skip to main | skip to sidebar

Tinta Perjalanan

Pages

  • Home
 
  • RSS
  • Facebook
  • Twitter
  • Linkedin
  • Youtube
  • DheTemplate.com
  • Free Templates
  • Drop Menu 1
    • Child Menu 1.1
    • Child Menu 1.2
    • Child Menu 1.3
  • Drop Menu 2
    • Child Menu 2.1
    • Child Menu 2.2
    • Child Menu 2.3
  • Daily Update Templates

Ahlan Wasahlan


Perjalanan Menuju Allah.

Monday, 18 March 2013

Membangun Kebijaksanaan Pendakwah

Ditulis Oleh WAS Pada 09:55 – 0 Komen Anda
 

Perumpamaan seorang pendakwah adalah sebagai seorang penunjuk jalan dan sifatnya umpama cahaya yang bersinar di tengah-tengah kegelapan. Ia sentiasa berusaha untuk memberikan panduan bagi mengeluarkan manusia daripada kegelapan fitnah dan kesesatan.

Syeikh Muhammad Ahmad Ar Rasyid mengingatkan para pendakwah di dalam kitabnya “Al Awai’q” (Halangan-halangan dakwah) :

Dalam ia menjalani kehidupan yang penuh dengan fitnah dan kesesatan, sikap memaafkan kadang-kadang boleh menjadi satu sikap yang penting kerana pendakwah adalah manusia yang tidak terlepas dari kekhilafan lidah dan kekeliruan sikap.

Jadi, seandainya tidak ada sikap memaafkan, ia hanya akan mengundang perpecahan di dalam jamaah. Sebarang persangkaan sepatutnya dilenyapkan dengan meminta penjelasan.

Teguran terbaik adalah :

a. Dengan bahasa yang lembut.
b. Tanpa penghinaan.
c. Dengan mengikhlaskan niat teguran semata-mata untuk kebaikan atas dasar kecintaan kepada saudara seaqidah.

Teguran itu pula mestilah dimulai dengan penjelasan dan tafsiran yang baik, sikap terus-terang dan terbuka tanpa ada sikap mementingkan diri.

Akhirnya, ia ditutup dengan senyuman dan saling memaafkan, niscaya ia bahkan lebih mudah untuk diterima oleh pihak yang ditegur.

Wahai para pendakwah, janganlah engkau nodai dan jangan engkau lukai wajah kasih “Ukhuwah” yang memancarkan cahaya.

Tetaplah berperilaku seperti itu, sekalipun orang-orang di sekelilingmu hancur oleh permusuhan. Jika tidak, bererti kamu telah meletakkan diri sendiri di jurang kehancuran. Sesungguhnya sikap saling memaafkan itu lebih baik.

KETEGUHAN TAQWA KETIKA KEMARAHAN MEMUNCAK

Thalaq bin Hubaib pernah berkata :

“Hindarkanlah fitnah itu dengan taqwa.”

Ini menunjukkan bagaimana taqwa itu adalah pengubat semua penyakit fitnah. Namun seseorang tidak dikatakan bertaqwa selagimana taqwa itu tidak dijadikan pakaian pada dirinya juga di saat kemarahannya, seperti yang disebut oleh Bakar bin Abdillah bin al-Muzani.

Kesempurnaan taqwa seorang pendakwah tidak akan tercapai kecuali apabila sifat marahnya semata-mata kerana Allah. Bahkan jika mampu, hendaklah ia sampai kepada puncak yang telah dicapai oleh Imam Ahmad bin Hanbal sebagaimana yang disebutkannya dalam kitab ‘Manaqib’nya :

“Dia marah kerana Allah, dia tidak marah kerana dirinya sendiri dan tidak membela untuk diri sendiri. Apabila menyangkut masaalah agama maka kemarahannya terlihat sangat besar sehingga seakan-akan bukan dirinya.”

