Imam Hasan Al-Banna telah membangunkan satu mekanisma kefahaman yang mampu menyatukan semua orang. Dengan kefahaman inilah :
- Asas Islam akan tertegak.
- Fiqh Islami akan dapat diarahkan.
Mekanisma tersebut terjelma dalam bentuk risalah yang dinamakan ‘Risalah Ta’alim’ di mana di dalamnya disusun Usul 20 yang bertujuan untuk :
- Memberikan asas kefahaman yang betul.
- Membentuk kesatuan saf individu jamaah.
Manakala risalah dan perutusan yang lain pula memberi penumpuan kepada :
- Mendalami kefahaman.
- Menjelaskan pendirian.
- Menerangkan pilihan-pilihan aliran fiqhiah dalam berbagai-bagai isu.
Keperluan terhadap ‘Risalah Ta’alim’ sangat tinggi kerana ianya banyak memberi manfaat kepada kaum muslimin yang cintakan kedaulatan Islam.
Perbicaraan ‘Risalah Ta’alim’ dan kandungannya yang menjelaskan jalan dakwah dan menerangi petunjuk-petunjuk yang bakal mendatang telah meletakkan kaki seorang muslim di pangkal jalan untuk sampai ke matlamatnya iaitu hendak menjadikan kalimah Allah swt suatu yang paling utama dan tinggi.
Berbincang tentang risalah ini merupakan satu proses penerokaan yang mencakupi segenap penjuru, bukan sekadar penjelasan dengan pengertian tradisi yang kita telah sedia maklum.
Perbicaraan ‘Risalah Ta’alim’ dan kandungannya yang menjelaskan jalan dakwah dan menerangi petunjuk-petunjuk yang bakal mendatang telah meletakkan kaki seorang muslim di pangkal jalan untuk sampai ke matlamatnya iaitu hendak menjadikan kalimah Allah swt suatu yang paling utama dan tinggi.
Berbincang tentang risalah ini merupakan satu proses penerokaan yang mencakupi segenap penjuru, bukan sekadar penjelasan dengan pengertian tradisi yang kita telah sedia maklum.
Justeru ia disusun dalam lima bab yang merangkumi konsep umum sekitar ‘Risalah Ta’alim’, usul dua puluh, rukun bai’ah, kewajipan pekerja dakwah dan fatwa ‘Al-Manar’.
Imam Hasan Al-Banna berucap kepada mereka yang meyakini fikrahnya dan beramal berdasarkan manhajnya :
Imam Hasan Al-Banna berucap kepada mereka yang meyakini fikrahnya dan beramal berdasarkan manhajnya :
"Kepada Ikhwan Mujahidin daripada kalangan Ikhwanul Muslimin, yang meyakini ketinggian dakwahnya, kesucian fikrahnya dan berazam untuk hidup bersamanya atau mati mempertahankannya. Ini bukanlah pelajaran-pelajaran untuk dihafal tetapi adalah taklimat-taklimat untuk dilaksanakan".
Yang menarik perhatian kita dalam ‘Risalah Ta’alim’ ini ialah ketelitian pengungkapan Imam Hasan Al-Banna di samping ianya ringkas dan berobjektif.
Sesungguhnya beliau seorang pendakwah yang :
- Jelas bicaranya.
- Berjaya mengetuk pintu minda seseorang.
- Berupaya membuka sanubari seseorang.
- Mampu mengocak kolam hati seseorang.
- Mampu menanam bibit iman yang terus bertakhta di dalam jiwa, hati dan akal.
Dengan menelusuri helaian demi helaian risalah ini, kita akan merasai bahwa Imam Hasan Al-Banna ingin menjelaskan dalam baris-baris kalimatnya skop amali dan praktikal untuk jamaah yang dibangunkannya.
Beliau juga telah diberi taufik oleh Allah kerana keikhlasan yang ada pada dirinya sehingga ‘Risalah Ta’alim’ ini muncul sebagai model yang unik :
- Yang telah menjelaskan dengan cermat.
- Melakarkan garis panduan kefahaman.
- Sebagai tonggak sistem pentarbiyahan yang unggul.
Kandungan risalah yang hebat ini dihuraikan dengan jelas dan mudah difahami.
