skip to main | skip to sidebar

Tinta Perjalanan

Pages

  • Home
 
  • RSS
  • Facebook
  • Twitter
  • Linkedin
  • Youtube
  • DheTemplate.com
  • Free Templates
  • Drop Menu 1
    • Child Menu 1.1
    • Child Menu 1.2
    • Child Menu 1.3
  • Drop Menu 2
    • Child Menu 2.1
    • Child Menu 2.2
    • Child Menu 2.3
  • Daily Update Templates

Ahlan Wasahlan


Perjalanan Menuju Allah.

Tuesday, 24 April 2012

Penuhilah Aqad Kita

Ditulis Oleh WAS Pada 06:46 – 0 Komen Anda
 

Betapa beraninya seorang manusia yang menyia-nyiakan aqad seolah-olah tidak pernah ada pertanggungjawaban dari aqad yang ia ucapkan.

Padahal, tidak ada satu pun aqad yang keluar dari lisan seseorang kecuali ianya adalah sebuah hutang yang mesti dibayar?

Seberapa besar atau sekecil manapun, aqad akan diminta pertanggungjawaban oleh Allah swt.

Firman Allah swt :

“Wahai orang-orang yang beriman, penuhilah aqad-aqad itu.” (QS Al-Maidah : 1)

Sungguh beruntunglah orang-orang yang beriman di mana :

1.      Segala perilakunya terjaga dari kekurangan dan keburukan.
2.      Segala usaha dan aktivitinya memberi manfaat bagi lingkungan sekitarnya.
3.      Tumbuh-tumbuhan hijau seirama dalam kekuasaannya.
4.      Haiwan-haiwan tidak terzalimi melalui tangan-tangan mukmin itu.
5.      Manusia di sekitarnya merasa senang dengan kehadirannya.
 
Sesiapapun samada yang di langit dan di bumi akan menaruh simpati kepada seorang mukmin sejati.

Hampir tidak ada sebuah amalpun yang dihasilkan muncul secara sia-sia :

1.      Ucapannya begitu menyejukkan telinga yang mendengar.
2.      Manakala janjinya begitu terpelihara.
 
Sungguh mulia baginda Rasulullah saw yang terkenal dengan sifat ‘Al-Amin’. Sesiapapun yang pernah bergaul dengan baginda akan merasa puas, aman dan hormat :

1.      Tidak pernah sekalipun Rasul saw yang mulia itu berdusta walau dalam bergurau.
2.      Tidak pernah terucap janji dari lisan beliau kecuali akan ditunaikan dengan sempurna.
3.      Tidak ada satu amanah pun yang terpikul di bahu beliau melainkan akan dilaksanakan dengan memuaskan.
 
Semuanya berjalan lancar tanpa ada apa-apa kecacatan.

Tidak sedikit manusia yang lupa dan lalai :

a. Kesibukan duniawi telah mengorbankan seribu satu aqad yang pernah terucap dilidahnya.
b. Badai cita-cita dan obsesi telah menenggelamkan aqad-aqad yang telah dilafazkan samada besar atau kecil.

Hanya kasih sayang Allahlah yang telah menghidupkan kesedaran hamba Allah akan aqad-aqad mereka.

Betapa banyak aqad yang telah terucap dari mulut seorang manusia.

Ada beberapa aqad yang diikrarkan yang sejalan dengan jalan hidup yang telah ditempuh seorang anak Adam di antaranya :

1. Aqad pada Allah.
2. Aqad pada jamaah dan dakwah sebagai seorang yang memikul amanah.
4. Aqad sebagai suami atau isteri.
5. Aqad sebagai ibubapa terhadap anak-anak.

PERTAMA : AQAD PADA ALLAH

Sudahkah kita tunaikan aqad kita pada Allah swt?

Ucapan dua persaksian seorang mukmin kepada Allah dan Rasul adalah aqad bahwa, tidak ada ilah selain Allah dan Muhammad saw sebagai utusan Allah.

a. Benarkah persaksian yang suci itu telah kita jaga dengan sepenuh kesungguhan?
b. Masihkah kita menjadikan tuhan-tuhan lain selain Allah?
c. Adakah sesuatu yang lain yang lebih kita takuti selain Allah?
d. Adakah sesuatu yang lain yang lebih kita cintai selain Allah?
e. Adakah sesuatu yang lain yang lebih kita ikuti peraturannya selain peraturan Allah swt?
f. Sudahkah kita letakkan peribadi tauladan bagi diri kita pada Rasulullah saw?
g. Adakah lagi idola-idola lain yang dengan penuh kerelaan terhunjam kuat dalam hati kita yang paling dalam?
h. Adakah ungkapan cinta dan pengorbanan kita untuk Allah dan RasulNya hanya sekadar hiasan bibir?

Begitulah ungkapan persaksian yang sering terdengar tetapi berat dalam pembuktian.

Dalam situasi lain pula, kita pun sentiasa mengucapkan aqad pada Allah swt di mana pada ketika mendirikan solat, ada aqad yang terucap iaitu tidak kurang dari tujuh belas kali aqad itu mengalir dari lidah kita.

“Hanya kepadaMu kami menyembah, dan hanya kepadaMu kami memohon pertolongan.”

Benarkah aqad tersebut?

Benarkah seluruh diri kita secara khusyuknya tunduk dalam ibadah hanya kepada Allah swt?

Benarkah hati kita hadir dengan seluruh keikhlasan kepada Allah swt atau masih ada bayang-bayang lain yang mengiringi selain Allah swt?

Bagaimana mungkin seorang hamba Allah boleh menuntut terkabulnya doa secara sempurna sementara nilai ibadahnya hanya separuh iaitu sebahagiannya ia buat kerana Allah dan selebihnya tercicir kepada tujuan-tujuan lain seperti :

a. Ingin dikatakan seorang yang soleh.
b. Ingin dipuji.
c. Ingin dihormati.

KEDUA : AQAD PADA JAMAAH DAN DAKWAH

Sebahagian besar para sahabat Rasulullah saw, ada yang telah berjanji setia kepada Rasulullah saw.

Janji setia atau “aqad” itu menjadi pagar yang sentiasa menjaga kelurusan jalan dakwah yang mereka tempuhi.

Kadangkala ada tarikan-tarikan kepentingan duniawi yang mulai menggiring mereka ke jalan yang lain namun janji atau “aqad” itu menjadi ingatan untuk tetap berada di jalan yang lurus.

Mungkin, ada di antara kita yang sudah berjanji setia untuk istiqamah di atas jalan dakwah maka sesungguhnya janji setia atau “aqad” itu adalah hutang.

Dengan “aqad” tersebut sebenarnya kita telah melakukan sebuah transaksi besar dengan Allah swt iaitu Pemilik dakwah ini.

Transaksi itu melibatkan seluruh :

1.      Diri kita
2.      Harta kita.
3.      Waktu kita.
4.      Jiwa kita.
5.      Potensi kita.
6.      Darah daging kita.
7.      Tulang belulang kita.
 
Semuanya telah kita ‘jual’ kepada Allah swt.

Maka sejak kita mula melakukan “aqad” itu dengan memberikan janji setia kita kepadaNya, ketika itu pulalah sesungguhnya kita telah menjadi ‘milik Allah’ dengan semua makna yang tercakup dalam perkataan tersebut.

Ada makna yang sungguh mendalam dari “aqad” yang kita lakukan dengan ikhlas itu iaitu kita jual diri kita seutuhnya kepada Allah dan Dia akan berikan harga yang mahal untuk semua itu.

Allah Yang Maha Kaya memberikan harga yang tinggi untuk diri yang kita jual kepadaNya iaitu  dengan syurgaNya!

“Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mukmin, diri dan harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka. Mereka berperang pada jalan Allah, lalu mereka membunuh atau terbunuh. Itu telah menjadi janji yang benar dari Allah di dalam Taurat, Injil dan Al-Qur’an. Dan siapakah yang lebih menepati janjinya selain Allah? Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu, dan itulah kemenangan yang besar.” (QS At-Taubah : 111)

Oleh yang demikian, semua yang kita lakukan dan perjuangkan dalam dakwah ini ada harganya.

Semua keletihan, ketakutan, keresahan, kesusahan, pengorbanan yang kita berikan di jalan dakwah ini, semua ada harganya.

Ada janji Allah berupa syurga yang menunggu, jika kita menepati janji setia (aqad) kita kepadaNya.

Allah tidak akan mengkhianati janjinya dan siapakah yang lebih menepati janji selain Allah?

Oleh itu, persiapkanlah diri kita untuk mempunyai :

1.      Kemampuan menanggung semua akibat.
2.      Kemampuan menghadapi semua halangan dan rintangan.
3.      Kemampuan melaksanakan semua kewajiban.
 
Sehingga akhirnya Allah swt memberi kemenangan kepada dakwah ini atau kita syahid di jalan-Nya!

Maka oleh sebab itu, “aqad” adalah satu lafaz yang benar-benar memberi kesan yang besar kepada kita :

a.       Jika ia ditunaikan dengan baik, kebaikan itu akan pulang kepada pelaku itu sendiri.
b.      Jika ia dikhianati, keburukan pengkhianatan itu pun akan kembali kepada si pelaku itu juga.
 
Semoga Allah swt menyelamatkan kita dari menempuhi jalan yang kedua itu.

Allah swt mengabadikan peristiwa “aqad” yang penuh makna itu dalam Al Qur’an :

“Sesungguhnya orang-orang yang berjanji setia (melaksanakan aqad) kepada kamu sesungguhnya mereka berjanji setia (beraqad) kepada Allah. Tangan Allah di atas tangan mereka, maka barangsiapa yang melanggar janji maka akibat pelanggaran itu akan menimpa dirinya sendiri dan barangsiapa menepati janjinya kepada Allah maka Allah akan memberinya pahala yang besar.” (QS Al Fath : 10)

KETIGA : AQAD PADA ISTERI

Berhati-hatilah kepada mereka yang sudah berkahwin.

Samada kita sedar atau tidak, dengan disaksikan oleh orang ramai, para suami telah menyatakan sebuah aqad bahwa mereka akan menggauli isteri-isteri mereka dengan cara yang baik dan tidak akan lalai dari pemberian nafkah kepada isteri samada yang zahir mahupun batin.

Itulah aqad para suami pada isteri.