Sifat mulia ini wujud dengan cara :

1.      Menjaga lidah.
2.      Tidak membiarkannya lepas tanpa ikatan.
3.      Mempertimbangkan segala ucapan yang keluar darinya.
4.      Tidak menuduh orang yang tidak bersalah.
5.      Tidak mengeluarkan persangkaan tanpa asas.
6.      Tidak mengiringi ucapan dengan ejekan dan perlecehan.

Yunus bin 'Ubaid berkata :

“Kewara'kan seseorang dapat diketahui melalui ucapannya, ketika ia sudah berbicara.”

Orang yang wara' ialah orang yang mampu mengendalikan lidahnya sehingga segala perkataannya sesuai dengan sifat wara'nya, bukan dengan kehendak nafsu.

Ibrahim Al-Khawwas Az-Zahid apabila ditanya tentang wara', ia menjawab :

“Tidak berbicara kecuali dengan benar, baik dalam keadaan marah atau ridha.”

Ini bererti bahwa Ibrahim menjadikan pemeliharaan lidah sebagai keseluruhan wara’ di mana
sifat wara' dengan penjagaan lidah ini juga turut diperkuatkan dengan hadis Rasulullah saw :

“Seorang muslim adalah orang yang kaum Muslimin selamat dari lidah dan tangannya.” (HR Bukhari)

MENILAI SEORANG MUSLIM DENGAN BERBAGAI KEBAIKAN DAN KESALAHANNYA SECARA ADIL

Apabila berlakunya kekeliruan pada sikap atau kekhilafan tindakan seorang pendakwah, kita perlu mengadilinya dengan :

a. Melihat sudut kebaikannya.
b. Menilai kebenarannya.
c. Memperhatikan perjuangannya.

Sifat-sifat asli atau jatidiri seseorang biasanya akan terlihat pada situasi-situasi sukar dan sulit.

Keadaan-keadaan seperti perselisihan, ujian berat, godaan dunia atau pun kemudahan memperolehi harta serta pangkat kebesaran akan menunjukkan satu daripada dua perkara iaitu  kelayakan atau kelemahan diri.

Manusia tidak terlepas dari kesalahan, kemarahan, dosa-dosa kecil serta emosi-emosi yang lumrah.

Justeru perlu difahami bahawa :

“Dalam prinsip umum Islam, sesiapa yang banyak dan besar kebaikannya, sehingga pengaruh Islam terlihat jelas pada dirinya, maka dapat ditoleransi dari dirinya perkara-perkara yang tidak dapat ditoleransi dari diri orang lain, dan akan dimaafkan dari dirinya perkara-perkara yang tidak dapat dimaafkan dari diri orang lain.”

Contoh yang berkait dengan sikap ini ialah bagaimana keredhaan Allah swt terhadap para pejuang Badar, sehinggakan setiap kekhilafan mereka selepasnya telah pun diampuniNya.

Begitu juga jaminan Rasulullah saw terhadap sahabat, Utsman bin Affan apabila beliau menginfaqkan harta yang sangat banyak :

“Tidak ada yang membahayakan Utsman apa yang diperbuatnya selepas hari ini.”

Sikap ini turut ditunjukkan oleh Aisyah terhadap Hassan bin Tsabit yang ikut menuduhnya dalam peristiwa ‘haditsul ifk’. Aisyah mengetahui perbuatannya itu adalah semata-mata kerana cintanya pada Rasulullah dan bermaksud membela Nabi saw, lalu dimaafkannya.

Begitu juga sikap Aisyah terhadap Zainab binti Jahsy; meskipun mencemburuinya, Aisyah tetap memuji perbuatan-perbuatan Zainab sesuai dengan tuntutan keimanan.

Aisyah dan Zainab adalah dua model yang seharusnya dicontohi oleh para pendakwah :

1. Pada sudut ketaqwaan dan amalan-amalan untuk kebenaran dan taqarrub.
2. Pada sifat mudah memaafkan.
3. Pada sudut mengadili kesilapan dengan mempertimbangkan sisi-sisi kebenaran yang lebih utama.

