Segala puji bagi Allah
yang telah memberikan kemuliaan khusus kepada hamba-hamba-Nya yang beriman
dengan kesatuan dalam agama dan menganugerahkan mereka untuk memikul amanah
risalah reformasi dan pengislahan ke seluruh penjuru dunia serta memberikan
janji berupa taufiq dan kemenangan di dunia dan pahala yang berganda di akhirat
kelak.
Selawat dan salam
serta keberkatan kepada pemimpin para nabi, contoh tauladan bagi para pendakwah
dan mujahidin, beserta keluarga dan para sahabatnya serta para pengikutnya yang
mengikuti petunjuk dan kebaikan serta orang-orang yang berjalan meneladani
mereka hingga hari kiamat. Amma ba’du…
Inilah risalah
terakhir saya, semoga dalam setiap patah perkataan terkandung makna yang
berharga kerana ini merupakan risalah yang saya tulis dalam kedudukan terakhir
saya sebagai “qiyadah" (pemimpin)
dalam tubuh jamaah yang penuh berkat ini dan dalam rangka memenuhi prinsip dan
komitmen yang telah saya umumkan sejak Jamaah Ikhwanul Muslimin memberikan
kehormatan, amanah dan tanggungjawab ini kepada saya sebagai orang pertama
dalam jamaah dakwah yang sentiasa dinaungi Allah berupa kemenangan dan agar
diketahui oleh mereka yang jauh dan dekat bahwa Ikhwanul Muslimin tidak
terjejas dan tidak berubah serta mereka tidak berkata kecuali dengan apa yang
mereka lakukan.
KEPERLUAN DUNIA PADA
DAKWAH IKHWANUL MUSLIMIN
Wahai Ikhwan yang
tercinta…
Wahai para pemilik ruh
yang mulia, pendamping liku-liku perjalanan dan rakan kongsi dalam berbagai
aspirasi dan inspirasi…
Sungguh dengan berkat
taufiq Allah yang telah dianugerahkan kepada saya sejak awal dalam hidupku
sebagai qiyadah dan hampir tujuh puluh tahun berlalu; yang telah memperkenalkan
saya dengan dakwah yang penuh berkat ini, memberikan kehormatan kepada saya
untuk dapat bertemu dengan seorang mursyid dan pengasas jamaah Ikhwanul
Muslimin iaitu Imam Syahid Hasan Al-Banna (semoga Allah merahmatinya) dan hidup
bersama para generasi pertama dari orang-orang besar yang dikenali dalam
sejarah moden samada mereka itu dari Mesir atau negara lainnya.
Begitu pula dengan
berkat taufiq Allah jua yang telah menganugerahkan kepada saya keteguhan
sekalipun berada dalam tekanan dan ancaman serta memohon kepada Allah
semoga sentiasa menganugerahkan keteguhan berada dalam hidayah-Nya sehingga
kelak dapat dipersatukan dan dipertemukan dengan Rasulullah saw dan para
pendakwah selepasnya hingga hari kiamat….!!
Saya sangat menyedari
dan yakin bahwa dakwah merupakan keperluan utama bagi warga Mesir, keperluan
bagi warga Arab dan umat Islam seluruhnya, bahkan keperluan bagi umat manusia
di seluruh dunia.
Ini adalah kerana yang
dipikul oleh dakwah adalah :
a. Prinsip-prinsip pembaharuan Islam yang mulia.
b. Petunjuk terhadap kemuliaan dan keagungannya.
c. Memperbaiki kefahaman terhadap risalahnya.
d. Risalah pembaharuan menyeluruh terhadap semua
aspek kehidupan.
Ini bersesuaian
sepertimana firman Allah swt :
“Katakanlah
sesungguhnya solatku, ibadahku, hidupku dan matiku adalah kerana Allah Tuhan
semesta alam”. (QS Al-An’am : 162)
Setelah tersebar
banyak kekeliruan dan kesalahan yang menganggap bahwa Islam hanya terbatas
kepada bentuk-bentuk ibadah dan amalan kerohanian semata-mata, maka dakwah
Ikhwanul Muslimin datang untuk menyatakan bahwa :
1. Islam adalah agama yang komprehensif.
2. Islam menyelesaikan dan mengatur berbagai
urusan hidup.
3. Islam memberikan jalan penyelesaian kepada
setiap permasalahan yang dihadapi oleh manusia.
4. Islam menempatkan sistem yang ketat dan
berhati-hati padanya serta tidak terbelenggu di hadapan berbagai masalah dan
sistem yang mesti dihadapi dan diperbaiki untuk kemaslahatan manusia.
