skip to main | skip to sidebar

Tinta Perjalanan

Pages

  • Home
 
  • RSS
  • Facebook
  • Twitter
  • Linkedin
  • Youtube
  • DheTemplate.com
  • Free Templates
  • Drop Menu 1
    • Child Menu 1.1
    • Child Menu 1.2
    • Child Menu 1.3
  • Drop Menu 2
    • Child Menu 2.1
    • Child Menu 2.2
    • Child Menu 2.3
  • Daily Update Templates

Ahlan Wasahlan


Perjalanan Menuju Allah.

Tuesday, 21 May 2013

Harga Sebuah Perjuangan

Ditulis Oleh WAS Pada 09:27 – 0 Komen Anda
 

Cuba kita renungkan apakah yang kita rasakan pada hari-hari yang mendatang ini pada diri kita dan juga dakwah yang kita bangunkan.

Jangan kita rasakan bahwa ini perkara biasa kerana dakwah adalah suatu pekerjaan yang luar biasa dan para pendakwah juga merupakan golongan manusia yang luar biasa justeru, goncangan terhadap dakwah dan pendakwah juga bukan suatu yang biasa-biasa sahaja kerana musuh tidak akan berdiam diri sehingga mereka akan menggempur dakwah dan pendakwah samada melalui serangan dari luar atau dari dalam sehingga dakwah ini akan kepupusan pendokong dan akhirnya seruan dakwah yang mulia ini tidak mahu dipikul oleh sesiapapun lagi.

Abul Hasan Ali An Nadawi mengingatkan kita tentang fenomena ini dengan berkata :

“Kita mesti mengeluarkan rijal yang boleh :

a.      Menegakkan dakwah.
b.      Menguruskan pentadbirannya.
c.       Mentarbiah rijal lain.
d.      Memenuhi segala lompang.

Mana-mana gerakan, dakwah atau institusi meskipun mempunyai kekuatan dan bilangan pendokong yang ramai, namun ia tetap terdedah kepada mara bahaya.

Bahkan dalam masa yang singkat, ia akan kehilangan pendokong-pendokongnya seorang demi seorang hingga tiba suatu hari nanti ia akan kehilangan kesemua pendokongnya.

Kita perlu membentuk dan membina pewaris dakwah serta mengisi setiap peluang kerana sesungguhnya ancaman pengurangan aktivis dakwah akan berlaku dan akan mengancam dakwah.”

Jadi, untuk apakah perjuangan ini perlu dipikul?

Syurga! Ya, kerana syurga itu mahal dan sangat indah!

Maka, medan yang mesti kita tempuhi, halangan dan rintangan yang menghadang serta musuh yang mesti dikalahkan juga bukan calang-calang di mana jumlah mereka begitu banyak dan kuat manakala sikap mereka begitu ganas, buas dan tidak pernah merasa keletihan.

Namun, setelah itu justeru pertolongan Allah Azza wa Jalla begitu dekat kerana semua tipu daya dan kekuatan mereka begitu lemah berbanding kekuatan Allah yang Maha Gagah dan Maha Perkasa (Qawwiyun ‘Aziz).

Sungguh, kita bukanlah orang yang pertama yang merasakannya, maka tersenyumlah dan berbahagialah kerana kumpulan orang-orang mulia dan besar telah menanti kita untuk bersatu dalam barisan mereka. Bukankah ini sebuah kemuliaan bagi kita?

Mari kita perhatikan ketika Rabb kita telah menceritakan fenomena ini.

“Apakah kamu mengira bahwa kamu akan masuk syurga, padahal belum datang kepadamu (cobaan) sebagaimana halnya orang-orang terdahulu sebelum kamu? mereka ditimpa oleh malapetaka dan kesengsaraan serta diguncangkan (dengan bermacam-macam cobaan) sehingga berkatalah Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya: “Bilakah datangnya pertolongan Allah?” Ingatlah, Sesungguhnya pertolongan Allah itu amat dekat.” (QS Al-Baqarah : 214)

Sungguh, hari yang dijanjikan-Nya telah datang iaitu hari di mana kita sendiri dan sedikit dari kalangan manusia yang mahu mengerti akan keadaan kita dan menjadi pembela kita.

Sungguh, Islam yang kita bawa menjadikan kita sebagai ‘ghurabaa’ (orang asing yang tersisih), bahkan di hadapan umat sendiri.

Di setiap arah dan penjuru, berbagai entiti dan kekuatan sedang menghalang kelajuan kita dan cuba melumpuhkan gerakan kita. Setiap bentuk fitnah, dusta, kebencian, dendam dan amarah bersekutu menjadi satu, dengan tujuan yang sama iaitu bagi melenyapkan kita.

Namun percayalah, kita tidak akan lenyap dengan izin Allah swt, justeru peristiwa itu akan menambah iman dan ketundukan kita kepada Allah Azza wa Jalla.

Bacalah firman Allah swt ini :

“Dan tatkala orang-orang mukmin melihat golongan-golongan yang bersekutu itu, mereka berkata: “Inilah yang dijanjikan Allah dan Rasul-Nya kepada kita”. dan benarlah Allah dan Rasul-Nya. Dan yang demikian itu tidaklah menambah kepada mereka kecuali iman dan ketundukan.” (QS Al-Ahzab : 22)

Inilah zaman itu dan inilah masanya iaitu zaman dan masa di mana :

1.      Yang dusta dipercayai.
2.      Yang benar didustakan.
3.      Pengkhianat diberi amanah.
4.      Yang amanah malah dikhianati.

Rasulullah saw bersabda :

“Akan datang kepada manusia tahun-tahun penuh kedustaan, saat itu pendusta dipercayai, sedangkan orang benar justeru didustakan, pengkhianat diberikan amanah, orang yang amanah justeru dikhianati, dan saat itu Ruwaibidhah berbicara.” Ada yang bertanya: “Apakah Ruwaibidhah itu?” Baginda bersabda: “Seorang laki-laki yang bodoh namun dia membicarakan urusan orang banyak.” (HR Ibnu Majah, Ahmad, Al-Bazzar, Ath-Thabarani dan Al-Hakim)

Inilah zaman itu iaitu zaman di mana manusia sentiasa membicarakan dan menyampaikan apa yang didengarnya, tidak peduli samada benar atau salah, fakta atau dusta dan perilaku itu cukuplah disebut sebagai pendusta.

Dengarlah nasihat dari lisan manusia yang paling mulia :

“Cukuplah seseorang disebut pendusta jika selalu menceritakan apa-apa yang didengarkannya.” (HR Muslim)

Wahai pengamal media dan wartawan, pernahkah kamu membaca hadith di atas?

Apa yang perlu kita sedihkan?

Apa sebenarnya keluhan kita terhadap mereka?

