skip to main | skip to sidebar

Tinta Perjalanan

Pages

  • Home
 
  • RSS
  • Facebook
  • Twitter
  • Linkedin
  • Youtube
  • DheTemplate.com
  • Free Templates
  • Drop Menu 1
    • Child Menu 1.1
    • Child Menu 1.2
    • Child Menu 1.3
  • Drop Menu 2
    • Child Menu 2.1
    • Child Menu 2.2
    • Child Menu 2.3
  • Daily Update Templates

Ahlan Wasahlan


Perjalanan Menuju Allah.

Friday, 14 November 2014

Murabbi Penyelamat Umat

Ditulis Oleh WAS Pada 01:43 – 0 Komen Anda
 

Satu persoalan yang perlu dilontarkan ke dalam minda setiap aktivis dakwah yang berusaha untuk menjadi murabbi produktif yang akan menjadi penyelamat kepada umat ialah bagaimanakah profil murabbi yang sebenarnya?  

Apakah ia berperanan hanya sekadar mengisi bahan tanpa memberi kesan yang mendalam sepertimana yang sering kita temui di medan masyarakat? 

Ataukah murabbi menjadi sebuah ikon yang mengasyikkan, dirindui dan menjadi sebuah keperluan ruhaniyah buat para mutarabbi? 

Murabbi yang hakiki diharapkan akan menjadi lebih produktif dalam mengisi halaqahnya sehingga ianya benar-benar hidup dan dengan cara itulah seseorang akan menjadi murabbi produktif. 

Seorang murabbi tidak semestinya lebih cerdik dari orang lain, namun ia perlu lebih berdisiplin dari yang lain dan setiap diri kita lebih tahu di mana posisi kita dengan mengukur secara saksama  cara kita mengisi hari-hari kita di mana di sebalik kelemahan, ada anugerah untuk disyukuri.  

Ketika Abu Bakar As Shiddiq ra diangkat menjadi khalifah, beliau berkata : 

“Sesungguhnya aku telah menjadi pemimpin kamu, padahal aku bukanlah yang terbaik di antara kamu. Jika aku berbuat baik maka lindungilah aku dan jika aku salah maka luruskanlah aku…”

Marilah kita memulakan langkah amal ini dengan doa kerana ia :
 

1.     Pembuka amal.

2.     Pembuka pintu syurga.

3.     Tempat singgah yang terindah.

4.     Tarbiyah zatiah.

5.     Mendidik kecerdasan.

6.     Membangun jiwa.

7.     Mendisiplinkan kehidupan.

8.     Menjadi bekalan yang mahal.

9.     Merupakan kekuatan ruhiyah maknawiyah.

10.  Ruh tawakkal setelah membuat bekalan dan beramal dengan maksimum.

11.  Tenaga utama para murabbi.

12.  Keperluan, kemestian dan kerinduan.
 

Firman Allah swt : 
 
“…Jika kamu telah berazam maka bertawakkallah kepada Allah.” 

Kita perlu memiliki azam kerana ada ratusan hati dan jutaan jiwa yang benar-benar merindui tertegaknya  kembali nilai-nilai Islam di persada dunia. 

Azam itulah yang menjadi tenaga bagi fikiran untuk melahirkan kekuatan serta menjadi tindakan. 

Azam dan tawakkal sentiasa berganding bahu kerana keduanya adalah merupakan suatu tekad di mana salah satunya berakar di bumi dan yang satu lagi bersambung terus ke langit. 

Kenapa Allah swt menggunakan perkataan azam dalam ayat di atas? 

Ini adalah kerana semua realiti pada awalnya bermula di alam fikiran yang terlintas dan kemudiannya menjadi suatu tindakan untuk diwujudkan. 

Jika kemenangan itu sudah wujud dalam hati dan fikiran maka ia akan mudah untuk diwujudkan dalam alam nyata.

Di sinilah peranan doa menjadi sangat penting di mana doa boleh membuatkan kekuatan yang tidak seberapa menjadi sesuatu yang dahsyat serta luar biasa kerana ianya bersandarkan kepada Yang Maha Perkasa. 

Doa adalah permulaan sebuah amal. Kejayaan adalah buahnya. 

Ketika seorang petani menanam suatu tanaman, tugasnya hanyalah berusaha kuat lalu bersandar kepada Allah kerana harapan kepada Allah itulah yang membuahkan kesungguhan. 

Tugasnya bukanlah untuk menghasilkan sesuatu kerana soal hasil adalah di dalam wilayah kekuasaan Allah. 

Setiap titisan keringat adalah kerja kuat sebagai tanda kesyukuran di atas nikmat yang dianugerahkan. 

“Bekerjalah, wahai keluarga Daud untuk bersyukur (kepada Allah). Dan sedikit sekali dari hamba-hambaKu yang berterima kasih.” (QS As Saba’ : 13)  

Dunia yang sama-sama kita melaluinya sekarang adalah medan amal seorang murabbi.
 

a.      Waktu malam untuk ibadah.

b.     Perjalanan di siang hari untuk membaca ayat kauniyah.

c.      Jaulah dakwah adalah untuk menyebar fikrah.

d.     Berorganisasi bagi mewarnai dunia.
 

