skip to main | skip to sidebar

Tinta Perjalanan

Pages

  • Home
 
  • RSS
  • Facebook
  • Twitter
  • Linkedin
  • Youtube
  • DheTemplate.com
  • Free Templates
  • Drop Menu 1
    • Child Menu 1.1
    • Child Menu 1.2
    • Child Menu 1.3
  • Drop Menu 2
    • Child Menu 2.1
    • Child Menu 2.2
    • Child Menu 2.3
  • Daily Update Templates

Ahlan Wasahlan


Perjalanan Menuju Allah.

Monday, 10 November 2014

Membangun Pendakwah Berkualiti

Ditulis Oleh WAS Pada 18:50 – 0 Komen Anda
 
Dakwah adalah suatu usaha atau pekerjaan untuk menebarkan pesanan Islam kepada manusia secara lebih operasional di samping mengajak atau mendorong manusia kepada tujuan yang jelas takrifannya yang rumusannya dapat diambil dari Al-Qur’an dan As Sunnah atau dirumuskan oleh para pendakwah itu sendiri sesuai dengan ruang lingkup dakwahnya.

Dakwah biasanya ditujukan kepada manusia, sementara manusia pula bukanlah hanya terdiri dari mata dan telinga namun ia adalah makhluk yang boleh menerima dan boleh pula menolak sesuai dengan persepsinya terhadap dakwah yang diterima.

Sebagai pendakwah, sudah semestinya memiliki sifat dan keperibadian seperti yang dijelaskan oleh Rasulullah saw iaitu salah satunya adalah sifat kepimpinan dalam melakukan aktiviti atau proses dakwah.

Ini sesuai dengan sabda Nabi saw :

“Masing-masing kamu adalah penggembala, masing-masing kamu bertanggungjawab terhadap yang digembalakannya. Maka, pemimpin adalah penggembala yang bertanggungjawab di atas gembalaannya.”

Pendakwah adalah seorang pemimpin, maka sudah tentu aktivitinya tidak hanya terbatas pada usaha menyampaikan pesanan semata-mata, namun dia juga perlu meneliti terhadap penerusan dari kesan komunikasinya terhadap objek dakwahnya iaitu:


1.     Apakah pesanan-pesanan tersebut sudah cukup membangkitkan rangsangan / dorongan bagi objek dakwah untuk melakukan usaha tertentu sesuai dengan apa yang diharapkan.

2.     Ataukah objek dakwah tersebut tetap bersikap pasif dalam mendengar serta tidak mahu melaksanakannya.

Oleh kerana komunikasi yang disampaikan itu memerlukan tindakan lanjut iaitu suatu perkara yang sangat kurang diperhatikan oleh pendakwah, maka setiap pendakwah seharusnya mampu untuk mengidentifikasikan dirinya sebagai pemimpin dari sesebuah kelompok.

Membicarakan soal kepimpinan, beberapa perkara berikut perlu dimiliki oleh pendakwah yang juga merupakan faktor penunjang yang cukup penting untuk diperhatikan, iaitu di antaranya :

a.  Keperluan terhadap ilmu pengetahuan.
b.  Keperluan terhadap pengembangan diri.
c.  Keperluan untuk pembaikan.

Kehidupan manusia tidak dapat melepaskan diri dari rangsangan lingkungannya. Apalagi kehidupan moden dewasa ini memberikan rangsangan yang lebih banyak dan kompleks yang dihadapi oleh manusia sehingga kadangkala setiap manusia sentiasa dihadapkan kepada berbagai alternatif yang cukup menyulitkan dirinya dalam mengambil keputusan.

Dengan ilmu pengetahuan yang dimiliki oleh pendakwah sebagai pemimpin, maka berdasarkan asas-asas yang objektif, pendakwah akan turut membantu untuk mengarahkan bahkan ikut memecahkan persoalan yang dihadapi oleh objek dakwahnya khususnya dalam hal berlumba atau bersaing dengan rangsangan-rangsangan lingkungan yang mungkin kurang tepat dengan misi dakwah yang dibawa oleh pendakwah tersebut.

Pembinaan pendakwah yang berkualiti mestilah berasaskan empat faktor yang sangat penting iaitu:

PERTAMA : “AL IMAN Al AMIQ” (KEYAKINAN YANG MENDALAM)

Seorang pendakwah mestilah memiliki keyakinan yang kuat dan tertanam di dalam jiwanya bahwa Islamlah :

a.      Satu-satunya sistem yang mampu memenuhi keperluan manusia.

b.     Mampu memberikan kebahagiaan zahir dan batin samada di dunia dan lebih-lebih lagi di akhirat.

