Apabila kita menyebut tentang
tarbiyah sebagai jalan menuju kepada sebuah kebangkitan, maka menjadi suatu
keperluan untuk kita memperincikan kriteria-kriteria amal tarbawi dan ciri-ciri
manhaj tarbiyah pada pandangan Jamaah Ikhwanul Muslimin yang telah bernafas
dengannya sejak ia mula diasaskan pada tahun 1928 sehingga ke hari ini.
Dengan izin Allah, kita telah
melihat contoh tauladan yang hebat dari satu generasi ke generasi yang lain di mana mereka sanggup
memikul dakwah ini walaupun terpaksa dibebani dengan ujian dan mihnah sepanjang
zaman.
PERTAMA : CIRI-CIRI AMAL
TARBAWIYAH
Berikut disenaraikan beberapa ciri
terpenting yang membezakan Jamaah Ikhwanul Muslimin dan ciri-ciri inilah yang
telah memberi kesan besar terhadap pembinaan generasi demi generasi yang mempunyai
sifat yang sama serta sikap yang istimewa.
1. RABBANIYAH
Ia :
a. Memfokuskan kerja-kerja menghidupkan iman.
b. Berpandukan Al Qur’an dan As Sunnah serta
bertepatan dengan fitrah insaniyah.
c. Amal yang berterusan dan tidak terikat
dengan masa.
d. Sebuah kerja melatih iman yang akan
memberi kesan terhadap akhlak dan perilaku.
Tunjang kepada tarbiyah
rabbaniyah adalah hati yang :
a. Hidup berhubung dengan Allah.
b. Yakin dengan pertemuan dan hitungan
amalnya.
c. Mengharapkan rahmatNya.
d. Takut terhadap balasan siksanya.
Ini semua menggambarkan bahwa amal
tarbiyah Ikhwaniyah yang berfokus kepada menghidupkan hati dan membinanya
secara berterusan.
2. MENYELURUH, MELENGKAPI
DAN SEIMBANG
Ia adalah sebuah terbitan
daripada manhaj Islam yang bersifat sempurna dalam menguruskan insan muslim
dari setiap sudut agar mencapai sebuah kehidupan yang sejahtera.
Ia juga terbit kerana keimanan
kita kepada kesyumulan manhaj Islam, lengkap dan seimbang. Kita tidak akan
berpuas hati dengan Islam kecuali dengan memahami dan beramal dalam dimensinya
yang syamil dan kamil.
Oleh itu, proses ‘takwin’
(pembentukan) berjalan dan berlangsung terus menerus dengan menyelaraskan ilmu,
akal, ruh, emosi, hati, tindakan dan gerakan.
3. BERPERINGKAT
Ia berasal daripada keimanan kita
pada ketetapan Allah pada ciptaanNya yang berperingkat-peringkat.
4. PENGUMPULAN DAN
PENYUSUNAN
Ia bermula dengan mengumpul,
kemudian menyusunnya sehinggalah tercapai apa yang ingin diimpikan dari sebuah
tarbiyah.
Ini dibuktikan dalam peristiwa
bai’ah aqabah kedua apabila disebutkan bahawa peserta bai’ah aqabah terdiri
daripada 72 orang lelaki, 2 orang perempuan lantas Rasulullah saw bersabda :
“Keluarkan dari kalangan kamu 12 orang naqib” kemudian menyambung “Kamu semua adalah penjamin bagi kaummu.”
Ini adalah sebuah pengurusan amal
tarbawi.
Sabda Rasulullah saw :
“Sertailah jamaah, sesungguhnya serigala akan memakan ternakan yang
terpisah.”
5. GERAKAN
Menjayakan fikrah ini dan
merealisasikannya adalah sebuah tuntutan yang mulia untuk dicapai.
Ia membuatkan kita buntu dan tidak
bermaya tanpa sebuah ciri gerakan atau harakiyah.
