skip to main | skip to sidebar

Tinta Perjalanan

Pages

  • Home
 
  • RSS
  • Facebook
  • Twitter
  • Linkedin
  • Youtube
  • DheTemplate.com
  • Free Templates
  • Drop Menu 1
    • Child Menu 1.1
    • Child Menu 1.2
    • Child Menu 1.3
  • Drop Menu 2
    • Child Menu 2.1
    • Child Menu 2.2
    • Child Menu 2.3
  • Daily Update Templates

Ahlan Wasahlan


Perjalanan Menuju Allah.

Monday, 21 January 2013

Kualiti Sebenar Rijalud Dakwah

Ditulis Oleh WAS Pada 09:48 – 1 Komen Anda
 

Rijalud dakwah adalah seseorang yang telah ditarbiyah secara intensif sehingga memiliki persediaan untuk berjuang dan berkorban di jalan Allah. la juga berpotensi menjadi agen perubah di tengah-tengah masyarakat.

Oleh kerana ia akan melakukan kerja besar yakni merubah masyarakat ke arah yang lebih baik dan Islamik, maka ia perlu memiliki kelebihan dan keistimewaan dibandingkan dengan ahli masyarakat biasa pada umumnya.

Bukan semua orang layak untuk menjadi rijalud dakwah kerana jumlah mereka biasanya sedikit dibandingkan dengan para pendukung dari kalangan masyarakat umum.

Ini dapat kita lihat dalam firman Allah swt :

"Di antara orang-orang mukmin itu ada ‘rijal’ yang menepati apa yang telah mereka janjikan kepada Allah, maka di antara mereka ada yang gugur dan di antara mereka ada pula yang sedang menunggu-nunggu dan mereka sedikitpun tidak merubah janjinya." (QS Al Ahzab : 23)

Ya, para rijalud dakwah adalah mereka yang telah bersedia berjuang dan berkurban dengan jiwa, raga dan seluruh harta benda serta potensi yang mereka miliki seperti yang tergambar dalam Al Qur’an.

"Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mukmin, diri dan harta mereka dengar balasan syurga untuk mereka. Mereka berperang di jalan Allah, lalu mereka membunuh atau terbunuh. Itu telah menjadi janji yang benar dari Allah di dalam Taurat, Injil dan Al Qur’an. Dan siapakah yang lebih menepati janjinya selain daripada Allah? Maka bergembiralah dengan jual beli yang telah kamu lakukan itu dan itulah kemenangan yang besar." (QS At Taubah : 11)

Sesungguhnya tugas dakwah yang berat ini hanya dapat dipikul oleh para aktivis dakwah yang membelanya secara maksimum serta sedia mempersembahkan jiwa, raga, harta dan seluruh potensi yang dimilikinya.

Mereka mengusahakan segala sesuatu dengan penuh kesungguhan dan keseriusan hanya untuk dakwah dan jiwa raga mereka sudah menyatu dengan dakwah dan cita-cita mereka tiada lain hanyalah kemajuan dan kebesaran dakwah.

Rijalud dakwah sebagai penerus tongkat sakti dakwah tidak boleh tidak mesti memiliki ciri-ciri yang istimewa seperti berikut ini :

1.             Kefahaman Islam yang benar dan menyeluruh dari Al Qur’an dan As Sunnah.
2.             Keikhlasan yang tinggi sehingga ia menjadi pembela fikrah dan aqidah serta bukannya pembela kepentingan dan keuntungan peribadi.
3.             Lebih mengutamakan bekerja dari berbicara.
4.             Menunjukkan kesetiaan dalam dakwah.
5.             Sentiasa bersedia berjihad dalam rangka menegakkan syari'at Allah.
6.             Siap berkorban dengan segala potensi yang dimilikinya.
7.             Memiliki keteguhan untuk mencapai cita-cita dakwah sekalipun perlu menempuh perjalanan dakwah yang panjang, berat dan berliku.
8.             Sentiasa taat kepada qiyadah dan jamaah.
9.             ‘Tsiqah’ kepada qiyadah dan jamaah.
10.         Sentiasa memelihara kemurnian ukhuwah yang berdiri di atas landasan kasih sayang dan saling mencintai.