Dalam ulasannya, Mursyidul Aam Ikhwanul Muslimin yang ketiga, Umar At-Tilmisani berkata :
“Beliau seorang alim dan memiliki kebijaksanaan luar biasa dan jiwanya hidup lagi dinamik, rohani yang suci bersih, amat mengerti dengan penyakit umat dan menyediakan penawar untuknya. Imam Al-Banna sepertimana kebiasaannya akan menulis sepertimana yang beliau bicarakan tanpa memberat-beratkan atau tidak begitu menghiraukan pengkelasan dan bahagian.”
Ia memberi kefahaman terhadap isu-isu asas yang ada dalam agama Islam dan gerakan dakwah.
Tidak dapat dinafikan lagi bahawa risalah ini adalah sebuah panduan yang amat berguna bagi para pendakwah yang mahu meningkatkan kualiti dakwah mereka.
KEPENTINGAN RISALAH TA’ALIM
Allah swt berfirman :
“Dan berpeganglah kamu semuanya kepada tali (agama) Allah, dan janganlah kamu bercerai berai, dan ingatlah akan nikmat Allah kepadamu ketika kamu dahulu (masa Jahiliyah) bermusuh-musuhan, maka Allah menjinakkan antara hatimu, lalu menjadilah kamu kerana nikmat Allah orang-orang yang bersaudara; dan kamu telah berada di tepi jurang neraka, lalu Allah menyelamatkan kamu daripadanya. Demikianlah Allah menerangkan ayat-ayatNya kepadamu, agar kamu mendapat petunjuk. Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang ma’ruf dan mencegah dari yang mungkar; merekalah orang-orang yang beruntung. Dan janganlah kamu menyerupai orang yang bercerai berai dan berselisih sesudah datang keterangan yang jelas kepada mereka. Mereka itulah orang-orang yang mendapat siksa yang berat.” (Qs Ali Imran : 103-105)
Ayat-ayat di atas merupakan petunjuk yang jelas dari Allah swt mengenai peri pentingnya perpaduan dan pentingnya aktiviti dakwah secara berjamaah serta tercelanya perpecahan.
Inilah nilai-nilai penting bagi dakwah kita. Setiap orang yang terlibat dalam dakwah ini mestilah memahami perkara ini untuk kemudiannya direalisasikan.
Mengapa dakwah mesti dilakukan secara berjamaah dan memerlukan perpaduan dalaman jamaah tersebut?
Jawabannya adalah kerana dakwah memiliki karakteristik seperti berikut:
PERTAMA : JALANNYA PANJANG
Jalan dakwah amat panjang dan meletihkan dalam menempuhinya. Oleh kerana itu diperlukan kebersamaan dalam menjejaki jalan yang panjang tersebut.
Kebersamaan yang saling menguatkan dalam kasih sayang, kebenaran dan kesabaran. Tatkala :
- Ada seorang ‘al akh’ yang merasakan keletihan, akan ada ‘al akh’ lain yang memberi semangat kepadanya.
- Ada ‘al akh’ yang kurang sabar, akan ada ‘al akh’ lain yang mengingatkannya.
- Ada ‘al akh’ yang berjalan lambat tidak seirama langkahnya, akan ada ‘al akh’ lain yang menggamit lengannya dengan lembut namun cukup kukuh untuk meluruskan dan menyeragamkan langkahnya.
KEDUA : BANYAK RINTANGAN
Tidak cukup dengan jalan yang amat panjang dan meletihkan, di jalan dakwah tersebut juga terdapat berbagai macam rintangan dan perangkap samada rintangan dan perangkap yang manis ataupun yang pahit.
Yang manis di antaranya godaan harta benda, takhta dan syahwat terhadap lawan jenis sementara yang pahit di antaranya penyiksaan fizikal, deraan psikologi, pemboikotan sosial bahkan pembunuhan.
Namun, segala jenis rintangan itu boleh diatasi dengan saling melindungi sesama ‘al akh’.
KETIGA : SEDIKITNYA SUMBER DAYA MANUSIA
Amat sedikit manusia yang bergelar ‘rijal’ (lelaki hebat) yang bersedia bersusah payah menempuh jalan ini. Walaupun di awal perjalanan ada ramai peminatnya, namun seiring berlalunya waktu, akan berlaku penyaringan dari Allah.
Di tengah perjalanan, akan ada yang :
- Tidak sabar dalam menempuh panjangnya jalan.
- Tergoda dan terlena oleh syahwat.
- Mati muda.
sehingga yang meneruskan perjalanan telah berkurang jumlahnya. Namun, dengan jaringan jamaah yang kukuh dan tersusun rapi, maka akan ada pelapis baru yang bersedia menggantikan generasi yang sudah berlalu.