Allah swt telah mengingatkan Rasulullah saw dan umatnya :
"Berpegang teguhlah kamu dengan apa yang telah Aku wahyukan kepadamu (Al-Islam), sesungguhnya kamu berada di atas jalan yang lurus" (QS Az- Zukhruf : 43)

Para pendakwah mestilah memiliki keyakinan bahwa hanya dengan Islam sahajalah umat Islam akan mampu memimpin dunia dan menjadi guru peradaban dunia (Ustaziatul Alam).  Allah swt memang telah mempersiapkan umat Islam untuk itu.
"Kamu (umat Islam) adalah umat terbaik yang dipersiapkan untuk (memimpin) manusia, menyeru kepada yang ma'ruf, mencegah dari yang mungkar serta beriman kepada Allah." (QS Ali Imran : 110).

Selain itu, para pendakwah juga mesti meyakini bahwa Allah sentiasa bersama orang-orang yang membela agamaNya. Ia akan sentiasa membela dan menolong orang-orang yang berjuang di jalan dakwah dalam usaha menegakkan syariatNya di muka bumi.
"Sesungguhnya bumi ini milik Allah diwariskan kepada hamba-hamba-Nya yang dikehendaki-Nya dan kemenangan diberikan kepada orang-orang yang bertaqwa". (QS Al-'Araf : 128)

"Dan Allah pasti membela orang yang menolong-Nya. Dan Allah Maha Kuat lagi Maha Perkasa". (QS Al Hajj : 40)

KEDUA : “AL FAHMU AD DAQIQ” (KEFAHAMAN YANG TEPAT)

Hendaknya setiap pendakwah memahami Islam sebagai ‘minhajul hayah’ (manhaj kehidupan) dengan :

  1. Kefahaman yang benar (al fahmu as shahih).
  2. Kefahaman yang menyeluruh (al fahmu as syamil).
  3. Kefahaman yang utuh (al fahmu al kamil).

Imam Hasan Al Banna ketika mendefinisikan Islam di dalam ‘ushul isyrin’ (Usul 20) mengutarakan:

“Islam adalah sistem yang menyeluruh dan mencakupi seluruh aspek kehidupan. Islam adalah negara dan tanah air, pemerintahan dan umat serta akhlak dan kekuatan. la juga sekaligus kasih sayang dan keadilan, peradaban dan undang-undang, ilmu pengetahuan dan hukum, kekayaan alam, material dan kekayaan, jihad dan dakwah. Selain itu ia juga kekuatan pasukan dan pemikiran sebagaimana ia adalah aqidah yang murni dan ibadah yang benar, tidak kurang dan tidak lebih.”

Pendakwah yang memiliki kefahaman Islam yang benar akan terpelihara dari berbagai penyimpangan kerana sebab utama lahirnya penyimpangan dakwah adalah ‘inhiraf fikri’ (penyimpangan fikrah).

Penyimpangan fikrah adalah bersumber dari kefahaman yang salah samada ianya merupakan :

a.      Kefahaman yang keliru.

b.     Kefahaman yang bersifat ‘juz'ie’ (sebahagian).

Kefahaman Islam yang benar adalah yang merujuk kepada sumber aslinya iaitu Al Qur’an dan As Sunnah serta praktik amali salafussoleh.

KETIGA : “AT-TAKWIN AL-MATIN (PEMBINAAN YANG KUKUH)

Pendakwah dilahirkan oleh sebuah proses pembinaan yang meliputi berbagai aspek kehidupan iaitu :

  1. “Shibghah Fikriyah.” (Pembentukan fikrah).
  2. “Shibghah Ruhiyah” (Pembentukan mental & kerohanian).
  3. “Shibghah Harakiyah” (Pembentukan harakah).

Sehingga seorang pendakwah itu memiliki ketahanan pada tiga aspek ini dan mampu melakukan perubahan.

Oleh kerana tugas dakwah yang besar dan berat hanya dapat dipikul oleh para pendakwah yang kuat pula yakni mereka yang memiliki daya gerak, daya angkat dan daya pikul yang seimbang atau bahkan kalau boleh yang mampu melebihi tugas atau beban yang dipikulnya.