Murabbi yang hakiki pada asasnya :
 

1.     Lahir dari sebuah keterbatasan.

2.     Ditempa oleh kesulitan dan kesusahan.

3.     Digembeling oleh kemerosotan suasana.

4.     Didewasakan oleh permasalahan.
 

Kadang-kadang ia gagal membina, namun ia terus introspeksi ke dalam diri untuk mencari cara yang paling tepat.  

Kadang-kadang ia gagal dalam mentarbiyah dengan tepat, namun hatinya tidak pernah sepi bahkan menjadikan dirinya lebih teliti.  

Kadang-kadang ia gagal dalam merekrut ahli baru, namun itu tidak menyebabkan ia merungut. 

Kadang-kadang ia gagal dalam bidang perniagaan yang diceburinya namun ia tetap optimis dan tersenyum manis.  

Menjadi murabbi bererti berusaha untuk :
 

a.      Menjadi generasi rabbani celupan Al Qur’an.

b.     Menjadi orang yang belajar di saat ia mengajarkan orang.

c.      Menambah ilmu di saat ia menyampaikan dakwah.

d.     Mendidik diri di saat ia menasihatkan mutarabbinya kerana telinga kita lebih dekat mendengar kata-kata kita daripada orang lain. 

e.      Menerima aliran pahala yang terus-menerus meskipun kita sudah meninggal dunia akhirnya. 
 

Di antaranya adalah khabar gembira dari Nabi saw dalam sabda baginda : 

“Barangsiapa yang mengajarkan kebaikan, ia akan mendapatkan pahala, selama mana orang yang diajarkan mengamalkan ajarannya.” 

Murabbi adalah :
 

1.     Guru yang dicintai.

2.     Keteladanannya menjadi cermin.

3.     Kehadirannya dirindui.

4.     Senyumannya didambakan.

5.     Nasihatnya dinanti-nantikan.

6.     Sentuhan ruhiyahnya menjadi kekuatan.

7.     Peribadi yang menyentuh hati tanpa menyuruh.

8.     Tempat bersandar umat dari keletihan dan kelemahan.

9.     Teman tempat melepaskan rasa hati yang tepat dan aman.

10.  Oasis yang segar dan menyegarkan orang lain.
 

Murabbi memang kaya dengan perasaan rabbaniyah yang tidak pernah membosankan para mutarabbinya sehingga mutarabbi merasa senang dan asyik untuk mengikuti setiap bahan-bahan yang disampaikan oleh murabbi di dalam halaqahnya.  

JALAN KE SYURGA 

Sebagaimana kita faham bahwa dalam setiap aktiviti yang kita lakukan, visi dan obsesi hendaklah sentiasa wujud dalam pemikiran kita agar apa yang kita lakukan menjadi terarah dan jelas tujuannya. Begitu jugalah keadaan seorang murabbi.  

Pernah suatu ketika seorang murabbi ditanya oleh mutarabbinya : 

“Akhi, kita sudah lama berjuang namun kegagalan sentiasa mengiringi kita. Ketika riak-riak kemenangan menjelma, kita tidak pula dapat menikmatinya. Lalu bilakah kita akan mengecapi kebahagiaan itu?” 

Murabbinya dengan tenang menjawab : 

“Saudaraku, kita mendapat kebahagian ketika kita penat dan letih semasa bekerja, iaitu di tengah-tengah kesulitan dan kesusahan atau di tengah-tengah aktiviti yang kita laksanakan semata-mata untuk memberikan manfaat kepada orang lain. 

Di situlah kita menikmati dan mensyukurinya serta merasakan kebahagiaan yang sebenarnya. Jika kita nak menunggu di saat kita mendapat hasil dari usaha dan aktiviti kita, baru nak merasakan kebahagiaan, maka itu terlalu lama.” 

Bagi seorang murabbi :
 

a.      Dengan ilmu, dakwah menjadi lebih mudah.

b.     Dengan semangat, dakwah menjadi lebih menggugah.

c.      Dengan seni, dakwah menjadi lebih indah.

d.     Dengan tarbiyah, dakwah menjadi lebih terarah.

e.      Dengan ukhuwah, aktivis dakwah menjadi lebih bertenaga.
 

Allah swt hanya akan memberikan balasan kepada orang-orang yang beramal melalui firmanNya “Jazaa’an bimaa kaanuu ya’maluun” (balasan sesuai dengan apa yang kamu kerjakan) dan bukan “Jazaa’an bimaa kaanuu ya’lamuun”  (memberikan balasan dengan apa yang kamu ketahui).  

