skip to main | skip to sidebar

Tinta Perjalanan

Pages

  • Home
 
  • RSS
  • Facebook
  • Twitter
  • Linkedin
  • Youtube
  • DheTemplate.com
  • Free Templates
  • Drop Menu 1
    • Child Menu 1.1
    • Child Menu 1.2
    • Child Menu 1.3
  • Drop Menu 2
    • Child Menu 2.1
    • Child Menu 2.2
    • Child Menu 2.3
  • Daily Update Templates

Ahlan Wasahlan


Perjalanan Menuju Allah.

Tuesday, 1 May 2012

Kestabilan Kehidupan Pendakwah

Ditulis Oleh WAS Pada 21:53 – 0 Komen Anda
 
Bagi membangunkan kekuatan sebuah jamaah, kita memerlukan suatu keadaan yang seringkali disebut sebagai ‘istiqrar’ (ketenangan atau kestabilan).

Sudah tentu,untuk membangun keadaan ini,yang pertama sekali dituntut ialah dari setiap aktivis dakwah dan mereka yang mempunyai komitmen dengan gerakan dakwah ini.
Ada beberapa jenis ketenangan atau kestabilan yang diperlukan bagi memastikan kemantapan jamaah dalam menghadapi halangan dan tentangan di medan kehidupan. 
PERTAMA : KESTABILAN JIWA

Setiap aktivis dakwah mesti sentiasa memberi perhatian terhadap ketenangan dan kestabilan jiwanya.

Kita hendaklah memastikan bahwa jangan sampai akibat :

1.      Kesibukan yang sedemikian banyak.
2.      Tentangan yang sedemikian berat.
3.      Tuntutan akan pengorbanan yang melampaui batas-batas kemampuan.

akan membuatkan jiwa kita menjadi kacau bilau dan tergoncang yang akhirnya seperti yang dikatakan oleh Sayyid Qutb sebagai ‘an-nufus al-mahzumah’ iaitu jiwa yang kalah terlebih dahulu sebelum terjun ke medan pertempuran.

Oleh kerana itu,  setiap aktivis dakwah hendaklah memberi perhatian yang khusus di samping perlu memberikan ‘inayah’ yang cukup terhadap ketenangan dan kestabilan jiwanya.

Ketenangan jiwa hanya boleh diraih melalui usaha untuk sentiasa mengarahkan hati kita berhubung dengan Allah swt.

Hanya dengan itulah ketenangan jiwa dapat ditumbuhkan, dipelihara dan mampu dikembangkan.

Kita sebagai pendakwah mestilah menjadi orang yang paling sanggup memelihara hatinya dalam keadaan jiwa yang tenang.

Dari sanalah akan tumbuh ‘tsiqah’ iaitu yakin betul kepada Allah dan yakin betul akan adanya kemenangan yang akan dianugerahkan oleh Allah swt.

Tanpa perasaan yang sedemikian, dengan tentangan dan tugas berat ini, kita mungkin akan menjadi gelisah.

Oleh kerana itu, hati kita mesti sentiasa dihubungkan dengan kekuatan Yang Maha Besar, iaitu Allah swt yang bukan sahaja menggerakkan alam semesta, tapi Dialah Pencipta alam semesta dan Dialah yang mengarahkan ke mana bergeraknya alam semesta ini termasuk fenomena dengan berbagai ragam kelompok, ideologi dan programnya di mana seluruhnya digerakkan oleh Allah dan akan mencapai sasaran-sasaran yang sudah dibataskan oleh kehendakNya dan arah perjalananNya.

Memahami akan perkara ini, kita tidak seharusnya merasa gentar melihat kekuatan apapun kerana kita yakin bahwa hanya Allahlah Yang Maha Besar.

Kita tidak pernah merasa rendah diri apabila melihat organisasi lain yang lebih kaya raya, kerana kita yakin bahwa Allahlah yang Maha Kaya dan Maha Mulia.

Kita yakin, mungkin apa yang kita miliki sekarang sedikit, tapi yang dijanjikan Allah dalam bentuk pertolonganNya adalah Maha Besar. 

“Apa yang ada di tangan kamu akan musnah dan apa yang ada di sisi Allah adalah kekal.”

Inilah apa yang disediakan oleh Allah untuk para mujahidin dan para pendakwah di jalanNya.

Inilah sifat ‘Qanaah’ yang mesti kita miliki. Tanpa ‘Qanaah’, kita mungkin terasa ngeri melihat kekayaan yang dimiliki oleh berbagai organisasi-organisasi besar yang sedemikian banyak seolah-olah di hadapan mata kita, berlaku satu perlumbaan dengan kekuatan seperti itu.

Tetapi kalau kita yakin bahwa yang memerintahkan kita berlumba (fastabiqul khairat) adalah Allah swt dalam rangka kebaikan, kita insyaallah tidak akan ragu untuk bermula dan berjalan dengan manhaj Allah dan mencapai garis penamatnya iaitu ‘mardhatillah’. 