Imam Hasan Al Banna menggambarkan ciri-ciri rijalud dakwah yang beliau inginkan:

“’Rijalul qaul’ (orang yang pandai berbicara) tidak sama dengan ‘rijalul amal’ (orang yang pandai bekerja) dan ‘rijalul amal’ tidak sama dengan ‘rijalul jihad’ (orang yang optimum dalam bekerja). Kemudian ‘rijalul jihad’ pun tidaklah sama dengan ‘rijalul jihad yang muntij (produktif) wal hakim (bijaksana)’ yakni orang yang mampu memberikan hasil yang optimum dengan pengorbanan yang paling kecil.”

Beliau juga mengutarakan :

“Sesungguhnya orang yang pandai berbicara itu ramai, tetapi sedikit di antara mereka yang tetap konsisten ketika bekerja. Dan ramai orang yang boleh bekerja, tetapi sedikit yang mampu memikul amanah jihad yang berat dan mahu bekerja kuat. Mereka adalah para mujahid dan orang-orang pilihan yang kadang-kadang mereka salah jalan atau tidak tepat sasaran seandainya mereka tidak mendapat pertolongan dari Allah.”

SIFAT-SIFAT RIJALUD DAKWAH

Menurut Syeikh Muhammad Ahmad Ar Rasyid di dalam kitabnya “Al Masar” bahwa:

Syeikh Abdul Qadir Al Jailani membuat perumpamaan yang indah bagi seorang mu'min.

la mengibaratkan mu'min yang telah matang proses tarbiyahnya seperti biji kurma yang ditanam di halaman sebuah rumah dengan pagar atau tembok yang mengelilinginya.

Biji kurma itu kemudian merekah dan menghasilkan tunas yang tumbuh subur disirami hujan serta diterangi oleh sinar matahari.

Maka jadilah ia sebuah pohon kurma yang besar, kukuh dan menjulang tinggi dengan disaksikan oleh ramai orang. Mereka bernaung di atas atap rumah yang dibuat dari jerami yang berasal dari pokok itu sambil memungut buah masak yang berjatuhan dari pokok itu.

Pokok kurma itu terjaga dan terpelihara dari tangan-tangan jahat kerana ada pagar atau tembok yang mengelilinginya.

Kehidupan tarbiyah para rijalud dakwah adalah seperti proses pertumbuhan pokok kurma tersebut.

Masyarakat kemudian memerlukannya, mengelilinginya dan merasa aman apabila berada dekat dengannya kerana kewibawaan dan pengaruhnya yang sangat besar.

Rijalud dakwah yang berkualiti seperti gambaran di atas memiliki sifat-sifat mulia yang tercermin pada akhlak, sikap dan perilaku hidupnya sehari-hari.

Sifat-sifat itu antara lain adalah :

PERTAMA : SEMANGAT YANG TINGGI UNTUK BERIBADAH KEPADA ALLAH SWT

Paksi dakwah Islam berputar pada ibadah yang murni kepada Allah swt, sebagaimana Rasulullah saw pernah berdialog dengan Muaz bin Jabal :

"Wahai Muaz, tahukah kamu apa hak Allah kepada hambaNya?"

Muaz menjawab: "Allah dan RasulNya lebih mengetahui."

Rasulpun bersabda: "Hak Allah pada hambaNya adalah mereka mesti beribadah kepadaNya dan tidak mempersekutukanNya dengan sesuatu apapun ."

Jadi salah satu bentuk tarbiyah seorang rijalud dakwah adalah dengan beribadah kepada Allah swt iaitu dengan melaksanakan ibadah yang fardhu dan memperbanyakkan yang sunnah. Kemudian ia sangat takut akan siksaNya dan bergetar hatinya apabila dibacakan kepadanya ayat-ayat Al-Qur'an.

"Iaitu orang-orang yang apabila disebut nama Allah, bergetarlah hati mereka dan bila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya bertambah-tambahlah iman mereka dan mereka selalu bertawakkal (berserah diri) kepada Rabb mereka." (QS Al Anfal : 2)

Kulit tubuh mereka pun ikut menggigil.

"Darinya menggigil kulit orang-orang yang takut kepada Rabb mereka."

Mereka juga menangis di saat mendengarkan bacaaan Al-Qur'an.