Jika seorang pendakwah tidak memiliki kekuatan fikrah, ruhiyah dan jismiyah serta harakiyah, maka tidak mungkin ia mampu melakukan perubahan dalam masyarakatnya.

Tugas besar hanya dapat dilaksanakan oleh orang besar dan amanah yang berat hanya dapat dipikul oleh orang yang kuat.

Maka umat yang penuh dengan masaalah hanya dapat diselamatkan oleh para pendakwah yang kukuh dan teguh.

Jalan dakwah :

1.     Tidak dihamparkan dengan permaidani merah.

2.     Tidak pula ditaburi oleh bunga mawar.

3.     Tidak pula disirami dengan haruman kasturi.

Sebaliknya jalan dakwah dipenuhi dengan :

a.      Duri dan ranjau-ranjau yang setiap saat mampu meledak.

b.     Jalan yang berliku-liku penuh dengan lencongan maut.

c.      Jurang-jurang yang curam dan menganga setiap masa.

Mengingati akan keadaan perjalanan dan medan dakwah yang begitu berat, maka diperlukan pendakwah-pendakwah yang tahan lasak dan pantang menyerah.

Imam Hasan Al Banna menegaskan :

“Yang menjadi perhatian utama Ikhwanul Muslimin adalah :

1.     ‘Tarbiyatun nufus’ (mendidik jiwa).

2.     ‘Tajdidul arwah’ (memperbaharui semangat).

3.     ‘Taqwiyatul akhlaq’ (memperkukuhkan akhlak).

4.     ‘Tanmiyatur rajulah as shahihah’ (mengembangkan kepahlawanan yang benar).

Aku meyakini bahwa unsur-unsur tersebut adalah asas kepada kebangkitan ummat. Oleh kerana itu, persiapkanlah dirimu dengan mantap untuk menjalani tarbiyah yang benar, pemilihan yang ketat dan ujilah dirimu dengan amal yang berat lagi sulit. Dan jauhkanlah dirimu dari syahwat, kebiasaan dan tradisi yang tidak baik.”

KEEMPAT : ‘TARBIYAH MUTAWAASHILAH’ (TARBIYAH YANG BERTERUSAN)

Proses tarbiyah dalam Islam tidak dibatasi oleh waktu, tempat dan keadaaan. Dengan kata lain, ia disebut sebagai ‘Tarbiyah Maddal Hayah’ (Tarbiyah seumur hidup).

Pendakwah yang berkualiti adalah mereka yang mengikuti proses tarbiyah secara :

a.     Intensif (murakazah).

b.     Komprehensif (mutakaamilah).

c.      Bertahap (mutadarrijah).

Pendakwah yang bermasaalah dalam proses tarbiyahnya hampir boleh dipastikan berpotensi pula menimbulkan masalah samada masalah itu bersifat peribadi, keluarga, sosial mahupun dakwah dan harakah.

Kegiatan tarbiyah bagi seorang pendakwah seeloknya bukan merupakan kegiatan sampingan atau aktiviti sekunder yang boleh diabaikan, ditunda atau diganti dengan kegiatan lain.

Sebaliknya aktiviti tarbiyah perlu menjadi kegiatan asasi yang mesti diutamakan berbanding kegiatan lain walaupun sibuk dengan kegiatan dakwah pengembangan atau aktiviti sosial yang lain.

Seorang pendakwah tidak boleh meninggalkan tarbiyah dengan alasan sedang sibuk dengan dakwah ‘sya'biah’ (dakwah dalam masyarakat), mencari nafkah, cuti tarbiyah kerana kuliah atau memang sekadar ingin beristirehat semata-mata.

Tarbiyah memang boleh dilakukan secara mandiri (tarbiyah zatiyah) atau secara kolektif (jamai’yah). Namun Tarbiyah zatiyah tidak akan dapat mengungguli Tarbiyah jamai’yah, kerana sehebat dan sepintar apapun seseorang itu, ia tidak dapat menilai dirinya sendiri secara objektif dan syaitan sangat suka pada orang yang menyendiri (infiradi) atau ‘single fighter’.

Rasulullah saw tidak pernah terputus dari bimbingan Allah sebagaimana ungkapan baginda :

"Adabbani Rabbi fa ahsani ta'dibi." (Rabbku telah mengajarkanku dan Ia adalah sebaik-baik pendidik yang mendidik dengan pengajaran yang baik).

