Islam sangat
membenci kezaliman dan kekuasaan yang dilaksanakan dengan cara diktator dan ‘kuku
besi’. Oleh itu, kita disarankan agar tidak memilih pemimpin yang berpotensi
untuk melakukan kezaliman dan bersikap ‘kuku besi’.
Dakwah
Rasulullah saw sentiasa menentang setiap bentuk kezaliman kerana risalah keadilan
yang dibawa baginda adalah musuh bagi semua bentuk kezaliman.
Oleh
kerana intipati syari’at Islam adalah keadilan maka semua penguasa yang zalim pasti
akan membenci tertegaknya ajaran ini di muka bumi yang dikuasainya.
Mari
kita dengar antara ucapan Utbah bin Rabi’ah, seorang utusan kafir Quraisy
kepada Rasulullah saw :
“…Kalau dengan
dakwah yang kamu lakukan itu kamu menginginkan kedudukan sebagai raja, kami
bersedia menobatkan kamu menjadi raja kami ..” (HR Ibnu Ishaq)
Ini
adalah tawaran yang sangat bijak kerana jika Rasulullah saw mahu mengambil
kekuasaan dengan meninggalkan dakwah, maka berkemungkinan pemerintahan yang
akan ditegakkan itu akan terpalit dengan unsur-unsur kezaliman. Namun, pada kenyataannya,
Rasulullah saw tidak mengambil kedudukan itu.
Orang-orang
kafir Quraisy Makkah sangat memahami bahwa jika iklim kebebasan mereka buka
selebar-lebarnya maka dakwah Islam akan mengancam kepentingan dan kedudukan
mereka. Oleh kerana itu, mereka pun melakukan tindakan-tindakan kezaliman
terhadap kaum muslimin dengan alasan yang dicari-cari untuk menutup ruang
interaksi dan simpati manusia dengan kaum muslimin.
Maka
konflik dalaman berlaku di antara tokoh-tokoh jahiliyah yang “radikal”
seperti Abu Jahal, Abu Lahab, Utbah bin Rabi’ah dan lain-lain dengan
tokoh-tokoh jahiliyah yang lebih “moderat” dan bersikap “demokratik”
seumpama Abu Talib, Muth’am bin Adi, Hisyam bin Amir dan lain-lain.
Muth’am
bin Adi umpamanya memberikan perlindungan kepada Rasulullah saw tatkala baginda
pulang dari berdakwah ke Thaif manakala orang-orang kafir Quraisy tidak
membenarkan baginda untuk dapat masuk semula ke kota Makkah.
Hisyam
bin Amir adalah orang pertama yang merasa prihatin dengan tiga tahun
pemboikotan kepada kaum Muslimin dan Bani Muthalib.
Ketika
Rasulullah saw merasa perlu mencarikan tempat perlindungan bagi kaum muslimin
dari tindakan kezaliman orang-orang kafir Makkah, baginda terfikir tentang
wilayah Habsyah, bukannya Romawi atau negeri lainnya.
Bukan
sekadar wilayah ini lebih dekat dengan Makkah tetapi juga iklim politik negeri
itu yang lebih kondusif bagi dakwah Islam.
Berkait
dengan Habsyah, Rasulullah saw berkata :
“Alangkah
baiknya jika kamu dapat berhijrah ke negeri Habsyah, kerana di sana terdapat
seorang raja yang adil sekali. Di bawah kekuasaannya tidak seorang pun boleh
dianiaya ..”
Kaum
kafir Quraisy segera mengirim Abdullah bin Abi Rabi’ah dan Amr bin Al Ash
(sebelum masuk Islam) untuk mempengaruhi pemikiran moderat Najasyi, raja
Habsyah yang disebut-sebut Nabi saw tetapi, walaupun berbekalkan bermacam-macam
hadiah, utusan itu tidak berhasil mengubah sikap Najasy.
