Seperti yang kita fahami bahwa perubahan menuju perbaikan diri dan masyarakat melalui institusi-institusi yang strategik menjadi sebahagian dari kerja dakwah pada paksi institusi tersebut.
Melalui pemerkasaan institusi tersebut, instrumennya dapat mengukuhkan dakwah dan perluasannya.
Imam Hasan Al Banna dalam ‘Muktamar Keenam’ menjelaskan tentang berbagai saluran dan media untuk menjadi wasilah bagi tertegaknya dakwah :
“Bahwa saluran dan cara yang kita pakai secara umum adalah memberikan kemantapan dan menyebarkan dakwah dengan berbagai wasilah sehingga mudah difahami oleh masyarakat umum lalu menjadi pandangan umum masyarakat.
Kemudiannya kita akan memilih peribadi-peribadi yang baik untuk menjadi pendukung dakwah yang kukuh. Juga perjuangan dalam kerangka lunas-lunas undang-undang agar dakwah ini memiliki suara di institusi pemerintahan dan didukung oleh kekuatan eksekutif.
Dengan asas ini, calon-calon kita akan menjadi ‘khatibul jamahiri’ (penceramah dalam masyarakat) dan apabila tiba waktu yang sesuai akan tampil mewakili umat di Parlimen.
Yakinlah akan pertolongan Allah swt selama mana tujuan kita adalah untuk meraih keridhaanNya”.
Semua ini amat memerlukan peranan dan potensi dari seluruh aktivis dakwah yang dapat digunakan sebagai wasilah untuk mewujudkan pekerjaan tersebut sehingga seluruh potensinya tidak ada yang tidak dapat dimanfaatkan bahkan jika demikian, tidak boleh ada aktivis dakwah yang tidak menjadi sebahagian dari kerja besar ini.
Aktivis dakwah yang memiliki pelbagai peranan mestilah menjadi batu bata dari tugas ini di mana salah satu peranan yang sangat signifikan dalam mendukung tugas perubahan ini adalah peranan ‘naqib’.
Kedudukan dan peranannya sangat penting kerana ‘naqib’ merupakan tulang belakang yang amat strategik dalam perjalanan tarbiyah ini.
Ia menjadi simpulan ikatan kepada perubahan yang asasi iaitu paling kurang dalam komuniti terkecil dalam masyarakat ini iaitu melalui tarbiyah atau pembinaan aktivis dakwah.
Kedudukan dan peranan inilah yang digerakkan oleh generasi terdahulu untuk memperluaskan skop dakwah demi perubahan masyarakat.
Mereka menjadi titik tolaknya kerana peribadi mereka merupakan parameter kepada perubahan.
Komuniti suatu masyarakat akan mudah diarahkan apabila parameternya jelas dan benar dan mampu menjadi cerminan dalam merealisasikan perubahan diri untuk seterusnya menjadi agen perubah dalam masyarakat.
Oleh kerana itu, Allah swt telah mengingatkan akan peranan ini sebagaimana umat terdahulu yang menjadikan ‘naqib’ sebagai ‘titik tolak’ nya.
“Dan sesungguhnya Allah telah mengambil perjanjian (dari) Bani Israil dan telah Kami angkat di antara mereka 12 orang ‘naqib’ (pemimpin) dan Allah berfirman: “Sesungguhnya Aku beserta kamu, sesungguhnya jika kamu mendirikan solat dan menunaikan zakat serta beriman kepada rasul-rasulKu dan kamu bantu mereka dan kamu pinjamkan kepada Allah pinjaman yang baik sesungguhnya Aku akan menghapus dosa-dosamu. Dan sesungguhnya kamu akan Kumasukkan ke dalam syurga yang mengalir di dalamnya sungai-sungai. Maka barangsiapa yang kafir di antaramu sesudah itu, sesungguhnya ia telah tersesat dari jalan yang lurus”. (QS Al-Maidah : 12)
Demikian juga ketika perjalanan dakwah Rasulullah saw di masa-masa permulaan pertumbuhan dakwah di mana baginda mengangkat sahabat yang memiliki kapasiti untuk memikul amanah dakwah ini menjadi ‘naqib’.
Dari para ‘naqib’ yang dipilih, umat dapat belajar dan bekerjasama merefleksikan amal Islam sehari-hari. Mereka menjadi ukuran sejauh mana tingkatan dan kualiti suatu masyarakat yang akan diajak kepada perubahan.