Peranan utama Murabbi bukan sekadar memberi pengisian semata-mata tetapi ia adalah :
 

1.     Guru yang dirindui.

2.     Pembina semangat yang tidak pernah jemu.

3.     Komandan yang menjadi teladan dan paling ke depan dalam kebaikan.

4.     Sahabat yang mempunyai hubungan erat.

5.     Tempat curhat yang tepat bagi mutarabbi.

6.     Ayah atau ibu yang memahami perasaan anaknya serta tidak suka mencela.

7.     Teman yang paling dipercayai dalam perjalanan.
 

Murabbi mestilah sentiasa berfikir untuk memberi motivasi dalam mengisi agenda halaqah agar setiap cara dan langkah mengisi bahan yang dilakukannya menjadi lebih bermakna sehingga  halaqah yang dibawanya akan menjadi lebih hidup. 

Setiap amal kebaikan walau sekecil manapun pasti ada balasannya. Oleh yang demikian, apa yang berlaku di dalam sebuah halaqah seperti :
 

1.     Pertemuan yang ikhlas.

2.     Perhatian yang diberikan.

3.     Perkataan yang diucapkan.

4.     Perbuatan baik yang direalisasikan.

5.     Pergaulan yang syar’ie.

6.     Pertanyaan yang memberi inspirasi dari murabbi ke mutarabbi.
 

Semua perkara tersebut, jika di amalkan maka pahala dari Allahlah ganjarannya dan setiap pahala pasti dibalas dengan syurgaNya. 

Kita menjadi bahagia kerana kitalah yang menciptakan kebahagiaan itu di hati kita tanpa menunggu faktor luaran atau orang-orang yang di luar kita.  

Kita bahagia kerana meyakini di sisi Allah ada balasan yang terindah berupa syurga. 
 

a.      Syurga di dunia ini berupa majlis tarbiyah yang penuh hikmah. 

b.     Syurga di akhirat nanti dengan bidadari yang istimewa untuk kita masing-masing.
 

Yakinlah wahai para murabbi, bahwa bidadari tersebut belum pernah disentuh oleh sesiapa pun yang hanya dipersiapkan untuk para murabbi.  

Adapun para murabbiyah hendaklah meyakini bahwa merekalah komandan kepada para bidadari tersebut sebagaimana seorang muslimah yang menjadi komandan atau ratu rumahtangga yang mencipta kebahagiaan dalam setiap langkahnya bagi memberi inspirasi kepada suami untuk bersinergi dalam urusan tarbiyah.  

Untuk menjadi seorang murabbi yang produktif bukanlah sesuatu yang sukar jika kita mahu belajar dengan tekun dan sabar dalam tarbiyah ini. 

Murabbi, dalam tugas utamanya sebagai wasilah kepada ‘islahun nafs’ (pembaikan jiwa) akan beriringan dengan statusnya sebagai anggota  organisasi dakwah yang mempunyai amanah dakwah dan perekrutan di samping tugas penutup iaitu memastikan bahwa objek dakwahnya akan bersedia untuk memilih haluan perjuangannya bukan dengan satu cara, tapi menjelaskan dengan berbagai cara dalam mengaplikasikan konsep ‘al fahmu’ iaitu bergerak di atas dasar kefahaman. 

Manakala mutarabbi pula, dalam peranannya sebagai seorang murid yang sedang menuntut ilmu, lama kelamaan dia akan sedar bahwa ternyata madrasah tempat dia mengaji adalah salah sebuah organisasi dakwah yang berusaha untuk mewujudkan tujuh ‘maratibul amal’ (peringkat amal). Samada murabbi atau mutarabbi sama-sama akan menghadapi ujian yang sama beratnya.  

Bagi seorang murabbi, tidaklah boleh dia hanya mengutamakan peranannya sebagai aktivis  sebuah organisasi yang hanya membahas dan memenangkan organisasi dengan segala wasilahnya.  

Yang lebih penting baginya adalah mengawal proses ‘maratibul amal’ tersebut bagi mewujudkan kemenangan Islam yang akan tegak kembali di muka bumi di mulai dari perbaikan diri, sehingga sampai kepada yang terakhir sebagai tujuan yang asas, iaitu ‘ustadziyatul alam’, (wujudnya Islam sebagai tiang seri kepada peradaban). 

Bagi seorang murabbi, melihat binaannya (mutarabbi) tumbuh berkembang sangat-sangat berharga baginya lebih-lebih lagi apabila melihat mereka melakukan transformasi :
 

1.     Dari kerosakan akhlak menjadi soleh yang teristimewa.

2.     Dari malas tilawah sehingga mempunyai sasaran 1 juz satu hari.

3.     Dari yang selalu bersentuhan kulit dengan lawan jenis menjadi seorang yang begitu menjaga diri.
 

Kita perlu kembali semula kepada ‘ashalah’ dakwah iaitu tujuan asal di mana dakwah ini bermula dan dikembangkan oleh para perintis dakwah ini. 

