Dakwah adalah sebuah perkataan yang sangat luas maknanya. Ia menjadi
jalan yang mesti ditempuh oleh setiap muslim di mana setiap dari mereka pasti
bersentuhan dengan dakwah.
Bahkan, Imam Hasan Al Banna pernah berkata :
“Nahnu Du’aatun Qabla
Kulli Syai’in” (kami adalah pendakwah sebelum segala sesuatu).
Begitulah eratnya kaitan antara dakwah dan Islam itu sendiri.
“Dan siapakah yang lebih
baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada Allah?” (QS Fushshilat : 33)
Dalam tafsir “Fi
Zhilalil Qur’an”, Sayyid Qutb menafsirkan ayat ini dengan menulis
:
“Allah memuliakan para
penyeru kebenaran. Ya, Allah memberikan pujian kepada para penyeru kebenaran
dan kepada sesiapa yang berani mengambil ‘tugas
berat’ yang bahkan apabila ‘tugas’
ini diberikan kepada sebuah gunung maka robohlah gunung tersebut menjadi
serpihan-serpihan sebagaimana yang tertera dalam ayat Al Qur’an berikut :
“Kalau sekiranya Kami turunkan al-Quran ini ke atas sebuah gunung,
niscaya akan engkau lihatlah gunung itu tunduk terpecah-belah disebabkan takut
kepada Allah; dan perumpamaan-perumpamaan itu Kami perbuat untuk manusia
supaya mereka berfikir.” (QS Al Hasyr : 21)
Ya, itulah tugas berat
yang di namakan dakwah di mana kita diajak untuk menjadi seorang penyeru
kebenaran dan pewaris nabi.”
Jangan lupa bahwa Ali bin Abu Talib pernah berpesan
bahwa para nabi tidak meninggalkan warisan berupa dinar dan dirham tetapi
warisan para nabi dan rasul adalah ilmu.
Kita pun masih ingat juga bahwa Abu Hurairah ra pernah mengherdik
beberapa orang yang lebih sibuk di pasar-pasar, sementara warisan nabi sedang
dibahagi-bahagi di masjid, namun mereka tetap mengabaikannya.
Salah seorang dari mereka berkata :
“Kami tidak melihat
adanya pembahagian apapun, kecuali beberapa orang tengah mengkaji Al Qur’an dan
Hadits serta diskusi tentang halal haram”.
Lalu Abu Hurairah ra berkata :
“Sungguh tidak cerdik kamu! Itulah warisan Rasulullah!”
Ianya bukan sekadar medapatkan ilmu, namun ada sebuah tanggungjawab
untuk mendakwahkan serta menyebarkannya. Ini adalah kerana ilmu yang bertimbun
dan tidak pernah di dakwahkan, hanya akan membuatkan pemiliknya menjadi fasiq
tanpa sedar dan akhirnya keraslah hatinya sepertimana yang diungkapkan oleh Imam
Asy Syafi’ie.
Mengingatkan akan beratnya tugas sebagai seorang penyeru dan
pendakwah, maka setelah kebangkitan nubuwwah, wahyu pertama yang
diterima oleh nabi, hinggakan baginda menggigil.
Maka di atas perintah Tuhannya, malaikat Jibril kembali
menyampaikan wahyu kepada baginda :
“ Wahai orang yang berselimut,bangunlah pada malam hari
(untuk solat)….” (QS Al Muzzammil 1-2)
Syaikh Munir Muhammad Al Ghadban menjelaskan dalam
kitabnya ‘Manhaj Haraki’ bahwa
solat malam atau ‘qiyamullail’ diwajibkan ketika
itu (awal zaman dakwah terbuka dengan merahsiakan struktur gerakan) sebagai
sebuah latihan intensif yang keras untuk komitmen dan taat kepada Allah.
Hikmahnya adalah pada ketika itu, dakwah mulai masuk pada zaman
terbuka dan mulai mendapatkan geseran dan tekanan dari masyarakat musyrikin
Quraisy. Maka diperlukanlah tenaga yang mampu meneguhkan mereka ketika
itu, dan tenaga itu tidak lain adalah tenaga kerohanian iaitu hubungan yang
teguh dengan zat Yang Maha Kuat.
