skip to main | skip to sidebar

Tinta Perjalanan

Pages

  • Home
 
  • RSS
  • Facebook
  • Twitter
  • Linkedin
  • Youtube
  • DheTemplate.com
  • Free Templates
  • Drop Menu 1
    • Child Menu 1.1
    • Child Menu 1.2
    • Child Menu 1.3
  • Drop Menu 2
    • Child Menu 2.1
    • Child Menu 2.2
    • Child Menu 2.3
  • Daily Update Templates

Ahlan Wasahlan


Perjalanan Menuju Allah.

Tuesday, 6 May 2014

Dai'e Berstatus Mujahid

Ditulis Oleh WAS Pada 03:33 – 0 Komen Anda
 
Syeikh Muhammad Farghali adalah seorang da’ie, pejuang Islam yang tegas, tidak menonjolkan diri, tawadhu’ dan sangat benci terhadap musuh-musuh Islam dan talibarut-talibarutnya.

Nama lengkapnya adalah Muhammad Farghali, lahir di Ismailiyah, Mesir pada tahun 1326H / 1906 M. Beliau tumbuh dan dibesarkan dalam didikan Jamaah Al-Ikhwan Al-Muslimin yang dipimpin oleh Imam Hasan Al-Banna.

Pada tahun 1948, Imam Hasan Al-Banna mengumumkan jihad ke Palestin dalam rangka menyelamatkan tanah para nabi, kiblat umat Islam pertama serta tempat berdirinya Masjid Al-Aqsha, dari kaum penjajah.

Syeikh Farghali dan pasukan Al-Ikhwan Al-Muslimin yang berjumlah lebih dari 10,000 orang berhasil menerobos masuk ke wilayah Palestin untuk membantu saudara seiman mereka yang sedang berjuang melawan tentara Zionis Israel, walaupun pada saat itu pemerintahan Nuqrasyi dan tentera Inggeris memperketatkan pintu kawalan sempadan.

Di medan Jihad Palestin, Syeikh Farghali tidak hanya memberikan semangat dan motivasi perjuangan kepada pasukan mujahidin dari Jama’ah Al-Ikhwan Al-Muslimin, tetapi beliau juga :

1.     Memberikan contoh perjuangan penuh gigih.

2.     Melakukannya dengan sepenuh hati.

3.     Menetapkan niat ikhlas dalam rangka mencari ridha Allah.

4.     Mengharapkan mati di jalan-Nya.

PEMBIMBING DAN PENASIHAT IKHWAN

Beliau adalah seorang ‘Muwajjih’ (pembimbing) Ikhwan dalam wasilah-wasilah tarbiyah seperti usrah, katibah, mukhayyam dan rehlah. Sejumlah tokoh Ikhwan juga turut memberi arahan dan nasihat dalam berbagai wasilah tarbiyah tersebut yang di antaranya adalah : Al-Bahi Al-Khuli, Abdul Aziz Kamil, Muhammad Abdul Hamid Ahmad, Muhammad Al-Ghazali, Sayyid Sabiq dan lain-lain.

Sesiapapun yang berinteraksi dengan Syeikh Farghali akan melihat kewujudan dalam diri beliau berupa :


a.      Ketenangan dan kewibawaan.

b.     Kemuliaan seorang mu’min.

c.      Kefaqihan seorang mujahid.

Beliau biasanya berbicara dengan tenang di mana :


1.     Kalimatnya ringkas dan sederhana.

2.     Kata-katanya penuh makna dan mempunyai tujuan yang mendalam.

3.     Nasihatnya mengandungi kelembutan, kasih sayang dan kecintaan kepada Ikhwan.

4.     Beliau sangat percaya dan yakin pada apa yang ada di sisi Allah berupa kemenangan bagi agama ini dan untuk hamba-hamba-Nya yang soleh apabila mereka jujur dengan Allah Ta’ala serta mengikhlaskan niat untuk-Nya.

Syeikh Farghali memandang enteng terhadap apa sahaja perkara yang datang  dari musuh-musuh Allah samada Inggeris, Yahudi, para pendukung dan talibarut mereka. Beliau menganggap mereka sebagai hamba-hamba kebendaan, hawa nafsu, syahwat dan syubhat.

Beliau juga menegaskan bahwa Manhaj Tarbiyah Ikhwan adalah jaminan yang dapat :


a.      Membentuk seorang muslim yang benar kerana manhaj ini bersumber dari Kitabullah, Sunnah Rasulullah saw dan ijma’ para ulama’.

b.     Mempersiapkan generasi mu’min mujahid yang kelak akan menghadapi kaum kuffar dengan berbagai cara tanpa rasa takut atau khuatir.

Beliau juga menekankan bahwa medan dakwah pada hari ini menuntut mobilisasi ribuan pemuda mu’min dari seluruh penjuru dunia Islam agar dapat mengisi medan dakwah sekaligus menghadapi orang-orang yang melakukan kerusakan di muka bumi. Ketika mereka menemui negara umat Islam ini kosong dari pemuda-pemuda mu’min, maka realiti itu akan membuatkan mereka semakin sombong dan secara berleluasa melakukan kerusakan, menebar kebatilan dan malah suara mereka semakin tinggi dan kian berani terhadap agama Islam dan pemeluknya serta merendahkan umat ini dengan penuh keaiban dan kehinaan.

Semua itu berlaku kerana umat Islam dewasa ini berada :


1.     Di jurang kemunduran serta tidak memiliki kekuatan dan pedang kebenaran.

2.     Dalam cengkaman penguasa yang rata-rata adalah kaki tangan penjajah yang berpihak kepada musuh-musuh Islam.

Mereka itulah yang memberi maklumat dan sekaligus melancarkan perang terbuka terhadap para duat serta menghalang seruan kebenaran dan kebebasan, iaitu dakwah Islam yang agung yang telah diperbaharui urusannya di atas bumi Mesir oleh seorang tokoh mujaddid abad 14 hijriah, iaitu Imam Hasan Al-Banna.

