skip to main | skip to sidebar

Tinta Perjalanan

Pages

  • Home
 
  • RSS
  • Facebook
  • Twitter
  • Linkedin
  • Youtube
  • DheTemplate.com
  • Free Templates
  • Drop Menu 1
    • Child Menu 1.1
    • Child Menu 1.2
    • Child Menu 1.3
  • Drop Menu 2
    • Child Menu 2.1
    • Child Menu 2.2
    • Child Menu 2.3
  • Daily Update Templates

Ahlan Wasahlan


Perjalanan Menuju Allah.

Saturday, 23 March 2013

Adil Identiti Islam

Ditulis Oleh WAS Pada 10:17 – 0 Komen Anda
 

Perkataan ‘adil’ menurut bahasa adalah sesuatu yang tegak di dalam jiwa sebagai :

a. Kejujuran.
b. Ketulusan.

Perkataan yang berlawanan dengan ‘adil’ adalah ‘aniaya’ atau ‘zalim’.

Selain dari definisi di atas ‘adil’ juga bererti :

1. Seimbang.
2. Pertengahan antara sikap berlebihan dan sikap mengabaikan.

Syeikh Abdullah Qasim Al Wasyli dalam mensyarahkan usul pertama dari Usul 20 karangan Imam Hasan Al Banna berkata :

Adil merupakan salah satu sifat Allah swt. Oleh yang demikian, Ia tidak pernah mengutus rasul-rasul-Nya dan tidak menurunkan kitab-kitab-Nya serta tidak membebani umat manusia dengan berbagai syariat kecuali untuk menegakkan keadilan dan kebenaran.

Allah swt berfirman :

“Sesungguhnya Kami telah mengutus rasul-rasul Kami dengan membawa bukti-bukti nyata dan telah Kami turunkan bersama mereka Al Kitab dan neraca (keadilan) supaya manusia dapat melaksanakan keadilan.” (QS Al Hadid : 25)

Allah swt telah menjadikan keadilan sebagai timbangan-Nya yang bebas dari segala kegelinciran, di mana dengannyalah urusan dunia akan menjadi baik.

Oleh kerana itu Allah swt berfirman :

“Allah-lah yang telah menurunkan kitab (Al-Quran) dengan (membawa) kebenaran dan menurunkan neraca (keadilan).” (QS Asy Syura : 17)

“Dan langit ditinggikan-Nya dan Dia meletakkan neraca (keadilan).” (QS Ar Rahman : 7)

Ia menyebut keadilan itu dengan istilah timbangan kerana keadilan terlahir dari neraca dan termasuk pekerjaanNya yang paling menonjol.

Islam, agama yang terakhir ini telah menjadikan sistem keadilan sebagai syiarnya.

Keadilan adalah identiti Islam dalam setiap aspek kehidupan.

Allah swt berfirman :

“Sesungguhnya Allah menyuruh (kamu) berlaku adil, berbuat baik, dan memberi kepada kaum kerabat, serta melarang kekejian, kemungkaran, dan permusuhan. Dia memberi pengajaran kepadamu agar kamu dapat mengambil pelajaran.” (QS An Nahl : 90)

Ibnu Mas’ud berkata :

“Ayat di atas merupakan ayat yang paling lengkap mengenai kebaikan yang mesti dilaksanakan dan keburukan yang mesti ditinggalkan. Seruannya bersifat umum bagi umat manusia seluruhnya dengan menggunakan kata perintah (ya’muru) bukan sekadar anjuran.”

Nabi Muhammad saw sebagi Rasul yang terakhir itu, di antara tugas pokok baginda adalah bersikap adil di antara umat manusia.

Allah swt telah memerintahkannya untuk menjelaskan perkara itu kepada umatnya agar mereka belajar dan meneladani baginda kerana baginda adalah teladan bagi seluruh umat manusia.

Allah swt berfiman :

“Dan katakan, ‘Aku beriman kepada semua kitab yang Allah turunkan dan aku diperintahkan supaya berlaku adil di antara kamu.’” (QS Asy Syura : 15)

Keadilan yang Islam serukan adalah keadilan mutlak yang memperlakukan seluruh umat manusia sama dan satu darjat.