Jiwa yang semacam itulah yang mesti dimiliki oleh para pendakwah sehingga apapun yang kita hadapi perhitungannya bukan perhitungan bumi, tapi perhitungan langit, di mana seluruh fenomena sejagat ini tidak ada yang terlepas dari ‘tadbir rabbani’.

Alhamdulillah, selama ini organisasi ini sentiasa memahami kita, menjaga kita, memelihara kita, memberi inayah kepada kita agar hati kita terpelihara dan jangan sampai menjadi jiwa yang goncang dan kalut dalam menghadapi tentangan.

Bahkan Allah swt telah mengarahkan kepada kita bagaimana agar kestabilan jiwa itu boleh dipelihara, maka kemudian Allah swt menunjukkan jalan kepada kita dan menjadikannya satu sunnah iaitu berumah tangga dan berkeluarga.

Ini adalah kerana berkeluarga adalah salah satu tingkatan, salah satu wasilah dan salah satu wadah untuk memelihara kestabilan jiwa.

“Dan di antara tanda-tanda kekuasaanNya ialah Dia menciptakan untukmu isteri-isteri dari jenismu sendiri, supaya kamu cenderung dan merasa tenteram kepadanya, dan dijadikanNya di antaramu rasa kasih dan sayang. Sesungguhnya pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi kaum yang berfikir.” (QS Ar Ruum : 21)

KEDUA : KESTABILAN KELUARGA

Oleh kerana itu, kestabilan jiwa itu perlu diteruskan dengan usaha mewujudkan kestabilan yang kedua iaitu kestabilan keluarga, iaitu ketenangan dan kestabilan keluarga para pendakwah.

Perlu kita sedari bahwa keluarga para pendakwah tidak seperti keluarga kebanyakan manusia lain sejak dari peringkat titik bermulanya dan pangkal bertolaknya mereka berumah tangga, dimana rumah tangga itu dibangun dengan kasih sayang kerana Allah (mahabbah fillah). 

Selain itu, ia juga sama-sama dibangunkan melalui kesatuan aqidah (wihdatul aqidah), kesatuan fikrah (wihdatul fikrah) dan kesatuan manhaj (wihdatul minhaj).

Bahkan ia sentiasa seiring bergandingan tangan dalam perjalanan dakwah dengan segala pengorbanannya, maka ikatan ‘mahabbah fillah’ yang berdasarkan ‘wihdatul aqidah’, ‘wihdatul fikrah’ dan‘wihdatul manhaj’ itu diikat pula oleh ikatan romantik dakwah.

Ikatan romantik dakwahlah yang mengikat rumah tangga kita.

Oleh kerana itu, adalah sesuatu yang penting setelah kita sentiasa memelihara kestabilan jiwa, kita pun perlu benar-benar memelihara kestabilan keluarga kita serta ketenangan rumah tangga kita.

Sesungguhnya rumah tangga pendakwah adalah rumah tangga tapak asas bagi dakwah itu (qa’idah da’wiyyah) dan komandan markasnya adalah isteri kita.

Sudah tentu para perajurit dakwah memerlukan bantuan dari komandan agar :

a.       Keghairahan berdakwahnya tetap bergelora.
b.      Semangat dakwahnya tetap menggebu.
c.       Daya juangnya tetap berkobar.

Oleh kerana itu, pergaulan dengan isteri dan keluarga dengan cara yang baik adalah merupakan sendi-sendi yang mesti diperhatikan dalam memelihara kestabilan keluarga terutama keluarga pendakwah.

Jika keluarga pendakwah tidak tenang dan stabil, sudah tentu ianya cukup memberi kesan kepada jamaah dan akan merencatkan gerak langkahnya. Ini adalah kerana ia merupakan salah satu batu bata dari struktur jamaah.

Setelah pembinaan individu, ia disusuli dengan pembinaan keluarga, iaitu keluarga ‘harakiyyah’ yang mesti dipelihara.

Tanpa keluarga yang seperti itu, kaki kita akan tersandung dan perjalanan kita akan terhuyung hayang.

Sekarang ini, setelah kestabilan jiwa, kestabilan keluarga itu perlu benar-benar dipelihara bersama oleh seluruh komponen keluarga.
Peliharalah hubungan dengan isteri, dengan suami, dengan anak-anak, dengan mertua, dengan ibu bapa dan dengan siapa pun yang terkait dengan keluarga kita kerana seluruhnya adalah merupakan modal utama bagi dakwah ini.

KETIGA : KESTABILAN SOSIAL

Ia adalah kestabilan sosial kita dalam berkomunikasi dengan jiran tetangga dan masyarakat sekitar.

Kita perlu bersikap baik dengan jiran, samada :

1.      Jiran yang memang kerabat dekat kita atau jiran tetangga yang jauh.
2.      Yang jauh lokasi rumahnya, mungkin berselang beberapa deretan rumah, tapi masih sebahagian dari lingkungan kehidupan kita.
3.      Yang dekat lokasi rumahnya tapi jauh dari segi nasabnya.

Semuanya mesti kita pelihara. Kalau kita boleh memelihara kestabilan sosial, insyaallah persekitaran kita akan menjadi tapak asas sosial bagi dakwah kita (qa’idah ijtima’iah).