Said bin Al Musayyib berkata :

“Tidak ada orang mulia, orang berilmu dan orang yang berjasa kecuali dia mempunyai 'aib (kekurangan), akan tetapi di antara orang itu, ada yang tidak layak disebut keburukannya, kerana barangsiapa keutamaannya lebih besar dari keburukannya, maka keburukannya itu akan terhapus oleh kebaikannya.”

Kita sepatutnya merenung kembali peringatan yang pernah diberikan oleh seorang khalifah pada zaman awal Islam kepada rakyatnya :

“Wahai sekalian rakyat, berlaku adillah kamu dalam menilai kami. Kamu semua menginginkan agar kami memerintah seperti pemerintahan Abu Bakar dan Umar al-Khattab, akan tetapi sikap kamu terhadap kami tidaklah seperti sikap rakyat Abu Bakar dan Umar!”

Boleh jadi kita menginginkan prestasi dari para pemimpin yang barangkali sedang mengalami kesulitan sepertimana yang dialami oleh Abu bakar dan Umar, sedangkan kita sendiri tidak memperjuangkan dakwah sebagaimana yang diperjuangkan oleh para perajurit Abu Bakar dan Umar.

Begitulah juga dalam berdakwah, ia mesti tegak berdiri dengan syarat yang sama.

Bagaimana kita mahu mengharapkan kejayaan yang besar sedangkan kita hanya menggunakan sisa waktu untuk berdakwah?

Salah satu sifat Nabi ialah “Fathonah” iaitu kebijaksanaan. Jadi, amat wajar jika para pendakwah memiliki ciri-ciri kebijaksanaan di dalam memikul dan menyampaikan risalah dakwah.

Imam Malik pernah berkata bahawasanya umat di kemudian hari hanya mampu mengislahkan diri dengan hanya kembali merujuk kepada bagaimana generasi salaf melakukannya. Kita berharap kemenangan dakwah masa kini dapat dicapai dengan cara memahami hakikat dakwah zaman kaum salaf ini.

Di antara mereka adalah Muhammad bin Sirin, seorang tabi’en di Basrah. Beliau menunjukkan kepada kita bahwasanya dakwah hanya mampu dihidupkan :

a.       Oleh orang-orang yang merdeka dan berbuat baik.
b.      Pendakwah yang mampu mengendalikan dirinya sendiri.
c.       Dengan menemani kehidupan jalan dakwah ini dengan sifat-sifa pendakwah yang cemerlang.

MEMPERHATIKAN KEAIBAN DIRI

Di antara kebijaksanaan yang diperlukan di dalam jalan dakwah ialah keupayaan pendakwah untuk sibuk dengan keaiban dirinya sendiri dan tidak mencari kecacatan orang lain serta mahu memaafkan kekhilafan mereka. Inilah usaha menjaga lidah dari mencari cacat cela orang lain.

Usaha untuk mengira keburukan-keburukan orang lain ini boleh :

1.      Merosakkan amal menuju Allah swt.
2.      Mengeruhkan kejernihan dan ketenangan iman.
3.      Merosakkan ukhuwah dan kasih sayang.

Bukankah kita diseru untuk berkasih sayang sesama mukmin dan bersikap keras dengan orang kafir yang menentang kita?

Salah satu rukun bai’ah kita ialah ‘Al-Ukhuwwah’ iaitu paling minimum adalah “Salamatus Shadr” (Kesejahteraan hati) dan yang paling tinggi ialah “Al Ithar” (Mengutamakan saudaranya).

Ibnu Sirin menamakan kesukaan melihat kesalahan orang lain ini sebagai “Istidraj” yang merupakan tipu daya syaitan. Sebaiknya apabila kita teringat akan keburukan saudara kita , maka kita kena banyakkan istighfar dan doakan saudara kita itu kerana boleh jadi itu adalah bisikan syaitan.