Oleh yang demikian, doktrin bagi murabbi ketika membina adalah :  

“Al Islam Qabla Al Jamaah”. (Islam sebelum mengenal jamaah) 

Maknanya kita perlu memahamkan seseorang kepada Islam dahulu baru mengenalkan dia kepada jamaah. Ini tidak cukup hanya dengan sehari atau dua hari, sebulan atau dua bulan, bahkan  ia memerlukan waktu bertahun-tahun untuk mengawal misi besar ini.  

Maka, oleh kerana itu, murabbi adalah ‘makhluk ajaib’ yang kena lebih ‘qawi’ (kuat) dan lebih panjang kesabarannya berbanding aktivis dakwah lain. 

Setelah mulai tertanam tentang konsep keislamannya, baru kemudiannya perlahan-lahan diperkenalkan dengan kewujudan organisasi. Setelah itu, pasti akan ada banyak persoalan dan penerimaan dan ini janganlah mempengaruhi proses halaqah yang sudah berjalan. Teruslah melangkah sebagaimana sebelumnya. 

Bagi seorang mutarabbi, dia mesti tetap ikhlas dan tidak perlu berhenti belajar hanya kerana tidak benar-benar mengenali organisasi. Biasanya, ketidakmampuan seorang mutarabbi dalam memahami konsep ini (Al Islam Qabla Al Jamaah) akan menjadikannya berfikir berulang kali samada untuk datang atau tidak ke pertemuan yang seterusnya.  

Lantas, selama ini sebenarnya :
 

a.      Apa tujuannya kita datang ke halaqah?

b.     Adakah kita dipaksa untuk ikut memilih dan masuk ke dalam organisasi tersebut?

c.      Bukankah kita justeru sudah begitu banyak mendapatkan kemanfaatan?
 

Murabbi dan Mutarabbi akan mendapatkan pahala sebagaimana yang diniatkan. Bahkan ketika berlaku perbezaan pendapat tentang pandangan politik, itu tidak sepatutnya menyebabkan mereka bercerai? Kenapa mereka perlu bermusuhan? Bukankah Allah telah mempersatukan hati-hati kita jauh sebelum semua sistem politik ini hadir di dunia? Bukankah dulunya di saat akan dilahirkan ke dunia, keduanya sudah saling berikrar untuk saling menjadi saksi di hari akhirat nanti? 

Murabbi yang bijak dan mutarabbi yang penuh semangat, hendaklah tetap saling bersatu padu untuk berlumba dalam kebaikan. Maka keduanya tetaplah bersama-sama untuk berjuang menjadi jauh lebih mulia dari malaikat. Maka tetaplah begitu, iaitu saling menjaga dan mengingatkan, bukan saling melemahkan, apalagi bercerai.

Marilah kita bersikap bijak dalam mengurus perbezaan serta tidak saling merasa kitalah yang paling benar dalam usaha untuk menerapkan syariat Islam. Ini adalah kerana di akhirnya nanti, yang akan mempertanggungjawabkan amalnya di dunia ini di hadapan Allah adalah diri kita, sendiri-sendiri. Maka ketika kita berbeza pandangan, kita tidak perlu saling mempertikaikan antara satu sama lain bahkan mari sahaja kita menyelamatkan pintu syurga kita masing-masing, namun di sudut lain kita tetap bekerja secara berjamaah dengan penuh cinta dan keharmonian. 

Seseorang mampu menjadi murabbi tanpa perlu menempatkan dirinya pada jawatan secara formal kerana murabbi sejati adalah seorang yang mahu mengambil peranan lebih banyak dari yang lain dan dia tidak semestinya menjawat apa-apa jawatan formal, namun di satu sudut, dia juga bersedia untuk melakukan apapun kerana semua amal yang dia pikul dianggap sebagai amanah yang di dalam keyakinannya akan menjadi wasilah untuk mendapatkan syurga.

Dia tidak berkeinginan untuk melakukan banyak perkara, tapi dia bertekad melakukan yang terbaik yang dia mampu. Semangatnya adalah semangat amal dan menanggung bebanan dan bukan sekadar semangat untuk mendapatkan kedudukan dalam penstrukturan jawatan. 

“Dakwah ini adalah projek Allah, dan Allah sendirilah yang akan membiayai untuk diselesaikannya projek tersebut.” 

Memang, berdakwah memerlukan ilmu, namun kita juga tidak perlu menunggu sehingga menjadi ‘mufti’ untuk diperbolehkan kita berdakwah.  

Kita hanya perlu menjadi generasi Rabbani sebagaimana yang tercantum dalam Al Qur’an : 

“Hendaklah kamu menjadi orang-orang Rabbani, kerana kamu selalu mengajarkan Al-Kitab dan disebabkan kerana kamu tetap mempelajarinya.” (QS Ali Imran : 79) 

“Seorang pendakwah seharusnya sampai pada tingkatan penyampaian yang optimum dan sentiasa berusaha memberikan penyampaian yang menyentuh (Al Balagh).”