Melalui malaikat Jibril as, Rasulullah saw sentiasa ditarbiyah oleh Allah swt. Demikian pula para sahabat di mana mereka tidak pernah terputus mendapatkan tarbiyah dari Rasulullah saw, meskipun mereka ditugaskan di tempat yang jauh. Mereka biasa melakukan komunikasi tarbiyah (ittishal tarbawi) ketika akan pergi melaksanakan tugas dakwah ataupun sesudahnya.

Apabila mereka baru sahaja pulang dari tugas dakwah, mereka segera menemui Rasulullah saw lebih dulu sebelum menemui sesiapapun. Memang sepatutnya seorang pendakwah perlu merasa resah dan gelisah jika tertinggal atau terkeluar dari kegiatan tarbiyah.

Di antara kesalahan yang serius yang boleh terjadi adalah apabila berlaku perluasan dakwah di berbagai lapisan masyarakat tanpa disokong dengan pertumbuhan pendakwah yang akan menangani tarbiyah orang-orang yang sudah berhasil direkrut.

Oleh kerana itu, perlu wujud pendakwah-pendakwah yang handal yang memfokuskan diri mereka secara intensif kepada usaha-usaha pembangunan semula generasi atau pertumbuhan pendakwah yang optimum.

Kita memang perlu berhati-hati terhadap kemungkinan penyimpangan harakah dakwah adalah apabila kita hanya memfokuskan diri pada usaha perekrutan besar-besaran, tetapi mengabaikan pembinaan ‘Qaidah Shulbah’ (batu asas pendakwah yang kukuh dan handal).

Harakah Islamiyah tidak boleh disibukkan hanya oleh dakwah jamahiriyah (pengembangan keluar) dan melupakan pengurusan dalaman serta usaha-usaha mempersiapkan pendakwah yang sentiasa bersedia dan mampu menghadapi cabaran.

FAKTOR KEJAYAAN PROSES TARBIYAH

Ada beberapa faktor yang membantu menjayakan proses tarbiyah, antaranya :

 

1.      Keyakinan sepenuhnya bahawa tarbiyah adalah satu-satunya wasilah yang paling berkesan untuk merubah masyarakat, melahirkan rijal dan seterusnya mencapai kejayaan. Melalui tarbiyahlah Rasulullah saw berjaya membentuk generasi rabbani sebagai contoh yang sukar ditandingi.

 

2.      Jalan tarbiyah adalah jalan yang jauh, jalan yang sukar dan jalan yang bertahap-tahap.  Sedikit sekali yang mampu mengharungi jalan ini, tapi ianya satu-satunya jalan untuk sampai kepada kejayaan.

 

3.     Hanya jalan tarbiyah yang mempunyai manhaj dan matlamat, lengkap dalam semua aspek dan jelas dari segi sumber, proses dan perancangannya.

 

4.     Tarbiyah mampu mewujudkan suasana masyarakat yang harmoni.  Suasana ini membantu setiap anggota masyarakat hidup secara Islam. Masyarakat dididik tentang cara memberi tunjuk ajar, cara bersimpati, memberi pertolongan dan sebagainya. Setiap anggota merasa sedikit dengan dirinya dan merasa banyak dengan sahabat. Dia merasa lemah bila bersendirian dan merasa kuat dengan berjamaah.

 

5.     Adanya pemimpin yang bersifat pendidik dengan fitrah yang Allah anugerahkan kepadanya. Pengetahuan dan pengalamannya menjadikan tarbiyah lahir daripada hati sanubari yang bersih dan ikhlas kerana Allah swt semata-mata. Setiap perkataan yang keluar dari hati akan masuk ke hati-hati yang lain tanpa sekatan. Perkataan yang hanya lahir dari lidah semata-mata tidak akan mampu melewati telinga pun. Pepatah ada menyatakan: "Orang yang tidak mempunyai sesuatu niscaya ia tidak akan dapat memberikan sesuatu."

 6.     Mempunyai murabbi-murabbi yang ikhlas, berwibawa dan beramanah mengikut jalan  pemimpin agong Nabi Muhammad saw.  Tidaklah dimaksudkan murabbi di sini mereka yang keluar dari pusat-pusat pengajian tinggi dalam bidang tarbiyah atau pendidikan dengan ijazah masters atau PhD.

