Islam adalah satu-satunya agama yang
sempurna yang mengatur seluruh sendi kehidupan manusia dan alam semesta.
Islam juga merupakan agama yang diturunkan oleh
Allah swt untuk menjadi rahmat bagi alam semestanya. Pesanan terhadap
kerahmatan dalam Islam benar-benar tersebar dalam teks-teks Islam, samada Al Qur’an
ataupun hadith Rasulullah saw.
Perkataan 'Rahman' yang bererti kasih
sayang, disebut secara berulang-ulang dalam jumlah yang begitu banyak, lebih
dari 90 ayat dalam Al Qur’an. Bahkan, dua perkataan iaitu ‘Rahman’ dan ‘Rahim’
yang diambil dari perkataan 'Rahmah' dan sentiasa disebut-sebut oleh
kaum Muslimin setiap hari adalah nama-nama Allah sendiri (Asmaul Husna).
Nabi Muhammad saw pernah bersabda :
"Sayangilah
siapa sahaja yang ada di muka bumi niscaya Tuhan menyayanginya."
Al Qur’an yang menjadi sumber Islam yang paling berautoriti, menyebutkan akan misi kerahmatan ini iaitu ‘Wamaa ar salnaka illa rahmantan lil'alamin’ (Aku tidak mengutus engkau (Muhammad), kecuali sebagai rahmat bagi alam semesta).
Al Qur’an yang menjadi sumber Islam yang paling berautoriti, menyebutkan akan misi kerahmatan ini iaitu ‘Wamaa ar salnaka illa rahmantan lil'alamin’ (Aku tidak mengutus engkau (Muhammad), kecuali sebagai rahmat bagi alam semesta).
Ibnu Abbas, ahli tafsir yang terawal,
mengatakan bahwa kerahmatan Allah meliputi orang-orang mu’min dan orang kafir.
Al Qur’an juga menegaskan bahwa rahmat Tuhan meliputi segala perkara.
“Dan tetapkanlah untuk Kami kebaikan dalam dunia ini dan
juga di akhirat, sesungguhnya kami kembali (bertaubat) kepadaMu". Allah
berfirman: "AzabKu akan Aku timpakan kepada sesiapa yang Aku kehendaki,
dan rahmatKu meliputi tiap-tiap sesuatu; maka Aku akan menentukannya bagi
orang-orang yang bertaqwa, dan yang memberi zakat, serta orang-orang yang
beriman kepada ayat-ayat Kami.” (QS Al A’raaf : 156)
Oleh kerana itu, para ahli tafsir sepakat
bahwa rahmat Allah mencakupi orang-orang mu’min dan orang-orang kafir, orang-orang
yang baik (Al-birr) dan yang jahat (Al-fajir), serta semua makhluk-makhluk
Allah.
Al Qur’an memiliki kedudukan yang amat penting
dan terhormat dalam masyarakat Muslim di seluruh dunia. Di samping ianya sebagai
sumber hukum, pedoman akhlak, bimbingan ibadah, dan asas keimanan, Al Qur’an
juga merupakan sumber peradaban yang memiliki nilai sejarah dan bersifat kesejagatan.
Kehadiran peribadi Muhammad Rasulullah saw dan
Al Qur’an ini telah mengubah orientasi cara berfikir masyarakat Arab yang pada
saat itu sangat menumpukan kepada sifat kekabilahan dalam cara mereka berfikir.
Islam
merupakan agama yang diturunkan oleh Allah swt sejak manusia pertama iaitu Nabi
Adam as. Islam tidak diturunkan secara terus kepada umatnya, melainkan
diturunkan secara bertahap melalui wahyu-wahyu ataupun kitab-kitab Allah yang
diberikan kepada para nabi dan rasulnya hingga pada masa kerasulan Muhammad saw.
Pada
peringkat awal Rasulullah saw menyebarkan Islam tidaklah berjalan dengan begitu
lancar di mana banyak halangan dan rintangan yang baginda hadapi. Dimulai dari
cacian hinggalah kepada penentangan. Namun Rasulullah saw tidak pernah menyerah
dan tidak pernah putus asa.
Di
dalam sebuah hadith digambarkan bahwa Islam datangnya dianggap asing dan akan
kembali menjadi asing. Berbahagialah mereka yang dianggap asing kerana telah
berada di jalan yang benar iaitu jalan Allah swt.