Kekuasaan
yang baru muncul dan tumbuh berkembang pesat di Jazirah Arab sangat
menggentarkan negara-negara lain di sekitarnya bukan kerana jumlah tentera kaum
Muslimin yang besar, tetapi budaya kehidupan yang tidak membezakan tingkatan
dan kedudukan di kalangan mereka merupakan ancaman serius bagi kelangsungan
negara-negara yang mengamalkan kezaliman di sekitarnya.
Akhlak
Rasulullah saw dan pengikut baginda tersebar ke mana-mana dan menghembuskan
angin harapan bagi masyarakat-masyarakat yang tertindas di wilayah kekuasaan
Romawi dan Parsi dan itulah juga yang menjadi sebab timbulnya konspirasi untuk
menghentikan dakwah Islam.
Perang
Mu’tah dan Tabuk berlaku dalam menghadapi negara pimpinan Kaisar Heraklius itu
sedangkan Kisra Parsi pernah mencuba untuk melakukan pembunuhan politik kepada
diri Nabi Muhammad saw melalui agen-agen mereka dari Yaman.
Namun,
usaha untuk menghentikan kelajuan dakwah Islam itu tidak berhasil bahkan
sedikit demi sedikit wilayah-wilayah kedua negara itu jatuh ke tangan kaum
Muslimin.
Bayangkan,
betapa bergetarnya hati para penguasa Romawi di wilayah Mesir tatkala mendengar
salah seorang agen yang menceritakan hasil lapuran intelijen mereka tentang
keadaan kaum Muslimin yang menjadi musuh mereka :
“Kami
menyaksikan suatu kaum yang cinta mati. Keramahannya mengimbangi keangkuhannya.
Duduknya bersila di atas tanah. Pihak atasan tidak berbeza dengan pihak
bawahan. Mereka tidak mengenal perbezaan antara mulia dengan hina, dan antara
tuan dengan hamba sahaya. Apabila datang waktu kebaktian (solat) maka tidak
seorang pun yang tidak mengerjakannya…”
Ketika
akhirnya tiba perutusan kaum Muslimin kepada mereka tokoh yang memimpin mereka iaitu
Ubadah bin Shamit, seorang Negro yang berperawakan tinggi, besar dengan kulit
hitam, maka Muqaiqis, pembesar Mesir menolak kedatangan Ubadah, namun anggota
perutusan yang lain berkata :
“Tokoh hitam
ini adalah pemuka kami, termulia di lingkungan kami, pemimpin perutusan ini,
ditunjuk dan diangkat oleh panglima kami. Kami menghargai ilmunya dan buah fikirannya.
Apa yang dikatakannya adalah pendirian kami semua.”
Namun,
suatu perkara yang perlu dicatat adalah syari’at Islam juga tidak dapat
diterapkan dalam lingkungan kezaliman yang diciptakan oleh kekuasaan kaum
Muslimin sendiri. Berlakunya suatu jarak antara kaum Muslimin dengan syari’at
Islam adalah sesuatu yang menjadi kerisauan tersendiri bagi Rasulullah saw
tatkala memikirkan masa depan ummat baginda.
Baginda
saw bersabda :
“Tiada seorang
penguasa yang memikul amanah Allah berupa rakyat bawahan, kemudian ia mati di
tengah-tengah rakyat yang ditipu olehnya, kecuali Allah mengharamkan syurga
baginya.” (HR Bukhari dan Muslim)
Para
khalifah yang bijaksana sentiasa menilai kedudukan diri mereka kerana khuatir
termasuk ke dalam golongan yang diancamkan oleh Nabi saw kerana, boleh jadi
seorang penguasa yang secara formalnya tercatat berpotensi sebagai pihak yang
seharusnya menjadi penegak syari’at Islam, namun dalam kenyataannya justeru
menjadi musuh bagi tertegaknya keadilan Islam itu sendiri.