Jika kita tidak memiliki media, TV, suratkhabar, majalah dan berita ‘online’ untuk melawan gelombang kekejian ‘ahlul fitnah’ (tukang buat fitnah), namun kita

a.       Masih memiliki iman untuk dapat membezakan mana kebohongan dan mana kejujuran serta mana kebenaran dan mana kebatilan.
b.      Masih memiliki ukhuwah yang menjadi benteng kukuh untuk menghalang gempuran mereka.
c.       Masih memiliki banyak ladang amal soleh untuk mencapai “khairun naas anfa’uhum lin naas.” (sebaik-baik manusia, yang paling bermanfaat kepada sesama manusia)

Walaupun mereka menghasilkan semua media yang mereka rancangkan dan memanggil pelabur-pelabur mereka serta melontarkan semua dana yang mereka miliki untuk tujuan tersebut, namun semua itu kecil dan tiada kesan yang besar terhadap kita kerana kita telah biasa berjuang dalam keadaan susah dan serba kekurangan, walaupun untuk menghadapi lawan dan pendengki yang lebih besar dari kita kerana kita sentiasa bersandar kepada Allah Yang Maha Besar!

Di saat kita makan, tidur, solat, tilawah, menghadiri halaqah-halaqah tarbawiyah dan ta’limiyah dan sebagainya, justeru musuh-musuh kita sentiasa sibuk mencari-cari kesalahan kita di mana mereka akan merasa geram, sakit hati dan sempit dada lalu menghabiskan waktu dengan tujuan untuk menjatuhkan kita.

Usaha mereka yang begitu besar untuk melukai perasaan kita adalah bukti betapa besarnya perhatian mereka terhadap kita.

Bukankah ini juga sebuah kemuliaan?

Kita dianggap begitu berharga bagi mereka sehingga mereka tidak mahu kehilangan saat berharga untuk menjatuhkan kita, dari dekat atau jauh.

Jika kita sakit atau letih, mereka juga sebenarnya merasakannya! Maka, jangan merasa lemah ketika menghadapi mereka, kerana kita masih mempunyai kekuatan disebabkan masih ada pelindung kita iaitu Allah Azza wa Jalla yang menjadi tumpuan dan harapan kita.

Allah swt menasihatkan kita semua :

“Janganlah kamu berhati lemah dalam mengejar mereka (musuhmu). Jika kamu menderita kesakitan, Maka Sesungguhnya mereka pun menderita kesakitan (pula), sebagaimana kamu menderitanya, sedang kamu mengharap kepada Allah apa yang tidak mereka harapkan. Dan adalah Allah Maha mengetahui lagi Maha Bijaksana.” (QS An-Nisa : 104)

Maka,
1.      Tetaplah beriman bukan bermain.
2.      Teruslah belajar bukan bersifat kurang ajar.
3.      Teruslah bekerja untuk manusia walaupun kita dikerjakan oleh orang lain.
Jadilah seperti pohon, walaupun manusia melemparnya dengan batu tapi pohon tersebut membalas mereka dengan buah-buahan segar.
‘Mihnah’ atau tribulasi yang dihadapi oleh para pendakwah  dalam perjalanan dakwahnya adalah semakin bertambah dan meningkat.

Kebohongan dan kezaliman yang berupa tuduhan-tuduhan palsu yang dilontarkan kepada dakwah dan para pendakwah ini akan :

a.       Membusukkan nama baik kita.
b.      Menghina kita.
c.       Mengelabui mata masyarakat.

supaya mereka lari dari dakwah dan seruan Allah.

Ini bukanlah satu persoalan yang baru atau asing dalam perjalanan dakwah yang benar. Sejak zaman dahulu, barisan ‘thaghut’ dan angkatan jahiliyah sudah melontarkan tuduhan palsu ini kepada Rasulullah saw.

Mereka menuduh Nabi sebagai tukang sihir, orang gila, pembohong, pemecah belah masyarakat, memisahkan antara bapa dan anak serta berbagai tuduhan keji lainnya.
Memang kejadian seperti itu membuatkan dada kita terasa sesak dan kegeraman serta kemarahan pun kadang-kadang secara naluri insaniyahnya akan muncul.

Namun, yang penting bagi kita sebagai aktivis dakwah adalah untuk tetap mempertahankan sikap :

1.      ‘Istiqrar nafsi’ (ketenangan / kestabilan jiwa).
2.      ‘Istiqrar tanzhimi’ (ketenangan struktur organisasi).

Jangan sampai kesibukan yang banyak, tentangan, ujian dan fitnah yang semakin berat justeru membuatkan jiwa dan peribadi aktivis dakwah menjadi kacau dan tergoncang, kerana kalau sudah seperti itu, kita akan menjadi jiwa yang kalah sebelum terjun ke medan pertempuran.

Jangan sampai goncangan ini membuatkan aktivis dakwah terguling serta jangan sampai jerat-jerat yang terpasang ini membuatkan kita terperosok.

Dalam keadaan seperti inipun, kita wajib bersyukur kerana kita menjadi orang yang dizalimi dan bukan orang yang berlaku zalim kerana ini membuktikan bahwa diri kita sedang menempuh jalan yang benar sebagaimana jalan para Rasul yang mendapat gangguan dan siksaan.

Oleh yang demikian, kita semakin perlu untuk perkuatkan keikhlasan kita dan sentiasa bersihkan niat dari kotoran riya’ dan duniawi tidak sepertimana yang dicari oleh orang-orang yang haus kekuasaan dari kalangan tokoh-tokoh masyarakat biasa.

Dalam keadaan ini kita mesti tetap bersabar, walaupun sabar bukan bererti ridha dengan kezaliman kerana kesabaran adalah faktor kemenangan dalam menghadapi ujian dan cobaan, maka kita iringi pengaduan dan perlindungan kita hanya kepada Allah swt semata-mata.

Sekali lagi Tarbiyah Islamiyah mengajarkan kepada kita iaitu jangan sampai kerana sesak dada dan geramnya kita terhadap kezaliman membuatkan kita beremosi lalu mencaci dan melaknat.

Biarlah Allah sendiri yang menghukumnya, namun kita sebagai aktivis dakwah hanya menyebutnya 'secara umum' dalam doa dan seruan kita :

a.       “Perhatikanlah, laknat Allah untuk orang-orang yang zalim.”
b.      “Ya Allah, Hancurkanlah orang-orang yang zalim.”
c.       “Ya Allah, gilirkanlah kebinasaan pada orang-orang yang zalim”.

“Dan (bagi) orang-orang yang apabila mereka diperlakukan dengan zalim mereka membela diri. Dan balasan suatu kejahatan adalah kejahatan yang serupa, maka barangsiapa memaafkan dan berbuat baik maka pahalanya atas (tanggungan) Allah. Dan sesungguhya orang-orang yang membela diri sesudah teraniaya, tidak suatu dosa pun atas mereka. Sesungguhnya dosa itu atas orang-orang yang berbuat zalim kepada manusia dan melampaui batas di muka bumi tanpa hak. Mereka itu mendapat azab yang pedih." (QS Asy Syura : 39-42).

