skip to main | skip to sidebar

Tinta Perjalanan

Pages

  • Home
 
  • RSS
  • Facebook
  • Twitter
  • Linkedin
  • Youtube
  • DheTemplate.com
  • Free Templates
  • Drop Menu 1
    • Child Menu 1.1
    • Child Menu 1.2
    • Child Menu 1.3
  • Drop Menu 2
    • Child Menu 2.1
    • Child Menu 2.2
    • Child Menu 2.3
  • Daily Update Templates

Ahlan Wasahlan


Perjalanan Menuju Allah.

Thursday, 23 October 2014

Merealisasikan Kerahmatan Islam

Ditulis Oleh WAS Pada 19:06 – 1 Komen Anda
 

Islam adalah satu-satunya agama yang sempurna yang mengatur seluruh sendi kehidupan manusia dan alam semesta.

Islam juga merupakan agama yang diturunkan oleh Allah swt untuk menjadi rahmat bagi alam semestanya. Pesanan terhadap kerahmatan dalam Islam benar-benar tersebar dalam teks-teks Islam, samada Al Qur’an ataupun hadith Rasulullah saw.

Perkataan 'Rahman' yang bererti kasih sayang, disebut secara berulang-ulang dalam jumlah yang begitu banyak, lebih dari 90 ayat dalam Al Qur’an. Bahkan, dua perkataan iaitu ‘Rahman’ dan ‘Rahim’ yang diambil dari perkataan 'Rahmah' dan sentiasa disebut-sebut oleh kaum Muslimin setiap hari adalah nama-nama Allah sendiri (Asmaul Husna).

Nabi Muhammad saw pernah bersabda :

"Sayangilah siapa sahaja yang ada di muka bumi niscaya Tuhan menyayanginya."

Al Qur’an yang menjadi sumber Islam yang paling berautoriti, menyebutkan akan misi kerahmatan ini iaitu ‘Wamaa ar salnaka illa rahmantan lil'alamin’ (Aku tidak mengutus engkau (Muhammad), kecuali sebagai rahmat bagi alam semesta).

Ibnu Abbas, ahli tafsir yang terawal, mengatakan bahwa kerahmatan Allah meliputi orang-orang mu’min dan orang kafir. Al Qur’an juga menegaskan bahwa rahmat Tuhan meliputi segala perkara.


“Dan tetapkanlah untuk Kami kebaikan dalam dunia ini dan juga di akhirat, sesungguhnya kami kembali (bertaubat) kepadaMu". Allah berfirman: "AzabKu akan Aku timpakan kepada sesiapa yang Aku kehendaki, dan rahmatKu meliputi tiap-tiap sesuatu; maka Aku akan menentukannya bagi orang-orang yang bertaqwa, dan yang memberi zakat, serta orang-orang yang beriman kepada ayat-ayat Kami.” (QS Al A’raaf : 156)

Oleh kerana itu, para ahli tafsir sepakat bahwa rahmat Allah mencakupi orang-orang mu’min dan orang-orang kafir, orang-orang yang baik (Al-birr) dan yang jahat (Al-fajir), serta semua makhluk-makhluk Allah.

Al Qur’an memiliki kedudukan yang amat penting dan terhormat dalam masyarakat Muslim di seluruh dunia. Di samping ianya sebagai sumber hukum, pedoman akhlak, bimbingan ibadah, dan asas keimanan, Al Qur’an juga merupakan sumber peradaban yang memiliki nilai sejarah dan bersifat kesejagatan.

Kehadiran peribadi Muhammad Rasulullah saw dan Al Qur’an ini telah mengubah orientasi cara berfikir masyarakat Arab yang pada saat itu sangat menumpukan kepada sifat kekabilahan dalam cara mereka berfikir.

Islam merupakan agama yang diturunkan oleh Allah swt sejak manusia pertama iaitu Nabi Adam as. Islam tidak diturunkan secara terus kepada umatnya, melainkan diturunkan secara bertahap melalui wahyu-wahyu ataupun kitab-kitab Allah yang diberikan kepada para nabi dan rasulnya hingga pada masa kerasulan  Muhammad saw.


Pada peringkat awal Rasulullah saw menyebarkan Islam tidaklah berjalan dengan begitu lancar di mana banyak halangan dan rintangan yang baginda hadapi. Dimulai dari cacian hinggalah kepada penentangan. Namun Rasulullah saw tidak pernah menyerah dan tidak pernah putus asa.


Di dalam sebuah hadith digambarkan bahwa Islam datangnya dianggap asing dan akan kembali menjadi asing. Berbahagialah mereka yang dianggap asing kerana telah berada di jalan yang benar iaitu jalan Allah swt.


Perkataan Islam bererti :


a.      Damai.

b.     Selamat.

c.      Penyerahan diri.

d.     Tunduk.

e.      Patuh. 


