, ‘Himmah’ bererti :
a. “An Niyyah“ (niat).
b. “Al Iradah” (kehendak).
c. “Al Azimah” (tekad).
Dalam makna ini terdapat tiga perkataan yang berbeza iaitu pertamanya berupa niat yang sifatnya berupa catatan hati, kemudian diikuti dengan iradah atau kehendak yang kuat lalu akhirnya diteruskan dengan tekad untuk melaksanakan kehendak tersebut.
Allah swt berfirman :
“Sesungguhnya wanita itu telah bermaksud (melakukan perbuatan itu) dengan Yusuf dan Yusuf pun bermaksud (melakukan pula) dengan wanita itu andaikata dia tidak melihat tanda dari tuhannya.” ( QS Yusuf : 24)
Dalam ayat ini boleh diertikan bahwa belum ada perbuatan atau amal tapi ianya masih berupa ‘Himmah’ atau niat.
Dalam ayat ini boleh diertikan bahwa belum ada perbuatan atau amal tapi ianya masih berupa ‘Himmah’ atau niat.
Dalam ayat tersebut terdapat perkataan “wahammabiha” yang ertinya keinginan terhadapnya (wanita tersebut).
Bukankah Nabi Yusuf as adalah seorang nabi, jadi bagaimana mungkin dia memiliki ‘Himmah’ kepada wanita tersebut ?
Dalam kaidah bahasa Arab ada istilah “takdim wa ta’khir” (kalimat didahulukan dan diakhirkan).
Jadi menurut kaidah ini bererti seandainya Nabi Yusuf as tidak mendapatkan petunjuk dari Allah swt, pasti Nabi Yusuf as juga berkeinginan terhadap wanita tersebut. Maka pada intipatinya bahwa Nabi Yusuf as tidak berkeinginan terhadap wanita tersebut kerana sebelumnya baginda telah mendapatkan petunjuk dari Allah swt.
KEKUATAN HIMMAH
Fenomena alam kebiasaannya memberikan gambaran yang tepat betapa “Himmah” mempunyai kekuatan yang luar biasa.
- Jalan yang panjangnya satu km mampu ditempuh hanya dengan memulakan satu langkah.
- Kura-kura boleh menang ke atas Sang Kancil kerana dia terus melakukan perjalanan dengan tekun walaupun dia melangkah sangat lambat sedangkan Sang Kancil menggantungkan dirinya pada kecepatan langkahnya sehingga dia akhirnya terpaku pada kerehatan.
- Tali akan memberi bekas pada batu apabila ianya terus menerus digoreskan.
- Batu besar akan menjadi berlubang disebabkan oleh titisan air yang terus menerus menitik.
Barangsiapa yang rajin dan tekun, maka dia akan tumbuh berkembang.
Benarlah kata-kata seorang penyair :
“Jalanlah dengan cepat, sebab kematian di belakang berlari cepat
Tidak mungkin, tidak akan selamat, jika hanya berlambat-lambat
Kita akan rugi dunia akhirat”
‘Himmah’ terus wujud dan menyatu dengan jiwa.
1. Ke manapun kita pergi, ia sentiasa di bawa.
2. Di manapun kita berdiam, ia tidak akan hilang.
Ia terus mewarnai setiap langkah dan gerakan kita di mana dalam istilah ‘sufi’ nya :
‘Himmah sentiasa muncul dalam setiap diam dan gerakan kita.’
‘Himmah’ juga mempunyai hubungkait dengan perkataan ‘hamm’ yang bentuk jamaknya adalah ‘humum’ yang secara mudah biasa diterjemahkan sebagai ‘kesedihan’.
Memang demikian ertinya iaitu :
Apabila seseorang yang mempunyai ‘himmah’ terhadap sesuatu, ia akan terus merasa sedih dan tidak akan (bahkan tidak mahu) mengecapi sedikitpun kebahagiaan jika apa yang menjadi ‘himmah’ nya itu belum kesampaian dan puncak kebahagiaannya adalah ketika ia berhasil mewujudkan apa yang menjadi ‘himmah’ nya itu.
Jika dakwah boleh kita definasikan sebagai :
‘Usaha untuk mempengaruhi dan mengajak mad’u ke jalan Allah swt, jalan Islam, jalan Nabi Muhammad saw.’
Maka,
‘Himmah’ seorang pendakwah boleh kita ertikan sebagai :
‘Kesedihan pendakwah tersebut dan ke-"tidak-mahuannya" untuk mengecapi sedikitpun kebahagiaan jika belum berhasil membawa seorang manusiapun kepada jalan hidayah, jalan Allah swt, jalan para Nabi, shiddiiqin, syuhada’ dan solehin.’