Di antara cara dalam menjadikan dakwah ini menjadi memikat adalah dengan penyampaian yang:
 

1.     Jelas.

2.     Terang.

3.     Tegas.

4.     Mampu menyentuh hati para ‘mad’u’ (objek dakwah).
 

Ini bersesuaian dengan pesanan Allah swt kepada para Nabi dan Rasul melalui firman-Nya : 

“Maka tidak ada kewajiban atas para rasul, selain dari menyampaikan (amanat Allah) dengan terang.” (QS An-Nahl : 35) 

Maksud perkataan ‘Al Balagh’ (penyampaian) tidak sekadar hanya memberi khabar tentang kebenaran semata-mata atau hanya mengumumkan tentang kebenaran itu, tapi yang sepatutnya dilakukan adalah bagaimana caranya agar risalah mulia yang didakwahkan ini sampai kepada seluruh umat manusia dan mereka dapat menyerapnya dengan baik.

Agar dakwah itu dapat disampaikan dengan baik kepada ‘mad’u’, maka para pendakwah atau murabbi perlu memperhatikan beberapa perkara berikut :

PERTAMA : Sudah selayaknyalah seorang pendakwah atau murabbi menjiwai tentang apa yang ia sampaikan kepada orang lain kerana mustahil sesuatu yang tidak lahir dari jiwa yang baik yang bersumber dari kesedaran di dalam hati, akan mendapat penerimaan yang baik pula dari hati orang lain.

KEDUA : Berdakwah dengan memilih perkataan yang mampu memikat, sehingga dapat membekas di hati para pendengar.  

Ini sebagaimana yang firman Allah swt : 

“Mereka itu adalah orang-orang yang Allah mengetahui apa yang di dalam hati mereka. Kerana itu berpalinglah kamu dari mereka, dan berilah mereka pelajaran, dan katakanlah kepada mereka perkataan yang berbekas pada jiwa mereka.” (QS An-Nisaa’ : 63) 

Kata-kata yang bernilai itu paling tidak mencakupi beberapa perkara berikut :
 

a.      Khabar yang menyenangkan.

b.     Khabar yang menakutkan.

c.      Peringatan.

d.     Motivasi pahala.

e.      Ancaman siksaan.
 

Dengan yang demikian, para ‘mad’u’ pun akan tersentuh hatinya, gembira dengan janji yang menyenangkan dan memiliki rasa cemas akibat kesalahan yang pernah dilakukan, sehingga memohon kepada Allah agar ia dijauhkan dari ancaman siksa neraka. 

KETIGA : Al Qur’an telah menggariskan kepentingan menyampaikan dakwah dengan lancar, fasih serta tidak tergagap-gagap.  

Ini sebagaimana firman Allah swt yang diucapkan oleh Nabi Musa as.  

“Dan lepaskanlah kekakuan dari lidahku, supaya mereka mengerti perkataanku.” (QS Thaha : 27-28) 

Dalam hal ini, Nabi Musa as menyedari bahwa perkataan yang fasih mampu menjadi kunci kepada berkesannya penyampaian dan kukuhnya hujah.

Imam Ar-Razi kemudian menjelaskan bahwa para ulama’ berbeza pendapat berkaitan alasan Nabi Musa as meminta kepada Allah agar dilepaskan dari kekakuan lidahnya :

1.     Agar tidak ada kesalahan serius yang berlaku ketika proses penyampaian dilakukan.

2.     Mencegah agar jangan sampai para pendengarnya kemudian lari kerana kekakuan dalam berbicara memberikan pengaruh kepada para pendengar sehingga tidak lagi menarik perhatian mereka.

3.     Meminta agar dimudahkan dalam penyampaian, kerana Nabi Musa as dalam hal ini sedang berhadapan dengan Fir’aun yang mengaku dirinya sebagai Tuhan, sehingga perlu ada jaminan kemudahan dalam berbicara kerana jika sudah kesulitan dalam memulakan pembicaraan di permulaannya maka akan berterusan pula hingga ke akhirnya.

KEEMPAT : Yang membantu seorang pendakwah atau murabbi adalah memiliki penyampaian yang baik dan menyentuh iaitu dengan menghadirkan rakan-rakan seperjuangannya yang lain, berada disampingnya untuk saling menguatkan sehingga dapat memberi ketenangan dan kepercayaan diri yang lebih.

Ini dalam konteks peribadi seorang pendakwah atau murabbi, namun dari sudut lain, iaitu pihak ‘mad’u’, mereka akan melihat bahwa ternyata pendakwah atau murabbi itu tidak bersendirian dan menilai dakwahnya telah memberikan kesan positif terbukti dengan adanya para pengikut ataupun rakan yang ramai sehingga dapat memantapkan kepercayaan ‘mad’u’ tersebut untuk kemudian mendengarkan perkataan demi perkataan yang disampaikan oleh pendakwah atau murabbi.