Islam adalah perkataan yang berasal dari bahasa arab iaitu “salima” yang dimasdarkan menjadi “islaman” yang bererti damai.


Islam disebut sebagai agama ‘Rahmatan lil alamin’.


“Dan tiadalah Aku mengutus kamu (ya Muhammad) melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi semesta alam (rahmatan lil 'alamin).” (QS Al-Anbiya' : 107)


‘Rahmatan lil 'alamin’ adalah istilah Al Qur’an yang terdapat dalam Surah Al-Anbiya' di atas.


Ia bererti ''Kasih sayang bagi semesta alam". Oleh yang demikian, yang dimaksudkan dengan Islam ‘Rahmatan lil 'alamin’ adalah Islam yang kehadirannya di tengah-tengah kehidupan masyarakat mampu mewujudkan kedamaian dan kasih sayang bagi manusia mahupun alam.


Apabila ajaran Islam dilaksanakan secara benar, ‘Rahman’ dan ‘Rahim’ Allah akan turun semua. Dengan yang demikian, berlakulah sunnatullah; samada bagi muslim mahupun bukan muslim bahwa jika kita melakukan perkara-perkara yang diperlukan oleh kerahmanan, mereka akan mendapatkannya.


Atas prinsip persamaan itu, maka setiap orang mempunyai hak dan kewajiban yang sama. Islam tidak memberi hak-hak istimewa bagi seseorang atau golongan lainnya, samada dalam bidang kerohanian mahupun dalam bidang politik, sosial, ekonomi dan kebudayaan. Setiap orang mempunyai hak yang sama dalam kehidupan masyarakat dan masyarakat mempunyai kewajiban bersama atas kesejahteraan tiap-tiap anggotanya. Islam menentang setiap bentuk diskriminasi, samada diskriminasi secara keturunan, mahupun kerana warna kulit, kesukuan, kebangsaan, kekayaan dan lain-lain.


Bahkan Nabi Muhammad saw pernah bersabda :


“Tidak beriman seorang kamu sehingga kamu mencintai saudaramu sebagaimana kamu mencintai dirimu sendiri”.


Dari sinilah konsep ajaran Islam dapat diketahui dan dipelajari. Persaudaraan manusia semakin dikembangkan kerana kita sesama manusia bukan hanya berasal dari satu bapa dan satu ibu (Adam dan Hawa) tetapi kerana antara satu sama lain :


1.     Saling memerlukan.

2.     Saling menghargai.

3.     Saling menghormati.


Pada akhirnya terciptalah kehidupan yang tenteram dan sejahtera. Itulah hakikat Islam sebagai agama ‘Rahmatan lil’alamin.’

Rahmat dalam cakrawalanya yang tertinggi dan jangkauannya yang tidak terbatas merupakan salah satu sifat Allah Yang Maha Suci. Ini adalah kerana rahmat-Nya meliputi segala yang ada dan berlaku untuk seluruh kerajaan di mana ilmu-Nya yang meliputi segala sesuatu itu memancar, maka memancarlah bersamanya cahaya rahmat yang sangat terang. Oleh yang demikian, doa dan pujian malaikat kepada-Nya adalah :

“Ya Tuhan kami, rahmat dan ilmu-Mu meliputi segala sesuatu, kerana itu berilah ampunan kepada orang-orang yang bertaubat dan mengikuti jalan-Mu, dan peliharalah mereka dari siksaan neraka yang menyala-nyala.” (QS Ghafir :  7)


Islam bersumber kepada Allah Yang Maha Pengasih dan oleh kerana itulah maka rahmat yang ada di dalamnya meliputi segala sesuatu di mana ia adalah rahmat dalam aqidah, syariat, pengurusan dan dakwahnya.

Kewujudan agama Islam  sebagai agama rahmat yang meliputi segala sesuatu tidak diragukan lagi. Maka, tidak ada yang menentangnya kecuali  orang yang bodoh, dengki terhadap kemuliaannya atau orang yang sombong yang tidak pernah puas dengan perbahasan dan tidak mahu menerima bukti-bukti yang kuat.