“Sesungguhnya kami akan menurunkan sebuah
perkataan yang berat kepadamu. Sungguh, bangun malam itu lebih kuat mengisi
jiwa dan bacaan pada waktu itu lebih berkesan. Sesungguhnya pada siang hari
engkau sangat sibuk dengan urusan-urusan yang panjang.” (QS Al Muzzamil
5-7)
ADAKAH DAKWAH FARDHU ‘AIN ATAU FARDHU KIFAYAH?
Walaupun dakwah suatu perkataan yang berat dan merupakan tanggungjawab
yang besar namun ia tetap sahaja tidak boleh di tinggalkan.
“Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan ummat yang menyeru
kepada kebaikan, menyuruh kepada yang ma’ruf dan mencegah dari yang
mungkar, mereka itulah orang-orang yang beruntung” (QS Ali
Imran :104)
Perkataan “ummat” dalam kamus ‘Al Munawwir’ bermakna :
a. ‘ar rajulu aljami’u lil khair’ ( laki-laki yang terhimpun padanya kebajikan).
b. ‘ man huwa ‘alal haq’ (orang yang tetap di
atas kebenaran).
c. ‘asy-sya’bu wal jumhur’ (rakyat, masyarakat atau
bangsa).
Ia adalah sekelompok orang yang memiliki karakteristik sentiasa
melakukan dakwah dengan mengajak kepada kebaikan dan mencegah kemungkaran.
Ibnu Katsir mengatakan dalam tafsirnya bahwa “min” dalam frasa “waltakun
minkum” bermakna sebagai ‘min’ ‘bayaniyah’ yakni sebagai penjelasan bukan ‘tab’idhiyyah’ atau
batasan.
Maka, ayat ini menjelaskan bahwa dakwah adalah tanggungjawab
yang merupakan kewajiban setiap individu muslim.
Sementara Imam Ar Razi dalam tafsirnya menjelaskan bahwa makna “min”
pada frasa di atas adalah sebagai sebuah bentuk pembatasan (tab’idhiyyah). Alasan ini dikuatkan dengan
adanya sekelompok ummat yang tidak mampu menegakkan yang ma’ruf dan mencegah
dari yang mungkar. Maka perintah berdakwah ini hanya berlaku kepada
golongan ulama’ yang mengetahui yang baik (al
khair). Jika demikian, maka hukum berdakwah menjadi ‘fardhu kifayah’. Apabila
telah ada sekelompok orang yang melakukannya maka gugurlah kewajiban
kita.
Jadi, manakah yang lebih baik dari sudut hukum berdakwah?
Pendapat Ibnu Katsir mungkin lebih tepat sepertimana mengucap
salam atau solat jenazah yang dihukumkan sebagai fardhu kifayah di mana,
tentulah seorang yang mempelopori sesuatu terlebih dahulu akan beroleh pahala
yang lebih besar daripada yang mengikuti.
Ini adalah kerana kehidupan adalah perlumbaan ke arah kebajikan (fastabiqul khairat), maka
mengambil kesempatan untuk menjadi yang pertama pasti menjadi sebuah kemestian,
lebih-lebih lagi ini adalah dakwah yang dilaksanakan oleh penyeru kebenaran di
mana Allah swt memuji para pendakwah dengan firmanNya :
“Dan siapakah yang lebih baik perkataannya daripada orang yang
menyeru kepada Allah?” (QS Fushshilat
: 33)
‘TAFAQQUH FID DEEN’ ADALAH INTIPATI
DAKWAH
Kebiasaannya, manusia apabila dipuji maka akan membuatkan ia
merasa bangga, apalagi jika pujian itu datang dari Pencipta Manusia. Tentulah ia
menjadi sebuah prestasi yang tidak ternilai dan sangat membanggakan.
Lalu, jika dakwah adalah sebuah kewajiban dan setiap kita wajib
untuk menyampaikannya. Secara logiknya apabila seseorang tidak mempunyai
sesuatu maka dia tidak akan mampu memberikan sesuatu.