Ia memberi kita sebuah kekuatan
untuk menghadapi realiti di sekeliling kita yang sangat mencengkam di mana
seorang individu perlu bergerak di tengah-tengah masyarakat dengan tujuan
mengislah mereka.
6. BERTERUSAN
Amal tarbawiyah tidak berhenti
kecuali setelah ruh terpisah dari jasad.
Ia :
a. Sebuah amal yang lazim sepanjang hayat.
b. Membuatkan seseorang itu sentiasa
memperbaiki tindakan dan amalannya.
c. Sentiasa cuba melatih kemahiran dan peningkatan
pengetahuan yang baik sehingga menambah
bekalan untuk berterusan dalam amal dakwah.
KEDUA : ELEMEN-ELEMEN
AMAL TARBAWIYAH
Keistimewaan amal tarbawiyah
Ikhwan adalah kerana ia :
a. Bersumberkan dari sirah Nabi Muhammad saw
dan para sahabat radhiallahuanhum.
b. Mampu mensinergikannya dengan uslub moden
dalam amal tarbawiyah di mana ia menghimpunkan yang asli dan moden.
c. Sentiasa mendapat perhatian untuk
dinaiktaraf dan dikembangkan.
Amal tarbawiyah terdiri daripada beberapa
komponen :
1. MURABBI
Murabbi umpama batu asas kepada
sebuah amal tarbawiyah.
Murabbi mendidik mutarabbi
berpandukan manhaj Allah dan inilah tanggungjawab dan peranan Nabi-Nabi
sebagaimana yang digambarkan dalam firmanNya :
“Sepertimana kami telah mengutuskan pada kamu Rasul dari kalangan kamu ,
membacakan untukmu ayat-ayat kami, menyucikan kamu dan mengajarkan kamu Al Kitab
dan Al Hikmah, dan dia mengajarkan untukmu apa yang tidak kamu ketahui.” (QS Al
Baqarah : 151)
Tarbiyah Rabbaniyah pada
hakikatnya adalah suatu proses melantik penjamin atau ketua ke atas sekelompok
individu dan dia melaksanakan tarbiyah sebagaimana yang diredhai Allah swt.
Murabbi mempunyai peranan dan
tanggungjawab yang penting.
Murabbilah yang :
a. Menjadi kayu pengukur kejayaan amal
tarbawiyah dan pencapaian objektifnya.
b. Memelihara saf yang dipertanggungjawabkan
ke atasnya.
Murabbi bertanggungjawab sebagai
:
i. ‘Al Walid’ (bapa), dengan
kasih sayang dan prihatin terhadap urusan hidup mutarabbinya.
ii. ‘As Syaikh’ , menjaga hal-hal
yang berkait dengan iman, ibadah dan ‘suluk’ (perilaku).
iii. ‘Al Ustaz’ (guru),
menguruskan capaian keilmuan.
iv. ‘Al Qa’id’ (pemimpin),
dalam pengurusan suatu kelompok atau organisasi.
Ada satu kisah di zaman khalifah
Umar ra yang boleh kita teladani iaitu dalam peristiwa seorang sahabat Nabi
saw, Abdullah bin Hudzafah As Sahmy yang telah ditawan oleh tentera Rom, maka
Raja Rom telah memujuknya untuk masuk agama Nasrani namun ia tetap thabat
sehingga ada beberapa tawanan Muslimin yang mati dibunuh dengan dicampakkan
mereka ke dalam kuali air yang mendidih.
Abdullah bin Hudzafah sendiri telah diikat di tiang salib dan dipanah ke
bahagian lengan dan kakinya namun ia tetap tidak murtad sehingga akhirnya dia
dihadapkan ke kuali panas yang mendidih yang menyebabkan dia menangis.
Apabila ditanya mengapa dia menangis, dia menjawab :
“Aku
menangis kerana keinginanku selama ini tidak terkabul. Aku ingin mati di medan
perang fisabilillah. Ternyata kini, aku akan mati dalam kuali.”