Perkataan
Islam bererti :
a. Damai.
b. Selamat.
c. Penyerahan diri.
d. Tunduk.
e. Patuh.
Islam
adalah perkataan yang berasal dari bahasa arab iaitu “salima” yang dimasdarkan menjadi “islaman” yang bererti
damai.
Islam
disebut sebagai agama ‘Rahmatan lil
alamin’.
“Dan tiadalah Aku mengutus kamu (ya Muhammad) melainkan untuk (menjadi) rahmat bagi semesta alam (rahmatan lil 'alamin).” (QS Al-Anbiya' : 107)
‘Rahmatan
lil 'alamin’
adalah istilah Al Qur’an yang terdapat dalam Surah Al-Anbiya' di atas.
Ia
bererti ''Kasih sayang bagi semesta alam".
Oleh yang demikian, yang dimaksudkan dengan Islam ‘Rahmatan lil 'alamin’ adalah Islam yang kehadirannya di
tengah-tengah kehidupan masyarakat mampu mewujudkan kedamaian dan kasih sayang
bagi manusia mahupun alam.
Apabila
ajaran Islam dilaksanakan secara benar, ‘Rahman’ dan ‘Rahim’ Allah akan turun
semua. Dengan yang demikian, berlakulah sunnatullah; samada bagi muslim mahupun
bukan muslim bahwa jika kita melakukan perkara-perkara yang diperlukan oleh
kerahmanan, mereka akan mendapatkannya.
Atas prinsip persamaan itu, maka setiap orang
mempunyai hak dan kewajiban yang sama. Islam tidak memberi hak-hak istimewa
bagi seseorang atau golongan lainnya, samada dalam bidang kerohanian mahupun
dalam bidang politik, sosial, ekonomi dan kebudayaan. Setiap orang mempunyai
hak yang sama dalam kehidupan masyarakat dan masyarakat mempunyai kewajiban
bersama atas kesejahteraan tiap-tiap anggotanya. Islam menentang setiap bentuk
diskriminasi, samada diskriminasi secara keturunan, mahupun kerana warna kulit,
kesukuan, kebangsaan, kekayaan dan lain-lain.
Bahkan Nabi Muhammad saw pernah bersabda :
“Tidak
beriman seorang kamu sehingga kamu mencintai saudaramu sebagaimana kamu mencintai
dirimu sendiri”.
Dari sinilah konsep ajaran Islam dapat diketahui dan dipelajari.
Persaudaraan manusia semakin dikembangkan kerana kita sesama manusia bukan
hanya berasal dari satu bapa dan satu ibu (Adam dan Hawa) tetapi kerana antara satu
sama lain :
1. Saling memerlukan.
2. Saling
menghargai.
3. Saling
menghormati.
Pada akhirnya terciptalah kehidupan yang tenteram dan
sejahtera. Itulah hakikat Islam sebagai agama ‘Rahmatan lil’alamin.’
Rahmat dalam cakrawalanya yang tertinggi dan jangkauannya yang tidak
terbatas merupakan salah satu sifat Allah Yang Maha Suci. Ini adalah kerana
rahmat-Nya meliputi segala yang ada dan berlaku untuk seluruh kerajaan di mana
ilmu-Nya yang meliputi segala sesuatu itu memancar, maka memancarlah bersamanya
cahaya rahmat yang sangat terang. Oleh yang demikian, doa dan pujian malaikat kepada-Nya
adalah :
“Ya Tuhan kami, rahmat dan
ilmu-Mu meliputi segala sesuatu, kerana itu berilah ampunan kepada orang-orang
yang bertaubat dan mengikuti jalan-Mu, dan peliharalah mereka dari siksaan
neraka yang menyala-nyala.” (QS Ghafir : 7)
Islam bersumber kepada Allah Yang Maha Pengasih dan oleh kerana
itulah maka rahmat yang ada di dalamnya meliputi segala sesuatu di mana ia
adalah rahmat dalam aqidah, syariat, pengurusan dan dakwahnya.
Kewujudan agama Islam sebagai agama rahmat yang meliputi
segala sesuatu tidak diragukan lagi. Maka, tidak ada yang menentangnya
kecuali orang yang bodoh, dengki terhadap kemuliaannya atau orang yang
sombong yang tidak pernah puas dengan perbahasan dan tidak mahu menerima
bukti-bukti yang kuat.