Begitu pula ketika orang-orang Madinah menjumpai Rasulullah saw, kemudian baginda mengumpulkan mereka lalu menetapkan pemimpin mereka sebagai ‘naqib’ yang menjadi pengarah bagi kabilahnya.
Ternyata peranan ‘naqib’ yang dilaksanakan oleh para sahabat Anshar itu dilaksanakan dengan sebaik-baiknya. Ini dapat dilihat pada sambutan atau sokongan padu masyarakat Madinah yang menyambut seruan Islam dan mereka menjadi pengikut setia Nabi saw.
Perkembangan ajaran Islam dan entiti muslim sangat pesat di sana sehinggakan mereka bersedia untuk menerima kedatangan Rasulullah saw sebagai pemimpin mereka di dunia dan di akhirat.
Kemudian baginda membinanya hingga berlakunya perubahan budaya dan peradaban umat manusia di antara kegelapan perilaku ‘insaniyah ‘waktu itu.
Melaksanakan peranan ‘naqib’ seperti kaum muslimin di masa lalu memang tidaklah semudah membicarakannya kerana banyak unsur-unsur yang terkait, namun kita tidak dibenarkan bersikap pesimis lantaran tidak mudah untuk merealisasikan peranan tersebut.
Walaubagaimanapun, usaha untuk dapat mencontohi sedikit demi sedikit sifat ‘naqib’ hingga akhirnya sempurna mestilah menjadi sesuatu yang tetap berkobar di dalam jiwa kita.
Dalam kaedah usul fiqh, ada disebutkan bahwa :
‘Maala yudraku kulluhu la yutroku kulluhu’.
(Apabila tidak dapat menjangkau seluruhnya maka janganlah meninggalkan keseluruhannya”).
Oleh kerana itu, para ‘naqib’ sepatutnya memahami peranan yang mampu dilaksanakan agar cita-cita yang didambakan dapat segera diwujudkan sepertimana keadaan yang pernah dibangunkan oleh generasi silam.
Adapun peranan yang perlu dilaksanakan oleh para ‘naqib’ untuk mencapai perubahan diri dan masyarakat ini di antaranya seperti berikut :
PERTAMA : MENINGKATKAN PRESTASI DIRI
Sesungguhnya Allah swt telah menyerahkan urusan umat ini kepada ‘naqib’. Kemaslahatan mereka pada hari ini dan masa depan merupakan amanah Allah yang perlu ditunaikan.
‘Naqib’ bertanggungjawab di hadapan Allah swt pada hari akhirat kelak.
Jika generasi hari ini adalah kekuatan bagi ‘naqib’, maka generasi hari esok merupakan tanaman.
Alangkah mulianya seseorang jika ia bersikap amanah, bertanggungjawab dan mahu memikirkan binaannya sebagaimana yang diingatkan oleh Rasulullah saw :
“Bahwa setiap kamu adalah pemimpin dan setiap pemimpin akan diminta pertanggung jawabannya”. (HR Bukhari dan Muslim)
Oleh kerana ‘naqib’ sebagai ‘murabbi’ dalam lingkaran pembinaannya maka meningkatkan prestasi diri dalam pembinaannya ini menjadi peranan yang mesti dilaksanakan dengan baik dan berikut adalah beberapa cara yang boleh dilakukan.
CARA PERTAMA : Merealisasikan aspek-aspek keseimbangan dalam diri aktivis yang dibinanya samada secara ‘ma’nawi’, ‘nafsi’ dan ‘amali’ sehingga aktivis yang dibinanya dapat menyerlahkan ajaran Islam yang lengkap secara ruhani, pemikiran, jiwa dan amal dalam urusan sehariannya.
CARA KEDUA : Memunculkan azam yang kuat dan tawakkal kepada Allah swt yang akan membuatkan mereka sentiasa memiliki tekad yang tidak pernah kendur dalam memperjuangkan Islam.
CARA KETIGA : Meningkatkan sifat keberanian dan kepahlawanan dalam diri mereka di mana mereka berani untuk menyatakan kebenaran dan bersifat patriotik dalam membelanya.
CARA KEEMPAT : Memunculkan rasa tanggungjawab kepada binaannya terhadap kerja dakwah agar mereka dapat menjadi pelopor dakwah sehingga dakwah berterusan dan mampu melahirkan generasi yang lebih baik.
Sasaran utama untuk meningkatkan prestasi diri yang dibina oleh para ‘naqib’ adalah untuk mempunyai sikap puas dan tenang kepada manhaj dakwah dan struktur organisasi. Sasaran inilah yang perlu diperhatikan oleh para ‘naqib’ dalam menjalankan tugas mulianya ini.