Wahai para penegak kebenaran!, biarlah mereka (orang-orang yang zalim itu) menuduh kita orang yang mabuk kekuasaan dengan bertopengkan agama dan berbagai tuduhan dan propaganda liar dan palsu untuk memburuk-burukkan dakwah dan para pejuangnya, agar  masyarakat lari dan menjauhkan diri serta tidak memilih kita.
Tapi sungguh, tidak ada yang dikehendaki Allah kecuali kebaikan untuk dakwah dan para aktivisnya. Yakinlah bahwa Allah yang Maha Kuasa dan Maha Mengetahui akan menampakkan hakikat yang sebenarnya di mana rancangan mereka akan terbuka dan sejarah akan mencatat segala tuduhan palsu dan propaganda liar mereka.
Wahai pejuang keadilan, peganglah dada kita semua dan rasakan bahwa aroma kemenangan itu semakin mendekat.
Dalam sejarah dakwah, halangan dan rintangan sudah menjadi sunnatullah di mana Nabi saw pernah berdoa :

"Ya Allah, tetapkanlah tanah tempatku berpijak"

Situasi yang kita hadapi sekarang adalah mata rantai dari ujian-ujian dakwah sebelumnya di mana menjadi sunatullah bahwa akan terus ada usaha-usaha terancang untuk menyekat dan menghalang perkembangan dakwah, namun yang penting adalah bagaimana kemampuan kita untuk mengembangkannya melalui kerja yang nyata.

Kita sebagai pendakwah diperintahkan oleh Allah swt bahwa apabila menghadapi sesuatu yang sukar serta suasana yang menghimpit, maka kita kena cepat-cepat kembali kepada Allah (fafirruu ilallah..).

Dengan tadabbur melalui ayat-ayat Allah ini, dalam menghadapi berbagai masalah, ancaman dan perancangan jahat musuh, maka kita mesti memiliki bekalan-bekalan iaitu :

PERTAMA : ‘ATSBATU MAUQIFAN’ (MENJADI ORANG YANG PALING TEGUH PENDIRIAN / PALING KUKUH SIKAPNYA)

‘At-Tsabat’ (keteguhan) adalah buah dari kesabaran.

‘Tsabat’ adalah nafas rijalul haq sepanjang zaman. Ia adalah nafas Al Khalil Ibrahim as yang sentiasa sihat bertenaga bahkan ketika menghadapi api membakar yang akan melahapnya. Begitu juga ia menjadi nafas Bilal yang tegar ditindih oleh batu besar serta ia juga menjadi nafas Sumayyah yang menjadi syahidah pertama di kalangan para muslimah.

“…mereka tidak menjadi lemah kerana bencana yang menimpa mereka di jalan Allah, dan tidak lesu dan tidak (pula) menyerah. Allah menyukai orang-orang yang sabar…” (QS Ali Imran : 146)

‘Tsabat’ ertinya memiliki kekukuhan sikap dan keteguhan prinsip, amanah dan profesional dalam segala perkara. Ia tidak menggadaikan prinsip dengan kebendaan dan tidak menukar keyakinan dengan jawatan. Bekerjalah dan berkaryalah dengan keyakinan, sikap dan prinsip untuk membuktikan janji serta meneguhkan komitmen untuk meraih taqwa.

Orang-orang yang ‘tsabat’ tetap bersabar sehingga manusia beranggapan bahwa perjuangan mereka dibayar, cita-cita mereka dikemudi dan tujuan mereka hanya dunia. Namun, ‘tsabat’ diperlukan untuk sampai pada tahap di mana masyarakat akan memahami perjuangan pendakwah yang sesungguhnya, jauh dari prasangka mereka yang selama ini dibangunkan oleh kerosakan perilaku dakwah oleh sebahagian kalangan manusia.

Keteguhan itu membuatkan kita tenang, mempunyai akal yang rasional, bersikap objektif dan mendatangkan kepercayaan Allah untuk memberikan kemenangan kepada kita.

Yakinlah dengan jaminan Allah bahwa :

“Sesungguhnya orang-orang yang mengatakan: “Tuhan kami ialah Allah” kemudian mereka meneguhkan pendirian mereka, maka malaikat akan turun kepada mereka dengan mengatakan: “Janganlah kamu takut dan janganlah merasa sedih; dan gembirakanlah mereka dengan syurga yang telah dijanjikan Allah kepadamu.” (QS Fushshilat : 30)

Keteguhan sikap kadang-kadang boleh menimbulkan kekerasan dan oleh yang demikian, ia perlu diimbangi dengan sifat yang berikut.

KEDUA : ‘ARHABU SHADRAN’ (MENJADI ORANG YANG PALING BERLAPANG DADA)

Sikap yang paling menonjol dari Nabi saw adalah lapang dada, selalu ridha, optimis, berfikir secara positif, tidak mempersulitkan diri sendiri dan orang lain, memudahkan, menggembirakan, menebar kebaikan dan senyuman.

Teladanilah Rasulullah saw untuk mendidik diri agar lebih menyerlahkan sifat memberi kebahagiaan, penuh kelembutan dan berlimpah kasih sayang terhadap siapa sahaja. Itulah kesolehan sosial yang kekuatannya sungguh luar biasa.

“Maka disebabkan rahmat dari Allah-lah kamu berlaku lemah lembut terhadap mereka. Sekiranya kamu bersikap keras lagi berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri dari sekelilingmu. Kerana itu ma’afkanlah mereka, mohonkanlah ampun bagi mereka..” (QS Al Imran : 159)

KETIGA : ‘A’MAQU FIKRAN’ (MENJADI ORANG YANG PALING DALAM PEMIKIRANNYA)

Pendakwah sentiasa mendalami apa sahaja peristiwa yang berlaku dan ia tidak terlena pada  sesuatu fenomena malah ia berusaha untuk melihat apa yang tersirat di sebalik fenomena tersebut.

Ketika dia merespon kepada fenomena tersebut, ia akan bersikap objektif, terukur dan seimbang melihat dari berbagai sudut agar tepat sasaran dan matlamat yang hendak dicapai.

Pemikiran yang mendalam kadang-kadang membuatkan kita terjebak pada cara berfikir dalam kotak yang sempit, maka perlu segera diimbangi pula dengan bekalan yang seterusnya.

KEEMPAT : ‘AUSA’U NAZHARAN’ (MENJADI ORANG YANG PALING LUAS PANDANGANNYA)

Jika kita melihat dari atas, maka pandangan kita lebih tajam daripada hanya melihat dari bawah atau mendatar sahaja. Dengan itu, pandangannya akan lebih luas dan mendalam sehingga meliputi segala aspek samada politik, sosial, ekonomi, pendidikan mahupun budaya.