"Apabila mereka mendengarkan ayat-ayat yang diturunkan kepada Rasul, kamu lihat mata mereka berlinang air mata kerana telah mengetahui kebenaran."

Rijalud dakwah meyakini bahwa rahmat Allah mendahului murkaNya.

Rasulullah saw bersabda :

"Seandainya orang kafir mengetahui rahmat atau kasih sayang Allah, niscaya ia tidak akan putus asa dalam mengharap syurganya. Dan seandainya seorang mu'min mengetahui azab yang ada di sisi Allah, niscaya ia tidak merasa aman sedikitpun dari siksaNya." (HR Bukhari)

Seorang rijalud dakwah sentiasa mengharapkan kebaikan bagi dirinya. Apabila ia sebagai muslim maka ia melihat nilai-nilai keutamaan ajaran Islam, apalagi apabila ia sedar keadaannya jauh lebih baik dibandingkan dengan orang kafir. Hal ini membuatkan ia sentiasa optimis dan tidak pernah putus asa.

Namun di sudut lain ia pun sentiasa berwaspada dan mengingat-ingat akan kekurangan dirinya sehingga ia tidak serta merta merasa aman atas keselamatan dirinya dari azab Allah.

Dengan yang demikian, ia pun   akan   sentiasa   meningkatkan  usaha   taqarrubnya kepada   Allah   dengan   ibadah-ibadah   utama   seperti ‘qiamullail’, puasa sunnah, ‘tilawatil qur'an’, berzikir dengan zikir dan doa yang ma'tsur dan lain-lain.

Jika bukan rijalud dakwah yang mengerjakan ibadah-ibadah ini, maka siapa lagi?

Apabila   orang-orang   awam  justeru   melakukannya,   maka ia bererti kualiti rijalud dakwah adalah di bawah mereka.

KEDUA : MENGARAHKAN PERASAAN DAN TUJUANNYA HANYA UNTUK ALLAH

Seorang rijalud dakwah hendaklah hanya berorientasi kepada Allah dan mencari ridha serta syurgaNya. Jalan yang ditempuhnya hanya satu dan tidak bercabang yakni jalan Allah dan cita-cita yang dimilikinyapun hanya satu yakni tertegaknya Islam di muka bumi.

Ciri rijalud dakwah yang membela agama Allah adalah sentiasa merasakan kedekatan dengan Allah. Hatinya sentiasa dapat menikmati lazat dan manisnya ketaatan kepada Allah, Rasul dan kepimpinan harakah.

Pada dasarnya, hati manusia sentiasa dipenuhi cinta, hanya sahaja cinta tersebut boleh berupa cinta kepada dunia atau cinta kepada Allah.

Kedua jenis cinta yang berbeza yang ada di hati manusia ini seperti air dan udara di dalam gelas. Apabila air dituangkan ke dalam gelas, maka udara yang ada di dalamnya pasti keluar dan tidak akan pernah bercampur.

Oleh sebab itu orang yang dekat dengan Allah dan sibuk mengingatinya, tidak akan disibukkan dengan hal yang lain.

Bahkan ada seorang ulama’ ketika ditanya sampai di mana batas zuhudnya akan berakhir?

Maka, jawabannya sungguh luar biasa iaitu ;

“Sampai dekat benar dengan Allah”.


KETIGA : MENOLAK KEKUASAAN JAHILIYAH

Di antara salah satu tanda akan tibanya hari kiamat adalah berlakunya penyimpangan yang sangat jauh seperti telah dijelaskan oleh Rasulullah saw :

"Sesungguhnya akan tiba masanya, tahun-tahnn penipuan dan kebohongan. Orang yang bohong dianggap benar dan orang yang benar dianggap bohong. Orang yang khianat diberi amanah, sementara orang yang jujur dianggap khianat dan orang-orang yang tidak tahu apa-apa berbicara urusan awam". (HR Ahmad)

Betapa ramainya saat ini :

  1. Orang yang tidak tahu urusan agama berbicara soal agama.
  2. Orang yang tidak mengerti urusan politik berbicara soal politik.
  3. Orang yang tidak faham urusan ekonomipun berbicara soal ekonomi.

