skip to main | skip to sidebar

Tinta Perjalanan

Pages

  • Home
 
  • RSS
  • Facebook
  • Twitter
  • Linkedin
  • Youtube
  • DheTemplate.com
  • Free Templates
  • Drop Menu 1
    • Child Menu 1.1
    • Child Menu 1.2
    • Child Menu 1.3
  • Drop Menu 2
    • Child Menu 2.1
    • Child Menu 2.2
    • Child Menu 2.3
  • Daily Update Templates

Ahlan Wasahlan


Perjalanan Menuju Allah.

Thursday, 1 August 2013

Rahsia Kekuatan Puasa

Ditulis Oleh WAS Pada 04:03 – 0 Komen Anda
 
Jika kita merenung ayat tentang kewajiban puasa, sesungguhnya ianya dimulakan dengan seruan kepada orang-orang yang beriman.

Di dalam Al Qur’an terdapat sekitar 90 ayat yang dimulai dengan panggilan atau seruan kepada orang-orang yang beriman dengan kalimat :

“Wahai orang-orang yang beriman”.

Ini merupakan suatu panggilan yang menunjukkan kecintaan dari Allah swt yang sangat mendalam sehingga mereka yang diseru merasakan getaran cinta dari Allah swt yang membuatnya :

a.       Mudah untuk menerima isi seruan.
b.      Bersedia melaksanakan tanggungjawab-tanggungjawab yang terkandung di dalamnya.

Ini pulalah yang kita terasa dalam perintah melaksanakan puasa Ramadhan sebagaimana firman Allah swt :

“Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana telah diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa.” (QS Al Baqarah :183)

Islam sebagai sebuah agama yang benar mesti diperjuangkan penegakan dan penyebarluasannya oleh kaum muslimin dengan segala akibatnya.

Sebagai seorang muslim yang sejati, kedatangan dan kehadiran Ramadhan yang mulia pada tahun ini merupakan sesuatu yang amat membahagiakan kita.

Betapa tidak, dengan menunaikan ibadah Ramadhan, amat banyak keuntungan yang akan kita perolehi, samada dalam kehidupan di dunia mahupun di akhirat kelak.

Di sinilah letaknya kepentingan bagi kita untuk membuka tabir rahsia kekuatan puasa sebagai salah satu bahagian terpenting dari ibadah Ramadhan.

Kaum muslimin perlu dipersiapkan kekuatan rohaninya untuk mampu memikul  tugas-tugas perjuangan yang berat itu.

Ibadah puasa Ramadhan  merupakan salah satu usaha untuk membentuk kekuatan umat muslimin agar mampu memikulnya.

Ada beberapa sasaran yang perlu dicapai oleh setiap mukmin yang menjalankan ibadah puasa Ramadhan, khususnya dalam konteks memikul amanah perjuangan menyebarkan dan menegakkan nilai-nilai kebenaran Islam yang menjadi kewajiban setiap muslim.

PERTAMA : MEMANTAPKAN AQIDAH YANG KUKUH

Tujuan utama puasa adalah mempersiapkan hati manusia untuk :

1.      Bertaqwa.
2.      Lebih merasa sensitif.
3.      Melembutkan hati.
4.      Merasa takut kepada Allah.

Taqwa membangkitkan kesedaran dalam hati sehingga ia mahu menunaikan kewajiban.

Taqwa juga menjaga hati seseorang sehingga ia tidak mahu merosakkan nilai-nilai ibadah puasa dengan maksiat meskipun hanya dengan getaran hati untuk berbuat maksiat.

Ketaqwaan kepada Allah swt merupakan bukti nyata dari kukuhnya aqidah seseorang dan oleh kerananyalah puasa ditaklifkan kepada siapa sahaja yang beriman kepada Allah swt agar keimanan itu dapat menjelma menjadi ketaqwaan yang sempurna.

Oleh yang demikian, taqwa menjadi puncak ketinggian rohani seorang muslim sehingga orang bertaqwalah yang berada pada tingkatan yang paling mulia di sisi Allah swt sebagaimana firman Allah swt :

“Sesungguhnya orang yang paling mulia di antara kamu di sisi Allah adalah yang paling bertaqwa di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal.” (QS Al Hujuraat :13)

Dalam konteks kehidupan masyarakat yang rosak, tujuan puasa ini menjadi sangat penting.