Allah swt berfiman :

“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanat kepada yang berhak menerimanya dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum di antara manusia supaya kamu menetapkan dengan adil.” (QS An Nisaa’: 58)

Permusuhan yang berlaku di antara umat manusia sepatutnya tidak boleh dijadikan alasan untuk membenarkan atau melakukan kezaliman atau meninggalkan sikap adil.

“Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu menjadi orang-orang yang selalu menegakkan (kebenaran) kerana Allah dan menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap suatu kaum mendorongmu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah, kerana adil itu lebih dekat kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan..” (QS Al Ma’idah : 8)

Sebagaimana keadilan diperintahkan untuk diterapkan dalam perbuatan, ia juga diperintahkan dalam ucapan.

“Dan apabila kamu berkata maka berlaku adillah sekalipun terhadap kerabat(mu) sendiri, dan penuhilah janji Allah. Yang demikian itu diperintahkan Allah kepadamu agar kamu dapat mengambil pelajaran.” (QS Al An’am : 152)

Perintah ini mempunyai kaitan yang cukup penting dengan :

a. Orang-orang yang memegang kekuasaan.
b. Orang yang memiliki hubungan dengannya.
c. Mereka yang berpengaruh dalam masyarakat seperti para mufti, para aktivis amar makruf nahi mungkar, pemuka mazhab dan lain-lain.

Ini adalah kerana mereka yang tersebut di atas adalah mereka yang berpengaruh ucapannya, perilakunya  atau keduanya sekali.

Hakikat yang meliputi seluruh makna keadilan adalah memberikan hak kepada pemiliknya termasuk :

1. Hak peribadi.
2. Hak sosial.
3. Hak politik.

Setiap perkara yang menghalang dari sampainya hak tersebut kepada pemiliknya adalah kezaliman.

Ini adalah kerana tujuan sistem Ilahi ini adalah bagi menegakkan keadilan di antara manusia.

Keadilan yang dituntut oleh Islam adalah keadilan yang menyeluruh.

PERTAMA : ADIL DALAM BERHUKUM

“Dan apabila menetapkan hukum di antara manusia hendaklah kamu menetapkannya dengan adil.” (QS An-Nisaa’: 58)

KEDUA : ADIL DALAM PERBICARAAN

Menyamakan antara pihak-pihak yang berkepentingan walaupun berbeza kedudukan dan kelasnya.

KETIGA : ADIL DALAM PEMBAHAGIAN HAK DAN KEWAJIBAN

KEEMPAT : ADIL DALAM MENETAPKAN HUDUD DAN QISHAS

KELIMA : ADIL DI ANTARA ISTERI-ISTERI JIKA MEREKA LEBIH DARI SATU

KEENAM : ADIL DALAM UCAPAN, PERSAKSIAN DAN PENULISAN

KETUJUH : ADIL DI ANTARA KELOMPOK-KELOMPOK MUSLIM JIKA BERLAKU PERSELISIHAN PENDAPAT DI ANTARA MEREKA

“Dan jika ada dua golongan dari orang-orang mukmin berperang maka damaikanlah di antara keduanya. Jika salah satu dari kedua golongan itu berbuat aniaya terhadap golongan yang lain, maka perangilah golongan yang berbuat aniaya itu hingga mereka kembali kepada perintah Allah; jika golongan itu telah kembali (kepada perintah Allah) maka damaikanlah di antara keduanya dengan adil. Dan berlaku adillah, sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang berlaku adil.” (QS Al Hujurat : 9)

Dalam menegakkan prinsip dan kaidah keadilan di tengah masyarakat, Islam menggunakan konsep dan metodologi pendidikan yang mendidik umat ini untuk meyakini prinsip keadilan dengan keyakinan yang setaraf dengan ideologi dalam hati orang yang beriman.

Perkara ini dilakukan bagi tujuan :

a. Memasyarakatkannya.
b. Mempropagandakannya.
c. Memerintahkannya.
d. Mendorong umat untuk komitmen dengannya.
e. Memperingatkan agar mereka tidak meninggalkannya.
f. Membentuk ciri-ciri umat dengannya melalui penerapan dan pengamalannya.  

Semua itu jelas terserlah dari sejarah kehidupan Rasulullah saw di mana baginda gembirakan umat dengan keadilan, mempropagandakannya dan menerapkannya selama masa hidup Rasulullah saw, memulia dengan dirinya sendiri sebagai contoh sehingga konsep keadilan itu menyerap dalam masyarakat dan mereka tidak berasa enggan lagi untuk menuntut keadilan itu baik salah mahupun benar.