Dalam diri ‘naqib’, hanya ada rasa cinta pada aktivis dakwah yang dibinanya agar ia menjadi peribadi yang lebih baik sehingga ‘naqib’ sentiasa gembira dan senang hati dalam melaksanakan tugasnya.
Imam Muhammad ibnu Ahmad yang lebih dikenali dengan nama ‘Ibnu Razquwaih’ menyatakan kepada murid-muridnya yang ia cintai kerana ia ingin murid-muridnya lebih baik dari segi kualiti dan keperibadiannya dari murid-murid yang sebelumnya. :
“Demi Allah, aku menyukai kehidupan di dunia bukan kerana usaha dan bukan pula kerana perniagaan, akan tetapi kerana zikir kepada Allah bersama kamu dan membacakan hadits kepada kamu sehingga kamu menjadi lebih baik dariku”.
Sesungguhnya para ‘naqib’ perlu merenungkan kata-kata Syeikh di atas agar amanah ini dapat ditunaikan di bahu kita sehingga ia menjadi amal pemberat timbangan kebaikan kita di akhirat kelak serta sekaligus mampu mengimplementasikan firman Allah swt bahwa pemimpin dan pengarah yang baik adalah laksana pohon yang mengakar dan berdiri tegak memberikan buah yang tidak pernah henti.
“Muhammad itu adalah utusan Allah dan orang-orang yang bersama dengan dia adalah keras terhadap orang-orang kafir, tetapi berkasih sayang sesama mereka, kamu lihat mereka ruku` dan sujud mencari kurnia Allah dan keridhaanNya, tanda-tanda mereka nampak pada muka mereka dari bekas sujud. Demikianlah sifat-sifat mereka dalam Taurat dan sifat-sifat mereka dalam Injil, iaitu seperti tanaman yang mengeluarkan tunasnya maka tunas itu menjadikan tanaman itu kuat lalu menjadi besarlah dia dan tegak lurus di atas pokoknya; tanaman itu menyenangkan hati penanam-penanamnya kerana Allah hendak menakutkan hati orang-orang kafir (dengan kekuatan orang-orang mu’min). Allah menjanjikan kepada orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal yang soleh di antara mereka ampunan dan pahala yang besar”. (QS Al Fath : 29)
KEDUA : PENGEMBANGAN KEMAMPUAN KEAHLIAN
Alangkah beratnya tugas ‘naqib’, maka ia perlu meningkatkan kemampuan dirinya sehingga tugas-tugas tersebut dapat diselesaikan secara bertanggungjawab.
Kemampuan itu adalah:
A : Kejelasan Wawasan Dan Pandangan
Naqib perlu memperolehi kejelasan wawasan dan pandangan tentang dakwah dan arah pergerakannya sehingga ia tidak pening atau ragu-ragu dalam melaksanakan tugas dakwahnya.
Kejelasan wawasan juga dapat mengusir sifat keragu-raguan terhadap sikap baik dirinya mahupun orang lain.
Jiwa yang yakin akan dapat mempengaruhi orang lain pada fikrahnya terutama aktivis dakwah yang ia bina sehingga mereka berada dalam barisan dakwah di belakang ‘naqib’ nya dan agar tidak ada lagi ‘tasykik’ (keraguan) tentang langkah dakwah dan program yang sedang dicanangkan lalu dapat ikut serta terlibat di dalamnya.
B : Meningkatkan Kecerdasan
Usaha peningkatan kecerdasan yang sempurna perlu dilakukan agar ‘naqib’ mampu menjadi rujukan kepada suatu masalah dan sekaligus mampu memberikan jalan penyelesaiannya.
Kecerdasan ‘naqib’ sepatutnya sentiasa meningkat dari hari ke hari kerana ‘naqib’ sebagai orang yang akan mengarahkan binaannya.
Naqib yang cerdas dapat memberikan nilai tambah pada binaannya sehingga muncul kepuasan ‘tarbawi’ yang mereka ikuti.
C : Kemampuan Kreativiti Dan Daya Cipta / Inovasi
Dalam mengelola tarbiyah untuk ikut serta terlibat dalam kerja dakwah di paksi mana sekalipun, ‘naqib’ tidak boleh kehabisan kreativiti apalagi mati akal dalam menimbulkan inovasi kerana musuh-musuh dakwah sentiasa dalam keadaan penuh kreativiti dan daya cipta dalam menghadapi umat Islam.
