skip to main | skip to sidebar

Tinta Perjalanan

Pages

  • Home
 
  • RSS
  • Facebook
  • Twitter
  • Linkedin
  • Youtube
  • DheTemplate.com
  • Free Templates
  • Drop Menu 1
    • Child Menu 1.1
    • Child Menu 1.2
    • Child Menu 1.3
  • Drop Menu 2
    • Child Menu 2.1
    • Child Menu 2.2
    • Child Menu 2.3
  • Daily Update Templates

Ahlan Wasahlan


Perjalanan Menuju Allah.

Friday, 31 January 2014

Kepentingan Intima' Jamai'e

Ditulis Oleh WAS Pada 09:30 – 0 Komen Anda
 
Sebuah Jamaah yang berjuang untuk :

1.      Mengembalikan manusia pada penghambaan kepada Allah swt semata-mata.
2.      Mengembalikan kejayaan umat.
3.      Menegakkan keadilan.
4.      Mensejahterakan masyarakat.
5.      Membuktikan bahwa Islam itu ‘rahmatan lil alamin’ (rahmat bagi seluruh alam).

sudah tentu tidak mungkin dibangunkan hanya dengan satu profesyen, potensi dan kemampuan.

Ini adalah kerana Islam yang diperjuangkan itu adalah satu sistem yang ‘syamil’ (menyeluruh) yang mencakupi seluruh aspek kehidupan.

Allah swt berfirman :

“Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berperang di jalanNya dalam barisan yang teratur seakan-akan mereka seperti suatu bangunan yang tersusun kukuh.” (QS Ash-Shaff : 4)

