Kita dididik untuk menjadi umat yang berakhlak dan sentiasa diajar untuk terus menebarkan kebaikan walau di mana sahaja kita berada.
Kita dituntut menjadi suatu umat umpama lebah di mana ia sentiasa :
a. Hinggap di tempat yang baik.
b. Menghisap yang paling baik.
c. Menyebarkan yang baik dan bermanfaat berupa madu bagi manusia.
Itulah akhlak kita dan itulah ciri khas dan jati diri umat dan sejarah kita.
Kita sentiasa dituntun oleh Allah swt dan Rasulnya saw untuk menjadi orang-orang yang mahu berkorban dan memberi.
1. Berkorban untuk memberi petunjuk kepada orang lain.
2. Memberi untuk meringankan pada orang lain.
3. Berusaha untuk menyampaikan kebaikan pada orang lain.
Semua aktiviti di atas kita lakukan walaupun perlu membebankan diri kita atau menyusahkan diri kita sendiri.
Kita tidak diajar untuk menjadi seperti lalat di mana ia sentiasa .
a. Hinggap di tempat yang paling kotor.
b. Mengambil yang kotor.
c. Menyebarkan kekotoran untuk merosakkan manusia.
Harm bin Hayyam, seorang ahli ibadah yang menjadi pegawai Saiyyidina Umar Al Khattab ra pernah berkata :
“Tiada seorang hamba yang mendekatkan hatinya pada Allah melainkan Allah akan mendekatkan hati orang-orang yang beriman kepadanya hingga ia mendapat kasih sayang mereka.”
Dalam sebuah riwayat, Muhammad bin Jahm didatangi seseorang yang ingin membeli rumahnya. Ia berkata :
“ Berapa engkau akan beli rumahku yang mempunyai jiran tetangga seperti Said bin Al Ash?
Bagaimana engkau menilai harga jiran tetangga yang :
1. Jika engkau memintanya dia akan memberi kepadamu.
2. Jika engkau diam, ia menegurmu lebih dahulu.
3. Jika engkau berbuat jahat padanya, ia tetap berbuat baik padamu.
4. Jika engkau jauhi dia, maka ia tetap berlemah lembut kepadamu?”
Mari kita semak sebuah wasiat Abu Jaafar bin Al Baqir kepada Umar bin Abdul Aziz agar khalifah yang mendapat jolokan khalifah Rasyidin yang kelima itu mendapat kedudukan yang baik di tengah rakyatnya.
“Jadikanlah kedudukan manusia dalam dirimu tiga perkara.
1. Orang yang lebih tua darimu adalah orang tuamu,
2. Orang yang setara denganmu adalah saudaramu.
3. Orang yang lebih kecil darimu adalah anakmu.
Maka :
a. Berbaktilah pada orang tuamu.
b. Sambunglah hubungan dengan saudaramu.
c. Kasihilah anakmu.”
Akhlak yang baik bukan semata-mata hanya karakter seseorang muslim tapi menurut Yahya bin Mu’ adz rahimahullah, akhlak yang baik adalah kunci dan pintu rezeki di mana ia berkata :
“Akhlak yang baik adalah simpanan rezeki yang banyak.”
Sayyid Muhammad Nuh, seorang sahabat Imam Hasan Al Banna pernah bercerita ketika ia berada di dalam sebuah kereta bersama Hasan Al Banna di jazirah Khadra’, sebuah wilayah di Timur kota Rasyid.
Ketika kereta berhenti di sebuah lampu trafik yang sedang merah, Imam Hasan Al Banna melihat ada sedikit air di hadapan polis trafik. Ia kemudiannya meminta izin kepada polis tersebut untuk meminumnya.
Polis tersebut terasa gembira sekali dan mempersilakan Imam Hasan Al Banna untuk minum. Beliau lalu menyempatkan diri berbicara beberapa kalimat dengan polis tersebut.
Ketika kereta sudah bergerak, Muhammad Nuh berkata kepada Hassan Al Banna :
“Mungkin air yang sedikit tadi tidak berapa bersih”
Imam Al Banna memandang kepadanya seraya berkata :
“Kita telah berhenti sesaat. Kita perlu mengambil manfaat dari yang sesaat tadi untuk menyebarkan dakwah.”
Ini memang suatu logik di mana amal soleh dilakukan kerana dorongan keimanan. Imanlah yang mendorong seseorang untuk berbuat baik meskipun secara mata kasar mungkin ternampak sia-sia bahkan mungkin menjadi suatu bebanan atau kesulitan.
1. Kebaikan mesti diberikan kepada siapa sahaja.
2. Keadilan mesti juga diberikan kepada sesiapa sahaja.
3. Kezaliman mesti dijauhkan dari sesiapa sahaja.
Itulah sendi-sendi ajaran Islam yang disampaikan kepada kita.
Abdullah bin Umar pernah menyembelih kambing.
Pembantunya bertanya :
“Apakah engkau akan menghadiahkan pada jiran tetangga kita orang Yahudi?”
Ia menjawab :
“Ya, kerana sesungguhnya aku telah mendengar Rasulullah saw bersabda :
“Jibril terus menerus berwasiat kepadaku agar berbuat baik terhadap jiran tetangga sehingga aku aku menduga bahwa jiran tetangga itu mempunyai hak waris.” (HR Bukhari)
Mari kita perhatikan firman Allah swt yang menasihati Rasulullah saw yang ertinya :
“Katakanlah,upah apapun yang aku minta kepadamu, maka itu untuk kamu. Upahku hanyalah dari Allah dan Dia Maha Mengetahui segala sesuatu.” (QS Saba’ : 47- 48)
Itulah petunjuk yang menghantarkan kepada pemikiran yang berlandaskan keimanan.
a. Memberi tanpa mengharapkan balasan.
b. Berkorban tanpa meminta hadiah.
c. Menyeru dan berusaha mendakwahkan kebaikan kepada orang ramai dan hanya mengharapkan balasan dari Allah swt.