Bagaimanakah penyakit ini boleh muncul?

Ia muncul atas sebab-sebab berikut :

a.       Sikap pembelaan terhadap diri sendiri dengan menganggap muhasabah sebagai kritikan.
b.      Lalai daripada melihat kelemahan diri sendiri.
c.       Sembunyikan keutamaan orang lain dan sering mengungkap kesalahan mereka.

Tidak sepatutnya jika kita terima muhasabah dari orang lain terhadap kita, lantas kita mengira bahwa itu adalah kritikan terhadap diri kita lalu kita membalasnya dengan yang negatif juga.

Oleh sebab itu, kita kena santuni betul-betul apabila ingin beri muhasabah agar ianya tidak disalahertikan.

Apakah ubat atau penawar kepada faktor-faktor di atas?

1.      Mengingati akan pengawasan Allah iaitu “Muraqabatullah”.
2.      Nasihatilah sahabat yang lalai dengan bertaubat dan mendiamkan keaiban serta berdoa dengan merendahkan diri.

MENJAGA TELINGA DARIPADA MENDENGAR CELAAN

Menjaga telinga daripada mendengar celaan terhadap orang lain adalah tuntutan iman. Mendengar orang yang suka mencela orang lain itu akan menyia-nyiakan waktu yang sangat mahal harganya.

MENASIHATI PEMIMPIN SECARA TERTUTUP

Ibnu Hajar Al Asqalani menyatakan bahwa :

“Sesungguhnya memberi nasihat dengan cara tertutup adalah lebih baik daripada secara terang-terangan di hadapan orang ramai.”

Beliau menambah lagi :

“Dan kadangkala menyampaikan nasihat secara tertutup itu wajib apabila menyatakannya dengan cara terang-terangan akan membawa kerusakan.”

Oleh itu, menjaga keaiban orang lain khususnya pimpinan adalah suatu yang sangat penting dan sepatutnya jaringan syura boleh digunakan untuk memberikan kritikan-kritikan membina kepada pimpinan kerana itulah di antara saluran paling baik untuk menjernihkan sesuatu kekhilafan dan bukannya di depan program-program umum, namun tahap kefahaman manusia tidak sama dan oleh yang demikian, hanya pendakwah yang bijaksana mampu melakukannya.

JADIKAN SIFAT DIAM SEBAGAI BUDAYA

Pada hari kiamat, Allah swt hanya akan menanyakan kefasihan hati dan bukannya kefasihan lidah kita!

Semasa di dunia, lisan kita mungkin lebih fasih berbicara sedangkan hati kita belum tentu ikhlas dan jujur. Namun begitu, ini bukanlah bermakna kita perlu diam setiap masa, malah tidak ada yg lebih indah dan lebih mulia dari ucapan nasihat yang menyuruh kepada kebaikan apabila ia melakukan islah.

Oleh itu, masalah kurang bicara ini sebenarnya bersifat relatif dan oleh yang demikian, seorang pendakwah mestilah berbicara agar nasihat dan dakwah dapat disampaikan dengan bijaksana dan penuh hikmah.

Menurut seorang tabi’en, Yunus bin Ubaid :

“Ada 2 perkara yg apabila keduanya baik pada seorang hamba, maka baik pulalah seluruh amalnya, iaitu : perkara solat dan lidahnya.”

Inti kesolehan seseorang ialah apabila baiknya lidah seseorang. Dalam konteks ucapan yang baik, ianya mampu mengangkat darjat seseorang hamba kerana ianya adalah sebahagian daripada iman.

Sabda Nabi saw :

“Barangsiapa yang beriman dengan Allah dan hari Akhirat hendaklah ia berbicara baik, atau (sekiranya tidak mampu) hendaklah ia diam.”