Bangunan yang tersusun kukuh itu tentulah tidak hanya terdiri dari satu komponen, tetapi terdiri dari beberapa komponen yang saling kait mengait dan serasi antara satu dengan yang lainnya.
Seorang kontraktor struktur yang akan membangunkan sebuah bangunan akan memulakannya dengan mimpi, doa, membuat rancangan, mencari bahan dan kemudiannya mengumpulkan bahan yang diperlukan.
Bahan yang sudah terkumpul akan dipilih sesuai dengan keperluan bahagian-bahagian dari pembinaan bangunan tersebut di mana :
a.       Pasir akan diayak dan disaring.
b.      Batu akan dibentuk dengan ukuran-ukuran tertentu.
c.       Kayu yang kurang lurus akan diluruskan terlebih dahulu.
Bahan-bahan yang tidak terpakai untuk pembinaan utama bangunan akan dimanfaatkan untuk keperluan-keperluan lainnya seperti meratakan halaman, hiasan di luar dan sebagainya sehingga tidak ada satu bahan bangunan pun yang terbuang percuma begitu sahaja.
Maka begitulah gambaran pembinaan bangunan Islam di mana ia adalah negara dan tanah air atau pemerintahan dan umat, akhlak dan kekuatan atau kasih sayang dan keadilan, wawasan dan undang-undang atau ilmu pengetahuan dan hukum, material dan kekayaan alam atau penghasilan dan kekayaan, serta jihad dan dakwah atau pasukan dan pemikiran. Sebagaimana juga ia adalah aqidah yang murni dan ibadah yang benar, tidak kurang dan tidak lebih.
Jamaah memerlukan ahli politik yang menangani masalah politik dan pemerintahan, doktor dan para ahli perubatan yang menangani kesihatan, pakar ekonomi, ahli pendidikan, teknokrat, agamawan dan keahlian lainnya.
Namun untuk :
1.      Menghimpunkan mereka dalam sebuah jamaah.
2.      Menyatukan mereka semua dalam satu visi dan misi.
3.      Mengikat mereka dalam kerjasama yang rapi.
memerlukan usaha yang lebih serius berbanding membangunkan sebuah bangunan.
Sebuah Jamaah yang mantap dan produktif dibangunkan melalui satu proses yang panjang iaitu :
a.       Bermula dari menjalin komunikasi dengan seluruh lapisan masyarakat.
b.      Memilih anggota masyarakat yang bersedia menerima dan menjunjung perubahan.
c.       Mentarbiyah mereka-mereka yang terpilih.
Jika, untuk membangunkan bangunan yang kukuh dan indah diperlukan waktu yang relatifnya lama, padahal bahan-bahannya adalah benda yang tidak bergerak dan tidak mempunyai kehendak.
Maka apalagi jika kita membangunkan Jamaah yang mantap dan produktif yang anggotanya adalah manusia di mana manusia mempunyai fikiran, keingingan, latar belakang dan sejumlah karakteristik yang telah dijelaskan dalam Al-Qur’an dan As-Sunnah.
Proses pembentukan Jamaah yang mantap dan produktif inilah yang disebut dengan istilah ‘tarbiyah’ atau pembinaan.
Oleh kerana Jamaah yang berjuang untuk tertegaknya agama Allah swt itu tidak dibatasi oleh waktu, maka pembinaan pun tidak akan pernah berhenti kerana jika pembinaan terhenti, maka itu adalah petanda bahwa Jamaah itu pun akan berhenti.
Ustaz Mustafa Masyhur berkata :
“Berbagai peristiwa dan perjalanan waktu menjadi saksi bahwa perhatian terhadap proses pembinaan menjadi penentu bagi kadar kemurnian, kesinambungan dan perkembangan sebuah jamaah (pergerakan).
Ia juga menjadi ukuran bagi sejauh mana kesepaduan di antara anggota-anggotanya, penyatuan barisannya, kerjasamanya, pergerakannya serta produktiviti dan keberkesanan potensi yang dicurahkan, harta yang diinfakkan dan waktu yang dihabiskan.
Sebaliknya, apabila aspek pembinaan dilalaikan atau kurang mendapat perhatian, maka :
1.      Akan nampak kelemahan dan kegoncangan dalam barisan.
2.      Akan muncul benih-benih permusuhan dan perpecahan.
3.      Tenaga kerja semakin melemah.
4.      Produktiviti dakwah akan semakin menurun.”
Proses pembinaan sesungguhnya hanya terdiri dari dua unsur utama iaitu :
a.       Rekrutmen anggota pembinaan baru dari masyarakat.
b.      Pemeliharaan serta peningkatan anggota yang telah terbina.
Di mana dua unsur tersebut saling berkait serta salah satu mempengaruhi yang lainnya.
Rekrutmen berfungsi untuk menambah jumlah anggota yang akan menjadi bahan utama bangunan sehingga bangunan semakin besar dan tinggi menjulang. Oleh yang demikian, apabila kegiatan rekrutmen mengalami kemunduran, maka pertumbuhan jamaah pun akan terhenti.
Kemenangan dakwah di setiap masa sentiasa diukur dengan pertumbuhan aktivis dakwah yang berkualiti dalam jumlah yang mencukupi.
