skip to main | skip to sidebar

Tinta Perjalanan

Pages

  • Home
 
  • RSS
  • Facebook
  • Twitter
  • Linkedin
  • Youtube
  • DheTemplate.com
  • Free Templates
  • Drop Menu 1
    • Child Menu 1.1
    • Child Menu 1.2
    • Child Menu 1.3
  • Drop Menu 2
    • Child Menu 2.1
    • Child Menu 2.2
    • Child Menu 2.3
  • Daily Update Templates

Ahlan Wasahlan


Perjalanan Menuju Allah.

Monday, 1 June 2015

Seni Menciptakan Manusia

Ditulis Oleh WAS Pada 07:40 – 1 Komen Anda
 
Gerakan dakwah adalah diumpamakan seperti para pendaki gunung. Apabila kita sudah sampai pada suatu ketinggian, jika kita melihat ke puncak yang ingin kita capai, itu rasanya masih jauh, tapi kalau kita memandang ke bawah, itu akan terasa lebih jauh lagi.

Jika kita turun, ianya akan menambahkan lagi keletihan untuk sampai ke bawah. Mungkin itu lebih menambah keletihan berbanding kalau kita naik ke atas. Jika kita naik, beban kita bertambah, sumber oksigen kita berkurang. Maka, apakah kira-kiranya yang akan membuatkan nanti kita boleh sampai ke atas itu?

Rata-rata para aktivis dakwah teras sudah terlibat dalam tarbiyah dalam jangka waktu antara 15 hingga 20 tahun dan dari sudut umur, rata-rata mereka ini juga tidak lagi boleh disebut muda kerana jika kita melihat bahwa umur ummat Rasulullah saw itu antara 60 hingga 70 tahun, maka kita sebenarnya sudah memasuki sepertiga terakhir.

Jika kita melihat perkara ini dan lingkungan kehidupan seperti sekarang ini, hampir dapat dipastikan bahwa kita tidak mampu melakukan amal-amal besar kecuali satu atau dua sahaja.

Umur 0-20 tahun setiap manusia adalah yang paling kuat perkembangannya dari aspek fizikal lalu mencapai puncaknya di usia 20-an. Umur 20-an hingga 40 adalah puncak pencapaian intelektual seseorang manakala umur 40 – 60 adalah puncak dari sudut kerohaniannya.

Persimpangan 40-an ini ketika fizikal kita masih kuat dan tahap pemikirannya mencapai puncaknya, kita juga sedang memasuki fasa kerohanian yang kuat. Biasanya ini disebut sebagai tahun-tahun kematangan sekaligus fasa terakhir dari hidup kita.

Jadi, jika kita menggeluti sesuatu seperti tarbiyah ini dari usia 20-an sampai usia 40-an, maka fasa 40-an ini adalah “Golden age” (Umur emas) dari seluruh pencapaian hidup kita semuanya sepertimana yang dirakamkan oleh Allah swt dalam firmanNya :

“Dan tatkala dia (Nabi Yusuf) cukup dewasa Kami berikan kepadanya hikmah dan ilmu.
Demikianlah Kami memberi balasan kepada orang-orang yang berbuat baik.” (QS Yusuf : 22)

Oleh kerana itu, kita berharap di dalam fasa hidup ini, kita dapat melakukan sesuatu yang
besar atau yang sering diistilahkan dengan “Amal yang unggul” yang kita harapkan dapat
menghantarkan kita ke syurga Allah swt.

Ini adalah satu pemikiran yang amat penting agar ianya menjadi suatu kesedaran individu untuk kita semua bahwa kita sedang memasuki sepertiga terakhir dari perjalanan hidup kita dan mesti ada pencapaian yang benar-benar besar yang mampu menghantarkan kita ke syurga  Allah swt.

Untuk sampai ke matlamat yang agung itu, kita hendaklah memulakannya dengan ‘Tarbiyah’ kerana walaupun ‘Tarbiyah’ bukan segala-galanya tapi semua perkara bermula dari ‘Tarbiyah’.

TARBIYAH, SENI MENCIPTAKAN MANUSIA

Dalam salah satu ucapan Ustaz Anis Matta, beliau merujuk kepada salah seorang pendakwah abad moden, Muhammad Qutb yang menulis sebuah buku yang memberikan landasan falsafah, teori dan penerapan konsep tarbiyah iaitu yang bertajuk ‘Manhajut-Tarbiyah Islamiyah’. Buku ini terbagi kepada dua jilid iaitu jilid pertama menceritakan tentang teori dan jilid kedua membahaskan tentang aplikasinya.


Beliau mendefinisikan ‘Tarbiyah’ dalam satu kalimah yang sederhana, namun mewakili kefahaman tarbiyah yang benar iaitu :


“At-Tarbiyah hiya fannush shinaa’atil insaan”. (Tarbiyah adalah seni menciptakan manusia).


Setelah Allah swt menciptakan manusia dalam bentuknya yang utuh dengan keseluruhan jasadnya, maka tugas ‘tarbiyah’ adalah “mengulang ciptakan” manusia tersebut di atas bentuk asas fitrah semasa kelahirannya.


Oleh kerana itu beliau mengatakan “At-Tarbiyah hiya fannush shinaa’atil insaan”, atau seni menciptakan manusia. Apabila kita tambahkan dengan ‘Shifatul Islam’, sehingga menjadi ‘Tarbiyah Islamiyah’, maka ‘Tarbiyah Islamiyah’ adalah seni menciptakan manusia dengan cara-cara yang Islamik.


Bagaimanakah cara menciptakan manusia dengan cara Islam?


Pertama sekali kita hendaklah kembali kepada definisi Islam, yang kemudian diintergrasikan dengan makna ‘tarbiyah’ itu sendiri.


Islam adalah sistem hidup yang diturunkan Allah swt bagi manusia dengan bumi sebagai ruang hidupnya dan rentang masa kerja yang disebut sebagai umur dalam skala individu sebagaimana yang disebutkan di dalam Al-Qur’an :


“Tiap-tiap yang berjiwa akan merasakan mati…” (QS Ali ‘Imran :185)


Selain itu juga ada pengumpulan umur individu-individu dalam satu komuniti yang membentuk umur umat dan jika umur umat digabung menjadi satu, maka ia akan menjadi umur peradaban.


“Tiap-tiap umat mempunyai batas waktu…” (QS Al-A’raaf : 34)


Oleh yang demikian, ada tiga unsur yang saling berinteraksi iaitu :



a.       Ruang berupa bumi.
b.      Waktu atau zaman.
c.       Manusia sebagai pelaku di dalam ruang dan waktu tersebut.

Agar manusia mampu berinteraksi dengan sesama manusia dan dengan alam ruang dan waktu tertentu, maka ia memerlukan panduan berupa agama.

Interaksi manusia di dalam ruang dan waktu tertentu dengan menggunakan ajaran agama disebut ‘At-Tafaa’ul ad-diiniy’ (interaksi agama), yakni manusia yang meyakini nilai-nilai agama kemudian menerapkannya satu persatu di dalam kerangka ruang dan waktunya.


Perkara yang paling penting adalah berlakunya proses interaksi antara nilai-nilai yang diyakini atau agama dengan manusia yang menjadi pelaku dalam ruang dan waktu tertentu.


Apabila melihat kembali proses penciptaan manusia, maka ketika Allah swt menciptakan Adam dan Hawa, agama yang diturunkan kepada Adam dan Hawa pun disesuaikan dengan keperluan kedua-dua orang tersebut. Tentu sahaja pada waktu itu belum ada ajaran agama tentang negara.


Kemudian ketika Adam dan Hawa mulai membentuk keluarga, maka ajaran agama yang turun disesuaikan dengan keperluan struktur sosial manusia sebagai keluarga.