Apalagi jika persekitaran kita sekarang sesuai dengan perjalanan dakwah, maka ia sudah merupakan timbunan dari kumpulan keluarga-keluarga pendakwah yang berhimpun di suatu daerah, suatu kawasan atau suatu kampung.

Sudah tentu, ia perlu memperlihatkan keteladanannya dalam kestabilan sosial, iaitu memancarkan contoh tauladan, iaitu keteladanan masyarakat yang tenang dan tenteram.

Ini adalah kerana masyarakat yang tenang dan tenteram sahajalah yang akan memberikan sumbangannya bagi lingkungan-lingkungan yang lebih luas meliputi umat, bangsa dan negara.

KEEMPAT : KESTABILAN ORGANISASI

Dengan modal kestabilan jiwa, kestabilan keluarga dan kestabilan sosial itu, insyaallah, secara strukturnya kita pun akan tenang, organisasi kita akan tenang di mana :

a.       Tidak banyak berlakunya konflik dalaman.
b.      Tidak akan mendengar sindiran bahwa kita adalah jamaah bermasaalah kerana yang selalu dibahas adalah permasaalahan (Qadhaya).

Walaupun mungkin kita melihat fenomena ini agak sedikit berlaku, tapi bagi jamaah dakwah, ianya cukup mengusik hati dan fikiran.

Ia juga berpotensi bahwa kepimpinan dan pekerja dakwah akan terkesan oleh perkara-perkara tersebut.

Oleh kerana itu, dengan modal kestabilan jiwa, kestabilan keluarga dan kestabilan sosial, insyaallah kita akan mencapai modal yang keempat iaitu kestabilan organisasi. 
Untuk memastikan kestabilan organisasi, kita perlu meningkatkan pembinaan dua kemampuan :

A. KEMAMPUAN GERAKAN

Kita perlu memastikan agar gerakan dakwah yang kita sama-sama pikul ini menjadi suatu gerakan yang berterusan iaitu :

1.      Tidak terhalang oleh sebarang program lain.
2.      Samada dalam keadaan aman atau dalam menghadapi ujian dan cobaan.
3.      Tidak turun naik.
4.      Tidak bersifat sementara.
5.      Tidak bermusim.

Selain itu, anggota-anggota gerakan juga mesti mempunyai semangat berkorban yang tinggi kerana tidak ada perjuangan di dunia ini kecuali mesti disertai dengan pengorbanan.

Barangsiapa yang tidak berkorban ketika bersama dakwah, maka ia berdosa.

B. KEMAMPUAN ORGANISASI

Kemampuan organisasi akan hanya terserlah apabila kita memiliki tiga unsur, iaitu :

1.      Wujudnya kepercayaan (Thiqah).
2.      Wujudnya keterampilan (Kafaah).
3.      Wujudnya tanggungjawab (Mas’uliyah).

Kepercayaan (Thiqah) adalah sikap rasa puas seorang anggota terhadap pimpinannya dalam hal kemampuan dan keikhlasannya dengan kepuasan yang mendalam sehingga  menghasilkan perasaan cinta, penghargaan, penghormatan dan ketaatan.

Manakala keterampilan (Kafaah) pula meliputi tugas dakwahnya sebagai ‘murabbi’ dan ‘muballigh’ di samping penguasaan ilmiyyah dan berbagai seni dakwah.

Akhir sekali setiap anggota merasakan tanggungjawab (Mas’uliyah) untuk melaksanakan amanah dakwah. Ini dapat difahami dari sikap Nabi Ibrahim as dalam menyelesaikan dengan segera dan sempurna semua amanah dari Allah swt sebagaimana dalam ayat Al Quran :

 “Dan (ingatlah), ketika Nabi Ibrahim diuji oleh Tuhannya dengan beberapa Kalimah (suruhan dan larangan), maka Nabi Ibrahim pun menyempurnakannya.” (QS Al Baqarah : 124)

Oleh yang demikian, organisasi kita insyaallah akan menjadi organisasi atau struktur yang stabil, tenang dan tidak dikecohkan oleh isu, gosip dan pergeseran kerana jika dibiarkan ianya akan menimbulkan sikap berpuak-puak.

KELIMA : KESTABILAN DAKWAH

Jika kestabilan organisasi itu sudah wujud, maka insyaallah akan berlakulah kestabilan dakwah di mana dakwah kita akan menjadi stabil dan berjalan terus menerus di mana :

1.      Goncangan apapun tidak akan membuatkan kita terguling.
2.      Perangkap apapun tidak akan membuatkan kita terperosok.
3.      Situasi apapun tidak akan membuatkan kita terkecoh.

Ini adalah kerana asas kekuatan dakwah bergantung kepada tiga pembinaan :

A.PEMBINAAN TARBAWI (TARBIYAH)

Ia meliputi pembangunan kemampuan teoretikal iaitu memahami :

a.      Prinsip (Mabda’).
b.      Ideologi (Fikrah).
c.       Pedoman (Minhaj).

Prinsip asas (Mabda’) dakwah adalah berdasarkan lima perkara :

1.      Allah matlamat kita.
2.      Rasul pemimpin kita.
3.      Al Qur’an perlembagaan kita.
4.      Jihad adalah jalan kita.
5.      Mati di jalan Allah adalah cita-cita kita.