Ianya adalah sebagaimana yang disebut oleh Imam Hasan Al Banna :
“Islam adalah
negara dan bangsa atau pemerintah dan rakyat, akhlak dan kekuatan atau rahmat
dan keadilan, kebudayaan dan undang-undang atau ilmu pengetahuan
dan kehakiman, material dan harta atau keuntungan dan kekayaan, jihad dan
dakwah atau tentera dan fikrah, sebagaimana ia merupakan aqidah yang benar dan
ibadah yang sahih secara bersamaan”.
Dunia ketika ini
sangat memerlukan kefahaman Islam yang seperti ini sehingga dengan demikian
akan mampu :
a. Mewujudkan harapan ramai orang.
b. Menghadapi berbagai kerosakan.
c. Memberikan jalan penyelesaian terhadap
perdamaian yang sempurna dan kesejahteraan yang mententeramkan.
Alangkah indahnya,
sekiranya umat Islam secara keseluruhan mahu menyedarinya!.
MANHAJ PERUBAHAN
MENURUT IKHWANUL MUSLIMIN
Ikhwanul Muslimin
menyedari bahwa cara untuk mencapai kefahaman yang benar terhadap Islam di
tengah realiti kehidupan ini adalah dengan menghilangkan terlebih dahulu dalam
realiti kehidupan bangsa tersebut berupa :
1. Perasaan yang
terabai.
2. Akhlak yang rosak.
3. Kekikiran yang
ditaati.
Oleh kerana itu
perkara pertama yang mereka arahkan adalah “tarbiyah
ruhiyah” iaitu :
a. Pembinaan terhadap
jiwa.
b. Memperbaharui ruh.
c. Memperkukuhkan
akhlak dan perilaku.
yang disasarkan tepat
ke dalam hati setiap bangsa berdasarkan beberapa perkara berikut :
1 – Meletakkan “manhaj al-aqdi” (sistem
aqidah) bagi Ikhwanul Muslimin yang berasal dari Kitab Allah dan Sunnah
Rasul-Nya saw yang sahih, tidak terkeluar darinya barang sedikit pun sehingga
membuatkan Islam hidup di setiap persendian umatnya; memiliki kesedaran pada
akal dan hati nuraninya dalam setiap gerakan dan perilakunya.
2 – Meletakkan “manhaj tarbawi” (sistem
tarbiyah) untuk Ikhwanul Muslimin sehingga dengannya akan mampu mewujudkan
komitmen yang benar dalam berbagai aspek Ibadah Islam dan syiar-syiarnya; di
mana perkara tersebut berperanan sebagai cara yang efektif dalam membersihkan
jiwa dan mensucikan hati.
3 – Meletakkan “manhaj tsaqafi al-mutakaamil” (sistem
budaya yang bersepadu dan sempurna) yang mampu memberikan kefahaman Islam
yang benar dan sederhana sesuai dengan realiti Islam tanpa berlebihan dan tidak
ada kekurangan, melindunginya dari salah faham dan penghinaan serta membentuk
landasan yang kuat dan bersih untuk kesatuan dunia Arab dan Islam sejagat.
4 – Meletakkan “manhaj al-ilmi” (sistem
ilmiah); agar dapat diterapkan prinsip-prinsip Islam dan etika-etikanya dalam
berinteraksi, berperilaku dan bersosial. Ikhwanul Muslimin menghadirkan (walau
di manapun mereka berada) contoh tauladan yang baik dalam segala bidang
profesional dan sosial yang bermanfaat dan produktif.
5 – Meletakkan “manhaj haraki wa as-siyasi” (sistem
harakah dan politik) yang diilham dan bersumber dari Islam. Oleh kerana itu,
Ikhwanul Muslimin sentiasa menyeru untuk melakukan pengislahan atau reformasi
yang komprehensif dan bersepadu, bekerjasama dengan berbagai komponen dan
kekuatan bangsa tanpa terkecuali dengan menarik penyertaan rakyat dalam
berbagai bentuknya, mencakupi berbagai keadaan yang merosakkan untuk dilakukan
perubahan dan pembaikan atas dasar agama, bangsa dan identiti budaya serta
peradabannya di mana mereka akan sentiasa turut serta dan terus aktif
berperanan secara positif dalam setiap tindakan atau bertujuan untuk mengangkat
kehormatan bangsa dan tanah air di segala bidang, samada di peringkat tempatan
mahupun global.
