Sesungguhnya Ramadhan yang kita cintai telahpun meninggalkan kita dan tidak terasa bahwa pemergiannya begitu cepat sekali dengan meninggalkan jejak-jejak kebaikan pada hati dan jiwa kita.
Tidak ada perpisahan yang lebih mengharukan daripada perpisahan dengan Ramadhan kerana Ramadhan adalah bulan yang penuh keberkatan.
Di dalamnya, kita semua dihantarkan secara perlahan menuju titik fitrah iaitu titik penciptaan kita yang bersih dan suci.
Perkataan fitrah diambil dari perkataan ‘fathara yafthuru’ yang bererti menciptakan.
Allah swt tidak pernah bermaksud buruk ketika pertama kali menciptakan manusia, maka oleh yang demikian, tidak mungkin manusia mencapai kesempurnaan dirinya tanpa kembali ke titik asal mengapa ia diciptakan.
Itulah titik di mana manusia benar-benar menjadi manusia dan BUKAN :
1.
Manusia yang berlumuran dengan dosa
dan kekejaman.
2.
Manusia yang bergelimang dengan
kemaksiatan dan kezaliman.
Allah swt telah menurunkan Al Qur’an untuk menjadi pedoman agar manusia tetap komited dengan kemanusiaannya iaitu manusia yang :
a.
Saling mencintai kerana Allah.
b.
Saling memperbaiki menuju
keimanan sejati.
c.
Saling tolong menolong menuju
peradaban yang kukuh.
d.
Saling membantu dalam kebaikan
bukan saling membantu dalam dosa dan kemungkaran.
Allah mengutus nabi-nabi sepanjang sejarah sebagai contoh terbaik bagaimana menjalankan kewajiban kepadaNya.
Tidak ada keselamatan kecuali mengikut jejak para Nabi dan tidak ada keberkatan kecuali bersungguh-sungguh menjalankan ibadah seperti yang para Nabi ajarkan.
Itulah tuntunan fitrah bahwa setiap manusia tidak akan mampu kembali ke titik fitrahnya tanpa mengikuti ajaran yang disampaikan oleh para Nabi.
Nabi pilihan Allah yang terakhir adalah Nabi Muhammad saw. Bagindalah penutup nabi-nabi dan rasul-rasul (khaatamun nabiyyiin).
Oleh yang demikian, semua tuntunan yang dibawa oleh baginda pasti seirama dengan fitrah manusia.
Maka dengan mengikuti Nabi Muhammad saw secara utuh kita akan menjadi manusia yang kembali ke fitrah kerana itu setiap kali kita memasuki bulan Ramadhan, kita mesti berbicara mengenai bagaimana Nabi Muhammad saw menjalani ibadahnya selama Ramadhan.
Ini adalah kerana hanya dengan mengikuti jejak langkahnya kita dapat menghayati hakikat Ramadhan secara mendalam dan sempurna.
Rasulullah saw pernah menegaskan bahwa berapa ramai orang yang berpuasa Ramadhan, namun tidak mendapatkan apa-apa dari puasanya kecuali hanya lapar dan dahaga.
Ini bermakna bahwa dengan kehadiran Ramadhan, ia tidak mampu kembali ke fitrahnya, padahal semua rangkaian ibadah Ramadhan adalah tangga kembali menuju fitrah.
Mengapa?
Mengapa semua ibadah itu tidak menghantarkan mereka ke titik fitrah?
Di manakah silapnya?
Jawabannya tentulah pada manusianya.
Ini adalah kerana ternyata masih ramai orang yang masuk ke bulan Ramadhan namun tidak secara maksimum melaksanakan ibadah-ibadah yang Allah dan rasulNya ajarkan.
1.
Ramai orang yang masuk Ramadhan
sekadar dengan semangat ritual semata-mata sementara hakikat keilmuan yang perlu
dijadikan bekalan selama Ramadhan diabaikan.
2.
Ramai orang yang masuk Ramadhan
semata-mata menahan lapar dan dahaga di siang hari sementara di malam hari
mereka kembali membuat dosa-dosa.
3.
Ramai orang yang masuk Ramadhan
bukan untuk meningkatkan ibadah dan keimanan melainkan untuk meningkatkan projek-projek
maksiat.
4.
Ramai orang yang masuk Ramadhan
dengan semangat di awal-awalnya sahaja, sementara di akhir-akhir Ramadhan di
mana Rasulullah beri’tikaf dan memburu malam Al Qadar, mereka malah sibuk
dengan persiapan hari raya dan membuat kuih muih.
Yang paling menyedihkan dari semua fenomena di atas adalah ada di antara mereka yang hanya bersemangat beribadah di bulan Ramadhan sahaja dan apabila Ramadhan telah pergi, semua ibadah itu lenyap seketika dari permukaan.