Manakala ideologi (fikrah) kita pula berasaskan lapan perkara :

1.      ‘Dakwah Salafiah’ kerana kita berdakwah untuk mengajak kembali (bersama Islam) kepada sumbernya yang jernih dari kitab Allah dan sunnah RasulNya.
2.      ‘Thariqah Sunniah’ kerana kita membawa jiwa untuk beramal dengan sunnah yang suci (khususnya dalam masaalah aqidah dan ibadah) semaksimum mungkin sesuai dengan kemampuan masing-masing.
3.      ‘Haqiqah Sufiah’ kerana kita memahami bahwa asas kebaikan adalah kesucian jiwa, kejernihan hati, penerusan amal, berpaling dari kebergantungan kepada makhluk, ‘mahabah fillah’ dan keterikatan kepada kebaikan.
4.      ‘Hai’ah Siyasiyah’ kerana kita menuntut perbaikan dari dalam terhadap hukum hakam pemerintahan, meluruskan persepsi yang berkait dengan hubungan umat Islam terhadap bangsa-bangsa lain di luar negara, mentarbiyah bangsa agar memiliki 'izzah dan menjaga identitinya.
5.      ‘Jamaah Riyadhiyah’ kerana kita sangat memberi perhatian terhadap masalah fizikal dan memahami benar bahwa seorang mukmin yang kuat itu lebih baik daripada seorang mukmin yang lemah sebagaimana sabda Nabi saw,
"Sesungguhnya badanmu mempunyai hak atas dirimu (untuk kamu perhatikan)."
Sesungguhnya, semua kewajiban dalam Islam tidak mungkin dapat terlaksana dengan sempurna dan benar tanpa didukung oleh fizikal yang kuat.
6.      ‘Rabithah Ilmiah Thaqafiah’  kerana Islam menjadikan menuntut ilmu sebagai kewajiban bagi setiap muslim dan muslimah. Majlis-majlis kita pada asasnya adalah ‘madrasah-madrasah ta'lim’ dan peningkatan wawasan iaitu dalam rangka untuk mentarbiyah fizikal, akal, dan ruh.
7.      Syarikat Iqtishadiah kerana Islam sangat memberi perhatian terhadap pemerolehan harta dan penyalurannya. Inilah yang disabdakan oleh Rasulullah saw, “Sebaik-baik harta adalah (yang dipegang) oleh seorang yang soleh."
8.      ‘Fikrah Ijtima’iah’ kerana mereka sangat menaruh perhatian terhadap segala 'penyakit' yang ada dalam masyarakat Islam dan berusaha melaksanakan terapi dan mengubatinya.

Akhir sekali pedoman (minhaj) dakwah berdasarkan syariat iaitu peraturan, jalan atau metod yang terang lagi jelas sepertimana dalam Al Qur’an :

“Bagi tiap-tiap umat yang ada di antara kamu, Kami jadikan (tetapkan) suatu Syariat dan jalan agama (yang wajib diikuti oleh masing-masing)”. (QS Al Maaidah : 48)

Pedoman ini terbahagi dua :

1.      Pedoman asasi yang merangkumi tiga perkara :

a.       Al Qur’an.
b.      As Sunnah.
c.       Sirah Salafus Soleh.

2.      Pedoman amali yang merangkumi panduan dan prosedur ketetapan perlaksanaan.

Selain itu kita juga perlu membangun kemampuan maknawi meliputi kemahuan yang kuat dan kesetiaan yang kukuh.

Kemahuan yang kuat adalah ciri-ciri Rabbani yang diterangkan dalam Al Qur’an meliputi sifat tidak lemah semangat (Al Wahn), tidak lemah fizikal (Dha’if) dan pantang menyerah.

“Dan berapa banyak dari Nabi-nabi (dahulu) telah berperang dengan disertai oleh ramai orang-orang yang taat kepada Allah, maka mereka tidak merasa lemah semangat akan apa yang telah menimpa mereka pada jalan (agama) Allah dan mereka juga tidak lemah tenaga dan tidak pula mahu tunduk (kepada musuh). Dan (ingatlah), Allah sentiasa mengasihi orang-orang yang sabar.” (QS Ali Imran : 146)

Manakala kesetiaan yang kukuh pula menggambarkan suatu kesetiaan dalam dakwah sejak dari awal hingga akhir hidupnya di samping kesetiaan dalam menjalani setiap marhalah dakwah.
Ini bersesuaian dengan sabda Nabi saw :
“Ketahuilah bahwa sesungguhnya roda Islam terus berputar, maka berputarlah bersama Al-Qur’an di mana pun dia berputar.” (HR Thabrani)
B. PEMBINAAN HARAKI (HARAKAH)
Ia termasuk kemampuan gerakan dan kemampuan organisasi sepertimana yang disebut sebelum ini.
C. PEMBINAAN FARDI (INDIVIDU)
Pembinaan individu merangkumi empat ciri keperibadian iaitu :
1.      Keperibadian Islam yang meliputi

a.       Kesejahteraan aqidah.
b.      Kesahihan ibadah.
c.       Kemantapan akhlak.
d.      Berupaya untuk berusaha sendiri.
e.       Mempunyai wawasan berfikir.
f.       Kekuatan jasmani.
g.      Berjihad ke atas diri sendiri.
h.      Terurus di dalam segala urusannya.
i.        Sangat menjaga waktunya.
j.        Bermanfaat kepada orang lain.