Kukuhnya iman menjadi modal utama bagi manusia untuk dapat memperbaiki akhlaknya dan dari iman yang kukuh di dalam hati akan terwujud manusia yang berakhlak mulia.

Oleh kerana itu, Sayyid Qutb dalam tafsir Fi Zilalil Qur’an menyatakan :

“Apabila berlaku kerusakan pada suatu generasi manusia, maka untuk memperbaikinya bukan dengan memperketatkan hukuman terhadap mereka melainkan dengan jalan memperbaiki pendidikan dan hati mereka serta menghidupkan rasa taqwa di dalam hati mereka.”

KEDUA : MENGUATKAN JIWA

Dalam pentas kehidupan, tidak sedikit kita dapati manusia yang didominasi oleh hawa nafsunya lalu manusia itu menurut apa sahaja yang menjadi keinginannya meskipun keinginan itu merupakan sesuatu yang bathil dan mengganggu serta merugikan orang lain.

Oleh yang demikian, di dalam Islam ada perintah untuk memerangi hawa nafsu dalam ertikata berusaha untuk dapat mengendalikannya, bukan membunuh nafsu yang membuatkan kita tidak mempunyai keinginan terhadap sesuatu yang bersifat duniawi.

Manakala dalam peperangan ini, apabila manusia mengalami kekalahan, malapetaka besar akan berlaku kerana manusia yang kalah dalam peperangan melawan hawa nafsu itu akan mengalihkan penuhanan dari kepada Allah swt sebagai Tuhan yang benar kepada hawa nafsu yang cenderung mengarahkan manusia kepada kesesatan.

Allah memerintahkan kita memperhatikan masalah ini dalam firmanNya :

“Maka pernahkah kamu melihat orang yang menjadikan hawa nafsunya sebagai tuhannya dan Allah membiarkannya sesat berdasarkan ilmuNya.” (QS Al Jaathiyah :23)

Dengan ibadah puasa, maka manusia akan berhasil mengendalikan hawa nafsunya yang membuatkan jiwanya menjadi kuat, bahkan dengan yang demikian, manusia akan memperolehi darjat yang tinggi seumpama malaikat yang suci dan ini akan membuatnya mampu mengetuk dan membuka pintu-pintu langit hingga segala doanya dikabulkan oleh Allah swt.

Rasulullah saw bersabda :

“Ada tiga golongan orang yang tidak ditolak doa mereka: orang yang berpuasa hingga berbuka, pemimpin yang adil dan doa orang yang dizalimi.” (HR Tirmizi)


KETIGA : MEMANTAPKAN HUBUNGAN DENGAN ALLAH

Salah satu nilai tarbiyah dari ibadah puasa adalah usaha untuk memantapkan hubungan dengan Allah swt.

Ini adalah kerana setiap muslim yang berpuasa mestilah melaksanakannya kerana Allah dan dilakukan dengan ketentuan-ketentuan yang datang dari Allah swt.

Sesuatu yang biasanya halal untuk dilakukan atau dinikmati, pada saat berpuasa, seorang muslim diharamkan oleh Allah swt dan ia tunduk sahaja kepada Pencipta meskipun ia boleh melakukannya atau memiliki sepenuhnya untuk dinikmati.

Ini menunjukkan hubungan yang baik dengan Allah swt yang terjelma dalam bentuk kepatuhan kepadaNya dan untuk itu, seorang muslim mampu mengendalikan dan mengatasi tuntutan dari dalam dirinya yang bersifat fizikal seperti makan, minum dan keperluan seksual.

Terjalinnya hubungan yang rapat dengan Allah swt merupakan modal yang sangat penting bagi manusia, bahkan tidak hanya untuk memikul amanah perjuangan tapi juga untuk mampu menjalani kehidupan di dunia ini dengan sebaik-baiknya.

Hubungan manusia yang jauh dengan Allah swt akan hanya menimbulkan pelbagai persoalan dan permasalahan dalam kehidupan ini, sedangkan masalah yang timbul tidak mampu diatasi.