6 – Meletakkan “manhaj al-jihadi as-shahih” (sistem
jihad yang benar) yang dapat membezakan antara jihad melawan penjajahan ke atas
negara melalui penentangan bersenjata dan jihad dengan cara damai. Mujahadah
untuk memperbaiki sistem pemerintahan nasional yang rosak dan korup melalui
nasihat, bimbingan dan arahan serta pembetulan konsep serta sentiasa turut
serta secara aktif dalam bebragai kegiatan dan aktiviti; samada sosial,
ekonomi dan politik yang jauh dari tindakan kekerasan dan mengangkat senjata
serta menyebarkan kedamaian di tengah-tengah masyarakat.
7 – Meletakkan
carta-carta peraturan untuk kelengkapan struktur, persiapan rancangan,
mengenalpasti strategi, pengambilan keputusan, pengembangan mekanisma,
mengendalikan gerak kerja, penilaian pencapaian tujuan, memantau aktiviti dan
perubahan serta memperbaiki kesalahan di bawah naungan ‘ukhuwah’
(persaudaraan), ‘mahabbah’ (cinta), ‘tsiqah’ (rasa percaya
diri) dan ‘indhibat’ (disiplin).
Selain dari itu,
Ikhwanul Muslimin sentiasa melakukan :
a. Kajian semula terhadap sistem dan peraturan
mereka dari masa ke semasa.
b. Mendiskusikan apa yang mesti diperbaiki dari
suatu kesalahan lalu diluruskan.
c. Menyemak orang yang memberikan nasihat di
samping mencintai mereka.
d. Berusaha memperolehi manfaat dari para
pengkritik dan penentang dakwah mereka.
e. Tidak pernah berhenti berusaha untuk meninjau
berbagai perkembangan pada sikap dan pendapat sesuai dengan suasana baru yang
mereka hadapi dan dari berbagai sikap dan idea-idea ini ditanggapi secara
fleksibel selagi tidak ada pertentangan dengan ‘tsawabit’ (unsur-unsur
tetap) serta prinsip-prinsip yang mereka yakini.
Mereka memahami bahwa
Ikhwanul Muslimin akan tetap berjalan baik selama mana ia menerima nasihat dan
saranan dan semoga Allah swt merahmati Umar bin Al-Khattab yang telah mendoakan
orang yang menunjukkan aib dirinya, beliau berkata:
“Semoga Allah
merahmati orang yang menunjukkan aib diriku”.
DAKWAH IKHWANUL
MUSLIMIN ADALAH DAKWAH BAGI MENYELAMATKAN UMAT TERCINTA
Melalui mimbar ini,
tidaklah salah jika saya katakan :
Sesungguhnya dakwah
Ikhwanul Muslimin jika difahami oleh umat, ia merupakan sebahagian dari usaha
penyelamat, baik dalam manhajnya yang jika diikuti oleh sesuatu bangsa
merupakan suatu keuntungan dan dalam perjuangan mereka jika mahu dibantu
merupakan harapan dan bahwa mereka sentiasa berjuang untuk berada dalam
perjalanan yang mereka tempuh demi memberikan perkhidmatan bagi agama dan
bangsa mereka, insya Allah, tidak gentar terhadap orang yang menyakiti dan
memencilkan mereka, sampai Allah memberikan kepada bangsa ini dan dunia dalam
meraih kebahagiaan melalui kebaikan yang mereka tebarkan.
Oleh kerana itu, saya
merasakan amat sesuai jika saya dapat mengingatkan bangsa dan yang merasa
mendapat amanah pada dakwah kami lebih-lebih lagi mereka yang ragu dan bersikap
skeptikal terhadap prinsip-prinsip dan nasionalisma kami bahwa ketika kami
terlibat di atasnya, seperti yang diungkapkan oleh Imam syahid Hasan Al-Banna
dalam Risalah “dakwatuna” ketika ia berkata:
“Kami ingin agar umat mengetahui bahwa mereka
lebih kami cintai daripada diri kami sendiri. Sungguh, jiwa-jiwa kami ini
senang gugur sebagai penebus bagi kehormatan mereka, jika memang tebusan itu
yang diperlukan atau melayang untuk membayar kejayaan, kemuliaan, agama dan
cita-cita mereka, jika memang mencukupi.