Jika kita telah mengambil dakwah sebagai sebuah pilihan hidup yang
mesti ditempuh maka mahu tidak mahu kita memerlukan bahan-bahan dan ilmu untuk
didakwahkan dan di sinilah peranan ‘tafaqquh
fid deen’ bagi memperdalamkan
pengetahuan agama sehingga kedudukan ‘tafaqquh
fid deen’ disejajarkan dengan kewajiban berjihad dan
bahkan termasuk ke dalam bentuk jihad.
“Tidak sepatutnya bagi mukminin itu pergi
semuanya ( ke medan perang ). Mengapa tidak pergi dari tiap-tiap golongan di antara
mereka beberapa orang untuk memperdalamkan pengetahuan tentang agama dan
memberi peringatan kepada kaumnya apabila mereka telah kembali kepadanya,
supaya mereka itu dapat menjaga dirinya.” (QS At Taubah : 122)
Ibnu Katsir meriwayatkan dari Ikrimah tentang ‘asbabun nuzul’ ayat ini
iaitu setelah turunnya ayat, “Jika kamu tidak berangkat untuk berperang ,
niscaya Allah akan menyiksa kamu dengan siksa yang pedih,” ( QS At
Taubah : 39) yang berkenaan dengan perang Tabuk. Lalu orang-orang munafiq
memberi komentar tentang beberapa sahabat nabi yang tetap tinggal di kampung
untuk mengajarkan kaumnya tentang perkara-perkara agama, “Sungguh binasa
orang-orang yang tidak turut dan berangkat perang bersama Muhammad.” Lalu
turunlah ayat di atas.
BERDAKWAH DENGAN CARA YANG MUDAH
Seiring dengan bertambahnya usia dunia, objek dakwah yang
wujud juga beraneka ragam. Kepelbagaian objek dakwah itupun menuntut kepelbagaian
cara dan metod dakwah yang digunakan.
Perkembangan mazhab, ilmu pengetahuan hingga kepada keadaan
geografi menuntut dakwah juga perlu berkembang. Rasulullah saw juga mengisyaratkan
kepada kita untuk berdakwah dengan bahasa sasaran dakwah kita dan bahasa di sini
tidak sekadar komunikasi secara verbal semata-mata tetapi juga segala budaya
yang berlaku dalam lingkungan masyarakat.
Tentang berdakwah, kadang-kadang ianya boleh dilakukan dengan cara
yang sangat mudah. Jika kita membuka mushaf Al Qur’an pada surah Yasin ayat ke
20 di mana di sana terdapat sebuah kisah tentang seorang lelaki yang
datang dari hujung kota yang berkata “wahai kaumku, ikutilah para
utusan-utusan itu.”
Para mufassirin berpendapat, lelaki ini bernama Habib An Najjar di
mana hanya dengan ajakan untuk mengikuti para rasul beserta dengan kalimat yang
singkat, beliau beroleh sebuah sanjungan dari Allah swt.
“Katakanlah (kepadanya) ‘masuklah ke syurga’ Dia ( laki-laki
itu –Habib An Najjar-) berkata ‘Alangkah baiknya sekiranya kaumku
mengetahuinya.’” (QS Yaasin : 25)
Belajar dari kisah Habib An Najjar, menunjukkan bahwa
berdakwah pun boleh dilakukan dengan cara yang sangat sederhana dan mudah
bahkan hanya dengan mengajak.
1. “Jom, ikut kuliah!”
2. “Jom, masuk usrah!”
3. “Jom, solat dhuha!”
4. “Jom, solat jamaah!”
serta berbagai ajakan kepada yang ma’ruf dan mencegah kepada yang
mungkar.
Maka, berdakwah sebenarnya tidak perlu menunggu diri kita menjadi
ustaz, bahkan boleh juga berdakwah melalui
media baru seperti Blog, Twitter, Facebook, dan lain-lain.