Suatu ketika, Allah swt yang juga diatas namaNyalah aqad itu dilafazkan akan meminta pertanggungjawaban para suami.

Sudahkah para suami menepati aqad tersebut?

Adakah ucapan itu benar-benar aqad yang mempunyai makna yang tinggi atau hanya sekadar ucapan formal semata-mata dan ianya akan dilupakan setelah bergelut dalam hiruk-pikuk kehidupan berumah tangga?

Ada ketikanya, nilai aqad seorang suami itu menjadi luntur dengan layunya semangat kecintaan kepada isterinya.

Ini mungkin menjadi sebab kenapa ada para suami yang mula mengambil sikap mudah dan mula meringan-ringankan tanggungjawab sebagai suami hanya kerana lunturnya kecintaan kepada isterinya.

Semoga Allah swt sentiasa menguatkan hati hamba-hamba Allah yang amanah dengan isterinya.

KEEMPAT : AQAD PADA ANAK

Seringkali seorang ayah atau ibu melafazkan aqad kerana ingin mengalihkan perhatian anak-anak mereka. Mereka tidak sedar bahwa semua ucapan aqad tersebut terakam kuat di dalam memori anak-anak mereka.

Ada anak yang berani menuntut komitmen aqad ibubapa mereka manakala tidak sedikit pula anak yang memendam rasa kecewa di dalam hati mereka. Mungkin pada ibubapa, ia sesuatu orang remeh padahal buat anak ia adalah sesuatu yang teramat besar.

Dari situlah, anak-anak belajar tentang janji. Seberapa suci dan tingginya sebuah aqad sangat bergantung pada kepentingan.

Anak-anak mungkin boleh membuat kesimpulan bahwa aqad itu hanya permainan iaitu boleh ditepati atau boleh juga tidak, bergantung kepada kepentingan orang yang berjanji di mana jika kepentingannya sudah dipenuhi maka aqad hanya tinggal aqad yang hanya berupa ucapan semata-mata. Kelak, anak-anak akan mewarisi tabiat buruk itu.

Sungguh beruntung orang-orang yang beriman iaitu mereka yang sentiasa menjaga amanah dan aqad yang telah diucapkan.

Maha Benarlah Allah swt dalam firmanNya :

“Sesungguhnya beruntunglah orang-orang yang beriman. (iaitu) orang-orang yang khusyuk dalam solatnya.... Dan orang-orang yang memelihara amanah-amanah (yang dipikulnya) dan janjinya.” (QS Al Mu’minun : 8)

Ya Allah, jadikanlah kami orang-orang yang teguh memegang aqad yang telah kami meteraikan, ucapkan dan persaksikan kepada Engkau kerana sesungguhnya semua aqad itu akan diminta pertanggungjawaban kepadaMu di akhirat kelak. Jauhkanlah kami dari sikap mengambil mudah dan cuba menghindarkan diri dari melaksanakan aqad-aqad tersebut. Tetapkanlah pendirian kami terhadap aqad-aqad kami di atas DeenMu yang lurus samada dalam keadaan kami suka atau benci selama mana perlaksanaan aqad tersebut dalam perkara yang ma’ruf dan bukan untuk bermaksiat kepadaMu.

Ameen Ya Rabbal Alameen
WAS


[ Read More ]
Read more...
Friday, 20 April 2012

Ikhlas Kunci Kebahagiaan Hakiki

Ditulis Oleh WAS Pada 10:38 – 0 Komen Anda
 

Ikhlas adalah rahsia :
a.       Di sebalik kejayaan setiap amal manusia.
b.      Penyelamat hati manusia.
c.       Menuju kebahagian yang hakiki.
Ia adalah ilmu yang lain dari yang lain.
1.      Orang yang merasa telah mendapatkannya boleh jadi telah kehilangannya pada masa yang sama.
2.      Orang yang mendakwa menguasainya dengan mahir bererti dia tidak dapat menguasainya.
3.      Orang yang mengaku mampu mengajarkannya adalah orang masih perlu belajar lagi tentangnya.
Nilai sebuah amal atau perbuatan ditentukan oleh seberapa tulus niat kita. Perbuatan yang dimaksudkan tentunya adalah yang termasuk ketaatan atau perkara yang dibolehkan dan bukan perkara-perkara yang dilarang. Tidak ada istilah ikhlas untuk perbuatan-perbuatan yang tergolong dalam kategori kemaksiatan.
Ketulusan niat hendaklah diukur sebelum, semasa dan selepas kita melaksanakan suatu amal. Kita semestinya perlu ikhlas pada ketiga-tiga tahap tersebut dan tidak hanya pada salah satunya.
PERTAMA : IKHLAS SEBELUM MELAKSANAKAN
Ia bererti kita berniat untuk melakukan suatu perbuatan demi Allah semata-mata dan bukan untuk memperolehi pujian, penghargaan ataupun balasan dari orang. Begitu juga ia bukan pula demi harta, jawatan ataupun kemasyhuran di khalayak ramai.
Ikhlas sebelum melaksanakan juga bererti berkehendak melakukan suatu perbuatan bukan kerana dorongan emosi negatif (seperti kemarahan) dari dalam diri atau kerana ingin memberi reaksi terhadap sesuatu situasi (seperti kerana di maki hamun).
KEDUA :  IKHLAS SEMASA MELAKSANAKAN
Ia bererti kita membaguskan perbuatan kita hanya kerana rasa ingatan kita kepada Allah bukan kerana ingatan kita kepada manusia kerana kita sentiasa merasa diawasi oleh Allah bukan kerana merasa sedang diamati oleh manusia.
Selain itu, ia juga bererti tidak melaksanakan sesuatu dengan sikap bermalasan-malasan dan tidak mudah menyerah kalah, panik atau putus asa ketika bertemu dengan kesulitan atau halangan.
Dalam masa yang sama, jiwa kita sentiasa stabil tanpa membayangkan bagaimana kita akan dinilai, dipuji atau dihormati ketika nanti menyempurnakan perbuatan tersebut ataupun sebaliknya iaitu merasa resah membayangkan anggapan orang-orang yang nantinya akan meremehkan diri kita.
KETIGA : IKHLAS SELEPAS MELAKSANAKAN
Ia bererti kita tetap mengingati Allah di saat kita disanjung ataupun dicela, tidak sombong ketika dipuji dan tidak kesal semasa dimaki.
Kita menisbahkan kemampuan melaksanakan sesuatu itu kepada Allah dan kita tidak mengharapkan kemampuan kita sendiri dan menyerahkan hasil perbuatan kita kepada Allah dan tidak memandang bahwa hasilnya mesti seperti harapan atau kemahuan kita.
Selain itu, ia juga memberi makna bahwa kita tidak mengharapkan balasan, pujian ataupun ucapan terima kasih di samping tidak mengungkit-ngungkit perbuatan yang telah lalu dan tidak mempamirkan atau menyombongkannya kepada orang lain dan tidak mmbanggakannya dalam hati serta tidak tersinggung walaupun tidak disebut-sebut oleh orang.
SYARAT PENERIMAAN AMAL
Amal yang kita lakukan akan diterima oleh Allah jika memenuhi dua syarat :

PERTAMA :
Amal itu mesti berdasarkan kepada keikhlasan dan niat yang suci hanya mengharap keridhaan Allah swt.

KEDUA :
Amal perbuatan yang kita lakukan itu mestilah sesuai dengan sunnah Nabi saw.

Syarat pertama menyangkut masalah batin. Niat ikhlas ertinya ketika melakukan amal perbuatan, batin kita mesti benar-benar bersih.

Rasulullah saw bersabda :

"Sesungguhnya amal perbuatan itu tergantung kepada niatnya." (HR Bukhari dan Muslim)

Berdasarkan hadits itu, maka diterima atau tidaknya oleh Allah swt suatu amal perbuatan yang kita lakukan sangat bergantung kepada niat kita.

Sedangkan syarat yang kedua, mesti sesuai dengan syariat Islam dan syarat ini menyangkut sudut zahiriah.

Nabi saw bersabda :

"Barangsiapa yang mengerjakan suatu perbuatan yang tidak pernah kami perintahkan, maka perbuatan itu ditolak." (HR Muslim)

Berkenaan dua syarat tersebut, Allah swt menerangkannya pada sejumlah ayat dalam Al Qur'an.

Di antaranya dua ayat berikut :

"Dan barangsiapa yang menyerahkan dirinya kepada Allah, sedang dia orang yang berbuat kebaikan, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada buhul tali yang kukuh…." (QS Luqman : 22)

"Dan siapakah yang lebih baik agamanya daripada orang yang ikhlas menyerahkan dirinya kepada Allah, sedang dia pun mengerjakan kebaikan…." (QS An-Nisa : 125)

Yang dimaksudkan dengan "menyerahkan diri kepada Allah" dalam dua ayat di atas adalah : ‘Mengikhlaskan niat dan amal perbuatan hanya kerana Allah semata-mata.’

Sedangkan yang yang dimaksud dengan "mengerjakan kebaikan" dalam ayat tersebut ialah :
‘Mengerjakan kebaikan dengan serius dan sesuai dengan sunnah Rasulullah saw.’

Fudhail bin Iyadh pernah memberi komentar tentang ayat 2 surah Al-Mulk :

"Supaya Allah menguji kamu, siapa di antara kamu yang lebih baik amalnya."

Menurutnya, maksud "yang lebih baik amalnya" adalah amal yang berdasarkan keikhlasan dan sesuai dengan sunnah Nabi saw.

Seseorang bertanya kepadanya, "Apa yang dimaksudkan dengan amal yang ikhlas dan benar itu?"

Fudhail menjawab :

"Sesungguhnya amal yang berlandaskan keikhlasan tetapi tidak benar, tidak akan diterima oleh Allah swt. Sebaliknya, amal yang benar tetapi tidak berlandaskan keikhlasan juga tidak diterima oleh Allah swt. Amal perbuatan itu hanya boleh diterima oleh Allah jika berlandaskan keikhlasan dan dilaksanakan dengan benar.

Yang dimaksudkan dengan `ikhlas' adalah amal perbuatan yang dikerjakan semata-mata kerana Allah dan yang dimaksudkan dengan `benar' adalah amal perbuatan itu sesuai dengan tuntunan Rasulullah saw."