Pada musim Haji tahun ke-11 kenabian, 6 pemuda Yatsrib masuk Islam dan bertekad untuk menyebarkan risalah Islam di Madinah. Mereka melakukan rekrutmen secara meluas di daerah asal mereka. Hasilnya, pada tahun berikutnya, iaitu tahun ke-12 kenabian berlaku Bai’atul Aqabah pertama yang diikuti oleh 12 orang Yatsrib yang telah masuk Islam dan seorang dari 6 orang yang pertama tidak ikut kerana sakit. Ini bererti jumlah anggota jamaah di Yatsrib ketika itu ialah 13 orang dari asalnya 6 orang. Kalau dihitung dengan peratusan, pertumbuhan aktivis dakwah melebihi 100%
Setelah itu Rasulullah saw mengutus Mush’ab bin Umair ra untuk membantu rekrutmen dan pembinaan aktivis dakwah di Yatsrib. Dengan bantuan Mush’ab, aktivis-aktivis dakwah Yatsrib berhasil merekrut tokoh-tokoh Yatsrib, hingga tahun berikutnya, iaitu tahun ke-13 kenabian, berlaku Bai’atul Aqabah kedua yang diikuti oleh 73 orang dari penduduk Yatsrib dan aktivis dakwah yang bersiap sedia berangkat ke Makkah dengan risiko kematian, jika diketahui oleh kaum kafir Quraisy, tentunya bukan aktivis biasa. Ini bererti pertumbuhan aktivis dakwah yang bersedia memikul amanah perjuangan ketika itu lebih dari 600%.
Pertumbuhan tersebut terus berlangsung tanpa henti dan ditambah dengan proses hijrah nabawiyah, maka proses pertumbuhan menjadi semakin pesat dan tidak pernah mengalami saat tidak bergerak, apalagi penurunan.
Tujuh tahun kemudian, iaitu tahun ke-6 Hijriyah, Rasulullah saw memobilisasi para shahabat untuk pergi umrah yang dikenail dengan ‘Umrah Hudaibiyah’. Yang berangkat bersama baginda saw pada waktu itu sekitar 1,500 aktivis dakwah meskipun pada akhirnya tidak jadi melaksanakan umrah kerana berlakunya perjanjian Hudaibiyah.
Ketika suasana aman, tidak ada tekanan dan tidak ada pertempuran, maka rekrutmen aktivis dakwah menjadi semakin meningkat hingga dua tahun berikutnya, iaitu pada tahun 8 Hijriyah, Rasulullah saw berangkat bersama sekitar 10,000 pasukan untuk membebaskan kota Makkah.
Pada saat kemenangan besar telah diraih oleh kaum muslimin, maka rekrutmen tidak lagi dilakukan secara individu, tetapi secara berkelompok, bahkan masyarakat secara berbondong-bondong bergabung dalam barisan dakwah.
Ini sebagaimana yang ditegaskan oleh Allah swt dalam firman-Nya :
“Apabila telah datang pertolongan Allah dan kemenangan. Dan kamu lihat manusia masuk agama Allah dengan berbondong-bondong, maka bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu dan mohonlah ampun kepadaNya. Sesungguhnya Dia adalah Maha Penerima taubat.” (QS An-Nashr : 1-3)
Pertumbuhan itu terus berlangsung sehingga pada musim Haji Wada’, iaitu 10 Hijriyah, peserta yang hadir ketika itu sekitar 100,000 sahabat.
Di antara faktor berjayanya pertumbuhan itu adalah semangat setiap aktivis dakwah untuk melakukan rekrutmen dan pembinaan di mana semangat untuk merekrut dan membina pun sentiasa dihembuskan oleh Rasulullah saw melalui janji-janji menarik, antara lainnya :
“Maka demi Allah, sesungguhnya jika Allah memberi hidayah kepada seseorang dengan (perantaraan) kamu, maka itu lebih baik bagimu daripada kamu mempunyai unta merah (HR Bukhari dan Muslim)
Rasulullah saw bersabda :
“Barangsiapa menunjukkan pada suatu kebaikan, maka ia mendapat pahala seperti pahala orang yang melakukannya.” (HR Muslim)
Memang tidak semua aktivis dakwah memiliki kemampuan rekrutmen dan pembinaan yang memadai. Oleh kerana itu, apabila seorang aktivis memiliki berbagai keterbatasan (uzur syar’ie) hingga tidak dapat melakukan rekrutmen atau proses membina, maka mereka memberi kemudahan kepada aktivis dakwah lain agar dapat melakukan rekrutmen atau pembinaan dengan cara memberikan sumbangan dana kepada aktivis yang mempunyai kemampuan merekrut atau membina, maka pahalanya sama dengan orang yang melakukan rekrutmen atau pembinaan secara langsung.
“Siapa yang membekalkan pejuang di jalan Allah, maka ia mendapat pahala seperti pahala pejuang tersebut, tanpa mengurangi pahala pejuang itu sedikit pun.” (HR Ibnu Majah)
Tentunya masih banyak dalil dari Al-Qur’an, Hadits, Sirah Nabawiyah dan lain-lainnya tentang pentingnya proses rekrutmen dan pertumbuhan aktivis dakwah dalam usaha menggabungkan mereka kepada jamaah yang mantap.
Penggabungan diri seorang aktivis dakwah ke dalam gerakan Islam bukanlah hanya setakat :