Khalifah
Umar bin Al Khattab ra suatu hari berkata kepada para sahabatnya :
“Demi Allah,
aku tidak tahu apakah aku ini khalifah atau seorang raja? Andaikan aku ternyata
adalah seorang raja, tentu hal ini merupakan masalah yang besar (bagi diriku).”
Di
antara para sahabatnya ada yang menjawab :
“Wahai Amirul
Mu’minin, tentu di antara keduanya terdapat perbezaan. Seorang khalifah tidak
mengambil kecuali yang benar dan tidak meletakkan kecuali pada yang benar.
Dengan pujian Allah, begitulah keadaan engkau. Sedangkan seorang raja suka
menindas manusia. Ia mengambil dan memberi kepada orang semahunya.”
Umar
bin Al Khattab hanya diam mendengar hal ini, kemudian ia bertanya kepada Salman
:
“Khalifah atau
rajakah aku ini ?”
Salman al Farisi ra menjawab:
“Apabila engkau
mengambil secara paksa satu dirham atau kurang dari itu dari bumi orang-orang
Islam, kemudian engkau letakkan bukan pada tempatnya, maka engkau adalah
seorang raja, bukan khalifah!” (HR Ibn Saad)
Namun,
tidak semua pemimpin Islam memiliki sensitiviti setinggi Umar bin Al Khattab ra
yang sentiasa mengawal dirinya sendiri melalui muhasabah yang diminta dari para
sahabatnya. Tidak sedikit khalifah dalam sejarah Islam yang menjadi lupa
daratan kerana bergelimang dengan kekuasaan yang besar dan harta yang begitu
melimpah ruah.
Dalam
keadaan seperti ini, perlu ada pihak-pihak yang bersikap kritikal kepada para
pemimpinnya. Tanpa ada pengawalan yang ketat dan seimbang, kekuasaan akan
sentiasa membawa kepada kezaliman.
Para
ulama’ dan penegak dakwah memiliki peranan yang sangat penting dalam usaha merealisasikan
syari’at Islam dalam kehidupan nyata di negara-negara yang mempunyai penguasa
orang-orang Islam.
Tanpa
daya kritikan mereka, syari’at Islam mungkin hanya terperosok dan menjadi
sebuah simbol semata-mata yang tidak ada ertinya dan tidak membawa kemaslahatan
bagi umat Islam, apalagi umat manusia.
Dalam
sebuah pertemuan di Istana Baghdad, Al Hasan bin Zaid, gabernur Madinah meminta
seorang ulama’ soleh bernama Ibnu Abi Dzuaib yang ada di ruang tamu itu untuk
menilai Khalifah Abu Ja’far Al Manshur.
Khalifah Abbasiyah itu berkata :
“Apa yang
engkau katakan tentang diriku?”
Abi Dzuaib bertanya semula :
“Engkau
bertanya kepadaku seakan-akan engkau tidak tahu tentang dirimu sendiri?”
Abu
Jaafar menegaskan :
“Demi Allah,
engkaulah yang memberitahu aku,”
Abi
Dzuaib akhirnya berkata :
“Aku bersaksi
engkau telah mengambil harta benda dengan cara tidak benar, lalu engkau
memberikannya kepada orang yang tidak berhak atas harta itu. Aku juga bersaksi
bahwa kezaliman bermaharajalela di pintu rumahku.”
Mendengar
hal itu, Abu Ja’far bangun dari tempat duduknya lalu memegang leher Ibnu Abi
Dzuaib seraya berkata :
“Demi Allah,
andaikata aku tidak dalam keadaan sedang berdiam di tempat ini, tentu sudah
kuambil negeri Parsi, Romawi dan Turki dengan jaminan lehermu ini.”
Abi
Dzuaib dengan tenang berkata :
“Wahai Amirul
Mukminin, Abu Bakar dan Umar telah menjadi pemimpin. Mereka berdua melaksanakan
kebenaran, berbuat dengan adil, memegang leher orang-orang Parsi dan Romawi
serta dapat memukul hidung mereka.”