Masjid-masjid yang sebelumnya dipenuhi oleh orang ramai dengan solat malam dan solat berjamaah, namun setelah berlalunya Ramadhan, kembali kosong dan sepi.
JANGAN JADI SEPERTI WANITA PEMINTAL BENANG
Tidak ada ajaran dari Allah bahwa kita wajib mentaati Allah dan rasulNya hanya di bulan Ramadhan sahaja dan selepas itu kita kembali berbuat dosa.
Ramadhan sebagai titik tolak kembali kepada fitrah sejati dan bahwa dari Ramadhanlah, kita bangunkan komitmen ketaatan seumur hidup kita sepertimana ketaatan selama bulan Ramadhan.
Allah swt berfirman :
“Dan janganlah kamu seperti seorang perempuan yang menguraikan benangnya yang sudah dipintal dengan kuat, menjadi cerai berai kembali”. (QS An Nahl : 92)
Ini sebuah pelajaran yang sangat mahal.
Allah swt merakamkan kisah seorang wanita yang hidupnya sia-sia. Dari pagi hingga petang ia hanya memintal benang. Di waktu petang ketika pintalan itu selesai, ia cerai-beraikan kembali.
Perhatikan! Allah swt melarang agar akhlak wanita tersebut tidak berulang kembali bahwa perbuatan sia-sia adalah kerugian yang nyata.
Oleh kerana itu Nabi saw selalu mengingatkan agar kita sentiasa istiqamah. Ketika salah seorang sahabat baginda meminta nasihat yang boleh dijadikan pegangan seumur hidupnya, Nabi saw menjawab :
“Katakan aku beriman kepada Allah dan beristiqamahlah.”
Dalam hadith lain Nabi saw juga sering mengingatkan sahabat-sahabatnya :
“Jangalah kamu menjadi seperti fulan, tadinya ia sentiasa bangun malam, tapi sayang ia kemudian meninggalkannya.”
Demikianlah, setiap tahun kita menjalani ibadah Ramadhan dengan penuh semangat siang dan malam.
Siangnya kita berpuasa, malamnya kita tegakkan solat malam, tetapi benarkah suasana ketaatan itu akan terus bertahan seumur hidup kita?
Atau ianya ternyata hanya untuk Ramadhan semata-mata?
Berapa ramai orang Islam yang selama Ramadhan rajin ke masjid, tetapi setelah Ramadhan habis, seakan-akan tidak kenal masjid lagi.
Berapa ramai orang Islam yang selama Ramadhan rajin membaca Al Qur’an, tetapi setelah Ramadhan selesai, Al Qur’an dilupakan begitu sahaja.
Ini mirip dengan kisah wanita yang Allah swt ceritakan di atas. Selama Ramadhan, ketaatan berturutan dikerjakan namun setelah Ramadhan habis, semua ketaatan yang indah itu dicerai beraikan kembali.
Sepatutnya apabila Ramadhan meninggalkan kita, ia bukanlah bererti berakhir sudah suasana ketaqwaan kita kepada Allah swt, namun tugas berat kita adalah untuk membuktikan kejayaan ibadah Ramadhan itu dengan peningkatan ketaqwaan kepada Allah swt.
Ini adalah kerana bulan sesudah Ramadhan yang hadir bersama kita sekarang ini adalah Syawwal yang bererti ‘Peningkatan’.
Di sinilah letaknya kepentingan untuk mempertahankan nilai-nilai Ibadah Ramadhan.
Paling tidak, ada lima nilai ibadah Ramadhan yang mesti kita pertahankan sehingga ke Ramadhan di tahun yang akan datang.
PERTAMA : TIDAK MERASA SENANG UNTUK MEMBUAT DOSA
Ibadah Ramadhan yang kita kerjakan dengan sebaik-baiknya membuatkan kita mendapatkan jaminan ampunan dari dosa-dosa yang kita lakukan selama ini.
Maka, sudah semestinya setelah melalui ibadah Ramadhan, kita tidak merasa ringan lagi untuk melakukan perbuatan yang bernilai dosa, apalagi secara harfiyah, Ramadhan ertinya membakar, yakni membakar dosa.
Jika dosa itu kita ibaratkan seperti pokok, maka apabila sudah dibakar, pokok tidak akan mudah untuk tumbuh lagi, bahkan boleh jadi mati sehingga dosa-dosa itu kita tidak mahu lakukan lagi.
Oleh yang demikian, jangan sampai dosa yang kita tinggalkan pada bulan Ramadhan hanya sekadar ditahan-tahan untuk seterusnya dilakukan lagi sesudah Ramadhan berakhir dengan kualiti dan kuantiti yang lebih besar.