Logik apakah lagi selain keimanan yang boleh menerima kewajiban anjuran berzakat, infaq dan sedekah?
Ukuran apa selain keimanan yang boleh memahami jihad yang dilakukan seorang mujahid hingga ia berada di antara kemungkinan akan mati?
Terbayangkah oleh logik kita, jika ada orang yang meminta mati demi membela orang lain dalam jihad?
Rasulullah saw bersabda :
“Barangsiapa yang memohon kepada Allah swt dengan tulus dan sungguh-sungguh untuk mati syahid, maka Allah swt akan memberikan kedudukan sebagai syuhada’ walaupun ia meninggal di atas tempat tidur.” (HR Tirmizi, Nasa’i dan Ibnu Majah)
Jangan kita mundur dalam memberi pengorbanan untuk orang lain dan jangan berhenti memberi dan berusaha untuk melahirkan kebahagiaan untuk orang lain.
Pernah suatu ketika seorang anggota Ikhwan dilanda kesedihan dan penderitaan dan bagaimana Imam Hasan Al Banna menyapa lembut kepadanya dalam rangka untuk menghilangkan kesedihan dan penderitaan dalam diri saudaranya seraya berkata :
“Wahai saudaraku,
Tidakkah engkau memuji Allah kerana musibah ini tidak menimpa agamamu dan cukuplah bagimu kebaikan darinya?
Tidakkah engkau menduga peristiwa ini dapat menjadi lebih besar dari apa yang engkau alami?
Tidakkah ini bukti kelembutan Allah padamu?
Tidakkah engkau menghendaki besarnya pahala yang Allah sediakan untukmu apabila engkau ridha dengan ketentuan dan taqdirNya?
Tidakkah engkau melihat semua ini ada balasannya di sisi Allah, menghapuskan dosa-dosamu dan mengangkat darjatmu?”
Setelah mendengar perhatian dan kasih sayang yang ditunjukkan oleh Imam Hasan Al Banna, akh itupun kembali merasakan curahan kasih dan melupakan kesedihannya serta lisannya memuji Allah dengan untaian syukur dan pujian.
Begitulah Imam Hasan Al Banna menyatukan hati-hati anggota Ikhwan yang ada di sekelilingnya.
Mungkin ada yang tidak setuju dengan bentuk pengorbanan yang kita berikan pada orang lain kerana dianggap menyusahkan diri sendiri.
Mungkin juga, ada yang menggangap usaha kita untuk kebahagiaan bagi orang lain itu membebankan dan tidak ada faedahnya.
Bahkan tidak mustahil apabila kita bersikap jujur dan tulus kepada orang lain, orang itu mungkin akan menipu kita.
Namun, tetaplah jujur dan tulus.
Jika kita mengalami ketenangan dan kebahagiaan, mungkin ada orang yang irihati, tapi tetaplah syukuri kebahagiaan kita.
Kebaikan kita hari ini, mudah dan sering dilupakan orang, namun jangan sekali-kali berhenti dari melakukan kebaikan kerana inti masaalahnya adalah antara kita dengan Allah bukan antara kita dengan manusia walau siapapun dia.
Akhirnya marilah kita merenung kata-kata seorang pujangga, Umar Bahauddin Al Amiri yang menggambarkan kekuatan Imam Hasan Al Banna dalam melahirkan semangat berkorban dan sentiasa memberikan apa yang ada padanya kepada umat ini.
“Setelah pandangan pertama, engkau akan melihat bahwa ia hanya lelaki biasa dalam keserasian fizikal dan dalam kehidupan kesehariannya.
Ketika berkunjung ke rumahnya, kutemukan kesederhanaan hidup.
Saat menikmati makanan yang ia hidangkan, kutemukan kefakiran dan kemuliaan.
Tatkala menemaninya sebagai musafir, kutemukan peribadi yang sangat lembut penuh kasih sayang.
Pada waktu senggang, aku menemukannya dalam lapangan amal, berkarya tiada henti.
Aku hidup bersamanya selama beberapa hari dan menemukannya sebagai peribadi yang sentiasa tekun dan bersungguh-sungguh dalam beraktiviti.
Ketika tugas semakin membebankan bahunya , ia sentiasa menyambutnya dengan penuh kesungguhan.
Dialah peribadi yang paling serius dalam berusaha dan sangat teliti ketika menyampaikan pesanan-pesanannya.
Tidak sekalipun melihatnya kecuali aku semakin hormat, semakin cinta, semakin rindu dan kian berharap padanya.
Aku mendapatinya sebagai manusia yang ada pada dirinya melekat seluruh sisi kemanusiaan yang membawa makna-makna kekhalifahan untuk alam semesta.
Dialah Imam yang dipenuhi ‘ruh’ dan ‘bashirah’”
Ya Allah, jadikanlah kami orang-orang yang mudah berkorban untuk melakukan kebaikan demi manfaat manusia lain. Tetapkanlah azam dan niat ikhlas kami dalam memelihara akhlak memberi semata-mata mengharapkan wajahMu tanpa mengharapkan apa-apa balasan dari manusia.
Ameen Ya Rabbal Alameen
WAS