PERTAMA : KITAB SUCINYA ADALAH RAHMAT
Allah swt berfirman :
“Dan Kami turunkan kepadamu
Kitab (Al Qur’an) untuk menjelaskan segala sesuatu dan petunjuk serta rahmat
dan khabar gembira bagi orang-orang yang berserah diri.” (QS An-Nahl : 89)
“Al-Qur’an itu bukanlah cerita
yang dibuat-buat, akan tetapi membenarkan (kitab-kitab) sebelumnya, menjelaskan
segala sesuatu, serta sebagai petunjuk dan rahmat bagi kaum yang beriman.” (QS Yusuf : 111)
KEDUA : RASULNYA ADALAH
RAHMAT DAN DIUTUS DENGAN MEMBAWA RAHMAT
“Sesungguhnya telah datang
kepadamu seorang Rasul dari kaummu sendiri, berat terasa olehnya penderitaanmu,
sangat menginginkan (keimanan dan keselamatan) bagimu, amat belas kasihan lagi
penyayang terhadap orang-orang yang mukmin.” (QS At- Taubah : 128)
KETIGA : UMATNYA JUGA ADALAH RAHMAT
Allah swt berfirman :
“Muhammad adalah utusan Allah
dan orang-orang yang bersamanya adalah keras terhadap orang-orang kafir, tetapi
berkasih sayang sesama mereka.” (QS Al Fath : 29)
KEEMPAT : IA ADALAH UMAT YANG DIRAHMATI
Allah swt berfirman :
“Dan orang-orang yang beriman,
laki-laki dan perempuan, sebahagian mereka (adalah) menjadi penolong bagi
sebahagian yang lain. Mereka menyuruh mengerjakan yang ma’ruf, mencegah yang
munkar, menegakkan solat, menunaikan zakat, dan taat kepada Allah dan
Rasul-Nya. Mereka itu diberi rahmat oleh Allah, sesungguhnya Allah Maha Perkasa
lagi Maha Bijaksana.” (QS At-Taubah : 71)
KELIMA : WASIAT DI ANTARA
MEREKA DILAKUKAN DENGAN RAHMAT
“Dan dia (tidak pula) termasuk orang-orang yang beriman, saling
menasihati untuk bersabar, dan saling menasihati dengan penuh kasih sayang.
Mereka (orang-orang yang beriman dan saling menasihati) itu adalah golongan
kanan.” (QS Al Balad : 17-18)
KEENAM : DAKWAHNYA ADALAH
RAHMAT
“Dan apabila dibacakan
Al-Quran, maka dengarkanlah baik-baik dan perhatikanlah dengan tenang agar kamu
mendapat rahmat.” (QS Al A’raf : 204)
KETUJUH : MENGAJAK KEPADA
ISLAM JUGA MERUPAKAN RAHMAT
“Maka disebabkan rahmat dari Allah-lah kamu berlaku lemah lembut
terhadap mereka. Sekiranya kamu bersikap keras lagi berhati kasar, tentulah
mereka menjauhkan diri dari sekelilingmu.” (QS Ali ’Imran: 159)
“Sesungguhnya (kalau kamu tidak
menyembah Allah), aku takut kamu ditimpa azab hari yang besar (kiamat).” (QS Al A’raf : 59)
KELAPAN : RAHMATNYA MELIPUTI SEGALA SESUATU DARI MANUSIA, HAIWAN
HINGGA TUMBUH-TUMBUHAN DAN BENDA MATI
Allah swt berfirman :
“Dan rahmat-Ku meliputi segala
sesuatu, maka akan aku tetapkan rahmat-Ku untuk orang-orang yang bertaqwa,
menunaikan zakat, dan orang-orang yang beriman kepada ayat-ayat kami.” (QS Al A’raf : 156)
Rasulullah saw bersabda :
“Sesungguhnya Allah
mewajibkan berbuat ihsan atas segala sesuatu, jika kamu membunuh maka berbuat
baiklah kepada yang kamu bunuh, dan jika kamu menyembelih maka berbuat baiklah
kepada apa yang kamu sembelih.” (HR Muslim)
“Sayangilah siapa
yang ada di bumi niscaya yang di langit akan menyayangimu.” (HR Tirmidzi)
“Kamu belum beriman
sebelum kamu menyayangi yang lain. Para shahabat berkata, “Wahai Rasulullah,
setiap kami menyayangi yang lain,” Baginda bersabda, “Yang aku maksud bukanlah
kasih sayang salah seorang di antara kamu kepada sahabatnya tapi kasih sayang
yang bersifat umum.” (HR Thabrani)
“Dan setiap hati yang
basah (hidup) ada pahala.” (HR Bukhari)
Rasulullah saw telah menjelaskan bahwa ada
perempuan masuk neraka akibat kucing yang dia buatkannya lapar, tapi ada pula
seseorang yang masuk syurga kerana anjing yang diberinya minum. (HR Bukhari)
Oleh yang demikian, rahmat merupakan salah satu prinsip pengurusan
Islam dan pertama sekali yang diserukannya.