Jika berlaku demikian, ibarat sebuah pokok di mana ianya bukanlah dibakar, tapi hanya ditebang dahan-dahannya sehingga apabila satu dahan ditebang tumbuh lagi tiga, empat bahkan lima dahan dalam beberapa waktu mendatang.
Dalam kaitannya dengan dosa, sebagai seorang muslim, kita jangan sampai termasuk orang yang bangga dengan dosa, apalagi kalau mati dalam keadaan bangga terhadap dosa yang dilakukan kerana jika ini yang berlaku, maka sangat besar risiko yang akan kita hadapi di hadapan Allah swt sebagaimana firmanNya:
“Sesungguhnya orang-orang yang mendustakan ayat-ayat Kami dan menyombongkan diri terhadapnya, sekali-kali tidak akan dibukakan pintu-pintu langit dan tidak (pula) mereka dapat masuk ke dalam syurga, hingga unta masuk ke lubang jarum. Demikianlah Kami memberi pembalasan kepada orang-orang yang berbuat kejahatan.” (QS Al A’raaf :40)
KEDUA : HATI-HATI DALAM BERSIKAP DAN BERTINDAK
Selama beribadah di bulan Ramadhan, kita cenderung berhati-hati dalam melakukan sesuatu kerana kita tidak ingin ibadah Ramadhan kita menjadi sia-sia dengan sebab kekeliruan yang kita lakukan.
Secara harfiyahnya, Ramadhan juga bererti ‘mengasah’, yakni mengasah ketajaman hati agar dengan mudah dapat menapis atau membezakan antara yang haq dengan yang bathil.
Ketajaman hati itulah yang akan membuatkan seseorang menjadi sangat berhati-hati dalam bersikap dan bertingkah laku.
Sikap seperti ini merupakan sikap yang sangat penting sehingga dalam hidupnya, seorang muslim tidak hanya melakukan sesuatu, apalagi sekadar mendapat nikmat secara duniawi.
Sikap berhati-hati dalam kehidupan ini menjadi amat penting kerana walau apapun yang kita lakukan, ianya akan diminta pertanggungjawaban di hadapan Allah swt.
Oleh kerana itu, apa yang hendak kita lakukan mestilah kita fahami secara baik dan pertimbangkan secara matang sehingga tidak sekadar ikut-ikutan dalam melakukannya.
Allah swt berfirman :
“Dan janganlah kamu mengikuti apa yang kamu tidak mempunyai pengetahuan tentangnya. Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati, semuanya itu akan diminta pertanggunganjawabannya.” (QS Al Isra : 36)
KETIGA : BERSIKAP JUJUR
Ketika kita berpuasa di bulan Ramadhan, kejujuran mewarnai kehidupan kita sehingga kita tidak berani makan dan minum meskipun tidak ada orang yang mengetahuinya.
Ini kita lakukan kerana kita yakin Allah swt yang memerintahkan kita berpuasa sentiasa mengawasi diri kita dan kita tidak mahu membohongi Allah swt dan tidak mahu membohongi diri sendiri kerana hal itu memang tidak mungkin kita lakukan.
Inilah kejujuran yang sebenarnya dan oleh itu, setelah berpuasa sebulan Ramadhan, kita sudah semestinya mampu menjadi orang-orang yang sentiasa bersikap jujur, samada :
1.
Jujur dalam perkataan.
2.
Jujur dalam berinteraksi dengan
orang lain.
3.
Jujur dalam berjanji.
Dalam kehidupan masyarakat dan bangsa kita sekarang ini, kejujuran merupakan sesuatu yang amat diperlukan.
Terdapat banyak kes mahkamah di negara kita yang begitu lambat untuk diselesaikan bahkan tidak selesai-selesai kerana tidak adanya kejujuran.
Orang yang bersalah sukar untuk dinyatakan bersalah kerana belum dapat dibuktikan kesalahannya dan mencari pembuktian memerlukan waktu yang panjang, padahal kalau yang bersalah itu mengaku sahaja secara jujur bahwa dia bersalah, tentu segala permasalahan dapat diselesaikan dengan cepat. Sementara orang yang secara jujur mengaku tidak bersalah tidak perlu lagi untuk diselidiki apakah dia melakukan kesalahan atau tidak.
Tapi oleh kerana kejujuran itu tidak ada, yang berlaku adalah saling curiga mencurigai bahkan tuduh menuduh yang membuatkan segala persoalan semakin rumit. I
Ibadah puasa telah mendidik kita untuk bersikap jujur kepada hati nurani kita yang sihat dan tajam.
Apabila kejujuran ini tidak mewarnai kehidupan kita sebelas bulan yang akan datang, maka ‘tarbiyah’ dari ibadah Ramadhan kita sudah pasti akan menemui kegagalan, meskipun secara hukumnya ibadah puasa kita tetap sah.