Ia hanya akan merasa puas, bahagia dan gembira apabila telah berhasil menjadi penyebab mendapat hidayahnya seorang manusia untuk memeluk Islam, hidup dengannya dan mati dengan tetap menyandang kedudukannya sebagai seorang muslim.
Namun, sebagai seorang muslim yang menyedari peranannya sebagai sebaik-baik umat yang dikeluarkan untuk manusia, di mana salah satu karakternya adalah menyeru kepada perkara yang ma’ruf dan mencegah daripada perkara mungkar, ‘himmah’ pendakwah itu tidak akan berhenti sehingga ia telah berjaya menjadi penyebab kepada seseorang itu mendapat hidayah dari Allah swt.
‘Himmah’ itu akan kembali muncul dalam dirinya dan akan terus muncul sehingga ia kembali kepada Allah swt.
Jadi, setiap manusia mempunyai keinginan, namun tidak semua manusia memiliki keinginan (“Himmah”) yang kuat.
‘Himmah’ tidak boleh dilihat secara zahir kerana ‘Himmah’ adalah masalah yang berkait dengan hati dan akal fikiran manusia, bukan masalah amal.
‘Himmah’ tidak boleh dilihat secara zahir kerana ‘Himmah’ adalah masalah yang berkait dengan hati dan akal fikiran manusia, bukan masalah amal.
Rasulullah saw bersabda :
“Sesunggunya Allah telah menetapkan kebaikan-kebaikan dan kejahatan-kejahatan kemudian menjelaskannya, maka barang siapa yang bermaksud berbuat kebaikan lalu belum sempat mengerjakannya, Allah mencatat disisinya sebagai satu kebaikan sempurna. Dan jika dia bermaksud berbuat kebaikan lalu dia mengerjakannya, Allah mencatatnya sepuluh kebaikan dan akan dilipat gandakan sampai tujuh ratus lebih, hingga dilipatgandakan yang banyak sekali. Dan jika dia bermaksud berbuat kejahatan, tetapi dia tidak mengerjakannya, Allah mencatat baginya disisiNya satu kebaikan yang sempurna. Dan jika bermaksud berbuat kejahatan dan melakukannya, maka Allah mencatat baginya satu kejahatan”. (HR Buhari dan Muslim)
Dalam hadits ini Rasulullah saw menjelaskan bahwa ‘Himmah’ ada 2 jenis iaitu :
Dalam hadits ini Rasulullah saw menjelaskan bahwa ‘Himmah’ ada 2 jenis iaitu :
PERTAMA : ‘HIMMATUL ALIYAH’ (KEINGINAN YANG TINGGI)
KEDUA : ‘HIMMATUD DANIYAH’ (KEINGINAN YANG RENDAH)
Sesungguhnya Allah swt mencintai perkara-perkara yang mulia dan membenci perkara-perkara yang rendah atau hina.
Allah swt mencintai perkara yang tinggi / mulia / baik dalam agama, amal, dakwah di jalan Allah serta membenci perkara-perkara yang rendah, tidak bernilai dan hina, samada berupa perkara-perkara yang haram ataupun yang harus.
PERTAMA : KETINGGIAN HIMMAH
PERTAMA : KETINGGIAN HIMMAH
Seseorang itu dikatakan memiliki ketinggian ‘Himmah’ ketika ia telah menganggap remeh segala perkara-perkara di bawah cita-citanya.
Misalnya seorang pendakwah yang bercita-cita untuk menyebarkan agama Allah swt, dia dikatakan memiliki ‘Himmah’ yang tinggi, ketika dia :
- Telah menganggap remeh perkara-perkara selainnya.
- Tidak mempeduli sesuatu apapun akan halangan yang akan dihadapi serta pengorbanan yang mesti dibayar walaupun mahal untuk memenuhi tujuan tersebut.
Diceritakan dalam riwayat dakwah Rasulullah saw, ketika orang–orang Quraish mendatangi bapa saudara Rasulullah saw iaitu Abu Talib dan memintanya supaya memujuk Rasulullah agar menghentikan dakwahnya. Setelah Abu Talib menyampaikan perkara tersebut, maka Rasulullah berkata :
“ Wahai bapa saudaraku, andaikan mereka meletakkan matahari ditangan kananku dan bulan ditangan kiriku agar supaya aku meninggalkan dakwah ini. Aku tidak akan meninggalkannya hingga aku binasa”.
Kisah Rasulullah saw ini menunjukkan tingginya ‘Himmah’ baginda dalam memperjuangkan agama Allah ini sehingga baginda telah menganggap remeh semua perkara-perkara yang menghalang dakwah Islamiyah.
KEDUA : KERENDAHAN HIMMAH
KEDUA : KERENDAHAN HIMMAH
Ia berlaku ketika jiwa kita lemah terhadap tingkatan perkara-perkara yang tinggi atau mulia dan lebih memilih ridha pada perkara-perkara yang rendah.