Yang terpenting dalam berdakwah adalah sepertimana ungkapan Imam
Hasan Al Basri iaitu ketika sesuatu itu dikeluarkan dari hati maka ianya akan
bertempat di hati dan apabila ianya hanya kata-kata manis bersifat retorik maka
ia hanya berhenti pada telinga kemudian terlupa.
DAKWAH MEMERLUKAN
PENENTUKURAN
Sebagaimana iman, dalam liku-liku perjalanan dakwahnya, seorang pendakwah
juga pernah mengalami pasang surut semangat dakwah mereka.
Ini adalah kerana memang, dakwah itu bukanlah mudah. Jika tiada
ikhlas, kita pasti akan menghadapi kesulitan untuk menyampaikan ilmu kita kepada
saudara kita. Oleh kerana itu, seorang pendakwah juga memerlukan penentukuran
dakwah mereka.
Ya dakwah memang memerlukan penentukuran sepertimana sebuah alat
ukur yang mesti sentiasa dibetulkan sebelum melakukan sebuah pengukuran. Dalam
ilmu pengukuran, penentukuran memiliki tujuan bagi menentukan tahap
penyelewengan kebenaran nilai konvensional penunjukan suatu instrumen ukur dan
menjamin hasil-hasil pengukuran sesuai dengan ‘standard’. Selain itu penentukuran
juga sangat bermanfaat untuk menjaga keadaan instrumen ukur dan bahan ukur agar
tetap sesuai dengan spesifikasinya.
Begitu pula untuk para pendakwah di mana mereka sangat memerlukan
penentukuran. Tujuannya sama iaitu :
a. Agar para pendakwah mampu bertahan lama dalam
perjalanan dakwah ini.
b. Perlu muhasabah untuk meneruskan kembali
perjuangan dakwah ini.
Mulailah dari diri sendiri dengan bertanya :
1. Sudahkah kita kembali memperbaharui niat kita?
2. Masihkah Allah menjadi tumpuan utama dakwah kita?
3. Adakah kita hanya berasa senang ketika mendapat
gelaran aktivis dakwah?
Dakwah itu berat sehingga Imam Ahmad bin Hanbal pernah berkata :
“Istirehatnya
kaum muslimin adalah ketika kaki kanannya menginjak ke dalam syurga”.
Selama mana kita masih hidup di dunia, kita tidak akan pernah istirehat
dari godaannya. Maka hendaklah kita sentiasa ingat Allah dalam setiap aktiviti
dakwah kita. Jangan pernah sedikit pun terlalai kerana iblis amat pintar
memanfaatkan peluang sekecil apapun.
Pernahkah kita merasa terhimpit?
a. Di mana amanah seolah-olah menjadi penjara jiwa.
b. Rutin dakwah sudah seperti belenggu yang
memberatkan.
c. Kemudian dalam keletihan itu, kita berfikir
bahwa besar sekali pengorbanan yang telah kita lakukan.
Namun ianya tidak lama, di mana kita kembali bersedih, mengingati
sedikitnya penghargaan yang kita dapat di mana ganjaran yang kita raih tidak
sebanding dengan kos yang kita keluarkan.
Jika itu yang kita rasakan, bersabarlah kerana :
1. Tidak ada pisau yang tajam tanpa dibakar dan
ditempa.
2. Tidak ada emas indah tanpa dipecah dan dilebur.
Boleh jadi rasa sakit yang selama ini kita rasakan adalah sebuah
proses, di mana Allah ingin mengajarkan kita tentang :
a. Erti kekuatan yang sesungguhnya.
b. Hakikat perjuangan yang sebenarnya.
c. Pengorbanan yang seutuhnya.
Selain penuh dengan onak dan duri, jalan dakwah ini begitu panjang
dan sempit. Itu sebabnya tidak semua orang dapat memasuki dan menjelajahinya.
Maka, bekalkanlah diri kita dengan kefahaman kerana kekecewaan
kita, protes kita atau keluh kesah kita boleh jadi adalah :
1. Bukti ketidakmampuan kita dalam memahami hikmah
atas apa yang Allah ajarkan kepada kita.
2. Disebabkan oleh kurangnya kefahaman kita dalam
memahami erti dakwah itu sendiri.