Tidak ada yang membawa kami bersikap seperti
itu kepada mereka, kecuali kerana kasih sayang yang telah menambat hati kami,
menguasai perasaan kami, menghilangkan perasan mengantuk kami dan mengalirkan
air mata kami. Sungguh, kami benar-benar sedih melihat apa yang menimpa dan
terjadi pada umat ini, sementara kita hanya sanggup menyerah pada kehinaan,
keridhaan pada kerendahan dan pasrah pada keputusasaan.
Sungguh kami bekerja di jalan Allah untuk
kemaslahatan bagi seluruh manusia lebih banyak dari apa yang kami lakukan untuk
kepentingan diri kami. Kami adalah milik kamu semua wahai saudara-saudara
tercinta, bukan untuk orang lain. Sesaat pun kami tidak akan pernah menjadi
musuh kamu.
Kami tidak merasa berjasa dengan sesuatupun
dan tidak pula menganggap diri ini lebih utama. Kami hanya meyakini akan firman
Allah swt :
“….Sebenarnya Allah, dialah yang melimpahkan
nikmat kepadamu dengan menunjuki kamu kepada keimanan jika kamu adalah
orang-orang yang benar.” (QS
Al-Hujurat : 17)
Kami sering berangan-angan (andaikata
angan-angan itu bermanfaat) bahwa hati kami terbuka di hadapan mata dan telinga
umat ini, sehingga saudara-saudara kami dapat melihat sendiri. Adakah mereka
melihat sesuatu dalam hati kami, selain menginginkan kebaikan untuk mereka,
rasa kasih sayang terhadap mereka serta rela mati untuk kemaslahatan mereka?
Apakah mereka menemui dalam hati kami selain
kepedihan mendalam atas apa yang kita alami?
Namun cukuplah bagi kami bahwa Allah swt
mengetahui itu semua. Hanya Dia-lah yang menjamin dukungan yang tepat agar kami
sentiasa berada dalam kebenaran. Di tangan-Nya-lah berada semua kendalian dan
kunci hati. Siapa yang diberi petunjuk oleh Allah maka tiada yang dapat
menyesatkannya. Dan siapa yang disesatkan oleh Allah, maka tiada yang dapat
menunjukinya. Cukuplah Allah bagi kami. Dialah sebaik-baik tempat bergantung.
Bukankah Allah yang mencukupi seluruh hanba-Nya?”
MASA DEPAN YANG CERAH
BAGI DAKWAH YANG DIPIKUL OLEH IKHWANUL MUSLIMIN
Wahai Ikhwanul
Muslimin, ketahuilah bahwa masa depan yang cerah adalah bagi jamaah, dakwah dan
agama kamu. Perkara ini adalah disebabkan oleh beberapa alasan berikut:
PERTAMA :
Allah berjanji kepada
mereka yang gigih dan ikhlas berjuang untuk agama mereka.
“Dan Allah telah
berjanji kepada orang-orang yang beriman di antara kamu dan mengerjakan
amal-amal yang soleh bahwa Dia sungguh- sungguh akan menjadikan mereka berkuasa
di muka bumi, sebagaimana Dia telah menjadikan orang-orang sebelum mereka
berkuasa, dan sungguh Dia akan meneguhkan bagi mereka agama yang telah
diridhai-Nya untuk mereka, dan Dia benar-benar akan menukar (keadaan) mereka,
sesudah mereka dalam ketakutan menjadi aman sentosa. mereka tetap menyembah-Ku
dengan tiada mempersekutukan sesuatu apapun dengan aku”. (QS
An-Nuur : 55)
dan firman Allah swt
lagi :
“Sesungguhnya Allah
pasti menolong orang yang menolong (agama)-Nya. Sesungguhnya Allah benar-benar
Maha Kuat lagi Maha Perkasa, (iaitu) orang-orang yang jika Kami teguhkan
kedudukan mereka di muka bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang, menunaikan
zakat, menyuruh berbuat ma’ruf dan mencegah dari perbuatan yang mungkar; dan
kepada Allah-lah kembali segala urusan. Dan Allah tidak akan memungkiri janji-Nya.” (QS Al-Hajj : 40 - 41)
KEDUA :
Bahwa projek peradaban
dalam rangka melakukan reformasi peradaban yang kamu pikul telah menunjukkan
realiti sejarah dan realiti fikiran, dan dalam kenyataannya lebih bermanfaat
bagi umat manusia dan menjadi penyelamat dari kehancuran, kerana itu ia
memegang rahsia penerusan hidup; walabagaimana keadaan dan situasi serantau dan
dunianya.