Seterusnya ketika keluarga ini berkembang menjadi kabilah dan mulai memenuhi wilayah-wilayah lain di muka bumi ini, maka agama yang diturunkanNya juga disesuaikan dengan keperluan kabilah.

Demikian pula ketika kabilah berkembang lebih besar lagi sehingga menjadi bangsa, maka agama yang diturunkanNya pun disesuaikan pula dengan keperluan berskala negara.

Oleh kerana itu, diperlukan ramai para nabi dan rasul untuk membawa ajaran-ajaran agama yang disesuaikan dengan pertumbuhan manusia, agar agama sebagai panduan sesuai dengan keperluan manusia dalam menjalani kehidupan dan berinteraksi di dalam ruang dan waktunya itu.


Dalam satu riwayat disebutkan bahwa jumlah nabi dan rasul itu sekitar 125,000 orang dan di riwayat lain disebutkan sekitar 350,000 nabi dan rasul, hingga akhirnya Allah swt menghentikan mata rantai kenabian itu pada diri Nabi Muhammad saw sebagai nabi terakhir.


Seterusnya manusia dianggap sudah mampu berinteraksi tanpa perantara nabi dan langsung menggunakan Al-Qur’an sebagai panduan.


Proses manusia menerapkan nilai-nilai agama di dalam ruang dan waktunya bukan proses yang spontan, malah ia memerlukan waktu yang panjang.


Pertama sekali diperlukan waktu untuk memahami isi kandungan panduan tersebut secara benar dan setelah memahaminya diperlukan pula waktu untuk memahami cara mengimplementasikannya sesuai dengan ruang dan waktu tersebut.


Seterusnya, pada ketika proses implementasinya, diperlukan juga kefahaman tentang realiti ketika isi kandungan tersebut diterapkan dan setelah difahami realiti pada ketika perlaksanaannya, mungkin ditemui fakta baru tentang keterbatasan sebagai manusia.


Di saat itulah disedari bahwa :



1.      Mungkin ada kefahaman yang salah tentang isi kandungan panduan tersebut.
2.      Mungkin juga benar cara memahaminya tetapi salah cara menerapkannya.
3.      Mungkin boleh jadi benar cara memahaminya dan benar juga cara mengimplementasikannya, tetapi konteks ruang dan dan waktunya tidak sesuai.

PEMBANGUNAN PROSES BERAGAMA

Oleh kerana itu, istilah ‘Amaliyatut Tadayyun’ menunjukkan kepada proses beragama yang berlangsung secara terus menerus. Di dalam Islam, penilaian pada diri seseorang bukan hanya pada awal kehidupannya, pertengahannya atau pengakhirannya, melainkan dilihat secara  keseluruhannya, walaupun memang darjat yang paling menentukan adalah pada hujung kehidupan seseorang.


Ketika seseorang ditarbiyah dengan cara-cara Islam, maka bererti ia dibantu untuk memahami isi kandungan panduan dan cara melaksanakannya serta didorong untuk melaksanakannya.


Apabila kemudiannya di medan sebenar ketika berinteraksi ditemui fakta bahwa orang tersebut memiliki kesalahan dan kekurangan, maka hal itu menunjukkan bahwa proses beragama itu (‘Amaliyatut Tadayyun) masih terus berlangsung secara terus menerus sepanjang hidup sebagai proses pembelajaran (‘Amaliyatut Ta’allum) sepanjang hidup.


Oleh kerana itu, agama Islam juga menyediakan satu konsep lain yang disebut perbaikan berterusan (Ishlaahul Mustamir) melalui mekanisma taubat.


Taubat adalah konsep perbaikan yang berterusan. Selama ini ramai yang salah faham dalam istilah taubat sehingga menganggap taubat hanya berupa pengakuan dosa.


Padahal misalnya, seseorang yang baru sahaja selesai mengerjakan solat, juga mengucap istighfar, kerana mungkin juga pada ketika dia solat, hatinya tidak khusyu’.


Oleh kerana itu, walaupun seseorang sedang melakukan suatu amal yang apabila dilihat secara fiqahnya, kewajiban tersebut sudah selesai ditunaikan, namun ia tetap terus beristighfar atas ketidaksempurnaan amalnya.


Apalagi Rasulullah saw bersabda bahwa berapa ramai orang yang solat, namun tidak mendapatkan dari solatnya kecuali hanya sepersepuluhnya, maka konsep taubat juga bermakna penyempurnaan amal.


‘Amaliyatut Tadayyun (Proses beragama) bukanlah satu proses spontan yang terus memberikan hasil, melainkan ianya memerlukan waktu sebagaimana proses pertumbuhan manusia di dalam rahim ibu juga bertahap.


Inilah hikmahnya kenapa seseorang nabi itu diangkat pada tingkatan kematangan usia tertentu, yakni pada ketika puncak kematangannya.


“Dan tatkala dia cukup dewasa…” (QS Yusuf : 22)


Demikian pula manusia tumbuh dan berkembang, sehingga umur 1-20 tahun berbeza dengan umur 20-40 tahun, dan berbeza lagi dengan manusia dari 40 ke 60 tahun.


Begitu juga ketika seseorang berusaha memahami teks Al Qur’an dan As Sunnah yang akan berbeza di setiap fasanya. Sukar misalnya membacakan surah As-Sajdah ayat 16 kepada seorang remaja berusia 15 tahun, bahwa seolah-olah ia tidak boleh tidur.


“Tatajaafa junuubuhum ‘anil madhooji'”


Perkara itu akan menjadi sesuatu yang sukar untuk dimengerti oleh remaja tersebut.


Demikian pula ketika dibacakan ayat tentang makar sebagaimana dalam surah Ali-Imran ayat 54 :


“Wa makaruu wa makarAllah”


Ini adalah kerana pengumpulan pengalaman hidup, bacaan dan pengetahuan, akan mempengaruhi cara seseorang memahami ayat-ayat tersebut.


Demikian rumitnya proses ‘Amaliyatut Tadayyun’, sehingga hanya dengan memahami proses beragama itulah, kita akan dapat memahami pula rumitnya ‘Amaliyah Tarbawiyah’ (Proses tarbiyah) dan ‘Amaliyatut Takwin’ (Proses pembinaan) yang diterapkan kepada seseorang agar mampu berinteraksi dengan ruang dan waktunya berdasarkan rujukan nilai-nilai agamanya.


Lebih-lebih lagi pelakunya adalah manusia dan objek pembinaannya pun manusia yang memiliki perbezaan-perbezaan, sehingga “Output” (Hasil akhir) pun menjadi berbeza-beza.


Oleh kerana itu, yang lebih perlu kita fahami dan sepakati adalah ukuran hasil akhir seperti apa yang ingin dilahirkan oleh Islam melalui ‘Amaliyah Tarbawiyah’ tersebut.


HASIL AKHIR TARBIYAH


Selama ini yang sering disebut-sebut sebagai tujuan ‘Tarbiyah Islamiyah’ adalah menciptakan ‘Insan Kaamil’ dan yang disebut ‘Al Insanul-Kamil’ adalah ‘Al-Insaanul-Malaakiyyun’ sementara secara tabi’enya, tidak ada manusia yang menyerupai malaikat. 


Sebahagian dari sifat malaikat memang ada di dalam diri manusia, namun sebahagian sifat syaitan juga ada. Kedua unsur yang ada dalam diri manusia tersebut terus berusaha untuk saling mengalahkan.

Oleh kerana itu, perlu ditegaskan bahwa ‘Output Tarbiyah’ bukanlah ‘Insan Kaamil’ melainkan yang hendak dicapai adalah ‘Al Insaanush-Shaalih’ yang sesuai dengan kebaikan Islam untuk setiap zaman dan tempat.


Aplikasi agama ini boleh diadaptasikan terhadap ruang dan waktu, sedangkan orang yang soleh adalah orang yang paling sesuai untuk seluruh ruang dan waktu tersebut. ‘Output Tarbiyah Islamiyah’ mestilah juga mampu menghasilkan manusia-manusia soleh yang bijaksana untuk zaman dan tempat yang mereka hidup.