KEEMPAT : MEMILIKI SEMANGAT BERJAMAAH
Kebersamaan kita dalam proses pengendalian diri membuatkan syaitan merasa sukar dalam menggoda manusia sehingga syaitan menjadi terbelenggu pada bulan Ramadhan.
Hal ini diperkuatkan lagi dengan semangat yang tinggi bagi kita dalam menunaikan solat lima waktu secara berjamaah sehingga di bulan Ramadhanlah, solat berjamaah yang paling banyak kita laksanakan, bahkan melaksanakannya juga di masjid atau surau.
Di samping itu, ibadah Ramadhan yang membuatkan kita dapat merasakan lapar dan dahaga, telah memberikan pelajaran kepada kita untuk memiliki keterikatan sosial kepada mereka yang menderita dan mengalami berbagai macam kesulitan. Begitu juga kita buktikan dengan zakat yang kita tunaikan.
Oleh kerana itu, semangat berjamaah kita sesudah Ramadhan ini semestinya menjadi sangat baik, apalagi kita menyedari bahwa kita tidak mungkin dapat hidup bersendirian walau sehebat manapun kekuatan dan potensi diri yang kita miliki, kita tetap memerlukan bantuan pihak lain.
Itulah pula sebabnya, dalam konteks perjuangan, Allah swt mencintai hamba-hambaNya yang berjuang secara berjamaah, yang saling kuat menguatkan sebagaimana firmanNya:
“Sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang berperang di jalanNya dalam satu barisan yang teratur, seakan-akan mereka seperti bangunan yang tersusun kukuh.” (QS Ash Shaf :4)
KELIMA : MELAKUKAN PENGENDALIAN DIRI
Kemampuan kita dalam mengendalikan diri dari perkara-perkara yang pokok seperti makan dan minum sudah semestinya membuatkan kita mampu mengendalikan diri dari perkara-perkara yang kurang pokok dan tidak perlu sama sekali.
Namun sayang, ramai orang yang telah dilatih untuk menahan makan dan minum yang sebenarnya perkara pokok, tapi tidak dapat menahan diri dari perkara-perkara yang tidak perlu, misalnya ada orang yang mengatakan :
“Saya lebih baik tidak makan daripada tidak merokok”
Padahal makan itu adalah perkara pokok dan merokok itu tidak perlu sama sekali.
Kemampuan kita mengendalikan diri dari perkara-perkara yang tidak benar menurut Allah dan RasulNya merupakan sesuatu yang amat mendesak kerana jika tidak, kehidupan ini akan berjalan seperti tanpa peraturan di mana :
a.
Tidak ada lagi halal dan haram.
b.
Tidak ada lagi hak dan bathil.
c.
Tidak ada lagi kesopanan dalam
berinteraksi sesama manusia.
di mana, selama mana manusia menginginkan sesuatu, perkara itu akan terus dilakukannya meskipun tidak benar, tidak selayaknya dan sebagainya.
Jika ini yang berlaku, apa bezanya kehidupan manusia dengan kehidupan binatang, bahkan kehidupan binatang masih lebih baik kerana mereka tidak diberi potensi akal.
Allah swt berfirman :
“Dan sesungguhnya Kami jadikan untuk isi neraka jahannam kebanyakannya dari jin dan manusia, mereka mempunyai hati, tetapi tidak dipergunakannya untuk memahami (ayat-ayat Allah) dan mereka mempunyai mata (tetapi) tidak dipergunakannya untuk melihat (tanda-tanda kekuasaan Allah), dan mereka mempunyai telinga (tapi) tidak dipergunakannya untuk mendengar (ayat-ayat Allah). Mereka itu seperti binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai.” (QS Al A’raf :179)
Oleh yang demikian, mestilah kita sedari bahwa Ramadhan adalah bulan pendidikan dan latihan.
Keberhasilan ibadah Ramadhan justeru tidak hanya terletak pada amaliyah Ramadhan yang kita kerjakan dengan baik, tapi yang lebih penting adalah bagaimana menunjukkan adanya peningkatan taqwa yang dimulai dari bulan Syawal hingga Ramadhan tahun yang akan datang.
Ya Allah, perbaikilah agama kami untuk kami, kerana ia merupakan benteng bagi urusan kami. Perbaikilah dunia kami untuk kami yang ia menjadi tempat hidup kami. Perbaikilah akhirat kami yang menjadi tempat kembali kami. Jadikanlah kehidupan ini sebagai tambahan bagi kami dalam setiap kebaikan dan jadikan kematian kami sebagai kebebasan bagi kami dari segala kejahatan.
Ameen Ya Rabbal Alameen
WAS