Jadi orang yang memiliki kerendahan ‘Himmah’ ini adalah orang yang remeh, rendah yang tidak mahu mencari masalah dan majoriti kaum muslimin sekarang ini berada dalam tingkatan ini.
Diriwayatkan tentang panglima perang di zaman pemerintahan seorang Gabenur Basrah yang bernama ‘Al Hajjaj’. Al Hajjaj memerintahkan panglimanya untuk memerangi orang-orang ‘Khawarij’ yang jumlahnya lebih kurang 200 orang tentera sedangkan panglima ini memiliki pasukan lebih kurang 1000 orang tentera. Sungguh, ianya satu pertempuran yang tidak seimbang, namun orang ‘Khawarij’ terkenal sebagai orang-orang yang memiliki keberanian. Orang ‘Khawarij’ adalah orang yang tidak mudah putus asa dalam mewujudkan keinginan mereka hingga akhirnya dalam pertempuran itu ternyata pasukan ‘Khawarij’ menang dalam peperangan tersebut.
Setelah peperangan selesai dengan membawa kekalahan, panglima tersebut kembali menghadap gabenur ‘Al Hajjaj’ dan ‘Al Hajjaj’ hairan mengapa pasukan ‘Khawarij’ yang jumlahnya sedikit mampu mengalahkan pasukannya yang jumlahnya lebih banyak.
Ternyata akhirnya bahwa panglima perang tersebut adalah seorang yang memiliki ‘Himmah’ yang rendah di mana beliau merasakan lebih baik pulang dalam keadaan hidup, walaupun perlu berhadapan dengan gabenur.
Dalam kisah ini menunjukkan lemahnya ‘Himmah’ yang dimiliki oleh panglima perang ini di mana dia lebih memilih hidup dalam kehinaan daripada mati dalam kehormatan.
Setiap manusia secara umumnya memiliki keinginan atau ‘Himmah’, namun tiap-tiap seseorang memiliki tingkatan ‘Himmah’ yang berbeza sehingga dalam kehidupan akan berlaku perbezaan-perbezaan dalam tingkatan amal.
Firman Allah swt :
“Sesungguhnya usaha kamu memang berbeza-beza” (QS Al Lail : 4)
Berdasarkan ayat di atas, amalan manusia dibezakan dalam 2 perkara iaitu :
PERTAMA : Amal yang dikerjakan semata-mata untuk mendapatkan keridhaan Allah swt.
Ini hanya dilakukan oleh orang yang memiliki iman yang teguh dan kuat serta mencari kemuliaan disisi Allah swt di mana dalam ayat berikutnya Allah swt memberi jaminan kemudahan baginya.
Allah swt berfirman :
Allah swt berfirman :
“Adapun orang yang memberikan hartanya (dijalan Allah) dan bertaqwa. Dan membenarkan adanya pahala yang baik (syrga). Maka kami kelak akan menyiapkan baginya jalan yang mudah”. (QS Al Lail : 5-7)
KEDUA : Amal yang dikerjakan bukan kerana Allah swt.
Ianya dilakukan oleh orang-orang yang memiliki keinginan yang rendah semata-mata kerana nafsu dan keinginan dunia, maka Allah swt memberikan ancaman kepadanya.
Allah swt berfirman :
Allah swt berfirman :
“Dan adapun orang-orang yang bakhil dan merasa cukup, serta mendustakan pahala yang terbaik. Maka kelak kami akan menyiapkan baginya jalan yang sukar. Dan hartanya tidak bermanfaat baginya apabila ia telah binasa”. (QS Al Lail : 8 - 11)
Itulah balasan bagi orang yang berpaling dari jalan Allah swt yang melakukan amalan bukan kerana Allah swt.
Itulah balasan bagi orang yang berpaling dari jalan Allah swt yang melakukan amalan bukan kerana Allah swt.
BEBERAPA FENOMENA ORANG-ORANG YANG MEMPUNYAI HIMMAH YANG RENDAH
- Berkaitan tentang usaha seorang muslim menuntut ilmu ketika dia tidak mahu mempelajari perkara-perkara yang wajib yang sepatutnya dilakukan oleh seorang seperti mempelajari tentang rukun-rukun solat dan lain-lain.
- Ketika seseorang yang menuntut ilmu bukan untuk mendapatkan manfaat dari ilmu atau menuntut ilmu bukan untuk didakwahkan tetapi hanya untuk mendapatkan ijazah ataupun pekerjaan semata-mata.
- Ketika seseorang menuntut ilmu supaya nampak hebat dalam berdebat di mana pandangan orang ramai tertumpu kepadanya.