Perbezaan antara ‘Al Insaanus-shaalih’ dan Al Insaanul kaamil’ itu sangat besar kerana kebaikan itu tidak dapat berdiri sendiri.


Kebaikan mempunyai makna apabila dinisbahkan kepada ruang dan waktunya. Demikian pula halnya dengan akhlak, yang juga tidak dapat berdiri sendiri, kerana ‘Al Akhlaaqul Faadhilah’ atau akhlak-akhlak yang utama juga tidak dapat berdiri sendiri dan baru mempunyai makna manakala dinisbahkan kepada ruang dan waktunya.


Sebagaimana Allah swt melukiskan dua karakter orang-orang beriman yang bertentangan :

“Asyidda-u ‘alal kuffaar, ruhamaa-u bainahum.” (Bersikap keras terhadap orang-orang kafir dan berkasih sayang antara orang-orang yang beriman)

Sifat ‘Asyiddaa’ dengan ‘Ruhamaa’ lahir dari satu jiwa yang sama, tetapi tertuju kepada objek yang berbeza, dalam ruang dan waktunya yang berbeza dan dalam konteks yang juga berbeza. Jiwa yang sama melahirkan respon yang berbeza kepada objek-objek yang berbeza.


Oleh kerana itu, sifat keras tidak boleh serta merta dikira semata-mata baik atau sebaliknya buruk, melainkan harus dilihat sesuai dengan objeknya dan konteks ruang dan waktunya.


Ada ketika seseorang perlu bersikap keras, dan justeru malah salah jika ia bersikap lembut. 

Sebaliknya pada saat seseorang perlu bersikap lembut, maka akan salah jika ia bersikap keras.

Ertinya, akhlak bergantung pada fungsi, sehingga seseorang tidak menjadi baik dengan sendirinya jika karakternya hanya satu, iaitu lembut sepanjang masa atau sebaliknya, keras  sepanjang masa.

Manusia perlu mengatur bagaimana melaksanakan fungsi-fungsi seluruh karakter-karakter tersebut.
Manusia beriman yang diinginkan sebagai ‘Produk Tarbiyah’ perlulah mempunyai mekanisma pengarahan di dalam dirinya yang akan membantu mengeluarkan sifat-sifat tersebut berdasarkan ruang dan waktunya, sehingga ketika objeknya berbeza, maka penyikapannya pun berbeza.


KEPENTINGAN FAKTOR RUHIYAH

Oleh yang demikian, perlu dijelaskan bahwa apapun yang berlaku dan menimpa kita dan sebesar apapun ujian itu maka yang perlu kita lakukan adalah memastikan tindakbalas yang tepat.

Seringkali ketika kita merasa besar dan bangga dengan sumber daya dan tenaga yang kita miliki justeru melupakan kekuasaan Allah ke atas setiap peristiwa.

Dalam hitungan material, aset bahkan bilangan aktivis dakwah kita selalunya menjadi kebanggaan kita disebabkan oleh jumlah yang besar dan banyak seolah-olah ianya kuat padahal ketika sedikit sahaja kita mengabaikan faktor faktor ‘Ruhiyah’ maka semua sumber daya dan tenaga tersebut akan menjadi rapuh kerana yang berlaku sesungguhnya adalah ketika kita sudah mengerahkan seluruh potensi dan menggantungkan harapan dalam doa-doa kita maka kelemahan dan kekurangan kita akan dicukupkan oleh Allah swt.

Ketika kita membaca sejarah peradaban, kita akan menemui satu kaidah bahwa :
1.      Pada saat sebuah peradaban sedang naik maka sesungguhnya peradaban tersebut sedang dikendalikan oleh ‘Ruh’. Pada saat itu, produktiviti kita jauh lebih besar dari sumber daya dan tenaga yang kita miliki.

2.      Ketika peradaban berjalan mendatar maka yang mengendalikannya adalah rasional atau akal dan perkara itu menunjukkan bahwa kewujudan sumber daya dan tenaga berkadar lurus dengan produktiviti kita.

3.      Ketika peradaban itu jatuh merudum maka bererti ia sedang dikendalikan oleh syahwat atau hawa nafsu dan itu memperlihatkan satu gambaran bahwa produktiviti kita jauh lebih rendah daripada sumber daya dan tenaga yang kita ada ada.

KESEMPURNAAN TARBIYAH RUHIYAH
Kelemahan kita seringkali tidak mengambil seluruh sudut tarbiyah dalam proses pembentukan keperibadian kita.
Boleh jadi, ‘Tarbiyah Ruhiyah’ membantu kita menjadi peribadi yang soleh dalam semua aspek, namun kerana tidak utuh, kita tidak mempunyai tenaga sehingga menjadi orang baik yang tidak berdaya dan tidak bertenaga lalu tidak dapat pula diharapkan untuk memikul beban dakwah.
Tenaganya hanya cukup untuk memikul beban bagi dirinya sendiri sehingga tidak memiliki tenaga untuk memikul beban-beban yang lain, apalagi melawan halangan-halangan yang dibawa oleh musuh.
Maka, akhirnya jadilah ia hanya hadir secara rutin dalam pertemuan seminggu namun bersikap sepi dari sudut aktiviti, produktiviti dan pengorbanan yang di luar dari ‘tiga jam’ pertemuan rutin tersebut.
Mungkin juga seseorang menjadi ikhlas dengan mengambil satu sudut dari ‘Tarbiyah Ruhiyah’, yakni dari penyaluran tenaga sehingga mempunyai kekuatan untuk memikul beban ibadah asasi, berbakti kepada ibu bapa, memenuhi kewajiban isteri dan keluarga serta melaksanakan kewajiban dakwah.
Namun, jika adanya tekanan, ujian, musibah atau bahaya yang menimpanya, dia tidak kuat untuk menghadapinya dan lebih memilih untuk menghindarkan diri darinya bahkan mungkin juga berpatah ke belakang atau mundur dari gelanggang dakwah hanya kerana mendapat “Goncangan pemberitaan” yang dia sendiri tidak pernah melihat dan mengetahui langsung persoalan sebenarnya.
Lalu akhirnya ‘Tsiqah’ (Kepercayaan) yang berpuluh tahun kepada kepimpinan dakwah  hilang serta merta dengan hanya disapukan oleh satu hari berita media.
Maka, tercapailah sasaran halus syaitan yang tidak disedarinya iaitu mencampakkan keluar seseorang aktivis dakwah itu dari jamaah dakwah.
Oleh yang demikian, kesempurnaan ‘Tarbiyah Ruhiyah’ itu wujud ketika semua aspek ini berhasil dipenuhi di mana tarbiyah mampu melahirkan orang-orang yang :
a.       Memiliki orientasi hidup yang jelas.
b.      Mempunyai daya dan tenaga untuk memikul beban.
c.       Mampu melawan dan menghadapi semua halangan dan tentangan musuh.
d.      Boleh merubah halangan dan tentangan musuh menjadi satu anugerah.

