Tarbiyah adalah sebuah proses dalam projek kebangkitan umat dan pembangunan peradaban di mana ia memiliki satu sifat yang dikenali sebagai “Hatmiyyah” iaitu suatu kemestian atau ketentuan.
Dengan kata lain, Tarbiyah adalah suatu kemestian atau ketentuan yang :
- Perlu dipenuhi.
- Tidak boleh ada tawar menawar.
- Tidak boleh digantikan dengan selain apapun.
- Hasil akhirnya yang menuntut ia dilaksanakan.
Oleh yang demikian, untuk kita sentiasa istiqamah di atas jalan dakwah di samping untuk mencapai matlamat dan sasarannya, hanya ada satu jalan iaitu TARBIYAH.
Ini adalah kerana Tarbiyah adalah jalan yang dikehendaki oleh Allah swt untuk diikuti sebagaimana firman Allah swt :
“Dan bahawa sesungguhnya inilah jalanKu (agama Islam) yang betul lurus, maka hendaklah kamu menurutnya; dan janganlah kamu menurut menurut jalan-jalan (yang lain dari Islam), kerana jalan-jalan (yang lain itu) mencerai-beraikan kamu dari jalan Allah, Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu bertaqwa.” (QS Al Anaam : 153)
Selain itu ia juga dilaksanakan dalam rangka melahirkan aktivis-aktivis dakwah generasi Rabbani (Generasi-generasi yang ditarbiyah) yang sentiasa bersemangat untuk mengajarkan Al-Qur’an dan mempelajarinya.
“Tidaklah patut bagi seseorang manusia yang Allah berikan kepadanya Kitab agama dan hikmah serta pangkat Nabi, kemudian ia tergamak mengatakan kepada orang ramai: "Hendaklah kamu menjadi orang-orang yang menyembahku dengan meninggalkan perbuatan menyembah Allah". Tetapi (sepatutnya ia berkata): "Hendaklah kamu menjadi orang-orang Rabbaniyin (yang hanya menyembah Allah Taala - dengan ilmu dan amal yang sempurna), kerana kamu sentiasa mengajarkan isi Kitab Allah itu, dan kerana kamu selalu mempelajarinya.” (QS Ali Imran : 79)
Mari kita merenung kisah Abdullah bin Rawahah ra, seorang sahabat yang ketika diangkat oleh Rasulullah saw menduduki jawatan panglima dalam perang Mu’tah, Ia menerimanya dengan tangisan dan cucuran air mata.
Lalu para sahabat lainnya bertanya :
“Apakah gerangan yang membuatkan engkau menangis wahai Abdullah?”
Iapun menjawab :
“Tidak ada pada diriku cinta dunia dan keinginan untuk dialu-alukan oleh kamu sekalian, akan tetapi aku hanya teringat ketika Rasulullah saw mengingatkanku dengan firman Allah swt :
“Dan tidaklah dari kamu melainkan akan mendatanginya (neraka jahannam) adalah yang demikian itu bagi Tuhanmu (ya! Muhammad) merupakan ketentuan yang telah ditetapkan”. (QS Maryam : 71)”
Dari ungkapan Abdullah bin Rawahah ra tersebut, dapat disimpulkan bahwa beliau mentadabburkan ayat Al-Qur’an begitu mendalam, sehingga beliau mengaitkan dengan cukup erat ayat tersebut dengan amanah jawatan yang baru sahaja dipangkunya samada apakah jawatannya kelak dapat menyelamatkannya ketika setiap orang mahu tidak mahu mesti melalui “Shirathal Mustaqim”, kerana menghadapi neraka Jahannam yang dengan melaluinya adalah “Hatman Maqdhiyya”, iaitu suatu ketentuan yang telah ditetapkan dan tidak ada jalan alternatif lain serta tidak ada tawar menawar lagi.
Tarbiyah adalah suatu ketentuan di mana prosesnya dapat dilakukan sekurang-kurangnya melalui tiga bentuk pendekatan.
PENDEKATAN ASASI
Tarbiyah adalah jalan bagi para pendakwah Islam dan tidak ada jalan lain atau dengan kata lain jalan para pendakwah adalah jalan tarbawi yang memiliki paling sedikit tiga karakteristik yang asas.