Abu
Ja’far melepaskan tangannya dari leher Ibnu Abi Dzuaib seraya berkata :
“Demi Allah,
kalau bukan kerana engkau orang yang jujur, tentu aku akan membunuhmu.”
Abi
Dzuaib berkata :
“Demi Allah
wahai Amirul Mukminin, aku memberi nasihat kepadamu lantaran anakmu, Al Mahdi.” (Diriwayatkan oleh Imam Asy Syafi’i)
Pada masa kebelakangan ini, khususnya di era reformasi,
arus kebebasan nampaknya begitu terbuka bahkan melebihi batas yang diperlukan termasuk
dalam hal hubungan antara rakyat dan pemerintah.
Sebelum ini, adalah menjadi sesuatu yang ‘tabu’
bahkan menakutkan jika ada yang memberikan kritikan dan nasihat kepada
penguasa, sedangkan ketika ini sudah tidak demikian bahkan ada yang
memanfaatkan ruang kebebasan ini sesuai dengan tuntunan syariah, namun ada pula
yang berterusan mengkritik secara membabi buta sedangkan sikap yang benar
adalah sikap pertengahan sebagaimana yang ditekankan oleh Islam.
“Dan demikian
(pula) Kami telah menjadikan kamu (umat Islam), umat yang ‘wasathan’ (pertengahan) dan pilihan agar kamu menjadi saksi atas
(perbuatan) manusia dan agar Rasul (Muhammad) menjadi saksi atas (perbuatan)
kamu.” (QS Al Baqarah : 143)
Rasulullah saw bersabda :
Kita menyaksikan, ada manusia yang mengkritik dan
menasihati penguasa secara terang-terangan dalam hal yang sepatutnya
disembunyikan, yakni kehidupan peribadi dan kesalahan yang sifatnya peribadi
yang tidak membawa kesan buruk kecuali untuk diri penguasa itu sendiri sehingga
terbukalah aibnya dan tersingkaplah kejelekan peribadinya.
Kita juga menyaksikan, ada manusia yang bacul dan sama
sekali tidak melakukan apa-apa terhadap kekeliruan penguasa walaupun kekeliruan
itu membawa mudharat dan penderitaan bagi rakyatnya dengan alasan menasihati
penguasa mestilah secara diam-diam dan tidak boleh terbuka. Bahkan mereka
menuduh bahwa yang melakukan nasihat dengan terbuka adalah kaum ‘khawarij’. Akhirnya, fakta
keadaan mereka pun sekadar teori belaka serta mereka tidak melakukan
apa-apa.
Kedua-dua sikap ini tidak benar dan sama sekali
berlebihan di mana ianya tidak memperhatikan masalah secara utuh dan menyeluruh
bahkan hanya berpandukan pada sebahagian dalil namun melupakan dalil lainnya.
DUA JENIS KESALAHAN
Secara umumnya, manusia (termasuk para pemimpin) akan
melakukan dua jenis kesalahan seperti berikut:
PERTAMA : KESALAHAN YANG MEMBAWA KESAN BAGI PERIBADI
SAHAJA
Ini adalah aib peribadi yang tidak boleh disebarkan di
khalayak ramai. Setiap orang memiliki aib peribadi, baik perbuatannya atau berupa
cacat anggota tubuh. Semua ini sama sekali tidak merugikan orang
lain selain dirinya. Maka, tidak dibenarkan menasihatinya secara
terang-terangan, kerana sama sahaja hal itu menginjak kehormatan sesama
muslim. Justeru, jika mengetahui kesalahan yang sifatnya peribadi
tersebut, kita dianjurkan untuk menutupinya.
“Barangsiapa
yang menutupi (kesalahan) seorang muslim, maka Allah akan menutupi kesalahannya
di dunia dan akhirat.”