PERTAMA : KITAB SUCINYA ADALAH RAHMAT


Allah swt berfirman :


“Dan Kami turunkan kepadamu Kitab (Al Qur’an) untuk menjelaskan segala sesuatu dan petunjuk serta rahmat dan khabar gembira bagi orang-orang yang berserah diri.” (QS An-Nahl : 89)


“Al-Qur’an itu bukanlah cerita yang dibuat-buat, akan tetapi membenarkan (kitab-kitab) sebelumnya, menjelaskan segala sesuatu, serta sebagai petunjuk dan rahmat bagi kaum yang beriman.”  (QS Yusuf : 111)


KEDUA : RASULNYA ADALAH RAHMAT DAN DIUTUS DENGAN MEMBAWA RAHMAT

“Sesungguhnya telah datang kepadamu seorang Rasul dari kaummu sendiri, berat terasa olehnya penderitaanmu, sangat menginginkan (keimanan dan keselamatan) bagimu, amat belas kasihan lagi penyayang terhadap orang-orang yang mukmin.”  (QS At- Taubah : 128)


KETIGA : UMATNYA JUGA ADALAH RAHMAT


Allah swt berfirman :


“Muhammad adalah utusan Allah dan orang-orang yang bersamanya adalah keras terhadap orang-orang kafir, tetapi berkasih sayang sesama mereka.” (QS Al Fath : 29)


KEEMPAT : IA ADALAH UMAT YANG DIRAHMATI


Allah swt berfirman :


“Dan orang-orang yang beriman, laki-laki dan perempuan, sebahagian mereka (adalah) menjadi penolong bagi sebahagian yang lain. Mereka menyuruh mengerjakan yang ma’ruf, mencegah yang munkar, menegakkan solat, menunaikan zakat, dan taat kepada Allah dan Rasul-Nya. Mereka itu diberi rahmat oleh Allah, sesungguhnya Allah Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana.”  (QS At-Taubah : 71)


KELIMA : WASIAT DI ANTARA MEREKA DILAKUKAN DENGAN RAHMAT

“Dan dia (tidak pula) termasuk orang-orang yang beriman, saling menasihati untuk bersabar, dan saling menasihati dengan penuh kasih sayang. Mereka (orang-orang yang beriman dan saling menasihati) itu adalah golongan kanan.”  (QS Al Balad : 17-18)

KEENAM : DAKWAHNYA ADALAH RAHMAT

“Dan apabila dibacakan Al-Quran, maka dengarkanlah baik-baik dan perhatikanlah dengan tenang agar kamu mendapat rahmat.”  (QS Al A’raf : 204)


KETUJUH : MENGAJAK KEPADA ISLAM JUGA MERUPAKAN RAHMAT

“Maka disebabkan rahmat dari Allah-lah kamu berlaku lemah lembut terhadap mereka. Sekiranya kamu bersikap keras lagi berhati kasar, tentulah mereka menjauhkan diri dari sekelilingmu.”  (QS Ali ’Imran: 159)

“Sesungguhnya (kalau kamu tidak menyembah Allah), aku takut kamu ditimpa azab hari yang besar (kiamat).” (QS Al A’raf : 59)


KELAPAN : RAHMATNYA MELIPUTI SEGALA SESUATU DARI MANUSIA, HAIWAN HINGGA TUMBUH-TUMBUHAN DAN BENDA MATI


Allah swt berfirman :


“Dan rahmat-Ku meliputi segala sesuatu, maka akan aku tetapkan rahmat-Ku untuk orang-orang yang bertaqwa, menunaikan zakat, dan orang-orang yang beriman kepada ayat-ayat kami.” (QS Al A’raf : 156)


Rasulullah saw bersabda :


“Sesungguhnya Allah mewajibkan berbuat ihsan atas segala sesuatu, jika kamu membunuh maka berbuat baiklah kepada yang kamu bunuh, dan jika kamu menyembelih maka berbuat baiklah kepada apa yang kamu sembelih.”  (HR Muslim)


“Sayangilah siapa yang ada di bumi niscaya yang di langit akan menyayangimu.”  (HR Tirmidzi)


“Kamu belum beriman sebelum kamu menyayangi yang lain. Para shahabat berkata, “Wahai Rasulullah, setiap kami menyayangi yang lain,” Baginda bersabda, “Yang aku maksud bukanlah kasih sayang salah seorang di antara kamu kepada sahabatnya tapi kasih sayang yang bersifat umum.”  (HR Thabrani)


“Dan setiap hati yang basah (hidup) ada pahala.” (HR Bukhari)


Rasulullah saw telah menjelaskan bahwa ada perempuan masuk neraka akibat kucing yang dia buatkannya lapar, tapi ada pula seseorang yang masuk syurga kerana anjing yang diberinya minum. (HR Bukhari)


Oleh yang demikian, rahmat merupakan salah satu prinsip pengurusan Islam dan pertama sekali yang diserukannya.

Ayat-ayat yang awal turun di permulaan dakwahnya adalah firman-Nya :

“Tetapi dia tiada menempuh jalan yang mendaki lagi sukar. Tahukah kamu apa jalan yang mendaki lagi sukar itu? (iaitu) memerdekakan hamba dari perhambaan, atau memberi makan pada hari kelaparan (kepada) anak yatim yang ada hubungan kerabat, atau orang miskin yang sangat fakir.”  (QS Al Balad : 11-16)


Ayat-ayat tersebut memiliki ajakan untuk mewujudkan kasih sayang dengan menyebutkan beberapa amal yang didorong oleh adanya rahmat dan kasih sayang pada mereka yang melakukannya. Selain itu, ia juga menyebutkan keselamatan pada saat genting yang akan diraih oleh mereka yang memiliki sifat-sifat tersebut.