Dalam perjalanan kehidupan ‘Khulafa’ Rasyidin’ terdapat contoh-contoh keadilan yang memperhatikan aspek-aspek persamaan dan kesetaraan yang kemudiannya hidup menjadi sebuah realiti.

Di antara kenyataan Khalifah Abu Bakar ra adalah :

“Orang yang lemah di antara kamu adalah kuat bagiku hingga aku mengambilkan hak untuknya sedang orang yang kuat di antara kamu adalah lemah bagiku hingga aku mengambil hak darinya, Insya Allah.”

Syari’at Islam telah menggariskan asas-asas pemerintahan yang menjamin keadilan kepada manusia sejagat dan mampu memandu manusia mendapatkan kemaslahatan dan keperluan hidup mereka di mana  sahaja mereka  berada dan di zaman mana mereka hidup sekalipun. Sumber pemerintahan Islam iaitu Al-Qur’an Al-Karim, telah menggariskan asas-asas yang menyeluruh yang menjadi dasar kepada sistem dan pentadbiran sesebuah kerajaan.

Walau bagaimanapun Al-Qur’an tidak meletakkan ‘nas’ secara terperinci bentuk-bentuk atau cara-cara perlaksanaan sesuatu pemerintahan sebaliknya dibiarkan kepada ummah untuk menentukannya sendiri bentuk pemerintahan yang sesuai dengan keperluan dan kemaslahatan mereka. Keadaan ini menjadikan syari’at Islam lebih anjal dan dapat menyahut keperluan manusia yang berubah-ubah yang disebabkan oleh perubahan masa dan tempat.

Al-Qur’an menegaskan bahawa dunia dan segala isinya adalah ciptaan Allah dan milik mutlak-Nya. Ia juga menjelaskan bahawa kuasa pemerintahan tertinggi adalah Allah swt.

“Maha Berkat (serta Maha Tinggilah kelebihan) Tuhan yang menguasai pemerintahan (dunia dan akhirat); dan memanglah Ia Maha Kuasa atas tiap-tiap sesuatu; Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup (kamu) - untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan Ia Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat).” (QS Al Mulk : 1-2)

Di samping itu, Al-Qur’an juga menegaskan bahawa manusia dilantik oleh Allah sebagai khalifahnya di muka bumi. 

“Dan (ingatlah) ketika Tuhanmu berfirman kepada Malaikat; "Sesungguhnya Aku hendak menjadikan seorang khalifah di bumi.” (QS Al Baqarah : 30)

Lantaran itu mereka hendaklah menunaikan tugas-tugas khalifah ini sebagaimana yang telah ditetapkan oleh Allah di dalam Al-Qur’an.

“Iaitu mereka (umat Islam) yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi niscaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan.” (QS Al Hajj : 41)

Al-Qur’an juga memerintahkan manusia dan mereka yang dilantik menjadi pemimpin supaya melaksanakan segala kewajiban mereka yang telah diamanahkan oleh Allah kepada mereka.

Untuk itu, Al-Qur’an meletakkan ‘nas’ tentang :

  1. Kewajiban berlaku adil dan memelihara keadilan sesama manusia.
 “Dan jika dua puak dari orang-orang yang beriman berperang, maka damaikanlah di antara keduanya; jika salah satunya berlaku zalim terhadap yang lain, maka lawanlah puak yang zalim itu sehingga ia kembali mematuhi perintah Allah; jika ia kembali patuh maka damaikanlah di antara keduanya dengan adil (menurut hukum Allah), serta berlaku adillah kamu (dalam segala perkara); sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berlaku adil.” (QS Al Hujuraat : 9)

  1. Kewajiban bersyura.

“Dan juga (lebih baik dan lebih kekal bagi) orang-orang yang menyahut dan menyambut perintah Tuhannya serta mendirikan sembahyang dengan sempurna; dan urusan mereka dijalankan secara bermesyuarat sesama mereka; dan mereka pula mendermakan sebahagian dari apa yang Kami beri kepadanya.” (QS As Syura : 38)

  1. Memelihara hak-hak persamaan  manusia.

“Sebenarnya orang-orang yang beriman itu adalah bersaudara, maka damaikanlah di antara dua saudara kamu (yang bertelingkah) itu; dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beroleh rahmat.” (QS Al Hujurat : 10)