Kemudian urusan berbangsa dan bernegara diserahkan kepada orang yang bukan ahlinya.

Semua itu merupakan bentuk-bentuk kekuasaan jahiliyah dan itu boleh berlaku juga akibat kelalaian rakyat.

Rijalud dakwah memiliki sifat sangat jelas dalam hal ini iaitu menolak dengan segala bentuk kekuasaan jahiliyah kemudian menggantinya dengan program-program, aktiviti-aktiviti serta aksi-aksi perubahan yang nyata.

Rijalud dakwah juga berusaha mengubah posisi-posisi strategik yang diduduki oleh orang yang bukan ahlinya melalui pembentukan pandangan umum yang Islamik.

Kegiatan dakwah yang dilakukan meliputi tiga aspek iaitu :

  1. Perekrutan dakwah umum.
  2. Pembentukan melalui tarbiyah.
  3. Pengurusan organisasi.

Rijalud dakwah menyeru masyarakat dengan seruan sebagaimana yang telah dibayangkan oleh seorang pujangga Islam ‘Ar Rafi'ie’ dalam ‘wahyul qalam’:

  1. "Jangan kacau à di sini ketertiban"
  2. "Jangan menyimpang à di sini jalan yang lurus"
  3. "Jangan mundur à di sini saya menyeru"

Tidak ada sesuatupun yang mampu memperhambakan kamu selama teriakanmu adalah :

“Allahu Akbar”.

KEEMPAT : SENTIASA MEMILIH HIDUP SERIUS

Sifat ini dimiliki oleh kebanyakan para sahabat dan generasi unggul dari kalangan tabi'in serta generasi penerus seperti Umar bin Abdul Aziz, Ahmad bin Hanbal, para fuqaha’, mujahidin dan pendakwah yang telah menyerahkan seluruh kemampuan diri mereka untuk mempengaruhi kehidupan dengan syariat Islam.

Mereka berbuat demikian bukan untuk kepentingan peribadi mereka dan oleh sebab itulah mereka mampu menegakkan panji Islam dan memimpin peradaban dunia.

Di dalam sahih Bukhari diceritakan bahwa Abdur Rahman bin 'Auf ra pada suatu hari sedang menghadapi hidangan berbuka puasa, tetapi tiba-tiba ia berkata :

“Mush'ab bin Umair telah terbunuh padahal dia lebih baik dari saya. Jenazahnya dikafankan dengan bajunya, apabila ditutup kepalanya akan terlihat kedua kakinya dan apabila sebaliknya kedua kakinya yang ditutup maka akan ternampaklah kepalanya. Hamzah pun telah terbunuh dan dia juga lebih baik dari saya. Dunia telah dihamparkan untuk kita, saya khuatir bahwa kebaikan-kebaikan kita telah dipercepat balasannya oleh Allah di dunia. Kemudian Abdur Rahman menangis dan tidak jadi memakan makanan yang sudah disediakan untuknya.”

Halangan dakwah kini begitu besar, pertarungan antara haq dan bathil terus berkecamuk dan tidak ada jalan lain untuk menghadapinya kecuali dengan menghidupkan budaya serius yakni budaya generasi awal.

Imam Malik pernah berkata :

“Keadaan generasi akhir umat ini tidak akan baik kecuali dengan mencontohi generasi awal (salafus soleh).”

Sudah menjadi kewajiban setiap rijalud dakwah memikirkan penderitaan umat siang dan malam serta tidak ada waktu istirehat baginya kecuali setelah mati.

Allah swt berfirman :

"Ambillah olehmu apa yang telah Kami berikan kepadamu dengan sungguh-sungguh dan ingatlah olehmu apa-apa yang terdapat di dalamnya agar kamu bertaqwa." (QS Al Baqarah : 63)

Rasulullah saw setelah menerima tugas dakwah dari Allah berkata kepada isteri baginda :

"Khadijah, telah berakhir masa tidur, wahai Khadijah!"

KELIMA : MENTAATI JAMAAH DAN PEMIMPIN

Kesediaan untuk mendengar dan mentaati peraturan merupakan salah satu sifat rijalud dakwah yang sangat penting.