MENELUSURI CARA BERFIKIR PEMENANG
Satu perkara yang perlu difikirkan bahwa apabila wujudnya kesempurnaan ‘Tarbiyah Ruhiyah’ dalam diri setiap aktivis dakwah maka satu lontaran persoalan yang semestinya bermain di dalam minda kita bahwa apakah gerakan dakwah kita masih relevan dengan suasana zaman dan tempat yang kita lakukan perjuangan ini yang akan menjadi paradigma kepada sebuah kemenangan.
Manurut Ustaz Anis Matta lagi bahwa ruhiyah yang mantap akan membuatkan kita berani mengambil risiko dan menghadapi halangan musuh.
Ada empat (4) ‘mindset’ (Cara berfikir) yang diperlukan untuk menjadikan sesebuah gerakan dakwah itu tetap relevan dan akan muncul sebagai pemenang. 
PERTAMA : ‘AQLIYATUL HANDASAH’ (CARA BERFIKIR KEJURUTERAAN)
Kita perlu merekacipta dan mengolah segala sesuatu yang ada di muka bumi dengan fungsi kita sebagai khalifah. Tugas kita sebagai khalifah adalah mengelola bumi ini sesuai dengan petunjuk Allah di dalam ruang dan waktu kehidupan yang diberikan oleh Allah swt kepada kita. Selain itu kita juga perlu mencipta suasana yang kondusif agar manusia dekat dengan Islam berasaskan strategi-strategi berikut :
1.      Ciptakan ruangan kebebasan untuk memilih serta hapuskan suasana keterpaksaan dan kediktaturan.
2.      Menyebarkan kebebasan berfikir kerana inilah pintu kepada seseorang untuk dekat dan masuk kepada agama.
3.      Ciptakan kesejahteraan sepertimana di dalam surah Quraish di mana perintah ibadah hanya dilaksanakan setelah persoalan ekonomi dan keselamatan diselesaikan serta hilangnya kebuluran dan ketakutan dari kehidupan manusia.
KEDUA : ‘AQLIYATUL TASKHIIR’ (CARA BERFIKIR PENAKLUK)

Melalui ‘cara berfikir penakluk’, ia membantu kita untuk memahami halangan dan tentangan yang kita hadapi pada saat menterjemahkan wahyu ke dalam realiti yang sebenar kerana pada masa  kita berusaha untuk mengintegrasikan antara teks dan konteks atau antara norma dengan realiti, kita pasti akan menemui halangan-halangan dan hambatan-hambatan. Namun yang terpenting sebenarnya adalah bagaimana kita perlu mengatasi halangan atau hambatan tersebut dan bagaimana pula untuk menjadikan halangan atau hambatan tersebut justeru menjadi jambatan untuk kita taklukkan.
Dalam perspektif penaklukan, tidak ada halangan atau hambatan yang tidak dapat dihadapi, kerana besar kecilnya sesuatu halangan atau hambatan tersebut sesungguhnya ditentukan oleh ‘cara berfikir’ kita sendiri.
Sebagai contoh, ianya berlaku ketika peperangan Al Qadisiyyah di Iraq selama 4 hari di mana tentera Islam pimpinan Saad bin Abu Waqqas yang berjumlah 36,000 berhadapan dengan 120,000 tentera Parsi dengan angkatan bergajah. Tentera Islam menghadapi masalah untuk menyeberangi sungai Furat.
Setelah 2 hari diasak oleh tentera bergajah Parsi, panglima tentera Islam iaitu Qa’qa bin Amru mencadangkan agar kuda-kuda dan unta-unta tentera Islam disolek dan dihias dengan hiasan yang menggerunkan dan ini berhasil menakutkan gajah-gajah tentera Parsi.
Pada hari ketiga, 2 orang berbangsa Parsi yang telah memeluk Islam, iaitu Dakhar dan Salam di dalam tentera tambahan Islam pimpinan panglima Hashim bin Utbah mencadangkan belalai gajah perang milik tentera Parsi hendaklah dipotong dan mata gajah tersebut hendaklah dibutakan dengan anak panah tentera Islam bagi mengkucar-kacirkan tentera bergajah Parsi. Taktik ini berjaya di mana pertempuran hari ketiga itu dikuasai oleh tentera Islam setelah tunjang utama kekuatan tentera Parsi iaitu tentera bergajah dapat ditewaskan.   
Pada hari terakhir, ketumbukan utama tentera Islam berjaya mengalahkan tentera Parsi dan 2 orang panglima mereka iaitu Bahman Jadu dan Rostam Farrokhzad terkorban dan inilah bermula titik tolaknya kejatuhan Empayar Parsi Sasanid.
Pelajaran dari peristiwa ini bahwa ‘cara berfikir’ penakluk yang ada pada tentera Islam inilah akhirnya berjaya menembusi segala halangan dan hambatan fizikal yang dikenakan oleh tentera musuh.
KETIGA : ‘AQLIYATUT TAJRUBAH’ (CARA BERFIKIR EXPERIMENTAL)
Dengan memiliki ‘cara berfikir’ seperti ini, kita akan sentiasa belajar dari pengalaman lepas dan akan mengaplikasikannya untuk menghadapi permasaalahan di masa hadapan. Oleh yang demikian, kita akan berusaha sepanjang hayat tanpa risau akan kegagalan yang akan dihadapi. Sekali kita gagal, kita akan cuba lagi dan jika gagal lagi teruskan mencuba lagi.
Kita tidak boleh mundur ke belakang walaupun menghadapi kegagalan bahkan kegagalan itu terus dipelajari dan dibuat penambahbaikan sehingga matlamat dan cita-cita perjuangan kita tercapai. 
KEEMPAT : ‘AQLIYATUL IBDA’IE’ (CARA BERFIKIR INOVATIF)

Gabungan antara norma yang kita yakini dan pengalaman yang kita perolehi akan memunculkan apa yang disebut oleh Imam Al Ghazali sebagai pengetahuan ketiga.
Jika norma atau teori dan pengalaman menyatu, maka ia akan menghasilkan satu intuisi. Setelah itu, ia akan bergerak ke tahap selanjutnya iaitu menciptakan sesuatu yang baru yang belum pernah diciptakan oleh orang lain sebelum ini.
Jika kita melihat kembali kepada manhaj yang telah ditinggalkan oleh Imam Hasan Al Banna terutama yang berkait dengan tujuh (7) tingkatan amal dakwah, niscaya kita dapati amat banyak bahan-bahan yang telah digarap oleh beliau berkait dengan individu muslim di mana kita seharusnya berusaha untuk melengkapkan diri kita dengan ciri-ciri keperibadian muslim yang mantap. Kemudian diikuti pula dengan cara-cara bagaimana untuk mendirikan baitul muslim serta mengukuhkannya. Seterusnya usaha-usaha yang boleh dilakukan untuk melahirkan masyarakat Islam contoh.
Namun, semakin kita berusaha menaiki tingkatan-tingkatan amal tersebut, semakin sedikit bahan-bahan manhaj yang tersedia sehingga sampai ke persoalan politik ke arah mendirikan daulah dan khilafah serta ‘Ustaziyatul ‘Alam’, tiada suatupun warisan pemikiran yang terperinci yang boleh dikembangkan serta dijadikan sebagai asas untuk melangkah dan bergerak untuk mencapai matlamatnya.
Oleh yang demikian, kita perlu menyempurnakan manhaj politik secara inovatif dan mengeluarkan suatu teori dan pemikiran politik baru yang bersesuaian dengan zaman dan keadaan yang kita hadapi saat ini.
Era kita sekarang ini adalah era negara atau era prestasi dan pencapaian. Mereka dahulu menjelaskan Islam secara naratif. Sekarang kita perlu menjelaskan Islam secara persembahan yang menjadi kayu ukur prestasi atau pencapaian. Itulah tugas kita sekarang ini.
Membangunkan gerakerja politik adalah sebuah kemestian dalam perjalanan dakwah yang panjang dan penuh dengan onak dan duri.

Dakwah ini memerlukan :

a.       Bahan bakar berupa persiapan ilmu.
b.      Minyak pelincir berupa kejernihan ‘Ruhiyah’.
c.       Kerangka yang sempurna untuk memikulnya.

Tidak ramai orang yang mampu menterjemahkan jalan ini, begitu juga sungguh sedikit para pemikulnya yang benar-benar faham erti hakiki dari makna menyeru kebenaran, namun jalan ini begitu indah untuk mereka yang :

1.      Mengharapkan cinta sejati dari Rabbnya.
2.      Sentiasa menjadikan keridhaanNya adalah orientasi di setiap serpihan langkah-langkah menjejaki jalan yang indah ini.