PERIBADI CONTOH

Syeikh Muhammad Farghali adalah peribadi yang :

a.      Mempunyai iman yang mendalam.

b.     Memiliki keteguhan jiwa.

c.      Menampakkan tekad yang kuat.

d.     Berpenampilan zuhud.

e.      Lebih mengutamakan amal daripada berbicara.

f.      Mencintai seluruh manusia.

g.     Rela membantu sesiapa sahaja khususnya orang-orang yang lemah di antara mereka.

h.     Siap sedia berada di samping orang-orang lemah untuk mendapatkan hak-hak mereka, mengangkat kehinaan dan kezaliman yang menimpa mereka.

Syeikh Muhammad Farghali juga sentiasa menghalang para pelaku kezaliman yang berusaha untuk menindas orang-orang yang lemah serta menghadapi mereka dengan penuh kekuatan dan keteguhan. Itulah yang membuatkan mereka takut padanya dan menganggapnya memiliki kekuatan ribuan manusia. Bahkan hanya dengan menyebut namanya sahaja sudah cukup untuk menimbulkan rasa takut dalam diri pasukan Inggeris, Yahudi dan talibarut-talibarut mereka. Mereka bahkan menjanjikan hadiah yang besar bagi sesiapa pun yang sanggup menangkap dan menyerahkannya kepada mereka samada dalam keadaan hidup atau mati.

Teman-temannya di universiti ramai yang menceritakan tentang peribadi beliau yang unik ini, dai’e dan mujahid yang menjadi kecintaan dan kepercayaan Imam Hasan al-Banna disebabkan kekuatan kebergantungannya kepada Allah dalam menghadapi berbagai perkara dan peristiwa-peristiwa besar. Dia adalah sosok sahabat yang terbaik dalam setiap situasi dan keadaan.

Syeikh Farghali adalah bahagian penting dalam sejarah perjalanan gerakan Ikhwanul Muslimin  sejak berdirinya dan keterlibatan beliau di awal berdirinya Jamaah ini hingga Allah memuliakannya melalui syahadah di tangan Jamal Abdul Nasser.

Anggota jamaah Ikhwanul Muslimin dari kalangan para ‘syuyukh’ (orang lama) dan ‘syabab’ (pemuda) melihat pada diri lelaki ini dengan pandangan hormat, cinta dan kesetiaan kerana sifat-sifat kebaikan dan keperwiraan yang melekat pada dirinya.

Ceramah-ceramah yang ia sampaikan dalam program mukhayyam, katibah dan pertemuan usrah Ikhwan dapat merebut hati pendengarnya kerana mereka menemui kejujuran, kejelasan, kesederhanaan, kemanisan iman dan keikhlasan dalam ungkapan-ungkapannya.

Kalimat-kalimat yang diucapkannya keluar dari kedalaman relung hatinya dan merasuk ke dalam jiwa pendengarnya lalu :


1.     Berlakulah dialog antara ruh dengan ruh.

2.     Menggugah jiwa.

3.     Menggerakkan nurani.

4.     Menyeru untuk beramal secara serius dan bersungguh-sungguh di atas jalan Allah demi orang-orang yang lemah di muka bumi.

Beliau juga menjelaskan untuk seluruh Ikhwan bahwa musuh-musuh Islam dari kalangan Yahudi, Kristian dan para penjajah adalah orang-orang yang hina yang tidak akan mampu menghadapi semangat dan kekuatan tekad orang-orang yang beriman. Pengalaman ketika menghadapi mereka dalam perang Palestin membuktikan sifat penakut dan pengecut serta lemahnya kekuatan mereka. Mereka bahkan kabur lalu meninggalkan medan perang seumpama tikus yang sangat ketakutan di hadapan mujahidin Ikhwanul Muslimin. Seandainya bukan kerana konspirasi antarabangsa dan lemahnya sebahagian negara-negara Arab dan Islam, niscaya Palestin tidak akan jatuh di tangan mereka. Bukan itu sahaja, bahkan Inggeris, Perancis dan Amerika Syarikat tidak akan pernah mampu menjejakkan kewujudan  mereka di atas bumi Islam.

Ustaz Abbas As-Siisi berkata dalam bukunya “Fi Qafilatil Ikhwan”, bahwa :

 “Syeikh Muhammad Farghali adalah salah seorang dai’e Islam dan anak didik pertama Ikhwanul Muslimin. Beliau bekerja bersama Imam Syahid Hasan Al-Banna sejak memulakan dakwahnya di kota Ismailiyah. Imam Syahid lalu memilihnya dengan memberi beberapa tanggungjawab besar dan beliau pun menunaikan tugasnya dengan baik. Beliau sentiasa berbaik sangka kepada Allah dan bersiap siaga di tengah kota dengan melakukan penentangan walau berada dalam kepungan penjajah Inggeris. Namun beliau berhasil menjadikan bumi Mesir goncang di bawah tapak kaki mereka.”

