Secara
terminologinya, ‘tsabat’ di jalan Allah bererti ketegaran, ketetapan dan
keteguhan hati dalam menjejaki jalan Ilahi bertujuan :
1. Meraih
matlamat kehidupan.
2. Berkorban
demi tersebarnya nilai-nilai iman.
3. Memberi
komitmen terhadap prinsip agama.
4. Istiqamah
di atas manhaj Rabbani.
sehingga ia
menemui Rabb-nya.
‘Tsabat’
adalah antonim (perkataan berlawanan) dari perkataan kegoncangan hati dan
kebimbangan jiwa.
Rasulullah saw
bersabda :
“Sesungguhnya umat sesudah kamu akan mengalami
hari-hari (sulit) yang memerlukan kesabaran. Bagi orang yang konsisten
(berpegang teguh pada ajaran Islam) sebagaimana yang kamu perbuat, akan
mendapatkan balasan lima puluh kali ganda dari kamu.” Para sahabat bertanya,
“Wahai Nabi Allah, apakah penggandaan pahala itu dari mereka?.” Baginda
menjawab, “(Bukan), tetapi dari kamu.” (HR Tirmidzi dan dihasankan oleh Syeikh Al-Albani
dalam kitab “Silsilah hadith-hadith shahih” no: 494 dan 957).
Al-Khazandar
mendefinisikan ‘tsabat’ dengan ucapannya,
a.
Teguh dalam
menjejaki jalan hidayah.
b.
Komitmen
dengan tuntutan jalan ini.
c.
Berterusan
mengukir kebaikan.
d.
Bersungguh-sungguh
mendaki puncak ketaatan.
Ketika kita
mendengar perkataan ‘tsabat’, maka ingatan kita terus melekat dengan peristiwa
penyiksaan yang dialami oleh Bilal bin Rabah. Ketika itu ia menjadi hamba
Umayyah bin Khalaf. Sewaktu Umayyah mendengar bahwa Bilal telah memeluk Islam,
maka dia membuat berbagai cara penyiksaan yang tiada tara.
1. Mengalungkan
leher Bilal dengan tali yang kuat, lalu dia memerintahkan anak-anak kecil untuk
mengaraknya berkeliling bukit di Makkah. Leher Bilal menampakkan kesan
kemerahan disebabkan bekas dari jeratan tali itu kerana memang Umayyah mengikat
tali tersebut dengan begitu kuat.
2. Pernah
di suatu siang hari yang panas terik membakar kulit, Umayyah melemparkannya ke
padang pasir, kemudian meletakkan batu panas di atas dadanya, kemudian menarik
kedua tangannya dengan sekuat tenaganya diiringi dengan pukulan dahsyat yang
tidak terperi.
Meskipun
demikian beratnya siksaan yang dialaminya, namun ke-istiqamahan dan ketegaran
Bilal tidak goyah walau sedikitpun. Bibirnya di tengah siksaan tetap
melantunkan kalimat suci, “Ahad, Ahad.” hingga akhirnya Abu
Bakar membeli Bilal dari tangan Umayyah, lalu memerdekakannya.
Suara jeritan
Ammar bin Yasir terdengar begitu jelas ketika kita berbicara tentang ‘tsabat’.
Setelah ‘Ammar dan ayahnya Yasir serta ibunya Sumayyah memeluk Islam, maka Abu
Jahal menyiksa mereka dengan siksaan yang tidak dapat digambarkan dengan
kata-kata. Ketika Rasulullah saw menyaksikan beratnya siksaan yang mereka
alami, baginda hanya mampu memberikan untaian kata-kata hiburan yang mengandungi
khabar gembira :
“Bersabarlah wahai keluarga Yasir, kerana
sesungguhnya tempat kembali kamu adalah syurga.”
Kemudian Abu
Jahal menghunjamkan tombaknya pada kehormatan Sumayyah, hingga wanita tegar itu
meraih syahadah. Sumayyah ra adalah ‘awwalu syahidatin fi al-Islam’
(wanita muslimah pertama yang mati syahid di jalan Islam).
