Oleh itu, jamaah Islam yang sebenar adalah terbentuk daripada asas-asas Islam yang asli yang berasal daripada jamaah yang terawal pada zaman Nabi Muhammad saw di mana ia berpandukan kepada kriteria aqidah yang sejahtera dan ibadah yang sahih.
Dari sinilah terbentuknya asas-asas untuk membangun Jamaah Ikhwanul Muslimin merangkumi pembinaan peribadi dengan fokus aqidah, akhlak dan suluk (perilaku) di samping merangkumi pembinaan organisasi dengan ikatannya yang asas iaitu ukhuwah, thiqah dan taat.
PERTAMA : PEMBINAAN PERIBADI
Ini adalah asas pembinaan yang terpenting dalam polisi jamaah kerana ia fokus pada sudut aqidah, akhlak dan suluk (perilaku). Jika hilang pembinaan ini dari jamaah, maka tidaklah ia dikira sebagai jamaah.
Pembinaan ini terbahagi kepada dua bahagian :
1. Pembinaan Aqidah dan Kepercayaan
Ia adalah perkara terpenting dalam sebuah pembinaan Jamaah. Dengan Iman :
a. Ia membenarkan dengan hati terhadap Allah
dan Rasulnya, tanpa sebarang syak dan keraguan .
b. Ia menghadirkan ketenangan yang ampuh.
c. Ia membentuk keyakinan yang tidak mampu
diganggu gugat dan tidak akan berubah.
Inilah yang telah membuahkan jihad dengan harta dan jiwa pada jalan Allah.
Firman Allah swt :
“Orang-orang mukmin yang beriman dengan Allah dan Rasulnya kemudian tiada ragu-ragu dan lantas berjihad dengan harta dan jiwanya pada jalan Allah, mereka inilah orang orang yang benar.”
Hakikatnya, aqidahlah yang menjaga dan menjamin keamanan serta kesejahteraan masyarakat dan jamaah ini secara khususnya.
Di antara kepentingannya adalah :
1. Memudahkan kita untuk melaksanakan prinsip dengan sesuatu yang ‘thabit’, agar kita tidak ragu-ragu di atas setiap tindakan dan tidak kucar kacir dari sudut perancangan.
2. Ketika jamaah menghadapi masa gentingnya dari berbagai kesukaran dan ujian, aqidah dan keyakinan inilah yang akan menyelamatkannya kerana ia berhubung terus dengan Allah yang tidak lemah dan mereka sentiasa dalam keadaan tenang dan gagah.
3. Aqidah adalah asas pada setiap perkataan dan amal. Setiap tindakan yang dibuat tanpa asas aqidah maka ia akan cenderung untuk terdedah kepada kegagalan dan kehancuran.
Firman Allah swt :
“Apakah mereka yang membina binaan atas dasar taqwa terhadap Allah dan ridhanya lebih baik, ataupun mereka yang membina binaan di atas tepi jurang yang runtuh maka ia turut runtuh dan jatuh ke neraka jahannam. Allah tidak memberi hidayah kepada kaum yang zalim” (QS At Taubah : 109)
4. Dengan aqidah, individu muslim akan hidup dalam ketenangan pada setiap urusan di samping memiliki hati dan jiwa yang ridha, keluasan hati yang membahagiakan kerana dia hidup di bawah penjagaan Allah swt.
5. Aqidah membentuk dan membimbing ‘rijal’ pada setiap masa dan peristiwa di mana mereka mempertahankan kemuliaan dan keislaman mereka. Mereka juga membenarkan kepercayaan ini di dalam hati-hati mereka dan berjihad di jalan Allah serta tidak pernah gentar kepada sesiapapun.
6. Ia adalah sebuah manifestasi jiwa yang sejahtera dan akhlak yang mulia. Rasulullah saw bersabda :
“Wahai sekalian manusia , katakanlah ‘Laa ilaaha Illa Allah’, maka kamu akan berjaya.”
KEDUA : PEMBINAAN AKHLAK DAN SULUK
Akhlak ialah manifestasi makna dan sifat yang membekas di dalam sebuah jiwa sehingga ia memperbaiki tindakan seseorang insan ataupun sebaliknya memperburukkannya.