Dalam bukunya “Muzakkiraat Ad-Dakwah Wa Ad-Da’iyah”, Imam Hasan al-Banna berkata tentang Syeikh Muhammad Farghali :

GERAKAN ISLAM DI JABASAT AL BALAH

Sejumlah buruh di Jabasat Al Balah berpeluang menemui para anggota Ikhwan Ismailiyah. Mereka sangat tertarik dengan Ikhwan. Mereka telah berazam hendak menyebarkan risalah Islam di kalangan buruh-buruh lain di Jabasat. Akhirnya, aku telah dijemput melawat Jabasat. Aku pun bertolak ke Jabasat dan melakukan bai’ah dengan mereka. Hal ini membawa perubahan kepada permikiran mereka. Tidak lama selepas itu, buruh-buruh yang menjadi anggota Ikhwan telah meminta Syarikat Terusan Suez membina sebuah masjid kerana terdapat lebih dari

300 buruh yang beragama Islam di situ. Syarikat Terusan Suez bersetuju dengan permintaan tersebut dan ia pun membina sebuah masjid untuk mereka.

Di samping itu, Syarikat Terusan Suez telah meminta Ikhwanul Muslimin dan menghantar

seorang ulama’ untuk menjadi imam dan mengajar Al Quran di masjid tersebut. Syeikh Muhammad Farghali telah dipilih untuk menjalankan tugas tadi. Ketika itu, dia sedang mengajar di Sekolah Islam Hira’ di Ismailiyah.

Syeikh Muhammad Farghali tiba di Jabasat Al Balah dan terus melaksanakan tugasnya di masjid tadi. Sebuah rumah berdekatan dengan masjid telah disediakan untuknya. Dia berjaya menarik buruh-buruh Islam di situ kepada ajaran dan amalan Islam. Dalam tempoh tidak sampai beberapa minggu, dia berjaya mengubah pemikiran mereka. Dia membuat mereka sedar betapa pentingnya hidup ini dan betapa perlunya mereka membebaskan diri mereka daripada penyakit rendah diri
(inferiority complex).

Kini mereka telah merasa diri mereka berharga kerana hati mereka telah dipenuhi tenaga iman serta mereka telah sedar bahwa mereka berkewajipan menegakkan kerajaan Allah di atas muka bumi. Buruh-buruh Islam ini begitu gigih berdakwah dan mengamalkan dasar-dasar Islam. Mereka sentiasa teringat hadith Rasulullah saw seperti berikut :

“Sesungguhnya Allah menyukai apabila salah seorang daripada kamu mengerjakan sesuatu amalan (hingga) ia menyempurnakannya.” (HR Baihaqi)

Buruh-buruh Islam tadi mengamalkan ajaran-ajaran Islam dengan tegas sekali. Mereka tidak pernah meminta sesuatu yang bukan hak mereka. Mereka menjauhkan diri dari sebarang godaan dan sifat tamak. Setiap buruh menghadapi pegawainya dengan rasa bangga tetapi dengan cara yang tertib. Percakapan mereka bersopan dan bersuara rendah. Mereka tidak kasar atau biadab. Mereka tidak mencela orang tetapi mereka tidak berdiam diri jika mereka dicela. Buruh-buruh tadi telah menjadi orang orang yang baik dan bermaruah melalui ikatan persaudaraan Islam (Ukhuwah Islamiyah).

Para pegawai Syarikat Terusan Suez tidak senang dengan keadaan ini. Mereka sedar jika keadaan ini dibiarkan berterusan, lambat laun Syeikh Farghali akan berupaya menguasai sepenuhnya buruh-buruh Islam tadi. Jika hal ini berlaku, pihak Syarikat tidak akan mampu menghadapi mereka.

PERTIKAIAN ANTARA SYEIKH FARGHALI DENGAN SYARIKAT TERUSAN SUEZ

Para pegawai Syarikat tersebut mengambil keputusan untuk memecat Syeikh Farghali. Seorang pegawai telah ditugaskan untuk pergi menemuinya. Pegawai tadi berkata kepada Syeikh Farghali:

“Pengarah memberitahu saya bahawa perkhidmatan awak tidak diperlukan lagi. Pihak Syarikat bercadang hendak melantik orang lain menggantikan tempat awak. Dia akan menjalani tugas sebagai imam solah berjamaah di masjid. Pengarah menyuruh saya menyampaikan gaji terakhir awak.”

 Dengan tenang Syeikh Farghali menjawab :

 “Encik Franso (Francoise), saya tidak tahu bahawa saya ini bekerja dengan Syarikat Terusan Suez. Kalau saya tahu, saya tidak akan menerima tugas ini. Saya adalah wakil Ikhwanul Muslimin Ismailiyah. Saya tidak akan menerima sebarang bayaran dari awak dan juga tidak akan berhenti bertugas di masjid walaupun kekerasan digunakan terhadap saya. Saya dilantik oleh ketua Ikhwanul Muslimin. Oleh itu, saya akan pergi jika ketua Ikhwanul Muslimin meminta saya berbuat demikian. Sepatutnya, awak pergi ke Ismailiyah dan berbincang perkara ini dengannya.”

Pegawai tadi kembali ke tempatnya selepas mendengar kata-kata Syeikh Farghali. Mereka menunggu kalau-kalau Syeikh Farghali datang meminta gajinya. Sebaliknya, beliau datang menemuiku di Ismailiah dan berbincang denganku mengenai perkara itu. Aku menasihatinya supaya bertegas dengan keputusannya dan jangan meninggalkan tempatnya dalam keadaan apa sekalipun. Aku memberitahunya supaya jangan berasa bimbang kerana tindakannya itu betul dan tidak mengambil apa-apa pun dari pihak Syarikat.

Berikutan itu, pihak pengurusan Syarikat itu akhirnya telah menghubungi Ibu pejabat mereka. Pengarah Syarikat tersebut pula kemudiannya menghubungi Gabenor Suez. Gabenor serta merta mengarah Inspektor Polis menghantar sepasukan polis ke Jabasat Al Balah untuk mengawal keadaan. Inspektor itu membawa sepasukan polis dan pergi ke pejabat Syarikat. Dia meminta Syeikh Farghali datang menemuinya di pejabat.