“Demikianlah Allah
membuat perumpamaan (bagi) yang benar dan yang bathil. Adapun buih itu, akan
hilang sebagai sesuatu yang tidak ada harganya; Adapun yang memberi manfaat
kepada manusia, Maka ia tetap di bumi”. (QS Ar-Ra’d : 17)
KETIGA :
Bahwa projek
kebangkitan dan penyelamat yang kamu tetap berpegang teguh padanya telah banyak
mengalirkan darah suci dari para syuhada’, pejuang dakwah ini, dimulai dari mujahid
Asy-syahid Izzuddin Al-Qassam dan Imam Syahid Hasan Al-Banna, kemudian
diteruskan dengan mengalirnya darah para syuhada’ pejuang dakwah yang berada di
penjara kezaliman seperti : Muhammad Farghali, Abdul Qadir Audah, Muhammad
Yusuf Hawasy, Ibrahim Tayyib, Hindawi Duwair, Mahmud Abdul Latif, Sayyid Quthb,
Abdul Fattah Ismail, Kamal As-Sananiry, Abdullah Azzam, dan lain-lainnya.
Dan di akhir-akhir ini
syahidnya para syuhada’ di bumi Palestin yang tercinta seperti: Ahmad Yaasin,
Abdul Aziz Rantisi, Solah Shahadah, Fathi Asy-Syiqaqi, Yahya Ayyash , Nizar
Rayyan, Said Siyam dan para pahlawan lainnya dari para pejuang dan pasukan
penentang serta puluhan ribu warga yang tetap bersabar dan bertahan serta teguh
di Palestin yang sedang mengalami berbagai jenis ketidakadilan dan dijerumuskan
di dalam penjara ketidakadilan dan kezaliman atau di bawah kongkongan tawanan
di penjara dan mereka yang telah menorehkan sejarah terbaik akan keteguhan
jamaah Ikhwanul Muslimin melalui beberapa dekad jihad dan dakwah di Mesir,
Palestin dan lain-lain.
Inilah darah dan
pengorbanan yang tidak akan hilang dan sia-sia InsyaAllah, dan kamu telah
melihat buahnya berupa beralihnya perhatian umat terhadap dakwah kamu serta
berkumpulnya mereka dalam dakwah kamu, memberikan dokongan yang penuh untuk
projek kamu sampai akhirnya dakwah ini menjadi bahan perbincangan dan perhatian
umat dan memenuhi pendengaran dan penglihatan puluhan negara-negara Arab dan
Islam.
KEEMPAT :
Bahwa dakwah dan
jamaah kamu mampu menyatukan sejumlah besar dari para insan terbaik dan elit
dari kalangan para intelek, ilmuwan, ahli akademik, ahli ekonomi, ahli politik
dan profesional yang jujur dan tulus serta sangat sedikit kelompok yang mampu
menandingi jamaah seperti ini (samada secara kuantiti atau kualiti) dari
berbagai kelompok lain atau dakwah lain di dunia ini, terlepas dari semua
tekanan yang diperlakukan oleh rejim-rejim otoritarian dan korup, maka ini
semua menandakan bahwa dakwah kamu merupakan kunci masa depan insyaAllah.
KELIMA :
Bahwa projek
kebangkitan dan reformasi mampu menggabungkan antara keaslian dan pembaharuan,
kelenturan dan kesan positif, kerana sentiasa menjaga dan memelihara
simbol-simbol suci dan unsur-unsur tetap dalam syari’ah yang tidak pernah ragu
dalam menangani semua idea-idea baru yang bermanfaat dan sejahtera, slogannya
adalah hadits Nabi saw :
“Kata-kata hikmah
merupakan sesuatu yang hilang dari orang yang beriman, di mana ia berada maka
ia lebih berhak mendapatkannya.” (HR Tirmizi dan Ibnu
Majah).
Jadi kita wahai
Ikhwanul Muslimin sentiasa mencari hikmah dengan penuh kesungguhan dan
ketulusan sepertimana seseorang yang sedang mencari sesuatu yang hilang oleh
kerana terlepas darinya dan jika menemuinya maka akan lebih bersemangat
untuk memanfaat dan melaksanakannya.
Begitu pula Ikhwanul
Muslimin tidak akan pernah lengah sedikitpun dalam menyebarkan kebenaran demi
kesejahteraan bangsa dan umat serta tidak akan pernah terlambat dalam menerima
kebenaran dan kembali kepadanya lalu menjunjung tinggi kebenaran tersebut, dan
itu merupakan penyebab yang paling utama dalam menuju kejayaan dan
kekuatan mereka.