Abu Fulaikah
mengalami siksaan yang berbeza, nama asalnya ialah Aflah, hamba dari bani Abdi
Ad Dar, ia diikat kedua kakinya dengan ikatan yang kuat, lalu dia diseret di
atas padang pasir nan tandus.
Begitu pula
Khabab bin Al-Arats ra, hamba milik Ummu Ammar binti Siba’ al-Khuza’iyyah. Ia
juga mendapat siksaan yang tidak kalah pedihnya berbanding sahabat-sahabat
lainnya. Di mana ia dipegang rambutnya lalu ditarik dengan tarikan yang keras,
dan menjeratkan tali di lehernya dan menelentangkannya ke tanah beberapa kali
di atas pasir yang panas menyengat. Kemudian mereka meletakkan batu di atas
tubuhnya dan menyeterika tubuh lemah itu dengan batu tersebut, hingga ia
terkulai lemas dan tidak mampu untuk bangkit lagi.
Mush’ab bin
‘Umair ra diusir oleh ibunya dari rumahnya setelah ibunya mengetahui keislaman
puteranya.
Begitu pula
dengan apa yang dialami oleh Utsman bin Affan setelah ia memeluk Islam, bapa
saudaranya menyelubunginya dengan tikar
dari daun kurma, lalu menariknya dari bahagian bawahnya.
Bukan hanya itu
sahaja perlakuan kaum Quraisy terhadap kaum muslimin. Bahkan mereka ada yang
memakaikan pakaian besi, kemudian melemparkannya di batu yang panas membakar
kulit.
Senarai
orang-orang yang disiksa kerana keislaman mereka masih banyak dan panjang serta
mengerikan. Siapapun yang diketahui masuk Islam, pasti ia akan mendapatkan
siksaan yang sangat mengerikan.
Kisah-kisah
sahabat di atas hanya sekadar pengingat, bahwa keyakinan yang kita imani dalam
hati, terucap dengan lidah dan kita buktikan dengan amal nyata dalam realiti
kehidupan kita, memerlukan penjagaan dan pemeliharaan semaksimum kemampuan kita
agar iman kita :
a. Tidak
lekang disapa hawa panas.
b. Tidak
lapuk dijirus hujan.
c. Tidak
terpengaruh dengan pergantian musim.
Ujian kehidupan
adalah ibarat garam dalam ramuan masakan. Cuba kita bayangkan sayur kailan
tanpa ikan masin atau ayam goreng tanpa garam dan seterusnya.
Ujian kehidupan
yang menyapa kita, jika kita hadapi dengan sabar dan ‘tsabat’, maka ia akan
membantu kita meraih kedewasaan iman dan mencapai kematangan ruhani.
Namun
sebaliknya, jika kita tidak sabar dalam menghadapi ujian kehidupan berupa :
a. Kemiskinan.
b. Kegagalan
dalam membangun perniagaan.
c. Kesakitan
yang mendera tubuh.
d. Pemergian
orang-orang yang kita kasihi.
e. Celaan
orang-orang yang jauh dari petunjuk Allah.
f. Kesempitan
hidup yang menghimpit.
g. Kedukaan
yang mendera jiwa.
h. Musibah
alam semulajadi yang merosakkan harta benda.
i.
Perampasan hak asasi dan kebebasan individu oleh
pemerintah yang zalim.
atau yang senada
dengan itu, maka kita tidak akan lulus dalam menghadapi ujian-Nya.
Demikian pula
jika kita tidak ‘tsabat’ dalam menerima anugerah-Nya berupa :
1. Tubuh
yang sentiasa sihat dan segar.
2. Kelapangan
dalam rezeki.
3. Perniagaan
yang sentiasa memberikan pulangan keuntungan yang baik.
4. Kemasyhuran
yang tidak pernah meredup.
5. Kejayaan
dalam setiap usaha yang diceburi.
atau yang
seirama dengan itu, namun jika kita tidak dapat mengembangkan makna syukur,
jiwa yang semakin subur dan akal yang penuh tafakkur, maka kita telah merelakan
diri kita terlempar dari kafilah orang-orang yang ‘tsabat’.
TABIAT JALAN DAKWAH DAN KEPENTINGAN THABAT
Imam Hasan Al-Banna
telah menjelaskan mengenai tabiat jalan dakwah di dalam risalahnya “Di
antara semalam dan hari ini.”