Setelah itu Fudhail bin Iyadh membacakan surah Al-Kahfi ayat 110 :
"Barangsiapa yang mengharapkan perjumpaan dengan Tuhannya, maka hendaklah ia mengerjakan amal yang soleh dan janganlah ia mempersekutukan seorang pun dalam beribadah kepada Tuhannya."

Jadi, niat yang ikhlas semata-mata belum menjamin amal kita diterima oleh Allah swt., jika dilakukan tidak sesuai dengan apa yang digariskan oleh syariat.

Begitu juga dengan perbuatan mulia, tidak diterima jika dilakukan dengan tujuan tidak mencari keridhaan Allah swt.

LAPAN TANDA KEIKHLASAN

Ada lapan tanda-tanda keikhlasan yang boleh kita gunakan untuk menilai apakah perasaan ikhlas telah mengisi relung-relung hati kita.

PERTAMA: KEIKHLASAN HADIR APABILA KITA TAKUT AKAN KEMASYHURAN (MENJADI TERKENAL)
Imam Ibnu Syihab Az-Zuhri berkata :

"Sedikit sekali kita melihat orang yang tidak menyukai kedudukan dan jawatan. Seseorang boleh menahan diri dari makanan, minuman dan harta, namun ia tidak sanggup menahan diri dari tarikan-tarikan kedudukan. Bahkan, ia tidak segan-segan merebutnya meskipun perlu mensabotaj kawan atau lawan."

Oleh kerana itu, tidak hairanlah jika para ulama salaf banyak menulis buku tentang larangan mencintai kemasyhuran, jawatan, dan riya'.

Fudhail bin Iyadh berkata :

"Jika kamu mampu untuk tidak dikenali oleh orang lain, maka laksanakanlah. Kamu tidak rugi sekiranya kamu tidak terkenal. Kamu juga tidak rugi sekiranya kamu tidak disanjung oleh orang lain. Demikian pula, janganlah gusar jika kamu menjadi orang yang tercela di mata manusia, namun menjadi manusia terpuji dan terhormat di sisi Allah."

Meskipun demikian, ucapan para ulama’ tersebut bukan untuk menyeru agar kita mengasingkan diri dari khalayak ramai (uzlah). Ucapan itu adalah peringatan agar dalam mengharungi kehidupan, kita tidak terjebak pada jerat hawa nafsu ingin mendapat pujian manusia.

Yang dilarang adalah :

a. Meminta nama kita dimasyhurkan atau dipopularkan.
b. Meminta jawatan.
c. Sikap rakus pada kedudukan.

Jika tanpa cita-cita dan tanpa meminta, diri kita menjadi terkenal, itu tidak mengapa meskipun itu boleh menjadi malapetaka bagi orang yang lemah dan tidak bersedia menghadapinya.

KEDUA : KEIKHLASAN WUJUD KETIKA KITA MENGAKUI BAHWA DIRI KITA MEMPUNYAI BANYAK KEKURANGAN

Orang yang ikhlas sentiasa merasa dirinya memiliki banyak kekurangan. Ia merasa belum sepenuhnya dalam melaksanakan segala kewajiban yang ditaklifkan oleh Allah swt.

Oleh kerana itu, ia tidak pernah merasa `ujub dengan setiap kebaikan yang dikerjakannya. Sebaliknya, ia merasa cemas jika apa-apa yang dilakukannya tidak diterima oleh Allah swt dan oleh sebab itulah ia kerap menangis.

Aisyah ra pernah bertanya kepada Rasulullah saw tentang maksud firman Allah :

"Dan orang-orang yang mengeluarkan rezeki yang dikurniakan kepada mereka, sedang hati mereka takut bahwa mereka akan kembali kepada Tuhan mereka."

Apakah mereka itu orang-orang yang mencuri, orang-orang yang berzina dan para peminum minuman keras, sedangkan mereka takut akan siksa dan murka Allah `Azza wa jalla?

Rasulullah saw menjawab :

"Bukan, wahai Puteri Abu Bakar. Mereka itu adalah orang-orang yang rajin solat, berpuasa dan sering bersedekah, sementara mereka khuatir amal mereka tidak diterima. Mereka bergegas dalam melaksanakan kebaikan dan mereka orang-orang yang berlumba." (HR Ahmad)

KETIGA : KEIKHLASAN HADIR KETIKA KITA LEBIH CENDERUNG UNTUK MENYEMBUNYIKAN AMAL KEBAJIKAN

Orang yang tulus adalah orang yang tidak ingin amal perbuatannya diketahui oleh orang lain.
a.       Ibarat pohon, mereka lebih senang menjadi akar yang tertutup oleh tanah tapi menyokong kehidupan keseluruhan pohon tersebut.
b.      Ibarat rumah, mereka adalah tapak asas yang dipenuhi tanah namun menyokong keseluruhan bangunan rumah tersebut.
Suatu hari Sayyidina Umar bin Al Khatthab pergi ke Masjid Nabawi. Ia mendapati Mu'az sedang menangis berhampiran makam Rasulullah saw.

Umar menegurnya :
"Mengapa kau menangis?"

Mu'az menjawab :
"Aku telah mendengar hadits dari Rasulullah saw bahwa baginda bersabda :

"Riya' sekalipun hanya sedikit, ia termasuk syirik dan barang siapa memusuhi kekasih-kekasih Allah maka ia telah menyatakan perang terhadap Allah. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang baik, taqwa serta tidak dikenali. Sekalipun mereka tidak ada, mereka tidak hilang dan sekalipun mereka ada, mereka tidak dikenali. Hati mereka bagaikan pelita yang menerangi petunjuk. Mereka keluar dari segala tempat yang gelap gulita." (HR Ibnu Majah dan Baihaqi)

KEEMPAT: KEIKHLASAN WUJUD KETIKA KITA TIADA MASALAH DITEMPATKAN SEBAGAI PEMIMPIN ATAU PERAJURIT

Rasulullah saw melukiskan jenis orang seperti ini dengan bersabda :

"Beruntunglah seorang hamba yang memegang tali kendali kudanya di jalan Allah sementara kepala dan tumitnya berdebu. Apabila ia bertugas menjaga benteng pertahanan, ia benar-benar menjaganya dan jika ia bertugas sebagai pemberi minuman, ia benar-benar melaksanakannya. "

Itulah yang berlaku kepada diri Khalid bin Al Walid ketika Khalifah Umar bin Al Khatthab memberhentikannya dari jawatan panglima perang. Khalid tidak marah, kecewa mahupun sakit hati kerana jawatannya diturunkan, bahkan ia tetap turut berperang di bawah komandan barunya iaitu Abu Ubaidah Al Jarrah.

Ketika ramai orang menimbulkan provokasi dan menanyakan beliau tentang perkara itu, Khalid menjawab dengan tenangnya bahwa, "Aku berperang kerana Allah, bukan kerana Umar". Subhanallah betapa tingginya tahap keikhlasan Khalid Al Walid.

KELIMA : KEIKHLASAN WUJUD KETIKA KITA MENGUTAMAKAN KERIDHAAN ALLAH DARIPADA KERIDHAAN MANUSIA
Tidak sedikit manusia yang hidup di bawah bayang-bayang orang lain. Bila orang itu menuntun pada keridhaan Allah, sungguh kita sangat beruntung namun tidak jarang juga ketika orang itu menggunakan kekuasaannya untuk memaksa kita bermaksiat kepada Allah swt.

Di sinilah keikhlasan kita diuji samada :

a. Memilih keridhaan Allah swt

atau

b. Memilih keridhaan manusia yang mendominasi diri kita?

Pilihan kita semestinya seperti pilihan Masyithah, tukang sikat anak Fir'aun. Ia lebih memilih keridhaan Allah daripada menyembah Fir'aun.

KEENAM : KEIKHLASAN WUJUD KETIKA KITA CINTA DAN MARAH KERANA ALLAH

Sesungguhnya kita dalam keadaan ikhlas ketika kita menyatakan cinta dan benci, memberi atau menolak, ridha dan marah kepada seseorang atau sesuatu kerana kecintaan kita kepada Allah dan keinginan membela agamaNya bukan untuk kepentingan peribadi kita.

Sebaliknya, Allah swt mencela orang yang berbuat bertentangan dengan sikap itu.

"Dan di antara mereka ada orang yang mencela tentang (pembahagian) zakat. Jika mereka diberi sebahagian daripadanya, mereka bersenang hati, dan jika mereka tidak diberi sebahagian daripadanya, dengan serta merta mereka menjadi marah." (QS At-Taubah : 58)

KETUJUH : KEIKHLASAN HADIR KETIKA KITA SABAR TERHADAP PANJANGNYA JALAN

Keikhlasan kita akan diuji oleh waktu. Sepanjang rentang waktu kehidupan kita adalah ujian.

Keteguhan kita untuk menegakkan kalimahNya di muka bumi meskipun kita tahu jalannya sangat jauh, sementara hasilnya belum pasti dan kesukaran sudah di depan mata, amat sangat diuji.

Hanya orang-orang yang mengharapkan keridhaan Allah yang mampu teguh menempuh jalan panjang ini seperti Nabi Nuh as yang giat berdakwah tanpa penat lelah selama 950 tahun.

Sepertimana Sayyidina Umar bin Al Khatthab yang berkata :

"Jika ada seribu mujahid berjuang di medan juang, aku seorang di antaranya. Jika ada seratus mujahid berjuang di medan juang, aku seorang di antaranya. Jika ada sepuluh mujahid berjuang di medan juang, aku seorang di antaranya. Jika ada satu mujahid berjuang di medan juang, itulah aku!"

KELAPAN : KEIKHLASAN WUJUD KETIKA KITA MERASA GEMBIRA JIKA KAWAN KITA MEMILIKI KELEBIHAN

Yang paling sukar adalah menerima orang lain yang memiliki kelebihan yang tidak dimiliki oleh kita. Lebih-lebih lagi jika orang itu lebih muda dari kita. Itulah sifat hasad dengki yang menutup keikhlasan dari hadir di relung hati kita.

Hanya orang yang ada sifat ikhlas dalam dirinya yang mahu memberi kesempatan kepada orang yang mempunyai kemampuan yang memadai untuk mengambil bahagian dari tanggungjawab yang dipikulnya.

