Setiap Jamaah yang terbentuk mestilah mempunyai asas-asas yang membantunya untuk terus bergerak dengan binaan yang sejahtera dan sahih supaya ia tidak :
a. Terbantut.
b. Hancur.
c. Pupus.
Selain itu, jamaah ini hendaklah kuat dan kukuh agar ia mampu menghadapi pelbagai situasi yang mungkin akan membahayakan seruan dakwah yang dibawanya.
Oleh itu, Jamaah Islamiyah yang hakiki terbentuk dari asas-asas Islam yang asli kerana ia berasal daripada jamaah yang terawal pada zaman Nabi Muhammad saw yang berpandukan kepada kriteria aqidah dan ibadah yang sahih.
Dari sinilah terbentuknya asas-asas untuk membangun Jamaah Ikhwanul Muslimin yang merangkumi :
1. Pembinaan peribadi dengan fokus aqidah.
2. Pembinaan akhlak dan ‘suluk’ (perilaku).
3. Pembinaan organisasi dengan ikatannya yang
asas iaitu ‘ukhuwah’, ‘thiqah’ dan taat.
Konsep dakwah yang yang dibawa oleh Imam Hasan Al Banna adalah konsep dakwah yang komprehensif dan bersifat kesejagatan. Ia mencakupi seluruh sudut kefahaman Islam dan mampu berinteraksi dengan kehidupan yang sebenar. Ia umpama sinaran fajar pagi yang menyingkap tabir yang pekat yang menutup kehidupan umat Islam.
Sesungguhnya Imam Hasan Al Banna benar-benar seorang ‘mujaddid’ (pembaharu) Islam abad ke 20. Beliau mampu memadukan kefahaman terhadap nilai-nilai Al Qur’an dan petunjuk Rasulullah saw secara benar dan menyeluruh. Ini dilakukan dengan pembacaan dan perenungannya yang mendalam terhadap fakta-fakta sejarah dan ‘sunnah’ (ketetapan) Allah dalam menempatkan atau menegakkan sebuah kekuasaan di muka bumi.
Di antara kelebihannya termasuk kemampuan untuk :
a. Melihat realiti kehidupan umat Islam
dengan tajam dan saksama.
b. Mengesan penyakit umat.
c. Mengetahui cara penyembuhannya.
Sebelum kedatangan Imam Hasan Al Banna, sebenarnya telah banyak usaha-usaha pembaikan dan reformasi yang dilakukan di tubuh umat ini namun, ia hanyalah bersifat sementara. Sebahagian daripadanya belum membawa konsep kefahaman Islam yang menyeluruh dan mendalam terhadap realiti kehidupan yang sebenar. Sebahagiannya pula tidak menjaga ‘sunnah’ (ketetapan) Allah dalam proses penetapan kekuasaan, disebabkan berlakunya penyimpangan seiring dengan pergantian zaman atau perpindahan generasi. Malah, reaksi-reaksi yang terbatas atau teori serta simbol-simbol kosong juga menyebabkan tiadanya bangunan dakwah yang kuat dan gerakan yang terus menerus.
Kaedah ilmu yang dibawa oleh Imam Hasan Al Banna sangat berbeza. Kaedah tersebut mampu mengubah teori dan mimpi-mimpi menjadi kenyataan yang nyata. Hal ini kemudiannya disokong dengan kemampuannya dalam membangun organisasi dan mengatur secara baik. Akhirnya dengan izin Allah, beliau mampu memimpin dan mendirikan sebuah jamaah yang membawa panji-panji Islam berdasarkan asas yang kuat yang tidak mudah hilang dan dihancurkan.
Bangunan yang kuat dan berkesinambungan ini menunjukkan sebahagian dari hasil usaha Imam Hasan Al Banna. Suatu hari, beliau pernah ditanyakan tentang satu perkara:
“Mengapa kamu tidak menuliskan ilmu yang luar biasa dan melahirkan buku-buku?”
Beliau menjawab :
“Sesungguhnya aku membina para pejuang yang membawa kebenaran.”
PERTAMA : PEMBINAAN PERIBADI
Ini adalah asas pembinaan yang terpenting dalam polisi jamaah kerana ia fokus pada sudut aqidah, akhlak dan ‘suluk’ (perilaku). Jika usaha pembinaan ini hilang dari jamaah, maka tidaklah ia dikira sebagai jamaah. Proses pembinaan ini terbahagi kepada dua bahagian :
1. Pembinaan Aqidah dan Kepercayaan
Ia adalah perkara terpenting dalam sebuah pembinaan Jamaah. Dengan Iman,
a. Ia membenarkan dengan hati terhadap Allah
dan Rasulnya tanpa sebarang syak dan keraguan.
b. Ia menghadirkan ketenangan yang ampuh.
c. Ia meningkatkan keyakinan yang tidak mampu
diganggu gugat dan tidak akan berubah.
Inilah yang telah membuahkan jihad dengan harta dan jiwa pada jalan Allah.
Firman Allah swt :
“Orang orang mu’min yang beriman dengan Allah dan Rasulnya kemudian tiada ragu ragu dan lantas berjihad dengan hartanya dan jiwanya pada jalan Allah, mereka inilah orang orang yang benar.”