KEENAM :
Bahwa mereka yang kamu
hadapi dengan penentangan dari rejim-rejim yang menekan dan pemerintahan yang
korup dan jahat tidak akan mampu berdiri di tanah yang kukuh kerana :
a. Mereka tidak memiliki unsur-unsur yang kukuh
sepertimana kemuliaan kamu dan kelapangan dada serta kebersihan tangan kamu dan
tidak akan mendapatkan penerimaan yang hakiki dari suatu bangsa, sehingga
mereka berusaha melindungi dan mempertahankan kedudukan mereka dengan tongkat
kekerasan dan kediktatoran.
b. Mereka tidak memiliki kemampuan untuk
menghalang kamu melalui ideologi dan politik serta kesetiaan kamu kepada
bangsa.
c. Mereka tidak memiliki jalan penyelesaian
lainnya dalam menghadapi kerja kamu kecuali dengan menangkap dan berusaha
menggagalkan projek kamu, memecahbelahkan antara kamu dengan umat sehingga
membuatkan kamu dan umat terasing dan berusaha dengan kuat untuk menghancurkan
agama kamu serta memutarbelitkan jihad kamu.
Namun itu semua telah
membuktikan bahwa segala usaha yang mereka lakukan tidak mampu diwujudkan
kecuali semakin meningkat persatuan barisan kamu, memperteguh prinsip-prinsip
kamu dan menambah rasa cinta rakyat dan bangsa kamu.
Hal ini sepertimana
yang diungkapkan oleh Abu Tayyib al-Mutanabbi :
“Jika datang kepada
saya orang yang mencela # Maka itu merupakan kesaksian akan kesempurnaan saya”
KETUJUH :
Bahwa projek Ikhwanul
Muslimin adalah projek untuk melakukan kebangkitan dan reformasi yang bertujuan
untuk memerdekakan negara Arab dan Islam dari berbagai bentuk kekuasaan asing
di semua bidang seperti ekonomi, politik, budaya, kerohanian dan pembebasan
tanah Arab dan Islam dari kongkongan penjajahan.
Oleh kerana itulah
projek mereka terfokus pada melakukan penentangan terhadap projek Zionis yang melakukan penentangan terhadap Ikhwanul
Muslimin dan menyelewengkan wajah mereka yang bersih serta memerangi projek
Islam sebagai tujuan mereka.
Sebenarnya projek
mereka hari demi hari mulai menampakkan kelemahan dan hilang kekuatannya serta
mengikis keyakinan pendukungnya dan bahkan mulai terhakis pula (akibat sikap
mereka yang salah) pada setiap harinya populariti mereka di hadapan bangsa dan
masyarakat mereka sendiri dan mulai beralih kepada projek peradaban Islam yang
terus menarik perhatian dan meningkatnya penerimaan dan dukungan yang luar
biasa dari umat yang mendambakan kemerdekaan dan kemuliaan, terutama pemuda
yang memiliki jiwa semangat.
“Dan Sesungguhnya kamu
akan mengetahui (kebenaran) berita Al Quran setelah beberapa waktu lagi”. (QS
Shaad : 88)
WAHAI IKHWAN, MARILAH
BEKERJA KUAT
Oleh kerana itu, saya
menyeru kepada Ikhwanul Muslimin untuk tetap berpegang teguh pada dakwah dan
prinsip kamu dan genggamlah dengan erat dan jangan ragu-ragu atau takut
meskipun :
1. Harus berhadapan dengan tindakan
sewenang-wenangnya bagi kemerdekaan dan kebebasan kamu.
2. Berhadapan dengan peperangan yang tidak
seimbang atas kamu.
3. Diskriminasi secara keji atas hak kamu dalam
mencari rezeki.
4. Putarbelit yang jahat atas dakwah dan
simbol-simbol kamu.
Itu semua merupakan
cukai di atas jalan dakwah yang mesti kamu bayar dan tanda kemenangan sudah
dekat mengalahkan segala bentuk ketidakadilan dan kezaliman insya Allah.
“Janganlah kamu
bersikap lemah, dan janganlah (pula) kamu bersedih hati, Padahal kamulah
orang-orang yang paling Tinggi (darjatnya), jika kamu orang-orang yang beriman.