2.      Keperibadian pendakwah yang meliputi

a.       Pengetahuan realiti umat.
b.      Pengetahuan tentang penyelesaian secara Islam.
c.       Pengetahuan tentang tatacara penyelesaian secara Islam.
d.      Pengetahuan tentang bekalan dakwah.

3.      Keperibadian sosial yang meliputi

a.       Bersemangat tanpa bersikap tertutup dan bersikap terbuka tanpa larut.
b.      Penceramah dalam masyarakat.
c.       ‘Faqih’ dalam masyarakat.

4.      Keperibadian kenegaraan yang memampukan dirinya menjadi seorang negarawan ulung.

Dengan wujudnya ketiga-tiga pembinaan ini, kita akan mampu menghasilkan penguasaan dakwah dalam masyarakat yang menjadi asas kekuatan dan kestabilan dakwah di mana natijahnya adalah :
a.       Masyarakat mengenali kita.
b.      Masyarakat mempercayai kita.
c.       Masyarakat berhimpun di sekitar kita.
d.      Masyarakat bergerak bersama kita.
e.       Masyarakat beriltizam dengan kita.

Ya Allah, kurniakanlah ketenangan dan kestabilan dalam jiwa kami yang akan mampu untuk membentuk kestabilan keluarga yang menyokong usaha dakwah kami sehingga menjadikan kestabilan sosial yang tenang dan tenteram sebagai wadah perluasan dakwah yang akan memberi kekuatan kepada organisasi yang akhirnya akan melaksanakan misi dakwah secara terus menerus sehingga kami mampu mendapatkan kepercayaan masyarakat dan bergerak bersama kami untuk mendaulatkan syariatMu di mukabumi ini.
Ameen Ya Rabbal Alameen
WAS
[ Read More ]
Read more...
Sunday, 29 April 2012