Hakikatnya, aqidahlah yang mengesani dan menjamin keamanan dan kesejahteraan masyarakat dan jamaah ini secara khususnya
Berikut adalah di antara kepentingan pembinaan aqidah :
a. Memudahkan kita untuk berprinsip dengan sesuatu yang ‘thabit’ agar kita tidak ragu-ragu di atas setiap tindakan dan tidak kucar kacir dalam perancangan.
b. Ketika jamaah menghadapi saat genting, ujian dan kesukaran, aqidah dan keyakinan inilah yang akan menyelamatkannya kerana ia berhubung terus dengan Allah yang tidak lemah dan mereka akan sentiasa tenang dan gagah.
c. Aqidah adalah asas pada setiap perkataan dan amal di mana setiap tindakan yang dibuat tanpa asas aqidah maka ia akan cenderung dan terdedah kepada kegagalan dan kehancuran.
Firman Allah swt :
“Maka adakah orang yang membangunkan masjid yang didirikannya di atas dasar taqwa kepada Allah dan (untuk mencari) keredhaan Allah itu lebih baik, ataukah orang yang membangunkan masjid yang didirikannya di tepi jurang yang (hampir) runtuh, lalu runtuhlah ia dengan yang membangunkannya ke dalam api neraka? Dan (ingatlah) Allah tidak akan memberi hidayah petunjuk kepada orang-orang yang zalim.” (QS At Taubah : 109)
d. Hidup dalam ketenangan urusan dan jiwa, hati yang redha, keluasan hati yang membahagiakan kerana dia hidup di bawah penjagaan Allah.
e. Membentuk dan membimbing rijal pada setiap masa dan peristiwa, mereka mempertahankan kemuliaan mereka dan keislaman mereka membenarkan kepercayaan ini di dalam hati-hati mereka dan berjihad di jalan Allah dan tidak pernah gentar kepada sesiapapun.
f. Ia adalah sebuah manifestasi jiwa yang sejahtera dan akhlak yang mulia. Rasulullah saw bersabda :
“Wahai sekalian manusia, katakanlah ‘Laa ilaaha Illa Allah’ maka kamu akan berjaya.”
2. Pembinaan Akhlak dan ‘Suluk’ (perilaku)
Akhlak ialah manifestasi makna dan sifat yang membekas di dalam sebuah jiwa di mana ia memperbaiki tindakan seseorang insan ataupun sebaliknya memperburukkannya. Akhlak dan ‘suluk’ adalah dua kriteria penting dalam membina individu dan jamaah di mana ia mendapat perhatian yang khusus dalam Islam serta berperanan mengislah pimpinan dan masyarakat.
Keselarasan antara aqidah dan ‘suluk’ , dan antara perkataan dan perbuatan adalah asas kekuatan setiap jamaah dan sebuah nilai qudwah. Jika perkataan seseorang berlawanan dengan tindakannya, masyarakat akan syak dan menghukum dirinya dan dakwah yang dipikulnya maka, hilanglah kemegahan manhajnya dan keberkesanannya. Jika amalnya tidak berhubung dengan hati, ia adalah sia sia dan langsung tidak membawa kepada sebarang perubahan atau tarbiyah atau kebangkitan.
Akhlak adalah asas kepada tarbiyah individu mahupun jamaah di samping ianya adalah perlembagaan asas masyarakat dan negara. Ia adalah asas yang wajib diterapkan ke atas seorang individu muslim sehinggalah dia menjadi batu bata yang terbaik untuk menyempurnakan projek binaan Islam yang besar sepertimana sahabat radhiallahuanhum yang ditarbiyah oleh Nabi Muhammad saw.
Mereka terbina oleh tarbiyah yang menghasilkan muslim yang sejahtera dan ia seharusnya menjadi rujukan oleh setiap jamaah muslimah untuk dipraktikkan di mana di antara asasnya adalah :
a. Syura.
b. Menjauhi permusuhan.
c. Menumpaskan kezaliman.
d. Tidak mengangkat senjata terhadap
saudaranya.
e. Sabar.
f. Memelihara diri.
g. Membumikan keadilan dan ihsan.
h. Menyelamatkan masyarakat dari maksiat dan
kezaliman.
i. Setia kepada perjanjian dan persetujuan.
Dari sini kita dapati kepentingan unsur akhlak sebagai asas Islam, asas kepada pembinaan sebuah jamaah dan pembangunannya. Ia adalah keperluan asas sebuah tarbiyah yang sebenar dan Islam sentiasa berusaha mendirikannya dan merealisasikannya dalam setiap tindak
“Allah memerintahkan keadilan dan ihsan dan memberikan haq kepada kerabat, menghalang dari perbuatan keji, kemungkaran dan permusuhan. Dia mengingatkanmu agar kamu beringat. Setialah dengan janji Allah setelah kamu berjanji dan janganlah melanggar sumpah setelah engkau berikrar sedang engkau telah menjadikan Allah sebagai saksi (perjanjian). Sungguh Allah mengetahui apa yang kamu lakukan.” (QS An Nahl : 90-91)
Inilah dia asas kepada akhlak dan inilah yang dimaksudkan sebagai pembinaan akhlak dan ‘suluk’ yang perlu diterapkan oleh setiap jamaah. Sebuah jamaah tidak akan berjaya terbina kecuali selepas memberikan sepenuh perhatian kepada aspek pembinaan akhlak seperti yang disebutkan.