Dengan memiliki wawasan global, pendakwah diharapkan tidak akan berfikiran sempit pada bidang tertentu sahaja sehingga melupakan kesepaduan kefahaman terhadap ilmu dan pengembangan dunia kontemporari.

Belajarlah menggabungkan antara pengetahuan yang komprehensif, bersifat rentas pelbagai disiplin dengan penguasaan yang tuntas terhadap satu bidang ilmu sebagai pengkhususannya.

Dengan itu, sebagai seorang pendakwah, kita sentiasa berbicara dengan isi yang luas dan dalam, bersepadu dan tajam, bernilai tinggi dan terasa penuh dengan ilmu.

KELIMA : ‘ANSYATHU AMALAN’ (MENJADI ORANG PALING GIAT DALAM BEKERJA)

“Sesungguhnya amal yang dicintai Allah adalah yang berterusan, meskipun sedikit.”

Bukan suatu perkara yang mudah untuk istiqamah dalam amal ibadah tapi ia boleh dicapai  asalkan kita membiasakan pada diri kita. Pada permulannya, kita melakukan kebiasaan itu dan kemudiannya kebiasaan itu yang akan menjadi darah daging kita.

Keseriusan, ketekunan dan kerja kuat, itulah yang menghantarkan seseorang pada darjat yang mulia sepertimana ketekunan Bilal bin Rabah yang menjaga dengan istiqamah keadaan suci pada dirinya dengan wudhu’ dan solat 2 rakaat selepasnya yang akhirnya membawanya ke syurga.

Kita mesti menjadi orang yang paling giat bekerja dan paling aktif dalam memenuhi tuntutan Allah kepada kita dengan aktiviti yang mempunyai daya pacu dan daya saing.

KEENAM : ‘ASHLABU TANZHIMAN’ (MENJADI ORANG YANG PALING KUKUH STRUKTUR DAN PENGURUSANNYA)

“Sesungguhnya Allah menyukai orang yang berperang dijalan-Nya dalam barisan yang teratur seakan-akan mereka seperti suatu bangunan yang tersusun kukuh.” (QS Ash Shaff : 4)

Kita hidup dalam sebuah zaman yang mana ahli-ahlinya bercirikan masyarakat jaringan dan organisasi. Semua aktiviti manusia dilakukan di dalam dan melalui organisasi samada dalam bentuk pemerintahan, politik, ketenteraan, perniagaan, kegiatan sosial kemanusiaan, rumah tangga dan lain-lain.

Itu merupakan kata kunci yang menjelaskan mengapa masyarakat moden menjadi sangat berkesan, efisyen dan produktif.

Masyarakat moden bekerja dengan kesedaran bahwa keterbatasan-keterbatasan yang ada pada setiap individu sesungguhnya dapat dihilangkan dengan mengisi keterbatasan mereka itu dengan kekuatan-kekuatan yang ada pada individu-individu yang lain.

Bagaimanapun, Ali bin Abi Talib ra pernah berkata :

“Kebenaran yang tidak tersusun akan dikalahkan oleh kebatilan yang tersusun dan teratur”.

Musuh-musuh kita mengelola dan mengurus pekerjaan-pekerjaan mereka dengan rapi sementara kita bekerja bersendirian tanpa organisasi dan kalau pun ada, biasanya tanpa sebarang pengurusan yang teliti.

Kita adalah jamaah manusia di mana kita ada kekurangan dan kesalahan. Kita mesti rajin membersihkannya.

Seorang muslim ibarat orang yang tinggal di pinggir sungai dan mandi lima kali sehari. Jika sudah begitu, pertanyaannya adalah : “Masih adakah lagi daki-daki kita?

Hidup berjamaah adalah untuk memobilisasi potensi-potensi kebaikan.

KETUJUH : ‘AKTSARU NAF’AN’ (MENJADI ORANG YANG PALING BANYAK MANFAATNYA)

Sebaik-baik manusia adalah yang paling bermanfaat bagi manusia lain samada manfaat yang bersifat kebendaan, akhlak, penyuluhan dan pelayanan.

Apabila umat ini mengakui bahwa kita yang paling banyak memberikan manfaat, pelayanan dan perhatiannya, maka tentu sahaja manusia akan memberikan kesetiaan kepada yang paling banyak melayaninya, paling banyak memberi manfaat dan yang paling banyak memberikan pembelaan-pembelaannya di dalam segala sektor.

Raihlah kebahagiaan dengan berjuang, ringan membantu sesama manusia dan senang membahagiakan orang lain.

Jadilah peribadi yang boleh diharapkan umpama biji benih yang baik.

Imam Hasan Al Banna berkata tentang biji benih ini dalam “Mudzakkirat Da’wah wa Ad Da’iyah”, bahwa walau di manapun ia ditanam, ia akan menumbuhkan pohon yang baik pula. Itulah sebaik-baik manusia, soleh untuk dirinya hingga bermanfaat pula kepada orang lain.

“Perumpamaan mukmin itu seperti lebah. Ia hinggap di tempat yang baik dan memakan yang baik, tetapi tidak merosakkan.” (HR Thabrani)

“Perumpamaan seorang mukmin adalah seperti sebatang pohon kurma. Apapun yang kamu ambil darinya akan memberikan manfaat kepadamu.” (HR Ath-Thabrani)

1.      Milikilah Allah dengan sentiasa dekat dengan-Nya.
2.      Milikilah Rasulullah dengan mentaati dan meneladaninya.
3.      Milikilah syafaat Al Qur’an dengan membacanya (tilawah), merenungkan(tadabbur), menghafalkan (tahfidz), mengamalkan dan mendakwahkannya.

Kita perlu buktikan bahwa jamaah ini banyak manfaatnya sehingga berhak mendatangkan pertolongan Allah dan pertolongan kaum Mukminin.

Jika ketujuh-tujuh perkara di atas itu dilakukan untuk menghadapi tentangan dan perancangan musuh, insyaAllah dakwah ini akan semakin kukuh dan semakin diterima untuk menghadirkan kebajikan-kebajikan yang diharapkan oleh seluruh bangsa.

Ya Allah, berilah kekuatan kepada kami sehingga kami mampu memikul amanah dakwah ini serta berjuang untuk menegakkan kalimahMu walaupun dalam usaha tersebut, kami menghadapi ujian dan tribulasi kerana itulah sebenarnya harga yang perlu dibayar untuk kami mendapat kenikmatan yang kekal abadi iaitu syurgaMu.