Dengan sikap
teguhnya ini, Raja Rom mati akal sehingga ia memujuknya semula untuk mencium
kepala Raja tersebut supaya dengan perbuatan tersebut dirinya akan dibebaskan
bersama dengan tawanan muslimin yang seramai 80 orang. Dengan rasa
tanggungjawab terhadap tawanan muslimin tersebut, ia lalu menerima tawaran Raja
Rom tersebut dan terus mencium kepala Raja Rom itu yang akhirnya menyebabkan
dirinya dan tawanan muslimin yang lain dibebaskan.
Peristiwa ini
menjadikan khalifah Umar begitu gembira sehingga apabila ia bertemu Abdullah
dan tawanan muslimin yang kembali ke Madinah maka disuruhnya semua
tentera-tentera muslimin mencium kepala Abdullah dan beliau adalah orang
pertama yang menciumnya.
Rasulullah saw telah mentarbiyah
generasi contoh ini dengan prinsip dan nilai-nilai. Generasi hari ini tidak
akan berjaya sepertimana generasi yang pertama kecuali dengan melalui acuan
prinsip dan nilai-nilai yang sama.
Maka jelaslah bahawa strategi
terpenting dalam usaha ‘islah’ (perbaikan) adalah membina
generasi murabbi yang amanah dan bertanggungjawab.
2. INDIVIDU
Individu adalah bata binaan yang
pertama dalam sebuah masyarakat. Jika baik bata ini maka akan baiklah
masyarakat seluruhnya.
Sejarah dakwah telah membuktikan
bahawa ia sentiasa bermula dengan individu. Rasul atau Nabi bermula dengan
dirinya sebagai individu kemudian menyeru sebilangan individu untuk ditarbiyah,
seraya membentuk sebuah fikrah kepada individu-individu ini untuk mereka hidup
dan bertindak dengan orientasi fikrah tersebut, lalu mereka berjihad pada
jalannya dan mati kerananya.
Tanggungjawab mengubah adalah
sukar dan rumit, maka penyediaan individu muslim yang berkemahiran wajib
dilaksanakan bertepatan dengan beratnya amanah yang akan dipikul.
Oleh sebab itu, Imam Hasan Al
Banna telah menggariskan muwasofat dan tanda-tanda individu yang dimaksudkan
pada rukun amal, iaitu :
a. Aqidah yang sejahtera.
b. Ibadah yang sahih.
c. Akhlak yang kukuh.
d. Badan yang kuat dan sihat.
e. Berpengetahuan hebat.
f. Mampu menanggung diri sendiri.
g. Memelihara waktu.
h. Tersusun urusannya.
i.
Bermujahadah
terhadap dirinya.
j.
Bermanfaat
terhadap orang lain.
Barangsiapa yang meneliti 10 muwasofat
yang disebutkan di atas, kita akan mendapati ia bermula dengan ‘islahkan
dirinya’ dan ini menfokuskan pada sudut individu dan keperibadian
kerana ini adalah persediaan untuk individu yang akan :
a. Mempunyai kekuatan yang menolaknya untuk
bergerak secara kendiri.
b. Berusaha mengurus tarbiyah sendiri dan
tidak bergantung kepada arahan atau cadangan orang lain untuk bekerja dan
mengislah urusannya.
c. Memperuntukkan waktunya, tenaganya,
hartanya dan rehatnya untuk dakwah dan fikrah tanpa berlengah dan mengharapkan
balasan.
10 muwasofat ini juga merangkumi
aspek-aspek diri manusia, badannya, akal dan ruhiyah.
Berikut adalah keistimewaan
pembinaan sifat-sifat yang dimaksudkan :
i. Sempurna
Pembinaan dari seluruh aspek iaitu
meliputi fikriyah, nafsiyah dan
harakiyah dan bukan semata-mata pembinaan fikrah dan teori ataupun ruhiyah
sahaja ataupun semata-mata harakiyah dan siyasah.