KEDUA : PEMBINAAN ORGANISASI
Ia bermaksud penggabungan yang mengikat ahli-ahli di dalam sebuah jamaah, pimpinannya dan tentera-tenteranya seterusnya menentukan strategi amal dan memelihara perundangan jamaah daripada rosak dan musnah serta menjaga kekuatan dan keampuhannya. Di antara ciri-ciri pembinaan organisasi adalah :
1. Ukhuwah
Ia adalah anugerah rabbaniyah yang Allah beri kepada orang yang ikhlas di kalangan hamba-hambaNya.
Firman Allah swt :
“Dialah yang menyatukan hati-hatimu, jika engkau menginfaqkan seluruh yang ada di dunia maka tidaklah akan terikat hati-hatimu tetapi Allahlah yang telah mengikatnya.” (QS Al Anfaal : 63)
Imam Hasan Al Banna telah menyebut :
“Aku inginkan ukhuwah ini menghubungkan hati-hati dan ruh dengan ikatan aqidah. Aqidah adalah ikatan yang terkuat dan termahal, ukhuwah sinonim dengan iman sebaliknya perpecahan adalah sinonim kepada kufur. Kekuatan yang utama adalah kekuatan kesatuan, tiada kesatuan tanpa cinta. Selemah lemah cinta adalah berlapang dada dan yang tertinggi adalah ‘ithar’ (melebihkan saudaranya).
Firman Allah swt ; “Mereka mengutamakan (muhajirin) sebelum diri mereka walaupun mereka sendiri memerlukannya, siapa yang memelihara dirinya dari kekikiran merekalah orang yang berjaya.” (QS Al Hasyr : 9)
Al Akh yang sodiq melihatkan akhnya lebih utama dari dirinya sendiri kerana, jika dia tidak bersama mereka, maka dia tidak akan bersama selain dari mereka, dan mereka, jika tidak bersama dengannya maka mereka bersama dengan yang lain. Serigala akan memakan biri-biri yang bersendirian, mu’min dengan mu’min yang lain seperti sebuah bangunan di mana ia saling melengkapi.
“Orang mu’min lelaki dan perempuan, mereka menjadi pelindung antara satu sama lain.” (QS At Taubah : 71)
Ukhuwah melahirkan sebuah kekuatan iman di mana ia adalah emosi yang ikhlas, kecintaan dan kehormatan, saling mempercayai bersama semua yang terikat dengan aqidah tauhid dan manhaj Islam yang mulia.
Firman Allah swt; “Sesungguh mu’min itu bersaudara, perbaikkanlah di antara saudaramu dan bertakwalah agar kamu beroleh rahmatNya.” (QS Al Hujurat : 10)
Kemanisan Iman tidak mungkin dirasai kecuali mereka yang telah menikmati ukhuwah ini.
Rasulullah saw bersabda :
“Barangsiapa memiliki tiga keadaan ini dia akan merasai kemanisan iman; Allah dan Rasul Nya paling dicintai mengatasi yang lain, mencintai seseorang kerana Allah, benci untuk kembali kepada kufur sebagaimana dia benci untuk dicampak ke neraka.”
Itulah juga yang digambarkan oleh Imam Hasan Al Banna kepada Ikhwan dalam ‘Risalah Semalam dan Hari Ini.’
“Cintailah antaramu, peliharalah dengan teliti ikatan antaramu, ia adalah rahsia kekuatanmu, panji kejayaanmu, tetaplah sedemikian sehingga Allah menetapkan untuk kejayaan Al Haq, Allah sebaik baik pemberi kejayaan.”
2. Thiqah
Ia merupakan sebuah perasaan yang sangat mendalam dalam setiap insan di mana ia adalah :
a. Manifestasi keimanan kepada fikrah dengan
sebenar-benar iman tanpa keraguan, amal tanpa sebarang syak ke arah matlamat
dan misi tanpa putus asa dan lemah semangat.
b. Sebuah ketenangan total tentera-tentera
terhadap pimpinan pada operasinya.
c. Sifat yang mampu menghadirkan cinta,
kepatuhan, kehormatan dan taat.
Kepimpinan adalah sebahagian daripada dakwah dan tiada dakwah tanpa kepimpinan.
Kebersamaan thiqah antara ‘qiyadah’ (pimpinan) dan ‘junud’ (tentera) ini :
a. Telah mengukuhkan organisasi jamaah.
b. Mampu melaksanakan strateginya.
c. Menentukan kejayaannya untuk mencapai
misinya.
d. Mampu menewaskan sebuah kuasa yang
menghalang dan cuba menentangnya.
Tidak syak lagi bahwa di antara teknik yang paling berjaya digunakan oleh musuh dakwah adalah memusnahkan jamaah ini dari dalam; sehinggalah ia berpecah belah dan bercerai berai di mana yang dimaksudkan di sini adalah hilangnya ‘thiqah’ antara qiyadah dan ‘junud’.
‘Junud’ jika hilang thiqah pada ‘qiyadah’, maka hilanglah sebuah taat, maka, tiadalah jamaah tanpa taat.
Oleh kerana itu, para ‘qiyadah’ perlulah terdiri dari mereka yang :
a. Paling kuat.
b. Paling bertaqwa.
c. Paling alim.
d. Paling fasih.