Ini adalah kerana tanpa kedisiplinan dan ketaatan :

  1. Jamaah tidak akan mampu berjalan dengan tertib.
  2. Umatpun tidak akan wujud.
  3. Tujuan kehidupan tidak akan tercapai.

Disiplin organisasi adalah kewajiban setiap rijalud dakwah yang berada di dalam organisasi apa sahaja, terutama organisasi dakwah yang bertujuan menegakkan syariat Islam. Oleh yang demkian, Islam mewajibkan ketaatan kepada amir (pemimpin).

Khalifah Umar bin Al Khattab ra berkata :

“Tidak ada Islam tanpa jamaah, tidak ada jamaah tanpa imarah (kepemimpinan) dan tidak ada imarah tanpa taat (disiplin organisasi).”

Ketaatan ini mesti diberikan kepada setiap orang yang diberi amanah memimpin urusan kaum muslimin samada besar atau kecil amanah itu dan siapapun dia.

Rasulullah saw bersabda :

“Dengar dan taatilah pemimpinmu sekalipun kamu dipimpin oleh budak habsyi, yang kepalanya menyerupai kismis (berpenampilan buruk dan tidak menarik).” (HR Muslim)

Ciri-ciri rijalud dakwah yang taat di antaranya adalah sebagai berikut :

  1. Taat di saat rajin dan malas, di saat susah dan mudah, baik disukai atau tidak.

Ubadah bin Shamit ra berkata : "Rasulullah meminta kami untuk berbaiah kepadanya, maka kamipun berbaiah kepadanya untuk selalu mendengar dan mentaatinya di saat rajin dan malas, susah dan mudah." (HR Bukhari & Muslim)

"Seorang muslim wajib mendengar dan taat kepada pimpinannya, selama perintahnya tidak ma'siat." (HR Muslim)

  1. Segera menyambut dan melaksanakan perintah. Rijalud dakwah menyahut perintah qiyadah dengan cepat, tidak lembab, tidak merasa berat, tidak enggan dan tidak ragu.

  1. Melaksanakan perintah dengan tepat. Rijalud dakwah melaksanakan perintah qiyadah sesuai dengan arahan qiyadah dan bukannya mengikuti pendapat dan keinginan peribadinya.

  1. Tidak meninggalkan tugas tanpa izin qiyadah dan tidak mudah meminta izin kecuali dalam keadaan sangat darurat. Dalam keadaan tertentu, walaupun qiyadah memberi izin, ia tetap memiliki beban moral yang mengharuskannya beristighfar.

KEENAM : TEGUH DI ATAS JALAN DAKWAH

Syed Qutb menyebut dalam tafsir ‘Fi Zilalil Qur’an’ :
“Teguh dan konsisten di jalan dakwah merupakan salah satu kesan dari iman. Iman bukanlah sekadar kata-kata yang diucapkan melainkan kewajiban dan tanggungjawab serta jihad yang memerlukan kesabaran dan kekuatan.

Tidak mungkin seorang rijalud dakwah mengatakan kami percaya pada Islam dan dakwah tanpa berhadapan lebih dahulu dengan ujian serta berhasil lulus melalui ujian tersebut.”

Ibnul Qayyim Al-Jauziah berkata :

“Tidak ada yang lebih sulit di dunia ini selain ‘tsabat’ (keteguhan), baik dalam meninggalkan yang dicintai atau dalam mengatasi kesulitan, terutama dalam rentang waktu yang panjang dan di saat munculnya gejala putus asa di kalangan rijalud dakwah. Kesemuanya itu memerlukan bekalan yang cukup untuk tabah menempuh perjalanan yang panjang. Bekalan itu adalah ‘tsabat’ (keteguhan) di atas hukum Allah, takdir dan ujianNya sehingga rijalud dakwah mesti membekalkan diri dengan ‘tsabat’ dan menempuh jalan dengan tegar di saat-saat kesulitan.”

Keteguhan di atas ‘Al-Haq’ sampai mati adalah sesuatu yang sangat berat, sehingga Rasul saw sering berdoa dengan doa ini :

"Ya Allah yang membolak balikkan hati manusia, teguhkanlah hatiku di jalan agamaMu."

Sedikit penyimpangan di awal perjalanan dapat mengakibatkan penyimpangan sepenuhnya di penghujung jalan.