Ayat-ayat yang awal turun di permulaan dakwahnya adalah firman-Nya :
“Tetapi dia tiada menempuh
jalan yang mendaki lagi sukar. Tahukah kamu apa jalan yang mendaki lagi sukar
itu? (iaitu) memerdekakan hamba dari perhambaan, atau memberi makan pada hari
kelaparan (kepada) anak yatim yang ada hubungan kerabat, atau orang miskin yang
sangat fakir.” (QS Al Balad : 11-16)
Ayat-ayat tersebut memiliki ajakan untuk mewujudkan kasih sayang
dengan menyebutkan beberapa amal yang didorong oleh adanya rahmat dan kasih
sayang pada mereka yang melakukannya. Selain itu, ia juga menyebutkan
keselamatan pada saat genting yang akan diraih oleh mereka yang memiliki
sifat-sifat tersebut.
Demikian pula dengan surah Al-Muddattsir, padahal ia adalah surah
yang diturunkan pada awal-awal kenabian :
“Apakah yang menjerumuskan kamu
ke Neraka Saqar? Mereka menjawab, “Kami dahulu tidak termasuk orang-orang yang
mengerjakan solat dan kami tidak (pula) memberi makan orang miskin.” (Al Muddattsir : 42-44)
Memberi makan fakir miskin, pendorongnya adalah rahmat dan kasih
sayang, sedangkan orang yang enggan memberikannya adalah orang yang telah
hilang sifat kasih sayangnya. Oleh kerana itu, sudah sepatutnyalah jika ia
masuk neraka Saqar.
Rahmat Islam yang bersifat sejagat itu tercermin dengan jelas dalam
prinsip memberi kemudahan dan menghilangkan kesulitan yang merupakan kaidah
ushul yang berlandaskan hukum-hukum agama ini. Kemudahan ini diasaskan oleh kesedaran
akan kelemahan manusia, banyaknya tugas dan tanggungan, kompleksnya kesibukan,
tekanan hidup dan berbagai tuntutan yang perlu dipenuhinya.
Oleh kerana itu,
a.
Al Qur’an sangat mudah untuk diingat.
b.
Aqidah Islam amat mudah untuk difahami.
c.
Syariatnya yang mudah untuk diterapkan
dan dilaksanakan.
d.
Tidak ada satupun kewajiban
yang di luar kemampuan mukallaf.
Ini sesuai dengan penegasan Allah bahwa :
“Allah tidak membebani
seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya.” (QS Al Baqarah : 286)
Al Quran telah mengajarkan kepada orang-orang yang beriman agar
mengucapkan doa,
“Ya Tuhan kami, janganlah Kau
pikulkan kepada kami perkara-perkara yang kami tidak mempunyai kekuatan
atasnya.” (QS Al Baqarah : 286)
Dalam hadits sahih diriwayatkan bahwa Allah telah mengabulkan doa
mereka. Al Qur’an telah menghilangkan segala kesulitan dari syariat ini
sebagaimana ia juga menghilangkan kesulitan dan kesusahan darinya, serta
menetapkan kemudahan dan keringanan baginya ketika ia berbicara tentang
beberapa keringanan dalam ibadah puasa iaitu boleh berbuka bagi orang yang
sakit dan dalam perjalanan,
“Allah menghendaki kemudahan
padamu dan tidak menghendaki kesulitan bagimu.” (QS Al Baqarah : 185)
Tentang diperbolehkannya mengahwini hamba
perempuan bagi yang tidak mampu berkahwin dengan perempuan merdeka,
Allah swt berfirman :
“Allah hendak memberi
keringanan kepada kamu.” (QS An-Nisa : 28)
Setelah mensyariatkan untuk memberi
maaf bagi yang berlapang dada dalam peristiwa pembunuhan.