Demikian pula dengan surah Al-Muddattsir, padahal ia adalah surah yang diturunkan pada awal-awal kenabian :

“Apakah yang menjerumuskan kamu ke Neraka Saqar? Mereka menjawab, “Kami dahulu tidak termasuk orang-orang yang mengerjakan solat dan kami tidak (pula) memberi makan orang miskin.” (Al Muddattsir : 42-44)


Memberi makan fakir miskin, pendorongnya adalah rahmat dan kasih sayang, sedangkan orang yang enggan memberikannya adalah orang yang telah hilang sifat kasih sayangnya. Oleh kerana itu, sudah sepatutnyalah jika ia masuk neraka Saqar.

Rahmat Islam yang bersifat sejagat itu tercermin dengan jelas dalam prinsip memberi kemudahan dan menghilangkan kesulitan yang merupakan kaidah ushul yang berlandaskan hukum-hukum agama ini. Kemudahan ini diasaskan oleh kesedaran akan kelemahan manusia, banyaknya tugas dan tanggungan, kompleksnya kesibukan, tekanan hidup dan berbagai tuntutan yang perlu dipenuhinya.

Oleh kerana itu,

a.      Al Qur’an sangat mudah untuk diingat.

b.     Aqidah Islam amat mudah untuk difahami.

c.      Syariatnya yang mudah untuk diterapkan dan dilaksanakan.

d.     Tidak ada satupun kewajiban yang di luar kemampuan mukallaf.

Ini sesuai dengan penegasan Allah bahwa :

“Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya.”  (QS Al Baqarah : 286)


Al Quran telah mengajarkan kepada orang-orang yang beriman agar mengucapkan doa,

“Ya Tuhan kami, janganlah Kau pikulkan kepada kami perkara-perkara yang kami tidak mempunyai kekuatan atasnya.” (QS Al Baqarah : 286)


Dalam hadits sahih diriwayatkan bahwa Allah telah mengabulkan doa mereka. Al Qur’an telah menghilangkan segala kesulitan dari syariat ini sebagaimana ia juga menghilangkan kesulitan dan kesusahan darinya, serta menetapkan kemudahan dan keringanan baginya ketika ia berbicara tentang beberapa keringanan dalam ibadah puasa iaitu boleh berbuka bagi orang yang sakit dan dalam perjalanan,

“Allah menghendaki kemudahan padamu dan tidak menghendaki kesulitan bagimu.” (QS Al Baqarah : 185)


Tentang diperbolehkannya mengahwini hamba perempuan bagi yang tidak mampu berkahwin dengan perempuan merdeka,


Allah swt berfirman :


“Allah hendak memberi keringanan kepada kamu.”  (QS An-Nisa : 28)


Setelah mensyariatkan untuk memberi maaf bagi yang berlapang dada dalam peristiwa pembunuhan.


Allah swt berfirman :


“Itulah keringanan dan rahmat dari Tuhanmu.”  (QS Al Baqarah : 178)


Banyak hadits nabawi yang mendukung pesanan Al Qur’an yang berorientasikan kepada memberi kemudahan. Di antara hadits-hadits itu adalah :

“Aku diutus dengan membawa kemurnian (aqidah) dan toleransi.”  (HR Ahmad)


Di antara keistimewaan syariat Islam adalah disyariatkannya ‘Rukhshah’ (keringanan) ketika faktor-faktor penyebab yang menimbulkannya dalam urusan ibadah dan lainnya.


Diriwayatkan dalam hadith :


“Sesungguhnya Allah suka apabila keringanan-keringanan-Nya diambil sebagaimana Ia tidak suka apabila kemaksiatan dilakukan.”  (HR Ahmad)


Hukuman dalam Islam juga berasaskan kepada prinsip kasih sayang. Semua hukuman hudud yang telah ditetapkan tiada lain merupakan rahmat bagi yang melakukan kejahatan itu sendiri, bagi keluarga yang terlibat dengan kejahatan, bagi masyarakatnya, bahkan bagi manusia seluruhnya.


Hukuman dalam Islam tidak keluar dari kerangka asas ini. Perlaksanaannya juga tidak bertentangan dengan prinsip tersebut.