‘Tsabat’ di jalan dakwah dan bersabar dalam menghadapi berbagai cobaan bagi dakwah Islam adalah satu kemestian, kerana jalan ini adalah jalan yang sangat panjang dan sukar, penuh dengan halangan dan rintangan serta dihamparkan dengan darah dan mayat para syuhada’.

Agar rijalud dakwah tetap konsisten di atas jalan dakwah, maka ada faktor-faktor pendukung keteguhan yang perlu diperhatikan iaitu :

  1. Sentiasa kembali kepada Allah. Tidak ada seorangpun dapat menjamin dirinya tetap ‘tsabat’, istiqamah dan selamat sampai akhir hayatnya.

Tidak ada pula yang mengetahui isi hati seseorang kecuali Allah. Allah yang memiliki hati manusia dan Dia pulalah yang mampu membolak balikkan hati manusia, justeru itu, ‘taqarrub ilallah’ menjadi sebuah kemestian bagi setiap muslim. 

Semakin dekat seseorang dengan Allah, semakin besar peluangnya untuk mendapatkan   rahmatNya   dan   di antara   rahmatNya   ialah istiqamah di jalan dakwah.

  1. Mengenali tabiat jalan dakwah. Di antara tabiat jalan dakwah ini adalah ianya jalan yang panjang, berat, bertingkat dan banyak rintangan. Setiap rijalud dakwah mesti memperkuatkan dirinya dengan kesabaran, nafas panjang dan memahami bahwasanya ia mungkin sahaja meninggal lebih dahulu sebelum melihat kemenangan. Yang penting ia mati di jalan Allah.

  1. Menghindarkan diri dari konflik dalaman. Berlakunya konflik dalaman biasanya disebabkan oleh dualisma kepemimpinan dan banyaknya sumber-sumber arahan atau apabila hawa nafsu yang mengarahkan pendapat dan pemikiran.

Apabila manusia tunduk kepada Allah dan RasulNya maka perpecahan akan dapat dihindari walaupun banyak perbezaan pendapat.

Namun, jika seseorang memiliki cita-cita peribadi (hawa nafsu), ia akan berpegang teguh dengan pendapatnya walaupun sudah jelas kebenaran di hadapannya. Ini adalah kerana ia telah menempatkan kepentingan peribadi di atas kebenaran.

"Dan janganlah kamu berselisih yang mengakibatkan kegagalan dan kehilangan wibawa." (QS Al Anfal : 46)

Mengutarakan ciri-ciri rijalud dakwah secara konseptual tidaklah terlalu sukar kerana sudah banyak rujukan yang membahasnya, namun yang jauh lebih sukar adalah pada tahap operasinya kerana rijalud dakwah yang berkualiti lagi bermutu masih tergolong sedikit dan tidak mudah menemuinya.

Namun mencetak dan melahirkan rijalud dakwah yang berkualiti dan bermutu bukanlah sesuatu yang mustahil walaupun memerlukan kesungguhan dan keseriusan yang maksimum. Sesuatu yang pernah berlaku bukanlah sesuatu yang mustahil berulang kembali.

Rijalud dakwah yang diharapkan kehadirannya saat ini adalah rijal yang bersedia dan mampu menghadapi tentangan dengan segala permasalahannya.

Imam Hasan AI Banna dalam risalah "Hal nahnu qaumun amaliyun" menegaskan hal ini :

"Saya pertegaskan kepada saudara-saudara yang memiliki ghairah Islam bahwa setiap Jamaah Islamiyah pada ketika ini sangat memerlukan :

  1. Rijal yang aktif bekerja ('amil).
  2. Pemikir (mufakkir).
  3. Pemberani (jar'i).
  4. Produktif (muntij).

Maka haram hukumnya bagi rijalud dakwah jika terlambat memenuhi panggilan dakwah walaupun hanya satu minit sahaja.

Rijalu dakwah yang diperlukan hari ini berbeza dengan rijalud dakwah semalam.

Rijalud dakwah hari ini perlu memiliki :

  1. Wawasan intelektual yang luas (mutsaqqafun).
  2. Keterampilan (mujahhazun).
  3. Terlatih (mudarrabun).
  4. Kemampuan mengumpulkan dan menyampaikan data secara tepat dan sah.