Tanpa merasa apa-apa beban, ia mempersilakan orang yang lebih baik dari dirinya untuk tampil menggantikan dirinya. Tidak ada rasa irihati dan tiada rasa dendam. Jika ia seorang pemimpin, maka ia tiada segan-segan membahagikan tugas kepada sesiapapun yang dianggapnya mempunyai kemampuan.

Kita mesti banyak belajar tentang keikhlasan dan sebaik baik contoh keikhlasan adalah meneladani Rasulullah saw dan para sahabatnya.

Ada sebuah ungkapan yang menarik :

"Tentera hadapanmu adalah keikhlasan".

Ungkapan ini sangat tepat kerana memang keikhlasan adalah pengawal hadapan kita untuk menghadapi segala rintangan di jalan Allah. Keikhlasan membuatkan kita tidak kenal penat lelah dan tidak kenal berhenti dalam beramal kerana tujuan kita hanya satu, iaitu Allah swt.

Cuba kita perhatikan kembali ‘catatan amal’ kita dan kita perbetulkan lintasan hati atau getaran hati yang dapat menggugurkan nilai amal kita.

Mungkin kita pernah berfikir tentang kejayaan kita, kemudian berucap :

"Itu kerana kehebatan saya, apa jadinya tanpa diri saya?"

Bukankah ungkapan sedemikian senada dengan Fira'un yang menjadikan dirinya sombong hingga berani mengikrarkan dirinya sebagai tuhan atau juga kisah Qarun yang ditenggelamkan oleh Allah kerana merasa kehebatan dirinya dalam mengumpulkan harta kekayaannya.

"Kecewa!", Ya, kita sering kecewa jika tujuan kita menyimpang kepada yang sifatnya duniawi, maka ketika tujuan itu tidak tercapai, kita akan mudah kecewa dan berbalik ke belakang.

Bila sesuatu amal dibangunkan lantaran mengharapkan apa-apa yang ada pada manusia berupa :

1. Penghormatan.
2. Penghargaan.
3. Pengakuan kewujudan diri.
4. Kemasyhuran.
5. Jawatan.
6. Pengikut.
7. Pujian.

Maka hakikatnya, kita telah berubah menjadi hamba manusia, bukan lagi hamba Allah swt. Sekali lagi, kita mesti banyak belajar dan berlatih untuk mewujudkan keikhlasan dalam amal kita.

Selayaknya kita bangunkan prestasi amal kita kerana Allah swt semata-mata kerana amal yang dibangunkan selain keranaNya hanya akan meninggalkan buih-buih amal yang membuatkan kita kecewa di kemudian hari, Wal Iyazubillah.
Inilah sifat ikhlas yang di awalnya kita buat tanpa mengharapkan balasan kemudiannya kita pertingkatkan ke tahap yang lebih mendalam iaitu ikhlas tanpa batas yakni ikhlas dalam segala hal dan dalam segala perbuatan.
Ia adalah suatu ikhlas yang menjadi kesan dari tauhid iaitu ikhlas sebagai pemurnian hati dari segala syirik samada :
a.       Dari syirik besar hingga syirik yang sekecil-kecilnya.
b.      Dari syirik yang nyata hingga syirik yang samar-samar.
Akhir sekali hakikat keikhlasan yang sebenar akan membawa kepada kefahaman bahwa orang yang ikhlas :
1.      Hanyalah bergantung kepada Allah.
2.      Tidak menjadikan amalannya sebagai sandaran kemajuan kerohaniannya.
3.      Hanyalah mendambakan wajah Allah.
4.      Tidak menjadikan syurga sebagai pemacu semangat beramalnya.
Ya Allah, tiupkanlah perasaan ikhlas dalam hati dan jiwa kami sehingga ianya tetap kekal bersarang di dalam setiap amal yang kami lakukan. Sesungguhnya kami hanya mengharapkan segala amal kami diterima olehMu. Jauhkanlah diri kami dari mengharapkan sesuatu dari makhlukMu kerana sesungguhnya setiap makhlukMu adalah lemah dan hanya bergantung kepada kekuatan dan kekuasaan dariMu.

Ameen Ya Rabbal Alameen
WAS
[ Read More ]
Read more...
Wednesday, 18 April 2012

Pelbagaikan Kaedah Dakwah

Ditulis Oleh WAS Pada 01:56 – 0 Komen Anda
 
Ada seorang pernah berkata bahawa ia merasa tidak mempunyai kemampuan untuk berdakwah kerana dia bukan seorang yang faqih dan bukan juga seorang yang banyak tahu tentang kaedah dakwah.

Adapun hadits-hadits Rasulullah saw yang berkaitan dengan dakwah yang telah dibacanya merupakan sebuah barakah.

Ia tidak tahu bahawa barakah mesti berbuah dan buah dari barakah adalah produktiviti.

Rasulullah saw bersabda :

"Senyummu pada wajah saudaramu adalah sedekah." (Mashabih As Sunnah)
Cuba kita perhatikan bahwa Rasulullah saw tidak mengatakan "Senyummu untuk saudaramu."
Bahkan digunakan perkataan "wajah", kerana pada wajah terdapat banyak pancaindera dan ia merupakan gambaran hakiki seorang manusia.

Oleh kerananya, sebuah senyuman yang tidak terlihat oleh saudara kita tidak akan mempunyai erti dan tidak akan berkesan.

Senyuman adalah gambaran isi hati yang menggerakkan perasaan dan memancar pada wajah seperti kilauan cahaya seakan-akan berbicara dan memanggil sehingga hati yang mendengar akan terpikat.

Senyuman yang dibuat-buat tidaklah sama dengan senyuman yang tulus ikhlas.

Senyuman yang dibuat-buat adalah sebuah ciptaan seni, tidak lebih dari hanya sebuah senyuman plastik.

Sedangkan senyuman yang tulus ikhlas adalah fitrah; ia ibarat bunga yang mekar di tangkainya, indah dipandang mata dan harum baunya yang menjadikan jiwa terlena dan bersimpati.

Mengenai perkara ini, Rasulullah saw telah mengingatkan kepada kita dengan sabdanya :

"Kamu tidak akan dapat membahagiakan orang lain dengan hartamu, tetapi yang dapat membahagiakan mereka adalah wajah yang ceria dan akhlak yang mulia." (HR Abu Ya'la dan Al Baihaqi)
Puluhan tahun yang lalu, ada sebuah penemuan ilmiah menyebutkan bahwa tumbuh-tumbuhan akan semakin subur apabila berada di tempat di mana terdapat alunan suara berirama perlahan dan tumbuh-tumbuhan itu akan merasa "gembira" tatkala pemiliknya menyiraminya dengan air yang sejuk.

Namun sebaliknya, tumbuh-tumbuhan itu akan "menangis" tatkala ada yang memetik tangkai dan bunganya.

Rasulullah saw bersabda :

"Uhud adalah gunung yang mencintai kita dan kita pun mencintainya. "
Jika demikian keadaan tumbuh-tumbuhan dan benda-benda mati, maka keadaan manusia yang telah diberi oleh Allah swt nikmat berupa pancaindera dan akal tentu lebih
dari itu.

Itulah rahsia yang tersimpan dalam diri manusia. Apabila ia dapat membuka rahsia itu, Allah akan membukakan baginya penglihatan dan mata hati mereka yang lalai dan terlena dalam kemaksiatan.

Dengan iman, perasaan, dan kekuatan ruhiah, Islam mengubah ramai manusia dengan sebuah perubahan yang tidak mampu dilakukan oleh kekuatan-kekuatan material.

Seorang pendakwah hendaklah merasakan nikmat iman yang tulus ikhlas sehingga ia dapat menembusi batu sekeras mana pun dan dapat menumbuhkan pohonan meskipun di tengah padang pasir yang gersang. Ia akan mampu mencetak "khairu ummah" (umat terbaik).

Kalau kita teliti, maka kita akan ketahui bahwa yang menyebabkan generasi pertama umat ini masuk Islam adalah :

1. Senyuman yang tulus.
2. Pandangan yang menenangkan.
3. Pergaulan yang simpatik.
4. Ucapan yang berkesan.

Jadi, jika kita tidak tersenyum pada wajah saudara kita, maka kita tidak akan mendapatkan pahala sedekah itu. Jika setiap muslim mahu memberi senyuman tatkala bertemu dengan saudaranya sesama muslim, kita akan melihat sebuah masyarakat muslim yang berwajah ceria dan saling mencintai.

Inilah barakah dari sebuah senyuman yang tulus.

Allah swt pernah menegur Rasulullah saw tatkala beliau bermuka masam ketika ditemui oleh Abdullah Ibnu Umi Maktum ra.

Allah swt berfirman :

"Dia (Muhammad) bermuka masam dan berpaling, kerana telah datang seorang buta kepadanya. Tahukah kamu barangkali ia ingin membersihkan dirinya (dari
dosa)."(QS 'Abasa : 1-3)

Dari contoh ini, kita akan mengetahui bahawa setiap yang datang dari Rasulullah saw adalah kaedah dakwah dan manhaj tarbiyah.

Marilah kita mengambil salah satu contoh dari hadits-hadits berikut yang mengajarkan tentang wasilah dan kaedah dakwah yang mudah dipelajari dan diterapkan oleh para pendakwah.

Kita akan melihat bahawa pelajaran-pelajaran itu sangat mudah dan akan menyedari bahawa daya tangkap kitalah yang memang belum sampai kepada hakikat yang hendak disampaikan oleh Rasulullah saw.

Rasulullah saw bersabda :

"Hak seorang muslim terhadap muslim yang lain ada enam : jika bertemu maka berilah salam, jika tidak kelihatan maka bertanyalah, jika sakit maka jenguklah, jika mengundang maka penuhilah, jika bersin dan mengucapkan hamdalah maka jawablah (dengan mengucapkan 'yarhamukallah' , dan jika meninggal dunia maka hantarkanlah (ke kubur)." (HR Muslim)

PERTAMA : JIKA BERTEMU MAKA BERILAH SALAM


Mengucapkan salam adalah langkah pertama dan ianya akan semakin mantap jika diikuti dengan berjabat tangan.

Ucapan salam mesti disertai dengan perasaan :

a. Cinta.
b. Senang hati.
c. Wajah yang berseri.

Ini adalah agar fungsi ucapan salam itu dapat diwujudkan. Selepas itu bolehlah saling memperkenalkan nama, pekerjaan dan tempat tinggal. Dengan yang demikian, kita telah memulakan tahap awal dalam berdakwah.