PERTAMA : SUKAR TAPI HASILNYA PASTI (SHA’BUN– TSABIT )
Sukarnya sebuah proses biasanya membuahkan hasil yang berkualiti. Oleh yang demikian, proses dakwah yang dilakukan oleh Rasulullah saw bukanlah suatu perkara yang mudah.
Bayangkan, lima tahun pertama dalam dakwah baginda di Makkah, baru hanya terkumpul 40 laki-laki dan 5 wanita, namun 45 orang inilah yang kemudiannya bukan hanya menjadi pelopor untuk dakwah tetapi juga pelopor untuk perubahan, bahkan mereka seluruhnya menjadi agen perubah sosial dari masyarakat jahiliyah menuju masyarakat yang Islamik.
Berdakwah memang bukan mudah, kerana berdakwah melalui proses Tarbiyah ibarat menanam pokok jati, yang mesti sentiasa dijaga dan dipelihara sehingga akarnya tetap kuat menghunjam dan tidak goyah diterpa badai dan angin kencang.
Oleh kerana itu, jalan Tarbiah adalah proses menuju pembentukan peribadi yang mantap atau dengan kata lain memiliki imuniti samada secara :
- ‘maknawiyah’ (moral).
- ‘fikriyah’ (gagasan dan pemikiran).
- ‘tanzimiyah’ (struktur organisasi).
Ka’ab bin Malik ra adalah contoh dari sebuah keperibadian yang mantap yang dengan kesedaran ma’nawiyah, fikriyah dan tanzimiyahnya, ia mengakui kelalaiannya tidak ikut serta dalam perang Tabuk dan kemudian iapun dengan ikhlas menerima hukuman yang telah ditetapkan oleh Rasulullah saw.
Bahkan ketika datang utusan dari kerajaan Ghassan yang secara diam-diam menemuinya untuk menyampaikan surat dari raja yang isinya antara lain menawarkan suaka politik dan jawatan penting yang telah tersedia baginya jika ia ingin meninggalkan Madinah, Ia malah berkata dan mengoyak surat tersebut :
“Musibah apa lagi ini..!”
Itulah sebuah refleksi dari sikap imuniti yang hanya dapat dihasilkan melalui proses tarbiyah yang tidak mudah, melalui jalan dakwah yang terbentuk secara mantap.
Al-Qur’an menyebutnya dengan “Al-Qaulu Al-Tsabit” seperti firman Allah swt ;
“Allah menetapkan (pendirian) orang-orang yang beriman dengan kalimah yang tetap teguh dalam kehidupan dunia dan akhirat; dan Allah menyesatkan orang-orang yang berlaku zalim (kepada diri mereka sendiri); dan Allah berkuasa melakukan apa yang dikehendakiNya.” (QS Ibrahim : 27)
Kalimah ini sebenarnya dirumuskan di atas konsep yang baik atau “Kalimat Thayyibah” bukan “Kalimat Khabitsah”.
“Tidakkah engkau melihat (wahai Muhammad) bagaimana Allah mengemukakan satu perbandingan, iaitu: kalimah yang baik adalah sebagai sebatang pohon yang baik, yang pangkalnya (akar tunjangnya) tetap teguh, dan cabang pucuknya menjulang ke langit. Dia mengeluarkan buahnya pada tiap-tiap masa dengan izin Tuhannya. Dan Allah mengemukakan perbandingan-perbandingan itu untuk manusia, supaya mereka beringat (mendapat pelajaran). Dan bandingan Kalimah yang jahat dan buruk samalah seperti sebatang pohon yang tidak berguna yang mudah tercabut akar-akarnya dari muka bumi; tidak ada tapak baginya untuk tetap hidup.” (QS Ibrahim : 24 – 26)
KEDUA : PANJANG TAPI TERJAGA KEASLIANNYA (THAWIL - ASHIL)
Dakwah adalah perjalanan yang panjang yang dilalui tidak hanya oleh satu generasi bahkan untuk dapat mencapai sasaran jangka panjangnya memerlukan beberapa generasi.
Ingatlah ketika Rasulullah saw menghayunkan pukulan memecahkan batu di dalam parit (Khandaq), ada percikan api keluar dari sela-sela hentaman pukulan batu menuju ke arah timur, lalu baginda mengisyaratkan bahwa umatnya kelak akan dapat menaklukkan Romawi, padahal Romawi hanya dapat ditaklukkan oleh umat Islam pada masa khilafah Utsmaniyah beberapa abad sesudahnya.