Akhlak dan suluk adalah dua kriteria penting dalam membina individu dan jamaah di mana ia mendapat perhatian khusus dalam Islam dan ia berperanan mengislah pimpinan dan masyarakat.
Keselarasan antara aqidah dan suluk atau antara perkataan dan perbuatan adalah asas kekuatan setiap jamaah dan sebuah nilai qudwah. Jika perkataan seseorang berlawanan dengan tindakannya, maka masyarakat akan syak dan menghukum dirinya dan dakwah yang dipikulnya akan hilang kemegahan manhajnya dan keberkesanannya.
Amal yang tidak berhubung dengan hati, ia adalah sia-sia dan langsung tidak membawa kepada sebarang pentarbiyahan, perubahan atau kebangkitan.
Akhlak adalah asas kepada tarbiyah individu mahupun jamaah bahkan ia adalah perlembagaan asas masyarakat dan negara. Ia adalah asas yang wajib diterapkan ke atas seorang individu muslim sehinggalah dia menjadi batu bata yang terbaik untuk menyempurnakan projek binaan Islam yang besar.
Ini sepertimana para sahabat radhiallahuanhum yang ditarbiyah oleh Rasulullah saw, mereka terbina oleh tarbiyah yang menghasilkan muslim yang sejahtera di mana ia seharusnya menjadi rujukan oleh setiap jamaah muslimah untuk dipraktikkan.
Di antara asasnya adalah :
a. Syura.
b. Jauhi permusuhan.
c. Menumpaskan kezaliman.
d. Sabar.
e. Memelihara diri.
f. Membumikan keadilan.
g. Ihsan.
h. Menyelamatkan masyarakat dari maksiat dan
kezaliman.
i. Sentiasa setia kepada perjanjian dan
persetujuan.
Dari sini, kita dapat lihat bagaimana kepentingan unsur akhlak sebagai asas Islam yang juga merupakan asas kepada pembinaan sebuah jamaah dan pembangunannya. Ia adalah keperluan asas sebuah tarbiyah yang sebenar di mana Islam sentiasa berusaha mendirikannya dan merealisasikannya dalam setiap tindak tanduk seorang mu’min.
Firman Allah swt :
“Allah memerintahkan keadilan dan ihsan dan memberikan hak kepada kerabat, menghalang dari perbuatan keji , kemungkaran dan permusuhan . Dia mengingatkatmu agar kamu beringat . setialah dengan janji Allah setelah kamu berjanji dan janganlah melanggar sumpah setelah engkau berikrar sedang engkau telah menjadikan Allah sebagai saksi (perjanjian). Sungguh Allah mengetahui apa yang kamu lakukan.” (QS An Nahl : 90-91)
Inilah dia asas kepada akhlak dan inilah yang dimaksudkan sebagai pembinaan akhlak dan suluk yang perlu diterapkan oleh setiap jamaah. Sebuah jamaah tidak akan berjaya terbina kecuali selepas memberikan sepenuh perhatian kepada aspek pembinaan akhlak seperti yang disebutkan di atas.
KEDUA : PEMBINAAN ORGANISASI
Ia bermaksud penggabungan yang mengikat ahli-ahli di dalam sebuah jamaah, pimpinannya dan tentera-tenteranya serta seterusnya menentukan strategi amal dan memelihara perundangan jamaah daripada rosak dan musnah di samping menjaga kekuatan dan keampuhannya.
Di antara ciri ciri pembinaan organisasi adalah :
1. UKHUWAH
Ia adalah anugerah rabbaniyah yang Allah beri kepada orang yang ikhlas di kalangan hamba-hambaNya.
Firman Allah swt :
“Dialah yang telah menuntunkan padamu dan orang orang mu’min kemenangan , Dialah yang menyatukan hati-hatimu, jika engkau menginfaqkan seluruh harta yang ada di dunia maka tidaklah akan terikat hati-hatimu tetapi Allahlah yang telah mengikatnya.” (QS Al Anfaal : 63)
Imam Hasan Al Banna telah menyebut :
“Yang aku inginkan dengan ukhuwah ini adalah menghubungkan hati-hati dan ruh dengan ikatan aqidah. Aqidah adalah ikatan yang terkuat dan termahal, ukhuwah sinonim dengan iman sebaliknya perpecahan adalah sinonim kepada kekufuran.