Berhati-hatilah ketika kita telah merasa berkorban, sesungguhnya
kita belumlah lagi berkorban kerana :
a. Tidak ada pengorbanan yang diiringi dengan
penyesalan.
b. Tidak ada pengorbanan yang disertai dengan
kesombongan.
Sesungguhnya :
1. Dakwah ini berat, bagi mereka yang suka
mengeluh.
2. Dakwah ini menyakitkan, bagi mereka yang tidak
pernah berkorban.
3. Dakwah ini mengecewakan, bagi mereka yang sentiasa
menuntut.
4. Dakwah ini membosankan, bagi mereka yang jauh
dari keteladanan.
Pada akhirnya, dakwah ini hanyalah selonggok nurani yang terbiar,
yang menunggu waktu hingga datang seorang pendakwah yang tulus, kuat dan teguh
dalam memikul amanah ini.
Ia mahu menerima bebanan, lantaran sedar dan peduli bahwa mesti
ada yang memikul tanggungjawab ini. Ia bersedia menjalaninya kerana ia yakin
tidak berjalan seorang diri bahkan sentiasa ada ‘tangan-tangan’
tersembunyi yang sentiasa menuntun dan menolongnya dan sentiasa ada balasan
yang besar dan darjat yang tinggi dari-Nya, itulah yang membuatnya tetap
tersenyum meskipun ia terluka.
Allah akan memberi ganjaran yang sebesar-besarnya dan darjat yang
setinggi-tingginya bagi mereka yang sabar dan lulus dalam ujian kehidupan di
jalan dakwah. Jika ujian, cobaan yang diberikan Allah hanya yang mudah-mudah sahaja,
tentu kita tidak akan memperolehi ganjaran yang hebat.
Di situlah letak hikmahnya, iaitu bagi seorang pendakwah, ia perlu
bersungguh-sungguh dan sabar dalam meniti jalan dakwah ini. Perjuangan ini
tidak boleh dijalani dengan :
a.
Ketidaksungguhan.
b.
Azam yang lemah.
c.
Pengorbanan yang
sedikit.
Marilah kita beristighfar,
1. Istighfar, apabila dakwah kita selama ini sering
diselangi dengan keluh kesah.
2. Istighfar, apabila orientasi kerja kita masih
keliru sehingga akhirnya hanya keletihan yang kita dapat.
3. Istighfar, jika ternyata kita termasuk aktivis
dakwah yang beramal seadanya, mengada-ada atau ada-ada sahaja.
Semoga hati kita bergetar kerana-Nya dan semoga Istighfar tadi
dapat membuka hati kita yang selama ini membeku, tertutup oleh keletihan dan
kelemahan iaitu :
a. Keletihan kerana lupa pada-Nya.
b. Kelemahan kerana tidak menyertakan-Nya pada
setiap amal kita.
Jika letih, tidak ada salahnya kita beristirehat meskipun sejenak
kerana dengan beristirehat, kita dapat tahu bahagian mana yang letih dan bahagian
mana yang salah.
Dengan beristirehat, kita dapat mengumpulkan tenaga untuk kembali berlari
sementara biarkan otak kita menghimbau kembali apa sahaja yang telah kita
lakukan selama ini serta tanyakan kepada diri kita :
1. Mengapa kita melakukan semua itu?
2. Apa yang membuatkan kita bertahan hingga sejauh
ini?
Biarkan jiwa kita menyelami makna dari setiap jengkal perjuangan
yang telah kita lakukan.
Adakah kita terlupa?
a. Tentang nikmat yang lupa untuk kita syukuri.
b. Tentang amal kecil yang belum kita laksanakan.
Adakah yang terlewat?
1. Tentang dosa-dosa kecil yang kita remehkan.
2. Tentang kelemahan yang tidak kunjung dikuatkan.
sehingga asas dakwah kita reput, terjerut oleh waktu dan nafsu sehingga
amanah tidak ubah seperti tongkat sakti, meskipun berpindah namun tidak berubah
serta tiada berkat. Sampai bila kita akan terjebak dalam putaran tetap seperti ini?