1.      Mengemukakan permohonan untuk menjadi ahli.
2.      Mendaftarkan nama sahaja.
3.      Berulang alik ke markas dan pejabat-pejabat gerakan Islam untuk menghadiri perhimpunan sahaja.

Malah penggabungan ini mestilah :

a.       Membawa pengertian yang lebih jauh.
b.      Melewati batas-batas formal.
c.       Menggambarkan penilaian-penilaian lahiriah yang dapat membuktikan kedalaman aqidah dan kekuatan hubungan pemikiran dan tanzim.

Penggabungan secara ‘tanzimi’ bermaksud :

Mengerah seluruh tenaga individu untuk memberi khidmat kepada jamaah dengan meletakkan seluruh kepentingannya untuk Islam, bukan sebaliknya.

Konsep penggabungan merupakan kombinasi sinergi (memerlukan dua elemen yang mesti bersifat lengkap-melengkapi) yang amat berkait dengan konsep bai'ah. Tiada penggabungan tanpa adanya bai'ah dan begitulah juga sebaliknya.

Secara ringkasnya, intima’ diterjemahkan dengan makna penggabungan atau keterlibatan.

Mengikut beberapa aktivis dakwah Islamiyah, intima' disyarahkan sebagai :

“Penglibatan seorang ‘amilin’ dalam organisasi yang telah beliau bai'ahkan.”

Ada juga yang mengistilahkan intima' sebagai :

“Larutnya seseorang yang telah berbai'ah itu dalam perjuangan Islam secara jamaie (berkumpulan).”

Namun, ada juga yang lebih cenderung kepada menyebut intima' sebagai :

“Keberadaan dan keterlibatan seseorang yang telah berbai'ah dalam perjuangan Islam secara faham dan bersungguh-sungguh.”

Para ulama' telah membahagikan intima' kepada beberapa bahagian.

PERTAMA : INTIMA’ SYAKHSI

Ianya adalah penggabungan seseorang dalam perjuangan tersebut kerana tokohnya atau individu-individu yang terlibat dengan perjuangan tersebut. Kebiasaannya mereka yang mengamalkan intima' ini adalah atas dasar minat kepada tokoh dan pemimpin dalam perjuangan tersebut.

Intima' ini adalah intima' yang rapuh. Mereka yang mengamalkan intima' ini amat besar risikonya untuk kecundang kerana tidak ada kefahaman yang kukuh tentang perjuangan tersebut.

Intima' Syakhsyi juga boleh mewujudkan :

1.      ‘Kutlah’ (kelompok-kelompok kecil) dalam jamaah.
2.      Sikap fanatik dan ta’asub.
3.      Sikap sukar untuk menerima pandangan orang lain.
4.      Kerencatan amal disebabkan oleh kematian tokoh tersebut.
5.      ‘Inhiraf’ (peyelewengan) dari jalan dakwah yang sebenar.

KEDUA : INTIMA’ MASLAHI

Ianya adalah penggabungan dalam perjuangan tersebut kerana mempunyai kepentingan tertentu yang hendak dimiliki. Contohnya, jika mendaftar menjadi ahli dalam institusi perjuangan tersebut, mereka akan mendapat duit atau mereka inginkan jawatan atau mereka akan dapat memegang faedah dan keuntungan syarikat dalam institusi tersebut atau mereka mendapat apa sahaja jenis habuan duniawi (termasuklah diskaun atas sesuatu pembelian).