Kekuatan yang utama adalah kekuatan kesatuan dan tiada kesatuan tanpa cinta. Selemah lemah cinta adalah berlapang dada dan yang tertinggi adalah ‘ithar’.”
Firman Allah swt :
“Mereka mengutamakan (muhajirin) sebelum diri mereka walaupun mereka sendiri memerlukannya , siapa yang memelihara dirinya dari kekikiran merekalah orang yang berjaya.” (QS Al Hasyr : 9)
Al Akh yang benar melihat akhnya yang lain lebih utama dari dirinya sendiri kerana jika dia tidak bersama mereka, maka dia tidak akan bersama selain dari mereka. Dan mereka, jika tidak bersama dengannya maka mereka bersama dengan yang lain. Serigala akan memakan biri-biri yang bersendirian, mu’min dengan mu’min yang lain seperti sebuah bangunan di mana ia saling melengkapi.
“Orang mu’min lelaki dan perempuan, mereka menjadi pelindung antara satu sama lain.” (QS At Taubah : 71)
Ukhuwah melahirkan sebuah kekuatan iman kerana ia adalah :
a. Emosi yang ikhlas.
b. Kecintaan dan kehormatan.
c. Perasaan saling mempercayai bersama semua mereka
yang terikat dengan aqidah tauhid dan manhaj Islam yang mulia.
Firman Allah swt :
“Sesungguhnya mu’min itu bersaudara, perbaikkanlah di antara saudaramu dan bertaqwalah agar kamu beroleh rahmatNya.” (QS Al Hujurat : 10)
Kemanisan Iman tidak mungkin dirasai kecuali mereka yang telah menikmati ukhuwah ini.
Rasulullah saw bersabda :
“Barangsiapa memiliki tiga keadaan ini dia akan merasai kemanisan iman ; Allah dan Rasul Nya paling dicintai mengatasi yang lain , mencintai seseorang kerana Allah , benci untuk kembali kepada kufur sebagaimana dia benci untuk dicampak ke neraka.”
Itulah juga yang digambarkan oleh Imam Hasan Al Banna kepada Ikhwan dalam “Risalah Antara Semalam dan Hari Ini”.
“Cintailah antaramu, peliharalah dengan teliti ikatan antaramu, ia adalah rahsia kekuatanmu, panji kejayaanmu, tetaplah sedemikian sehingga Allah menetapkan untuk kejayaan Al Haq , Allah sebaik baik pemberi kejayaan.”
2. THIQAH
Ia merupakan :
a. Sebuah perasaan yang sangat mendalam dalam
setiap insan.
b. Manifestasi keimanan kepada fikrah dengan
sebenar benar iman tanpa keraguan.
c. Amal tanpa sebarang syak ke arah matlamat
dan misi tanpa putus asa dan lemah semangat.
d. Adalah sebuah ketenangan total tentera-tentera
terhadap komandannya pada operasinya.
e. Jambatan yang menghadirkan cinta.
f. Perasaan yang membawa kepada kepatuhan,
kehormatan dan taat.
Kepimpinan adalah sebahagian daripada dakwah dan tiada dakwah tanpa kepimpinan.
Kewujudan ‘thiqah’ antara qiyadah (pimpinan) dan junud (tentera) ini :
1. Telah mengukuhkan organisasi jamaah.
2. Berjaya melaksanakan berbagai strategi
jamaah.
3. Menentukan kejayaan jamaah untuk mencapai visi
dan misinya.
4. Mampu menewaskan apa sahaja kuasa yang cuba
menghalang dan menentang keutuhan jamaah.
Tidak syak lagi bahwa antara teknik yang paling berjaya digunakan oleh musuh dakwah adalah memusnahkan jambatan ‘thiqah’ ini dari dalam sehinggalah anggota jamaah itu berpecah belah dan bercerai berai.
Apabila anggota jamaah hilang ‘thiqah’ pada qiyadah, maka hilanglah sebuah ketaatan. Jika tiada ketaatan maka tiadalah jamaah.
Secara idealnya, para qiyadah perlulah terdiri dari mereka yang :
a. Paling kuat.
b. Paling bertaqwa.
c. Paling ‘alim.
d. Paling fasih dalam tutur kata.
Namun, oleh kerana ini adalah suatu tuntutan yang agak sukar, maka amat diperlukan sebuah sinergi antara qiyadah dan junud.