KEDUA : JIKA TIDAK KELIHATAN MAKA BERTANYALAH

Watak sebuah perkenalan adalah jika seseorang yang sudah kita kenal itu tidak terlihat dalam waktu yang tertentu, maka kita mesti mencari khabar berita tentang keadaannya atau  menghubunginya, samada melalui telefon, surat, e-mail ataupun SMS.

KETIGA : JIKA SAKIT MAKA JENGUKLAH

Sunnatullah akan berlaku pada setiap orang di mana pada suatu ketika ia akan merasa :

a. Gembira.
b. Sedih.
c. Sakit.

Maka setiap keadaan mesti dihadapi dengan sikap yang Islamik. Jika kita mendengar bahawa sahabat kita sakit, kita mesti cepat-cepat :

1. Menjenguknya.
2. Memberikan ketenangan kepadanya.
3. Mendoakan untuk kesembuhannya.
4. Membawa hadiah yang sesuai.

Rasulullah saw bersabda :

"Hendaklah kamu saling memberi hadiah, kerana hadiah itu akan menjadikan kamu saling mencintai." (HR Malik dalam "Al-Muwatha" ')
Dari Abu Hurairah ra, Rasulullah saw bersabda :

"Barangsiapa menjenguk orang sakit atau mengunjungi saudaranya sesama muslim kerana Allah, maka malaikat akan berseru kepadanya, 'Kamu dalam keadaan baik dan baik pula tempat tujuanmu, kamu pun akan ditempatkan di syurga.'" (HR Muslim)
Di tempat sahabat kita tersebut, kita pun dapat berkenalan dengan sahabat-sahabatnya yang lain dan dengan yang demikian kita akan semakin ramai mempunyai kenalan.

Jangan sampai kunjungan itu kita pergunakan untuk membaca Al Qur'an, majalah atau berbual yang tidak ada gunanya agar tujuan dan matlamat kunjungan tersebut dapat dipenuhi.

Jika kita masuk rumahnya, hendaklah kita duduk di mana kita dipersilakan duduk.

Diriwayatkan dalam sebuah atsar :

"Barangsiapa masuk rumah salah seorang di antara kamu maka duduklah di tempat tersebut, kerana kaum itu lebih mengetahui aurat rumah mereka." (HR Thabrani)
KEEMPAT : JIKA IA MENGUNDANGMU MAKA PENUHILAH
Setelah melewati tahapan-tahapan di atas maka hubungan antara kita dengan sahabat kita akan semakin erat. Suatu ketika, sahabat kita akan menghadapi keadaan-keadaan penting seperti kejayaan dalam tugas, perkahwinan atau yang lainnya, lalu ia mengundang kita untuk menghadiri acara-acara tersebut.

Kita mesti memenuhi undangan tersebut kerana ini merupakan kesempatan berharga yang tersedia tanpa perlu kita rancangkan terlebih dahulu. Begitu juga sebaliknya, kita pun mesti mengundangnya dalam acara-acara penting yang kita adakan.

KELIMA : JIKA IA BERSIN DAN MENGUCAPKAN  “HAMDALAH” MAKA JAWABLAH (UCAPKAN “YARHAMUKALLAH)
Duduk bersebelahan dengan orang yang belum dikenali di suatu tempat, samada di perjalanan, majlis keramaian ataupun tatkala menjenguk orang sakit, lalu orang yang duduk di sebelah kita itu bersin maka hendaklah kita menoleh kepadanya dengan wajah berseri seraya mengucapkan, "yarhamukallah (mudah-mudahan Allah memberi rahmat kepada Anda)."

Tentunya perkara ini akan menjadikan dirinya merasakan sesuatu yang baru dan selepas itu kita dapat bercakap-cakap dengannya.

KEENAM : JIKA IA MENINGGAL DUNIA MAKA HANTARKANLAH KE TEMPAT PEMAKAMANNYA
Apa yang dapat kita lakukan setelah seseorang itu meninggal dunia dan dikuburkan?

Pada hakikatnya, menghantar orang lain yang meninggal ke tempat pemakaman adalah menghantar dirinya sendiri, yang ia akan dapat mengambil nasihat, pelajaran, dan merenungkannya.

Ini sebuah sunnah Rasulullah saw yang menggambarkan persatuan dan kesatuan kaum muslimin.

Jika sebelumnya, kita dapat mengenal peribadi orang yang telah meninggal dunia, maka sekarang kita dapat menggunakan kesempatan untuk berkenalan dengan keluarganya dan orang-orang yang berta'ziah ke rumahnya.

Dari Abu Hurairah ra, Rasulullah saw bersabda :

"Barangsiapa menghadiri jenazah hingga menyolatkannya, maka baginya pahala satu qirath. Barangsiapa menyaksikan hingga di makamkan, maka baginya dua qirath." Seorang sahabat bertanya, "Apakah dua qirath itu, wahai Rasulullah?" Rasulullah menjawab, "Seperti dua gunung yang besar." (Muttafaqun 'Alaih)
CONTOH MITHALI SEORANG PENDAKWAH
Sekarang mari kita menyusuri kehidupan seorang pendakwah yang bernama Syeikh Ali Nawaitu yang juga merupakan seorang tokoh Ikhwanul Muslimin yang kaya dengan pelbagai kaedah dakwah dalam rangka untuk menarik masyarakat kepada dakwah sehingga ia menjadi contoh mithali kepada mereka yang bergaul dengannya.
Beliau di antara anggota Ikhwan yang telah dipenjarakan selama 20 tahun iaitu dari tahun 1954 hingga 1974 di penjara Mesir.
KEMAHIRAN MELUKIS DALAM PENJARA
Beliau menceritakan pengalamannya di dalam penjara bagaimana para banduan di kalangan anggota Ikhwan belajar ilmu dari anggota yang lain sehingga masing-masing mempunyai berbagai kepakaran.
Salah satu dari kepakaran yang dipelajari adalah mengingati wajah anggota Ikhwan yang masuk ke penjara dan melukisnya di atas kertas.
Kebiasaannya, apabila seseorang ditahan, keluarga mereka tidak diberitahu. Jadi jika ada banduan baru dari anggota Ikhwan yang masuk penjara, beliau akan melukis potret banduan tersebut di atas kertas sebesar saiz setem dan kertas ini akan diseludup keluar dan kemudiannya potret itu dibesarkan supaya orang di luar penjara boleh tahu siapa yang masuk ke penjara.
Dikatakan beliau mampu mengingati sehingga 300 wajah anggota Ikhwan dalam penjara serta dapat melukisnya dengan tepat.
MENGINGATI WAJAH SAUDARA SEPERJUANGAN
Di antara rahsia mengapa beliau dapat mengingati wajah-wajah saudara-saudaranya ialah amalan beliau dalam membaca Al Ma’thurat dan doa Rabithah.
Pernah dalam suatu halaqah setelah selesai membaca Al Ma’thurat secara jamai’e, maka beliau menyuruh semua mereka yang hadir dalam halaqah itu untuk bangun membuat satu bulatan dan kemudiannya masing-masing memegang tangan secara bergandingan di kiri dan kanan.
Beliau kemudiannya menyuruh mereka untuk menutup mata masing-masing dan mengarahkan untuk membayangkan serta mengingati wajah setiap Ikhwah yang dikenali. Mungkin dengan cara inilah bayangan wajah-wajah sahabat seperjuangan dapat diingati dan dihadirkan dalam pemikiran kita.
MENYUSUN KASUT DAN SELIPAR

Pernah juga berlaku dalam satu program katibah / qiyam di mana beliau adalah salah seorang yang berada dalam majlis tersebut. Semasa program berlangsung beliau meminta izin untuk keluar sekejap.

Beberapa minit selepas itu, salah seorang Ikhwah dalam program tersebut juga meminta izin utnuk keluar ke bilik air, namun apabila Ikhwah tersebut membuka pintu, beliau terkejut apabila mendapati Syeikh Ali Nawaitu sedang duduk menyusun kasut dan selipar di luar dewan.

Ikhwah itu bertanya mengapa Syeikh Ali melakukan itu lalu Syeikh Ali memberitahunya supaya membiarkan dirinya menyelesaikan tugas tersebut dan menyuruh Ikhwah tersebut agar diam dan masuk semula ke dalam dewan. Beliau mengatakan ini adalah arahan sebagaimana sabda Rasulullah saw :

“Baiki diri kamu dahulu kemudian seru orang lain.”

MINUM AIR DENGAN PENUTUP BOTOL

Dalam suatu perjalanan di dalam kereta setelah selesai menyampaikan ‘taujihat’, beliau merasa dahaga dan di dalam kereta itu ada sebotol air mineral.
Beliau bertanya samada ada cawan atau gelas supaya beliau dapat menuangkannya ke dalamnya untuk diminum.
Oleh kerana tiada cawan atau gelas di dalam kereta tersebut, maka penumpang yang lain menyuruhnya untuk meminumnya terus dari mulut botol tersebut namun beliau enggan kerana menurutnya itu bukan dari sunnah Nabi saw dalam hal meminum minuman.
Setelah berfikir beberapa saat, beliau mempunyai satu idea iaitu beliau membuka tudung botol air mineral tersebut yang agak kecil saiznya dan menuangkan air dengan perlahan-lahan ke dalamnya lalu meminumnya beberapa kali. Penumpang lain terpinga-pinga melihat gelagat Syeikh Ali yang  begitu kuat pegangan beliau dalam hal melaksanakan sunnah Nabi dalam kehidupannya.   

SENTIASA BERKAWAD DAN SENAMAN PAGI

Di antara rahsia kesihatan badannya walaupun umur beliau sudah agak lanjut ialah beliau sentiasa melakukan kawad dan melaksanakan senaman di waktu pagi yang sudah menjadi agenda rutinnya di waktu pagi.

Pernah dalam usia yang lanjut tersebut, beliau masih mampu mendaki gunung dan beliau nampak lebih tangkas dari Ikhwah lain yang lebih muda dari beliau yang juga turut serta.

Demikianlah sekelumit kisah seorang pendakwah mithali yang berjaya menerapkan berbagai  kaedah dakwah di dalam interaksinya dengan masyarakat sehingga beliau mampu menjadi contoh yang bergerak dan berjalan di alam nyata.
Ada sebuah ungkapan yang mengatakan :

"Berbuat baiklah, dan lemparkan kebaikan itu ke dalam lautan."