Yang dimaksudkan dengan murabbi di sini ialah mereka yang mempunyai :

a.      Keimanan yang tinggi.

b.     Kerohanian yang kuat.

c.      Jiwa yang bersih.

d.     Kemahuan yang kental.

e.      Simpati yang luas.

f.      Kewibawaan yang memberi kesan kepada orang lain. 

Dia mungkin seorang jurutera atau seorang pegawai biasa atau seorang peniaga atau seorang buruh yang tidak ada kaitan dengan prinsip-prinsip atau sistem pendidikan.

7.     Menggunakan berbagai wasilah seperti kegiatan-kegiatan di dalam halaqah, daurah, rehlah, katibah dan lain-lain yang dijuruskan ke arah matlamat pembangunan insan muslim yang soleh dan sempurna.

PENGURUSAN DIRI PENDAKWAH
Seorang pendakwah perlu menjadikan segala sesuatu dalam dirinya, jasad dan jiwanya, diliputi perasaan ‘rabbaniyah’.

Hal ini hanya dapat dilakukan tatkala ia mampu menjadikan dirinya suci dari perkara-perkara yang diharamkan oleh Allah swt.
Yang pertama perlu dilakukannya adalah membebaskan tubuhnya dari berbagai macam makanan yang haram, samada haram itu kerana zatnya, haram kerana asalnya, tidak baik zatnya ataupun tidak baik asalnya.

Kemudian, ia perlu menjaga penciumannya, pendengarannya, fikirannya, pergaulannya dan penglihatannya dari perkara-perkara yang diharamkan Allah atau yang tidak berhak untuk dinikmatinya.

“Katakanlah kepada orang laki-laki yang beriman, ‘Hendaklah mereka menahan pandanganya, dan memelihara kemaluannya; yang demikian itu adalah lebih suci bagi mereka, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang mereka perbuat.’ Katakanlah kepada wanita yang beriman, ‘Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak dari padanya.’” (An Nur : 30-31)
Ia juga mesti menjauhi tempat-tempat yang dapat dan mudah mendatangkan maksiat, lebih-lebih lagi yang merupakan tempat maksiat.

Imam Hasan Al Banna berkata :

“Hendaklah engkau berjuang meningkatkan kapasitimu dengan sungguh-sungguh agar engkau dapat menerima tongkat kepimpinan. Hendaklah engkau menundukkan pandanganmu, menekan emosimu dan memotong habis selera-selera rendah dari jiwamu, bawalah ia hanya untuk menggapai yang halal dan baik, dan hijabkanlah ia dari yang haram, dalam keadaan bagaimana sekalipun.  Hendaklah engkau jauhi arak dan seluruh makanan atau minuman yang memabukkan sejauh-jauhnya. Hendaklah engkau menjauhkan diri dari pergaulan dengan orang yang jahat dan persahabatan dengan orang yang rusak, serta jauhilah tempat-tempat maksiat. Hendaklah engkau perangi tempat-tempat yang melalaikan; jangan sekali-kali mendekatinya, dan hendaklah engkau jauhi gaya hidup mewah dan bersantal-santai.”

Seterusnya, hendaklah ia banyak bertaubat untuk mensucikan dirinya dari berbagai khilaf, salah, dan dosa yang seringkali dilakukannya tanpa disedarinya.

“Katakanlah, ‘Wahai hamba-hamba-Ku yang malampaui batas terhadap diri mereka sendiri, janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya. Sesungguhnya Dia-lah Yang Maha Pengampun lagi Maha Penyayang.’” (QS Az Zumar : 53)

Hendaklah ia juga sentiasa menyertakan niat jihad dalam dirinya, bersedekah di jalan Allah, bersabar terhadap ujian yang menimpanya, berlaku jujur antara lidah, hati dan badannya, memerangi dorongan-dorongan nafsu dirinya dan tidak berlebihan dalam menggunakan yang mubah.