‘Thiqah’ pada qiyadah adalah faktor utama kejayaan dakwah. Maka, renunglah ke dalam diri kita dan tanyakan persoalan-persoalan berikut dan hitunglah kadar ‘thiqah’ kita terhadap qiyadah.
1. Adakah dia sanggup meninggalkan
pendapatnya dan mempersetujui pendapat jamaah serta mengiktiraf ia lebih benar
ketika bertentangan pada masalah ijtihadiyah?
2. Adakah dia bersedia untuk menyerahkan
kepada dakwah bagi menentukan keputusan-keputusan terbaik dalam kehidupan?
3. Mampukah dia berpuashati dengan
pertimbangan jamaah terhadap kaedah maslahah ammah dan maslahah khassah?
Persoalan-persoalan ini mampu dirungkaikan dengan syarat menghubungkan hatinya dengan kepimpinan dan tenang dengannya melalui ‘thiqah’ .
Cukuplah Allah menguruskan hati-hati ini sebagaimana yang Dia mahu dan oleh kerana itu, perlulah diperhatikan secara khusus beberapa perkara :
a. ‘Thiqah’ adalah petanda ikatan ruh dan emosi.
b. Jika ‘thiqah’ hilang maka tiadalah taat, tiadalah pimpinan tanpa ketaatan dan tiada jamaah tanpanya.
c. Musuh musuh dakwah sentiasa berusaha menanam syak wasangka dan menghilangkan ‘thiqah’ dalam kalangan anggota sebuah saf jamaah.
Maka akhirnya, jamaah akan semakin lemah dalam perancangannya untuk merealisasikan visi dan misinya akibat kelemahan dan kehancuran ‘thiqah’ dari dalam jiwa anggotanya.
3. TAAT
Imam Hasan Al Banna telah menjelaskannya dengan menyatakan :
“Yang aku inginkan dari taat dengan maksud melaksanakan arahan pada setiap situasi samada susah, senang, suka atau benci.”
Jamaah yang berobjektifkan amal yang besar tidak mampu menjayakan visi dan misi tersebut jika qiyadah tidak diberikan hak taat selagimana ia tidak menuju ke arah maksiat .
Jika sebuah syura telah ditetapkan, adalah dilarang kepada mana-mana ahli syura yang tidak sependapat dengan hasil syura untuk menceritakan pendapatnya dalam saff walaupun jika terbukti selepas percubaan bahawa pandangannya adalah yang paling benar. Ini adalah kerana :
“Berhimpunnya sebuah saff pada kebenaran lebih baik daripada berpecahnya saff pada yang lebih benar.”
Inilah dia asas binaan yang perlu dipelihara oleh jamaah yang mulia ini dengan izin Allah dan pemeliharaanNya ke atas dakwah ini pada setiap mihnah dan ujian yang getir yang dilalui oleh jamaah sepanjang zaman.
“Dan betapa banyak nabi yang berperang didampingi sejumlah besar dari pengikut yang bertaqwa. Mereka tidak menjadi lemah kerana bencana yang menimpa di jalan Allah, tidak patah semangat dan tidak pula menyerah. Dan Allah mencintai orang yang sabar. Dan tidak lain ucapan mereka hanyalah doa ; Ya Tuhan kami , ampunilah dosa dosa kami , tindakan-tindakan kami yang berlebihan dalam urusan kami dan tetapkanlah pendirian kami dan bantulah kami menghadapi kaum kufar. Maka Allah memberi mereka pahala di dunia dan pahala yang baik di akhirat, dan Allah mencintai orang yang berbuat kebaikan. ” (QS Ali Imran : 146-148)
Ya Allah, kami memahami bahwa jalan tarbiyah adalah jalan pengislahan terhadap individu- individu yang berpandukan manhaj Islam bagi menggarap visi dan misi yang diimpikan. Sesungguhnya Engkaulah Yang Maha Berkuasa memberi kemenangan kepada umat ini dan kami memohon agar Engkau memelihara dakwah ini sehinggalah seluruh kehidupan menjadi sejahtera dan aman.
Ameen Ya Rabbal Alameen
WAS
Jazakallahukhair atas perkongsian ini. Sangat membantu dalam memuhasabah diri.