Tetapi para pendakwah mengatakan :

"Berbuat baiklah kerana Allah, niscaya kebaikan itu akan kembali kepadamu di dunia mahupun di akhirat."
Ya Allah, berilah kekuatan kepada kami untuk kami amalkan sabda-sabda NabiMu sebagai kaedah dakwah yang akan memudahkan kami untuk berinteraksi sesama manusia serta menjadi sebab kepada manusia mendapat petunjuk dan hidayah dariMu untuk kembali tunduk dan menyerah diri kepadaMu.

Ameen Ya Rabbal Alameen
WAS
[ Read More ]
Read more...
Tuesday, 17 April 2012

Kembalikan Landasan Kemurnian Dakwah

Ditulis Oleh WAS Pada 07:51 – 0 Komen Anda
 
Dalam mengurus pengembangan dakwah di kalangan masyarakat, kemurnian dan keaslian dakwah perlulah sentiasa terjaga dan terpelihara sehingga memiliki landasan yang kuat dan kukuh untuk terus bergerak.

Oleh kerana dakwah sangat terkait dengan ‘takwin’ (pembentukan), maka ketika kita membicarakan dari segi konsepnya, aktivis dakwah mestilah sentiasa berpegang teguh kepada idealisma dakwah kerana seberat apapun ujian dalam dakwah, selagi mana aktivis dakwah  memiliki pegangan yang kuat dalam melangkah, maka idealisma dakwah akan tetap terjaga dan terpelihara.

Oleh yang demikian, kita perlulah memahami tentang kemurnian dan keaslian dalam dakwah. Kejayaan aktivis dakwah menjaga kemurnian dakwah akan memberikan kekuatan yang sangat penting dalam ‘takwin’ (pembentukan) dan kemenangan dakwah.

Oleh itu, aktivis dakwah perlu memperhatikan perkara-perkara yang prinsip dalam dakwah sehingga kemurnian dakwah akan tetap terjaga.

Kemurnian dakwah memiliki landasan yang kuat dan jika diringkaskan akan menjadi tiga bahagian :

PERTAMA : KEMURNIAN SYARIAT

Aktivis dakwah mesti kembali kepada kemurnian dan keutuhan syariat.

Tidak ada fiqh dakwah tanpa fiqh syari’ah dan dengan yang demikian, ruang lingkup gerakan dakwah mesti sentiasa berada dalam bingkai syariat.

Jadi, ketika kita berbicara tentang syariat, ianya bukan semata-mata pada hukum yang lima, iaitu halal, haram, wajib, makruh, dan sunnah.

Setiap gerakan para aktivis dakwah mestilah sentiasa berada dalam kerangka ‘Ahkamu Syariah’ (hukum syariah) samada perkara tersebut wajib, sunnah, haram, makruh atau mubah.

Ketika kita berbicara tentang kemurnian syariat, ianya tidak boleh terlepas dari ‘Fiqh Aulawiyat Syari’ah’ (skala keutamaan dalam syari’ah) iaitu dengan sikap :

a.       Yang haram - tinggalkan.
b.      Yang mubah - pilih sesuai dengan kemaslahatan.
c.       Yang makruh – hindarkan.
d.      Yang sunnah - tingkatkan.

Dengan skala keutamaan ini kita tidak disibukkan oleh hal-hal yang mubah dengan meremehkan kewajiban atau melaksanakan yang sunnah tanpa melakukan kewajiban.

Ertinya, sikap yang tepat dalam melaksanakan syariat adalah dengan memulakan dari yang wajib. Jika ianya wajib ‘ain, maka ia mesti diutamakan, kemudian baru melaksanakan kewajiban yang bersifat kifayah, kemudiannya barulah melaksanakan sunnah. Sunnah ‘muakkadah’ lebih didahulukan daripada sunnah ‘mandhubah’. Akhirnya, barulah melaksanakan yang mubah sebagai pilihan terakhir.

Gerakan para aktivis dakwah mestilah terus berada dalam kerangka hukum syariah yang terikat dengan fiqh keutamaan.


Dalam konteks sekarang, kebiasaan menonton perlawanan bolasepak atau filem hukumnya boleh jadi makruh kerana menghabiskan waktu pada perkara yang tidak berguna bahkan kita boleh terjebak pada yang haram.


Dalam surah Al Mukminun, Allah swt menggambarkan mengenai sifat orang mukmin yang mendapatkan kemenangan serta mewarisi syurga Firdaus adalah salah satunya menjauhkan diri dari (perbuatan dan perkataan) yang tidak berguna.


Ingatlah, bahwa sibuk memperdebatkan hukum tentang kain di bawah mata kaki atau di atas mata kaki adalah pembahasan yang sia-sia dan menghabiskan waktu jika di belahan bumi lain ramai saudara-saudara kita dibunuh, disekat dan dizalimi oleh musuh-musuh Islam.

KEDUA : KEMURNIAN FIKRAH


Aktivis dakwah mestilah menjaga kemurnian dan keaslian fikrah, konsep atau manhaj.


Jadi, ketika aktivis dakwah hendak berfikir, mengemukakan wacana, memberi pendapat, menelurkan idea serta gagasan, maka ianya mestilah berlandaskan Al Qur’an dan sunnah Rasul, bukan sekadar memberi pandangan atau berbicara tanpa memiliki landasan yang jelas.


Bagi memudahkan kefahaman terhadap manhaj berfikir sesuai dengan Al Qur’an dan As Sunnah, Imam Hasan Al Banna telah meletakkan satu formula yang mudah yang terangkum dalam ‘Ushul Isyrin’ (Usul Dua Puluh).


Syeikh Said Hawwa menulis di dalam kitabnya “Fi Afaq At Ta’alim” (Ufuk Risalah Ta’alim) bahwa :

Pada saat Imam Hasan Al Banna memulakan dakwahnya, umat Islam telah mencapai kekacauan pemikiran yang sangat berat. Mereka adalah orang-orang yang telah mengkufuri Islam. Sebahagian yang lain :

a.       Membataskannya pada aspek-aspek tertentu.
b.      Meyakini bahwa Al Quran memiliki makna batin yang berbeza dengan zahirnya.
c.       Mempunyai kefahaman yang salah terhadap kewalian.
d.      Melangkah bebas hingga hampir-hampir merasa tidak memerlukan lagi petunjuk kenabian.
e.       Beranggapan bahwa agama bertentangan dengan ilmu pengetahuan dan akal fikiran.
f.       Memahami bahwa Islam adalah segala perkara yang keras.
g.      Dengan cepat mengkafirkan saudaranya yang lain.
h.      Sangat mempermudahkan dalam segala perkara.
i.        Menyerah secara pasrah serta menjauhkan Islam dari wilayah kekuasaan dan perundangan.

Semua penyelewengan di atas memerlukan pengubatan dan pengubatan itu ada di dalam dua puluh (20) prinsip yang akan menghapuskan kefahaman yang salah.

Di antara fenomena kecelaruan pemikiran di tengah-tengah umat Islam itu adalah :

1.      Bercampurnya perkara-perkara yang prinsip dengan perkara-perkara yang cabang.
2.      Bersikap kerasnya sebahagian besar masyarakat dengan cabang-cabang itu dan untuk itu mereka memerangi saudara-saudara mereka sesama Muslim.
3.      Memerangi orang-orang yang berpegang kepada perkara-perkara yang prinsip, meskipun ia adalah kebenaran yang murni.

Dalam menghadapi orang-orang yang seperti mereka, umat Islam tidak mungkin mampu melangkah maju dalam satu barisan.

Oleh yang demikian, ‘Usul Isyrin’ ini adalah terapi bagi pesakit dan menentukan baginya mana perkara yang prinsip yang tidak boleh dianggap mudah dan mana perkara cabang yang memungkinkan berlakunya pertemuan, meskipun terjadi perbezaan pendapat tentangnya.

Dalam menyusuri perjalanan sejarah yang panjang, maka terungkaplah faktor-faktor penyebab perpecahan dan konflik di antara kaum Muslimin sebagai akibat dari kecacatan dalam kefahaman, maka perlu ada usaha membumikan semula kefahaman bersama yang dapat membentuk barisan yang lebih mantap di antara kaum Muslimin, tanpa perlu mengorbankan hak pihak lain.

Dengan taufik dari Allah swt, ‘Usul Isyrin’ ini dapat diwujudkan semuanya. Ia telah :

a.       Mengingatkan orang-orang yang lupa.
b.      Mengurangkan sikap berlebihan.
c.       Menyatukan yang telah tercerai-berai.
d.      Meluruskan jalan.

Kita belum mendapati orang lain yang mampu menghimpun semua orang secara objektif di atas ajaran-ajaran yang mengajak mereka untuk bergerak maju dalam satu barisan sepertimana yang telah dilakukan oleh Imam Hasan Al-Banna dengan ‘Usul Isyrin’ yang telah Allah ilhamkan kepadanya untuk menghimpunkannya.

Mengenali Islam adalah kewajiban dan mengenali hukum-hukum yang ada di dalamnya juga kewajiban sementara hukum-hukum yang wajib diketahui oleh setiap Muslim berbeza-beza sesuai dengan perbezaan peribadi, ilmu dan tanggungjawabnya.

Pada rukun ‘Al Fahmu’ (kefahaman), Imam Hasan Al Banna telah menghimpun perkara-perkara yang mesti diketahui oleh setiap Muslim.

Di antaranya adalah perkara-perkara yang apabila tidak diketahui, akan menyebabkan orang mengingkari perkara-perkara yang secara asasnya adalah sebahagian dari agama dan ini boleh membawa kepada kekafiran.

Ada pula perkara-perkara yang apabila tidak diketahui, akan menjadikan seseorang itu tidak ada komitmen dengan agamanya dan ini adalah sebuah kekurangan.

Ada pula perkara-perkara yang apabila tidak diketahui, akan :

1.      Membahayakan ideologi.
2.      Mengancam jalinan ukhuwah di antara kaum Muslimin.
3.      Berbahaya bagi persatuan gerakan Islam.
4.      Mengancam kesatuan barisan.
5.      Mengancam konsep-konsep kesejagatan seorang Muslim.
6.      Mengancam kaum Muslimin secara keseluruhannya.