Cita-cita kita yang begitu tinggi iaitu menjadikan Islam tidak hanya sebagai sebuah ajaran keagamaan sahaja tapi lebih dari itu kita bercita-cita untuk menjadikan Islam sebagai kiblat suatu peradaban yang tinggi (Ustaziatul ‘alam).

Oleh yang demikian, politik (siyasah) perlu kita dakwahkan dan dakwah perlu kita jadikan agenda politik (siyasah).

Ya Allah, jadikanlah kami para pemikul dakwahMu yang akan menterjemahkan risalah dakwah kepada suatu kekuasaan yang menjadi kiblat dan contoh tauladan peradaban yang tinggi kepada umat manusia seluruhnya.

Ameen Ya Rabbal Alameen
WAS  

[ Read More ]
Read more...
Thursday, 28 May 2015

Kekuatan Kerohanian Pendakwah

Ditulis Oleh WAS Pada 09:35 – 0 Komen Anda
 
Kekuatan kerohanian merupakan aspek penting dalam menentukan kejayaan sesebuah perjuangan.

Bagi seorang pendakwah, perkara ini akan menjadi titik tolak serta tumpuan untuk terus diasah dan dipertajamkan, di samping penanaman minda pemenang yang perlu terus dipupuk dan dibajai.

Setiap pendakwah dalam sesebuah organisasi samada di peringkat bawahan hingga ke peringkat kepimpinan perlulah untuk sentiasa menjaga keutuhan kerohanian sebagai tenaga pembangkit. 

Perkara ini hendaklah sentiasa diusahakan dalam rangkaian-rangkaian taujihat (arahan, nasihat dan saranan yang perlu dilaksanakan) yang disampaikan dalam pelbagai program.

Kerohanian adalah salah satu dari tiga unsur selain jasad dan akal yang merupakan modal asas kehidupan yang perlu di usahakan secara maksimum kerana dengan bekalan kerohanian inilah, ianya akan menjadi asas kepada kejayaan dakwah.

Kekuatan kerohanian yang diperolehi melalui ‘Tarbiyah Ruhiyah’ merupakan sumber tenaga dalam menjalani kehidupan seharian sebagai seorang hamba Allah swt sekaligus sebagai pendakwah di jalan-Nya.


Menurut Ustaz Anis Matta, jika merujuk kepada kefahaman terhadap ‘Tarbiyah Ruhiyah’ dari pimpinan gerakan Islam dan juga warisan ilmu para ulama’ silam berdasarkan sumber pengambilan dari Al Qur’an dan As Sunnah maka secara mudahnya ‘Tarbiyah Ruhiyah’ adalah :

“Seni untuk mendaki secara terus menerus di alam kesempurnaan insan.”

Jadi, kita sekarang ibarat mendaki gunung dan gunung ini gunung kesempurnaan kita sebagai
manusia.

Proses pendakian itu adalah proses yang terus menerus di mana semakin kita naik maka
semakin berat pula situasinya kerana oksigennya semakin sedikit di samping bebannya semakin banyak.

Itulah sebabnya Imam Hasan Al Banna menyebutkan bahwa di antara manusia hanya sedikit yang beriman dan di antara yang beriman hanya sedikit yang beramal dan di antara yang beramal hanya sedikit yang berdakwah dan di antara yang berdakwah itu hanya sedikit yang sabar dan di antara yang sabar itu hanya sedikit yang benar-benar sampai ke akhir perjalanan.

Itu menunjukan bahwa semakin kita ke atas semakin mengecil dan semakin sedikit
anggotanya.

Oleh kerana itu Abu Bakar ra berdoa :

“Ya Allah, jadikanlah aku di antara yang sedikit itu.”

Allah swt juga menyebutkan :

“Segolongan besar dari orang-orang yang terdahulu, dan segolongan kecil dari orang-orang yang kemudian.” (QS Al-Waqi’ah : 13-14)

FUNGSI-FUNGSI RUHIYAH (KEROHANIAN)

Kekuatan kerohanian memiliki dua fungsi penting sebagai pendorong amal soleh dan pencegah dari godaan musuh-musuh kehidupan samada dari dalam mahupun dari luar diri kita.

PERTAMA : Kekuatan kerohanian dapat menguatkan seorang pendakwah dalam menjalankan tugas-tugasnya sebagai khalifah di bumi Allah swt yang mengajak diri dan orang lain untuk kembali ke jalan-Nya. Inilah yang disebut dengan ‘taklif’, samada ianya berupa ibadah asasi mahupun usaha untuk menebarkan kemanfaatan kepada alam semesta.

Seorang pendakwah dengan kualiti kerohanian yang tinggi mampu melaksanakan ibadah wajib dengan optimum. Mereka juga melaksanakan ibadah sunnah sebagai keutamaan sehingga mencapai darjat keunggulan.

Seorang pendakwah sentiasa menjadi orang yang paling ke hadapan dalam amal soleh untuk memakmurkan bumi dengan kerja-kerja sosial secara optimum samada sebagai individu mahpun bergabung dalam jamaah dakwah. Meskipun ibadah sosial menjadi kesibukannya, mereka tetap tidak lupa dalam melaksanakan kewajiban kepada keluarganya.

Seiring berlalunya waktu, kewajiban-kewajiban ibadah asasi dan sosial itu pun semakin banyak melimpah, dan penyaluran tenaga yang boleh menguatkannya untuk istiqamah di jalan dakwah adalah kualiti kerohanian yang diperolehi dari ‘Riyadhah Ruhiyah’ sepanjang sela-sela kehidupannya.

KEDUA : Kekuatan kerohanian mesti menjadi pelindung yang efektif bagi seorang pendakwah dalam kaitannya untuk menghalang godaan dan serangan musuh. Musuh bagi orang yang beriman adalah syaitan yang keji godaannya. Ketika seseorang telah berniat mewakafkan dirinya untuk dakwah, intensiti dan kualiti godaan tersebut akan bertambah. Apalagi, syaitan memang diciptakan untuk mencari seramai mungkin teman-temannya di neraka kelak.

Selain syaitan berbentuk jin, ada juga syaitan berbentuk manusia yang dinamakan ‘Auliya’ Asy-Syaithan’. Mereka adalah wakil-wakil mahupun penerus kerja-kerja syaitan di muka bumi. Mereka terdiri dari pelbagai bentuk dan mungkin berupa rejim pemerintah yang zalim dan keji, bomoh yang tersasar dalam pengubatan, aktivis keburukan hinggalah kepada keluarga yang terdekat.

Bagi seorang pendakwah, ia perlu menyedari bahwa musuh memiliki tipu daya dan makar yang kuat. Namun, ia tidak gentar sedikit pun kerana ia memiliki Allah swt yang Maha Perkasa.

Kesedaran akan hal ini hanya dapat dimiliki oleh para pendakwah dengan kualiti kerohanian yang unggul sebagaimana yang dimiliki oleh Umar bin Al Khaththab yang disebutkan oleh Rasulullah saw iaitu jika Umar melalui sebuah jalan, maka syaitan akan mencari jalan lain agar tidak bertembong dengan Umar.



BENTUK-BENTUK KEKUATAN RUHIYAH (KEROHANIAN)

Dari sini juga dapat kita fahami bahwa iman yang kita pelihara di dalam diri kita ini mempunyai dua bentuk ekspresi kekuatan :

1. Kekuatan yang kita perlukan untuk memikul beban kewajiban dan ketaatan.
2. Kekuatan yang kita perlukan untuk menghadapi musuh dan juga godaan.

Jadi, satu sudut dari kekuatan itu kita perlukan untuk memikul beban dan sudut lainnya untuk
menghadapi musuh kerana selama mana wujudnya kebenaran dan kebatilan maka akan sentiasa berlaku konflik yang abadi di mana kita selamanya akan mempunyai musuh.