Ini adalah intima' yang memiliki bibit atau unsur rasuah kerana mereka yang seperti ini hanya bersifat ‘ananiyah’ (individualistik) dan kemungkinan besar boleh mengabaikan amanah atau tanggungjawab dalam perjuangan ketika diuji dengan harta duniawi.

KETIGA : INTIMA’ ‘AFAWI

Ianya adalah penggabungan kerana kecenderungan terhadap elemen-elemen yang disukai dalam organisasi atau perjuangan tersebut. Contohnya, trend fesyen yang dipakai oleh kebanyakan ahlinya atau gaya hidup atau jenis pemikiran (suka benda-benda berunsur Islamik atau sebaliknya) dan sebagainya.

Intima' ini adalah intima' yang sangat terpesong dari landasan perjuangan. Ini kerana kecenderungan manusia boleh berubah mengikut peredaran zaman dan kesesuaian tempat serta jenis manusia.

Sebagai contoh, si A minat kepada organisasi Y kerana majoriti pengikutnya memakai kopiah. Suatu hari si A pergi ke masjid dan terserempak dengan si B yang merupakan antara pimpinan organisasi Y sedang memakai songkok. Si A amat terkejut dan lantas ketika pulang ke rumah, beliau bertekad untuk keluar dari organisasi Y.

KEEMPAT : INTIMA’ IRTIJALI

Ianya adalah penggabungan dalam organisasi tersebut secara spontan. Mereka yang berintima' dengan intima' ini kebanyakannya tidak sedar kenapa dan mengapa mereka berada dalam organisasi tersebut.

Setelah selesai zaman kanak-kanak barulah mereka menyedari bahawa meraka telah ada dalam organisasi tersebut. Kebanyakan orang yang berintima' secara spontan ini berlaku kerana lahir dalam keluarga yang terlibat dengan organisasi tersebut atau telah didoktrinkan dengan organisasi tersebut sejak kecil.

Penggabungan ini adalah penggabungan yang boleh digoncang kerana ianya bersifat subjektif dan boleh berubah-ubah mengikut keadaan dan situasi. Seharusnya mereka yang terlibat dengan penggabungan seperti ini perlu melalui proses pentarbiyahan supaya intima' mereka dapat dipulihkan ke landasan yang sebenar.

KELIMA : INTIMA’ ‘AQIDI

Penggabungan ini adalah penggabungan yang benar dan sahih. Ia adalah penggabungan kerana aqidah yang betul dan kukuh serta yakin dalam perjuangan yang didokongnya untuk memperjuangkan Islam hanya kerana Allah swt berlandaskan hukum-hukum Allah (Al-Quran), Sunnah Rasulullah saw, ijma' ulama' dan qias serta bertepatan dengan syara' mengikut waqi’ semasa.

Mereka yang berintima' dengan aqidah adalah mereka yang benar-benar yakin dan insyaallah terus kukuh dalam perjuangan Islam.

PENGGABUNGAN (INTIMA’) AQIDAH

Perkara pertama yang mesti kita ketahui apabila kita menggabungkan diri ke dalam gerakan Islam ialah :

“Sejauh mana kita melarutkan aqidah gerakan Islam itu ke dalam diri kita.”

Ini adalah kerana gerakan Islam menolak intima' (penggabungan) yang dilakukan pada zahirnya sahaja, sebagaimana yang berlaku dalam pertubuhan-pertubuhan yang hanya mementingkan soal-soal struktur kepimpinan sahaja, yang mana keadaan ini telah menjadi kuman yang telah menyebabkan kehancuran pertubuhan-pertubuhan tersebut.

Oleh itu penggabungan diri ke dalam gerakan Islam pertamanya adalah membawa erti:

“Penggabungan diri dan menganuti agama Islam itu sendiri.”