Para aktivis dakwah mestilah menguasai dan memiliki tahap kefahaman yang mendalam tentang ‘Ushul Isyrin’ kerana semua permasalahan yang kita hadapi dalam berbagai bidang kehidupan, jalan peneyelesaiannya ada dalam ‘Ushul Isyrin’.

Sebagai aktivis dakwah, kita mestilah mengkaji ‘Ushul Isyrin’ secara mendalam dan komprehensif dan hendaklah berusaha mengaplikasikan dalam kehidupan sehari-hari kerana  kaidah-kaidah yang terangkum dalam dua puluh prinsip (intisari dari Al Qur’an dan Sunnah Rasul) tersebut adalah salah satu ijtihad abad yang ke-20 yang dilakukan oleh Imam Hasan Al Banna yang tidak dilakukan oleh ulama’ terdahulu.


Di dalamnya dibahas berbagai macam permasalahan kehidupan termasuk mengenai jamaah, khilafiyah, pemikiran dan lainnya.


Ini bererti, jika kita ingin menjaga konsep dakwah ini, maka semuanya telah terangkum dalam ‘Ushul Isyrin’.


Bahkan seluruh tulisan atau karya ilmiah yang ditulis oleh para ‘Qiyadah Dakwah’ atau ‘Masyaikh Dakwah’, semuanya mengambil rujukan dari ‘Ushul Isyrin’.


Kita dapat membaca kitab yang ditulis oleh Syeikh Mustafa Masyhur di mana semua rujukannya adalah ‘Ushul Isyrin’. Begitu juga ketika Dr Yusuf Al Qardhawi menulis dalam konsep berfikir manhaj, rujukannya adalah ‘Ushul Isyrin’.


Jadi, ianya bukan sekadar mengetahui 20 prinsip, tapi yang lebih penting bagaimana kita perlu memahami dan merealisasikan dalam kehidupan kita sehari-hari. Masalah ini dapat diatasi dengan menjaga kemurnian fikrah.

KETIGA : KEMURNIAN BERHARAKAH


Berbicara tentang dakwah, ianya adalah sebuah gerakan aktiviti atau kerja bukan wacana apalagi gosip.
Dakwah adalah pergerakan iaitu bekerja secara aktif.


Maka tidak menjadi sesuatu yang asli atau tidak murni lagi (palsu) jika masih ada aktivis dakwah  yang tidak aktif.


Begitu juga, tidak asli dan tidak murni lagi jika kita hanya pandai berwacana tapi tidak ada sumbangan atau penglibatan dalam dakwah kerana kemurnian dakwah adalah di antaranya dinilai dengan pergerakan dan terus bekerja dan bukan dengan banyak berdebat atau berdiskusi tapi tanpa berbuat dan berkarya untuk dakwah.


Yang perlu sentiasa menjadi pertanyaan para aktivis dakwah adalah :


“Apa sumbangan saya dalam dakwah?”


Salah satu bukti jika seseorang aktivis dakwah masih murni dalam dakwah adalah ia memiliki peranan atau sumbangan aktif serta terlibat secara penuh dalam aktiviti harakah.


Jadi, kalau masih ada aktivis dakwah yang tidak terlibat dan tidak aktif maka kemurnian harakinya tidak berjalan dengan baik.

Dakwah adalah pergerakan. Perkara ini terbukti dalam sejarah kehidupan Nabi dan para sahabatnya.


Rasulullah saw selama 10 tahun di Madinah bersama para sahabat terlibat dalam peperangan selama hampir 100 kali di mana baginda mulai terlibat dengan peperangan pada tahun ke-2 samada :


a.       Yang dipimpin oleh baginda sendiri atau yang dipimpin oleh para sahabat baginda.
b.      Benar-benar berlaku peperangan atau yang tidak berlaku peperangan.
c.       Peperangan yang besar atau yang kecil.

Perkara ini menunjukkan adanya pergerakan yang luar biasa dan tiada kesempatan untuk beristirehat dan bersantai–santai bagi aktivis dakwah.


Bagi keadaan kita pada masa kini, sebenarnya tidak ada lagi kesempatan untuk :


1.      Menonton perlawanan bolasepak.
2.      Menonton filem.
3.      Berdebat mengenai perkara yang remeh.
4.      Berfikir yang “pelik-pelik”.

Tapi semuanya dalam keadaan penuh siap siaga dalam melaksanakan tugas dakwah.

Jika kita perhatikan dengan teliti bahasa–bahasa Al Qur’an, sebenarnya kita tidak akan mengenal istilah uzur.


Dalam dakwah ini, berangkat ke medan perang semuanya sama samada dalam keadaan ringan, berat, susah ataupun mudah.


Semua mukmin mesti berangkat semuanya, sehingga ketika ada sebahagian sahabat yang uzur (terhalang) dalam ertikata tidak dapat memenuhi panggilan dakwah kerana tidak mempunyai dana, kenderaan, wasilah atau kemudahan, mereka tidak mudah atau dengan santai mengatakan Alhamdulillah.


Hal ini berbeza dengan keadaan sebahagian aktivis dakwah kita yang malah bersyukur dan mengucapkan Alhamdulillah ketika mendengar halaqah / liqa’ ditangguhkan.


Para sahabat yang tidak dapat turut serta dalam perjuangan (tidak hadir) dan tidak punya sumbangan mengalami kesedihan yang luar biasa meskipun secara hukum syar’ie tidak ada beban dosa terhadap mereka.



Tapi secara moral (psikologi) sebagai aktivis dakwah, ketika tidak terlibat atau tidak mampu memberi sumbangan, mereka tetap ada beban moral walaupun tidak berdosa.


Oleh yang demikian, pada prinsipnya, keterlibatan dalam dakwah adalah penglibatan yang aktif  secara nyata dan mempunyai  sumbangan yang terus menerus.

Dalam peristiwa Perang Tabuk, diceritakan di dalam Al Qur’an bahwa tiada berdosa orang– orang yang datang kepada Rasulullah saw supaya Rasulullah saw membawa mereka (pergi berperang), lalu Rasulullah saw berkata kepada mereka :


“Aku tiada memperolehi perbelanjaan untuk membawa kamu”


Beberapa orang sahabat datang kepada Rasulullah saw meminta untuk diberi kemudahan untuk diangkut, diberi kenderaan untuk pergi ke medan perang, tapi Rasulullah saw mengatakan :


“Saya tidak mampu lagi menyediakan kemudahan untuk kamu kerana sudah sangat terbatas. Sudah tidak ada lagi dana, kenderaan atau kemudahan. Kamu tinggal sahaja di rumah kamu, kerana tidak ada uzur (dosa) bagi kamu.”


Dan ketika Rasulullah saw mengatakan perkara tersebut, air mata mereka mengalir sedih.

Mengapa demikian?


Ini adalah kerana mereka tidak dapat bergabung atau tidak dapat memberi sumbangan.


Adalah menjadi suatu kerugian yang sangat besar ketika kita sebagai aktivis dakwah kemudiannya tidak mempunyai apa-apa sumbangan serta tidak terlibat secara aktif kerana orang lain sibuk mendapatkan pahala atau kesempatan untuk mendapatkan penghormatan memasuki ke syurga Allah bersama dengan para Nabi, manakala kita pula tertinggal di belakang.


Inilah yang mesti difahami betul-betul oleh para aktivis dakwah bahwa kita perlu bergerak atau sibuk dengan kerja-kerja atau urusan–urusan dakwah.

Sebagai contoh, dalam Perang Tabuk, Abu Zar Al Ghifari secara moralnya tidak perlu hadir, tidak perlu berangkat, tidak perlu terlibat dan tidak perlu berperanan kerana beliau dalam keadaan uzur. Namun beliau tetap berangkat walaupun perlu berjalan kaki bersendirian sejauh 700 meter dari Madinah ke Syam di bawah panas terik matahari.


Kenapa?


Ini adalah kerana beliau benar-benar memahami bahwa sebagai aktivis dakwah, beliau dituntut untuk memberikan kesetiaan dan terlibat secara aktif dalam perjuangan.


Ketika kita sudah mengikrarkan diri sebagai aktivis dakwah, maka kita perlu berangkat. Ertinya ketika sudah menyatakan diri sebagai aktivis dakwah, maka kita perlu berangkat atau terlibat dalam setiap aktiviti dakwah selama ada modal iman, modal motivasi serta akal dan fikiran yang sihat.


Kefahaman terhadap kemurnian dalam berharakah, seseorang aktivis dakwah mestilah terus bergerak aktif dan produktif apalagi kita dituntut untuk lebih cepat atau agresif untuk mendapat kemenangan dakwah.


Tidak mungkin kita akan meraih kemenangan yang besar jika kita sendiri masih berat untuk melangkah.


Semata-mata melangkah dengan cepat belum tentu mampu memenangkan dakwah apalagi jika kita melangkah dengan lambat dan penuh longlai.


Aktivis dakwah mesti perlu melompat cepat dan bertindak agresif untuk melakukan pengembangan jika memiliki cita–cita yang mulia iaitu bagi memenangkan dakwah.


Ingatlah baik–baik pesanan Imam Hasan Al Banna apabila beliau mengatakan :


“Tidak layak untuk dakwah ini kecuali orang yang siap sedia membela dakwah dengan segala potensi yang ia miliki.”


Ertinya sebagai aktvis dakwah,  kita perlu bersedia untuk berkorban waktu, tenaga, fikiran, harta benda, istirehat, darah, nyawa dan lain-lainnya kerana dakwah adalah darah daging bagi aktivis dakwah yang layak mendapat kemenangan dari Allah.


Oleh yang demikian, penglibatan dalam dakwah adalah semangat bekerja. Apalagi ketika kita di hadapkan kepada banyak fitnah, godaan, ujian, huru hara dan gelap gulita.


Kita hidup dalam keadaan zaman yang rosak, yang boleh jadi bertambah kerosakannya jika kewujudan dakwah terancam disebabkan sikap pasif para aktivis dakwah sendiri.


Banyaknya fitnah, huru hara dan kegelapan boleh menjadikan seseorang di pagi hari dalam keadaan mukmin namun pada petang hari ia menjadi kafir atau di petang hari ia masih mukmin namun pada pagi keesokan harinya menjadi kafir.