BAGAIMANA IKHWANUL MUSLIMIN MEREALISASIKAN KERAHMATAN ISLAM


Imam Hasan Al Banna menyebutkan dalam Risalah Usul Isyrin  bahwa Islam adalah rahmat dan rahmat yang dimaksudkan oleh beliau di sini ialah perasaan lemah lembut dalam hati yang mendorong manusia untuk :


1.     Menolong orang-orang lemah dan berhajat.

2.     Memaafkan orang-orang yang tersilap.

3.     Tidak melakukan tindak-balas terhadap perbuatan jahat orang lain.

4.     Merasakan simpati di atas bencana yang menimpa orang lain.


Sifat-sifat ini merupakan akhlak yang tinggi jika digunakan pada tempat yang sewajarnya. Sifat rahmat dan belas kasihan hanyalah wujud dan berfungsi sewaktu ianya dapat menolong perlaksanaan hukum-hukum Allah.


Dalam menghukumkan mereka yang melakukan jenayah zina, Allah swt berfirman :




“Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, hendaklah kamu sebat tiap-tiap seorang dari keduanya seratus kali sebat; dan janganlah kamu dipengaruhi oleh perasaan belas kasihan terhadap keduanya dalam menjalankan hukum agama Allah, jika benar kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat; dan hendaklah disaksikan hukuman seksa yang dikenakan kepada mereka itu oleh sekumpulan dari orang-orang yang beriman.” (QS An Nur : 2)


Demikianlah juga pada hukum-hukum yang lain.


Perasaan rahmat dan belas kasihan tidak seharusnya diberikan kepada musuh Allah, musuh yang

menjadi batu penghalang di jalan Allah sekalipun mereka itu terdiri dari keluarga yang hampir. Lantaran inilah kita lihat para sahabat yang mulia telah memerangi ayah, bapa saudara, anak saudara dan keluarga mereka yang rapat dalam peperangan Badar, Uhud, Khandak kerana mereka musuh Allah yang menjadi batu penghalang di jalan Allah.


Perbuatan seseorang yang menyakitkan kita adalah digalakkan supaya dimaafkan. Kemaafan yang diberikan oleh seseorang sedangkan beliau berupaya melakukan tindakbalas adalah dianggap sebahagian daripada sifat rahmat.


Rahmat dan belas kasihan haruslah diberikan kepada mereka yang lemah, miskin, mereka yang terpisah dari keluarga, orang-orang sakit, orang tua dan orang-orang yang berhajat kepada bantuan dan pertolongan.


Perasaan rahmat dan belas kasihan mestilah wujud di kalangan Ikhwanul Muslimin sewaktu mereka membentuk masyarakat Islam dan berusaha mencorakkannya dengan corak Islam. Perasaan ini perlu wujud di kalangan mereka samada secara diam-diam atau terang-terangan, namun kita lebih mengutamakan secara diam-diam.

Akhirnya, termasuk di antara kesempurnaan agama ini adalah bahwa Allah Yang Maha Agung mengaitkan rahmat dengan keadilan, menyebut perhitungan setelah terlebih dahulu menyebut kurniaan-Nya.


Dia, di samping rahmat-Nya yang sentiasa lebih cepat dan berganti-ganti, juga akan memperhitungkan dan meminta pertanggungjawaban dari makhluk-Nya pada hari kiamat.


“(Iaitu) hari (ketika) seseorang tidak berdaya sedikitpun untuk menolong orang lain. Dan segala urusan pada hari itu dalam kekuasaan Allah.”  (QS Al Infithar : 19)


Allah mendidik makhluk-Nya dengan  ‘targhib’ (pengharapan) akan rahmat-Nya dan ‘tarhib’ (ancaman) akan keadilan dan perhitungan-Nya.


Oleh kerana itulah Imam Hasan Al Banna menyebutkan sifat rahmat Islam beriringan dengan sifat keadilan.


Perkataan adil menurut bahasa adalah :

‘Sesuatu yang tegak di dalam jiwa sebagai kejujuran dan ketulusan’.

Lawan dari adil adalah aniaya.

Selain itu, ia juga bererti seimbang dan keadilan atau ia juga bererti pertengahan antara berlebihan dan mengabaikan.

Manakala keadilan yang dimaksudkan oleh Imam Hasan Al Banna di sini ialah memberikan hak kepada mereka yang berhak dengan tidak berlaku sebarang kekurangan, kerana keadilan wajib diberikan kepada semua insan, samada Muslim atau kafir, musuh atau kawan, keluarga atau bukan keluarga.


Allah swt berfirman :



“Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah, lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan mendalam akan apa yang kamu lakukan.” (QS Al Maaidah : 8)


Keadilan akan berlaku melalui hukuman dan kehakiman, juga berlaku dengan pujian, sanjungan, celaan, kritik dan kecaman. Keadilan boleh berlaku dalam keadaan redha atau marah.