KEDUA : KESALAHAN YANG MEMBAWA KESAN PADA ORANG RAMAI
Kesalahan jenis ini, samada dalam urusan dunia atau
agama, maka dibolehkan dalam syariat untuk ditegur secara terang-terangan
samada yang dilakukan oleh orang biasa atau pemimpin.
Ini adalah kerana, jika dinasihati secara diam-diam,
padahal dia berbuat kekeliruan secara terangan-terangan dan membawa kesan
secara massa, maka dikhuatiri taubatnya itu tidak diketahui dan diikuti
orang lain yang mengalami kesan dari kekeliruannya. Menasihatinya
secara terang-terangan bukan termasuk dalam kategori ‘ghibah’ (umpatan) yang diharamkan sebagaimana yang
dikatakan oleh Imam An Nawawi Rahimahullah
dalam kitab ‘Riyadh Ash Shalihin.’
Keterangan Imam An Nawawi tentang ‘ghibah’ (umpatan) yang dibenarkan adalah seperti berikut :
- Mengadukan
kepada hakim, tentang kejahatan orang yang menganiaya.
- Minta
tolong supaya menasihati orang yang berbuat mungkar kepada orang yang
dianggap sanggup menasihatinya.
- Kes meminta
fatwa : fulan menganiaya saya, bagaimana cara menghindarinya?
- Bertujuan
menasihati agar orang lain tidak terpedaya oleh orang tersebut.
- Terhadap
orang yang terang-terangan melakukan kejahatan, maka yang demikian bukan ‘ghibah’,
sebab ia sendiri yang menampakkannya.
- Untuk
memperkenalkan seseorang dengan gelaran yang disandangnya, seperti ‘Al A’masy’ (kabur
matanya), ‘Al A’raj’ (Si
Pincang), ‘Al A’ma’ (Si
Buta), ‘Al ‘Asham’ (Si
Tuli), ‘Al Ahwal’ (Si
Juling), semua ini adalah gelaran yang pernah disandang oleh sebahagian
ulama’ hadits.
PEMIMPIN JUGA PERLU DINASIHATI
Tiada seorang pun yang tidak memerlukan nasihat termasuk
para pemimpin.
Rasulullah saw bersabda :
“Agama adalah
nasihat.” Kami berkata: “Untuk siapa?” Baginda bersabda : “Untuk Allah, kitabNya, RasulNya, Imam kaum
muslimin, dan orang-orang kebanyakan.”
Imam An Nawawi Rahimahullah
memberi komentar terhadap makna ‘nasihat untuk imam kaum muslimin’:
“Ada pun
nasihat bagi para pemimpin kaum muslimin, adalah dengan :
a. Menolong
dan mentaati mereka di atas kebenaran.
b. Memerintahkan
mereka dengannya.
c. Memperingatkan
dan menegur mereka dengan santun dan lembut.
d. Memberitahu
mereka apa-apa yang mereka lalaikan dan hak-hak kaum muslimin yang belum mereka
sampaikan.
e. Tidak keluar
dari kepemimpinan mereka.
Bahkan menasihati pemimpin yang zalim termasuk jihad yang
paling afdhal.
Rasulullah saw bersabda :
“Jihad yang
paling utama adalah mengutarakan perkataan yang adil di depan penguasa
atau pemimpin yang zalim.”
Bahkan jika seseorang mati kerana dibunuh penguasa zalim
disebabkan amar ma’ruf nahi munkar, dia termasuk pemimpin para syuhada’.
Rasulullah saw bersabda :
“Penghulu para
syuhada’ adalah Hamzah bin Abdul Muthalib, dan orang yang berkata melawan
penguasa kejam, ia melarang dan memerintah, namun akhirnya ia mati terbunuh.”
Menasihati pemimpin secara diam-diam, memang dianjurkan
oleh syariat. Namun, perkara itu tidaklah menunjukkan larangan dengan cara
terangan-terangan dan perkara ini hanyalah masalah pilihan ‘uslub’ (metod).