Inilah tuntutan yang sukar, namun ia amat perlu kepada sebuah sinergi antara ‘qiyadah’ dan ‘junud’.
‘Thiqah’ pada qiyadah adalah faktor utama kejayaan dakwah. Renunglah ke dalam diri dan tanyakan persoalan-persoalan, hitunglah kadar ‘thiqah’ kita terhadap qiyadah :
a. Adakah dia sanggup mengenepikan
pendapatnya dan mempersetujui pendapat jamaah serta mengiktiraf ia lebih benar
ketika bertentangan pada masalah ‘ijtihadiyah’?
b. Adakah dia bersedia untuk menyerahkan
kepada dakwah untuk menentukan keputusan-keputusan dalam hidupnya?
c. Mampukah dia berpuashati dengan
pertimbangan jamaah terhadap kaedah ‘maslahah ammah’ dan ‘maslahah
khassah’?
Persoalan-persoalan ini mampu dirungkaikan dengan syarat menghubungkan hatinya dengan pimpinan dan tenang dengannya, iaitu ‘thiqah’. Cukuplah Allah menguruskan hati-hati ini sebagaimana yang Dia mahu. Oleh kerana itu, perlulah diperhatikan secara khusus beberapa perkara :
i. ‘Thiqah’ adalah petanda ikatan ruh dan emosi.
ii. Jika ‘thiqah’ hilang maka tiadalah taat, tiadalah kepimpinan tanpa ketaatan dan tiada jamaah tanpanya.
iii. Musuh musuh dakwah sentiasa berusaha menanam syak wasangka dan menghilangkan ‘thiqah’ dalam kalangan ahli sebuah saf jamaah, maka jamaah akan lemah untuk merealisasikan misinya dan lemah serta tewaslah jamaah dalam perancangannya.
3. Taat
Imam Hasan Al Banna telah menjelaskannya dengan menyatakan :
“Aku mahukan taat dengan maksud melaksanakan arahan pada setiap situasi samada susah, senang, suka atau benci.”
Oleh itu beliau menggariskan tiga marhalah dakwah iaitu ta’arif, takwin dan tanfiz.
Jamaah yang berobjektifkan amal yang besar tidak mampu menjayakan misi tersebut jika qiyadah tidak diberikan hak taat selama mana ia tidak menuju ke arah maksiat. Jika sebuah syura telah ditetapkan, adalah dilarang kepada mana-mana ahli syura yang tidak sependapat dengan hasil syura untuk menceritakan pendapatnya dalam saf walaupun jika terbukti selepas percubaan bahawa pandangannya adalah yang paling benar, kerana berhimpunnya sebuah saf pada kebenaran lebih baik daripada berpecahnya saf pada yang lebih benar.
Inilah dia asas binaan yang perlu dipelihara oleh jamaah yang mulia ini dengan izin Allah dan pemeliharaanNya ke atas dakwah ini pada setiap mehnah dan ujian yang getir yang dilalui oleh jamaah sepanjang zaman.
“Dan betapa banyak Nabi yang berperang didampingi sejumlah besar dari pengikut yang bertaqwa. Mereka tidak menjadi lemah kerana bencana yang menimpa di jalan Allah, tidak patah semangat dan tidak pula menyerah, dan Allah mencintai orang yang sabar. Dan tidak lain ucapan mereka hanyalah doa ; Ya Tuhan kami , ampunilah dosa dosa kami, tindakan tindakan kami yang berlebihan dalam urusan kami dan tetapkanlah pendirian kami, dan bantulah kami menghadapi kaum kuffar. Maka Allah memberi mereka pahala di dunia dan pahala yang baik di akhirat, dan Allah mencintai orang yang berbuat kebaikan.” (QS Ali Imran : 146-148)
Apabila kita menyebut tentang tarbiyah sebagai jalan menuju sebuah kebangkitan, maka adalah perlu untuk kita memperincikan kriteria-kriteria amal tarbawi dan ciri ciri manhaj tarbiyah di sisi Jamaah Ikhwan Muslimin yang telah bernafas dengannya sejak diasaskan sehingga hari ini. Dengan izin Allah, kita telah melihat contoh tauladan yang hebat dari generasi demi generasi di mana mereka memikul dakwah ini walaupun terpaksa dibebani ujian dan mehnah sepanjang zaman.
PERTAMA : CIRI-CIRI AMAL TARBAWIYAH
Berikut disenaraikan ciri-ciri terpenting yang membezakan Jamaah Ikhwanul Muslimin dengan yang lain dan ciri-ciri inilah yang telah memberi kesan besar terhadap pembinaan generasi demi generasi yang mempunyai sifat yang sama dan sikap yang teristimewa di antaranya :
1. Rabbaniyah
Ia menfokuskan kerja-kerja menghidupkan iman. Bezanya adalah ia :
a. Berpandukan Al Qur’an dan As Sunnah serta
bertepatan dengan fitrah insaniyah.
b. Adalah amal yang berterusan dan tidak
terikat dengan masa.
c. Sebuah kerja melatih iman seraya mengesani
tindakan dan ‘suluk’.
Tunjang kepada tarbiyah rabbaniyah adalah hati yang :
a. Hidup berhubung dengan Allah.
b. Yakin dengan pertemuannya dan hitungan
amalnya.
c. Mengharap rahmatnya.
d. Takut terhadap balasan siksanya.