Sebagai seorang pendakwah, kita hendaklah :

a.       Memperhatikan lisan dan menyayangi diri kita.
b.      Memperhatikan agar kalimah-kalimah yang keluar daripada lidah atau pengucapan kita ialah kalimah-kalimah yang bermanfaat dan membangun.
c.       Mengelakkan ucapan yang menyakitkan.
d.      Mengelakkan dari mudah menuduh dan menuntut balas.

Nabi saw telah mendoakan kepada Ali bin Abi Talib ra :

“Ya Allah, tunjukilah hatinya dan teguhkanlah lidahnya.”

Sesungguhnya keteguhan lidah ialah hasil dari hati yang mendapat petunjuk!

Abu Darda' ra berkata :

“Berbuat adillah terhadap telinga dan mulutmu! kerana Allah sengaja menciptakan bagimu 2 telinga dan 1 mulut agar kamu lebih banyak mendengar daripada berbicara.”

Para sahabat adalah generasi jihad dan pembangun dan bukannya peruntuh!

Para pendakwah hendaklah berpegang teguh dengan prinsip menyampaikan perkara-perkara yang berguna sesama mereka, perkara-perkara yang penting dan kefahaman yang bermanfaat dalam satu ungkapan yang ringkas tapi padat kerana banyak bicara boleh membawa kepada ‘ghibah’.

Sekiranya masih ingin menggerakkan lidahnya, maka dihadapannya ada Al-Qur’an, zikir, tasbih dan tahmid di samping berdakwah menjelaskan Islam kepada masyarakat.

Cuba kita tengok sumbangan para sahabat di mana peribadi mereka sentiasa mendapat petunjuk dan sentiasa ingin diam namun, merekalah yang sangat produktif menghasilkan generasi yang terdidik iaitu para tabi’en.

Oleh itu, kurangilah bicara dan  banyakkan amal.

MENAHAN DIRI DARI PERBANTAHAN / PERTENGKARAN

Perbantahan atau pertengkaran adalah hasil daripada sifat suka banyak berbicara.

Apabila terdapat dua orang yang saling bertengkar dalam sesuatu jamaah, di mana semua anggota yang lain ikut mendengarkannya, maka jamaah tersebut akan terjauh daripada nikmat kebaikan yang sudah mendekat.
Diisebabkan oleh perilaku pertengkaran jugalah yang menyebabkan terangkatnya maklumat tentang masa berlakunya ‘lailatulqadr’. Para tabi’en menyifatkan saling berbantah ini sebagai sifat jahiliyah.

Menurut Imam Al-Auza'ie, perbantahan perlu ditinggalkan kerana ia akan mengundang 5 perkara iaitu :

1.      Menyesatkan hati.
2.      Menumbuhkan dendam.
3.      Mengeringkan hati.
4.      Menghapuskan sifat wara’ dalam ucapan.
5.      Menghapuskan sifat wara’ dalam perbuatan.

Semuanya ini akan membawa kepada kerugian dan kerugian ini akan menjadi susah untuk diatasi apabila disertai dgn sikap keras kepala dan rasa ujub.

BERPEGANG ERAT PADA KEJUJURAN DI MASA FITNAH

Sesungguhnya tidak ada jalan yang lebih dekat selain dari kejujuran.

Ketika Allah memberi taubat pada Kaab bin Malik ra setelah terkena fitnah hingga tidak ikut berperang bersama dua orang lain yang tertinggal, ia berkata :

“Wahai Rasulullah, sesungguhnya Allah swt hanyalah menyelamatkan aku dengan kejujuran dan sesungguhnya di antara realisasi taubatku adalah bahwa aku tidak akan berbicara selama hidupku kecuali dengan kejujuran.”

FITNAH ADALAH SISA AKHLAK JAHILIYAH

Seorang pendakwah perlu mempunyai asas pengenalan kepada fitnah dan ciri-cirinya supaya ia mampu membezakan di antara yang hak dan yang batil.