Allah swt berfirman :
“Itulah keringanan dan rahmat
dari Tuhanmu.” (QS Al Baqarah : 178)
Banyak hadits nabawi yang mendukung pesanan Al Qur’an yang
berorientasikan kepada memberi kemudahan. Di antara hadits-hadits itu adalah :
“Aku diutus dengan
membawa kemurnian (aqidah) dan toleransi.” (HR Ahmad)
Di antara keistimewaan syariat Islam
adalah disyariatkannya ‘Rukhshah’ (keringanan)
ketika faktor-faktor penyebab yang menimbulkannya dalam urusan ibadah dan
lainnya.
Diriwayatkan dalam hadith :
“Sesungguhnya Allah
suka apabila keringanan-keringanan-Nya diambil sebagaimana Ia tidak suka apabila
kemaksiatan dilakukan.” (HR Ahmad)
Hukuman dalam Islam juga berasaskan
kepada prinsip kasih sayang. Semua hukuman hudud
yang telah ditetapkan tiada lain merupakan rahmat bagi yang melakukan
kejahatan itu sendiri, bagi keluarga yang terlibat dengan kejahatan, bagi
masyarakatnya, bahkan bagi manusia seluruhnya.
Hukuman dalam Islam tidak keluar dari
kerangka asas ini. Perlaksanaannya juga tidak bertentangan dengan prinsip
tersebut.
BAGAIMANA IKHWANUL MUSLIMIN MEREALISASIKAN KERAHMATAN ISLAM
Imam Hasan Al Banna menyebutkan dalam Risalah Usul Isyrin bahwa Islam adalah rahmat dan rahmat yang
dimaksudkan oleh beliau di sini ialah perasaan lemah lembut dalam hati yang
mendorong manusia untuk :
1. Menolong orang-orang lemah dan berhajat.
2. Memaafkan orang-orang yang tersilap.
3. Tidak melakukan tindak-balas terhadap perbuatan jahat orang lain.
4. Merasakan simpati di atas bencana yang menimpa orang lain.
Sifat-sifat ini merupakan akhlak yang tinggi jika digunakan pada tempat
yang sewajarnya. Sifat rahmat dan belas kasihan hanyalah wujud dan berfungsi
sewaktu ianya dapat menolong perlaksanaan hukum-hukum Allah.
Dalam menghukumkan mereka yang melakukan jenayah zina, Allah swt berfirman
:
“Perempuan
yang berzina dan lelaki yang berzina, hendaklah kamu sebat tiap-tiap seorang
dari keduanya seratus kali sebat; dan janganlah kamu dipengaruhi oleh perasaan
belas kasihan terhadap keduanya dalam menjalankan hukum agama Allah, jika benar
kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat; dan hendaklah disaksikan hukuman
seksa yang dikenakan kepada mereka itu oleh sekumpulan dari orang-orang yang
beriman.” (QS An Nur : 2)
Demikianlah juga pada hukum-hukum yang lain.
Perasaan rahmat dan belas kasihan tidak seharusnya diberikan kepada
musuh Allah, musuh yang
menjadi batu penghalang di jalan Allah sekalipun mereka itu terdiri dari
keluarga yang hampir. Lantaran inilah kita lihat para sahabat yang mulia telah memerangi
ayah, bapa saudara, anak saudara dan keluarga mereka yang rapat dalam
peperangan Badar, Uhud, Khandak kerana mereka musuh Allah yang menjadi batu
penghalang di jalan Allah.
Perbuatan seseorang yang menyakitkan kita adalah digalakkan supaya dimaafkan.
Kemaafan yang diberikan oleh seseorang sedangkan beliau berupaya melakukan
tindakbalas adalah dianggap sebahagian daripada sifat rahmat.
Rahmat dan belas kasihan haruslah diberikan kepada mereka yang lemah,
miskin, mereka yang terpisah dari keluarga, orang-orang sakit, orang tua dan
orang-orang yang berhajat kepada bantuan dan pertolongan.