Waktu itu, Syeikh Farghali berada di masjid. Beliau memberi jawapan berikut kepada orang yang datang memanggilnya ke pejabat :

“Saya tidak ada urusan dengan Pengarah atau Inspektor Polis. Urusan saya ialah di masjid. Jika salah seorang dari mereka ingin berjumpa saya, biarlah dia datang ke sini.”

Akhirnya, Inspektor Polis itu datang menemuinya di masjid. Dia mendesak Syeikh Farghali supaya mematuhi arahan Pengarah Syarikat dengan meletakkan jawatannya dan kembali ke Ismailiah. Syeikh itu mengulangi jawapan yang pernah diberinya dahulu sambil menambah :

“Saya akan meninggalkan tempat ini jika awak membawa surat tamat perkhidmatan dari pejabat Ikhwan di Ismailiyah. Jika awak ingin menggunakan kekerasan terhadap saya, silakan. Saya tidak akan berganjak dari tempat ini walaupun seinci. Hanya mayat saya sahaja yang akan meninggalkan tempat ini.”

Berita ini sampai kepada buruh-buruh Syarikat tersebut seperti halilintar. Mereka melancarkan mogok, berbaris dan terus datang ke situ. Inspektor Polis tadi dapat merasakan bahaya yang kian mengancamnya. Dia cepat-cepat kembali ke Ismailiyah. Akhirnya dia menemuiku dan menyatakan kesediaannya untuk menyelesaikan perkara tersebut dengan baik. Aku memberitahunya bahwa aku tidak boleh berkata apa-apa lagi sehinggalah aku telah mengkaji perkara itu dengan teliti dan mengadakan mesyuarat dengan ahli ahli Jawatankuasa.

Sementara itu, aku telah pergi ke Kaherah dan menemui satu-satunya orang Mesir yang menjadi ahli Lembaga Pentadbir Syarikat Terusan Suez. Aku berbincang dengannya mengenai perkara itu tetapi dia menunjukkan sikap tidak mempedulikan langsung kebajikan buruh-buruh Syarikat tersebut. Pendapatnya menyebelahi Pengarah dan Syarikat tadi. Bahkan dia tidak ada perasaan cintakan negaranya sendiri.

Akhirnya aku menemui Pengarah Syarikat dan meminta dia memberitahu sebab Syeikh Farghali hendak dipecat. Dia tidak menyatakan apa-apa sebab. Dia hanya mahu orang yang sanggup mematuhi arahannya. Aku masih ingat kata katanya :

“Saya berkawan dengan ramai pemimpin Islam. Saya tinggal di Aljazaair (Algeria) selama dua puluh tahun. Namun begitu, saya belum pernah berjumpa dengan orang seperti Syeikh Farghali yang ingin menguasai kami seperti seorang Jeneral tentera.”

Aku bercakap dengannya dengan cara yang lembut dan berusaha sedaya upaya meyakinkan bahawa Syeikh Farghali tidak bersalah. Sebenarnya Syarikat ini berlaku zalim terhadap buruh-buruh Islam dan merampas hak-hak mereka yang sah. Mereka tidak dilayan seperti manusia. Syarikat mendapat keuntungan banyak tetapi membayar gaji yang sedikit kepada buruh-buruh mereka. Keadaan Syarikat ini perlu diperbaiki.

Akhirnya, pengarah tadi setuju menyambung perkhidmatan Syeikh Farghali selama dua bulan lagi. Selepas itu, pihak Syarikat minta dia berhenti. Pengarah itu juga meminta pihak Ikhwan menghantar seorang imam lain selepas Syeikh Farghali tamat. Dia sanggup membayar gaji dua kali ganda dan menyediakan rumah dan lain lain kemudahan untuk imam baru itu. Selepas tempoh dua bulan, Syeikh Farghali kembali ke Ismailiyah dan Syeikh Syafi’ie Ahmad dilantik menggantikan tempatnya. Semenjak itu, kegiatan di situ berjalan dengan aman dan jayanya.

 JIHAD DI PALESTIN

Syeikh Muhammad Farghali termasuk orang yang bersegera menyambut seruan jihad Palestin pada tahun 1948. Ia memasuki wilayah perang itu memimpin pasukan mujahidin Ikhwanul Muslimin.

Imam Hasan al-Banna telah memaklumkan bahwa pembebasan tanah Palestin yang dilakukan oleh Mujahidin Ikhwan lebih mudah daripada melalui pasukan pemerintah yang rata-rata berada di bawah kendalian penjajah asing. Walaupun pemerintahan An-Nuqrasyi mengawasi dengan sangat ketat sempadan untuk menghalang para Mujahidin Ikhwan menyusup masuk ke wilayah Palestin, dan walau pun penjajah Inggeris berhasil menutup seluruh sempadan Palestin agar tidak dapat ditembusi oleh para mujahidin Ikhwan, namun mereka berhasil menyusup dan menerobos setiap rintangan memasuki wilayah Palestin untuk membantu saudara-saudara mereka di sana.

Syeikh Muhammad Farghali adalah salah seorang pimpinan Ikhwanul Muslimin yang paling menonjol yang menyeru supaya diadakan latihan perang untuk saudara-saudara mereka di Palestin. Merekalah yang kemudiannya turut menyerang pos-pos Yahudi dan koloni-koloni mereka.

Salah sebuah kisah kepahlawanan Syeikh Farghali di Palestin adalah, ketika ia keluar bersama lapan orang Ikhwan Mujahidin ke belakang garis sempadan Yahudi. Mereka lalu menyusup masuk ke wilayah jajahan Yahudi sebelum fajar menjelang. Syeikh Muhammad Farghali naik ke tempat yang paling tinggi lalu mengumandangkan azan subuh. Mendengar berkumandangnya azan tersebut, pasukan Yahudi mengira bahwa Ikhwanul Muslimin telah menguasai wilayah mereka sejak malam hari sehingga mereka segera lari tunggang-langgang meninggalkan benteng pertahanan mereka.