Padahal apabila manusia merasa dekat dengan Allah dan ia merasa sentiasa diawasi oleh Allah swt, niscaya ia tidak berani menyimpang dari ketentuanNya dan apabila penyimpangan itu sudah berlaku, iapun cepat-cepat mengakui kesalahannya hingga memiliki kesediaan untuk menjalani hukuman akibat kesalahan yang dilakukannya, bukan dalam senario yang bertentangan di mana walaupun ia sudah salah tapi masih lagi merasa tidak bersalah dan mencari seribu dalih untuk menghindarkan diri dari hukuman dan berusaha untuk menutup kesalahan yang telah dilakukannya.

KEEMPAT : MENGENALI NILAI KENIKMATAN

Dalam hidup ini, sebenarnya sudah begitu banyak kenikmatan yang Allah berikan kepada manusia, namun ramai pula manusia yang tidak pandai mensyukurinya.

Dapat satu tidak terasa nikmat kerana menginginkan dua, dapat dua tidak terasa nikmat kerana menginginkan tiga dan begitulah seterusnya.

Padahal jika manusia mahu memperhatikan dan merenungkan, apa yang diperolehinya sebenarnya sudah sangat membanggakan kerana begitu ramai orang yang memperolehi sesuatu namun ianya tidak lebih banyak atau tidak lebih mudah dari apa yang kita perolehi.

Maka dengan puasa, manusia bukan hanya disuruh untuk memperhatikan dan merenungkan tentang kenikmatan yang sudah diperolehinya, tapi juga disuruh merasakan secara langsung betapa besar sebenarnya nikmat yang Allah berikan kepada kita.

Perkara ini sebenarnya dirasai kerana baru beberapa jam sahaja kita tidak makan dan minum, namun sudah benar-benar terasa penderitaan yang kita alami dan pada saat kita berbuka puasa, terasa betul besarnya nikmat dari Allah meskipun hanya berupa sebiji kurma atau seteguk air.

Di sinilah letak peri pentingnya ibadah puasa bagi mendidik kita untuk menyedari betapa tinggi nilai kenikmatan yang Allah berikan agar kita seterusnya menjadi orang yang pandai bersyukur dan tidak mengecilkan erti kenikmatan dari Allah meskipun dari segi jumlah memang sedikit dan kecil.

Rasa syukur memang akan membuatkan nikmat itu bertambah banyak, samada dari segi jumlah atau paling tidak dari segi rasanya.

Allah swt berfirman :

“Dan (ingatlah juga), tatkala Tuhanmu memaklumkan: “Sesungguhnya jika kamu bersyukur, pasti Kami akan menambah (nikmat) kepadamu, dan jika kamu mengingkari (nikmat-Ku), maka sesungguhnya azab-Ku sangat pedih.” (QS Ibrahim :7)

KELIMA : MEMANTAPKAN HUBUNGAN DENGAN SESAMA MUSLIM

Puasa Ramadhan adalah ibadah yang dilakukan oleh kaum muslimin secara serentak di seluruh dunia.

Kaum muslimin merasakan satu perkara yang sama, iaitu lapar dan dahaga dan sama-sama berjuang untuk mampu menahan dan mengendalikan diri dari melakukan sesuatu yang tidak dibenarkan oleh Allah swt meskipun peluang untuk itu sangat besar.

Nilai kebersamaan ini diharapkan mampu menghasilkan hubungan yang baik dengan sesama muslim.

Semangat kebersamaan merupakan modal yang sangat berharga bagi usaha perjuangan di jalan Allah swt, apalagi Dia amat mencintai orang yang berjuang secara bersama-sama dengan kerjasama yang baik.

Firman Allah swt :

“Sesungguhnya Allah mencintai orang-orang yang berperang dijalan-Nya dalam suatu barisan yang teratur seakan-akan mereka seperti suatu bangunan yang tersusun kukuh.”(QS As Shaff : 4)

Salah satu ladang dakwah dan perjuangan yang perlu mendapat perhatian besar dari seluruh komponen kaum muslimin adalah masjid-masjid yang sudah dibangunkan dengan bagus dan tersergam indah dengan pengeluaran dana yang besar, namun keadaan pemakmurannya belum begitu rancak berbanding dengan kemegahan fizikal bangunannya.