Allah swt menyebut :

“Dan seperti itulah, telah Kami adakan bagi tiap-tiap Nabi, musuh dari orang-orang yang
berdosa. dan cukuplah Tuhanmu menjadi pemberi petunjuk dan penolong.” (QS Al-Furqan : 31)

Ayat ini sepatutnya mampu menghidupkan dalam diri kita apa yang disebut sebagai “Sense of war”, bahwa kita sentiasa berada dalam perang di mana sebahagian dari
musuh kita adalah syaitan yang tidak nampak dan sebahagian lagi nampak dan yang nampak
itu lebih keras dari yang tidak nampak, kerana boleh jadi lebih menakutkan.

Iblis hanya berbisik-bisik tetapi syaitan yang nampak mampu membunuh, memenjarakan dan seterusnya sehingga tidak ada seorangpun yang dapat melepaskan diri dari keadaan “mempunyai musuh”.

Dalam dua sudut iman inilah kita perlu menjadikan ‘Tarbiyah Ruhiyah’ itu berfungsi dalam
kehidupan peribadi kita mahupun di dalam jamaah iaitu tenaga untuk memikul beban dan tenaga untuk melawan.

Jika kita merujuk kepada kitab ‘Madarijus Salikin’ karangan Imam Ibnul Qayyim, ada sudut sebelah kanan kita iaitu “Daairah Al-Wajibaat wal-Mustahabbaat” bahwa kita sentiasa melaksanakan amal-amal yang wajib dan sunnah, sedangkan di sudut sebelah kiri kita pula ada “Daairah Al-Muharramaat wal Makruuhaat” di mana kita diminta untuk meninggalkan yang haram dan makruh.

Nanti, apabila kita sudah naik tinggi, seluruh waktu kita akan diisi dengan yang wajib dan sunnah, dan selanjutnya secara perlahan-lahan kita meninggalkan yang sifatnya mubah supaya semuanya akan ditukar menjadi “Mustahabbaat” (yang sunnah / yang disukai Allah).

Keadaan ini memerlukan tenaga yang tidak sedikit, iaitu tenaga untuk melaksanakan senarai kebajikan yang begitu banyak namun dalam masa yang sama kita juga memerlukan tenaga untuk melawan, kerana waktu kita melaksanakan kewajiban ini, kita tidak berjalan dengan mudah bahkan akan sentiasa wujud gangguan iaitu usaha untuk mencegah kita melaksanakan kewajiban-kewajiban itu dan inilah usaha yang dilakukan oleh musuh. Oleh yang demikian, dua sudut keimanan inilah yang perlu terus menerus kita tangani.

Jika ‘Tarbiyah Ruhiyah’ itu hanya memberi tenaga kepada kita untuk melaksanakan
kewajiban dan memikul beban tetapi tidak memberi tenaga untuk melawan, pasti ada yang
salah dalam proses tarbiyah ini dan begitulah juga sebaliknya.

Itulah sebabnya kita mengenali istilah “Ruhbanun billail wa fursanun bin nahar” (Rahib-rahib di malam hari dan penunggang-penunggang kuda di siang hari), dan itulah dua sudut keimanan.

Waktu menjadi ‘Ruhban’ (Rahib) itulah sudut keimanan yang memberinya tenaga untuk melaksanakan senarai kewajiban yang begitu banyak manakala saat menjadi ‘Fursan’ (Penunggang kuda) itulah sudut keimanan yang memberinya tenaga untuk melawan.

Jadi ia hanya ada dalam dua warna kehidupan iaitu :

a.       Ibadah.
b.      Perang.

Dua perkara inilah yang sememangnya dihindari oleh tabiat manusia iaitu dia tidak ingin memikul beban dan tidak ingin melawan musuh.

Disebabkan pola kehidupan seperti ini agak berat, maka kita diajarkan doa di dalam ‘Al-Ma’tsurat’ :

“Ya Allah, aku berlindung kepada-Mu dari kegelisahan dan kesedihan, dari kelemahan dan kemalasan, dari sifat pengecut dan bakhil, dari tekanan hutang dan dominasi
kesewenangan orang-orang.”

Jika kita perhatikan secara mendalam urutan doa ini, niscaya kita akan memahami beberapa karakter atau sifat yang memberi kesan kepada keperibadian kita :

1.      ‘Al-hammu wal hazan’, sifat kegelisahan dan kesedihan ini merupakan racun yang menjadi sumber kerapuhan ‘Ruhiyah’ (Kerohanian) kita.
2.      ‘Al-‘ajz wal kasal’, iaitu karakter kelemahan dan kemalasan yang wujud di dalaman diri kita.
3.      ‘Al-jubn wal bukhl’, sifat penakut dan bakhil ini adalah karakter yang berkaitan dengan hubungan sosial kita, iaitu takut menghadapi musuh dan tidak mahu berkorban.

Jika racun dalam hati itu wujud dalam bentuk kegelisahan dan kesedihan, maka ia akan menampakkan dalam dirinya berupa kelemahan dan kemalasan, seterusnya perkara ini akan memberi kesan kepada karakternya yang berkaitan dengan masyarakat iaitu menjadi penakut dan bakhil, maka kesan akhirnya akan dapat dilihat secara keseluruhannya iaitu ‘Ghalabatid dayn wa qahrir rijal’ iaitu kebergantungan ekonomi dan kebergantungan politik kepada orang lain di mana kita akan mudah dipengaruhi, diperkotak-katikkan, diperlakukan dengan hina oleh orang lain.

Itulah penampakan secara umum kesan-kesan kelemahan ‘Ruhiyah’ (Kerohanian) yang berasal dari hati kita berdasarkan urutan dalam doa tersebut.

Sekarang, kita sudah memiliki gambaran yang jelas tentang makna ‘Tarbiyah Ruhiyah’
dalam kehidupan berjamaah.

Jika kita melihat dan cuba menerawang ke dunia politik samada tempatan atau antarabangsa, maka sudut iman berupa ‘Sense of war’ dan tenaga melawan itu mengambil bentuk dan quantum yang lebih besar.

Kalau kita cuba mengambil intisari dari keseluruhan konsep, kefahaman, manhaj dan juga
wasilah ‘Tarbiyah Ruhiyah’ yang begitu banyak, mungkin kita boleh menyimpulkan bahwa faktor penguat kerohanian adalah dibentuk oleh dua perkara :

a.       Kefahaman terhadap ‘Ruhiyah’ (Kerohanian).
b.      Amalan-amalan ‘Ta’abbudiyyah’ (Kehambaan).

Jadi, kekuatan kerohanian itu dibentuk oleh kefahaman-kefahaman terhadap ‘Ruhiyah’ kita di satu sudut dan di sudut yang lain ianya dibentuk oleh amalan-amalan.

KEFAHAMAN TERHADAP RUHIYAH (KEROHANIAN)

Jika kita berbicara tentang kefahaman terhadap ‘Ruhiyah’, secara mudahnya adalah sepertimana yang disimpulkan oleh Ibnu Taimiyah dalam kitabnya “Al-Waabil As-Shayyib” bahwa seluruh perjalanan hidup kita sebagai mu’min akan menjadi sempurna ketika kita ada dalam dua kaca mata yang seimbang :

“Mempersaksikan semua kurniaan yang diberikan oleh Allah swt di satu sudut dan di sudut lain adalah pengakuan di atas kelalaian-kelalaian kita.”

Sebenarnya, antara apa yang kita persembahkan kepada Allah dengan apa yang diberikan oleh Allah kepada kita itu tidak pernah seimbang.

Kurniaan Allah yang kita terima jauh lebih banyak dari amal yang kita persembahkan kepada Allah swt.