Kesempurnaan pembinaan ini akan
menghasilkan individu yang mampu menghadapi ujian, tetap gagah pendirian dan
berterusan dalam amal. Maka akan tercapailah visi dan misi jamaah dengan
kewujudannya.
ii. Seimbang
Memberi perhatian kepada seluruh
aspek dengan kadar yang diperlukan tanpa berlebihan atau kurang. Ketidakseimbangan
dalam pembetukan ini akan menyebabkan kecacatan dan kerosakan pada binaan
individu tersebut.
iii. Praktikal dan bukannya retorik
Ia tidak terhad kepada aspek
teori, bahkan disesuaikan dengan uslub dan manhaj yang praktikal dalam sebuah
amal takwin di mana ia akan menghasilkan sebuah contoh tauladan yang bergerak
mapan dan bukan semata-mata peringatan dan pembelajaran tetapi amal dan gerakan.
3. BI’AH (SUASANA) TARBAWIYAH
Ia bermaksud suasana di
sekeliling individu di mana sebuah amal
tarbawiyah berubah mengikut suasana dan persekitaran.
Maka amatlah penting untuk
membentuk sebuah persekitaran yang sesuai dan membina benteng yang mengawal
individu daripada persekitaran yang buruk.
Persekitaran yang baik adalah
persekitaran yang diwarnai dengan :
a. Cinta dan ukhuwah.
b. Thiqah dan jundiyah.
c. Kepatuhan dan disiplin.
d. Syura dan nasihat.
Persekitaran yang buruk pula
adalah suasana :
a. Banyak berkata-kata.
b. Selalu berprasangka buruk.
c. Tuduh menuduh.
d. Berlaku pengangguran dakwah.
e. Sedikitnya amal.
f. Lemahnya penguasaan terhadap rukun-rukun
usrah.
Imam Hasan Al Banna sangat
mementingkan pengawasan saf dan pembersihan persekitaran Ikhwaniyah dengan
mengatakan :
“Jika ada di dalam saf ini orang yang hatinya sakit dan rosak, lemahnya
misi, hilang cita-citanya, maka keluarkanlah ia dari barisan ini. Sesungguhnya
dia adalah seorang yang menghalang rahmat, yang memagari kita dari taufiqNya.”
4. MANHAJ
Ia berupa himpunan percubaan-percubaan
tarbawi yang disediakan oleh Ikhwan untuk individu-individu yang menjadi
ahlinya. Ia berobjektifkan percambahan yang menyeluruh dari sudut
(akal-pengetahuan-agama-sosial-tubuh badan-jiwa-seni) yang membawa kepada perubahan
perilaku mereka untuk mencapai visi dan misi tarbiyah yang diimpikan.
Manhaj terdiri daripada :
a. Hadaf (tujuan).
b. Bahan-bahan.
c. Uslub atau wasilah.
d. Penguatkuasaan.
Imam Hasan Al Banna menyebut dalam
Risalah “Adakah Kita Kaum Yang Bekerja” :
“Aku melihat setiap usaha ke arah kebangkitan yang sejati, mereka berjaya
kerana pada mereka ada :
a.
Manhaj tetap yang dilaksanakan.
b.
Objektif tetap yang dituju.
Ia disusun oleh para du’at ke arah kebangkitan. Generasi sebelum mereka
telah berusaha merealisasikannya namun ada juga gangguan-gangguan luaran yang
cuba memusnahkannya, tetapi :
a.
Tidak berjaya memotong apa yang telah
mereka sambungkan.
b.
Tidak meruntuhkan apa yang telah mereka
bina.
c.
Tidak menjatuhkan apa yang telah mereka
asaskan.
d.
Tidak merobohkan apa yang telah mereka
pelihara.
Samada mereka menambah amal generasi sebelum mereka dengan lebih baik
kemudian mencapai ‘At Tamkin’ ,
ataupun mengikuti mereka dalam jejak-jejak yang ditinggalkan kemudian menambah
binaannya dan berjalanlah ummah selangkah demi selangkah ke arah misinya.”