Ini semua menggambarkan amal tarbiyah ‘Ikhwaniyah’ yang terfokus kepada menghidupkan hati dan membinanya.
2. Menyeluruh, Melengkapi dan Seimbang
Ia adalah sebuah terbitan daripada manhaj Islam yang bersifat sempurna dalam menguruskan insan muslim dari setiap sudut agar mencapai sebuah kehidupan yang sejahtera. Ia juga terbit kerana keimanan kita kepada kesyumulan manhaj Islam, lengkap dan seimbang. Kita tidak akan berpuas hati dengan Islam kecuali dengan dimensi syamil dan kamil. Oleh kerana itu, ‘Takwin’ berlangsung dengan menyelaraskan ilmu, akal, ruh, emosi, hati, tindakan dan gerakan.
3. Berperingkat
Ia berasal daripada keimanan kita pada berperingkatnya ketetapan Allah pada ciptaannya.
4. Pengumpulan dan Penyusunan
Ia bermula dengan mengumpul, kemudian menyusunnya sehinggalah tercapai apa yang diinginkan dari sebuah tarbiyah. Ia dibuktikan dalam peristiwa bai’ah aqabah kedua apabila disebutkan bahawa peserta bai’ah aqabah terdiri daripada 72 orang lelaki, 2 orang perempuan lantas Rasulullah saw bersabda,
“Keluarkan dari kalangan kamu 12 orang naqib” kemudian menyambung “Kamu semua adalah penjamin bagi kaummu.” Ini adalah sebuah pengurusan amal tarbawi.
Sabda Rasulullah saw, “Sertailah jamaah , sesungguhnya serigala memakan ternakan yang terpisah.”
5. Gerakan
Menjayakan fikrah ini dan merealisasikannya adalah sebuah tuntutan yang termulia untuk dicapai. Ia membuatkan kita buntu dan putus asa tanpa sebuah ciri gerakan atau harakiyah. Ia memberi kita sebuah kekuatan untuk menghadapi realiti di sekeliling kita yang sangat mencengkam. Seorang individu perlu bergerak di tengah-tengah masyarakat dengan tujuan mengislah mereka.
6. Berterusan
Amal tarbawiyah tidak berhenti kecuali setelah ruh terpisah dari jasad. Ia sebuah amal yang lazim sepanjang hayat dan membuatkan seseorang itu sentiasa memperbaiki tindakannya dan sentiasa cuba melatih kemahiran dan pengetahuan yang baik di mana ini menambah bekalan untuk berterusan dalam amal da’awi.
KEDUA : ELEMEN-ELEMEN AMAL TARBAWIYAH
Keistimewaan amal tarbawiyah Ikhwan adalah ia bersumberkan sirah Nabi Muhammad saw dan sahabat radhiallahuanhum. Ia juga istimewa kerana mensinergikannya dengan uslub moden dalam amal tarbawiyah. Ia menghimpunkan yang asli dan moden serta sentiasa mendapat perhatian untuk dinaik taraf dan dikembangkan.
Amal tarbawiyah terdiri daripada :
1. Murabbi :
Murabbi umpama batu asas pada sebuah amal tarbawiyah. Murabbi mendidik mutarabbi berpandukan manhaj Allah.
Inilah tanggungjawab dan peranan Nabi-Nabi sebagaimana yang digambarkan dalam firman Allah :
“Sepertimana kami telah mengutuskan pada kamu Rasul dari kalangan kamu , membacakan untukmu ayat-ayat kami, membersihkan kamu (dari amalan syirik dan maksiat) dan mengajarkan kamu al kitab dan al hikmah, dan dia mengajarkan untukmu apa yang tidak kamu ketahui.” (QS Al Baqarah : 151)
Tarbiyah Rabbaniyah adalah suatu usaha untuk melantik penjamin atau ketua ke atas sekelompok individu dan dia melaksanakan tarbiyah sebagaimana yang diredhai Allah swt.
Murabbi mempunyai peranan dan tanggungjawab terpenting di mana dialah yang menjadi kayu pengukur kejayaan amal tarbawiyah dan pencapaian objektifnya. Murabbilah yang memelihara saf yang dipertanggungjawabkan ke atasnya.
Murabbi bertanggungjawab sebagai
a. ‘Al Walid’ (bapa), dengan kasih sayang dan prihatin terhadap
urusan hidup mutarabbinya.
b. ‘As Syeikh’, menjaga hal-hal berkaitan iman, ibadah dan ‘suluk’
(perilaku).
c. ‘Al Ustaz’ (guru), menguruskan capaian keilmuan.
d. ‘Al Qa’id’ (pemimpin).
sepertimana yang dapat diteladani dalam peristiwa Abdullah ibn Huzafah As Sahmiy yang telah ditawan oleh pasukan Rom, maka Raja Rom telah memberi pilihan kepada tawanan-tawanan Muslimin samada berkahwin dengan anaknya ataupun dibunuh dengan panah atau air mendidih. Abdullah ibn Huzaifah tetap ‘thabat’ dan Allah telah menyelamatkannya bersama 80 orang tawanan Muslimin yang lain.