Berapa generasi yang telah dilalui dan berapa panjang perjalanan dakwah yang telah dilalui?
Namun, kita perlu ingat betapapun kita telah melalui sekian banyak generasi, “Ashalah” (keaslian) dan “Hamasah” (tekad yang kuat) tetap terjaga.
Islam yang sampai ke Romawi adalah Islam sebagaimana yang dilaksanakan oleh generasi pertama iaitu Rasulullah saw dan para sahabat ra.
- Keperibadian yang “ashalah” (asli) dalah keperibadian yang telah teruji dengan panjangnya mata rantai perjalanan dakwah.
- Keperibadian yang “hamasah” (mempunyai tekad kuat) adalah keperibadian yang tidak lekang dek ‘panas’ dan tidak lapuk dek ‘hujan’ sebagai ujian dan cobaan dalam perjalanan dakwah.
Sekarang mari kita meneliti kisah Abu Thalhah ra, salah seorang sahabat Rasulullah saw yang Allah swt berikan kepadanya umur yang panjang sehingga beliau masih hidup pada masa khalifah Utsman ra di mana beliau yang ketika itu usianya sudah terlalu tua.
Ketika ada seruan jihad melalui jalan laut, mengharungi lautan menuju perairan Yunani untuk menghadapi pasukan Romawi, seruan jihad berkumandang melalui lantunan ayat-ayat Al-Qur’an “infiruu khifafan wa tsiqaalan” (berangkatlah kamu dalam keadaan ringan mahupun berat), lalu anak-anaknya berkata kepadanya :
“Sudahlah ayah tidak usah ikut berperang, cukuplah kami sahaja yang masih muda yang mewakili ayah di medan perang”.
Dengan kecerdasan menafsirkan ayat tersebut diselangi dengan pembawaan “hikmatussuyukh wa hamasatussyabab” Abu Thalhah ra menjawab :
“Tidak, ayat tersebut telah mewajibkan kepada seluruh kaum muslimin baik yang tua mahupun yang muda, kerana ayat tersebut menyebutkan “khifafan” (ringan) bererti ditujukan untuk kamu yang masih muda dan “tsiqalan” ditujukan untukku yang sudah tua.”
Maka anak-anaknya pun tidak dapat membendung si ayah, lalu berangkatlah Abu Thalhah ra lalu iapun menemui kesyahidannya.
Begitu juga dengan kisah Saad bin Abi Waqqash ra, yang telah menggoreskan kesaksian perjalanan dakwah dengan keperibadian yang ‘ashalah’ yang tidak berubah disebabkan oleh perubahan situasi dan zaman, dari masa-masa yang penuh dengan kesulitan dan penderitaan hingga masa-masa yang penuh dengan kemudahan dan kesenangan.
Mengenang semua keadaan tersebut, beliau berkata :
“Aku adalah salah seorang dari 7 orang sahabat (10 orang sahabat yang dijanjikan masuk syurga), dahulu kami bersama Rasulullah saw dalam sebuah ekspedisi, kami tidak memiliki makanan, sehingga kami makan daun-daun sampai perit terasa kerongkong kami, namun sekarang kami yang tujuh orang ini semuanya menjadi gabernur di beberapa daerah, maka kami berlindung kepada Allah swt agar tidak menjadi orang yang merasa besar di tengah-tengah manusia tetapi menjadi kecil di sisi Allah swt”.
KETIGA : LAMBAT TAPI HASILNYA TERJAMIN (BATHI’ – MA’MUN)
Dakwah adalah umpama lari berganti-ganti (relay) bukannya lari jarak dekat (sprint). Maka, untuk itu diperlukan kesabaran bagi mencapai sasaran dengan kualiti yang terjamin.
Lari berganti-ganti memang nampak kelihatan lambat, namun potensi dan tenaga akan dialirkan secara kolektif dan perpaduan kerjasama terarah secara baik untuk memberikan sebuah jaminan kemenangan di garisan penamat.