Apa yang Rasulullah saw gambarkan itu benar–benar mulai menunjukkan gejala atau petanda kerosakan yang hebat, di mana kita menghadapi kekacauan yang luar biasa.


TIDAK ADA PILIHAN


Persoalannya, apakah yang perlu dilakukan oleh aktivis-aktivis dakwah untuk menghadapi situasi ini?


Tidak ada pilihan lain untuk menghindarkan diri dari perkara tersebut agar selamat kecuali dengan amal.


Segeralah berbuat atau beramal sebelum kedatangan kekacauan yang luar biasa dan lebih besar lagi kerana di saat itu, kita akan kesulitan untuk membezakan antara yang hak dan yang batil.

Harakah mestilah tersusun kemas dalam sebuah organisasi kerana dakwah akan lebih produktif dan harakah dapat berjalan secara berkesan jika ia bergerak dalam bentuk struktur yang tersusun.


Para aktivis dakwah perlu menghindarkan diri dari melakukan amal–amal yang tidak tersusun. Walaupun nampak amalnya bagus dan baik, tapi tidak tersusun kerana tidak masuk dalam struktur organisasi dan amal ini tidak banyak manfaatnya kerana program–program yang sifatnya tidak teratur dan tersusun.


Kita seringkali bersikap melakukan pembenaran terhadap amal–amal yang tidak teratur dan tersusun dengan berhujah bahwa :


“Ini kan dakwah juga…,”


Sebagai aktivis dakwah, kita perlu ingat, cara–cara yang tidak teratur dan tersusun hanya memberi kesan sejenak dan dalam jangka masa panjang mungkin memberi kesan buruk bagi dakwah.


Padahal yang kita inginkan adalah dakwah yang teratur dan tersusun dalam bingkai polisi atau strategi umum dakwah dan bukannya hanya sekadar bergerak bersendirian di luar struktur organisasi kerana kalau sekadar bergerak begitu, maka ianya akan lebih banyak mudaratnya bagi dakwah.

Ilustrasi amal yang tidak teratur dan tersusun yang berada di luar struktur organisasi boleh diibaratkan seperti air.


Air kalau tidak mengalir ke parit-parit atau terusan-terusan yang telah dipersiapkan, ia akan merosakkan laluan dan mungkin akan melimpah ke jalan tar yang akan menyebabkannya menjadi berlubang lalu akan menimbulkan kesesakan laluan akibat banjir.


Begitu juga ketika kita berharakah dalam keadaan yang tidak tersusun dan tidak tertib, kecenderungannya akan menyebabkan kerosakan seperti aliran air yang tidak mengalir melalui parit dan terusan tadi.


Oleh yang demikian, gerakan yang kita lakukan mestilah menjurus kepada konsep tarbiyah, ertinya jangan kerana kita terlalu aktif menyebabkan kita lupa pada tarbiyah.


Ada sebahagian aktivis dakwah yang aktif dalam berbagai lembaga, institusi dan organisasi massa, namun dia lupa untuk mentarbiyah dirinya sendiri, padahal amal haraki akan hanya memberi banyak faedah apabila ianya bermula dari tarbiyah kerana dengan tarbiyahlah kita sentiasa diingatkan tentang :


a.       Keikhlasan.
b.      Kesabaran.
c.       Istiqamah.

agar hati kita tetap terjaga.

Yang sangat disayangi, ada sebahagian aktivis dakwah yang begitu luar biasa aktifnya namun kadang-kadang tidak mencerminkan semangat berharakah.


Ertinya, ia :


1.      Mengajak orang melakukan perubahan serta berbuat baik sementara perilaku hidupnya jauh dari nilai-nilai yang dia seru iaitu bertolak ke belakang dengan apa yang disampaikan kepada masyarakat.
2.      Membicarakan tentang tarbiyah, manakala dia sendiri tidak ditarbiyah dengan baik.
3.      Mengajak kepada dakwah tapi lalai untuk mengimplementasikan nilai dakwah dalam keperibadiannya sebagai aktivis dakwah.

Oleh yang demikian, semangat berharakah mestilah berada dalam kendalian tarbiyah.


Cuba kita renungkan bagaimana dialog di antara sahabat Anshar dengan Rasulullah saw :


“Ya Rasulullah, jika engkau kehendaki, kami siap dengan pedang–pedang kami untuk menghadapi kaum musyrikin saat ini juga.”


Ketika rahsia pertemuan Rasulullah saw dengan para sahabat Anshar diketahui atau dibocorkan, maka Rasulullah saw mengatakan :


“Lebih baik kamu pulang ke kampung kamu masing–masing menyebarkan dakwah, memperbanyakkan pengikut, memperluaskan dakwah dan kita belum sampai waktunya untuk melakukan ini dan pada saatnya tiba, kita akan melakukan ini.”

Jika penjagaan terhadap kemurnian dakwah kita fahami dengan baik, InsyaAllah kita akan menjadi aktivis dakwah yang terkedepan untuk sentiasa menjaga kemurnian dakwah.


Dalam kerja dakwah yang berat ini, tentu sangat diperlukan kefahaman yang utuh mengenai kemurnian dakwah sehingga kita dapat mengembalikan umat ini kepada kemurnian dakwah yang memiliki landasan yang kuat dan kukuh kerana adalah sesuatu yang mustahil kita akan dapat memenangkan dakwah sementara kita tidak segera kembali kepada kemurnian dakwah yang sebenarnya.


Ya Allah, tetapkanlah kaki kami di atas landasan kemurnian dakwahMu kerana hanya berpegang teguh dengan kemurnian dakwahMu akan menjamin kemenangan yang hakiki samada yang kami dapat kecapi dengan tertegaknya syariatMu di mukabumi atau ganjaran yang tidak terhingga dalam memasuki syurgaMu di akhirat nanti.


Ameen Ya Rabbal Alameen
WAS

[ Read More ]
Read more...
Newer Posts Older Posts
Subscribe to: Posts (Atom)

Yang Setia

Pautan

  • Muharikah
    Antara dua pilihan
    4 years ago
  • Angel Pakai Gucci!
    Doa Itu Bom Nuklear Bagi Orang Mu'min!
    6 years ago
  • Majalah Jom!
    Isu 45: ALAMAK, AKU SALAH PILIH! (EDISI ISTIMEWA)
    10 years ago
  • دعوتنا DAKWATUNA -dakwahkite-
    Di antara Kefahaman dan Pelaksanaan (Sudut Pandang Parti Kebebasan dan Keadilan FJP – Mesir)
    11 years ago
  • ZADUD-DUAT
    Wahai Ikhwah, Persaudaran adalah rahsia kekuatan anda
    12 years ago
  • Popular
  • Recent
  • Archives
 

Diri Ini

My photo
WAS
Blog ini memaparkan bahan-bahan bacaan dan artikel yang boleh meningkatkan ilmu dan kefahaman Islam anda..
View my complete profile

Blog Ini Menarik??

Yang Paling Digemari

  • Memohon Dari Al Jabbar
    Seringkali manusia terjebak oleh pemikirannya sendiri dan merasa mampu untuk merancang segala sesuatu. Padahal tidak ada kekuatan dalam d...
  • Kepentingan Intima' Jamai'e
    Sebuah Jamaah yang berjuang untuk : 1.       Mengembalikan manusia pada penghambaan kepada Allah swt semata-mata. 2.       Mengemba...
  • Kedahsyatan Perosak Dajjal
    Kita sekarang sudah berada di akhir zaman di mana tanda-tanda hari kiamat terutama tanda-tanda kecil sudah banyak kelihatan dan kini han...
  • Bijaksana Dalam Menyikapi Perbezaan
    Perbezaan pendapat di tengah-tengah kehidupan manusia adalah suatu perkara yang lumrah dan tidak dapat dielakkan.  Setiap orang mener...
  • Mutiara Hikmah Para Duat

Arkib

  • ▼  2017 (1)
    • ▼  April (1)
      • Mutiara Hikmah Para Duat
  • ►  2016 (4)
    • ►  September (2)
    • ►  March (1)
    • ►  January (1)
  • ►  2015 (39)
    • ►  November (1)
    • ►  October (2)
    • ►  September (2)
    • ►  August (3)
    • ►  July (1)
    • ►  June (5)
    • ►  May (6)
    • ►  April (6)
    • ►  March (6)
    • ►  February (2)
    • ►  January (5)
  • ►  2014 (42)
    • ►  November (5)
    • ►  October (4)
    • ►  August (4)
    • ►  July (1)
    • ►  June (9)
    • ►  May (8)
    • ►  April (4)
    • ►  February (3)
    • ►  January (4)
  • ►  2013 (72)
    • ►  December (1)
    • ►  November (5)
    • ►  October (4)
    • ►  September (5)
    • ►  August (6)
    • ►  July (5)
    • ►  June (7)
    • ►  May (5)
    • ►  April (7)
    • ►  March (7)
    • ►  February (9)
    • ►  January (11)
  • ►  2012 (163)
    • ►  December (8)
    • ►  November (9)
    • ►  October (9)
    • ►  September (9)
    • ►  August (6)
    • ►  July (12)
    • ►  June (9)
    • ►  May (15)
    • ►  April (16)
    • ►  March (18)
    • ►  February (24)
    • ►  January (28)
  • ►  2011 (93)
    • ►  December (24)
    • ►  November (69)

Susunan

  • Akhlak (6)
  • Aqidah (17)
  • Dakwah (73)
  • Fikrah (74)
  • Ilmu (38)
  • Motivasi (10)
  • Muslimah (3)
  • Mutiara Hikmah (12)
  • Mutiara Hikmah Para Duat (21)
  • Mutiara Hikmah Ramadhan (3)
  • Renungan (31)
  • Ruhiyah (8)
  • Tarbiatuna (5)
  • Tarbiyah (34)
  • Tausiyah (31)
  • Tokoh (8)
  • Uslub (11)
  • Video (29)

Panji Islam

Asmaaul Husna

Kalam Hikmah

Coretan Anda

Pengunjung

Detik Kehidupan

Hari Ini

Waktu Solat

Pelawat


widgets

Selamat Melayari

  • NEW POSTS
  • COMMENTS
  • flickr

    Get your Flickr ID!
 
 
© 2011 Tinta Perjalanan | Designs by Web2feel & Fab Themes

Bloggerized by DheTemplate.com - Main Blogger