Kehidupan Medan Interaksi

Ditulis Oleh WAS Pada 20:38 – 0 Komen Anda
 
Kehidupan ini tidak semudah yang disangka oleh golongan yang sambil lewa dan tidak sesusah yang disangka oleh golongan yang tamak dan bergantung hanya kepada diri dan kemampuannya semata-mata.
Bahkan, ianya mempunyai seribu satu erti dan makna. Di dalamnya mengandungi pelbagai pelajaran bagi mereka yang ingin mengambil pelajaran daripadanya.
Ia merupakan :
  1. Suatu lapangan atau tempat di mana Allah swt menyempurnakan kehambaan para hambaNya yang ingin menyempurnakan kehambaan diri mereka kepadaNya.
  2. Suatu peluang, tempoh untuk para hambaNya menzahirkan rasa kesyukuran, kesabaran dan keredhaan kepadaNya, yang merupakan antara ciri-ciri kehambaan kepadaNya.
Manusia yang leka daripada hakikat dirinya yang sekadar seorang hamba kepada Tuhannya, secara tidak langsung akan menghadapi kesulitan dalam berinteraksi dengan kehidupan itu sendiri.
Ini adalah kerana, apa yang dicari hanyalah kepuasan nafsu diri serta kelazatan yang memberi manfaat kepada kepentingan diri sendiri, tanpa menghayati makna kehidupannya yang lebih sempurna, iaitu dirinya hidup sebagai hamba kepada Tuhan yang menciptakannya daripada tiada kepada ada, iaitulah Allah swt yang Maha Pencinta.
Seseorang yang hidup semata-mata untuk kepuasan nafsu dan kepentingan diri, kerana tidak menghayati hakikat kehambaan diri, pasti tersalah dalam berinteraksi dengan kehidupan ini, sehingga membawa kepada terasa terbeban dengan sebuah kehidupan yang sementara ini.
  1. Apa yang dikejar selalunya tidak dapat.
  2. Apa yang didapatinya juga tidak akan kekal bersamanya setelah dia mati.
Maka, di manakah nilai sebuah kehidupan bagi manusia yang semacam ini?
Bagi seseorang manusia yang menghayati makna kehambaan diri kepada Tuhannya, pasti akan memahami kehidupan ini dengan maknanya yang lebih luas dan sempurna.
Kebendaan dan duniawi tidak lagi berkuasa menawan kebahagiaan dan kelapangan hati dan jiwanya.
Dia tahu, hidup ini ialah untuk menterjemahkan makna kehambaan diri kepada Allah swt dengan menunaikan ketaatan kepadaNya secara zahir mahupun batin.
Bertolak daripada itulah, akhirnya seseorang mula memahami bahawasanya, seluruh kehidupan ini, samada berkaitan dengan ketentuanNya mahupun penetapan hukum-hakamNya, merupakan penzahiran "interaksi" Tuhannya kepadanya.
Seseorang hamba yang sentiasa menghadirkan rasa kehambaan diri kepadaNya dalam setiap tindakannya dalam kehidupannya, akan turut merasai kehadiran muamalah (interaksi) Tuhannya kepadanya melalui segala yang berlaku dalam kehidupannya.
Bermula dengan menunaikan ketetapan syariat dan hukum Allah swt dalam kehidupannya, maka penghayatan terhadap makna syariat yang dilaksanakannya dengan jiwa hamba mula bersinar dalam hatinya.
Dia mula melihat hakikat di sebalik syariat dengan pandangan ‘zauq’ (perasaan rohani) kurniaan Ilahi. Dia mula menghayati bahawasanya, syariat ialah bukti kewujudan dan kehendak Tuhan yang menciptakan dan mentadbir seluruh alam ini.
Bertolak daripada itu juga, takkala dia menunaikan ketaatan batin (hati) kepada Tuhannya, dengan sifat-sifat mahmudah seperti ikhlas, jujur, tawadhu’, istiqamah, sabar, syukur, redha dan sebagainya, maka dia mula mengenali hakikat ketentuan Allah swt dalam setiap sisi kehidupannya.
Apabila dia ditimpa sesuatu yang berat terasa oleh nafsu dan dirinya, maka di situlah peranan seseorang hamba dalam menzahirkan kehambaannya kepadaNya dengan melahirkan sifat "sabar" terhadap ketentuanNya yang menimpanya tersebut.
Dia juga menzahirkan rasa lemah di hadapan Allah swt dengan mengembalikan ketentuanNya kepadaNya, dengan mengadu masalah yang menimpanya kepada Allah swt yang mengujinya dengan ketentuan tersebut, dalam rangka semata-mata untuk menagih keredhaan dan bantuanNya.
Seseorang hamba yang mengadu masalahnya kepada Allah swt dalam rangka untuk menzahirkan kelemahan dirinya kepadaNya berbeza dengan seseorang yang mengadu kepada Allah swt akan masalahnya dalam bentuk membangkang ketentuanNya.
Adapun seorang hamba yang mengadu masalahnya kepada Allah swt dalam rangka untuk menzahirkan kelemahan diri kepadaNya, tujuannya hanyalah untuk menzahirkan hakikat diri yang "lemah" dan sentiasa memerlukan bantuanNya dalam menghadapi ketetapanNya.
Manakala orang yang merungut di hadapan Allah swt mengenai ketentuanNya ke atasnya bertujuan untuk menzahirkan rasa tidak puas hatinya terhadap ketentuanNya yang tidak mengikut kehendak dan keinginan nafsu dirinya.
Mengadu dengan tujuan menzahirkan rasa lemah kepada Allah swt tidak mengandungi unsur mempertikaikan ketentuan Allah swt, tetapi sekadar memohon rahmat dan bantuan Allah swt agar dia mampu menghadapi ketentuanNya dengan bantuanNya.
Adapun orang yang merungut kepada Allah swt membawa maksud mempertikaikan ketentuan Allah swt dan terkadang boleh membawa kepada menyalahkan Allah swt, seolah-olah dia lebih pandai dari Allah swt.
Adalah sesuatu yang berbeza antara :
  1. Menzahirkan rasa lemah di hadapan Allah swt.
dan
  1. Menzahirkan kepandaian diri di hadapan Allah swt.
Oleh kerana itu, Imam Abu Al-Hasan As-Syazili yang menghayati makna kehambaan ini mengungkapkan ungkapan penuh adab di hadapan Allah swt dengan berdoa :
"Wahai Tuhanku. Aku tidak memohon agar tertegahnya apa yang Engkau mahu tentukan ke atasku. Tetapi, aku memohon sokonganMu (kepadaku) dengan bantuanMu kepadaku dalam setiap ketentuanMu ke atasku"
Nilai kehambaan ini juga pernah diungkapkan oleh Rasulullah saw dalam doa Baginda saw ketika di Thaif dengan berdoa:
"Wahai Tuhanku, aku mengadu kepadaMu akan lemahnya diriku…".
Nilai-nilai mengadu dalam rangka meminta bantuan daripadaNya dan menzahirkan kelemahan diri dan keperluan kepadaNya merupakan antara nilai kehambaan yang tertinggi dalam diri seseorang hamba kepada Tuhannya.
Oleh yang demikian, hamba yang beradab dengan adab kehambaan tersebut mula menzahirkan rasa memerlukanNya dan bersabar dalam rangka untuk membuktikan kehambaan diri kepadaNya dengan sentiasa mengharapkan bantuan daripadaNya.
Adapun tatkala dia ditimpa sesuatu yang menyenangkan diri dan nafsunya, samada kesenangan dalam bentuk kebendaan, rezeki, jodoh dan sebagainya, maka dia akan menzahirkan rasa kesyukuran kepadaNya dengan mengembalikan segala kebaikan yang didapatinya kepada Allah swt, bukan menyandarkan kebaikan tersebut kepada usaha dirinya sendiri.
Inilah nilai kehambaan yang agung dalam diri seseorang manusia, di mana dia sentiasa berasa menghargai setiap kebaikan dalam kehidupannya kerana menghayati bahawa semua kebaikan adalah daripada Allah swt, Tuhan yang Maha Pemurah.
Dengan rasa syukur tersebut, maka Allah swt menganugerahkan ‘ma’rifatullah’ (mengenal Allah swt) kepadanya, dan menganugerahkan kefahaman tentang rahsia-rahsia muamalah Allah swt dalam segenap kehidupannya.
Inilah kelebihan daripada sifat syukur yang dijanjikan oleh Allah swt yang berfirman dengan maksud :
"Jika kamu bersyukur, Aku akan tambah buatmu akan nikmatKu"…
Penambahan nikmat yang agung adalah kefahaman tentang :
  1. Hakikat diri.
  2. Hakikat kehidupan.
  3. Hakikat ketuhanan Allah swt.
dalam kehidupannya seharian.
Hidup ini ialah tempat bermuamalah secara beradab.
Bagaimana seseorang ingin beradab dalam bermuamalah dengan Allah swt melalui kehidupannya, sedangkan dia tidak mengenal :
  1. Hakikat dirinya sebagai hamba Allah swt yang perlu beradab kepadaNya.
  2. Hakikat kehidupan yang merupakan tempat menzahirkan adab kepada Allah swt dalam berinteraksi kepadaNya.
  3. Allah swt, Tuhan yang ingin menyempurnakan adab kehambaannya melalui kehidupannya.
Dalam hidup ini terkandung risalah-risalah Allah swt dalam setiap detik dalam kehidupan kita, jika hati kita sentiasa hadir dalam bermuamalah denganNya dengan adab kehambaan kepadaNya.
Sabar dan syukur merupakan dua sayap utama bagi kerohanian seseorang hamba dalam menuju keredhaanNya.
Setelah seseorang mencapai istiqamah dalam sabar dan syukur dalam setiap kehidupannya terhadap setiap ketentuanNya dengan bantuan Allah swt, maka dia akan dianugerahkan rasa redha kepada Allah swt dalam setiap ketentuanNya.
Pada darjat "redha" inilah, seseorang manusia :
  1. Tidak lagi merasai perbezaan di antara suatu ketentuan dengan suatu ketentuan yang lain.
  2. Tiada merasai susah ataupun senang, kerana hatinya sentiasa fokus kepada mencari keredhaan Allah swt di sebalik setiap ketentuanNya, dan menghadapi setiap ketentuanNya dengan pandangan redha kepada Allah swt.
Sesungguhnya, redha kepada Allah swt ini merupakan darjat yang teragung yang dicapai oleh seseorang hamba Allah, kerana seseorang tidak akan meredhai Allah swt melainkan setelah Allah swt meredhainya dan berkehendak supaya dia juga meredhaiNya.
Kehidupan ini sebuah perjalanan dalam muamalah kehambaan seseorang hamba dengan Tuhannya.
Nilai kehidupan adalah pada penghayatan seseorang terhadap :
  1. Makna kehambaan dirinya dalam kehidupannya.
  2. Makna kehidupannya selaku hamba kepada Tuhannya.
  3. Makna ketuhanan Allah swt dalam kehidupannya selaku hambaNya.
Tanpa makna-makna tersebut, kehidupan tiada erti bagi seseorang manusia.
Hidup tanpa "makna", yang tinggal hanyalah makan, minum, tidur dan sebagainya, dalam rangka memenuhi nafsu di sekitar usianya yang semakin menuju kesudahan.
Akhirnya, dia di sisi Allah swt bagaikan binatang, bahkan lebih sesat dan rendah daripada binatang, kerana tidak menghargai nilai kehidupannya sebagai manusia yang penuh dengan makna-makna yang mulia.
Masalah kemurungan, kesedihan, penderitaan dan rasa malang manusia sebenarnya bukanlah kerana gagal menanggung ketentuan Allah swt, tetapi masalah-masalah tersebut kembali kepada "tidak memahami makna di sebalik ketentuanNya" lalu membawa kepada kegagalan dalam berinteraksi dengan ketentuanNya sebagaimana yang sepatutnya.
Tanpa menghayati makna kehambaan diri, makna kehidupan yang merupakan medan menyempurnakan kehambaan dan makna ketuhanan Allah swt dalam kehidupan, maka seseorang akan mencari kebahagiaan yang bukan sebenarnya suatu kebahagiaan, akhirnya dia terus menderita dalam rangka untuk mencari kebahagiaan menurut persepsinya.
Kebahagiaan bukan pada kepuasan nafsu, tetapi pada terealisasinya kehambaan diri kepada Allah swt.
Kekayaan itu ialah kekayaan jiwa, seperti yang diberitahu oleh Baginda Nabi saw yang mulia.
Hidup ini bukan tempat di mana setiap orang mencari apa yang dia mahukan, tetapi hidup ini ialah tempat setiap orang menunaikan tujuan asal dirinya diciptakan.
Jika mahu terus mencari makna kebahagiaan selain makna yang diingini oleh Tuhan, maka setiap langkah kita dalam mencarinya adalah suatu penderitaan. Akhirnya, yang kita himpunkan hanyalah penderitaan demi penderitaan.
Ya Allah, jadikanlah kehidupan ini sebagai medan dalam kami berinteraksi dan melahirkan rasa kehambaan kepadaMu serta peluang untuk kami menzahirkan rasa syukur, sabar dan ridha kepadaMu terhadap segala ketentuan yang telah ditaqdirkan kepada kami.
Ameen Ya Rabbal Alameen
WAS
[ Read More ]
Read more...
Newer Posts Older Posts
Subscribe to: Posts (Atom)