Pagi keesokan harinya, Mujahidin Ikhwan lalu menyerahkan wilayah jajahan tersebut kepada pasukan Mesir tanpa perlu menggunakan senjata atau titisan darah. Seperti itulah keberanian Syeikh Muhammad Farghali. Ditambah lagi dengan ketakutan Yahudi terhadap pasukan Ikhwanul Muslimin.

Pada tahun 1951, pemerintahan Mesir menghapuskan perjanjian dengan Inggeris yang disepakati pada tahun 1936. Namun Inggeris memandang rendah pembatalan perjanjian itu. Syeikh Farghali bersama Ikhwan kembali memasuki medan perang dengan penuh semangat, ketulusan dan keberanian melawan musuh di atas pesisir Terusan Suez hingga membuatkan Perdana Menteri Inggeris ketika itu, Winston Churchill mengeluarkan kenyataan yang terkenal di London. Ia berkata :

“Ada satu elemen (unsur) baru yang sekarang turut terlibat dalam peperangan.”

Peperangan hebat terus berkecamuk antara sukarelawan Mesir dengan pasukan imperialis Inggeris di atas Terusan Suez, kem-kem At-Tal al-Kabir, di berek-berek pasukan Inggeris, di Port Sa’id, Ismailiyah dan Suez. Di sinilah darah para syuhada’ mengalir dan ruh mereka kembali ke hadrat Tuhannya.

Realiti ini membuatkan Inggeris semakin yakin bahwa mereka tidak mungkin berdiam diri lebih lama di hadapan elemen (unsur) baru yang terdiri dari sukarelawan Ikhwanul Muslimin.

Keberanian dan kepahlawanan yang terserlah pada diri Syeikh Muhammad Farghali sungguh menciptakan rasa takut dalam diri pasukan Inggeris sehingga mereka mengeluarkan kenyataan umum dengan hadiah sangat besar bagi sesiapa yang dapat menangkap Syeikh Farghali, samada hidup atau mati namun usaha mereka sia-sia belaka.

Dai’e yang sarat dengan pengalaman ini, Syeikh Muhammad Farghali adalah ketua Ikhwanul Muslimin di daerah Ismailiyah dan didukung oleh orang kanannya yang sentiasa membantunya, iaitu mujahid pemberani Yusuf Thal’at. Kedua orang inilah yang menjadi sumber ketakutan bagi kekuatan pasukan imperialis Inggeris di Terusan Suez.

ABDUL NASSER BERUSAHA MENCIPTAKAN FITNAH PERPECAHAN

Perkara ini dinyatakan oleh Ustaz Kamil Syarif di dalam bukunya, ‘Al-Muqawwamah As-Sirriyah fii Qanaat Suez’ (Perlawanan Rahsia di Terusan Suez) :

“Pertama kali aku mengenali Syeikh Muhammad Farghali pada hari di mana ia menemani Imam  Hasan al-Banna dalam perjalanannya di wilayah pertempuran di Palestin. Ketika itulah hubungan kami menjadi erat, apalagi ketika kami bekerja bersama-sama dalam perang Palestin dan pengetahuanku yang kian mendalam tentang dirinya membuatku semakin kagum padanya.”

Sudut kebaikan yang dimilikinya membuatkan kita perlu menghormati dan menghargainya, yang juga menjadi kunci keperibadiannya adalah :


a.      Kesucian diri dari dosa-dosa kecil.

b.     Kemurnian jiwa dari berbagai permusuhan.

c.      Kebersihan diri dari segala sesuatu yang mengandung aib.

Dia memiliki perhatian yang sangat besar pada reputasi dakwah dan sistemnya serta memiliki kecemburuan yang besar terhadap kewibawaan dan kehormatan dakwah.

Aku masih ingat, ketika aku bersama Syeikh Muhammad Farghali mewakili Ikhwan mengikuti pertemuan di pejabat Gabenor Abdul Nasser yang ketika itu menjawat jawatan sebagai menteri Luar Negeri dalam kabinet Muhammad Najib. Pertemuan itu juga dihadiri oleh sejumlah pegawai revolusi, antara lain adalah : Abdul Hakim Amir, Shalah Salim dan Husain Kamaluddin.

Para pegawai revolusi itu rupanya ingin mengadu domba antara Syeikh Farghali dengan Mursyid ‘Aam, Hasan Al-Hudhaibi dengan menyebutkan jihad Syeikh Farghali di Palestin, Terusan Suez dan Nil, berbanding peribadi Al-Hudhaibi.

Mendengar puji-pujian yang ditujukan kepadanya, Syeikh Farghali segera memutuskan pembicaraan mereka dan berkata dengan penuh marah :

“Kamu mesti mengetahui bahwa orang yang kamu bicarakan itu adalah pemimpin kami dan pimpinan jamaah ini sekaligus. Oleh kerana itu saya menganggap bahwa pembicaraan kamu ini adalah penghinaan terhadap jamaah seluruhnya dan kepada diriku secara khusus. Kalau cara kamu seperti ini, niscaya kamu tidak akan sampai pada tujuan yang dikehendaki sedikit pun.”

Kalimat itu sudah cukup untuk meyakinkan mereka bahwa mereka berada di hadapan sosok laki-laki yang berpendirian teguh dan memiliki peribadi yang kuat. Mereka akhirnya beralih pada pembicaraan yang lain.