Marilah kita beristirehat sejenak yang tidak memerlukan waktu yang
lama sepertimana yang dilakukan oleh salah seorang sahabat Rasulullah saw yang
dijamin masuk syurga kerana kebiasaannya ketika sebelum tidur, ia :
a. Mengistirehatkan egonya.
b. Mengistirehatkan nafsunya.
c. Mengistirehatkan kealpaan dan kelemahannya dalam
sehari itu.
d. Mengistirehatkan semuanya dalam titisan air mata
penuh sesal atas dosa.
Bukankah pula yang menyebabkan sahabat yang lain juga dijamin
masuk syurga kerana setiap hari ia terbiasa :
1. Mengistirehatkan kesedihannya.
2. Mengistirehatkan kemarahannya.
3. Mengistirehatkan bayang dan prasangkanya
terhadap orang lain.
Sehingga dalam sehari, sebelum tidur, ia sentiasa :
a. Memaafkan orang yang telah membuat hatinya
terluka.
b. Membersihkan hatinya terhadap irihati dan dengki,
apabila orang lain mendapat rezeki melebihi dirinya.
Marilah kita tetap menjadi kuat. Jangan biarkan diri kita lemah
dan terjerumus dalam kungkungan kesedihan, namun jangan pula kita jadikan
sebuah amanah sebagai kambing hitam atas ketidakmampuan kita untuk bersikap
seimbang dalam menunaikan amanah-amanah lain.
Ingatlah, kekuatan dakwah bukan terletak pada :
1. Ramainya manusia yang mendatangi majlis kita.
2. Besarnya sebuah acara.
3. Banyaknya agenda yang kita lakukan.
Tapi, kekuatan dakwah terletak pada sebuah kesederhanaan yang
terpancar dari setiap peribadi para pendakwah serta aktivisnya kerana menjadi
sederhana itu suatu kekuatan.
Apabila orang lain telah menjauh dan terpalit dengan kedustaan dan
kemalasan, tetaplah kita berada pada kesederhanaan kerana :
a. Kesederhanaan itu wujud sebagai sebuah amal yang
jujur serta tidak banyak alasan.
b. Kesederhanaan juga terpancar pada kesabaran,
tanpa banyak keluhan.
Kesederhanaan tentunya lahir dari sebuah kesedaran iaitu :
1. Sedar untuk menjaga keikhlasan dalam niat.
2. Sedar untuk tetap komited dalam dakwah.
3. Sedar untuk terus istiqamah, meskipun orang lain
sudah berubah.
Pendakwah itu hendaklah seperti kipas angin :
a.
Terus berputar dalam
lingkaran yang sama.
b.
Kehadirannya membawa
kenyamanan.
c.
Pergerakannya berbuah
kesejukan bagi orang di sekelilingnya.
Boleh jadi, pendakwah merasa bosan dan letih akan jalan hidupnya,
yang ‘hanya’
dicurahkan untuk dakwahnya serta berpartisipasi untuk perkara-perkara yang
serupa, layaknya seperti kipas angin yang hanya bergerak dan berputar dalam
lingkaran yang sama.
Biarkanlah kebosanan dan keletihan itu hinggap, tapi tidak usah dihiraukan
kerana orang-orang disekitar kita akan merasa nyaman dan sejuk akan kehadiran
kita. Ya, semestinya kehadiran seorang pendakwah membawa ketenteraman kerana ia
datang membawa penyelesaian.
Namun jika pergerakan pendakwah justeru membawa kesusahan, kesesakan
dan kepanasan bagi orang di sekelilingnya, cuba renungkanlah. Barangkali ada
yang tidak kena dengan caranya apabila kehadiran pendakwah justeru membuahkan
perpecahan dan saling berdebat antara manusia.
Boleh jadi cara yang diterapkan tidak tepat untuk keadaan dan
situasi semasa. Fikirkanlah, tidak usah kita terpaku dan bersikap statik pada
metod dan cara-cara yang tidak diatur oleh Rabb kita dan tidak diajarkan oleh nabi
besar kita Muhammad saw.