Yang Setia

Pautan

  • Muharikah
    Antara dua pilihan
    4 years ago
  • Angel Pakai Gucci!
    Doa Itu Bom Nuklear Bagi Orang Mu'min!
    6 years ago
  • Majalah Jom!
    Isu 45: ALAMAK, AKU SALAH PILIH! (EDISI ISTIMEWA)
    10 years ago
  • دعوتنا DAKWATUNA -dakwahkite-
    Di antara Kefahaman dan Pelaksanaan (Sudut Pandang Parti Kebebasan dan Keadilan FJP – Mesir)
    11 years ago
  • ZADUD-DUAT
    Wahai Ikhwah, Persaudaran adalah rahsia kekuatan anda
    12 years ago
  • Popular
  • Recent
  • Archives
 

Diri Ini

My photo
WAS
Blog ini memaparkan bahan-bahan bacaan dan artikel yang boleh meningkatkan ilmu dan kefahaman Islam anda..
View my complete profile

Blog Ini Menarik??

Yang Paling Digemari

  • Memohon Dari Al Jabbar
    Seringkali manusia terjebak oleh pemikirannya sendiri dan merasa mampu untuk merancang segala sesuatu. Padahal tidak ada kekuatan dalam d...
  • Kepentingan Intima' Jamai'e
    Sebuah Jamaah yang berjuang untuk : 1.       Mengembalikan manusia pada penghambaan kepada Allah swt semata-mata. 2.       Mengemba...
  • Kedahsyatan Perosak Dajjal
    Kita sekarang sudah berada di akhir zaman di mana tanda-tanda hari kiamat terutama tanda-tanda kecil sudah banyak kelihatan dan kini han...
  • Bijaksana Dalam Menyikapi Perbezaan
    Perbezaan pendapat di tengah-tengah kehidupan manusia adalah suatu perkara yang lumrah dan tidak dapat dielakkan.  Setiap orang mener...
  • Mutiara Hikmah Para Duat

Arkib

  • ▼  2017 (1)
    • ▼  April (1)
      • Mutiara Hikmah Para Duat
  • ►  2016 (4)
    • ►  September (2)
    • ►  March (1)
    • ►  January (1)
  • ►  2015 (39)
    • ►  November (1)
    • ►  October (2)
    • ►  September (2)
    • ►  August (3)
    • ►  July (1)
    • ►  June (5)
    • ►  May (6)
    • ►  April (6)
    • ►  March (6)
    • ►  February (2)
    • ►  January (5)
  • ►  2014 (42)
    • ►  November (5)
    • ►  October (4)
    • ►  August (4)
    • ►  July (1)
    • ►  June (9)
    • ►  May (8)
    • ►  April (4)
    • ►  February (3)
    • ►  January (4)
  • ►  2013 (72)
    • ►  December (1)
    • ►  November (5)
    • ►  October (4)
    • ►  September (5)
    • ►  August (6)
    • ►  July (5)
    • ►  June (7)
    • ►  May (5)
    • ►  April (7)
    • ►  March (7)
    • ►  February (9)
    • ►  January (11)
  • ►  2012 (163)
    • ►  December (8)
    • ►  November (9)
    • ►  October (9)
    • ►  September (9)
    • ►  August (6)
    • ►  July (12)
    • ►  June (9)
    • ►  May (15)
    • ►  April (16)
    • ►  March (18)
    • ►  February (24)
    • ►  January (28)
  • ►  2011 (93)
    • ►  December (24)
    • ►  November (69)

Susunan

  • Akhlak (6)
  • Aqidah (17)
  • Dakwah (73)
  • Fikrah (74)
  • Ilmu (38)
  • Motivasi (10)
  • Muslimah (3)
  • Mutiara Hikmah (12)
  • Mutiara Hikmah Para Duat (21)
  • Mutiara Hikmah Ramadhan (3)
  • Renungan (31)
  • Ruhiyah (8)
  • Tarbiatuna (5)
  • Tarbiyah (34)
  • Tausiyah (31)
  • Tokoh (8)
  • Uslub (11)
  • Video (29)

Panji Islam

Asmaaul Husna

Kalam Hikmah

Coretan Anda

Pengunjung

Detik Kehidupan

Hari Ini

Waktu Solat

Pelawat


widgets

Selamat Melayari

  • NEW POSTS
  • COMMENTS
  • flickr

    Get your Flickr ID!
 
 
© 2011 Tinta Perjalanan | Designs by Web2feel & Fab Themes

Bloggerized by DheTemplate.com - Main Blogger