Betapa indahnya kata-kata ini dan
betapa cantiknya asas yang digariskan oleh Imam Hasan Al Banna dengan izin
Allah, bersama mereka yang telah turut mengambil bahagian dalam amal pembinaan
dan takwin di mana mereka telah banyak memberi kesan perubahan terhadap realiti
ummah Islamiyah ini.
Ia adalah sebuah kebijaksanaan
operasi binaan dan pengurusan organisasi tarbiyah dan takwin di mana kita
perlulah merasai betapa hebatnya kebijaksanaan ini yang tiada tolok bandingnya
hasil dari inspirasi kepimpinan yang terdahulu setelah dijelaskan mengenai
wasilah dan uslub tarbiyah pada pandangan Ikhwanul Muslimin.
Imam Hasan Al Banna telah
mengetahui dimensi kehancuran kaum Muslimin dari sudut ruh dan tamadun serta
sebab-sebab jauhnya mereka dari Islam.
Beliau telah :
a. Menyeru mereka untuk mempraktikkan Islam.
b. Memeliharanya dengan uslub tarbiyah yang
dilaksanakan di atas manhaj Islam.
c. Mengutamakan aspek pemeliharan insani
sebagai fokus yang besar.
d. Mentarbiyahnya dengan meraikan aspek ruh,
akal dan jasad serta menyeimbangkan unsur-unsur tersebut.
e. Mencipta dan memperbaharui wasilah-wasilah
yang mampu mencapai visi dan misi serta sesuai dengan realiti moden hari ini.
Untuk itu, datanglah tarbiyah yang
dibawa oleh Imam Hasan Al Banna untuk merealisasikan visi dan misi yang telah
ditetapkan dengan fokus pada sinergi ruh Islam dan individu-individu dalam
jamaah di mana tarbiyah telah :
a. Memisahkan mereka daripada nilai-nilai
keduniaan secara total.
b. Menjauhkan mereka daripada mengkagumi apa
yang dikagumi oleh hawa nafsu dan hanya mengkagumi Al Haq (kebenaran).
c. Mendidik mereka untuk tidak mengikuti
tindak tanduk keinginan mereka semata-mata tetapi mengikut telunjuk Al Haq
(kebenaran).
Selepas menjelaskan ciri-ciri dan
asas-asas amal tarbawiyah, kita perlulah pula memenuhi tuntutan amal tarbawiyah
berikut yang akan menjamin kemampanan proses takwin :
PERTAMA : MANHAJ YANG
SAHIH
Ia adalah hasil cernaan Al Qur’an,
Sunnah Rasulullah saw dan hukum hakam Islam di samping panduan dar sirah Nabi saw
dan sahabat baginda radhiallahuanhum. Ikhwan melaksanakan apa yang difahami
daripada Ad Deen tanpa sebarang tolak ansur dan sikap ambil mudah.
KEDUA : QUDWAH SOLEHAH
Imam Hasan Al Banna telah
memahami sepak terajang zaman ini untuk melaksanakan sebuah amal tarbawiyah.
Oleh kerana itu beliau sendiri telah mendahului untuk menjadi contoh tauladan
dan qudwah yang baik.
Beliau telah menguasai dan
menjiwai sebaik mungkin manhaj yang ditulisnya sendiri kepada para Ikhwan. Maka
beliau telah menjadi qudwah terutama pada aspek :
a. Semangat.
b. Pengorbanan.
c. Beramal untuk dakwah.
Ikhwan memahami bahawa simbol
kepada kekuatan mereka bukanlah pada perancangan, organisasi dan teori tetapi
kekuatan yang sebenar adalah membumikan semua itu dalam bentuk realiti yang nampak
dan terang. Ini memberi nilai tambah kepada pertahanan dan pengembangan amal
sebagai kelengkapan sebuah harakah.
Akh muslim perlu tahu bahawa
ketika dia beramal, dia sedang membawa orang itu untuk mencontohinya sebagai :
a. Seorang ahli tahajjud yang sering insaf
mengalirkan air mata.
b. Seorang yang kuat semangat dalam
perjuangan.
c. Seorang yang pakar dalam keilmuan.