  1. Membawa Rahmat kepada manusia.

“Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (wahai Muhammad), melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.” (QS Al Anbiya’ : 107)

  1. Melarang melakukan kemusnahan.

“Dan janganlah kamu berbuat kerosakan di bumi sesudah Allah menyediakan segala yang membawa kebaikan padanya, dan berdoalah kepadaNya dengan perasaan bimbang (kalau-kalau tidak diterima) dan juga dengan perasaan terlalu mengharapkan (supaya makbul). Sesungguhnya rahmat Allah itu dekat kepada orang-orang yang memperbaiki amalannya.” (QS Al A’raaf : 56)

  1. Memerintahkan supaya menunaikan amanah dan janji.

“Dan sempurnakanlah pesanan-pesanan dan perintah-perintah Allah apabila kamu berjanji; dan janganlah kamu merombak (mencabuli) sumpah kamu sesudah kamu menguatkannya (dengan nama Allah), sedang kamu telah menjadikan Allah sebagai Penjamin kebaikan kamu; sesungguhnya Allah sedia mengetahui akan apa yang kamu lakukan.” (QS An Nahl : 91)

  1. Asas-asas hubungan luar.

“Dan jika mereka (pihak musuh) cenderung kepada perdamaian, maka engkau juga hendaklah cenderung kepadanya serta bertawakalah kepada Allah. Sesungguhnya Ia Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.” (QS Al Anfal : 61)

Apa yang ingin ditonjolkan di sini bahwa Allah swt telah menggariskan asas-asas penting sebagai panduan dan rujukan umat Islam dalam mentadbir sesebuah kerajaan.

Sebaliknya Allah swt tidak menggariskan sistem hidup dan prosedur-prosedur perlaksanaannya secara terperinci dengan menyempitkan ruang ijtihad kepada manusia.

Keadaan syari’ah yang seumpama ini telah memberi ruang yang luas kepada ummah untuk menyusun sistem hidup mereka sesuai dengan perkembangan kehidupan, penemuan-penemuan ilmu dan teknologi dan budaya hidup mereka selagi ianya tidak terkeluar daripada batasan syara’.

Namun begitu, keadilan hidup untuk manusia sejagat hanya dapat ditegakkan sekiranya manusia menghormati asas-asas yang telah diletakkan oleh Allah swt ini.

Keadilan ini juga akan terlaksana sekiranya pemilihan kepimpinan dilaksanakan oleh ummah sebagaimana yang ditunjukkan oleh syara’ iaitu melalui kaedah :

  1. ‘Syura’.
  2. ‘Bai’ah’ ahli “Al-Halli Wa Al ‘Aqdi”.
yang memenuhi syarat-syaratnya.

Keadilan Islam hanya akan terlaksana sekiranya kepimpinan sesebuah negara beriman terhadap tanggungjawab sebagai khalifah dan tanggungjawab melaksanakan pengabdian diri sepenuhnya kepada Allah swt.

Begitu juga keadilan Islam ini dapat dilihat di dalam syariatnya yang memperuntukkan hak-hak tertentu kepada rakyat.

Islam mengiktiraf hak-hak persamaan sesama manusia dan juga hak-hak  individu dalam urusan politik dan kemasyarakatan antaranya ialah:

PERTAMA : KEBEBASAN SYAKHSIYAH

Kebebasan ini bermaksud Islam memberi hak kepada setiap individu untuk melakukan apa sahaja untuk kemaslahatan dirinya, seperti memelihara keselamatan diri, harta dan maruah dengan syarat tindakannya itu tidak mendatangkan kemudharatan kepada orang lain.

Ini termasuklah kebebasan diri, kebebasan tempat tinggal, kebebasan pemilikan, kebebasan kepercayaan, kebebasan berfikir dan  kebebasan belajar. Maka untuk menjamin hak-hak ini maka Islam mengiktiraf dan memeliharanya dan merupakan hak yang sayugia di berikan oleh pemerintah kepada rakyatnya sama ada Islam atau ‘ahli zimmah’.