Ameen Ya Rabbal Alameen
WAS
[ Read More ]
Read more...
Wednesday, 8 May 2013

Saat Perlaksanaan Amanah

Ditulis Oleh WAS Pada 21:43 – 0 Komen Anda
 
Kita baru sahaja selesai melaksanakan tanggungjawab memilih pemimpin di kalangan kita yang akan memikul tugas dan amanah yang berat bagi melunaskan segala janji-janji samada berbentuk manifesto atau aku janji yang telah dibuat bagi menarik sokongan rakyat dan masyarakat untuk membangunkan kehidupan yang lebih baik dan sejahtera.

Memandangkan amanah yang berat yang perlu dipikul oleh para pemimpin yang dipilih, maka amat penting untuk kita memahami dan mendalami hakikat amanah yang dipertanggungjawabkan ini.
PENGERTIAN AMANAH

Amanah dalam bahasa arab berasal dari perkataan ‘Al Amaanah’ yang bererti segala yang diperintah Allah swt kepada hamba-hambanya.
Secara khususnya, amanah adalah sikap bertanggungjawab orang yang diberi kepercayaan terhadap barangan, harta benda atau lainnya dengan mengembalikannya kepada orang yang berhak ke atas barangan atau harta benda tersebut.

Sedangkan secara umumnya, pengertian amanah sangat luas sekali sehingga merangkumi :

1.     Menyimpan rahsia.

2.     Tulus dalam memberikan masukan kepada orang yang meminta pendapat.

3.     Menyampaikan pesanan kepada semua pihak secara benar.

4.     Memberi nasihat sesuai dengan permintaan orang yang perlu dinasihati.

Maka, sifat amanah samada secara khusus mahupun umum sangat berkait erat dengan sifat-sifat mulia lainnya seperti jujur, sabar, berani, menjaga kemuliaan diri, memenuhi janji dan adil.

Imam Ibnu Al Atsir berkata bahwa amanah boleh memberi pengertian :

a.      Ketaatan.

b.     Ibadah.

c.      Pemberian.

d.     Kepercayaan.

e.      Jaminan keamanan.
Firman Allah swt :

“Sesungguhnya Kami telah mengemukakan amanah kepada langit, bumi dan gunung-gunung, maka semuanya enggan untuk memikul amanah itu dan mereka khuatir akan mengkhianatinya, dan dipikullah amanah itu oleh manusia. Sesungguhnya manusia itu amat zalim dan amat bodoh.” (QS Al Ahzab : 72)

Begitu juga Imam Ibnu Katsir membawakan beberapa perkataan dari sahabat dan tabi’in tentang makna amanah ini di mana beliau berkata :

“Seluruh perkataan ini, tidak ada pertentangan sesamanya. Bahkan seluruhnya bermakna sama dan kembali kepada satu makna, (iaitu) pembebanan, penerimaan perintah-perintah dan larangan-larangan dengan syarat-syaratnya. Dan hal ini, jika seseorang menunaikannya, maka ia akan diberi pahala. Namun, jika ia menyia-nyiakannya, maka ia pun akan disiksa. Akhirnya, manusialah yang menerima amanah ini, padahal ia lemah, bodoh lagi berbuat zalim. Kecuali orang yang diberi taufiq oleh Allah, dan Allah-lah tempat memohon pertolongan.”
Dari huraian di atas jelaslah bahwa makna amanah adalah :

1.     Ketaatan.

2.     Kewajiban-kewajiban.

3.     (Perintah-perintah) agama.

4.     Batasan-batasan hukum.

Apabila amanah itu ditawarkan atau ditimpakan kepada langit, bumi dan gunung-ganang niscaya mereka enggan untuk menanggungnya kerana sangat agung dan beratnya sebuah amanah untuk menanggungnya.

Namun, manusia dengan sifat lemah dan sedikit kemampuannya mahu menanggung amanah tersebut. Sesungguhnya manusia itu termasuk orang-orang yang menzalimi dirinya dan amat bodoh tingkah lakunya sekiranya dia mahu memikul beban suatu amanah.

Sebenarnya, kesanggupan untuk memikul tanggungjawab berat ini di atas bahu adalah tindakan membahayakan diri sendiri dan oleh yang demikian, manusia adalah makhluk yang menzalimi dirinya sendiri dan jahil serta tidak tahu kemampuannya sendiri.

Namun demikian, jika dia bangkit dengan memikul tanggungjawab itu ketika :

a.      Dia sampai kepada ‘makrifah’ yang menyampaikannya kepada penciptaannya.

b.     Dia mengambil petunjuk secara langsung dari syariat-Nya.

c.      Dia sangat patuh kepada kehendak ‘Rabb’nya.

d.     Dia sedar, mengerti dan memiliki kehendak yang kuat.

Maka sungguh dia telah sampai pada kedudukan yang mulia dan istimewa di antara sekian banyak makhluk Allah swt.

Syeikh Safiurrahman Al Mubarakpuri pula berkata :

“Amanah adalah segala sesuatu yang mewajibkan engkau untuk menunaikannya”.

Sedangkan Syeikh Salim Al Hilali menjelaskan bahwa amanah adalah :

“Sebuah perintah menyeluruh dan mencakupi segala perkara berkaitan dengan perkara-perkara, yang dengannya, seseorang terbeban untuk menunaikannya, atau ia dipercayai dengannya sehingga amanah ini mencakupi seluruh hak-hak Allah ke atas seseorang, seperti perintah-perintahNya yang wajib. Juga meliputi hak-hak orang lain, seperti barang-barang pemberian (yang mesti ditunaikan dan disampaikan kepada si pemiliknya) sehingga, sudah semestinya seseorang yang dibebani amanah itu, ia menunaikannya dengan sebaik-baiknya dengan menyampaikan kepada pemiliknya. Ia tidak boleh menyembunyikan, mengingkari, atau bahkan menggunakannya tanpa izin yang syar’ie.”

Perkataan amanah adalah suatu akar kata yang berkaitan dengan :

a.      Iman.

b.     Aman.

Allah swt menyebutkan bahwa di antara ciri-ciri ahli syurga adalah menjaga amanah.

Firman Allah swt :

“Dan mereka yang menjaga amanah (yang dipikulnya) dan janjinya.” (QS Al-Mu’minun : 8)

Imam Ibnu Katsir dalam Tafsir Al Qur’an Al ‘Azhim berkata :

“Maksudnya, apabila mereka diberi kepercayaan (dalam suatu urusan), mereka tidak berkhianat. Dan apabila mereka mengadakan perjanjian, mereka tidak menyelisihinya. Demikianlah sifat orang-orang yang beriman. Dan kebalikan dari ini, adalah sifat orang-orang munafik. Sebagaimana diterangkan dalam hadith shahih, tanda orang munafiq ada tiga: apabila berbicara ia berdusta, apabila berjanji ia menyelisihi janjinya, dan apabila diberi amanah (kepercayaan) ia berkhianat. Dalam sebuah riwayat, apabila berbicara ia berdusta, apabila berjanji ia menyelisihi janjinya, dan apabila bertengkar ia berbuat curang.”