Justeru itu seorang pendakwah seharusnya mengenali segala elemen keburukan dan fitnah yang berupaya untuk mengancam dakwah agar langkah pencegahan terhadapnya dapat diambil berbekalkan cahaya-cahaya kebijaksanaan yang disebutkan.

Inilah juga perkara yang diperingatkan oleh Khalifah Umar Al-Khattab di dalam ucapannya yang masyhur dan penuh pengertian untuk dijadikan pedoman para pendakwah khususnya serta mukmin dan muslim keseluruhannya iaitu :

“Ikatan Islam akan terlepas selembar demi selembar apabila ada orang yang hidup
dalam keislaman, namun ia tidak mengetahui jahiliyah.”

Atas kesedaran yang tinggi terhadap bahaya fitnah yang termasuk sebahagian dari unsur-unsur jahiliah ini jugalah sahabat Hudzaifah bin al-Yaman sepanjang hayatnya di samping Rasulullah saw sentiasa meminta petunjuk terhadap sifat-sifat fitnah dan keburukan yang bakal melanda kaum mukminin serta langkah perlindungan yang mesti diambil ketika menghadapinya.

Begitu juga besarnya peranan pendakwah untuk menjauhi pertengkaran dan perbantahan apatah lagi perang saudara kerana keduanya adalah suatu perbuatan maksiat dan jahiliyah.

Mereka mestilah mengetahui dan memahami kesemuanya, mempelajari sifat-sifatnya dan cara mengubatinya. Jika dibiarkan, unsur-unsur inilah yang akan meleraikan ikatan Islam satu persatu.

Antara fitnah di dalam amal jama'ie yang mesti diketahui dan dijauhi oleh para pendakwah ialah:
  1. Kejahiliyahan perselisihan.
b.       Kejahiliyahan meninggalkan ketaatan kepada pemimpin.
c.       Kejahiliyahan perlanggaran janji.
d.       Kejahiliyahan sifat khianat.
Jika fitnah-fitnah di atas dibiarkan :

  1. Ikatan dakwah ini akan hancur satu persatu.
  2. Para pendakwah akan berhenti satu persatu.
  3. Makna ukhuwah akan lenyap daripada kehidupan mereka.

MENINGGALKAN ‘NAJWA’ (BISIKAN-BISIKAN ATAU MAJLIS RAHSIA DI LUAR JAMAAH)

Umar bin Abdul Aziz berkata :

“Setiap kelompok yang berbisik dalam urusan agama mereka di luar jamaah mereka, maka sesungguhnya mereka tengah membangun suatu kesesatan.”

Ia bermula dari ‘najwa’ (bisikan-bisikan) lalu akhirnya menjadi ‘istidraj’ (tertipu dengan perbuatannya).

Di antara tabiat ‘najwa’ adalah bahwa :

  1. Ia tidak boleh diubah oleh niat yang tulus.
  2. Ia tidak dapat membawa hasil untuk perbaikan.
  3. Ia tidak dapat dinyatakan sebagai hasil ijtihad yang menepati kaidah syar’iyah.

Ini adalah kerana suatu ijtihad tidak boleh dilakukan secara sembunyi kerana ia sentiasa memerlukan penilaian atau ulangkaji serta perlu mendapat tanggapan atas kebenarannya oleh ulama’ lain.

Berbagai pengalaman sudah membuktikan kepada kita bahwa sebahagian besar perbuatan ‘najwa’ menyebabkan pembangkangan dan pelanggaran bai’ah atau janji setia.

Sesungguhnya ia adalah langkah pertama bagi penempuh jalan fitnah.

Mereka sama-sama mengaku menginginkan kebaikan Islam, bahkan mereka mengaku sedang melakukan salah satu bentuk ibadah, padahal mereka tengah terbelit dengan kesalahan.