Kedua cara ini pada keadaan dan jenis kesalahan tertentu,
memiliki kesan dan keunggulannya sendiri. Oleh kerana itu, tidak dibenarkan
saling meremehkan satu cara berbanding cara yang lain. Tidak seperti persangkaan
sebahagian manusia bahwa hadits tentang anjuran menasihati pemimpin secara
diam-diam, merupakan petunjuk satu-satunya cara nasihat kepada pemimpin, dan
haram cara lainnya. Persangkaan ini tidak benar dan bertentangan dengan Al
Quran serta contoh para nabi, salafus soleh dan para ulama’ rabbani.
Rasulullah saw bersabda :
“Barangsiapa
yang hendak menasihati pemimpin terhadap suatu urusan, maka janganlah
menampakkannya secara terang-terangan, tetapi hendaknya dia meraih tangannya
lalu dia sihatinya berduaan. Jika dia menerima nasihatnya, maka bagimu akan
mendapat ganjaran,
jika dia tidak menerima, maka dia telah menunaikan apa-apa
yang layak bagi sultan tersebut.”
Hadits ini sering dijadikan alasan oleh sebahagian kaum
muslimin agar jangan menasihati pemimpin secara terang-terangan bahkan mereka
mengharamkan demonstrasi dengan alasan hadits ini pula.
Anjuran dalam hadits ini adalah agar kita menasihati
pemimpin secara ‘face to face’
atau empat mata. Anjuran yang ada dalam hadits ini, tidaklah sama sekali
menunjukkan pembatasan bahwa inilah satu-satunya cara, melainkan hadits ini
berbicara tentang salah satu bentuk cara nasihat terhadap pemimpin.
Tidak ada hubungan apa pun dalam hadits ini yang
menunjukkan bahwa terlarangnya menasihati pemimpin secara terbuka kerana
sejarah menunjukkan bahwa para Nabi dan Rasul, sebahagian sahabat, tabi’in dan
para imam kaum muslimin pernah menasihati pemimpin secara terang-terangan
sebagaimana paparan berikut:
PAPARAN 1 :
Ketika Umar bin Al Khathab ra menyampaikan khutbah di
atas mimbar, dia menyampaikan bahwa Umar hendak membataskan Mahar sebanyak 400
Dirham, kerana nilai itulah yang dilakukan oleh Rasulullah saw, jika ada yang
lebih dari itu maka selebihnya dimasukkan ke dalam ‘Baitul Mal’.
Hal ini diprotes secara langsung oleh seorang wanita, di
depan manusia ketika itu, dengan perkataannya:
“Wahai Amirul
mu’minin, engkau melarang mahar buat wanita melebihi 400 Dirham?”
Umar menjawab : “Benar.”
Wanita itu berkata :
“Apakah kau
tidak mendengar firman Allah:
“ …. sedang
kamu telah memberikan kepada seseorang di antara mereka harta yang banyak, Maka
janganlah kamu mengambil kembali daripadanya barang sedikitpun. Apakah kamu
akan mengambilnya kembali dengan jalan tuduhan yang dusta dan dengan
(menanggung) dosa yang nyata ?.” (QS An Nisaa’ : 20)
Umar menjawab :
“Ya Allah
ampunilah, semua manusia lebih tahu berbanding Umar.”
Maka umar pun membetulkan keputusannya.
Inilah Umar bin Al Khathab. Beliau menerima kritikan
terbuka wanita tersebut dengan jiwa besar serta mengakui kesalahannya, serta
tidak mengatakan :
“Engkau benar,
tapi caramu menasihatiku salah, sepatutnya engkau nasihatiku secara diam-diam,
dan tidak secara terang-terangan!”
Tidak! Umar tidak sama sekali mengingkari cara wanita itu
menasihatinya di depan khalayak manusia
yang ramai. Bukan setakat itu, para sahabat yang melihatnya pun tidak pula
mengingkari wanita tersebut.