Sayyid Qutb menjelaskan dalam tafsir “Fi Zilalil Qur’an”, bahwa maksud perkataan amanah dalam ayat tersebut adalah amanah iman.

Dari sini kita boleh mendapatkan beberapa pelajaran :

PERTAMA :

Bahwa menjaga amanah adalah sebahagian dari iman di mana iman seseorang boleh dipersoalkan  jika ia sering berbuat khianat dan tidak melaksanakan amanah sebagaimana semestinya.

Oleh yang demikian, Rasulullah saw menjelaskan bahwa di antara ciri manusia munafik adalah :

“Apabila berbicara ia berdusta, apabila berjanji ia melanggar dan apabila diberi amanah ia mengkhianati.”

Dari sini kita nampak bahwa masalah amanah walauapapun namanya samada jawatan, harta benda, anak-anak dan lain-lain itu kelak pasti akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah swt.

Itulah yang membuatkan Umar bin Al Khatthab tidak selesa untuk tidur ketika diberikan kepadanya amanah kepemimpinan.

Umar sentiasa menangis, sekalipun semua rakyatnya telah menikmati buah keadilan yang ia tegakkan. Ia menangis kerana takut jika di hari Kiamat kelak, akan diketahui bahwa ada seekor kuda yang tergelincir jatuh disebabkan oleh sebuah lubang di jalanraya yang belum ia perbaiki.

MasyaAllah, apalagi jika di zaman kita ini, banyak terdapat lubang-lubang di jalanraya yang akan menyebabkan kenderaan-kenderaan mengalami kerosakan apabila memasuki lubang tersebut.

Adakah pemimpin, wakil rakyat atau kerajaan sekarang merasakan pertanggungjawaban ini?

Umar merasakan bahwa semua itu pasti Allah minta pertanggungjawabannya. Kesedaran seperti inilah yang seharusnya dimiliki oleh setiap pemimpin terhadap amanah yang ia pikul.

Ingatlah bahwa rakyat memilih pemimpin supaya urusan mereka mampu disejahterakan dan bukan untuk membuatkan mereka  semakin menderita.

Maka, setiap penderitaan rakyat di hari akhirat kelak pasti akan dipikulkan kepada pemimpin nya oleh Allah swt.

KEDUA :

Bahwa untuk melaksanakan amanah secara jujur diperlukan :

1.     Iman yang kukuh.

2.     Iman bahwa Allah melihat segala perbuatannya, maka ia akan berhati-hati kerana takut kepada-Nya.

3.     Iman bahwa dunia bukan segala-galanya, melainkan akan dihancurkan dan akan diganti dengan alam akhirat.

Di akhiratlah setiap insan akan diadili di hadapan Allah yang Maha Mengetahui, maka ia akan bersungguh-sungguh melaksanakan amanah tersebut.

Apabila seseorang itu benar-benar mengimani makna amanah ini, maka tidak akan ada amanah yang dikhianati.

Sungguh telah terbukti dalam sejarah, bahwa hancurnya sesebuah negeri dan terabainya kemanusiaan adalah kerana keburukan akhlak pemimpinnya dalam menjaga amanah.

Ingat, bahwa segala kemudahan untuk memenuhi keperluan manusia sudah Allah sediakan secara seimbang. Tidak mungkin Allah menzalimi makhluk-Nya. Maka, jika ternyata ditemui ketimpangan di sana-sini, itu pasti berlaku kerana wujudnya kezaliman yang diperbuat oleh manusia sendiri.

Benar, bahwa dunia ini tidak memerlukan banyak kehebatan dan keahlian manusia. Dunia ini Allah telah lengkapi segala kemudahannya. Bertahun-tahun manusia telah menjalani kehidupan di muka bumi dan terbukti bahwa memang Allah sediakan segala keperluan manusia.

Berdasarkan kenyataan ini, sebenarnya dunia ini hanya memerlukan satu perkataan iaitu  “kejujuran” (menjaga amanah).

Apabila kualiti ini hilang dari perilaku manusia, jangan diharap keseimbangan kehidupan akan berjalan dengan baik, walauapapun keahlian dan kehebatan teknologi yang dicapai oleh manusia.

KETIGA :

Perkataan amanah ini mempunyai persamaan dengan kata aman. Ini menunjukkan bahwa menjaga amanah dan melaksanakannya dengan baik itu adalah mempunyai  pengertian yang sama dengan memberikan rasa aman kepada kemanusiaan. Sebaliknya pula, mengkhianati amanah adalah mempunyai pengertian yang sama dengan menimbulkan kegelisahan bagi kemanusiaan.

Apabila seorang ketua rumah tangga tidak amanah, sudah pasti penghuni rumah tangga tersebut tidak akan memiliki rasa aman di mana isteri dan anak-anak pasti akan dicengkam oleh kegelisahan sepanjang masa.

Lebih-lebih lagi, apabila seorang pemimpin kampung tidak amanah, pasti seluruh penduduk kampung tersebut akan menderita.

Lebih luas lagi, apabila seorang pemimpin daerah atau negeri tidak amanah, sungguh boleh dipastikan bahwa seluruh rakyat di daerah atau di negeri tersebut akan bergelut dengan kesukaran dan jatuh ke dalam jurang penderitaan yang tidak terhingga.

Lalu, cuba pula kita bayangkan apa yang akan menimpa sebuah negara yang apabila  pemimpinnya dan seluruh atau sebahagian barisan kabinetnya tidak amanah, boleh dipastikan bahwa rakyat akan menanggung kos kehidupan yang meningkat disebabkan oleh hutang negara yang tinggi, ketirisan yang tidak dikawal dan pembahagian hasil negara yang tidak seimbang.

KEPENTINGAN AMANAH

Betapa
sedihnya bahwa tatkala sifat amanah ini telah hilang dari sebahagian kaum muslimin, apalagi bagi mereka yang sudah memahaminya namun tidak melaksanakannya dalam kehidupan seharian mereka, maka akan berlakulah kerosakan akhlak dalam masyarakat.

Padahal Allah
swt RasulNya saw telah memerintahkan kepada setiap muslim untuk menunaikan amanah, menjelaskan akibat buruk tentang pengabaian dan kelalaian terhadapnya.

Penyebab utama kenapa seseorang itu terjerumus ke dalam lembah ini adalah kerana kejahilan (kebodohan).

Ke
jahilan seorang muslim terhadap pentingnya masalah amanah, telah membuatnya meninggalkan perintah Allah swt yang sangat agung ini, sekaligus ia telah bermaksiat kepada Allah dan bahkan akan menjadi dosa besar, jika seseorang yang telah mengetahui hukumnya, tetapi justeru menyia-nyiakan amanah itu.