Perasaan rahmat dan belas kasihan mestilah wujud di kalangan Ikhwanul
Muslimin sewaktu mereka membentuk masyarakat Islam dan berusaha mencorakkannya
dengan corak Islam. Perasaan ini perlu wujud di kalangan mereka samada secara
diam-diam atau terang-terangan, namun kita lebih mengutamakan secara diam-diam.
Akhirnya, termasuk di antara
kesempurnaan agama ini adalah bahwa Allah Yang Maha Agung mengaitkan rahmat
dengan keadilan, menyebut perhitungan setelah terlebih dahulu menyebut kurniaan-Nya.
Dia, di samping rahmat-Nya yang sentiasa
lebih cepat dan berganti-ganti, juga akan memperhitungkan dan meminta
pertanggungjawaban dari makhluk-Nya pada hari kiamat.
“(Iaitu) hari (ketika)
seseorang tidak berdaya sedikitpun untuk menolong orang lain. Dan segala urusan
pada hari itu dalam kekuasaan Allah.” (QS Al Infithar : 19)
Allah mendidik makhluk-Nya dengan ‘targhib’ (pengharapan) akan rahmat-Nya dan ‘tarhib’ (ancaman)
akan keadilan dan perhitungan-Nya.
Oleh kerana itulah Imam Hasan Al
Banna menyebutkan sifat rahmat
Islam beriringan dengan sifat keadilan.
Perkataan
adil menurut bahasa adalah :
‘Sesuatu yang tegak di dalam jiwa
sebagai kejujuran dan ketulusan’.
Lawan
dari adil adalah aniaya.
Selain
itu, ia juga bererti seimbang dan keadilan atau ia juga bererti pertengahan
antara berlebihan dan mengabaikan.
Manakala
keadilan yang dimaksudkan oleh Imam Hasan Al Banna di sini ialah memberikan hak
kepada mereka yang berhak dengan tidak berlaku sebarang kekurangan, kerana keadilan
wajib diberikan kepada semua insan, samada Muslim atau kafir, musuh atau kawan,
keluarga atau bukan keluarga.
Allah swt
berfirman :
“Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah
kamu semua sentiasa menjadi orang-orang yang menegakkan keadilan kerana Allah,
lagi menerangkan kebenaran; dan jangan sekali-kali kebencian kamu terhadap
sesuatu kaum itu mendorong kamu kepada tidak melakukan keadilan. Hendaklah kamu
berlaku adil (kepada sesiapa jua) kerana sikap adil itu lebih hampir kepada
taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dengan
mendalam akan apa yang kamu lakukan.” (QS Al Maaidah : 8)
Keadilan
akan berlaku melalui hukuman dan kehakiman, juga berlaku dengan pujian, sanjungan,
celaan, kritik dan kecaman. Keadilan boleh berlaku dalam keadaan redha atau
marah.
Bukanlah
adil :
a. Jika kamu berlaku kejam sewaktu kamu menghukum antara dua orang.
b. Jika kamu berlebihan memuji orang yang tidak berhak menerima separuh daripada
pujian yang kamu berikan.
c. Jika kamu berlebihan mengecam seorang yang tidak berhak menerima satu
persepuluh dari kecaman kamu.
d. Jika kamu memuji semasa suka dan mengeji semasa benci.
e. Jika kamu berlaku kejam terhadap mereka yang bukan keluarga kamu atau
musuh yang menyakiti kamu, sedang kamu menutup pandangan dari perbuatan
keluarga, kawan dan orang yang berlaku baik kepada kamu.
Adil
merupakan salah satu sifat Allah swt. Oleh yang demikian, Ia tidak pernah
mengutus rasul-rasul-Nya, tidak menurunkan kitab-kitab-Nya dan tidak membebani
umat manusia dengan berbagai syariat kecuali untuk menegakkan keadilan dan
kebenaran.
Allah
swt berfirman :
“Sesungguhnya Kami telah mengutus rasul-rasul Kami dengan membawa
bukti-bukti nyata dan telah Kami turunkan bersama mereka Al Kitab dan neraca
(keadilan) supaya manusia dapat melaksanakan keadilan.” (QS
Al Hadid : 25)
Keadilan
telah Allah jadikan sebagai timbangan-Nya yang bebas dari segala kegelinciran,
dengannya urusan dunia menjadi baik.