Rasulullah saw telah mentarbiyah generasi contoh ini dengan prinsip dan nilai-nilai. Generasi hari ini tidak akan berjaya sepertimana generasi yang pertama kecuali dengan melalui acuan prinsip dan nilai-nilai yang sama. Maka telah jelaslah bahawa strategi terpenting dalam usaha ‘Islah’ adalah membina generasi murabbi yang amanah dan bertanggungjawab.
2. Individu
Individu adalah bata binaan yang pertama dalam sebuah masyarakat. Jika baik bata ini maka akan baiklah masyarakat seluruhnya. Sejarah dakwah telah membuktikan bahawa ia sentiasa bermula dengan individu di mana Rasul atau Nabi bermula dengan dirinya sebagai individu kemudian menyeru sebilangan individu untuk ditarbiyah seraya membentuk sebuah fikrah kepada individu-individu ini untuk mereka hidup dan bertindak dengan orientasi fikrah tersebut lalu mereka pun berjihad pada jalannya dan mati kerananya.
Tanggungjawab mengubah adalah sukar dan rumit, maka penyediaan individu muslim yang berkemahiran wajib dilaksanakan bertepatan dengan beratnya amanah yang akan dipikul.
Oleh sebab itu, Imam Hasan Al Banna telah menggariskan ‘muwasofat’ dan tanda tanda individu yang dimaksudkan pada rukun ‘Al Amal’, iaitu mengislah dirinya sehingga menghasilkan badan yang sihat, akhlak yang mulia, berpengetahuan hebat, mampu menanggung diri sendiri, aqidah sejahtera, ibadah sahih, bermujahadah terhadap dirinya, memelihara waktu, tersusun urusannya dan bermanfaat terhadap orang lain.
Barangsiapa yang meneliti 10 ‘muwasofat’ yang disebutkan, dia akan mendapati ia bermula dengan ‘islahkan dirinya’ dan ia memfokuskan pada sudut individu dan peribadi. Ia adalah persediaan untuk individu yang :
a. Mempunyai kekuatan yang menolaknya untuk
bergerak secara kendiri.
b. Berusaha mengurus tarbiyahnya sendiri.
c. Tidak bergantung kepada arahan atau
cadangan orang lain untuk bekerja dan mengislah urusannya.
d. Memperuntukkan waktunya, tenaganya,
hartanya dan rehatnya untuk dakwah dan fikrah tanpa berlengah dan mengharapkan
balasan.
10 ‘muwasofat’ ini juga merangkumi aspek-aspek diri manusia, badan, akal dan rohaninya .
Berikut adalah beberapa keistimewaan pembinaan sifat-sifat yang dimaksudkan :
a. Sempurna
Pembinaan dari segala aspek iaitu ‘fikriyah’, ‘nafsiyah’ dan ‘harakiyah’ dan bukan semata-mata pembinaan fikrah dan teori ataupun ruhiyah sahaja ataupun semata-mata ‘harakiyah’ dan ‘siyasah’. Kesempurnaan pembinaan ini akan menghasilkan individu yang mampu menghadapi ujian, tetap teguh pendirian dan berterusan dalam amal. Maka tercapailah misi jamaah dengan kewujudannya.
b. Seimbang
Memberi perhatian kepada seluruh aspek dengan kadar yang diperlukan tanpa berlebihan atau kurang. Ketidakseimbangan dalam pembetukan ini akan menyebabkan kecacatan dan kerosakan pada binaan individu.
c. Praktikal bukan retorik
Ia tidak terhad kepada aspek teori semata-mata bahkan digabung jalinkan dengan uslub dan manhaj yang praktikal dalam sebuah amal ‘takwin’. Ia menghasilkan sebuah contoh tauladan yang bergerak secara mapan dan begitu juga ia bukan semata-mata peringatan dan pembelajaran tetapi amal dan gerakan.
3. ‘Bi’ah (persekitaran) Tarbawiyah’
Ia bermaksud suasana atau persekitaran di sekeliling individu. Sebuah amal tarbawiyah berubah mengikut suasana dan persekitaran. Maka amatlah penting untuk membentuk sebuah persekitaran yang sesuai dan membina benteng yang mengawal individu daripada persekitaran yang buruk.
Persekitaran yang baik adalah persekitaran yang diwarnai dengan :
a. Cinta dan ‘ukhuwah’.
b. ‘Thiqah’ dan ‘jundiyah’.
c. Kepatuhan dan disiplin.
d. Syura dan nasihat.
Persekitaran yang buruk pula adalah suasana :
a. Banyak berkata-kata (prasangka tuduh
menuduh).
b. Pengangguran dakwah.
c. Sedikitnya amal.
d. Lemahnya penguasaan terhadap rukun-rukun
usrah.
Imam Hasan Al Banna sangat mementingkan pengawasan saf dan pembersihan persekitaran Ikhwaniyah dengan mengatakan :
“Jika ada di dalam saf ini orang yang hatinya sakit atau rosak, lemahnya misi, hilang cita-citanya, maka keluarkanlah ia dari barisan ini. Sesungguhnya dia adalah seorang yang menghalang rahmat, yang memagari kita dari taufiqNya.”