Ini sebagaimana firman Allah swt. kepada Nabi Musa as :

“Allah berfirman: “Kami akan membantumu dengan saudaramu” (QS Al-Qashash : 35)

“Dan jadikanlah untukku seorang pembantu dari keluargaku. (iaitu) Harun, saudaraku. Teguhkanlah dengan dia kekuatanku. Dan jadikanlah dia sekutu dalam urusanku” (QS Thaha : 29-32)

Imam Ar-Razi menafsirkan ayat ini dengan dua kesimpulan :

a.      Nabi Musa as meminta teman dalam hal ini saudaranya, Nabi Harun as kerana merasa keterbatasan dirinya sebagai seorang hamba yang memiliki kekurangan, sehingga ia memerlukan teman yang dapat menguatkan.

b.     Untuk mendakwahkan agama ini, diperlukan kekuatan doa, sehingga ia pun memohon kepada Allah swt agar ia diteguhkan.

KELIMA : Seorang pendakwah atau murabbi hendaklah memanfaatkan segala kemudahan yang ada sebagai wasilah untuk memudahkan penjelasan risalah mulia ini kepada umat.

Di zaman moden seperti sekarang, para pendakwah dituntut untuk celik teknologi, sehingga dakwah ini ditampilkan secara lebih menarik, tidak ketinggalan zaman dan berjalan sesuai dengan wasilah semasa yang ada, seperti menggunakan internet, filem, nasyid, novel, ‘slides power point,’ serta boleh pula melalui agenda rehlah melalui tadabur alam, ‘outbound’, ‘games’ dan wasilah menarik lainnya.

Al Qur’an sendiri telah menceritakan bagaimana dakwah yang dilakukan oleh Nabi Ibrahim as dengan menggunakan perantara alam, untuk kemudiannya memberikan pelajaran kepada kaumnya agar menyembah Allah swt.

Ini sebagaimana termaktub dalam firman-Nya :

“Ketika malam telah menjadi gelap, dia melihat sebuah bintang (lalu) dia berkata: “Inilah Tuhanku” Tetapi tatkala bintang itu tenggelam dia berkata: Saya tidak suka kepada yang tenggelam”.Kemudian tatkala dia melihat bulan terbit dia berkata: “Inilah Tuhanku”. Tetapi setelah bulan itu terbenam dia berkata: “Sesungguhnya jika Tuhanku tidak memberi petunjuk kepadaku, pastilah aku termasuk orang-orang yang sesat”. Kemudian tatkala dia melihat matahari terbit, dia berkata: “Inilah Tuhanku, ini yang lebih besar”, maka tatkala matahari itu telah terbenam, dia berkata: “Hai kaumku, sesungguhnya aku berlepas diri dari apa yang kamu persekutukan. Sesungguhnya aku menghadapkan diriku kepada Tuhan yang menciptakan langit dan bumi dengan cenderung kepada agama yang benar, dan aku bukanlah termasuk orang-orang yang mempersekutukan Tuhan.” (QS Al-An’aam : 76-79)

KEENAM : Bagi memiliki penyampaian dakwah yang optimum, seorang pendakwah atau murabbi mesti bersikap kreatif dan bijak melihat peluang dalam setiap waktu dan keadaan.

Boleh jadi objek dakwah yang ia seru kepada jalan kebaikan,

1.     Ternyata tidak biasa menerima secara spontan, tapi perlu pendekatan yang perlahan.

2.     Ada yang tidak dapat didekati pada waktu siang kerana sibuk, maka bersikap bijaklah  untuk memilih waktu lain.

3.     Ada yang ketika sihat begitu keras untuk menerima kebenaran, maka dekatilah ia di waktu sakit, mungkin hatinya mampu menerima pada saat tersebut.

Maka berseni dan bijaklah melihat peluang dalam menyampaikan dakwah.

Ini sebagaimana firman Allah swt melalui lisan Nabi Nuh as :

“(Setelah puas menyeru mereka), Nabi Nuh berdoa dengan berkata: "Wahai Tuhanku, sesungguhnya aku telah menyeru kaumku siang dan malam (supaya mereka beriman);

Maka seruanku itu tidak memberikan mereka (sesuatu faedah pun) selain daripada menambahi mereka melarikan diri (dari kebenaran). Dan sesungguhnya aku, tiap-tiap kali menyeru mereka (beriman) supaya Engkau mengampunkan dosa-dosa mereka, - mereka menyumbatkan telinganya dengan jari masing-masing, dan berselubung dengan pakaiannya, serta berdegil dengan keingkarannya, dan berlaku sombong takbur dengan melampau. Kemudian aku telah menyeru mereka dengan terang-terang; selain dari itu, aku (berulang-ulang) menyeru mereka secara beramai-ramai dengan berterus-terang, dan menyeru mereka lagi secara berseorangan dengan perlahan-lahan sehingga aku berkata (kepada mereka): `Pohonkanlah ampun kepada Tuhan kamu, sesungguhnya adalah Ia Maha Pengampun.” (QS 5 – 10) 

Berkait dengan ayat di atas, Ibnu Katsir kemudian mengatakan,

“Kreatiflah dalam berdakwah, agar misi menyampaikan risalah mulia ini berakhir dengan kejayaan.”