Untuk menandingi mereka tentunya bukan dengan kemampuan material yang kita punyai melainkan dengan mengembangkan kemampuan kreativiti yang kita miliki.
Kreativiti yang hidup menjamin peluang-peluang besar bagi dakwah dan pelaksananya.
Seorang pujangga pernah membuat sebuah paparan :
“Siapapun tidak akan mampu mematikan lawannya selama mana kreativiti mereka tetap hidup”.
D : Kekuatan Tindakbalas Terhadap Sesuatu
Naqib yang cepat dalam membuat sesuatu tindakbalas menandakan sikap kepeduliannya yang amat besar samada tindakbalas terhadap situasi, para binaannya mahupun tugas yang diamanahkan kepadanya.
Usaha ini dilakukan semata-mata untuk menjaga aset dakwah yang amat mahal serta menginginkan kebaikan dan keselamatan bagi binaannya.
Kekuatan rasanya begitu besar sehingga ia ingin benar-benar memberikan perkara yang lebih baik pada binaannya sebagaimana firman Allah swt :
“Sesungguhnya telah datang kepadamu seorang rasul dari kaummu sendiri, berat terasa olehnya penderitaanmu, sangat menginginkan (keimanan dan keselamatan) bagimu, amat belas kasihan lagi penyayang terhadap orang-orang mu’min”. (QS At Taubah : 125)
Jika para ‘naqib’ meningkatkan kemampuan mereka, maka keahlian dan penguasaan mereka semakin kuat dan bermakna. Hal ini akan sangat berguna untuk ketahanan dan kekukuhan dakwahnya.
Keahlian yang seperti itu amat diperlukan untuk menjadi pintu-pintu masuknya dakwah di seluruh elemen masyarakat ketika ini sehingga instrumen dalam masyarakat dapat menerima dan berhimpun di dalamnya.
Keahlian apapun dalam ajaran Islam amat dihargai dan ia tidak boleh diabaikan atau melupakan kemampuan yang dimiliki oleh seorang muslim apalagi hingga mencampakkan begitu sahaja keahliannya.
Rasulullah saw telah mengingatkatkan :
“Barang siapa yang telah memiliki keahlian melempar kemudian melupakannya maka ia bukanlah golonganku”. (HR Muslim)
Naqib dalam merealisasikan peranannya mestilah menjaga cita-citanya agar sentiasa hidup sekalipun cita-cita itu belum terwujud pada ketika ia melaksanakannya kerana cita-cita tersebut kadang-kadang lebih cepat atau lambat seperti coretan seorang pujangga :
“Peliharalah cita-citamu, kerana sesungguhnya cita-citamu mendahului segala sesuatu. Barang siapa yang baik cita-citanya dan dia jujur padanya niscaya pekerjaan yang dilakukannya akan melahirkan hasil yang baik pula”.
Iqbal juga dalam untaian bait syairnya memaparkan bahwa :
“Cita-cita orang yang merdeka dapat menghidupkan yang telah hancur, dan tiupan orang-orang yang bertaqwa dapat menghidupkan umat. Dan semua penyakit itu bersumber dari pudarnya cita-cita”.
Untaian syair tersebut mengumpamakan ‘naqib’ sebagai nadi kepada aktivis dakwah ini. Oleh kerana itu, sayugialah para ‘naqib’ tetap menjaga kesihatan nadinya agar tidak pernah berhenti dan diam.
KETIGA : PENGEMBANGAN KEMAMPUAN ORGANISASI
Naqib adalah penjaga struktur organisasi dan oleh yang demikian, ia menjadi orang yang paling ke depan dalam pengembangan struktur organisasi.
Agar tidak mengalami rencatan marhalah dalam perjalanan dakwah ini maka ‘naqib’ mestilah memahami beberapa pra-syarat untuk dapat melaksanakan peranan tersebut iaitu :
A : Penguasaan terhadap perkara-perkara yang tetap dan yang berubah dalam jalan dakwah
Dengan penguasaan ini, ia tahu mana perkara yang memang sudah tetap dalam dakwah ini dan mana yang boleh berubah-ubah sesuai dengan situasi dan keadaannya sehingga dapat ia menggunakan kebijaksanaan yang tepat untuk kepentingan dakwah.
B : Penguasaan terhadap perancangan organisasi
Perancangan yang difahami oleh ‘naqib’ dapat mempermudahkan, merealisasikannya serta mempercepatkan ke arah yang telah digariskannya oleh organisasi kerana ‘naqib’ dapat melibatkan secara langsung aktivis-aktivis dakwahnya sebagai pejuang hadapan dakwah ini.