KEDUA : KEBEBASAN PERIBADI

Hukum-hukam Islam mengiktiraf hak-hak ini dan memelihara setiap diri individu daripada dicerobohi oleh orang lain dengan menentukan batas-batas halal dan haram, perintah dan larangan yang berkaitan dengan memelihara keperibadian setiap individu seperti diharamkan membuat tuduhan palsu, membunuh dan sebagainya dengan ditentukan hukuman yang setimpal.

Ada hukuman yang telah ditentukan oleh syara’ dan ada yang diserahkan kepada pemimpin untuk menentukan bentuk hukuman yang sesuai yang dinamakan ‘ta’zir’.

Setiap jenayah merupakan pelanggaran terhadap batasan Allah dan hukumnnya juga thabit dengan ketentuan syara’.

KETIGA : KEBEBASAN TEMPAT TINGGAL

Pencerobohan kepada tempat tinggal manusia termasuk di dalam golongan yang memerangi Allah dan rasulnya.

Begitu juga Islam mewajibkan meminta izin sebelum memasuki sesuatu rumah yang bukan miliknya.

“Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu masuk ke dalam mana-mana rumah yang bukan rumah kamu, sehingga kamu lebih dahulu meminta izin serta memberi salam kepada penduduknya; yang demikian adalah lebih baik bagi kamu, supaya kamu beringat (mematuhi cara dan peraturan yang sopan itu).” (QS An Nur : 27)

KEEMPAT : KEBEBASAN BEKERJA DAN MEILIKI HARTA

Islam mengiktiraf hak-hak ini dan memeliharanya dengan pelbagai hukum-hakamnya, antaranya:

Islam mensyariatkan berbagai tindakan yang boleh menindahkan milik atau manfaat seperti jual beli, sewa-menyewa, hutang-piutang, gadaian, pelaburan, syarikat dan sebagainya. Seterusnya Islam meletakkan asas kepada sahnya pertukaran ini dengan wujudnya kebebasan, keredhaan dan pemilihan antara mereka yang membuat urusan ini.

Islam juga menegaskan haram memakan harta orang lain dengan cara yang batil.

Begitu juga Islam menentukan hukuman yang berat kepada mereka yang mencuri.

KELIMA : KEBEBASAN BERI’TIQAD KEPADA BUKAN ISLAM

Islam mengiktiraf hak ini kepada rakyat bukan Islam untuk meneruskaan kepercayaan mereka.

“Tidak ada paksaan dalam ugama (Islam), kerana sesungguhnya telah nyata kebenaran (Islam) dari kesesatan (kufur). Oleh itu, sesiapa yang tidak percayakan Thaghut, dan ia pula beriman kepada Allah, maka sesungguhnya ia telah berpegang kepada simpulan (tali ugama) yang teguh yang tidak akan putus. Dan (ingatlah), Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.” (QS Al Baqarah : 256)

Ini ialah kerana asas keislaman ialah kejelasan dan penerimaan tanpa paksaan atau taklid.

Lantaran itu Islam membenarkan penganut agama lain melaksanakan amalan keagamaan mereka ditempat-tempat ibadat mereka dan menzahirkan perayaan mereka ditempat-tempat mereka.

KEENAM : KEBEBASAN BERFIKIR

Kebebasan berfikir ini samada dalam urusan keagamaan atau urusan lainnya. Sekiranya perkara yang  tidak berkaitan dengan urusan agama maka setiap individu berhak untuk berfikir dan menyatakan pandangannya dengan cara yang mudah baginya. Telah berlaku di zaman awal Islam di mana Rasulullah saw menerima pandangan sahabatnya dalam peperangan dan sebagainya.

Manakala dalam perkara yang berkaitan dengan agama maka setiap manusia berhak untuk berijtihad selagi ijtihadnya dalam perkara yang tidak ada nas mengenainya dan hendaklah ijtihad mereka berasaskan kepada asas-asas agama yang umum.

Termasuk di dalam hak-hak ini ialah kebebasan untuk berucap, menulis, berhimpun dan sebagainya sama ada dalam ucapan itu terdapat kritikan kepada pemimpin dan pegawainya malah orang-orang bukan Islam berhak menyatakan pandangan mereka mengenai sikap umat Islam dan agama Islam. Malah umat bukan Islam boleh berpindah dari satu agama ke agama lain.