Begitulah pentingnya pesanan Allah dalam surah Ali Imran di atas di mana kini, yang menjadi perhatian penting adalah bagaimana bagi menyiapkan sebuah barisan ‘rijal’ yang akan memikul amanah ini.
Dakwah adalah pekerjaan yang serius yang hanya boleh dilaksanakan oleh orang-orang yang serius. Oleh kerana beratnya bebanan ini, maka Imam Hassan Al Banna menyusun sebuah risalah yang berisikan panduan dalam membentuk ciri-ciri dan karakter ‘Rijaalud Dakwah’ dan risalah tersebut adalah ‘Risalah Ta’alim’.
‘Risalah Ta’alim’ khususnya Usul 20 merupakan unsur tetap jamaah kerana ia mengandungi kefahaman-kefahaman tertentu yang membezakan jamaah Ikhwan daripada jamaah yang lain.
Para pengikut Ikhwan mestilah beriltizam dan beramal bertepatan dengan tuntutannya dan berdakwah kepadanya serta ia tidak boleh dicuaikan atau diselewengkan.
Ini semuanya ialah natijah mereka yang memahami bahawa tiada Islam tanpa jamaah dan tiada jamaah tanpa tentera, pimpinan dan tugasan.
Bagi setiap pendukung yang memiliki komitmen terhadap ‘Risalah Taalim’ ini, maka ia memiliki sifat yang dinamakan Rukun-Rukun Bai'ah yang terkandung di dalamnya ‘sama'an wa ta'ah’ (dengar dan patuh).
Peribadi sebegini tidak mungkin dilahirkan melalui paksaan, tetapi ianya akan dilahirkan melalui:
- Iman.
- Qanaah.
- Pentarbiahan yang sejahtera.
Melalui tarbiah ini akan lahirlah individu yang berjuang untuk memenangkan fikrah yang dibawa dan mereka dicelup dengan celupan akhlak yang memberi kesan kepada masyarakat sekeliling.
Bagi mencapai objektif ini Imam Hasan Al-Banna telah menggariskan beberapa sifat dan ciri keperibadian mujahid Islam yang mengikat diri mereka dengan jamaah.
Antara sifat itu ialah yang dinamakan oleh beliau sebagai rukun-rukun bai’ah (juga merupakan unsur tetap jamaah) iaitu faham, ikhlas, amal, jihad, pengorbanan, ketaatan, thabat, tajarrud, ukhuwah dan thiqah yang kesemuanya berjumlah sepuluh rukun.
Sepuluh rukun itu berdasarkan ijtihad peribadi beliau, boleh ditambah tetapi tidak boleh dikurangkan kerana semua rukun itu merupakan nilai-nilai akhlak yang dituntut oleh Islam.
Penambahan akhlak yang terpuji adalah dibenarkan seperti perbuatan Dr. Yusuf al-Qardhawi menambah dalam syarahnya terhadap tulisan Imam Al-Banna.
Katanya: "Dan saya menambah...".
Beliau menambah beberapa sifat yang lain agar menjadikan perkara ini menjadi lebih terang dan jelas pada zaman yang menuntut penjelasan dan keterangan yang banyak.
Jadi penambahan adalah membina manakala pengurangan bermakna meruntuhkan.
Firman Allah swt :
“Supaya Allah melakukan sesuatu perkara (kemenangan Islam) yang telah ditetapkan berlakunya, iaitu supaya orang (kafir musyrik) yang binasa itu, binasa dengan keterangan (yang membuktikan kesalahannya), dan supaya orang (Islam) yang hidup itu, hidup dengan keterangan (yang membuktikan kebenarannya)”. (QS Al Anfal : 42)
Imam Hasan Al-Banna telah mengkhususkan rukun faham dengan Usul 20 yang juga merupakan unsur tetap dakwah.
Usul 20 membantu seorang muslim membina kefahaman yang sahih agar ia tidak dibina di atas asas sangkaan dan hawa nafsu.
Kesemua usul itu ialah asas dan garis panduan untuk memahami Islam, bukannya asas kepada Islam itu sendiri sebagaimana yang disalah fahamkan oleh sesetengah pihak yang mengatakan :
"Asas Islam ada dua sahaja iaitu Al-Quran dan As-Sunnah, bukan 20 asas".