Watak perjalanan dakwah yang lambat perlu dilihat dari proses dan tahapannya bukan dari sikap para pelakunya, kerana sikap yang lembab dalam berdakwah adalah suatu bentuk kelalaian yang ‘nasab’ (penggabungan) nya kepada jamaah yang bersifat antarabangsa sekalipun tidak akan mempercepatkan langkah kerja dakwahnya.
Ini sepertimana sebuah hadits Rasulullah saw :
“Barangsiapa yang lembab kerjanya, tidak dapat dipercepat dirinya dengan nasabnya.”
Salah satu jaminan dari proses tarbiyah adalah melahirkan sebuah keperibadian yang lengkap dan tidak terpecah.
Integriti keperibadian seorang muslim yang ditempa di jalan Tarbiyah tercermin pada :
- Keteguhan aqidahnya.
- Keluhuran akhlaknya.
- Kebersihan hatinya.
- Kebaikan tingkah lakunya samada di dalam pengabdian, jalinan sosial ataupun organisasi.
Kejayaan sebuah dakwah akan nampak sejauh mana kelestariannya apabila dihadapkan oleh situasi dan keadaan yang menguji integriti keperibadiannya.
Ini sebagaimana ketika berlakunya tragedi “haditsul ifk” (berita bohong/fitnah) yang menimpa Aisyah ra, ramai orang yang yang tidak terjamin akhlaknya sehingga turut menyebarluaskan fitnah keji itu.
Cuba kita bandingkan dengan para sahabiyah yang :
- Terjamin kualiti tarbawinya.
- Menjaga lisannya.
- Lebih senang mengutamakan sangka baiknya kepada Ummul Mu’minin Aisyah ra.
Cukuplah isteri Abu Ayyub Al-Anshari mewakili para sahabiyah yang mulia apabila ia menghadapi peristiwa tersebut dengan penuh ukhuwah dan mencintai saudaranya kerana Allah swt.
Berkenaan dengan fitnah yang menimpa Aisyah ra, isteri Abu Ayyub Al-Anshari berkata kepada suaminya :
“Wahai Abu Ayyub, jika engkau yang menjadi Safwannya apakah engkau berbuat yang bukan-bukan kepada isteri Rasulullah saw, dan Safwan lebih baik dari engkau. Wahai Abu Ayyub, kalau aku yang jadi Aisyah, aku tidak akan pernah mengkhianati Rasulullah saw, dan Aisyah lebih baik dariku.”
Kata-kata isteri Abu Ayyub Al Anshari memberi isyarat dengan taushiah agar kita :
- Menjaga ‘syahwatul lisan’ (syahwat percakapan).
- Mendahulukan ‘husnudzhan’ (sangka baik).
- Menonjolkan sikap ‘tawadhu’ sebagai bukti terjaminnya hasil dakwah.
PENDEKATAN TAKTIKAL
Setelah ketiga-tiga faktor asasi di atas telah dapat direalisasikan dengan baik, maka langkah berikutnya adalah memetakan langkah-langkah taktikal dengan melakukan program peningkatan kualiti dan kuantiti pertumbuhan aktivis dakwah dan menyelenggarakan kebangkitan pendakwah.
Ini sepertimana beberapa orang sahabat yang diutus oleh Rasulullah saw untuk mendakwahkan dan mengajarkan serta melakukan pembinaan kepada orang-orang yang baru masuk Islam yang telah melampaui wilayah Makkah dan Madinah seperti Muaz bin Jabal yang diutus ke Yaman dan Khalid bin Al Walid yang dikirim ke wilayah Iraq.
Usaha ini bermaksud untuk menyeimbangkan keluasan medan dakwah dengan jumlah aktivis dakwah dan menyelaraskan dukungan massa dengan potensi (kemampuan) tarbiyah.
PENDEKATAN STRATEGIK
Langkah strategik dalam sebuah perjalanan dakwah yang sangat penting adalah fokus untuk menyusun barisan aktivis dakwah teras, di mana perkara ini tidak boleh diabaikan walaupun gegak gempitanya sambutan masyarakat umum terhadap dakwah ini.
Oleh yang demikian, bagi mengelakkan berlakunya situasi kepupusan generasi atau kekosongan generasi aktivis dakwah teras, maka adalah sesuatu yang mendesak untuk dirumuskan sebuah strategi bagi membina aktivis dakwah baru yang sekarang ini semakin kompetitif berbanding dengan gerakan-gerakan dakwah yang lain.