KEPAHLAWANAN SEORANG FARGHALI

Syeikh Muhammad Farghali bukan dari jenis tokoh agama yang hanya bergantung pada formaliti sambil mencari kedudukan dan jawatan. Tapi dia adalah mujahid sejati. Cukup bagi kita saat ia rela meninggalkan pekerjaan dan keluarganya menuju Palestin bersama mujahidin Ikhwan. Manakala ketika perang Suez berkecamuk, sekali lagi ia rela tinggalkan keluarganya dan bergabung dengan para mujahidin.

Kamil Syarif meneruskan tulisannya dalam buku yang sama :

“Ketika Inggeris mulai membuat provokasi terhadap penduduk Terusan Suez dan melakukan kezaliman terhadap manusia, demonstrasi massa pun berlaku di seluruh daerah sehingga dirancang sebuah kongres besar di Ismailiyah yang dipimpin oleh Syeikh Muhammad Farghali yang memutuskan untuk melakukan penentangan dan penyerangan terhadap pasukan Inggeris dengan kekuatan yang mereka miliki. Menggelabah mereka di tempat persembunyian dan di pos-pos tentera mereka.”

Syeikh Farghali dalam kapasitinya sebagai ketua kongres, lalu membawa keputusan tersebut ke pejabat sekretariat Umum Ikhwanul Muslimin di Kaherah dan sekaligus memaklumkan kepada seluruh pegawai yang bekerja di Terusan Suez agar melakukan mogok umum. Begitu juga kepada para peniaga yang selama ini menyalurkan bahan makanan dan perbekalan untuk pasukan Inggeris agar menghentikan pengiriman barang-barang tersebut. Semuanya bersatu bersama mujahidin Ikhwanul Muslimin untuk melawan dan memerangi Inggeris.

Dalam peperangan tersebut, pasukan Mujahidin Ikhwan berhasil menewaskan tentera Inggeris dan melukai mereka dalam jumlah yang besar selain menghancurkan pos-pos tentera, jambatan-jambatan, kereta perisai dan kereta kebal. Serangan tersebut membuatkan pasukan Inggeris ketakutan dan mengumumkan keadaan darurat serta melarang para tenteranya keluar dari kediaman mereka setelah matahari tenggelam.

Kewibawaan mereka segera runtuh di hadapan rakyat Mesir sehingga anak-anak kecil pun melemparkan mereka dengan batu-batu. Sebahagian dari pasukan tentera Mesir mulai bersemangat dan bergabung bersama Ikhwan dengan melatih para pemuda cara menggunakan peralatan perang dan mengajarkan mereka strategi peperangan.

Ada beberapa kali pertemuan yang di antaranya berlangsung di rumah Syeikh Muhammad Farghali dan dihadiri sejumlah pegawai tentera Mesir dan pemimpin Ikhwanul Muslimin. Sementara Syeikh Farghali dan Yusuf Thal’at bersama beberapa orang sahabat mereka dianggap oleh Inggeris sebagai orang yang paling berbahaya. Kedua orang ini diawasi gerak-geri mereka oleh pihak cawangan khas dan mata-mata upahan Inggeris.

Majalah ‘Rauz Al-Yusuf’ menyiarkan sebuah wawancara panjang antara Syeikh Farghali dengan wartawan majalah tersebut dan menggambarkan Syeikh Farghali sebagai peribadi ‘misterius’ yang sangat diambil berat oleh Inggeris. Dalam wawancara dengan majalah tersebut, Syeikh Farghali berkata :
“Ikhwanul Muslimin tidak akan menghentikan penentangannya terhadap Inggeris sehingga seluruh kekuatan tentera Inggeris dihalau keluar dari bumi Mesir. Maka cara terbaik yang dapat dilakukan oleh Inggeris untuk melindungi tenteranya adalah mengeluarkan  mereka dari wilayah Terusan Suez.”

Itulah Syeikh Muhammad Farghali, sang pahlawan pemberani itu yang berhasil menggentarkan  orang-orang Yahudi dan Inggeris. Demikianlah sejarah perjalanan hidupnya yang wangi semerbak serta tercatat dengan tinta emas.

SYAHID YANG MENJADI CITA-CITANYA

Saksikan pula bagaimana Jamal Abdul Nasser yang dengan sukarela menyerahkan kepala Syeikh Muhammad Farghali ke tiang gantung untuk memenuhi dahaga majikannya; Yahudi, Inggeris, Amerika dan Rusia sebagai hadiah percuma bersama lima sahabatnya yang lain yang mereka hukum gantung pada tanggal 7 Disember 1954.

Namun di atas tiang gantung itu, kepala Syeikh Al-Mujahid, Muhammad Farghali tetap tegak, tersenyum dalam keberanian, gembira dengan iman, sambil mengulang-ulang ucapan para pendahulunya yang juga telah menuai syahadahnya :

“Dan aku bergegas kembali kepada-Mu, Tuhanku, agar Engkau ridha.”

Salah satu ucapannya yang terkenal adalah :

“Sesungguhnya aku sentiasa siap sedia menghadapi kematian, bahagia berjumpa dengan Allah Ta’ala”.

Benarlah firman Allah Azza wa Jalla :

“Di antara orang-orang mu’min itu ada orang-orang yang menepati apa yang telah mereka janjikan kepada Allah; maka di antara mereka ada yang gugur. Dan di antara mereka ada (pula) yang menunggu-nunggu dan mereka tidak merubah (janjinya).” (QS Al-Ahzab : 23)

Salah satu majalah Perancis ‘Bari Matish’, terbit pada tanggal 8 Disember 1954, menulis catatan peristiwa berikut ini :

“Pada jam 6 pagi kelmarin, 7 Disember 1954, bendera hitam dikibarkan di dalam penjara Kaherah, di mana para pesalah yang didakwa secara palsu akan dijatuhkan hukuman mati digiring ke tiang gantung dengan berkaki ayam dan baju hukuman mati berwarna merah. Hukuman gantung itu dijatuhkan kepada enam orang anggota Ikhwanul Muslimin, mereka adalah : Mahmud Abdul Lathif, Yusuf Thal’at, Hindawi Duwair, Ibrahim Ath-Thayyib, Muhammad Farghali dan Abdul Qadir Audah pada jam 8 pagi.