Imam Hasan Al-Banna meletakkan Usul 20 sebagai asas untuk memahami Al-Quran dan As-Sunnah. Ia membantu kita untuk mendapatkan kefahaman yang :
- Sempurna.
- Terperinci.
- Betul.
Kefahaman sebegini amat penting bagi mengawal perjalanan dan halatuju dakwah. Seterusnya ia dapat menjamin harakah agar tidak menyeleweng.
Hasilnya jamaah dapat menjaga jati dirinya dan berbeza daripada jamaah-jamaah yang lain, daripada sudut kefahaman dan harakah.
Ianya juga tidak bermaksud mahu membataskan pembacaan dan sumber pengetahuan pada risalah-risalah ini sahaja. Itu suatu yang tidak diterima akal, terutama bagi penuntut ilmu yang sentiasa mahukan penambahan.
Namun, risalah-risalah ini merupakan rangka asas kepada kefahaman Islam yang dipegang oleh
jamaah. Apabila rangka asas ini telah jelas pada seseorang, dia boleh menambah pengetahuannya daripada mana-mana sumber yang disukainya.
Pada waktu itu ia telah mempunyai neraca dan asas untuk menimbang dan memilih antara kaca dan permata. Tidak memahami rangka asas itu boleh mendedahkan seseorang kepada kekeliruan.
Inilah yang berlaku ketika Rasulullah saw menegur Umar bin al-Khattab kerana memegang sebuah kitab Taurat.
Rasulullah saw bersabda :
"Demi Allah, jika Musa bin Imran hidup bersama kita sekarang, dia mesti mengikut aku".
Setelah jelas kefahaman terhadap risalah-risalah dan menjadi pegangan yang kuat, tidak salah bagi kita untuk membaca buku lain terutamanya buku-buku karangan musuh untuk kita menjawab serangan pemikiran mereka dan juga menjawab kekeliruan-kekeliruan yang wujud.
Sebagai contoh, Mursyidul Aam yang kedua Ikhwanul Muslimin, Hasan al-Hudhaibi telah mengarang buku "Pendakwah Bukan Penghukum" sebagai menjawab kekeliruan yang berlaku di zamannya.
Begitulah juga usaha ulama’ Ikhwan yang telah menulis banyak buku mempertahankan dakwah dan membetulkan salah faham agar perjalanan dakwah ini dapat dipelihara keasliannya.
Dengan penjelasan di atas, fahamlah kita bahwa Risalah Ta’alim ini hendaklah :
- Dibaca dengan saksama.
- Ditelaah dengan serius.
- Diimplementasikan dengan konsisten.
Ini adalah kerana ia mampu menjadi bekalan aktivis dakwah dalam membentuk aqidah, akhlak, ilmu pengetahuan serta semangat bekerja.
Perkara-perkara inilah yang akan menjadi asas keperibadian aktivis dakwah yang kukuh dan tahan lasak dalam melaksanakan amanah risalah dakwah.
Proses pembentukan adalah perkara yang asas yang tidak boleh ditinggalkan atau dianggap sekadarnya sahaja.
Sebuah jamaah yang mengabaikan aspek pembentukan ini, cepat atau lambat akan mengalami kejumudan bahkan akan hancur.
Aspek pembentukan yang dimaksudkan adalah :
- Pembentukan yang menyeluruh.
- Menyentuh semua aspek keperibadian manusia.
- Tersusun dalam program secara rapi dan jelas.
Tanpa adanya pembentukan yang benar maka ‘rijal’ yang teguh tidak akan dapat dihasilkan, padahal ‘rijal’ yang teguh ini merupakan tulang belakang yang kukuh bagi tubuh jamaah.
Oleh yang demikian, ‘Risalah Ta’alim’ yang mencakupi semua aspek tersebut serta memiliki arahan yang jelas, tanpa huraian yang berjela-jela menjadi suatu sumber yang penting bagi pembangunan ‘Rijalud Dakwah’.
Ya Allah, kurniakanlah kami kefahaman yang jelas dan mantap terhadap Deen yang Engkau turunkan kepada kami sehingga kami berupaya untuk melaksanakan arahan-arahan dan perintah-perintah dariMu dengan penuh kesedaran dan kepatuhan. Jadikanlah ‘Risalah Ta’alim’ ini sebagai sumber yang menyatukan kefahaman umat Islam terhadap Deen yang suci ini.
Ameen Ya Rabbal Alameen
WAS