Semakin ramai aktivis dakwah teras di samping aktivis dakwah yang baru yang dibentuk bagi meningkatkan kualiti dan kuantiti, ianya akan banyak membantu dakwah ini dalam menghadapi permasalahan dan ancaman.
Pada masa khalifah Abu Bakar ra, berlaku gelombang kemurtadan yang luar biasa sehingga 2/3 Jazirah Arab nyaris mengalami kemurtadan.
Ini bererti hanya 1/3 wilayah yang selamat yang terdiri dari kota Makkah, Madinah dan Thaif di mana di tiga kota inilah aktivis dakwah teras tetap dijaga dan dipelihara, sedangkan aktivis-aktivis dakwah yang baru dibina pada masa Khalifah Umar bin Al Khattab di mana kebanyakan mereka adalah tawanan perang ‘Riddah’ pada masa khalifah Abu Bakar ra.
Terbukti kemudiannya dalam perang “Al Qadisiyah”, ketika ancaman empayar Parsi menghalang aktivis-aktivis dakwah baru yang dibina oleh Umar bin Al Khattab selama kurang lebih satu tahun di mana kebanyakan mereka berada di barisan paling depan dalam jihad ‘fi sabilillah’ dan tidak kurang pula di antara mereka kemudiannya terkenal sebagai panglima dan komandan pasukan.
Itulah hasil sebuah produk tarbiyah.
“Dan berapa banyak dari Nabi-nabi (dahulu) telah berperang dengan disertai oleh ramai orang-orang yang taat kepada Allah, maka mereka tidak merasa lemah semangat akan apa yang telah menimpa mereka pada jalan (agama) Allah dan mereka juga tidak lemah tenaga dan tidak pula mahu tunduk (kepada musuh). Dan (ingatlah), Allah sentiasa mengasihi orang-orang yang sabar.” (QS Ali Imran : 146)
MEMBANGUN AKTIVIS DAKWAH BERKUALITI
Pembinaan aktivis dakwah yang berkualiti mestilah berasaskan empat faktor yang sangat penting iaitu :
PERTAMA : “AL IMAN Al AMIQ” (KEIMANAN YANG MENDALAM)
Seorang aktivis dakwah mestilah memiliki keimanan yang kuat dan tertanam di dalam jiwanya bahwa Islamlah satu-satunya sistem yang mampu memenuhi keperluan manusia dan memberikan kebahagiaan zahir dan batin samada di dunia mahupun di akhirat.
Allah swt telah mengingatkan Rasulullah saw dan umatnya :
"Berpegang teguhlah kamu dengan apa yang telah Aku wahyukan kepadamu (Al-Islam), sesungguhnya kamu berada di atas jalan yang lurus" (QS Az- Zukhruf : 43)
Aktivis-aktivis dakwah mestilah memiliki keyakinan bahwa hanya dengan Islam sahajalah umat Islam akan mampu memimpin dunia dan menjadi guru peradaban dunia (ustaziatul 'alam). Allah swt memang telah mempersiapkan umat Islam untuk itu.
"Kamu (umat Islam) adalah umat terbaik yang dipersiapkan untuk (memimpin) manusia, menyeru kepada yang ma'ruf, mencegah dari yang mungkar serta beriman kepada Allah." (QS Ali Imran :110)
Selain itu para aktivis dakwah juga mesti meyakini bahwa Allah sentiasa bersama orang-orang yang membela agama-Nya. Ia akan sentiasa membela dan menolong orang-orang yang berjuang di jalan dakwah dalam usaha menegakkan syariat-Nya di muka bumi.
"Sesungguhnya bumi ini milik Allah diwariskan kepada hamba-hamba-Nya yang dikehendaki-Nya dan kemenangan diberikan kepada orang-orang yang bertaqwa". (QS Al-'Araf : 128)
"Dan Allah pasti membela orang yang menolong-Nya. Dan Allah Maha Kuat lagi Maha Perkasa". (QS Al Hajj : 40)
KEDUA : “AL FAHMU AD DAQIQ” (KEFAHAMAN YANG TEPAT)
Hendaknya setiap aktivis dakwah memahami Islam sebagai ‘minhajul hayah’ dengan :
- Kefahaman yang benar (al fahmu as shahih).