- Ketika seseorang yang baru mendapat hidayah dan baru menuntut illmu dengan begitu mudah memberikan ‘tahzir’ atau ‘cop buruk’ kepada ulama’ atau orang yang lebih berilmu darinya.
- Ketika seorang pendakwah yang berdakwah dijalan Allah swt, kemudian mendapat tentangan dari manusia terhadap usaha dakwahnya samada takut digelar sebagai ‘fundamentalis’, ‘ekstrimis’, ‘teroris’ dan lain-lain atau manusia menjauhi perjuangannya lalu diapun berhenti.
Ibnul Qayyim berkata :
“Ketahuilah, sesungguhnya seorang hamba yang mampu menempuh langkah-langkah perjalanan menuju Allah adalah kerana tekad hati serta hasratnya, bukan kerana tubuhnya. Pada hakikatnya, taqwa adalah taqwanya hati, bukan taqwanya anggota tubuh.”
Allah swt berfirman :
“Demikianlah (perintah Allah). Dan barangsiapa mengagungkan syi’ar-syi’ar Allah, maka sesungguhnya itu timbul dari ketaqwaan hati.” (QS Al-Hajj : 32)
Rasulullah saw bersabda :
“Taqwa itu ada di sini (sambil menunjuk ke dadanya.”
Orang yang bijak adalah orang yang menempuh perjalanan dengan niat yang benar, semangat yang sihat, ‘Himmah’ yang tinggi dan tujuan yang baik walaupun amal yang dilakukannya tidak seberapa, namun pahalanya akan berlipat kali ganda melebihi orang yang melakukan amal dengan bersusah payah dan menempuh perjalanan yang berat serta berliku-liku namun bukan semata-mata mencari ridha Allah.
Sesungguhnya ‘Himmah’ dan rasa cinta itu dapat menghilangkan kesulitan dan memberi kenikmatan dalam meniti perjalanannya menuju Allah.
Dengan ketenangannya, seseorang yang memiliki ‘Himmah’ yang tinggi mampu mengungguli beberapa darjat di atas orang yang melakukan banyak amal, namun dengan ‘Himmah’ yang ala kadar sahaja.
Inilah persoalan yang memerlukan penjelasan terperinci yang menyelaraskan Islam dengan Ihsan.
Petunjuk yang paling sempurna adalah petunjuk Rasulullah saw di mana baginda telah memenuhi seluruh kewajiban Islam dan Ihsan.
Sekalipun sudah menyandang darjat sebagai makhluk yang paling sempurna ‘Himmah’ nya, namun baginda tetap :
- Tekun melakukan solat malam sampai kedua telapak kakinya bengkak.
- Rajin berpuasa sehingga dilihat seolah-olah tidak pernah berbuka.
- Bersemangat untuk berjihad di jalan Allah.
- Memperlakukan sahabat-sahabatnya dengan santun.
- Tidak pernah meninggalkan satu pun ibadah-ibadah sunnah.
Manusia lain sekuat apapun tidak akan sanggup melakukan itu semua.
Sesungguhnya majoriti masyarakat kita adalah masyarakat muslim dan di antara mereka ada yang memerlukan :
a. Peringatan.
b. Nasihat.
c. Pengukuhan.
Untuk melaksanakan tugas-tugas ini, sangat-sangat diperlukan orang-orang yang memiliki ‘Himmah’ yang tinggi.
Oleh yang demikian, asahlah ‘Himmah’ kita kerana barangkali akan ada satu dua orang yang akan mendapat hidayah kepada jalan Islam iaitu jalan Allah swt menerusi kita dan kitapun akan mendapat ganjaran yang besar di sisi Allah swt di akhirat nanti insyaAllah.
Kehidupan ini tidak pernah surut dari berbagai medan persaingan dan oleh yang demikian, kita perlu belajar untuk bersaing samada di waktu siang atau malam.
Mari kita renungi ungkapan berikut :
“Sesuatu perjuangan itu pasti dimulai oleh Sang Pemberani”.
Kenapa?
“Ini adalah kerana hanya mereka yang berani mempunyai ‘Himmah’ yang tinggi yang akan sanggup keluar dari zon selesanya untuk menerajui sesuatu perubahan yang dihajatkan.”
Ya Allah, jadikanlah kerisauan terhadap dakwah merupakan keutamaan kami sehingga ia mengatasi segala kerisauan-kerisauan yang lain dalam hidup kami. Kurniakanlah kekuatan ‘Himmah’ dan keyakinan kepada kami supaya kami dapat meneruskan usaha-usaha yang akan menjadi asbab kepada hidayah dan pertolongan dariMu kepada manusia-manusia yang memerlukannya.
Ameen Ya Rabbal Alameen
WAS