Keadaan ini seterusnya menuntut supaya seluruh perintah Allah ditaati di samping mengharapkan keredaanNya.

Ini akan dapat mengelakkan penggabungan diri ke dalam gerakan Islam itu dari terjejas oleh
kematian seseorang atau kehilangan mereka dari medan dakwah kerana sesuatu sebab, kerana :

“Intima' ke dalam gerakan Islam akan menjadikan seseorang itu terikat dengan Allah, demikian juga perhimpunan anggota gerakan Islam turut terikat dengan Allah.”

Inilah yang menjadi rahsia di sebalik kekal dan berterusannya gerakan dakwah Islamiyah.

Gerakan Islam juga menolak intima' (penggabungan) diri yang dibuat secara melulu yang didorong oleh semangat semata-mata, kerana :

1.      Islam adalah cara hidup yg tegak di atas dasar kefahaman yg tertentu tentang alam, insan dan kehidupan.
2.      Beramal untuk Islam adalah bermatlamatkan untuk melaksanakan metod hidup yg dikehendaki oleh Islam dalam masyarakat.
3.      Membangunkan Islam bermaksud perlaksanaan yang lahir dari kefahaman, ketelitian dan secara objektif.

Oleh itu :

1.      Kesedaran yg bersifat keakidahan.
2.      Kesedaran yg bersifat haraki.
3.      Iltizam yg bersifat ilmi.

adalah menjadi syarat bagi penggabungan diri ke dalam gerakan Islam. Syarat ini mestilah larut dalam diri  seseorang.

Malah :

a.       Keteguhan pendirian seseorang dalam dakwah.
b.      Keteguhan seseorang dalam melakukan kerja-kerja dakwah.
c.       Jaminan untuk seseorang itu kekal terus dalam satu arus gerakan Islam dan dapat mencapai penghasilannya.

adalah mewajibkan wujudnya kefahaman yg betul dan kesedaran yg waras terhadap pengertian penggabungan diri ke dalam gerakan Islam.

Kebanyakan mereka yang terkandas di pertengahan jalan dakwah atau siang-siang lagi telah meninggalkan jalan ini ialah mereka yang menggabungkan diri ke dalam gerakan Islam secara melulu dan bertindak didorong oleh semangat kerana tekanan keadaan-keadaan tertentu, sedangkan mereka tidak memahami apakah ertinya mereka menggabungkan diri ke dalam gerakan Islam.

PENGGABUNGAN (INTIMA’) MASA DEPAN

Satu perkara lagi yang semestinya wujud dalam penggabungan diri seseorang ke dalam gerakan Islam ialah penggabungan masa depannya ke dalam gerakan atau dalam kata lain :

“Penggabungan masa depannya dengan masa depan gerakan.”

Ini membawa erti bahawa seseorang yang menggabungkan diri ke dalam gerakan Islam mestilah:

“Mengikat masa depannya dengan masa depan jamaah walau apapun keadaan yg akan berlaku.”

Penggabungan tersebut mestilah :

a.      Tidak terikat dengan satu jangka waktu yg tertentu dan akan berakhir apabila jangka waktu itu telah tamat.
b.      Tidak terikat dengan satu keadaan tertentu dan akan berakhir dengan berakhirnya keadaan-keadaan tertentu itu.
c.       Tidak terbatas dalam masa muda dan sebelum berumahtangga dan menarik diri setelah menjangkau peringkat dewasa dan berumahtangga.
d.      Tidak dibataskan oleh keadaan kemiskinan dan kesusahan dan akan menghilangkan diri setelah kaya dan senang. 
e.       Tidak hanya terbatas dalam keadaan tenang dan damai tetapi cabut lari sewaktu ditimpa dugaan dan bala.