Oleh k
erana itu, sebagai seorang muslim, kita perlu berusaha kuat dan bersungguh-sungguh untuk membebaskan diri dari kejahilan, iaitu dengan menuntut ilmu syar’ie secara umum dan memahami kepentingan amanah ini secara khusus, lalu mengamalkannya.

Selain itu, ia tetap terus memohon dan berdoa kepada Allah swt agar kita sentiasa diberi taufiq, hidayah dan segala kemudahan dalam menuntut ilmu syar’ie, memahaminya serta merealisasikan syariat Islam yang sempurna dan mulia ini dalam kehidupan seharian kita.

BENTUK-BENTUK AMANAH

PERTAMA : MEMELIHARA PEMBERIAN DAN MENGEMBALIKANNYA SEMULA

Apabila seorang muslim diberi amanah kepercayaan oleh orang lain, misalnya barang berharga disebabkan orang berkenaan ingin pergi jauh ke luar negara maka pemberian itu mesti dipelihara dengan baik dan tepat pada masanya dikembalikan semula kepada pemiliknya secara utuh seperti sebelumnya.

Di antara sebab-sebab kenapa Nabi Muhammad saw sejak dari mudanya di Makkah sudah terkenal dengan gelaran ‘Al Amin’ adalah kerana baginda sangat dipercayai oleh penduduk Makkah untuk menyimpan dan memelihara barang pemberian dan kemudiannya mengembalikannya semula seperti sebelumnya. Penduduk-penduduk Makkah yang akan bermusafir ke luar akan merasa aman dan tenang memberikan barang-barang berharga kepada baginda saw.

KEDUA : MENJAGA RAHSIA

Apabila seseorang diberi kepercayaan untuk menjaga rahsia, samada rahsia peribadi, keluarga, organisasi atau lebih-lebih lagi rahsia negara, dia wajib menjaganya supaya tidak bocor kepada orang lain yang tidak berhak mengetahuinya. Apabila seseorang menyampaikan sesuatu yang penting dan rahsia kepada kita, itulah amanah yang mesti dijaga.

KETIGA : TIDAK MENYALAHGUNAKAN JAWATAN

Jawatan adalah amanah yang wajib dijaga. Segala bentuk penyalahgunaan jawatan untuk kepentingan peribadi, keluarga atau kelompoknya termasuk perbuatan tercela serta melanggar amanah.

Semua bayaran yang diterima seorang petugas dalam rangka menjalankan tugasnya bukanlah menjadi haknya.

Misalnya seorang ketua bahagian kemudahan kelengkapan membeli barang-barang untuk keperluan pejabat, maka potongan harga yang diberikan oleh peniaga bukanlah menjadi miliknya tetapi menjadi milik pejabat kerana dia bukan peniaga perantara tetapi petugas yang digaji untuk menyediakan barang-barang keperluan tersebut.

Bentuk lain dari menyalahgunakan jawatan adalah mengangkat orang-orang yang tidak mampu untuk menduduki jawatan tertentu hanya kerana dia sanak saudaranya, kenalannya atau kroninya, padahal ada orang lain yang lebih mampu dan layak untuk menduduki jawatan tersebut.

 KEEMPAT : MENUNAIKAN KEWAJIBAN DENGAN BAIK

Allah swt memikulkan ke atas bahu manusia tugas-tugas yang wajib dia laksanakan baik dalam hubungannya dengan Allah swt mahupun dengan sesama makhluk lainnya.

Tugas seperti ini disebut sebagai ‘taklif’ dan manusia yang ditugaskan disebut sebagai ‘mukallaf’ dan amanahnya disebut sebagai amanah ‘taklif’.

Amanah inilah yang secara simboliknya digambarkan oleh Allah swt tidak mampu dipikul oleh langit, bumi dan gunung-ganang kerana beratnya tetapi manusia bersedia memikulnya.

KELIMA : MEMELIHARA SEMUA NIKMAT YANG DIBERIKAN OLEH ALLAH SWT

Semua nikmat yang diberikan oleh Allah swt kepada umat manusia adalah amanah yang mesti dijaga dan dimanfaatkan dengan baik.

Umur, kesihatan, harta benda, ilmu dan lain-lain sebagainya termasuk anak-anak adalah amanah yang wajib dipelihara dan dipertanggungjawabkan.

Harta benda misalnya mesti kita pergunakan untuk mencari keridhaan Allah swt samada untuk memenuhi keperluan keluarga sendiri ataupun kepentingan umat.

KEENAM : SIKAP ANAK KEPADA IBUBAPANYA

Di antara amanah yang lain adalah amanah anak-anak dalam bersikap di hadapan ibubapanya.

Jika kita mengambil wang milik ibubapa kita tanpa izin dari mereka bererti kita tidak menjaga amanah seorang anak meskipun jumlah wang yang kita ambil sedikit jumlahnya.

Ingatlah bahwa amanah itu bersifat menyeluruh dan bukan sebahagian. Namun yang disebut sebagai perbuatan amanah adalah kita mesti meminta izin terlebih dahulu daripada ibubapa kita.

KETUJUH : AMANAH DALAM MENJAGA AGAMA

Jenis amanah yang terakhir dan merupakan amanah paling besar adalah amanah dalam menjaga nilai-nilai agama dan menyebarkannya kepada seluruh manusia.

Sedarlah bahwa kita bertanggungjawab atas agama ini dan kita akan dipertanggungjawabkan di hadapan Allah swt di akhirat kelak terhadap amanah ini.

SIAPAKAH YANG LAYAK DIBERI AMANAH?

Sesungguhnya, tidak semua orang boleh diberikan amanah kepercayaan. Maksudnya, ada orang yang memiliki sifat-sifat tertentu, yang dengannya ia sebagai orang yang paling tepat dan paling berhak untuk dibebankan dengan amanah atau kepercayaan.

Asas untuk memilih seorang pegawai atau pekerja adalah ia seorang yang kuat dan amanah  kerana :

a.      Dengan kekuatannya, ia sanggup menunaikan kewajiban yang telah dibebankan ke atasnya serta mampu melakukan pekerjaannya dengan baik.

b.     Dengan sifat amanahnya, ia akan menempatkan pada tempatnya semua perkara yang berkaitan dengan tugasnya.