Situasi inilah yang membuatkan kita sentiasa berada di antara ‘Al-khauf wa ar-raja’ (takut dan berharap), iaitu suatu kesedaran yang berterusan bahwa apa yang kita berikan tidak akan pernah mencukupi atau mengimbangi kurniaan Allah swt.

AMALAN-AMALAN KEHAMBAAN

Di dalam kesedaran seperti itulah kita perlu mengambil intisari dari wasilah-wasilah amal ‘Tarbiyah Ruhiyah’ itu iaitu fokus pada tiga (3) perkara yang paling kuat iaitu :

a.       Tilawatul Qur’an.
b.      Solat.
c.       Zikir.

PERTAMA : TILAWATUL QUR’AN (MEMBACA AL QUR’AN)

Membaca Al Qur’an itu ada dua bentuk :

1.      ‘Tilawah ta’abbudiyyah’ (Tilawah berbentuk ibadah).
2.      ‘Tilawah ta-ammuliyyah’ (Tilawah berbentuk perenungan).

‘Tilawah ta’abbudiyyah’ yang dipertanggungjawabkan kepada setiap aktivis dakwah adalah 1 juz setiap hari. Namun, kadang-kadang disebabkan oleh kesibukan, perlaksanaan tilawah itu tidak sempurna.

Adalah sesuatu yang baik untuk diperkenalkan istilah ‘Nizham al-qadha’ (sistem
Qadha’ / ganti) iaitu jika ‘Tilawah ta’abbudiyyah’ kita tidak bertepatan dengan peraturan yang ditetapkan iaitu 1 juz setiap hari, kita perlu menyediakan waktu sekali dalam seminggu untuk mengqadha’ semua kekurangan tilawah pada minggu itu.

Jika kerana kesibukan yang sangat padat, boleh jadi kita mengqadha’nya untuk sebulan, jadi dalam satu tahun kita tetap secara minimumnya mengkhatamkan 12 kali.

Sebaiknya jika ada hutang tilawah, ianya tidak diganti dengan infaq, tetapi diqadha’ dengan amal yang sama di waktu senggang yang kita sediakan. Mungkin ini salah satu jalan penyelesaian supaya kita sentiasa bertilawah secara berterusan.

Yang kedua, sudah sampai masanaya untuk kita memperbanyakkan waktu untuk ‘Tilawah ta-ammuliyyah’ dengan melakukan pendekatan perenungan secara tematik iaitu kita mulai membaca Al Qur’an dengan pendekatan ‘Ta-ammul’ (perenungan mendalam) lalu mencuba untuk melakukan ‘Istilham’ (mencari ilham / inspirasi) dari Al-Qur’an ini.

Kita cuba berimajinasi sepertimana yang dilakukan oleh penyair Muhammad Iqbal  dan juga dalam sejarah yang dilakukan oleh Imam Hasan Al Banna sendiri.

Di waktu beliau membaca Al-Qur’an, bapanya bertanya :

“Apa yang kamu baca?”

Saya sedang membaca Al-Qur’an. Lalu bapanya mengatakan :

“Bacalah Al-Quran itu seolah-olah ia diturunkan kepadamu.”

Oleh kerana Al-Qur’an ini diturunkan dalam jangka waktu yang lama dan bukan sekaligus, maka unsur momentum / peristiwa menjadi penting dalam memahaminya.

Momentum-momentum atau peristiwa-peristiwa itu diciptakan oleh Allah secara berulang dalam kehidupan manusia sehingga kemungkinan kita melakukan ‘Qiyas’ (analogi) kepada peristiwa-peristiwa itu sangat banyak walaupun tidak sama kejadiannya, tetapi kita tetap boleh mendapatkan ilham dari situ, kerana Al-Qur’an datang dengan kaidah-kaidah umum
dan tidak tergantung kepada kekhususan sebab peristiwa turunnya.

Kaidahnya adalah :

“Ibrah dari ayat itu adalah dengan keumuman lafaznya (teksnya) dan bukan dengan
kekhususan sebab turunnya.”

Konteks turunnya penting bagi memberikan kita ilham untuk menemui kesamaannya,
tetapi ibrahnya tetap sahaja berlaku umum.

Surah-surah Al-Qur’an itu memiliki kedekatan-kedekatan antara satu dengan lainnya, contohnya seperti surah Al-Anfal, At- Taubah, Muhammad dan Al-Fath adalah surah-surah jihad dari sudut tema surahnya.

Contoh lain ketika kita melihat perkataan ‘Al-makr’ (makar) di dalam Al-Qur’an, maka ayat-ayatnya menjelaskan bagaimana pembentukan konsep dari makar itu dalam
tinjauan Al-Qur’an.

Salah satu yang menarik bahwa semua makar yang disebutkan dalam Al-Qur’an sentiasa dihubungkan dengan sifat Allah yang berkait dengan Al Qudrah (Kemahakuasaan Allah) dan selalu diletakkan dalam konteks ‘Al-qadha’ wal qadar’, supaya kita membaca tentang makar manusia sehebat apapun, tetapi kendali alam semesta ini tetaplah dalam kekuasaan Allah swt seperti dalam ayat berikut :

“Dan janganlah orang-orang yang kafir itu mengira, bahwa mereka akan dapat bebas
(dari kekuasaan Allah). Sesungguhnya mereka tidak dapat melemahkan (Allah).”

Begitu juga ayat-ayat yang berkait dengan fakta-fakta alam semesta, seperti angin yang
dijelaskan sebagai salah satu tentera Allah swt dan oleh kerana itu, sains tidak pernah
memiliki ilmu yang pasti tentang arah angin, bahkan hanya berdasarkan ramalan, kerana Allahlah yang ‘Yusharrifuhu’ (mengarahkannya) sekehendak-Nya bahwa setiap benda ada malaikat yang mengurusnya, bahkan di waktu kita naik pesawat dan melalui ‘Turbulence’ (goncangan), ada malaikat yang khusus mengatur ke mana angin itu hendak dibawa.

Pembacaan dan perenungan seperti ini akan meningkatkan penghayatan kita dan dengan sendirinya akan memberikan kepada kita pencerahan ‘Ruhiyyah’, terutama ketika kita menghadapi begitu banyak ‘Syubuhat’ (hal-hal yang kabur), atau berhadapan dengan keadaan yang kritikal.

Kesan dari penghayatan itu akan muncul di saat-saat seperti itu. Dialah yang memberikan kita kepastian dan Dialah yang juga memberikan kita keteguhan.

Kita juga memang memiliki masalah bahasa untuk melakukan ‘Tilawah taammuliyyah’
bagi aktivis dakwah yang tidak faham bahasa Arab. Di samping fakta ini yang seharusnya dikesali kerana bahasa Arab adalah bahasa ahli syurga, maka kita perlu mengurangi penyesalan ini dengan rajin membaca kitab tafsir yang Alhamdulillah beberapa kitab tafsir utama sudah diterjemahkan dan kita bersyukur kerana kemajuan gerakan penterjemahan tafsir Al Qur’an selama 20 tahun terakhir ini sangat luar biasa.

KEDUA : SOLAT

Solat adalah ‘Imaduddin’ atau tiang agama dari proses beragama kita.

Perlu diperjelaskan di sini bahwa jumlah rakaat solat wajib dan sunnah yang mesti kita lakukan dalam sehari berjumlah 42 rakaat iaitu :

a.       17 rakaat shalat 5 waktu.
b.      10 rakaat sunnah rawatib (2 sebelum Zuhur, 2 selepas Zuhur, 2 sebelum Asar, 2 selepas Isya’ dan 2 sebelum Subuh).
c.       4 rakaat Dhuha.
d.      11 rakaat Qiyamullail.

Yang wajib, kita mesti berusaha untuk melaksanakannya dalam keadaan berjamaah di masjid atau di pejabat atau di perjalanan, agar kita mendapat penggandaan pahala dan keutamaannya.