Bukanlah adil :


a.      Jika kamu berlaku kejam sewaktu kamu menghukum antara dua orang.

b.     Jika kamu berlebihan memuji orang yang tidak berhak menerima separuh daripada pujian yang kamu berikan.

c.      Jika kamu berlebihan mengecam seorang yang tidak berhak menerima satu persepuluh dari kecaman kamu.

d.     Jika kamu memuji semasa suka dan mengeji semasa benci.

e.      Jika kamu berlaku kejam terhadap mereka yang bukan keluarga kamu atau musuh yang menyakiti kamu, sedang kamu menutup pandangan dari perbuatan keluarga, kawan dan orang yang berlaku baik kepada kamu.

Adil merupakan salah satu sifat Allah swt. Oleh yang demikian, Ia tidak pernah mengutus rasul-rasul-Nya, tidak menurunkan kitab-kitab-Nya dan tidak membebani umat manusia dengan berbagai syariat kecuali untuk menegakkan keadilan dan kebenaran.

Allah swt berfirman :

“Sesungguhnya Kami telah mengutus rasul-rasul Kami dengan membawa bukti-bukti nyata dan telah Kami turunkan bersama mereka Al Kitab dan neraca (keadilan) supaya manusia dapat melaksanakan keadilan.” (QS Al Hadid : 25)


Keadilan telah Allah jadikan sebagai timbangan-Nya yang bebas dari segala kegelinciran, dengannya urusan dunia menjadi baik.

Oleh kerana itu, Allah swt berfirman :

“Allah-lah yang telah menurunkan kitab (Al-Quran) dengan (membawa) kebenaran dan menurunkan neraca (keadilan).” (QS Asy Syura : 17)


“Dan langit ditinggikan-Nya dan Dia meletakkan neraca (keadilan).” (QS Ar Rahman : 7)


Ia menyebut keadilan itu dengan istilah timbangan kerana keadilan terlahir dari neraca dan termasuk pekerjaan-Nya yang paling menonjol. Islam, agama yang terakhir ini telah menjadikan system keadilan sebagai syiarnya. Keadilan adalah indentitinya dalam setiap aspek kehidupan.

Allah swt berfirman :

“Sesungguhnya Allah menyuruh (kamu) berlaku adil, berbuat baik, dan memberi kepada kaum kerabat, serta melarang kekejian, kemungkaran, dan permusuhan. Dia memberi pengajaran kepadamu agar kamu dapat mengambil pelajaran.” (QS An Nahl : 90)


Ibnu Mas’ud berkata :


“Ayat di atas merupakan ayat yang paling lengkap yang menjadi wadah kebaikan yang mesti dilaksanakan dan keburukan yang mesti ditinggalkan. Seruannya bersifat umum bagi umat manusia seluruhnya dengan menggunakan kata perintah (ya’muru) bukan sekadar anjuran.”


Nabi Muhammad saw sebagai Rasul yang terakhir itu, di antara tugas pokoknya adalah bersikap adil di antara umat manusia. Allah telah memerintahkannya untuk menjelaskan perkara itu kepada umatnya agar mereka belajar dan meneladani baginda kerana baginda adalah teladan bagi seluruh umat manusia.

Allah swt berfiman :

Dan katakan, “Aku beriman kepada semua kitab yang Allah turunkan dan aku diperintahkan supaya berlaku adil di antara kamu.” (QS Asy Syura : 15)


Keadilan yang Islam serukan adalah keadilan mutlak yang memperlakukan seluruh umat manusia sama, sedarjat.

Allah swt berfirman :

“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanat kepada yang berhak menerimanya dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum di antara manusia supaya kamu menetapkan dengan adil.” (QS An Nisa’: 58)


Permusuhan yang berlaku di antara umat manusia tidak boleh dijadikan alasan untuk membenarkan atau melakukan kezaliman atau meninggalkan sikap adil.

“Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu menjadi orang-orang yang selalu menegakkan (kebenaran) kerana Allah dan menjadi saksi dengan adil. Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap suatu kaum mendorongmu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah, kerana adil itu lebih dekat kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan..” (QS Al Ma’idah : 8)


Sebagaimana ia diperintahkan untuk diterapkan dalam perbuatan, keadilan juga diperintahkan dalam ucapan.

“Dan apabila kamu berkata maka berlaku adillah meskipun terhadap kerabat(mu) sendiri, dan penuhilah janji Allah. Yang demikian itu diperintahkan Allah kepadamu agar kamu dapat mengambil pelajaran.” (QS Al An’am : 152)


Perintah ini sangat berkaitan dengan orang-orang yang memegang kekuasaan, yang memiliki hubungan dengannya atau mereka yang berpengaruh di dalam masyarakat seperti para mufti, para aktivis amar ma’ruf nahi mungkar, pendukung mazhab dan lain-lain yang berpengaruh ucapannya, perilakunya atau keduanya.

Hakikat yang meliputi seluruh makna keadilan adalah memberikan hak kepada pemiliknya, samada hak peribadi, sosial, mahupun politik.