Allah swt telah menceritakan di dalam Al Qur’an tentang salah seorang dari kedua anak Nabi Syu’ib Alaihissalam tatkala ia berkata kepada ayahnya ketika Nabi Musa Alaihissallam mengambilkan air minuman untuk haiwan ternak kedua wanita tersebut :

“… Wahai bapaku, ambillah ia sebagai orang yang bekerja (pada kita), kerana sesungguhnya orang yang paling baik yang kamu ambil untuk bekerja (pada kita) ialah orang yang kuat lagi boleh dipercayai.” (QS Al Qashash : 26)

Allah swt juga telah mengkhabarkan kepada kita tentang ‘Ifrit dari golongan jin, yang memperlihatkan kesanggupannya kepada Nabi Sulaiman Alaihissallam untuk membawa singgahsana Balqis :

“…Aku akan datang kepadamu dengan membawa singgahsana itu kepadamu sebelum kamu berdiri dari tempat dudukmu; sesungguhnya aku benar-benar kuat untuk membawanya lagi boleh dipercayai.” (An Naml : 39)

Maknanya, ia memiliki kemampuan untuk membawa dan mendatangkannya, sekaligus menjaga apa yang terdapat di dalamnya.

Allah juga
memberitahu kita tentang kisah Nabi Yusuf Alaihissallam , tatkala ia berkata kepada  raja atau penguasa Mesir :

“… Jadikanlah aku bendaharawan negara (Mesir); sesungguhnya aku adalah orang yang pandai menjaga lagi berpengetahuan.” (QS Yusuf : 55)

Kemudian, lawan dari sifat kuat dan amanah adalah lemah dan khianat sehingga, inipun menjadi asas ke atas diri seseorang untuk tidak dipilih dan diberi kepercayaan atau suatu pekerjaan bahkan menjadi suatu kewajiban untuk menjauhkannya dari diberi suatu kepercayaan atau pekerjaan.

Ini bersesuaian dengan sabda Rasulullah saw kepada Abu Dzar Al Ghifari ra apabila ia berkata:

“Wahai Rasulullah, tidakkah engkau menjadikanku (seorang pemimpin)?” Lalu Rasulullah memukulkan tangannya di bahuku, dan bersabda, “Wahai, Abu Dzar. Sesungguhnya engkau lemah, dan sesungguhnya hal ini adalah amanah, dan ia merupakan kehinaan dan penyesalan pada hari kiamat, kecuali orang yang mengambilnya dengan haknya, dan menunaikannya (dengan sebaik-baiknya).” (HR Muslim)

Begitu juga dalam kesempatan lain, Rasulullah saw bersabda :

“Wahai Abu Dzar, Sesungguhnya aku memandangmu orang yang lemah, sedangkan aku mencintai untukmu seperti aku mencintai untuk diriku. Janganlah kamu menjadi pemimpin (walaupun terhadap) dua orang (sahaja), dan janganlah kamu mengatur harta (anak) yatim.” (HR Muslim)

Mudah-mudahan Allah sentiasa menjadikan kita sebagai orang-orang yang jujur, amanah, dan menjauhkan kita semua dari kelemahan, kedustaan dan khianat.

Ya Allah, berilah kekuatan kepada kami untuk kami mampu memikul tanggungjawab untuk memimpin diri, keluarga, masyarakat dan negara kami serta kurniakanlah sifat amanah di dalam diri pemimpin-pemimpin yang dipilih di antara kami supaya mereka dapat menempatkan segala tanggungjawab tersebut sesuai dengan tempatnya yang berkaitan dengan tugasnya.

Ameen Ya Rabbal Alameen
WAS
[ Read More ]
Read more...
Older Posts
Subscribe to: Posts (Atom)

Yang Setia

Pautan

  • Angel Pakai Gucci!
    Islam Takkan Menang Dengan Dai'e Yang Gemok
    1 hour ago
  • دعوتنا DAKWATUNA -dakwahkite-
    Rahsia 10 beradik penghafaz Al-Qur'an
    9 hours ago
  • ZADUD-DUAT
    Antara Kesan Rabbaniah terhadap individu dan masyarakat
    1 week ago
  • Muharikah
    Buat yang akan pulang untuk kebaikan
    3 weeks ago
  • Majalah Jom!
    Isu 14; Lawan Sampai Kiamat!
    4 weeks ago
  • Popular
  • Recent
  • Archives
 

Diri Ini

My Photo
WAS
Blog ini memaparkan bahan-bahan bacaan dan artikel yang boleh meningkatkan ilmu dan kefahaman Islam anda..
View my complete profile

Blog Ini Menarik??

Yang Paling Digemari

  • Harga Sebuah Perjuangan
    Cuba kita renungkan apakah yang kita rasakan pada hari-hari yang mendatang ini pada diri kita dan juga dakwah yang kita bangunkan. J...
  • Ciri-Ciri Khusus Dakwah
    Dakwah Islam memiliki beberapa ciri yang menggambarkan bagaimana Islam sebenarnya. Ia adalah dakwah yang juga mempunyai karakter dan sif...
  • Sifat Bolak Balik Hati
    Manusia dari masa ke semasa akan mengalami perubahan dan pergantian. Bermula dari seorang bayi, kemudian berkembang menjadi seorang anak ...
  • Tarbiyah Asas Binaan Dakwah
    Dari segi bahasa, ‘Tarbiyah Islamiyah’ bermakna : ‘Rabba-yarbu’ (tumbuh berkembang). ‘Rabbiya-yarba’ (tumbuh secara alam...
  • Menyemai Rumahtangga Berkat
    Ketika seseorang melaksanakan akad perkahwinan, maka ia kebiasaannya akan mendapatkan banyak ucapan tahniah dan doa dari para tetamu unda...

Arkib

  • ▼  2013 (37)
    • ▼  May (3)
      • Harga Sebuah Perjuangan
      • Saat Perlaksanaan Amanah
      • Ini Kalilah Pilih Pemimpin
    • ►  April (7)
    • ►  March (7)
    • ►  February (9)
    • ►  January (11)
  • ►  2012 (163)
    • ►  December (8)
    • ►  November (9)
    • ►  October (9)
    • ►  September (9)
    • ►  August (6)
    • ►  July (12)
    • ►  June (9)
    • ►  May (15)
    • ►  April (16)
    • ►  March (18)
    • ►  February (24)
    • ►  January (28)
  • ►  2011 (93)
    • ►  December (24)
    • ►  November (69)

Susunan

  • Akhlak (5)
  • Aqidah (16)
  • Dakwah (69)
  • Fikrah (55)
  • Ilmu (30)
  • Motivasi (8)
  • Muslimah (3)
  • Renungan (17)
  • Ruhiyah (6)
  • Tarbiyah (28)
  • Tausiyah (28)
  • Tokoh (4)
  • Uslub (10)
  • Video (14)

Panji Islam

Asmaaul Husna

Kalam Hikmah

Coretan Anda

Pengunjung

Detik Kehidupan

Hari Ini

Waktu Solat

Pelawat


widgets

Selamat Melayari

  • NEW POSTS
  • COMMENTS
  • flickr

    Get your Flickr ID!
 
 
© 2011 Tinta Perjalanan | Designs by Web2feel & Fab Themes

Bloggerized by DheTemplate.com - Main Blogger