Jika kamu (pada perang Uhud) mendapat luka, Maka Sesungguhnya kaum (kafir)
itupun (pada perang Badar) mendapat luka yang serupa. dan masa (kejayaan dan
kehancuran) itu Kami pergilirkan di antara manusia (agar mereka mendapat
pelajaran); dan supaya Allah membezakan orang-orang yang beriman (dengan
orang-orang kafir) supaya sebahagian kamu dijadikan-Nya (gugur sebagai)
syuhada’. dan Allah tidak menyukai orang-orang yang zalim”. (QS
Ali Imran :139-140)
Hadapilah masa depan
yang ada di tangan kamu dengan iman yang teguh dan tenaga kerohanian, material
dan moral yang agung dan dengan apa yang kamu miliki dari berbagai unsur
keberkatan, baik dari laki-laki mahupun wanita, pemuda mahupun pemudinya,
bersatulah dalam kasih sayang kerana Allah, ukhuwah Islam dan
kesetiaan terhadap manhaj yang bijaksana tanpa mengenal rasa putus asa, tidak
ada keluhan dan tidak terlambat dalam mempersembahkan pengorbanan demi agama
dan bangsa mereka.
Ketika ini saya ingin
mengumumkan kepada kamu dan kepada dunia keinginan saya untuk mewujudkan apa
yang telah saya janjikan kepada kamu iaitu melepaskan jawatan dan kedudukan
saya sebagai ‘qiyadah’ kepada
darah segar dan jiwa baru yang penuh bertenaga kerana saya yakin bahwa jamaah
yang memiliki banyak tenaga dan keahlian sangat layak mencapai dan mewujudkan
harapan dan pilihan yang terbaik anasirnya
insyaAllah.
Jangan takut akan
suatu perubahan kerana di dalamnya ada keberkatan yang mulia, berhati-hatilah
dari bersekutu atau berhenti melakukan pembaharuan darah segar; kerana itu akan
mengganggu tenaga dan potensi serta menunda perjalanan menuju tujuan yang dicita-citakan.
Adapun kepada ikhwan
tercinta yang berada di sebalik penjara dan tembok penindasan dan
ketidakadilan, di sebalik pengadilan tentera yang zalim atau dalam penangkapan
yang tidak bertamadun dan jahat atau dalam peristiwa-peristiwa palsu dan lemah
yang ditujukan kepada mereka, saya sampaikan kepada mereka salam dan
penghargaan yang tulus kerana kesabaran dan keteguhan mereka, sebagaimana saya
sampaikan kepada ayah, ibu, isteri dan anak-anak mereka dan saya berharap dan
memohon, semoga Allah memberikan kebebasan dan kemerdekaan segera dan untuk
dakwah sebuah kemenangan yang dekat.
MENUJU KEASATUAN DAN
KEKUATAN ISLAM
Ikhwanul Muslimin
sedar sepenuhnya bahwa mereka tidak akan mampu secara bersendirian mewujudkan harapan
bangsa dalam bentuk kebangkitan dan reformasi.
Mereka tidak melihat
diri mereka kecuali sebagai salah satu komponen penting yang memiliki tugas dan
jamaah yang besar dan setia dari berbagai komponen dan kekuatan penting
lainnya, bahwa kemenangan tidak akan tercapai kecuali dengan menyeragamkan
potensi dan menyatukan kekuatan.
Oleh sebab itulah
mereka terus membentangkan tangan mereka menjangkau setiap orang yang memiliki
kesetiaan dan kejujuran dari semua sisi dan arah; samada dari kalangan yang bersimpati,
ahli politik dan para intelek untuk turut serta dan bekerjasama dalam amal-amal
demi kemaslahatan bangsa.
Dengan wujudnya
mereka-mereka yang ikhlas dari semua pihak dan juga dari Ikhwanul Muslimin,
telah tersedia berbagai aktiviti dan agenda yang sedang menunggu berlakunya
genggaman tangan dengan tangan lainnya dalam satu kesatuan dan berpadunya
kekuatan dan potensi dengan kekuatan dan potensi lainnya, sebagai usaha untuk
memberikan kebaikan dan manfaat untuk semua, dan kami telah melakukannya, maka
apakah kamu juga telah melakukannya?
Saya akan ulangi
kandungan ungkapan yang sentiasa dilontarkan oleh Ikhwanul Muslimin :
Kami adalah jamaah
Ikhwanul Muslimin yang tidak bekerja secara mutlak untuk menjatuhkan seseorang
(individu) atau mengurangkan peranannya, sebagaimana kami juga menolak
orang lain yang bekerja dengan penuh kekuatan untuk menjatuhkan kami atau
menghadkan aktiviti kami.