Untuk dapat memakmurkan masjid sehingga berfungsi sebagai pusat pembangunan masyarakat Islam, diperlukan kebersamaan antara sesama umat Islam, samada sebagai pengurus pentadbiran masjid ataupun ahli jamaah biasa.

Oleh itu, perlu terjalin kerjasama yang harmoni antara pengurus pentadbiran masjid dengan ahli jamaahnya, bahkan perlu terjalin pula kerjasama antara sebuah masjid dengan masjid yang lain, bukan hanya sesebuah masjid itu berjalan sendiri dengan segala persoalan yang dihadapinya.

KEENAM : MENGINGATI DAN MERASAKAN PENDERITAAN ORANG LAIN

Merasai lapar dan dahaga juga memberikan pengalaman kepada kita bagaimana beratnya penderitaan yang dirasai oleh orang lain.

Ini adalah kerana pengalaman lapar dan dahaga yang kita rasakan akan segera berakhir hanya dengan beberapa jam, sementara penderitaan orang lain entah bila akan berakhir.

Dari sini, semestinya puasa akan menumbuhkan dan memantapkan rasa kebersamaan kita kepada kaum muslimin lainnya yang mengalami penderitaan yang hingga kini masih belum dapat diatasi seperti penderitaan saudara-saudara kita di Palestin, Syria, Myanmar, Chechnya, Iraq dan lain-lain.

Oleh kerana itu, sebagai simbol dari rasa kebersamaan itu, sebelum Ramadhan berakhir, kita diwajibkan untuk menunaikan zakat agar dengan demikian setahap demi setahap kita dapat mengatasi permasaalahan-permasaalahan umat yang menderita.

Bahkan zakat itu tidak hanya bagi kepentingan orang yang miskin dan menderita, tapi juga bagi kita yang mengeluarkannya agar dengan demikian, hilang kekotoran jiwa kita yang berkaitan dengan harta seperti gila harta, kikir dan sebagainya.

Allah swt berfirman :

“Ambillah zakat dari sebahagian harta mereka, dengan zakat itu kamu membersihkan dan mensucikan mereka dan mendoalah untuk mereka. Sesungguhnya doa kamu itu (menjadi) ketenteraman jiwa bagi mereka. Dan Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” (QS At Taubah :103)

KETUJUH : MEMANTAPKAN JIWA KETABAHAN

Perjuangan dalam bidang apapun, ketabahan jiwa merupakan sesuatu yang sangat dituntut  pada diri para pejuang.

Demikian pula dengan perjuangan Islam dengan segala dimensinya yang luas. Namun kita perlu sedari bahwa ketabahan tidak muncul dengan sendirinya, bahkan setiap orang masing-masing perlu memperolehi kefahaman dan mendapatkan latihan bagi memiliki ketabahan.

Ibadah puasa adalah salah satu bentuk ibadah yang memberikan pendidikan dan latihan untuk memiliki ketabahan sehingga seorang muslim yang telah berpuasa semestinya menjadi orang yang memiliki daya tahan yang kuat dalam mempertahankan nilai-nilai kebenaran yang datang dari Allah swt meskipun dalam keadaan yang sukar seperti lapar dan dahaga.

Oleh kerana itu, ketika situasi menjadi begitu genting dalam perjuangan yang dilakukan oleh Rasulullah saw, khususnya sesudah wafatnya Khadijah ra, seorang isteri dan pendukung perjuangan serta wafat pula Abu Talib yang sering memberikan perlindungan kepada Nabi dari gangguan orang-orang kafir, maka Allah swt menegaskan kepada Nabi Muhammad saw untuk bertahan dan meneruskan perjuangan, walauapapun yang berlaku.

Ini adalah kerana, jika kita berbicara tentang kesukaran, generasi terdahulu juga mengalami kesukaran, bahkan kesukaran yang lebih berat lagi sehingga Nabi Muhammad saw diperintah bersama para sahabatnya agar jangan memiliki sikap atau perasaan yang berlebihan dalam ertikata merasa sangat sukar dalam perjuangan yang dilalui oleh mereka.