Ini semua adalah hasil sentuhan
emosi dan perasaan yang telah dipupuk oleh Imam Hasan Al Banna dalam jiwa
Ikhwan di mana amal-amal ini berhajatkan kepada ikatan hati dan kesatuan syi’ar
antara kaum muslimin.
KETIGA : PERSEKITARAN
YANG BAIK
Amal ini membentuk dan
menyediakan iklim yang sesuai untuk operasi takwin di mana ia akan mencipta
sebuah suasana Islamik sehinggalah terhasil sebuah barisan hadapan orang mu’min
yang beramal untuk meletakkan kalimah Allah itu tinggi dan mulia.
Ikhwan berusaha mengawal
persekitaran ini dengan inisiatif usrah, katibah, perkhemahan , program-program
di masjid dan sekolah, khidmat kesihatan serta kebajikan dan sosial.
Ikhwan Muslimin telah
menggariskan beberapa wasilah untuk membina individu-individu yang akan memberi
kesan yang besar terhadap pemeringkatan individu dan kitaran generasi yang
sihat untuk terus memikul dakwah yang mulia ini.
Wasilah-wasilah ini telah
dibuktikan keberkesanannya sepanjang zaman, maka ia tidak memerlukan sebarang
pertukaran dan jangan sesekali kita mengambil remeh terhadapnya.
WASILAH-WASILAH PEMBINAAN
DAN TAKWIN
1. USRAH
Ia adalah asas kepada pembinaan
sebuah Jamaah. Selain itu ia juga asas kepada pembinaan seorang individu yang
merangkumi sistem tarbiyah yang menyeluruh dengan menguruskan semua aspek dalam
diri (akal, hati dan jasad) manusia. Usrah membentuk individu ini dengan acuan
Islam yang bertepatan dengan Al Qur’an dan As Sunnah Rasulullah saw.
Imam Hasan Al Banna menyebut :
“Islam menekankan pengurusan sebuah usrah (keluarga) dalam :
a.
Membina ahli-ahlinya.
b.
Membentuk mereka menjadi syakhsiyah contoh.
c.
Menguatkan ikatan mereka.
d.
Menjana ukhuwah mereka daripada kata-kata
dan teori kepada peringkat tindakan dan amal.”
Ustaz Hasan Al Hudhaibi pula
menyebut :
“Sistem usrah bertujuan merealisasikan makna Islam secara praktikal di
antara Ikhwan. Jika mereka berjaya melaksanakannya maka akan datanglah kepada
mereka kejayaan dan ‘An Nasr’ (pertolongan)
seperti yang telah Allah janjikan.”
Ia adalah sebuah medan pembetukan
yang berfokus dalam jamaah, agar dapat menjalankan tanggungjawab dan amanah
untuk menjadi sebab kepada kejayaan agama ini, juga kebanggaan dan kemuliaan
buat ummat Islam seluruhnya.
2. KATIBAH
Ia adalah :
a. Tarbiyah ruhiyah.
b. Proses melembutkan hati.
c. Program mencantikkan jiwa.
d. Sistem yang mampu mengembalikan jasad
kepada ibadah, tahajjud, zikir, tadabbur dan fikir dalam bentuknya yang khas.
3. REHLAH
Ia berfungsi untuk :
a. Menguatkan tubuh badan.
b. Menyegarkan jiwa.
c. Menghubungkan silaturahim antara ahli.
d. Mendalamkan ikatan antara mereka.
e. Melatih ahli-ahli untuk berkendiri,
berurusan dengan baik, bertolak ansur, disiplin terhadap peraturan, kepatuhan
dan peroleh pengalaman pengalaman ilmiah.
4. MUKHAYYAM
Ia :
a. Membentuk kehidupan ahli dengan acuan
Islam dalam satu tempoh masa tertentu dalam beberapa hari.
b. Mencorak perilaku Islami dan adab-adab Qur’ani.
c. Melatih ahli dalam sebuah ketumbukan merangkumi
seluruh aspek seperti taat, tersusun, tolak ansur, disiplin, kepatuhan serta
praktikal dalam memikul amanah dan mengambil serius tanggungjawab dan nilai
sebuah amanah.