Kami melihat dengan
penuh kejujuran dan ketulusan bahwa negeri yang mulia ini yang kita jadikan
sebagai bahtera bagi semua orang yang sangat memerlukan adanya usaha dari
semua pihak dengan menampakkan wawasan yang berbagai untuk menyelamatkan
bahtera ini dari tenggelam serta memastikan ianya di bawah naungan demokrasi
yang bersih dan syura yang bijaksana berdasarkan prinsip rakan perkongsian di
antara anak-anak bangsa; bukan prinsip untuk saling mengalahkan dan menjatuhkan
seseorang atau dengan mengorbankannya untuk kepentingan orang lain.
Adapun mereka yang
terus menentang dan memusuhi kami, enggan bekerjasama kecuali memusuhi dan
memfitnah atas kami dan memandang kami dengan penuh kecurigaan dan
ketidakpercayaan atau dengan pandangan yang angkuh penuh kesombongan, tidak ada
yang dapat kami sampaikan kepada mereka kecuali
“Bagi Kami amal-amal
Kami dan bagimu amal-amalmu, Kesejahteraan atas dirimu, Kami tidak ingin
bergaul dengan orang-orang jahil”. (QS Al-Qashash : 55)
dan kami doakan untuk
mereka seperti yang pernah dilantunkan oleh Nabi saw dalam doanya :
“Ya Allah,
Ampunilah kaumku, kerana mereka belum memahami”. (Muttafaq alaih)
UCAPAN TERIMA KASIH
DAN PENGHARGAAN
Sungguh, saya telah
diberikan amanah tanggungjawab menjadi qiyadah pada jamaah yang penuh berkat
ini selama enam tahun, penuh dengan peristiwa dan kerja dan di samping saya ini
ramai para Ikhwan anggota Maktab Irsyad yang mulia, dan mereka adalah sebaik-baik
pemberi dokongan dan sandaran bagi saya dan bagi dakwah yang penuh berkat ini.
a. Di antara mereka
ada yang berhasil menunaikan tugasnya dengan baik dan sempurna hingga meninggal
dunia dan kami memohon kepada Allah semoga mereka kelak dinaungi rahmat Allah.
b. Di antara mereka
ada yang masih tertahan di tangan kezaliman dan berada di sebalik tembok
penjara.
c. Di antara mereka
ada juga yang terus menerus berhadapan dengan penindasan, penyiksaan dan
penahanan secara berulang.
Namun meskipun demikian,
mereka tidak pernah merasa lemah dan lesu, apalagi ragu-ragu untuk melaksanakan
tugas, berkorban masa dan waktu istirehat serta jiwa mereka, semoga mereka
mendapat pahala dan ganjaran yang besar dan berganda dari Allah dan saya
ucapkan terima kasih yang tulus dan penghargaan dan saya berharap semoga
Allah memberikan limpahan rahmat dan taufiq untuk kebaikan dakwah dan
bangsa.
Saya juga ingin
menyampaikan ucapan terima kasih kepada para Ikhwan yang mulia para ‘mas’ul’ jamaah ini samada
yang berada di dalam dan di luar negara yang :
1. Teguh dalam keimanan.
2. Teguh dalam dakwah.
3. Amanah dalam menunaikan tugas risalah.
Saya memohon kepada
Allah semoga memberikan kepada dakwah dan para pemikulnya ganjaran dan
pahala yang terbaik.
Akhir sekali yang
ingin saya sampaikan adalah bahwa seluruh manusia pasti melakukan kesalahan dan
kekeliruan dan saya bukanlah manusia terbaik di dalamnya dan semua anak cucu
Adam pasti melakukan kesalahan dan sebaik-baik orang yang melakukan kesalahan
adalah yang mahu bertaubat (mengakui kesalahannya).
Oleh kerana itu, saya
memohon semoga Allah menerima amal saya, memaafkan dan mengampuni kesalahan
saya dan mengakhiri hidup saya dengan pengakhiran yang baik seperti para
hamba-hamba-Nya yang soleh, dan akhir dari doa kami adalah segala puji hanya
untuk Allah Azza Wa Jalla.
Ya Allah, tetapkanlah
kami di atas jalan kebenaran sehingga manusia mendapat hidayah hasil dari usaha
para pendakwah yang gigih untuk memahamkan semula Islam ke seluruh pelusuk
dunia serta berusaha untuk mengamalkan dan menegakkan syariatMu sehingga
manusia kembali tunduk mengabdikan diri mereka kepadaMu.
Ameen Ya Rabbal
Alameen
WAS