Oleh
kerana itu, Allah swt berfirman :
“Allah-lah yang telah menurunkan kitab (Al-Quran) dengan (membawa)
kebenaran dan menurunkan neraca (keadilan).” (QS
Asy Syura : 17)
“Dan langit ditinggikan-Nya dan Dia meletakkan neraca
(keadilan).” (QS Ar Rahman : 7)
Ia
menyebut keadilan itu dengan istilah timbangan kerana keadilan terlahir dari
neraca dan termasuk pekerjaan-Nya yang paling menonjol. Islam, agama yang
terakhir ini telah menjadikan system keadilan sebagai syiarnya. Keadilan adalah
indentitinya dalam setiap aspek kehidupan.
Allah
swt berfirman :
“Sesungguhnya Allah menyuruh (kamu) berlaku adil, berbuat baik,
dan memberi kepada kaum kerabat, serta melarang kekejian, kemungkaran, dan
permusuhan. Dia memberi pengajaran kepadamu agar kamu dapat mengambil
pelajaran.” (QS An Nahl : 90)
Ibnu Mas’ud berkata :
“Ayat di atas merupakan ayat yang
paling lengkap yang menjadi wadah kebaikan yang mesti dilaksanakan dan
keburukan yang mesti ditinggalkan. Seruannya bersifat umum bagi umat manusia
seluruhnya dengan menggunakan kata perintah (ya’muru) bukan
sekadar anjuran.”
Nabi
Muhammad saw sebagai Rasul yang terakhir itu, di antara tugas pokoknya adalah
bersikap adil di antara umat manusia. Allah telah memerintahkannya untuk
menjelaskan perkara itu kepada umatnya agar mereka belajar dan meneladani baginda
kerana baginda adalah teladan bagi seluruh umat manusia.
Allah
swt berfiman :
Dan katakan, “Aku beriman kepada semua kitab yang Allah turunkan
dan aku diperintahkan supaya berlaku adil di antara kamu.” (QS
Asy Syura : 15)
Keadilan
yang Islam serukan adalah keadilan mutlak yang memperlakukan seluruh umat
manusia sama, sedarjat.
Allah
swt berfirman :
“Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menyampaikan amanat kepada yang
berhak menerimanya dan (menyuruh kamu) apabila menetapkan hukum di antara
manusia supaya kamu menetapkan dengan adil.” (QS An Nisa’: 58)
Permusuhan
yang berlaku di antara umat manusia tidak boleh dijadikan alasan untuk
membenarkan atau melakukan kezaliman atau meninggalkan sikap adil.
“Wahai orang-orang yang beriman, hendaklah kamu menjadi
orang-orang yang selalu menegakkan (kebenaran) kerana Allah dan menjadi saksi
dengan adil. Dan janganlah sekali-kali kebencianmu terhadap suatu kaum
mendorongmu untuk berlaku tidak adil. Berlaku adillah, kerana adil itu lebih
dekat kepada taqwa. Dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha
Mengetahui apa yang kamu kerjakan..” (QS Al Ma’idah : 8)
Sebagaimana
ia diperintahkan untuk diterapkan dalam perbuatan, keadilan juga diperintahkan
dalam ucapan.
“Dan apabila kamu berkata maka berlaku adillah meskipun terhadap
kerabat(mu) sendiri, dan penuhilah janji Allah. Yang demikian itu diperintahkan
Allah kepadamu agar kamu dapat mengambil pelajaran.” (QS
Al An’am : 152)
Perintah
ini sangat berkaitan dengan orang-orang yang memegang kekuasaan, yang memiliki
hubungan dengannya atau mereka yang berpengaruh di dalam masyarakat seperti
para mufti, para aktivis amar ma’ruf nahi mungkar, pendukung mazhab dan
lain-lain yang berpengaruh ucapannya, perilakunya atau keduanya.
Hakikat
yang meliputi seluruh makna keadilan adalah memberikan hak kepada pemiliknya, samada
hak peribadi, sosial, mahupun politik.
Setiap
perkara yang menghalangi sampainya hak kepada pemiliknya adalah kezaliman. Ini
adalah kerana tujuan sistem Ilahi ini adalah menegakkan keadilan di antara
manusia.