4. Manhaj
Ia merupakan himpunan percubaan-percubaan tarbawi yang disediakan oleh Ikhwan untuk individu-individu yang menjadi ahlinya dan berobjektifkan percambahan yang menyeluruh dari sudut (akal-pengetahuan-agama-sosial-tubuh badan-jiwa-seni) yang membawa kepada memanipulasi ‘suluk’ (perilaku) mereka untuk mencapai misi-misi tarbiyah yang diimpikan di mana ia terdiri daripada :
a. ‘Hadaf’ (Objektif).
b. ‘Muhtawa’ (Kandungan bahan-bahan).
c. ‘Uslub’ atau ‘wasilah’.
d. ‘Taqyim’ (Penilaian dan penguatkuasaan).
Imam Hasan Al Banna menyebut :
“Aku melihat setiap usaha ke arah kebangkitan yang sejati, mereka berjaya kerana pada mereka ada manhaj tetap yang dilaksanakan, objektif tetap yang dituju, ia disusun oleh para ‘du’at’ ke arah kebangitan, generasi sebelum mereka telah berusaha merealisasikannya, ada juga gangguan-gangguan luaran yang cuba memusnahkannya tetapi tidak berjaya memotong apa yang telah mereka sambungkan, tidak meruntuh apa yang telah mereka bina, tidak menjatuhkan apa yang mereka telah asaskan, tidak merobohkan apa yang telah mereka pelihara. Samada mereka menambah amal generasi sebelum mereka dengan lebih baik kemudian mencapai ‘At Tamkin’ ataupun mengikuti mereka dalam jejak-jejak yang ditinggalkan kemudian menambah binaannya dan berjalanlah ummah selangah demi langkah ke arah misinya. ” (Risalah Adakah Kita Kaum yang Bekerja)
Alangkah indahnya kata-kata ini dan betapa cantiknya asas yang digariskan oleh Imam Hasan Al Banna dengan izin Allah, bersama mereka yang telah turut mengambil bahagian dalam amal pembinaan dan takwin serta mereka yang telah banyak mengesani realiti ummah Islamiyah ini.
Ia adalah sebuah kebijaksanaan operasi binaan dan pengorganisasian tarbiyah dan takwin dan kita perlulah merasai hebatnya kebijaksanaan ini yang tiada tolok bandingnya di mana pimpinannya yang mencetuskan inspirasi setelah dijelaskan mengenai wasilah dan uslub tarbiyah di sisi Ikhwan Muslimin.
Imam Hasan Al Banna telah mengetahui dimensi kehancuran Muslimin dari sudut roh dan tamadun, sebab-sebab jauhnya mereka dari Islam. Beliau telah menyeru mereka untuk mempraktikkan Islam dan memeliharanya dengan ‘uslub’ tarbiyah yang dilaksanakan di atas manhaj Islam. Beliau mengutamakan aspek pemeliharan insan sebagai fokus yang besar, mentarbiyahnya dengan meraikan aspek ruh, akal dan jasad, menyeimbangkan unsur-unsur ini dan mencipta serta memperbaharui wasilah-wasilah yang mampu mencapai misi dan sesuai dengan realiti moden hari ini.
Untuk itu, datanglah tarbiyah Imam Hasan Al Banna untuk merealisasikan misi-misi yang telah ditetapkan dengan fokus pada sinergi ruh Islam dan individu-individu dalam jamaah.
Tarbiyah telah berhasil :
a. Memisahkan mereka daripada nilai-nilai
keduniaan secara total.
b. Menjauhkan mereka daripada mengkagumi apa
yang dikagumi oleh ‘Al Hawa’ dan hanya mengkagumi ‘Al Haq’ .
c. Menyerlahkan sikap tidak mengikuti tindak
tanduk keinginan mereka semata-mata tetapi mengikut telunjuk ‘Al Haq’.
Selain penjelasan terhadap ciri-ciri dan asas-asas tarbiyah, kita perlulah memenuhi tuntutan amal tarbawiyah berikut yang akan menjamin kemampanan takwin :
PERTAMA : MANHAJ YANG SAHIH
Ia adalah hasil cernaan Al Qur’an, Sunnah Rasulullah saw dan hukum hakam Islam. Pada sirah Nabi saw dan sahabat-sahabatnya radhiallahuanhum. Ikhwan melaksanakan apa yang difahami daripada ‘Ad Deen’ tanpa sebarang sikap tolak ansur dan ambil mudah.
KEDUA : QUDWAH SOLEHAH
Imam Hasan Al Banna telah memahami sepak terajang zaman ini untuk melaksanakan sebuah amal tarbawiyah. Oleh itu beliau sendiri telah mendahului untuk menjadi contoh tauladan dan qudwah yang baik. Beliau telah menguasai dan menjiwai sebaik mungkin manhaj yang ditulisnya sendiri kepada para Ikhwan. Maka beliau telah menjadi qudwah terutama pada aspek semangat, pengorbanan dan beramal untuk dakwah.
Ikhwan memahami bahawa simbol kepada kekuatan mereka bukanlah pada perancangan, organisasi dan teori tetapi kekuatan yang sebenar adalah membumikan itu semua dalam bentuk realiti yang nampak dan ini memberi nilai tambah kepada pertahanan dan pengembangan amal sebagai kelengkapan sebuah harakah.
Seorang al akh muslim perlu tahu bahawa ketika dia beramal, dia sedang membawa orang itu untuk mencontohinya sebagai seorang :
a. Ahli tahajjud yang sering insaf
mengalirkan air mata.
b. Yang kuat semangat dalam perjuangan.
c. Pakar ilmuan.