Mereka yang dijatuhkan hukuman gantung itu berjalan menuju tiang gantung dengan gagah berani seraya memuji Allah Ta’ala atas apa yang akan mereka perolehi berupa kemuliaan mati syahid. Syeikh Muhammad Farghali berkata :

“Aku sungguh siap sedia menjemput kematian, bahagia menyambut pertemuan dengan Allah Ta’ala.”

Seluruh negara-negara Arab dan Islam sangat marah dan murka mendengar hukuman tersebut. Negeri-negeri di Syam dan beberapa negara Arab mengumumkan sebagai hari berkabung atas kematian enam anggota Ikhwanul Muslimin.

Salah satu komentar yang berkait dengan hukuman gantung tersebut disampaikan oleh Ustaz Ali Thanthawi di Damsyik dan disebarluaskan oleh media massa Arab Islam. Beliau berkata :

 “Andai sahaja perkara ini milikku, niscaya aku tidak akan menjadikannya sebagai hari berkabung, tapi aku jadikan sebagai hari bahagia dan kegembiraan. Aku tidak menjadikannya sebagai tempat berkumpul orang yang berduka, tapi pesta pernikahan para syuhada’ dengan bidadari syurga. Aku juga tidak akan duduk bersama Ikhwan menerima ucapan dukacita dan belasungkawa, tapi ucapan selamat.

 1.     Adakah harapan lain bagi seorang Muslim selain mati syahid?

2.     Adakah ia meminta kebaikan selain ‘husnul khatimah’?

 
Sesungguhnya aku (dan Allah menjadi saksi atas apa yang aku ucapkan) sangat berharap kematianku berada di tangan orang yang zalim pendosa, lalu aku berjalan menuju syurga sebagai syahid dan pembunuhku berjalan menuju neraka. Aku perolehi kebahagiaan sebagai ganjaran bagiku, dan ia dapatkan penderitaan kerana ia timpakan siksaan bagiku.

Seperti itulah siksaan Allah dan bukan siksaanmu, wahai Jamal. Siksaan dari Yang Maha Penolong bagi para wali-Nya. Yang Maha Kuasa atas segala musuh-musuh-Nya.

Di hadapan-Nya kelak engkau akan berdiri tanpa seorang pun bersamamu. Tidak ada pasukan, tiada kereta kebal, senjata atau perbekalan bersamamu. Engkau akan digiring satu-persatu ke hadapan-Nya, agar Ia tanyakan kepadamu darah suci yang engkau tumpahkan itu :


a.     Tentang jiwa-jiwa suci mengapa engkau bunuh?

b.     Tentang wanita-wanita muslimah yang sentiasa taat dan sabar, mengapa engkau jadikan mereka sebagai janda?

c.      Tentang anak-anak yang tidak berdosa, mengapa engkau jadikan mereka sebagai yatim?

d.     Tentang jamaah duat yang menyeru kepada Allah Ta’ala, mengapa engkau jadikan mereka musuh yang mesti diperangi?

Jika engkau ingin membela diri, maka siapkanlah dari sekarang, agar engkau tunjukkan kelak di hadapan pengadilan Allah Yang Maha Perkasa. Yang tidak menghukum dengan hukuman gantung, tapi dengan kehidupan abadi di dalam neraka. Di mana hukuman gantung itu ribuan kali jauh lebih kecil daripada siksa di dalam neraka walau sedetik sahaja.

Hari di mana :
 

1.     Tidak bermanfaat lagi harta, anak-anak, kelompok, pembantu, pedang atau kekuasaan.

2.     Timbangan berganti dan ukuran penilaian berubah dan keutamaan itu milik yang utama, kepemimpinan untuk orang soleh.

3.     Darjat para raja akan turun dan kedudukan rakyat jelata dinaikkan.

4.     Penyeru akan berseru, “Milik siapakah kekuasaan hari ini?” Apakah kekuasaan hari itu milik para penzalim? Milik para gabenor? Apakah ia milik istana Backingham, Gedung Putih dan Kremlin? Tidak! Kekuasaan hari itu adalah milik Allah Azza wa Jalla Yang Maha Perkasa.

Apakah engkau akan temui jalan yang tidak membawamu ke Padang Mahsyar atau tempat yang tiada hisab untukmu?

Apakah engkau tahu ada penguasa lain tempat engkau kembali kelak?

Negeri Mesir telah diperintah oleh orang sebelum engkau, Faruq dan raja-raja Mamaluk. Dan sebelum mereka, negeri ini diperintah oleh Fir’aun dan Haman. Sekarang, di manakah kini Faruq, raja Mamaluk dan Fir’aun? 

Manakah gerangan orang yang telah berbuat zalim, melampaui batas dan berkata :

“Aku adalah tuhanmu yang maha tinggi?”

Mereka semua telah berada dalam rombongan malaikat maut, diiringi doa dan kutukan orang-orang yang teraniaya.”

Semoga Allah swt sentiasa mencurahkan rahmat-Nya kepada Asy-Syahid, Syeikh Muhammad Farghali bersama para syuhada’ yang dihukum gantung bersamanya dan orang-orang yang telah mendahului mereka.