Jikalau wanita itu salah dalam penyampaiannya, maka sudah
tentu secara serentak dia akan diingkari oleh ramai manusia saat itu. Faktanya
tidak ada pengingkaran itu. Ini disebabkan kerana keputusan khalifah Umar akan
membawa kesan bagi rakyatnya, maka usaha membetulkannya pun dilakukan secara
terbuka.
PAPARAN 2 :
Cerita tentang kecaman keras Said bin Jubair ra terhadap
gabernur yang zalim di Madinah, adalah sangat terkenal. Beliau berkata tentang
Hajjaj bin Yusuf dan pasukannya sebagai berikut :
“Dari Abu Al Yaqzhan, dia berkata: Said bin Jubair pernah berkata ketika hari
‘Dir Al Jamajim’, saat itu dia sedang berperang (melawan pasukan
Hajjaj)
“Perangilah mereka kerana kezaliman
mereka dalam menjalankan pemerintahan, keluarnya mereka dari agama, kesombongan
mereka terhadap hamba-hamba Allah, mereka mematikan .solat dan merendahkan kaum
muslimin
Ketika penduduk ‘Dir Al Jamajim’
kalah, Said bin Jubair melarikan diri ke Makkah. Kemudian dia .dijemput oleh
Khalid bin Abdullah, lalu dibawanya kepada Hajjaj bersama Ismail bin Awsath Al
Bajali. Dia adalah imam pada zamannya dan manusia paling alim
saat itu
Dia tidak mengatakan : “Aku akan pergi
ke Hajjaj dan akan menasihatinya empat mata!” Tidak
.dan tidak seorangpun
ulama’ saat itu dan selepasnya, menggelarnya sebagai ‘khawarij
PAPARAN 3 :
Imam Muhammad Ibn Sirin terkenal sebagai orang yang
paling tegas terhadap Ahli bid’ah dan penguasa yang zalim. Dia secara
terang-terangan menegur penguasa di zamannya iaitu Ibnu Hubairah di depan orang
lain. Sebenarnya, Ibnu Hubairah adalah salah seorang pegawai tinggi dalam
pemerintahan Khalifah Marwan bin Al Hakam.
Berikut adalah apa yang diceritakan oleh Imam Abu Nu’aim
Al Ashbahani:
Ja’far bin Marzuq berkata,
“Ibnu Hubairah
pernah memanggil Ibnu Sirin, Al Hasan (Al Bashri), dan Asy Sya’bi,
dia berkata: “Masuklah kamu.”
Maka dia bertanya kepada Ibnu Sirin:
“Wahai
Abu Bakar, apa yang kau lihat sejak kau mendekati pintu istanaku?”
Ibnu Sirin menjawab: “Aku melihat
kezaliman yang merata.”
Perawi berkata: Maka saudaranya menganggukkan kepalanya dan Ibnu Sirin pun
menoleh kepadanya.
Lalu dia berkata (kepada Ibnu Hubairah) :Bukan kamu yang sepatutnya
bertanya, tetapi akulah yang sepatutnya bertanya
Imam Az Zahabi mengatakan:
“Berkata Hisyam
: Aku belum pernah melihat orang yang paling tegas terhadap penguasa berbanding
Ibnu Sirin.”
Inilah Imam Muhammad bin Sirin rahimahullah di mana dia
menegur kezaliman yang ada dalam istana, di depan khalayak ramai dan ulama’.
Mereka yang seperti Al Hasan dan Asy Sya’bipun tidak mengingkarinya.
Ibnu Sirin tidak mengatakan kepada Ibnu Hubairah :
“Aku ingin
katakan kepadamu secara rahsia, bahwa kezaliman di istanamu telah merata!”
Tidak sekali-kali.
Lagipun bagaimana Hisyam mengetahui Ibnu Sirin adalah
manusia paling tegas terhadap penguasa jika dia menegurnya secara
sembunyi-sembunyi?