Rasulullah saw bersabda, “Barangsiapa mati (dalam keadaan) belum pernah berperang dan tidak pernah terdetik dalam benaknya keinginan berperang, maka ia mati dalam keadaan munafik.” (HR Muslim dan Abu Dawud)

“Dan bersegeralah kamu kepada ampunan dari Tuhanmu dan kepada syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertaqwa,  (iaitu) orang-orang yang menafkahkan (hartanya), baik di waktu lapang mahupun sempit, dan orang-orang yang menahan amarahnya dan memaafkan (kesalahan) orang. Allah menyukai orang-orang yang berbuat kebajikan.” (QS Ali Imran : 133-134)

“Maka janganlah kamu mengikuti hawa nafsu kerana ingin menyimpang dari kebenaran.” (QS An Nisaa’ : 135)

Seorang pendakwah hendaklah mampu mengurus urusannya, dari urusan peribadi, urusan keluarga, urusan pekerjaan, urusan masyarakat, urusan umat dan urusan dakwah.

Dalam mengurus urusan peribadinya, hendaklah pertama sekali ia mampu melaksanakan sepuluh fitrah (kesucian) bagi seorang muslim.

Dari Aisyah, ia berkata bahwa Rasulullah saw bersabda,

“Sepuluh perkara termasuk fitrah: memangkas misai, memelihara janggut, bersiwak (menyikat gigi), menghirup air ke hidung, menggunting kuku, mencuci lekuk-lekuk jari, mencabut bulu ketiak, mencukur bulu kemaluan, dan beristinja’.” Mush’ab bin Syaibah, salah seorang perawinya berkata, “Aku lupa yang ke sepuluh, mungkin berkumur.” (HR Muslim, At Tirmidzi, dan Ahmad)

Dalam riwayat Bukhari dan Muslim, terdapat tambahan, iaitu berkhitan.

Seorang pendakwah hendaklah juga berpakaian yang bersih, menutup aurat, rapi dan indah. Hal ini perlu untuk membangun citra pendakwah, citra dakwah dan citra Islam serta memberikan kesan yang mendalam kepada objek dakwah.

“Wahai anak Adam, sesungguhnya Kami telah menurunkan kepadamu pakaian untuk menutup auratmu dan pakaian indah untuk perhiasan. Dan pakaian taqwa itulah yang paling baik. Yang demikian itu adalah sebahagian dari tanda-tanda kekuasaan Allah, mudah-mudahan mereka selalu ingat.” (QS Al A’raaf : 26)

Pendakwah hendaklah juga mengurus berbagai perkara yang ada di sekitarnya, misalnya bahan sejarah, buku, dokumen dan idea-idea yang muncul dari ledakan fikirannya. Penting untuk ia menyusun, mengurus dan mencatatnya kerana sangat berkemungkinan pada suatu saat, idea kreatif tersebut perlu dikembangkan menjadi sesuatu yang bernilai.

Di dalam sesebuah organisasi, ia hendaklah juga memberitahu dan melaporkan berbagai masalah yang timbul serta kejadian-kejadian tertentu kepada pimpinannya. Hal ini adalah untuk memperbaiki dan memberikan jalan penyelesaian atau tanggapan secara cepat dan tepat terhadap sesuatu masalah atau kejadian tersebut. Jangan sampai di dalam sebuah organisasi, muncul permasalahan besar disebabkan tumpukan permasalahan kecil yang tidak dapat diselesaikan.

Ya Allah, jadikanlah kami pendakwah yang berkualiti yang mempunyai ciri-ciri kepimpinan dan kemahuan serta keahlian pengurusan di samping berpandangan jauh ke depan, bersikap dan bertindak secara bijaksana, berpengetahuan luas, bersikap dan bertindak dengan adil, berpendirian teguh, memiliki keyakinan bahwa misi perjuangan akan berhasil, berhati ikhlas, memiliki keadaan fizikal yang baik serta mampu berkomunikasi dengan berkesan.

Ameen Ya Rabbal Alameen

WAS

 
Labels: Fikrah Email This BlogThis! Share to X Share to Facebook

Leave a Reply

Newer Post Older Post
Subscribe to: Post Comments (Atom)

Yang Setia

Pautan

  • Muharikah
    Antara dua pilihan
    3 years ago
  • Angel Pakai Gucci!
    Doa Itu Bom Nuklear Bagi Orang Mu'min!
    5 years ago
  • Majalah Jom!
    Isu 45: ALAMAK, AKU SALAH PILIH! (EDISI ISTIMEWA)
    9 years ago
  • دعوتنا DAKWATUNA -dakwahkite-
    Di antara Kefahaman dan Pelaksanaan (Sudut Pandang Parti Kebebasan dan Keadilan FJP – Mesir)
    10 years ago
  • ZADUD-DUAT
    Wahai Ikhwah, Persaudaran adalah rahsia kekuatan anda
    11 years ago
  • Popular
  • Recent
  • Archives
 

Diri Ini

My photo
WAS
Blog ini memaparkan bahan-bahan bacaan dan artikel yang boleh meningkatkan ilmu dan kefahaman Islam anda..
View my complete profile

Blog Ini Menarik??