KETUJUH : KEBEBASAN MENUNTUT ILMU

Islam mewajibkan umatnya menuntut ilmu pengetahuan. Semua ilmu yang membawa kepada kemaslahatan ummah adalah  dituntut oleh syara’ supaya dipelajari samada oleh lelaki mahupun perempuan. Orang bukan Islam juga tidak dihalang untuk mempelajari ilmu-ilmu Islam di sekolah-sekolah Islam.

KELAPAN : PERSAMAAN HAK

Syiar persamaan hak merupakan syiar yang nyata dalam Islam . Islam tidak membezakan antara seseorang dengan seseorang yang lain sama ada rakyat mahupun pemerintah. Kesemuanya adalah sama di hadapan perintah Allah dan hukum-hukumnya.

Berdasarkan beberapa penjelasan di atas, sudah jelas bahawa keadilan sentiasa terpancar dalam Islam.

Al-Qur’an dan As-Sunnah memberikan panduan-panduan yang cukup jelas untuk manusia menjalani kehidupan seharian.

Oleh itu, adalah menjadi kewajipan kepada setiap individu Muslim terutamanya pihak pemerintah untuk memastikan keadilan sentiasa selangkah dan seiring dengan corak pemerintahannya.

Semuanya ini bertujuan untuk menjamin kesejahteraan hidup manusia. Ganjaran bagi pemimpin yang menegakkan keadilan begitu begitu besar sekali.

Sabda Rasulullah saw yang bermaksud :

"Tujuh (golongan) yang dinaungi Allah dalam naungannya pada hari yang tiada naungan selain daripada naungannya: Imam yang adil.... "


Menurut Al Hafiz Ibnu Hajar Al Asqalani, yang dimaksudkan dengan Imam dalam hadis ini  ialah mereka yang menjalankan urusan pemerintahan negara.

Pandangan ini disokong oleh hadis yang diriwayatkan oleh Ibnu Umar ra di mana Rasulullah saw bersabda :

“Sesungguhnya orang-orang yang berlaku adil di sisi Allah akan berada di atas mimbar yang diperbuat dari cahaya, di sebelah kanan Tuhan yang bersifat Rahman (mereka ialah) orang yang berlaku adil dalam hukuman mereka, keluarga mereka dan orang-orang yang di bawah tanggungjawab mereka.”

Dalam hadis lain, Rasulullah saw bersabda :

“Makhluk yang paling dikasihi oleh Allah ialah Imam yang adil dan makhluk yang paling dibencinya ialah Imam yang zalim.”

Oleh itu, sudah sewajarnya pemimpin-pemimpin politik memikirkan sejenak apakah mereka telah melaksanakan tanggungjawab untuk menegakkan keadilan dan berusaha untuk memperbetulkan ketidakadilan yang berlaku sama ada dalam negara mahupun dalam kancah politik antarabangsa.

Tanggungjawab ini amat penting demi masa depan umat Islam dan dunia keseluruhannya di mana sistem keadilan sebenar tidak akan tercapai sekiranya umat Islam tidak kembali mengambil Al Qur’an dan As Sunnah sebagai rujukan dan neraca dalam melaksanakan setiap amal dan tanggungjawab yang dilaksanakan.

Ya Allah, jadikanlah kami golongan  yang sentiasa berlaku adil dalam semua keadaan, sama ada kepada orang yang dikasihi mahupun orang yang dibenci kerana sesungguhnya kami amat memahami bahwa keadilan itu dekat kepada taqwa.

Ameen Ya Rabbal Alameen
WAS
Labels: Fikrah Email This BlogThis! Share to X Share to Facebook

Leave a Reply

Newer Post Older Post
Subscribe to: Post Comments (Atom)

Yang Setia

Pautan

  • Muharikah
    Antara dua pilihan
    3 years ago
  • Angel Pakai Gucci!
    Doa Itu Bom Nuklear Bagi Orang Mu'min!
    5 years ago
  • Majalah Jom!
    Isu 45: ALAMAK, AKU SALAH PILIH! (EDISI ISTIMEWA)
    9 years ago
  • دعوتنا DAKWATUNA -dakwahkite-
    Di antara Kefahaman dan Pelaksanaan (Sudut Pandang Parti Kebebasan dan Keadilan FJP – Mesir)
    10 years ago
  • ZADUD-DUAT
    Wahai Ikhwah, Persaudaran adalah rahsia kekuatan anda
    11 years ago
  • Popular
  • Recent
  • Archives
 

Diri Ini

My photo
WAS
Blog ini memaparkan bahan-bahan bacaan dan artikel yang boleh meningkatkan ilmu dan kefahaman Islam anda..
View my complete profile

Blog Ini Menarik??