KETUJUH : Agar dakwah dapat disampaikan dengan baik, maka seorang pendakwah atau murabbi selayaknya menyampaikannya dengan penuh kelembutan (layyinan), tidak dengan cara yang keras, memaksa, apalagi kasar.

a.      Dekatilah ‘mad’u’ dengan cara yang baik.

b.     Panggil ia dengan nama yang ia sukai.

c.      Perlakukan dengan penuh sopan.

d.     Buat sesuatu yang menyebabkannya terpikat, sehingga apa yang disampaikan pun dapat menyentuh hatinya.

Allah swt telah memerintahkan Nabi Musa as mendakwah Fir’aun dengan cara yang lembut, sebagaimana yang termaktub dalam Al-Qur’an,

“Pergilah kamu berdua kepada Firaun, sesungguhnya dia telah melampaui batas. Maka berbicaralah kamu berdua kepadanya dengan kata-kata yang lemah lembut, mudah-mudahan ia ingat atau takut”. (QS Thaha : 43-44)

Dalam ayat lain Allah swt juga memerintahkan Nabi Muhammad saw untuk berdakwah dengan penuh hikmah,

“Serulah (manusia) kepada jalan Tuhanmu dengan hikmah dan pelajaran yang baik dan bantahlah mereka dengan cara yang baik. Sesungguhnya Tuhanmu Dialah yang lebih mengetahui tentang siapa yang tersesat dari jalan-Nya dan Dialah yang lebih mengetahui orang-orang yang mendapat petunjuk.” (QS An-Nahl : 125)

MURABBI PADA PANDANGAN IMAM HASAN AL BANNA 

Menurut Imam Hasan Al Banna, murabbi berperanan sebagai pusat penjana tenaga elektrik di mana tugasnya  adalah menebarkan sinar kepada pemancar dan lampu-lampu elektrik di seluruh struktur masyarakat sehingga jika ia tidak mampu memancarkan sinar, maka akan redup pula semua aktiviti amal para mutarabbinya.  

Sebagai pusat penjana tenaga elektrik, murabbi seharusnya :
 

1.     Menjadi sumber kebangkitan dan penyelamat umat.

2.     Menyalakan mentol hati para mutarabbi yang meredup.

3.     Mengalirkan arus elektrik di hati yang mati tertimpa debu maksiat mahupun racun syahwat akibat gempa penyakit “cinta dunia dan takut mati” di banyak tempat.
 

Imam Hasan Al-Banna telah membuat perumpamaan tentang tugas murabbi melalui perkataannya yang indah :  

"Di setiap bandar terdapat pusat penjana tenaga elektrik. Para pegawai memasang peralatan-peralatan, tiang dan kabel di seluruh penjuru bandar dan selepas itu aliran tenaga elektrik masuk ke kilang-kilang, rumah-rumah dan tempat-tempat lain.  

Jika aliran tenaga elektrik tersebut kita matikan dari pusat penjanaannya, niscaya seluruh penjuru bandar akan menjadi gelap gulita. Padahal pada ketika itu, tenaga elektrik ada dan tersimpan di pusat penjana elektrik, hanya sahaja tenaga elektrik yang ada itu tidak dialirkan dan tidak dimanfaatkan."  

Dalam kesempatan lain beliau mengatakan : 

“Kami bukanlah pencari kekuasaan, kami bukan penyeru revolusi tetapi kami adalah murabbi-murabbi dakwah, penyebar fikrah serta pengarah hati dan ruhani manusia.” 

Allah swt berfirman :  

"Dan apakah orang yang sudah mati, kemudian dia Kami hidupkan dan Kami berikan kepadanya cahaya yang terang, yang dengan cahaya itu ia dapat berjalan di tengah-tengah masyarakat manusia, serupa dengan keadaan orang yang berada dalam gelap gulita yang sekali-kali tidak dapat keluar darinya?" (QS Al-An'am : 122)  

Wahai murabbi penyala lampu! Nyalakanlah kebangkitanmu agar aktivis dakwah yang :
 

a.      Tidak memiliki tenaga.

b.     Miskin empati.

c.      Kurang yakin kepada diri sendiri.
 
d.     Kurang idea.
 

akan segera mendapat inspirasi darimu lalu bangkit untuk menyelamatkan umat dari kelalaian dan ketiduran yang panjang. 

Ya Allah, jadikanlah kami para murabbi penyelamat umat yang akan berusaha sedaya mungkin untuk menyelamatkan umat manusia dari pelbagai krisis di dunia di samping menyelamatkan setiap diri dari kesengsaraan di akhirat nanti. 