Setiap perkara yang menghalangi sampainya hak kepada pemiliknya adalah kezaliman. Ini adalah kerana tujuan sistem Ilahi ini adalah menegakkan keadilan di antara manusia.

Keadilan yang dituntut oleh Islam adalah keadilan yang menyeluruh. Ia adil dalam hukum :

“Dan apabila menetapkan hukum di antara manusia hendaklah kamu menetapkannya dengan adil.” (QS An-Nisaa’ : 58)


Ia :

1.     Adil dalam perbicaraan.

2.     Adil antara pihak-pihak yang berkepentingan walaupun berbeza kedudukannya dan kelasnya.

3.     Adil dalam pembahagian hak dan kewajiban.

4.     Adil dalam menetapkan hudud dan qishas.

5.     Adil di antara isteri-isteri jika mereka mengahwini lebih dari satu.

6.     Adil dalam ucapan, persaksian dan penulisan.

7.     Adil di antara kelompok-kelompok Muslim jika berlaku perselisihan pendapat di antara mereka.

“Dan jika ada dua golongan dari orang-orang mu’min berperang maka damaikanlah di antara keduanya. Jika salah satu dari kedua golongan itu berbuat aniaya terhadap golongan yang lain, maka perangilah golongan yang berbuat aianya itu hingga mereka kembali kepada perintah Allah; jika golongan itu telah kembali (kepada perintah Allah) maka damaikanlah di antara keduanya dengan adil. Dan berlaku adillah, sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang berlaku adil.” (QS Al Hujurat : 9)


Dalam menegakkan prinsip dan kaidah keadilan di tengah masyarakat, Islam menggunakan konsep dan metodologi pendidikan yang mendidik umat ini untuk meyakini prinsip keadilan dengan keyakinan yang sama dengan yang ada dalam hati orang yang beriman.

Perkara itu dilakukan dengan menerapkannya dalam hubungan sosial, mempropagandakannya, memerintahkannya, mendorong umat untuk berkomitmen dengannya, memperingatkan agar mereka tidak meninggalkannya, dan membentuk karakter umat dengannya melalui penerapan dan pengamalannya.  

Semua itu jelas terlihat dari sejarah kehidupan Rasulullah saw. Baginda gembirakan umat dengan keadilan, mempropagandakan dan menerapkannya sepanjang hidup baginda, memulia dengan dirinya sendiri sebagai contoh hingga konsep keadilan itu mewarnai masyarakat dan mereka tidak enggan lagi menuntut keadilan itu samada mereka berada di pihak yang salah mahupun benar.

a.      Dalam kisah Dzil Khuwaishirah At Tamimi pada waktu Perang Hunain.

b.     Reaksi kaum Anshar kepada Rasulullah saw tentang  pembahagian harta rampasan perang pada Perang Hunain.

c.      Dalam kerelaan Rasulullah saw untuk mendapat balasan (qishash) dalam Perang Badar.

d.     Bahkan dalam tuntutan qishas dari baginda saw di saat sakit menjelang kewafatan baginda.

Dalam semua peristiwa-peristiwa tersebut, terdapat saksi yang sangat kuat dan bukti yang sangat nyata akan semua itu.

Dalam perjalanan hidup Khulafaur Rasyidin terdapat contoh-contoh keadilan yang memperhatikan aspek-aspek persamaan dan kesamarataan yang kemudiannya wujud sebuah idealisma.

Di antara kenyataan Khalifah Abu Bakar ra adalah :

“Orang yang lemah di antara kamu adalah kuat bagiku hingga aku mengambilkan hak untuknya sedang orang yang kuat di antara kamu adalah lemah bagiku hingga aku mengambil hak darinya, InsyaAllah.”

Ya Allah, jadikanlah kami pendakwah-pendakwah yang mampu merealisasikan konsep Rahmat Islam ini kepada umat manusia yang mana keadilan adalah sebahagian darinya sehingga seluruh manusia dan alam semesta akan mendapat kemanfaatan, ketenteraman dan keamanan yang berkekalan.


Ameen Ya Rabbal Alameen

WAS

Labels: Fikrah Email This BlogThis! Share to X Share to Facebook

One Response so far.

  1. truongmuunghenhan says:
    8 May 2020 at 21:28

    Thanks for sharing, nice post! Post really provice useful information!