5. MUKTAMAR
Ia :
a. Memberi peluang kepada ahli untuk
berbincang dan bertukar fikiran.
b. Memberi fokus terhadap mendayagunakan
aspek pemikiran dan pengetahuan di kalangan ahli.
c. Meningkatan kesedaran dan mendalamkan
kefahaman terhadap isu yang dibentangkan.
6. DAURAH
Ia :
a. Melatih dan membimbing ahli dalam
kemahiran-kemahiran asas dalam setiap bidang dan amal dakwah.
b. Bertindak memberi pengalaman dan percubaan
ilmiah dengan melibatan ahli-ahli pakar dan berpengalaman.
7. NADWAH
Ia adalah aktiviti :
a. Menganalisa isu dan masalah yang dibentangkan.
b. Memahami aspek yang pelbagai dan cara-cara
mengolahnya.
c. Menanam kesedaran yang mendalam dalam diri
ahli.
d. Menyatukan fikrah mereka agar kesemuanya
mempunyai kesatuan peta amal dan fikrah.
Kesemua wasilah yang dijelaskan di
atas telah :
a. Menggambarkan dengan jelas keunikan dan
keistimewaan manhaj tarbiyah Ikhwan Muslimin.
b. Membuktikan kebijaksanaan strategi
pembinaan dan takwin Imam Hasan Al Banna yang telah melahirkan rijal-rijal yang
memiliki keinginan dan azam yang tinggi sepanjang zaman dan di setiap penjuru
dunia.
Oleh yang demikian, tarbiyah di
sisi Ikhwan Muslimin adalah sebuah amal yang cukup penting dan tiada amal yang mampu
menandinginya. Ikhwan telah mengiktirafnya sejak bermula langkahnya yang
pertama lagi.
Jalan pengislahan adalah jalan
tarbiyah individu- individu yang berpandukan manhaj Islam untuk menggarap misi
yang diimpikan.
Ia adalah sebuah manhaj yang
diwarisi dan bukan diciptakan yang bersumberkan Al Qur’an, Sunnah RasulNya dengan
mengambil ibrah perjalanan sahabat, para tabi’in serta orang-orang soleh dari
kalangan pemimpin risalah sepanjang sejarah Islam.
Tarbiyah dan takwin sepertimana
yang dikatakan oleh Imam Hasan Al Banna memerlukan kepada :
i. Kekuatan jiwa yang kukuh.
ii. Kemahuan dan azam yang tinggi.
iii. Kesetiaan total yang tidak berbelah bagi.
iv. Pengorbanan yang besar.
v. Beriman dengan prinsip-prinsip yang dipegang.
‘At Tamkin’ atau penguasaan terhadap dunia ini akan berlaku
sebagaimana yang Allah firmankan :
“Allah telah berjanji kepada orang yang beriman di antara kamu dan beramal
soleh untuk dijadikan mereka khalifah di atas muka bumi ini sebagaimana telah
dijadikan khalifah orang-orang sebelum mereka, agar mereka dapat melaksanakan
agama mereka yang telah diredhai ke atas mereka dan agar digantikan ketakutan
mereka sebelum itu dengan perasaan aman, mereka beribadah kepadaku dan tidak
mensyirikkan aku dengan sesuatu. Maka barangsiapa yang kufur selepas itu,
merekalah orang orang yang fasiq.” (QS An Nur : 55)
Ya Allah, berikanlah kekuatan dengan
tarbiyah yang kami jalani dan lalui sehingga ia menjadi pencetus kepada suatu
kebangkitan ruhiyah yang akan menjadi gelombang bagi membangkitkan kesedaran umat
ke arah menegakkan kekhalifahan di atas muka bumi ini.
Ameen Ya Rabbal Alameen
WAS