- Kefahaman yang menyeluruh (al fahmu as syamil).
- Kefahaman yang sempurna (al fahmu al kamil).
Imam Hasan Al Banna ketika mendefinasikan Islam di dalarn ‘ushul isyrin’ mengutarakan:
“Islam adalah sistem yang menyeluruh dan mencakupi seluruh aspek kehidupan. Islam adalah negara dan tanah air, pemerintahan dan umat serta moral dan kekuatan. la juga sekaligus kasih sayang dan keadilan, peradaban dan undang-undang, ilmu pengetahuan dan hukum, kekayaan alam, material dan kekayaan, jihad dan dakwah. Selain itu ia juga kekuatan pasukan dan pemikiran sebagaimana ia adalah aqidah yang murni dan ibadah yang benar, tidak kurang dan tidak lebih.”
Aktivis dakwah yang memiliki kefahaman Islam yang benar akan terpelihara dari berbagai penyimpangan kerana sebab utama berbagai penyimpangan dakwah adalah ‘inhiraf fikri’ (penyimpangan fikrah).
Penyimpangan fikrah bersumber dari kefahaman yang salah akibat dari kefahaman yang ‘juz'ie’ (sebahagian) dan keliru. Kefahaman Islam yang benar adalah yang merujuk kepada sumber aslinya iaitu Al Qur’an dan As Sunnah serta praktik amali salafussoleh.
KETIGA : “AT-TAKWIN AL -MATIN (PEMBINAAN YANG KUKUH)
Aktivis dakwah dilahirkan oleh sebuah proses pembinaan yang meliputi berbagai aspek kehidupan iaitu :
- “Shibghah Fikriyah.” (Pembentukan fikrah).
- “Shibghah Ruhiyah” (Pembentukan mental & kerohanian).
- “Shibghah Harakiyah” (Pembentukan harakah).
Sehingga aktivis dakwah memiliki ketahanan pada tiga aspek ini dan mampu melakukan perubahan.
Tugas dakwah yang besar dan berat hanya dapat dipikul oleh para aktivis dakwah yang kuat pula yakni mereka yang memiliki daya gerak, daya angkat dan daya pikul yang seimbang (bahkan kalau dapat melebihi) tugas yang dipikulnya atau beban yang dipikulnya.
Jika seorang aktivis dakwah tidak memiliki kekuatan ‘fikriyyah’, ‘ruhiyah’ dan ‘jismiyyah’ serta ‘harakiyyah’, maka ia tidak mungkin mampu melakukan perubahan dalam masyarakatnya.
Tugas besar hanya dapat dilaksanakan oleh orang yang besar cita-citanya dan amanah yang berat hanya dapat dipikul oleh orang yang kuat. Maka umat yang penuh dengan masalah hanya dapat diselamatkan oleh para aktivis dakwah yang kukuh dan teguh.
Jalan dakwah :
- Tidak dihamparkan dengan permaidani merah.
- Tidak pula ditaburi oleh bunga-bunga.
- Tidak disimbah dengan siraman minyak kasturi.
Sebaliknya jalan dakwah yang hakiki :
- Dipenuhi dengan duri-duri yang menyakitkan.
- Dihiasi dengan ranjau-ranjau yang setiap saat mampu meledak.
- Jalannya berliku-liku penuh lencongan maut.
- Di kanan dan kirinya penuh dengan jurang-jurang yang cukup curam dan sentiasa menganga menunggu mangsanya.
Mengingatkan akan keadaan perjalanan dan medan dakwah yang begitu berat, maka diperlukan aktivis-aktivis dakwah yang tahan lasak dan pantang menyerah.
Imam Hasan Al Banna menegaskan :
“Yang menjadi perhatian utama Ikhwanul Muslimin adalah :
- ‘Tarbiyatun Nufus’ (mendidik jiwa).
- ‘Tajdidul Arwah’ (memperbaharui semangat).
- ‘Taqwiyatul Akhlaq’ (memperkukuh akhlak).
- ‘Tanmiyatur Rajulah As Shahihah’ (mengembangkan kepahlawanan yang benar).