Allah swt berfirman :

“Maka tetaplah kamu pada jalan yang benar, sebagaimana diperintahkan kepadamu dan (juga) orang-orang yang bertaubat bersamamu dan janganlah kamu melampaui batas. Sesungguhnya Dia Maha Melihat apa yang kamu kerjakan.” (QS Hud :112)

Dengan yang demikian, ibadah Ramadhan pada tahun ini sepatutnya menjadi momentum yang sangat penting untuk memperbaiki keadaan peribadi, keluarga, masyarakat dan bangsa menuju ridha Allah swt.

Ramadhan sudahpun memasuki hari-hari sepuluh yang terakhir dan tidak lama lagi akan berakhir.

Rasanya belum banyak yang dapat kita lakukan untuk memaksimumkan bulan Ramadhan bagi peningkatan ketaqwaan kita, namun walauapapun, Ramadhan tetap akan berakhir dan kita berharap semoga Ramadhan yang akan datang dapat kita jumpai lagi dengan tekad untuk dapat  mengisinya dengan sesuatu yang lebih baik.

Kita juga berharap semoga dengan berakhirnya Ramadhan, kita akan kembali kepada fitrah atau kesucian diri kita masing-masing sebagaimana bayi yang baru dilahirkan iaitu dalam keadaan tidak berdosa dan memiliki tauhid yang mantap.

Allah swt memang telah menjanjikan sedemikian melalui sabda Rasul-Nya saw :

“Allah swt mewajibkan puasa Ramadhan dan aku mensunnahkan solat malam harinya. Barangsiapa berpuasa dan solat malam dengan mengharap pahala (keridhaan) Allah, maka dia keluar dari dosanya seperti bayi yang baru dilahirkan oleh ibunya.“ (HR Ahmad)

Apabila kita telah kembali kepada fitrah dalam ertikata terhapusnya dosa-dosa dan bersih tauhid kita dari segala bentuk kemusyrikan, maka kita termasuk orang-orang yang berjaya dalam menunaikan ibadah Ramadhan tahun ini.

Kejayaan ibadah Ramadhan dalam bentuk terhapusnya dosa-dosa merupakan sesuatu yang tidak dapat dilihat oleh pancaindera kita, namun kesan yang konkrit dan nyata yang menjadi kayu pengukur kejayaan ibadah Ramadhan dapat dinilai apabila kita mampu memenuhi sasaran-sasaran yang telah dihuraikan sebelum ini yang akan meningkatkan pengertian sebenar penghambaan kita kepada kepada Allah swt.

Ya Allah, jadikanlah puasa kami benar-benar memberi kekuatan untuk kami meningkatkan rasa penghambaan kami kepadaMu. Terimalah puasa kami dan amal-amal soleh kami di bulan Ramadhan ini sehingga ianya akan menjadi kegembiraan kami apabila bertemu denganMu di akhirat kelak.

Ameen Ya Rabbal Alameen
WAS



Labels: Ilmu Email This BlogThis! Share to X Share to Facebook

Leave a Reply

Newer Post Older Post
Subscribe to: Post Comments (Atom)

Yang Setia

Pautan

  • Muharikah
    Antara dua pilihan
    3 years ago
  • Angel Pakai Gucci!
    Doa Itu Bom Nuklear Bagi Orang Mu'min!
    5 years ago
  • Majalah Jom!
    Isu 45: ALAMAK, AKU SALAH PILIH! (EDISI ISTIMEWA)
    9 years ago
  • دعوتنا DAKWATUNA -dakwahkite-
    Di antara Kefahaman dan Pelaksanaan (Sudut Pandang Parti Kebebasan dan Keadilan FJP – Mesir)
    10 years ago
  • ZADUD-DUAT
    Wahai Ikhwah, Persaudaran adalah rahsia kekuatan anda
    11 years ago
  • Popular
  • Recent
  • Archives
 

Diri Ini

My photo
WAS
Blog ini memaparkan bahan-bahan bacaan dan artikel yang boleh meningkatkan ilmu dan kefahaman Islam anda..
View my complete profile

Blog Ini Menarik??