“Di antara orang-orang mu’min itu ada orang-orang yang menepati apa yang telah mereka janjikan kepada Allah; maka di antara mereka ada yang gugur. Dan di antara mereka ada (pula) yang menunggu-nunggu dan mereka sedikit pun tidak merubah (janjinya).” (QS Al-Ahzab : 23)

“Dan orang-orang yang gugur pada jalan Allah, Allah tidak akan menyia-nyiakan amal mereka.” (QS Muhammad : 4)

Ya Allah, rahmatilah kami dan kumpulkan kami dengan mereka pada kedudukan yang benar, di sisi-Mu, Tuhan Yang Maha Perkasa. 

Ameen Ya Rabbal Alameen
WAS


Labels: Tokoh Email This BlogThis! Share to X Share to Facebook

Leave a Reply

Newer Post Older Post
Subscribe to: Post Comments (Atom)

Yang Setia

Pautan

  • Muharikah
    Antara dua pilihan
    3 years ago
  • Angel Pakai Gucci!
    Doa Itu Bom Nuklear Bagi Orang Mu'min!
    5 years ago
  • Majalah Jom!
    Isu 45: ALAMAK, AKU SALAH PILIH! (EDISI ISTIMEWA)
    9 years ago
  • دعوتنا DAKWATUNA -dakwahkite-
    Di antara Kefahaman dan Pelaksanaan (Sudut Pandang Parti Kebebasan dan Keadilan FJP – Mesir)
    10 years ago
  • ZADUD-DUAT
    Wahai Ikhwah, Persaudaran adalah rahsia kekuatan anda
    11 years ago
  • Popular
  • Recent
  • Archives
 

Diri Ini

My photo
WAS
Blog ini memaparkan bahan-bahan bacaan dan artikel yang boleh meningkatkan ilmu dan kefahaman Islam anda..
View my complete profile

Blog Ini Menarik??

Yang Paling Digemari

  • Tsabat Memenangkan Dakwah
    ‘ Tsabat ’ bermakna teguh pendirian dan tegar dalam menghadapi ujian serta mehnah di jalan kebenaran. Ia merupakan benteng bagi seorang ak...
  • Memohon Dari Al Jabbar
    Seringkali manusia terjebak oleh pemikirannya sendiri dan merasa mampu untuk merancang segala sesuatu. Padahal tidak ada kekuatan dalam d...
  • Apabila Hijab Terbuka
    Terbukanya hijab  (sekatan pembatas)  antara kita dengan Allah adalah sumber ketenangan dan kebahagiaan hidup. Ketika hijab telah terbuka, s...
  • Ciri-Ciri Khusus Dakwah
    Dakwah Islam memiliki beberapa ciri yang menggambarkan bagaimana Islam sebenarnya. Ia adalah dakwah yang juga mempunyai karakter dan sif...
  • Kepentingan Intima' Jamai'e
    Sebuah Jamaah yang berjuang untuk : 1.       Mengembalikan manusia pada penghambaan kepada Allah swt semata-mata. 2.       Mengemba...

Arkib

  • ►  2017 (1)
    • ►  April (1)
  • ►  2016 (4)
    • ►  September (2)
    • ►  March (1)
    • ►  January (1)
  • ►  2015 (39)
    • ►  November (1)
    • ►  October (2)
    • ►  September (2)
    • ►  August (3)
    • ►  July (1)
    • ►  June (5)
    • ►  May (6)
    • ►  April (6)
    • ►  March (6)
    • ►  February (2)
    • ►  January (5)
  • ▼  2014 (42)
    • ►  November (5)
    • ►  October (4)
    • ►  August (4)
    • ►  July (1)
    • ►  June (9)
    • ▼  May (8)
      • Mempersaudarakan Gerakan Islam
      • Nasyid Kebangkitan
      • Kuliah Isra' Mi'raj Hasan Al Banna
      • Rijal Yang Ditaati
      • Nasyid Petunjuk
      • Nasyid Permohonan
      • Dai'e Berstatus Mujahid
      • Tokoh Lembut Tapi Tegas
    • ►  April (4)
    • ►  February (3)
    • ►  January (4)
  • ►  2013 (72)
    • ►  December (1)
    • ►  November (5)
    • ►  October (4)
    • ►  September (5)
    • ►  August (6)
    • ►  July (5)
    • ►  June (7)
    • ►  May (5)
    • ►  April (7)
    • ►  March (7)
    • ►  February (9)
    • ►  January (11)
  • ►  2012 (163)
    • ►  December (8)
    • ►  November (9)
    • ►  October (9)
    • ►  September (9)
    • ►  August (6)
    • ►  July (12)
    • ►  June (9)
    • ►  May (15)
    • ►  April (16)
    • ►  March (18)
    • ►  February (24)
    • ►  January (28)
  • ►  2011 (93)
    • ►  December (24)
    • ►  November (69)

Susunan

  • Akhlak (6)
  • Aqidah (17)
  • Dakwah (73)
  • Fikrah (74)
  • Ilmu (38)
  • Motivasi (10)
  • Muslimah (3)
  • Mutiara Hikmah (12)
  • Mutiara Hikmah Para Duat (21)
  • Mutiara Hikmah Ramadhan (3)
  • Renungan (31)
  • Ruhiyah (8)
  • Tarbiatuna (5)
  • Tarbiyah (34)
  • Tausiyah (31)
  • Tokoh (8)
  • Uslub (11)
  • Video (29)

Panji Islam

Asmaaul Husna

Kalam Hikmah

Coretan Anda

Pengunjung

Detik Kehidupan

Hari Ini

Waktu Solat

Pelawat


widgets

Selamat Melayari

  • NEW POSTS
  • COMMENTS
  • flickr

    Get your Flickr ID!
 
 
© 2011 Tinta Perjalanan | Designs by Web2feel & Fab Themes

Bloggerized by DheTemplate.com - Main Blogger