Kami meyakini unsur-unsur tersebut adalah asas kebangkitan umat. Oleh kerana itu, persiapkanlah dirimu dengan mantap untuk menjalani tarbiyah yang benar, penyaringan yang ketat dan ujilah dirimu dengan amal yang berat lagi sukar. Dan berhentilah dirimu dari menuruti syahwat, kebiasaan dan tradisi yang tidak baik.”
KEEMPAT : ‘AT TARBIYAH AL MUTAWASILAH’ (TARBIYAH YANG BERTERUSAN)
Proses tarbiyah dalam Islam tidak dibatasi oleh waktu, tempat dan keadaan. Dengan kata lain, ia disebut sebagai ‘Tarbiyah Maddal Hayah’ (tarbiyah seumur hidup).
Aktivis dakwah yang berkualiti adalah mereka yang mengikuti proses tarbiyah secara :
- Intensif (murakazah).
- Komprehensif (mutakaamilah).
- Bertahap (mutadarrijah).
Aktivis dakwah yang bermasalah dalam proses tarbiyahnya hampir dapat dipastikan berpotensi pula menimbulkan masalah samada ianya berupa masalah peribadi, keluarga, sosial mahupun dakwah dan harakah.
Kegiatan tarbiyah bagi seorang aktivis dakwah sepatutnya bukan merupakan kegiatan sampingan atau aktiviti ‘sekunder’ yang boleh diabaikan, ditunda atau diganti dengan kegiatan lain.
Sebaliknya aktiviti tarbiyah mestilah menjadi kegiatan asasi yang mesti diutamakan di atas kegiatan lain termasuk di atas kegiatan dakwah umum. Seorang aktivis dakwah tidak boleh meninggalkan tarbiyah dengan berbagai alasan seperti :
- Sedang sibuk dengan dakwah dalam masyarakat.
- Mencari rezeki.
- Menyambung pelajaran atau pendidikan tinggi.
- Memang sekadar ingin beristirehat.
Tarbiyah sememangnya boleh dilakukan secara mandiri (tarbiyah zatiyah) atau secara kolektif (jamai’yyah). Namun Tarbiyah zatiyah tidak akan dapat mengungguli Tarbiyah jamai’yyah, kerana sehebat dan sepintar manapun seseorang itu, ia tidak mampu menilai dirinya sendiri secara objektif dan syaitan sangat suka pada orang yang menyendiri (infiradi - single fighter), termasuk pendakwah-pendakwah yang bebas dari kantung-kantung tarbiyah.
Rasulullah saw tidak pernah terputus dari bimbingan Allah swt sebagaimana ungkapan baginda :
"Adabbani Rabbi fa ahsani ta'dibi." (Rabbku telah mendidiku dengan pendidikan dan pengajaran yang baik).
Melalui malaikat Jibril as, Rasulullah saw sentiasa ditarbiyah oleh Allah swt. Demikian pula para sahabat di mana mereka tidak pernah terputus mendapatkan tarbiyah dari Rasulullah saw, sekalipun mereka ditugaskan di tempat yang jauh dan mereka biasa melakukan komunikasi tarbiyah (ittishal tarbawi) ketika akan pergi melaksanakan tugas dakwah ataupun sesudahnya.
Apabila mereka baru sahaja pulang dari tugas dakwah, mereka segera menemui Rasulullah saw terlebih dulu sebelum menemui sesiapapun. Memang sepatutnya seorang aktivis dakwah perlu merasa resah dan gelisah jika tertinggal atau tidak dapat hadir dalam kegiatan tarbiyah.
Di antara kesalahan asas yang terjadi adalah apabila berlakunya perluasan dakwah di berbagai lapisan masyarakat tanpa diikuti dengan pertumbuhan aktivis dakwah yang akan menangani tarbiyah orang-orang yang sudah berhasil direkrut.
Oleh sebab itu, mesti wujud aktivis-aktivis dakwah yang handal yang memfokuskan diri mereka secara intensif pada usaha-usaha membangunkan semula generasi atau penumbuhan aktivis secara optimum.
Kita seharusnya perlu berhati-hati terhadap kemungkinan penyimpangan harakah dakwah apabila kita hanya memfokuskan diri kepada usaha rekrutmen secara besar-besaran, tetapi mengabaikan pembinaan ‘Qaidah Sulbah’ (aktivis tulang belakang yang kukuh dan handal).