Begitu juga kita berusaha menjaga 10 rakaat rawatib tadi dan sentiasa kita menjadikannya sebagai satu piawaian. Solat Dhuha sepatutnya tidak terlalu sukar untuk kita melakukannya kerana masih segar di pagi hari.

Tentang Qiyamullail, kita hidup di era yang tidak terlalu normal, di mana sebahagian waktu kita ditentukan oleh orang lain sehingga kita tidak dapat tidur sepertimana yang disunnahkan
oleh Rasulullah saw di awal malam.

Faktor-faktor yang membuatkan kita dapat bertahajjud seperti yang disebutkan oleh Imam Ghazali dalam Al-Ihya’ seperti ‘Qailulah’ misalnya hampir-hampir kita tidak dapat melaksanakannya disebabkan terperangkap dalam kesesakan lalu lintas di jalanraya.

Sebenarnya yang penting dari ibadah-ibadah ini adalah kesinambungan. Misalnya jika kita belum kuat untuk solat atau qiyam dengan waktu dan bacaan yang lama, lakukanlah terus menerus meskipun dengan surah-surah pendek. Nanti secara perlahan-lahan kita pasti akan menemui kekuatan-kekuatan baru sambil berusaha untuk melakukannya lebih lama.

InsyaAllah jika kita melaksanakan tilawah dan solat secara berterusan seperti ini, kita akan mempunyai tingkatan kestabilan ‘Ruhiyah’ yang mantap.

KETIGA : ZIKIR

Yang dimaksudkan dengan zikir di sini adalah zikir mutlak.

Imam Hasan Al Banna telah berijtihad mengumpulkan doa-doa yang bertebaran dari sekian banyak hadits dan dikumpulkan menjadi satu dan dianjurkan untuk dibaca pagi dan petang.

Seandainya kerana kesibukan dan lain-lain kita tidak sempat melakukannya, secara umum penggantinya adalah zikir mutlak ini, misalnya istighfar yang kita baca seratus kali atau seribu kali, ‘La ilaha illallah’ seratus atau seribu kali.

Zikir mutlak inilah yang perlu kita perbanyakkan sehingga ianya akan mengimbangi wirid-wirid yang kita baca dalam sehari. Sebenarnya zikir ini adalah wasilah untuk menjaga ingatan kita kepada tujuan akhir.

Inilah 3 wasilah utama ‘Tarbiyah Ruhiyah’, yang akan memberikan kita tenaga untuk memikul beban dan tenaga untuk melawan musuh kita insyaAllah.

Kekuatan ‘Ruhiyah’ atau kerohanian adalah syarat kemenangan utama bagi seorang pendakwah dan gerakan Islam yang kemudiannya akan merubah paradigma dan akhirnya bagaimana usaha dakwah dapat diperluaskan dalam berbagai lapisan masyarakat dan dalam masa yang sama menjaga pertumbuhan aktivis dakwah secara berterusan.

Ya Allah, jadilah kami pejuang-pejuang agamaMu dan berilah kekuatan kerohanian kepada kami hingga dengan kekuatan itu dapat kami pertingkatkan amal-amal kebaikan bagi memikul beban dakwah dan seterusnya memberi tenaga kepada kami dalam menghadapi musuh-musuh kami.

Ameen Ya Rabbal Alameen

WAS
[ Read More ]
Read more...
Newer Posts Older Posts
Subscribe to: Posts (Atom)

Yang Setia

Pautan

  • Muharikah
    Antara dua pilihan
    4 years ago
  • Angel Pakai Gucci!
    Doa Itu Bom Nuklear Bagi Orang Mu'min!
    6 years ago
  • Majalah Jom!
    Isu 45: ALAMAK, AKU SALAH PILIH! (EDISI ISTIMEWA)
    10 years ago
  • دعوتنا DAKWATUNA -dakwahkite-
    Di antara Kefahaman dan Pelaksanaan (Sudut Pandang Parti Kebebasan dan Keadilan FJP – Mesir)
    11 years ago
  • ZADUD-DUAT
    Wahai Ikhwah, Persaudaran adalah rahsia kekuatan anda
    12 years ago
  • Popular
  • Recent
  • Archives
 

Diri Ini

My photo
WAS
Blog ini memaparkan bahan-bahan bacaan dan artikel yang boleh meningkatkan ilmu dan kefahaman Islam anda..
View my complete profile

Blog Ini Menarik??

Yang Paling Digemari

  • Memohon Dari Al Jabbar
    Seringkali manusia terjebak oleh pemikirannya sendiri dan merasa mampu untuk merancang segala sesuatu. Padahal tidak ada kekuatan dalam d...
  • Sifat Bolak Balik Hati
    Manusia dari masa ke semasa akan mengalami perubahan dan pergantian. Bermula dari seorang bayi, kemudian berkembang menjadi seorang anak ...
  • Wawancara Isteri Bakal Presiden
    Semakin besar harapan Dr. Muhammad Mursi untuk meraih kemenangan dalam pilihanraya presiden pertama  secara bebas di Mesir, semakin ramai...
  • Bijaksana Dalam Menyikapi Perbezaan
    Perbezaan pendapat di tengah-tengah kehidupan manusia adalah suatu perkara yang lumrah dan tidak dapat dielakkan.  Setiap orang mener...
  • Mutiara Hikmah Para Duat

Arkib

  • ▼  2017 (1)
    • ▼  April (1)
      • Mutiara Hikmah Para Duat
  • ►  2016 (4)
    • ►  September (2)
    • ►  March (1)
    • ►  January (1)
  • ►  2015 (39)
    • ►  November (1)
    • ►  October (2)
    • ►  September (2)
    • ►  August (3)
    • ►  July (1)
    • ►  June (5)
    • ►  May (6)
    • ►  April (6)
    • ►  March (6)
    • ►  February (2)
    • ►  January (5)
  • ►  2014 (42)
    • ►  November (5)
    • ►  October (4)
    • ►  August (4)
    • ►  July (1)
    • ►  June (9)
    • ►  May (8)
    • ►  April (4)
    • ►  February (3)
    • ►  January (4)
  • ►  2013 (72)
    • ►  December (1)
    • ►  November (5)
    • ►  October (4)
    • ►  September (5)
    • ►  August (6)
    • ►  July (5)
    • ►  June (7)
    • ►  May (5)
    • ►  April (7)
    • ►  March (7)
    • ►  February (9)
    • ►  January (11)
  • ►  2012 (163)
    • ►  December (8)
    • ►  November (9)
    • ►  October (9)
    • ►  September (9)
    • ►  August (6)
    • ►  July (12)
    • ►  June (9)
    • ►  May (15)
    • ►  April (16)
    • ►  March (18)
    • ►  February (24)
    • ►  January (28)
  • ►  2011 (93)
    • ►  December (24)
    • ►  November (69)

Susunan

  • Akhlak (6)
  • Aqidah (17)
  • Dakwah (73)
  • Fikrah (74)
  • Ilmu (38)
  • Motivasi (10)
  • Muslimah (3)
  • Mutiara Hikmah (12)
  • Mutiara Hikmah Para Duat (21)
  • Mutiara Hikmah Ramadhan (3)
  • Renungan (31)
  • Ruhiyah (8)
  • Tarbiatuna (5)
  • Tarbiyah (34)
  • Tausiyah (31)
  • Tokoh (8)
  • Uslub (11)
  • Video (29)

Panji Islam

Asmaaul Husna

Kalam Hikmah

Coretan Anda

Pengunjung

Detik Kehidupan

Hari Ini

Waktu Solat

Pelawat


widgets

Selamat Melayari

  • NEW POSTS
  • COMMENTS
  • flickr

    Get your Flickr ID!
 
 
© 2011 Tinta Perjalanan | Designs by Web2feel & Fab Themes

Bloggerized by DheTemplate.com - Main Blogger