Yang Paling Digemari

  • Tsabat Memenangkan Dakwah
    ‘ Tsabat ’ bermakna teguh pendirian dan tegar dalam menghadapi ujian serta mehnah di jalan kebenaran. Ia merupakan benteng bagi seorang ak...
  • Memohon Dari Al Jabbar
    Seringkali manusia terjebak oleh pemikirannya sendiri dan merasa mampu untuk merancang segala sesuatu. Padahal tidak ada kekuatan dalam d...
  • Qudwah Di Jalan Dakwah
    Ustaz Mustafa Masyhur dilahirkan pada 15 September 1921 di Kampung Sa'din, dari kota Manya Al-Qamh, Mesir. Beliau terdidik di dalam s...
  • Sifat Bolak Balik Hati
    Manusia dari masa ke semasa akan mengalami perubahan dan pergantian. Bermula dari seorang bayi, kemudian berkembang menjadi seorang anak ...
  • Seni Menciptakan Manusia
    Gerakan dakwah adalah diumpamakan seperti para pendaki gunung. Apabila kita sudah sampai pada suatu ketinggian, jika kita melihat ke punc...

Arkib

  • ►  2017 (1)
    • ►  April (1)
  • ►  2016 (4)
    • ►  September (2)
    • ►  March (1)
    • ►  January (1)
  • ►  2015 (39)
    • ►  November (1)
    • ►  October (2)
    • ►  September (2)
    • ►  August (3)
    • ►  July (1)
    • ►  June (5)
    • ►  May (6)
    • ►  April (6)
    • ►  March (6)
    • ►  February (2)
    • ►  January (5)
  • ▼  2014 (42)
    • ▼  November (5)
      • Nasyid Pembebasan
      • Murabbi Penyelamat Umat
      • Mutiara Hikmah
      • Membangun Pendakwah Berkualiti
      • Kekuatan Para Pendakwah
    • ►  October (4)
    • ►  August (4)
    • ►  July (1)
    • ►  June (9)
    • ►  May (8)
    • ►  April (4)
    • ►  February (3)
    • ►  January (4)
  • ►  2013 (72)
    • ►  December (1)
    • ►  November (5)
    • ►  October (4)
    • ►  September (5)
    • ►  August (6)
    • ►  July (5)
    • ►  June (7)
    • ►  May (5)
    • ►  April (7)
    • ►  March (7)
    • ►  February (9)
    • ►  January (11)
  • ►  2012 (163)
    • ►  December (8)
    • ►  November (9)
    • ►  October (9)
    • ►  September (9)
    • ►  August (6)
    • ►  July (12)
    • ►  June (9)
    • ►  May (15)
    • ►  April (16)
    • ►  March (18)
    • ►  February (24)
    • ►  January (28)
  • ►  2011 (93)
    • ►  December (24)
    • ►  November (69)

Susunan

  • Akhlak (6)
  • Aqidah (17)
  • Dakwah (73)
  • Fikrah (74)
  • Ilmu (38)
  • Motivasi (10)
  • Muslimah (3)
  • Mutiara Hikmah (12)
  • Mutiara Hikmah Para Duat (21)
  • Mutiara Hikmah Ramadhan (3)
  • Renungan (31)
  • Ruhiyah (8)
  • Tarbiatuna (5)
  • Tarbiyah (34)
  • Tausiyah (31)
  • Tokoh (8)
  • Uslub (11)
  • Video (29)

Panji Islam

Asmaaul Husna

Kalam Hikmah

Coretan Anda

Pengunjung

Free CountersFree CountersFree CountersFree CountersFree Counters

Detik Kehidupan

Hari Ini

Waktu Solat

Pelawat


widgets

Selamat Melayari

  • NEW POSTS
  • COMMENTS
  • flickr

    Get your Flickr ID!
 
 
© 2011 Tinta Perjalanan | Designs by Web2feel & Fab Themes

Bloggerized by DheTemplate.com - Main Blogger