Harakah Islamiyah tidak boleh disibukkan hanya oleh ‘Dakwah Jamahiriyah’ (dakwah dalam masyarakat umum) dan melupakan pengurusan dalaman serta usaha-usaha mempersiapkan aktivis dakwah teras yang sentiasa bersedia dan mampu menghadapi tentangan.
FAKTOR-FAKTOR KEJAYAAN PROSES TARBIYAH
Ada beberapa faktor yang membantu menjayakan proses Tarbiyah, antaranya :
- Keyakinan sepenuhnya bahawa tarbiyah adalah satu-satunya wasilah yang paling berkesan untuk merubah masyarakat, melahirkan rijal dan seterusnya mencapai kejayaan. Melalui tarbiyahlah Rasulullah saw berjaya membentuk generasi rabbani sebagai contoh yang sukar ditandingi.
- Jalan Tarbiyah adalah jalan yang jauh, jalan yang sukar dan jalan yang bertahap-tahap. Sedikit sekali yang mampu mengharungi jalan ini, tapi ianya satu-satunya jalan untuk sampai kepada kejayaan.
3. Hanya jalan Tarbiyah yang mempunyai manhaj dan matlamat, lengkap dalam semua aspek dan jelas dari segi sumber, proses dan perancangannya.
4. Tarbiyah mampu mewujudkan suasana masyarakat yang harmoni. Suasana ini membantu setiap anggota masyarakat hidup secara Islam. Masyarakat dididik tentang cara memberi tunjuk ajar, cara bersimpati, memberi pertolongan dan sebagainya. Setiap anggota merasa sedikit dengan dirinya dan merasa banyak dengan sahabat. Dia merasa lemah bila bersendirian dan merasa kuat dengan berjamaah.
5. Adanya pemimpin yang bersifat pendidik dengan fitrah yang Allah anugerahkan kepadanya. Pengetahuan dan pengalamannya menjadikan Tarbiyah lahir daripada hati sanubari yang bersih dan ikhlas kerana Allah swt semata-mata. Setiap perkataan yang keluar dari hati akan masuk ke hati-hati yang lain tanpa sekatan. Perkataan yang hanya lahir dari lidah semata-mata tidak akan mampu melewati telinga pun. Pepatah ada menyatakan: "Orang yang tidak mempunyai sesuatu niscaya ia tidak akan dapat memberikan sesuatu."
6. Mempunyai murabbi-murabbi yang ikhlas, berwibawa dan beramanah mengikut jalan pemimpin agong nabi Muhammad saw. Tidaklah dimaksudkan murabbi di sini mereka yang keluar dari pusal-pusat pengajian tinggi dalam bidang tarbiyah atau pendidikan, dengan ijazah masters atau PhD.
Yang dimaksudkan dengan murabbi di sini ialah mereka yang mempunyai :
a. Keimanan yang tinggi.
b. Kerohanian yang kuat.
c. Jiwa yang bersih.
d. Kemahuan yang kental.
e. Simpati yang luas.
f. Kewibawaan yang memberi kesan kepada orang lain.
Dia mungkin seorang jurutera atau seorang pegawai biasa atau seorang peniaga atau seorang buruh yang tidak ada kaitan dengan prinsip-prinsip atau sistem pendidikan.
7. Menggunakan berbagai wasilah seperti kegiatan-kegiatan di dalam halaqah, daurah, rehlah, katibah dan lain-lain yang dijuruskan ke arah matlamat pembangunan insan muslim yang soleh dan sempurna.
Ya Allah, tetapkanlah kaki kami di atas jalan Tarbiyah sehingga setiap sudut kehidupan kami dihiasi dengan panduan tarbiyah yang mantap. Janganlah Engkau palingkan hati kami dari jalan Tarbiyah ini kerana sesungguhnya ia adalah jalan yang telah dimulakan oleh Rasulullah saw dan diikuti oleh para sahabat serta diwarisi pula oleh para salafusoleh zaman berzaman hingga ianya menjadi suatu proses pembelajaran sepanjang hayat sehingga kami menemuiMu dalam keadaan Engkau ridha kepada kami.
Ameen Ya Rabbal Alameen
WAS