Nilai jamaah pada jiwa seseorang tidak akan sempurna kecuali apabila wujud lima perkara :

1.      Bangga dengan ber intima’ dengan jamaah ini.
2.      Merasa tenteram dengan keberadaan dirinya di dalam jamaah ini.
3.      Jamaah ini mewujudkan atau akan mewujudkan segala cita-cita keislamannya.
4.      Setiap anggota jamaah memberi sumbangan kepada jamaahnya dan jamaah pun membantunya. Ia menyokong jamaah tersebut dan jamaah pun mendukungnya.
5.      Seseorang menjadi bererti dengan jamaah dan bukan dengan yang lainnya, sedangkan jamaah itu walaupun tidak ditegakkan oleh dia pasti ditegakkan oleh orang lain.
         “Dan jika kamu berpaling maka niscaya Allah akan mengganti kamu dengan kaum yang         lain dan  mereka tidak akan seperti kamu.” (QS Al-Maidah :54)
Manakala ciri-ciri seseorang yang ‘multazim’ (berilitizam) dengan jamaah pula adalah seperti
berikut :

1.Iltizam dengan yang betul kepada tanzim Jamaah.
2.Iltizam dengan siasah dan polisi Jamaah.
3.Iltizam dengan manhaj, wasilah dan uslub Jamaah dalam mengoperasikan dakwah dan strategi.
4. Membayar infaq atau sumbangan tetap bulanan.
5.Taat kepada  murabbi atau masul dan tahu taat mesti diberikan kepada yang memiliki kuasa mengarah.
6.Terikat dengan pandangan jamaah dan qiadah yang dibuat melalui institusi berautoriti sekalipun keputusan itu bercanggah dengan pendapat sendiri.
7. Memberikan ‘thiqah’ sepenuhnya kepada qiadah Jamaah dan ‘thiqah’ diukur dari sejauh mana individu tersebut :

            i. Bertaaruf dengan qiadah.
            ii. Puas hati terhadap qiadah.
            iii. Menganggap arahan qiadah muktamad selagi bukan maksiat.
            iv. Sanggup menganggap dirinya salah dan qiadah betul.
            v. Sanggup merelakan kehidupannya diatur oleh qiadah dan tanzim.

Ya Allah, jadikanlah kami orang-orang yang tetap berada bersama jamaah walaupun diasak dengan berbagai ujian dan cubaan. Jadikanlah penggabungan kami dengan jamaah yang berkat ini sebagai penggabungan yang penuh dengan kefahaman dan ilmu sehingga kami tetap setia menjunjungnya di samping menyumbang jiwa, harta dan masa kami untuknya dalam rangka mentaati perintahMu.

Ameen Ya Rabbal Alameen

WAS
Labels: Fikrah Email This BlogThis! Share to X Share to Facebook

Leave a Reply

Newer Post Older Post
Subscribe to: Post Comments (Atom)

Yang Setia

Pautan

  • Muharikah
    Antara dua pilihan
    3 years ago
  • Angel Pakai Gucci!
    Doa Itu Bom Nuklear Bagi Orang Mu'min!
    5 years ago
  • Majalah Jom!
    Isu 45: ALAMAK, AKU SALAH PILIH! (EDISI ISTIMEWA)
    9 years ago
  • دعوتنا DAKWATUNA -dakwahkite-
    Di antara Kefahaman dan Pelaksanaan (Sudut Pandang Parti Kebebasan dan Keadilan FJP – Mesir)
    10 years ago
  • ZADUD-DUAT
    Wahai Ikhwah, Persaudaran adalah rahsia kekuatan anda
    11 years ago
  • Popular
  • Recent
  • Archives
 

Diri Ini

My photo
WAS
Blog ini memaparkan bahan-bahan bacaan dan artikel yang boleh meningkatkan ilmu dan kefahaman Islam anda..
View my complete profile

Blog Ini Menarik??