Imam Muhammad bin Sirin rahimahullah pada zamannya
dikenali sebagai seorang yang sangat wara’, ahli fiqh, ahli tafsir mimpi dan
periang.
Paparan-paparan di atas nampaknya sudah cukup
menggambarkan bahwa menasihati penguasa secara terbuka, bukanlah suatu perkara
yang tercela dan bukan pula perkara baru. Justeru, ini adalah perbuatan
mulia yang memerlukan keberanian sebagaimana para salafus soleh
terdahulu.
Menasihati pemimpin, samada secara sembunyi atau terbuka,
kita tidaklah melihatnya dari sudut benar atau salah melainkan dari sudut mana
di antara keduanya yang lebih tepat penggunaan dan berkesan dalam merubah
penyimpangan penguasa.
Tentulah perkara ini memerlukan ketelitian dan analisa
secara tepat. Boleh jadi :
1. Ada penguasa yang hanya boleh berubah dengan tekanan
dari rakyatnya.
2. Ada juga yang sudah boleh berubah dengan hanya di
nasihati oleh orang yang terdekat dengannya secara rahsia.
Oleh kerana itu, ketenangan dan ketelitian sangat
diperlukan dalam memutuskan masalah ini.
Yang jelas, tiada seorang ulama’ Islam pun mengatakan
bahwa menasihati pemimpin secara terbuka adalah bentuk pemberontakan umpama
golongan ‘khawarij’ di mana ini adalah pengertian yang amat jauh.
Tidak patut untuk kita menyamakan pemberontakan dengan
nasihat kerana yang satu berdosa, dan yang lain berpahala dan mulia.
Begitu pula, tidak patut untuk kita samakan situasi ini dengan
keluarnya kaum ‘khawarij’ terhadap pemerintahan Ali kerana yang kita bahas
adalah tentang penguasa atau pemimpin yang zalim dan bukan pemimpin yang adil
seperti Ali bin Abi Talib ra.
Akhir sekali mari kita lihat kisah kehidupan seorang
mujahid agung Libya iaitu Umar Al Mukhtar yang telah berjuang di medan perang
selama 20 tahun menghadapi kezaliman penjajah Itali. Berikut adalah kata-kata
musuhnya yang zalim iaitu Jeneral Rudolfo Graziani ketika beliau mewawancara Umar
Al Mukhtar setelah beliau berjaya ditangkap dalam satu pertempuran.
“Dia :
- Sentiasa berusaha menjaga keyakinannya.
- Menghadapi semua orang yang menghalang tekadnya.
- Tidak suka dengan campur tangan.
- Memerangi semua orang yang menjajah negaranya.
- Tidak pernah menerima campur tangan asing dalam
masalah nasionalisma Arabnya terutama Libya.
- Memiliki tahap kecerdikan yang tinggi.
- Seorang yang bijak.
- Mempunyai keperibadian luar biasa.
- Tidak mencari habuan kebendaan.
- Seorang yang teguh pendirian.
- Begitu bersikap fanatik terhadap agamanya.
- Seorang yang fakir.
- Tidak memiliki sedikitpun kemewahan dunia kecuali
kecintaannya kepada agama dan bangsanya.”
“Ya Allah, kurniakanlah bagi kami dari rasa takut (kami)
kepada-Mu sesuatu yang dapat menghalangi kami dari berbuat maksiat kepada-Mu
dan dari ketaatan (kami) kepada-Mu sesuatu yang dapat menyampaikan kami kepada
syurga-Mu. Bantulah kami terhadap orang-orang yang memusuhi dan menzalimi kami
dan janganlah Engkau jadikan musibah yang menimpa kami berlaku pada agama kami
dan janganlah Engkau jadikan orang-orang yang tidak menyayangi kami berkuasa ke
atas kami”.
Ameen Ya Rabbal Alameen
WAS