Hanya sahaja tetaplah berjalan pada lorong-lorong yang tidak
melanggar syariah. Ingatlah tuntunan agama, “berdakwahlah dengan cara yang
terbaik”, tidak hanya baik, tapi “terbaik”. Tentu sahaja apabila
pedoman ini kita pegang dengan erat, tidak akan kita temui situasi saling berdebat,
saling serang menyerang, bahkan saling berlakunya perpecahan umat.
Objek dakwah seharusnya tidak akan menemui :
1. Islam yang bersifat konfrontasi.
2. Islam yang tidak mengenal toleransi.
3. Islam yang terkenal kaku.
Sebaliknya mereka sepatutnya hanya akan melihat Islam yang indah,
kukuh tapi fleksibel serta penuh dengan kasih sayang dan limpahan rahmah.
Jika tidak ada yang salah dengan caranya dan tidak ada yang keliru
dalam metodnya, maka tanyakan kepada hati kita, renungkanlah! Kemungkinan ada
yang salah dengan niat kita serta ada tenaga lain yang membuatkan seseorang
pendakwah berlari kencang menuju cinta selain Allah.
Pendakwah adalah umpama kipas, iaitu kipas yang memiliki ruh. Ia
bergerak dan berputar bukan kerana terpaksa sepertimana kipas yang mesti
berputar hanya kerana suis “ON”
telah ditekan dari tubuhnya. Pendakwah bergerak dan bekerja dengan tenaga yang
jauh lebih besar dan lebih dahsyat iaitu tenaga cinta dan kasih akan Rabbnya.
Apabila ada tenaga lain yang menggerakkan pendakwah, tidak akan ada
lagi kenyamanan yang akan dirasakan oleh objek dakwah dan tidak ada lagi
kesejukan yang berbuah ketenteraman, sebaliknya angin-angin panas yang keluar
dari kipas yang membuatkan diri semakin gelisah kerana ruh-ruh rahmah tidak
lagi tercurah.
Ramai dari aktivis dakwah yang bergerak kerana sebab-sebab lain
samada mementingkan dirinya atau menghitung untung rugi dunia, bahkan hanya
demi pasangan hidupnya, layaknya seperti ia sedang berniaga dengan sesama mereka.
Janganlah kita tertipu, cukuplah Allah dan Rasul menjadi teman dalam perniagaan
kita. Lupakan keuntungan dunia yang menipu. Jauhkan!!, jangan sampai ia merosakkan
hati kita!!
Luruskan lagi kembali niat kita. Kita menyeru bukan untuk memuja
harakah kita, tapi dakwah kita adalah menyeru untuk perbaikan dan persatuan ummat.
Ada tujuan yang jauh lebih mulia yang patut kita perjuangkan, tentunya dengan
tenaga kasih dan cinta dariNya hinggakan kelak kita akan puas ketika bertemu
denganNya.
Apabila kita sudah merasa mantap dengan usaha-usaha tersebut, tapi
tidak juga hasil positif yang kita perolehi, kita tidak perlu berputus asa kerana
sesungguhnya para Rasulpun telah didustakan oleh kaum mereka. Jangan kita
terpaku pada hasil, kerana sungguh kita bukan berniaga dengan manusia. Allah melihat
kesungguhan kita dan proseslah yang dinilaiNya sedangkan hasil adalah hak mutlak
kehendakNya.
Wahai pendakwah :
a. Teruslah melangkah, kerana langkahmu penuh
dengan hikmah.
b. Teruslah bergerak, kerana pergerakanmu membuatkan
kesesatan dan kezaliman terhambur.
c. Teruslah bertahan, kerana kehadiranmu akan
berbuah persatuan dan kejayaan Islam.
Ya Allah, jadikanlah kami pendakwah yang berpegang teguh
dengan cara-cara dan metod yang telah Engkau tentukan. Tetapkanlah kami di atas
jalan yang lurus walaupun badai fitnah kuat melanda hati dan jiwa kami. Jadikanlah
kehadiran kami di tengah-tengah manusia sebagai punca manusia mendapat petunjuk
dariMu.
Ameen Ya Rabbal Alameen
WAS