Yang Paling Digemari

  • Memohon Dari Al Jabbar
    Seringkali manusia terjebak oleh pemikirannya sendiri dan merasa mampu untuk merancang segala sesuatu. Padahal tidak ada kekuatan dalam d...
  • Tsabat Memenangkan Dakwah
    ‘ Tsabat ’ bermakna teguh pendirian dan tegar dalam menghadapi ujian serta mehnah di jalan kebenaran. Ia merupakan benteng bagi seorang ak...
  • Ciri-Ciri Khusus Dakwah
    Dakwah Islam memiliki beberapa ciri yang menggambarkan bagaimana Islam sebenarnya. Ia adalah dakwah yang juga mempunyai karakter dan sif...
  • Sifat Bolak Balik Hati
    Manusia dari masa ke semasa akan mengalami perubahan dan pergantian. Bermula dari seorang bayi, kemudian berkembang menjadi seorang anak ...
  • Tarbiyah, Satu-Satunya Jalan
    Tarbiyah adalah sebuah proses dalam projek kebangkitan umat dan pembangunan peradaban di mana ia memiliki satu sifat yang dikenali sebaga...

Arkib

  • ►  2017 (1)
    • ►  April (1)
  • ►  2016 (4)
    • ►  September (2)
    • ►  March (1)
    • ►  January (1)
  • ►  2015 (39)
    • ►  November (1)
    • ►  October (2)
    • ►  September (2)
    • ►  August (3)
    • ►  July (1)
    • ►  June (5)
    • ►  May (6)
    • ►  April (6)
    • ►  March (6)
    • ►  February (2)
    • ►  January (5)
  • ►  2014 (42)
    • ►  November (5)
    • ►  October (4)
    • ►  August (4)
    • ►  July (1)
    • ►  June (9)
    • ►  May (8)
    • ►  April (4)
    • ►  February (3)
    • ►  January (4)
  • ▼  2013 (72)
    • ►  December (1)
    • ►  November (5)
    • ►  October (4)
    • ►  September (5)
    • ▼  August (6)
      • Belajar Dari Musibah Mesir
      • Mehnah & Tribulasi Sunnah Allah
      • Tribulasi Di Mesir
      • Pertahankan Nilai Ramadhan
      • Tetap Bermunajat Di Mihrab
      • Rahsia Kekuatan Puasa
    • ►  July (5)
    • ►  June (7)
    • ►  May (5)
    • ►  April (7)
    • ►  March (7)
    • ►  February (9)
    • ►  January (11)
  • ►  2012 (163)
    • ►  December (8)
    • ►  November (9)
    • ►  October (9)
    • ►  September (9)
    • ►  August (6)
    • ►  July (12)
    • ►  June (9)
    • ►  May (15)
    • ►  April (16)
    • ►  March (18)
    • ►  February (24)
    • ►  January (28)
  • ►  2011 (93)
    • ►  December (24)
    • ►  November (69)

Susunan

  • Akhlak (6)
  • Aqidah (17)
  • Dakwah (73)
  • Fikrah (74)
  • Ilmu (38)
  • Motivasi (10)
  • Muslimah (3)
  • Mutiara Hikmah (12)
  • Mutiara Hikmah Para Duat (21)
  • Mutiara Hikmah Ramadhan (3)
  • Renungan (31)
  • Ruhiyah (8)
  • Tarbiatuna (5)
  • Tarbiyah (34)
  • Tausiyah (31)
  • Tokoh (8)
  • Uslub (11)
  • Video (29)

Panji Islam

Asmaaul Husna

Kalam Hikmah

Coretan Anda

Pengunjung

Free CountersFree CountersFree CountersFree CountersFree Counters

Detik Kehidupan

Hari Ini

Waktu Solat

Pelawat


widgets

Selamat Melayari

  • NEW POSTS
  • COMMENTS
  • flickr

    Get your Flickr ID!
 
 
© 2011 Tinta Perjalanan | Designs by Web2feel & Fab Themes

Bloggerized by DheTemplate.com - Main Blogger