Firman Allah swt :

“Tidak ada kebaikan pada kebanyakan bisik-bisikan mereka kecuali (bisik-bisikan) orang yang menyuruh bersedekah, atau berbuat kebaikan, atau mendamaikan di antara manusia. Dan sesiapa yang berbuat demikian dengan maksud mencari keredhaan Allah, tentulah Kami akan memberi kepadanya pahala yang amat besar.” (QS An Nisaa’ : 114)

Syed Qutb dalam tafsir ‘Fi Zilali Qur’an’ menjelaskan ayat di atas :

“Larangan melakukan ‘najwa’ dalam Al Qur’an muncul berkali-kali. ‘Najwa’ iaitu berkumpulnya suatu kelompok umat jauh dari Jamaah Islam atau dari kepimpinan umat Islam untuk merancang suatu perkara secara rahsia. Padahal polisi Tarbiyah Islamiyah dan Tanzhim Islami yang dilaksanakan pada masa Nabi saw dengan membawa permasaalahannya. Jika permasaalahan itu berupa urusan peribadi yang tidak ingin disebarluaskan di hadapan orang ramai maka ia menyampaikannya kepada Nabi saw secara tertutup. Jika permasaalahan itu termasuk urusan orang ramai yang tidak menyangkut urusan peribadi orang tersebut, maka ia menyampaikannya kepada Nabi saw secara terbuka.”

MENGAJAK HATI MEMBENCI FITNAH

Para pendakwah yang telah mengenali fitnah dan memahami sifat-sifatnya sepatutnya bermujahadah untuk membenci fitnah itu sepenuhnya dan tidak membenarkan hati dikuasai olehnya sekaligus membentuk pelbagai persepsi negatif.

Akhirnya, sebaik-baik bekalan ialah taqwa.

Marilah sama-sama kita meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah swt dan bekerjasama serta tolong menolong di atas jalan ketaqwaan di mana dakwah dan tarbiyah adalah merupakan jalan menuju ketaqwaan yang cukup istimewa di sisi Allah swt.

Ya Allah, berilah petunjuk dan kefahaman kepada kami sehingga kami dapat mengenali berbagai fitnah yang menyusup masuk ke dalam barisan dakwah, sebab-sebabnya dan cara-cara untuk menyelamatkan diri kami darinya kerana sesungguhnya fitnah ini amat berbahaya dan mampu mengancam dakwah Islam sehingga dapat merencatkan perjalanannya.

Ameen Ya Rabbal Alameen
WAS 
Labels: Tarbiyah Email This BlogThis! Share to X Share to Facebook

Leave a Reply

Newer Post Older Post
Subscribe to: Post Comments (Atom)

Yang Setia

Pautan

  • Muharikah
    Antara dua pilihan
    3 years ago
  • Angel Pakai Gucci!
    Doa Itu Bom Nuklear Bagi Orang Mu'min!
    5 years ago
  • Majalah Jom!
    Isu 45: ALAMAK, AKU SALAH PILIH! (EDISI ISTIMEWA)
    9 years ago
  • دعوتنا DAKWATUNA -dakwahkite-
    Di antara Kefahaman dan Pelaksanaan (Sudut Pandang Parti Kebebasan dan Keadilan FJP – Mesir)
    10 years ago
  • ZADUD-DUAT
    Wahai Ikhwah, Persaudaran adalah rahsia kekuatan anda
    11 years ago
  • Popular
  • Recent
  • Archives
 

Diri Ini

My photo
WAS
Blog ini memaparkan bahan-bahan bacaan dan artikel yang boleh meningkatkan ilmu dan kefahaman Islam anda..
View my complete profile

Blog Ini Menarik??