Rijalud dakwah yang diperlukan ketika ini adalah rijal yang memiliki kemampuan :

  1. Memelihara dan mengembangkan potensi kebaikan yang ada pada dirinya.
  2. Kemampuan memperluaskan jaringan dakwah.

sehingga Islam sebagai sumber peradaban dan kebudayaan serta pedoman hidup dapat menjadi kenyataan.”

Amal Islami memerlukan kesungguhan yang tulus sebagaimana yang telah dicontohkan oleh Amirul mu'minin Umar bin Al Khattab yang meletakkan dirinya untuk tidak istirehat.

Pada suatu hari utusan gabenur Mesir Amru bin Al Ash yang bernama Mu'awiyah bin Khudaij datang ke Madinah untuk melaporkan pembebasan kota Iskandariyah kepada Amirul Mu'minin Umar Ibnul Khatab.

Namun ketika sampai di Madinah di saat tengahari yang panas terik, sengaja ia singgah terlebih dahulu ke masjid dan tidak terus menemui Umar kerana ia menduga Amirul Mu'minin sedang istirehat di waktu siang. Hal itu diketahui oleh Umar, lalu ia memanggilnya.

Kemudian Umar bertanya kepada Mu'awiyah :

"Apa yang ada difikiranmu wahai Mu'awiyah ketika kamu sengaja singgah lebih dahulu ke masjid?".

Jawab Mu’awiyah :

"Saya mengira Amirul Mu'minin sedang istirehat siang".

Umar lalu berkata :

"Sangat keliru dugaanmu itu. Jika aku tidur disiang hari, bererti aku telah menelantarkan rakyatku, dan jika aku tidur di malam hari bererti aku telah menelantarkan diriku. Bagaimana mungkin aku istirehat ya Mu'awiyah, sementara ada dua tanggungjawab besar dibahuku?".

Kini, mungkinkah seorang rijalud dakwah itu banyak tidur?

Ini adalah kerana jika ia beristirehat di siang hari bererti ia telah menelantarkan pendukung dakwah dan para simpati yang rnemerlukan penanganan usaha-usaha tarbiyahnya.

Manakala, jika ia banyak istirehat di malam hari bererti ia telah mengabaikan keperluan dirinya sendiri untuk berhubungan dengan Allah.

Semenjak mendapat hidayah dari Allah dan bergabung dalam barisan jamaah dakwah, sesungguhnya seorang rijalud dakwah telah menyatakan pilihannya. la memilih keletihan di jalan dakwah dan menjauhi sikap santai.

Ya Allah, jadikanlah kami rijalud dakwah yang sentiasa bersedia untuk berkurban di jalanMu serta sentiasa meningkatkan kualiti diri kami dari masa ke semasa sehingga mudah untuk kami mendapatkan pertolongan dariMu.

Ameen Ya Rabbal Alameen
WAS



Labels: Fikrah Email This BlogThis! Share to X Share to Facebook

One Response so far.

  1. Rizky Nuriah says:
    9 November 2019 at 14:12

    Assalamualaikum, Boleh bagi sumber referensi nya?

Leave a Reply

Newer Post Older Post
Subscribe to: Post Comments (Atom)

Yang Setia

Pautan

  • Muharikah
    Antara dua pilihan
    3 years ago
  • Angel Pakai Gucci!
    Doa Itu Bom Nuklear Bagi Orang Mu'min!
    5 years ago
  • Majalah Jom!
    Isu 45: ALAMAK, AKU SALAH PILIH! (EDISI ISTIMEWA)
    9 years ago
  • دعوتنا DAKWATUNA -dakwahkite-
    Di antara Kefahaman dan Pelaksanaan (Sudut Pandang Parti Kebebasan dan Keadilan FJP – Mesir)
    10 years ago
  • ZADUD-DUAT
    Wahai Ikhwah, Persaudaran adalah rahsia kekuatan anda
    11 years ago
  • Popular
  • Recent
  • Archives
 

Diri Ini

My photo
WAS
Blog ini memaparkan bahan-bahan bacaan dan artikel yang boleh meningkatkan ilmu dan kefahaman Islam anda..
View my complete profile

Blog Ini Menarik??