Yang Paling Digemari

  • Tsabat Memenangkan Dakwah
    ‘ Tsabat ’ bermakna teguh pendirian dan tegar dalam menghadapi ujian serta mehnah di jalan kebenaran. Ia merupakan benteng bagi seorang ak...
  • Memohon Dari Al Jabbar
    Seringkali manusia terjebak oleh pemikirannya sendiri dan merasa mampu untuk merancang segala sesuatu. Padahal tidak ada kekuatan dalam d...
  • Menjelmakan Makna Tarbawi
    Sehingga ke saat ini Allah swt masih memberikan rahmat kepada kita melalui hidayah, iman, Islam serta dakwah dan tarbiyah. Sungguh, n...
  • Melahirkan Murabbi Yang Berjaya
    Proses tarbiyah adalah suatu pekerjaan yang sangat berat dan tidak mudah kerana tarbiyah bererti: 1. Mempersiapkan manusia. 2. Membentuk d...
  • Tarbiyah, Satu-Satunya Jalan
    Tarbiyah adalah sebuah proses dalam projek kebangkitan umat dan pembangunan peradaban di mana ia memiliki satu sifat yang dikenali sebaga...

Arkib

  • ►  2017 (1)
    • ►  April (1)
  • ►  2016 (4)
    • ►  September (2)
    • ►  March (1)
    • ►  January (1)
  • ►  2015 (39)
    • ►  November (1)
    • ►  October (2)
    • ►  September (2)
    • ►  August (3)
    • ►  July (1)
    • ►  June (5)
    • ►  May (6)
    • ►  April (6)
    • ►  March (6)
    • ►  February (2)
    • ►  January (5)
  • ▼  2014 (42)
    • ►  November (5)
    • ►  October (4)
    • ►  August (4)
    • ►  July (1)
    • ►  June (9)
    • ►  May (8)
    • ►  April (4)
    • ►  February (3)
    • ▼  January (4)
      • Kepentingan Intima' Jamai'e
      • Tarbiyah Ke Arah Tamkin
      • Nasyid Perjuangan 7
      • Bekalan Penempuh Jalan Dakwah
  • ►  2013 (72)
    • ►  December (1)
    • ►  November (5)
    • ►  October (4)
    • ►  September (5)
    • ►  August (6)
    • ►  July (5)
    • ►  June (7)
    • ►  May (5)
    • ►  April (7)
    • ►  March (7)
    • ►  February (9)
    • ►  January (11)
  • ►  2012 (163)
    • ►  December (8)
    • ►  November (9)
    • ►  October (9)
    • ►  September (9)
    • ►  August (6)
    • ►  July (12)
    • ►  June (9)
    • ►  May (15)
    • ►  April (16)
    • ►  March (18)
    • ►  February (24)
    • ►  January (28)
  • ►  2011 (93)
    • ►  December (24)
    • ►  November (69)

Susunan

  • Akhlak (6)
  • Aqidah (17)
  • Dakwah (73)
  • Fikrah (74)
  • Ilmu (38)
  • Motivasi (10)
  • Muslimah (3)
  • Mutiara Hikmah (12)
  • Mutiara Hikmah Para Duat (21)
  • Mutiara Hikmah Ramadhan (3)
  • Renungan (31)
  • Ruhiyah (8)
  • Tarbiatuna (5)
  • Tarbiyah (34)
  • Tausiyah (31)
  • Tokoh (8)
  • Uslub (11)
  • Video (29)

Panji Islam

Asmaaul Husna

Kalam Hikmah

Coretan Anda

Pengunjung

Free CountersFree CountersFree CountersFree CountersFree Counters

Detik Kehidupan

Hari Ini

Waktu Solat

Pelawat


widgets

Selamat Melayari

  • NEW POSTS
  • COMMENTS
  • flickr

    Get your Flickr ID!
 
 
© 2011 Tinta Perjalanan | Designs by Web2feel & Fab Themes

Bloggerized by DheTemplate.com - Main Blogger