Yang Paling Digemari

  • Tsabat Memenangkan Dakwah
    ‘ Tsabat ’ bermakna teguh pendirian dan tegar dalam menghadapi ujian serta mehnah di jalan kebenaran. Ia merupakan benteng bagi seorang ak...
  • Qudwah Di Jalan Dakwah
    Ustaz Mustafa Masyhur dilahirkan pada 15 September 1921 di Kampung Sa'din, dari kota Manya Al-Qamh, Mesir. Beliau terdidik di dalam s...
  • Memohon Dari Al Jabbar
    Seringkali manusia terjebak oleh pemikirannya sendiri dan merasa mampu untuk merancang segala sesuatu. Padahal tidak ada kekuatan dalam d...
  • Menjelmakan Makna Tarbawi
    Sehingga ke saat ini Allah swt masih memberikan rahmat kepada kita melalui hidayah, iman, Islam serta dakwah dan tarbiyah. Sungguh, n...
  • Melahirkan Murabbi Yang Berjaya
    Proses tarbiyah adalah suatu pekerjaan yang sangat berat dan tidak mudah kerana tarbiyah bererti: 1. Mempersiapkan manusia. 2. Membentuk d...

Arkib

  • ►  2017 (1)
    • ►  April (1)
  • ►  2016 (4)
    • ►  September (2)
    • ►  March (1)
    • ►  January (1)
  • ►  2015 (39)
    • ►  November (1)
    • ►  October (2)
    • ►  September (2)
    • ►  August (3)
    • ►  July (1)
    • ►  June (5)
    • ►  May (6)
    • ►  April (6)
    • ►  March (6)
    • ►  February (2)
    • ►  January (5)
  • ►  2014 (42)
    • ►  November (5)
    • ►  October (4)
    • ►  August (4)
    • ►  July (1)
    • ►  June (9)
    • ►  May (8)
    • ►  April (4)
    • ►  February (3)
    • ►  January (4)
  • ▼  2013 (72)
    • ►  December (1)
    • ►  November (5)
    • ►  October (4)
    • ►  September (5)
    • ►  August (6)
    • ►  July (5)
    • ►  June (7)
    • ►  May (5)
    • ►  April (7)
    • ▼  March (7)
      • Mesin Penggerak Dakwah
      • Hakikat Aktivis Dakwah Contoh
      • Adil Identiti Islam
      • Membangun Kebijaksanaan Pendakwah
      • Kesatuan Dakwah & Politik
      • Mutu Sebuah Keputusan Politik
      • Calon Pemimpin Berwibawa
    • ►  February (9)
    • ►  January (11)
  • ►  2012 (163)
    • ►  December (8)
    • ►  November (9)
    • ►  October (9)
    • ►  September (9)
    • ►  August (6)
    • ►  July (12)
    • ►  June (9)
    • ►  May (15)
    • ►  April (16)
    • ►  March (18)
    • ►  February (24)
    • ►  January (28)
  • ►  2011 (93)
    • ►  December (24)
    • ►  November (69)

Susunan

  • Akhlak (6)
  • Aqidah (17)
  • Dakwah (73)
  • Fikrah (74)
  • Ilmu (38)
  • Motivasi (10)
  • Muslimah (3)
  • Mutiara Hikmah (12)
  • Mutiara Hikmah Para Duat (21)
  • Mutiara Hikmah Ramadhan (3)
  • Renungan (31)
  • Ruhiyah (8)
  • Tarbiatuna (5)
  • Tarbiyah (34)
  • Tausiyah (31)
  • Tokoh (8)
  • Uslub (11)
  • Video (29)

Panji Islam

Asmaaul Husna

Kalam Hikmah

Coretan Anda

Pengunjung

Free CountersFree CountersFree CountersFree CountersFree Counters

Detik Kehidupan

Hari Ini

Waktu Solat

Pelawat


widgets

Selamat Melayari

  • NEW POSTS
  • COMMENTS
  • flickr

    Get your Flickr ID!
 
 
© 2011 Tinta Perjalanan | Designs by Web2feel & Fab Themes

Bloggerized by DheTemplate.com - Main Blogger