Ini semua adalah hasil sentuhan emosi dan perasaan yang telah dicipta oleh Imam Hasan Al Banna dalam jiwa Ikhwan dan amal-amal ini berhajatkan kepada ikatan-ikatan hati dan kesatuan syi’ar antara kaum muslimin.
KETIGA : PERSEKITARAN YANG BAIK
Amal ini membentuk dan menyediakan iklim yang sesuai untuk operasi takwin di mana ia mampu mencipta sebuah suasana Islam sehinggalah terhasil sebuah barisan hadapan mu’min yang beramal untuk meletakkan kalimah Allah tinggi dan mulia.
Ikhwan berusaha mengawal persekitaran ini dengan inisiatif usrah, katibah, perkhemahan, program-program di masjid dan sekolah, khidmat kesihatan, kebajikan dan sosial.
KEPENTINGAN AMAL TARBAWIYAH
Tarbiyah di sisi Ikhwan Muslimin adalah sebuah amal yang paling penting dan tiada amal yang menandinginya. Ikhwan telah mengiktirafnya sejak langkahnya yang pertama. Jalan pengislahan adalah jalan tarbiyah individu-individu berpandukan manhaj Islam untuk menggarap misi yang diimpikan.
Ia adalah sebuah manhaj yang diwarisi, bukan dicipta dan ia bersumberkan Al Qur’an, Sunnah RasulNya dengan mengambil ibrah perjalanan sahabat, para tabi’in, orang orang soleh dalam kalangan pemimpin risalah sepanjang sejarah Islam.
Tarbiyah dan takwin, seperti yang dikatakan oleh Imam Hasan Al Banna memerlukan kepada:
a. Kekuatan jiwa yang kukuh.
b. Kemahuan dan azam yang tinggi.
c. Kesetian total.
d. Pengorbanan besar.
e. Beriman dengan prinsip.
‘At Tamkin’ dan penguasaan terhadap dunia ini akan berlaku sebagaimana yang Allah firmankan :
“Allah telah berjanji kepada orang yang beriman di antara kamu dan beramal soleh untuk dijadikan mereka khalifah di atas muka bumi ini sebagaimana telah dijadikan khalifah orang orang sebelum mereka, agar mereka dapat melaksanakan agama mereka yang telah diredhai ke atas mereka, dan agar digantikan ketakutan mereka sebelum itu dengan perasaan aman, mereka beribadah kepadaku dan tidak mensyirikkan aku dengan sesuatu. Maka barangsiapa yang kufur selepas itu, merekalah orang orang yang fasik.” (QS An Nur : 55)
Semoga Allah yang Maha Berkuasa memberi kemenangan terhadap ummah dan memelihara dakwah ini sehinggalah seluruh kehidupan menjadi sejahtera dan aman.
Imam Hasan Al Banna
pernah berkata :
“Wahai sekalian Ikhwah yang dimuliakan; Allah telah
memberikan kamu keistimewaan dengan nasab kepada dakwah, berusahalah untuk
memelihara keistimewaan ini dengan adab-adabnya dan syari’atnya dalam kalangan
manusia, perbaikkanlah dalamanmu, percantikkanlah amalmu, istiqamahlah di bawah
telunjuk Allah, serulah yang ma’ruf, cegahlah kemungkaran, berikan nasihat
dengan penuh kasih sayang dan kelembutan terhadap manusia keseluruhannya,
bersedialah untuk berkorban bagi sebarang kemungkinan, jihad jiwa dan harta,
perbanyakkanlah tilawatul Qur’an, peliharalah solat jamaah, beramallah kerana
Allah dengan ikhlas terhadap ‘Ad Deen’
yang suci ini dan selepas semua ini nantikanlah petunjuk dan taufiqNya dan
kemenanganNya.”
“Dan sungguh Allah pasti akan memenangkan sesiapa yang
berusaha memenangkanNya (agama Nya), sesungguhnya Allah itu Maha Kuat lagi
Perkasa.” (QS Al Hajj : 40)
Tarbiyah Ikhwanul Muslimin menggambarkan sifat yang menyeluruh ini dalam operasinya di mana Imam Hasan Al Banna telah menggariskan rukun-rukun bai’ah dengan (faham-ikhlas-amal) dan beliau telah meletakkan sebuah syi’ar hebat yang juga menyeluruh pada 10 wasiatnya (baca-tadabbur/hayati-bertindak) sebagai sebuah penegasan kepada orientasinya terhadap kesyumulan. Inilah dia tarbiyah kita yang menyeluruh dan yang disebutkan tadi adalah sebahagian daripada ciri-cirinya.
Ya Allah, rahmatilah roh Imam Hasan Al Banna dengan lembayung rahmatMu di atas jasa-jasa dan jejak-jejak dakwah dan tarbiyah yang ditinggalkannya untuk generasi kini dan anugerahkanlah kepada kami sebaik-baik kefahaman, kesucian perasaan dan kesejahteraan tindakan agar kami mampu mentarbiyah dan membentuk diri kami menjadi pejuang-pejuang agamaMu sehingga layak untuk mendapat kekuasaan dariMu serta dijadikan khalifah untuk menegakkan Deen dan syariatMu di atas muka bumi ini.
Ameen Ya Rabbal Alameen
WAS