Yang Paling Digemari

  • Memohon Dari Al Jabbar
    Seringkali manusia terjebak oleh pemikirannya sendiri dan merasa mampu untuk merancang segala sesuatu. Padahal tidak ada kekuatan dalam d...
  • Pendakwah Bukan Penghukum
    Islam adalah agama yang sempurna yang menekankan konsep keseimbangan. Namun ada dua perkara yang menafikan sesuatu keseimbangan iaitu : ...
  • Sifat Bolak Balik Hati
    Manusia dari masa ke semasa akan mengalami perubahan dan pergantian. Bermula dari seorang bayi, kemudian berkembang menjadi seorang anak ...
  • Usrah Batu Asas Jamaah
    Manhaj perubahan sebenarnya bermula dengan pembentukan jiwa yang : a.        Tunduk. b.       Takut. c.        Khusyu’. kepada Allah swt. ...
  • Halangan Menjejaki Jalan Dakwah
    Dakwah adalah sebuah perjalanan panjang yang tidak pernah sepi dari rintangan dan ujian bagi mereka yang melaluinya. Usianya lebih panjang...

Arkib

  • ►  2017 (1)
    • ►  April (1)
  • ►  2016 (4)
    • ►  September (2)
    • ►  March (1)
    • ►  January (1)
  • ►  2015 (39)
    • ►  November (1)
    • ►  October (2)
    • ►  September (2)
    • ►  August (3)
    • ►  July (1)
    • ►  June (5)
    • ►  May (6)
    • ►  April (6)
    • ►  March (6)
    • ►  February (2)
    • ►  January (5)
  • ►  2014 (42)
    • ►  November (5)
    • ►  October (4)
    • ►  August (4)
    • ►  July (1)
    • ►  June (9)
    • ►  May (8)
    • ►  April (4)
    • ►  February (3)
    • ►  January (4)
  • ▼  2013 (72)
    • ►  December (1)
    • ►  November (5)
    • ►  October (4)
    • ►  September (5)
    • ►  August (6)
    • ►  July (5)
    • ►  June (7)
    • ►  May (5)
    • ►  April (7)
    • ►  March (7)
    • ►  February (9)
    • ▼  January (11)
      • Sunnatullah Di Jalan Dakwah
      • Simbol Ketabahan Wanita Gaza
      • Kelahiran Yang Membawa Cahaya
      • Kualiti Sebenar Rijalud Dakwah
      • Membangun Kekuatan Gerakan Dakwah
      • Manhaj Islam Yang Moderat
      • Membangun Pejuang Kental
      • Menguasai Objek Dakwah
      • Naqib Nyawa Kedua Jamaah
      • Rijal Dakwah Idaman
      • Menelusuri Strategi Dakwah
  • ►  2012 (163)
    • ►  December (8)
    • ►  November (9)
    • ►  October (9)
    • ►  September (9)
    • ►  August (6)
    • ►  July (12)
    • ►  June (9)
    • ►  May (15)
    • ►  April (16)
    • ►  March (18)
    • ►  February (24)
    • ►  January (28)
  • ►  2011 (93)
    • ►  December (24)
    • ►  November (69)

Susunan

  • Akhlak (6)
  • Aqidah (17)
  • Dakwah (73)
  • Fikrah (74)
  • Ilmu (38)
  • Motivasi (10)
  • Muslimah (3)
  • Mutiara Hikmah (12)
  • Mutiara Hikmah Para Duat (21)
  • Mutiara Hikmah Ramadhan (3)
  • Renungan (31)
  • Ruhiyah (8)
  • Tarbiatuna (5)
  • Tarbiyah (34)
  • Tausiyah (31)
  • Tokoh (8)
  • Uslub (11)
  • Video (29)

Panji Islam

Asmaaul Husna

Kalam Hikmah

Coretan Anda

Pengunjung

Free CountersFree CountersFree CountersFree CountersFree Counters

Detik Kehidupan

Hari Ini

Waktu Solat

Pelawat


widgets

Selamat Melayari

  • NEW POSTS
  • COMMENTS
  • flickr

    Get your Flickr ID!
 
 
© 2011 Tinta Perjalanan | Designs by Web2feel & Fab Themes

Bloggerized by DheTemplate.com - Main Blogger