Yang Paling Digemari

  • Memohon Dari Al Jabbar
    Seringkali manusia terjebak oleh pemikirannya sendiri dan merasa mampu untuk merancang segala sesuatu. Padahal tidak ada kekuatan dalam d...
  • Tsabat Memenangkan Dakwah
    ‘ Tsabat ’ bermakna teguh pendirian dan tegar dalam menghadapi ujian serta mehnah di jalan kebenaran. Ia merupakan benteng bagi seorang ak...
  • Apabila Hijab Terbuka
    Terbukanya hijab  (sekatan pembatas)  antara kita dengan Allah adalah sumber ketenangan dan kebahagiaan hidup. Ketika hijab telah terbuka, s...
  • Menjelmakan Makna Tarbawi
    Sehingga ke saat ini Allah swt masih memberikan rahmat kepada kita melalui hidayah, iman, Islam serta dakwah dan tarbiyah. Sungguh, n...
  • Surah Yang Menjadi Pembela
    Allah swt telah menurunkan kepada kita Al Qur’an sebagai : a.        Cahaya. b.       Rahmat. c.        Ubat dari penyakit hati dan...

Arkib

  • ►  2017 (1)
    • ►  April (1)
  • ►  2016 (4)
    • ►  September (2)
    • ►  March (1)
    • ►  January (1)
  • ►  2015 (39)
    • ►  November (1)
    • ►  October (2)
    • ►  September (2)
    • ►  August (3)
    • ►  July (1)
    • ►  June (5)
    • ►  May (6)
    • ►  April (6)
    • ►  March (6)
    • ►  February (2)
    • ►  January (5)
  • ►  2014 (42)
    • ►  November (5)
    • ►  October (4)
    • ►  August (4)
    • ►  July (1)
    • ►  June (9)
    • ►  May (8)
    • ►  April (4)
    • ►  February (3)
    • ►  January (4)
  • ▼  2013 (72)
    • ►  December (1)
    • ►  November (5)
    • ►  October (4)
    • ►  September (5)
    • ►  August (6)
    • ►  July (5)
    • ►  June (7)
    • ►  May (5)
    • ►  April (7)
    • ▼  March (7)
      • Mesin Penggerak Dakwah
      • Hakikat Aktivis Dakwah Contoh
      • Adil Identiti Islam
      • Membangun Kebijaksanaan Pendakwah
      • Kesatuan Dakwah & Politik
      • Mutu Sebuah Keputusan Politik
      • Calon Pemimpin Berwibawa
    • ►  February (9)
    • ►  January (11)
  • ►  2012 (163)
    • ►  December (8)
    • ►  November (9)
    • ►  October (9)
    • ►  September (9)
    • ►  August (6)
    • ►  July (12)
    • ►  June (9)
    • ►  May (15)
    • ►  April (16)
    • ►  March (18)
    • ►  February (24)
    • ►  January (28)
  • ►  2011 (93)
    • ►  December (24)
    • ►  November (69)

Susunan

  • Akhlak (6)
  • Aqidah (17)
  • Dakwah (73)
  • Fikrah (74)
  • Ilmu (38)
  • Motivasi (10)
  • Muslimah (3)
  • Mutiara Hikmah (12)
  • Mutiara Hikmah Para Duat (21)
  • Mutiara Hikmah Ramadhan (3)
  • Renungan (31)
  • Ruhiyah (8)
  • Tarbiatuna (5)
  • Tarbiyah (34)
  • Tausiyah (31)
  • Tokoh (8)
  • Uslub (11)
  • Video (29)

Panji Islam

Asmaaul Husna

Kalam Hikmah

Coretan Anda

Pengunjung

Free CountersFree CountersFree CountersFree CountersFree Counters

Detik Kehidupan

Hari Ini

Waktu Solat

Pelawat


widgets

Selamat Melayari

  • NEW POSTS
  • COMMENTS
  • flickr

    Get your Flickr ID!
 
 
© 2011 Tinta Perjalanan | Designs by Web2feel & Fab Themes

Bloggerized by DheTemplate.com - Main Blogger