    FadoExpress là một trong những top công ty chuyển phát nhanh quốc tế hàng đầu chuyên vận chuyển, chuyển phát nhanh siêu tốc đi khắp thế giới, nổi bật là dịch vụ gửi hàng đi nhật và gửi hàng đi pháp uy tín, giá rẻ

Leave a Reply

Newer Post Older Post
Subscribe to: Post Comments (Atom)

Yang Setia

Pautan

  • Muharikah
    Antara dua pilihan
    3 years ago
  • Angel Pakai Gucci!
    Doa Itu Bom Nuklear Bagi Orang Mu'min!
    5 years ago
  • Majalah Jom!
    Isu 45: ALAMAK, AKU SALAH PILIH! (EDISI ISTIMEWA)
    9 years ago
  • دعوتنا DAKWATUNA -dakwahkite-
    Di antara Kefahaman dan Pelaksanaan (Sudut Pandang Parti Kebebasan dan Keadilan FJP – Mesir)
    10 years ago
  • ZADUD-DUAT
    Wahai Ikhwah, Persaudaran adalah rahsia kekuatan anda
    11 years ago
  • Popular
  • Recent
  • Archives
 

Diri Ini

My photo
WAS
Blog ini memaparkan bahan-bahan bacaan dan artikel yang boleh meningkatkan ilmu dan kefahaman Islam anda..
View my complete profile

Blog Ini Menarik??

Yang Paling Digemari

  • Tsabat Memenangkan Dakwah
    ‘ Tsabat ’ bermakna teguh pendirian dan tegar dalam menghadapi ujian serta mehnah di jalan kebenaran. Ia merupakan benteng bagi seorang ak...
  • Memohon Dari Al Jabbar
    Seringkali manusia terjebak oleh pemikirannya sendiri dan merasa mampu untuk merancang segala sesuatu. Padahal tidak ada kekuatan dalam d...
  • Qudwah Di Jalan Dakwah
    Ustaz Mustafa Masyhur dilahirkan pada 15 September 1921 di Kampung Sa'din, dari kota Manya Al-Qamh, Mesir. Beliau terdidik di dalam s...
  • Apabila Hijab Terbuka
    Terbukanya hijab  (sekatan pembatas)  antara kita dengan Allah adalah sumber ketenangan dan kebahagiaan hidup. Ketika hijab telah terbuka, s...
  • Seni Menciptakan Manusia
    Gerakan dakwah adalah diumpamakan seperti para pendaki gunung. Apabila kita sudah sampai pada suatu ketinggian, jika kita melihat ke punc...

Arkib

  • ►  2017 (1)
    • ►  April (1)
  • ►  2016 (4)
    • ►  September (2)
    • ►  March (1)
    • ►  January (1)
  • ►  2015 (39)
    • ►  November (1)
    • ►  October (2)
    • ►  September (2)
    • ►  August (3)
    • ►  July (1)
    • ►  June (5)
    • ►  May (6)
    • ►  April (6)
    • ►  March (6)
    • ►  February (2)
    • ►  January (5)
  • ▼  2014 (42)
    • ►  November (5)
    • ▼  October (4)
      • Merealisasikan Kerahmatan Islam
      • Mutiara Hikmah
      • Mutiara Hikmah
      • Mutiara Hikmah
    • ►  August (4)
    • ►  July (1)
    • ►  June (9)
    • ►  May (8)
    • ►  April (4)
    • ►  February (3)
    • ►  January (4)
  • ►  2013 (72)
    • ►  December (1)
    • ►  November (5)
    • ►  October (4)
    • ►  September (5)
    • ►  August (6)
    • ►  July (5)
    • ►  June (7)
    • ►  May (5)
    • ►  April (7)
    • ►  March (7)
    • ►  February (9)
    • ►  January (11)
  • ►  2012 (163)
    • ►  December (8)
    • ►  November (9)
    • ►  October (9)
    • ►  September (9)
    • ►  August (6)
    • ►  July (12)
    • ►  June (9)
    • ►  May (15)
    • ►  April (16)
    • ►  March (18)
    • ►  February (24)
    • ►  January (28)
  • ►  2011 (93)
    • ►  December (24)
    • ►  November (69)

Susunan

  • Akhlak (6)
  • Aqidah (17)
  • Dakwah (73)
  • Fikrah (74)
  • Ilmu (38)
  • Motivasi (10)
  • Muslimah (3)
  • Mutiara Hikmah (12)
  • Mutiara Hikmah Para Duat (21)
  • Mutiara Hikmah Ramadhan (3)
  • Renungan (31)
  • Ruhiyah (8)
  • Tarbiatuna (5)
  • Tarbiyah (34)
  • Tausiyah (31)
  • Tokoh (8)
  • Uslub (11)
  • Video (29)

Panji Islam

Asmaaul Husna

Kalam Hikmah

Coretan Anda

Pengunjung

Detik Kehidupan

Hari Ini

Waktu Solat

Pelawat


widgets

Selamat Melayari

  • NEW POSTS
  • COMMENTS
  • flickr

    Get your Flickr ID!
 
 
© 2011 Tinta Perjalanan | Designs by Web2feel & Fab Themes

Bloggerized by DheTemplate.com - Main Blogger