Ameen Ya Rabbal Alameen
WAS

Labels: Tarbiyah Email This BlogThis! Share to X Share to Facebook

Leave a Reply

Newer Post Older Post
Subscribe to: Post Comments (Atom)

Yang Setia

Pautan

  • Muharikah
    Antara dua pilihan
    3 years ago
  • Angel Pakai Gucci!
    Doa Itu Bom Nuklear Bagi Orang Mu'min!
    5 years ago
  • Majalah Jom!
    Isu 45: ALAMAK, AKU SALAH PILIH! (EDISI ISTIMEWA)
    9 years ago
  • دعوتنا DAKWATUNA -dakwahkite-
    Di antara Kefahaman dan Pelaksanaan (Sudut Pandang Parti Kebebasan dan Keadilan FJP – Mesir)
    10 years ago
  • ZADUD-DUAT
    Wahai Ikhwah, Persaudaran adalah rahsia kekuatan anda
    11 years ago
  • Popular
  • Recent
  • Archives
 

Diri Ini

My photo
WAS
Blog ini memaparkan bahan-bahan bacaan dan artikel yang boleh meningkatkan ilmu dan kefahaman Islam anda..
View my complete profile

Blog Ini Menarik??

Yang Paling Digemari

  • Tsabat Memenangkan Dakwah
    ‘ Tsabat ’ bermakna teguh pendirian dan tegar dalam menghadapi ujian serta mehnah di jalan kebenaran. Ia merupakan benteng bagi seorang ak...
  • Memohon Dari Al Jabbar
    Seringkali manusia terjebak oleh pemikirannya sendiri dan merasa mampu untuk merancang segala sesuatu. Padahal tidak ada kekuatan dalam d...
  • Qudwah Di Jalan Dakwah
    Ustaz Mustafa Masyhur dilahirkan pada 15 September 1921 di Kampung Sa'din, dari kota Manya Al-Qamh, Mesir. Beliau terdidik di dalam s...
  • Sifat Bolak Balik Hati
    Manusia dari masa ke semasa akan mengalami perubahan dan pergantian. Bermula dari seorang bayi, kemudian berkembang menjadi seorang anak ...
  • Seni Menciptakan Manusia
    Gerakan dakwah adalah diumpamakan seperti para pendaki gunung. Apabila kita sudah sampai pada suatu ketinggian, jika kita melihat ke punc...

Arkib

  • ►  2017 (1)
    • ►  April (1)
  • ►  2016 (4)
    • ►  September (2)
    • ►  March (1)
    • ►  January (1)
  • ►  2015 (39)
    • ►  November (1)
    • ►  October (2)
    • ►  September (2)
    • ►  August (3)
    • ►  July (1)
    • ►  June (5)
    • ►  May (6)
    • ►  April (6)
    • ►  March (6)
    • ►  February (2)
    • ►  January (5)
  • ▼  2014 (42)
    • ▼  November (5)
      • Nasyid Pembebasan
      • Murabbi Penyelamat Umat
      • Mutiara Hikmah
      • Membangun Pendakwah Berkualiti
      • Kekuatan Para Pendakwah
    • ►  October (4)
    • ►  August (4)
    • ►  July (1)
    • ►  June (9)
    • ►  May (8)
    • ►  April (4)
    • ►  February (3)
    • ►  January (4)
  • ►  2013 (72)
    • ►  December (1)
    • ►  November (5)
    • ►  October (4)
    • ►  September (5)
    • ►  August (6)
    • ►  July (5)
    • ►  June (7)
    • ►  May (5)
    • ►  April (7)
    • ►  March (7)
    • ►  February (9)
    • ►  January (11)
  • ►  2012 (163)
    • ►  December (8)
    • ►  November (9)
    • ►  October (9)
    • ►  September (9)
    • ►  August (6)
    • ►  July (12)
    • ►  June (9)
    • ►  May (15)
    • ►  April (16)
    • ►  March (18)
    • ►  February (24)
    • ►  January (28)
  • ►  2011 (93)
    • ►  December (24)
    • ►  November (69)

Susunan

  • Akhlak (6)
  • Aqidah (17)
  • Dakwah (73)
  • Fikrah (74)
  • Ilmu (38)
  • Motivasi (10)
  • Muslimah (3)
  • Mutiara Hikmah (12)
  • Mutiara Hikmah Para Duat (21)
  • Mutiara Hikmah Ramadhan (3)
  • Renungan (31)
  • Ruhiyah (8)
  • Tarbiatuna (5)
  • Tarbiyah (34)
  • Tausiyah (31)
  • Tokoh (8)
  • Uslub (11)
  • Video (29)

Panji Islam

Asmaaul Husna

Kalam Hikmah

Coretan Anda

Pengunjung

Free CountersFree CountersFree CountersFree CountersFree Counters

Detik Kehidupan

Hari Ini

Waktu Solat

Pelawat


widgets

Selamat Melayari

  • NEW POSTS
  • COMMENTS
  • flickr

    Get your Flickr ID!
 
 
© 2011 Tinta Perjalanan | Designs by Web2feel & Fab Themes

Bloggerized by DheTemplate.com - Main Blogger