Keadilan
yang dituntut oleh Islam adalah keadilan yang menyeluruh. Ia adil dalam hukum :
“Dan apabila menetapkan hukum di antara manusia hendaklah kamu
menetapkannya dengan adil.” (QS An-Nisaa’ : 58)
Ia
:
1.
Adil
dalam perbicaraan.
2.
Adil
antara pihak-pihak yang berkepentingan walaupun berbeza kedudukannya dan
kelasnya.
3.
Adil
dalam pembahagian hak dan kewajiban.
4.
Adil
dalam menetapkan hudud dan qishas.
5.
Adil
di antara isteri-isteri jika mereka mengahwini lebih dari satu.
6.
Adil dalam ucapan, persaksian dan
penulisan.
7.
Adil di antara kelompok-kelompok Muslim
jika berlaku perselisihan pendapat di antara mereka.
“Dan jika ada dua golongan dari
orang-orang mu’min berperang maka damaikanlah di antara keduanya. Jika salah
satu dari kedua golongan itu berbuat aniaya terhadap golongan yang lain, maka
perangilah golongan yang berbuat aianya itu hingga mereka kembali kepada
perintah Allah; jika golongan itu telah kembali (kepada perintah Allah) maka
damaikanlah di antara keduanya dengan adil. Dan berlaku adillah, sesungguhnya
Allah mencintai orang-orang yang berlaku adil.” (QS Al Hujurat : 9)
Dalam menegakkan prinsip dan kaidah
keadilan di tengah masyarakat, Islam menggunakan konsep dan metodologi
pendidikan yang mendidik umat ini untuk meyakini prinsip keadilan dengan
keyakinan yang sama dengan yang ada dalam hati orang yang beriman.
Perkara itu dilakukan dengan menerapkannya
dalam hubungan sosial, mempropagandakannya, memerintahkannya, mendorong umat
untuk berkomitmen dengannya, memperingatkan agar mereka tidak meninggalkannya,
dan membentuk karakter umat dengannya melalui penerapan dan pengamalannya.
Semua itu jelas terlihat dari sejarah
kehidupan Rasulullah saw. Baginda gembirakan umat dengan keadilan,
mempropagandakan dan menerapkannya sepanjang hidup baginda, memulia dengan
dirinya sendiri sebagai contoh hingga konsep keadilan itu mewarnai masyarakat
dan mereka tidak enggan lagi menuntut keadilan itu samada mereka berada di
pihak yang salah mahupun benar.
a. Dalam kisah Dzil
Khuwaishirah At Tamimi pada waktu Perang Hunain.
b. Reaksi kaum Anshar
kepada Rasulullah saw tentang pembahagian harta rampasan perang pada
Perang Hunain.
c. Dalam kerelaan
Rasulullah saw untuk mendapat balasan (qishash) dalam Perang Badar.
d. Bahkan dalam tuntutan
qishas dari baginda saw di saat sakit menjelang kewafatan baginda.
Dalam semua peristiwa-peristiwa
tersebut, terdapat saksi yang sangat kuat dan bukti yang sangat nyata akan
semua itu.
Dalam perjalanan hidup Khulafaur Rasyidin
terdapat contoh-contoh keadilan yang memperhatikan aspek-aspek persamaan dan
kesamarataan yang kemudiannya wujud sebuah idealisma.
Di antara kenyataan Khalifah Abu Bakar ra
adalah :
“Orang yang lemah di
antara kamu adalah kuat bagiku hingga aku mengambilkan hak untuknya sedang
orang yang kuat di antara kamu adalah lemah bagiku hingga aku mengambil hak
darinya, InsyaAllah.”
Ya
Allah, jadikanlah kami pendakwah-pendakwah yang mampu merealisasikan konsep Rahmat
Islam ini kepada umat manusia yang mana keadilan adalah sebahagian darinya sehingga
seluruh manusia dan alam semesta akan mendapat kemanfaatan, ketenteraman dan
keamanan yang berkekalan.
Ameen
Ya Rabbal Alameen
WAS
Thanks for sharing, nice post! Post really provice useful information!
FadoExpress là một trong những top công ty chuyển phát nhanh quốc tế hàng đầu chuyên vận chuyển, chuyển phát nhanh siêu tốc đi khắp thế giới, nổi bật là dịch vụ gửi hàng đi nhật và gửi hàng đi pháp uy tín, giá rẻ