C : Kemampuan Mengkoordinasikan elemen dakwah
D : Memelihara Keteguhan Organisasi
Oleh kerana peranan dan kedudukan ‘naqib’ amat strategik dalam struktur dakwah ini, maka diharapkan merekalah yang akan menjadi penjaga paling depan dalam menjaga ketahanan organisasi.
Ia boleh menegur aktivis dakwah lain terhadap kekeliruannya di samping dapat meluruskan penyelewengan dalaman yang berkembang.
Selain itu, ia juga dapat memberikan jawaban ke atas tuduhan dan fitnah yang dilontarkan pada organisasi walau dari sesiapapun sehingga ‘naqib’ amat berautoriti untuk membina kemantapan struktur organisasi terutama kepada aktivis dakwah yang di bawah kelolaannya dan bahkan para ‘naqib’ menjadi sebuah kekuatan komitmen pada dakwah ini.
Abul ‘Ala Al Maududi mengingatkan bahwa ‘naqib’ merupakan penjaga struktur organisasi yang mesti mampu menjadi penggerak dakwah ini kepada seluruh lapisan masyarakatnya dengan mengerahkan seluruh potensinya.
Pesanannya kepada ‘naqib’ adalah seperti berkut :
“Menjadi suatu yang ironi sekali apabila ‘naqib’ sebagai orang-orang yang dianugerahkan kecerdasan yang unggul dari kalangan individu umat kita ini, tergila-gila meraih kedudukan duniawi dengan mencurahkan segenap kemampuannya tanpa kenal penat lelah sepanjang siang dan malam.
Di tempat kerja, mereka tidak mahu menerima kecuali pihak yang mahu menawarkan kepada mereka dengan bayaran yang tinggi sedangkan keterlibatan mereka dengan dakwah ini tidak sampai pada tingkatan mengorbankan kepentingan mereka untuk kepentingan dakwah, bahkan tidak pula sekadar mengorbankan jasa yang mereka miliki.
Jika kamu berharap dengan menyandarkan pengorbanan yang mandul ini untuk dapat meraih kemenangan melawan orang-orang yang menimbulkan kerusakan di muka bumi ini yang rela mengorbankan jutaan wangnya setiap hari demi mencapai tujuan mereka yang batil, maka harapan ini tiada lain hanyalah suatu tindakan yang bodoh”.
KEEMPAT : PENGEMBANGAN KEMAMPUAN BERMASYARAKAT
Naqib juga adalah sebahagian dari masyarakat dan oleh yang demikian, ia mesti mampu melakukan pengembangan kemampuan bermasyarakat kerana masyarakat akan menjadi sebahagian dari kerja dan objek dakwahnya.
Masyarakat yang mendukung dakwah akan mengukuhkan kewujudan dakwah dan akhirnya dapat menjadikan dakwah berdiri tegak.
Jadi, ‘naqib’ perlu menyedari akan peranannya di tengah-tengah masyarakatnya iaitu :
A : Membangun hubungan dengan masyarakat.
B : Mampu tampil sebagai cermin perubahan kepada masyarakat.
C : Membangun pandangan umum yang mantap.
D : Mampu tampil sebagai peribadi pemimpin umum.
Pada akhirnya, ‘naqib’ sebenarnya berupaya untuk membangun perubahan yang mendasar pada masyarakat manakala dialah yang memulainya sehingga masyarakat dapat menjadikannya sebagai contoh tauladan secara langsung.
Imam Hasan Al Banna mengingatkan seluruh aktivis dakwah terutamanya ‘naqib’ untuk menjadi penggerak perubahan dan menjadi kekuatan yang hidup memikul usaha-usaha perbaikan dan kemaslahatan ummah dengan kata-katanya yang masyhur :
“Kamu adalah ruh baru yang mengalir ke seluruh jasad umat ini”.
Ya Allah, jadikanlah kami para nuqaba’ sebagai jantung yang terus berdenyut dan sentiasa mengepam ruh kehidupan, ruh kerohanian dan ruh gerakan ke dalam urat nadi masyarakat sehingga kami menjadi pelaksana asasi bagi berbagai proses tarbiyah, organisasi dan pengurusan dakwah yang akan membangunkan umat ini dari tidur dan kelalaian seraya menyahut seruan untuk menegakkan DeenMu di mukabumi ini.
Ameen Ya Rabbal Alameen
WAS