“ Semua kerajaan akan
menghalang jalan kamu, Setiap kerajaan akan menyekat kegiatan kamu, dan mereka
akan wujudkan pelbagai sekatan sepanjang jalan kamu, mereka akan saling
bekerjasama menggunakan apa sahaja cara untuk menghapuskan kamu dan melenyapkan
sinar dakwah kamu….
… Mereka akan mempergunakan segala kerajaan yang lemah, golongan yang
berakhlak buruk, golongan yang pada satu masa yang lalu menghulur tangan
mengharapkan bantuan mereka dan dalam masa yang lain menghulur tangan menindas
dan memusuhi kamu…
…Semua pihak akan menimbulkan pelbagai syak wasangka dan fitnah kepada
dakwah kamu. Mereka akan cuba memburuk-burukkan dakwah ini. Mereka akan
memaparkan dakwah ini kepada orang ramai dalam bentuk yang amat buruk. Mereka
menggunakan segala kekuatan dan kuasa yang ada pada mereka…
… Mereka akan bertindak menggunakan segala harta dan kuasa yang mereka
miliki.
“Mereka hendak memadamkan cahaya Allah (agama
Islam) dengan mulut mereka, sedang Allah tidak menghendaki melainkan
menyempurnakan cahaya-Nya, sekalipun orang-orang kafir tidak suka (akan yang
demikian).” (QS At-Taubah : 32)
… Sudah tentu kamu terpaksa melalui era ujian dan cubaan. Kamu akan
dipenjara dan ditangkap. Kamu akan dihalau dan diusir. Segala harta kamu akan
dirampas. Kamu akan dipecat dan rumah kamu akan digeledah. Mungkin ujian ini
akan berlaku dalam tempoh yang lama.
“Apakah manusia mengira bahwa mereka akan dibiarkan
hanya dengan mengatakan, “Kami telah beriman,” dan mereka tidak diuji?” (QS Al-Ankabut
: 2)
… Namun Allah janjikan kamu kemenangan bagi
mereka yang berjuang. Allah janjikan bagi mereka yang benar-benar beramal lagi
melakukan kebaikan.
Firman
Allah swt :
“Dan betapa
banyak nabi yang berperang didampingi sejumlah besar dari pengikut (nya) yang
bertaqwa. Mereka tidak (menjadi) lemah kerana bencana yg menimpa nya di jalan
Allah, tidak patah semangat dan tidak (pula) menyerah (kepada musuh). Dan Allah
mencintai orang-orang yang sabar. Dan tidak lain ucapan mereka hanyalah doa,
“Ya Tuhan kami, ampunilah dosa-dosa kami dan tindakan-tidakan kami yang
berlebihan (dalam urusan kami) dan tetapkanlah pendirian kami terhadap orang-orang
kafir”. Maka Allah memberi mereka pahala di dunia dan pahala yang baik di
akhirat. Dan Allah mencintai orang-orang yang berbuat kebaikan.” (QS Ali Imran
: 146 – 148)
PENDIRIAN-PENDIRIAN YANG AMALI
Allah swt telah memberi taufiq kepada Ikhwanul
Muslimin untuk menjulang panji-panji perjuangan. Allah swt juga telah
mengurniakan kepada mereka ‘At-Thabat’ untuk menjulangnya,
walaupun mereka berhadapan dengan berbagai tribulasi, gangguan dan tipu daya
serta mereka terjun dalam pertembungan-pertembungan yang sengit, namun mereka
tetap hidup dengan ‘thabat’
secara amali dan bukan semata-mata slogan yang bersifat teori.
Di antara sebab-sebab yang membantu mereka untuk ‘thabat’
di atas jalan Allah adalah kerana mereka memiliki :
a.
Iman yang kuat – yang memberi
mereka cahaya serta menyuluh jalan dakwah yang dilalui serta memelihara mereka
dari penyimpangan semasa melalui jalan dakwah tersebut.
b.
Ukhuwah (persaudaraan yang
benar) – yang memperkukuhkan langkah-langkah yang diambil di atas jalan
tersebut.
Dr Mazin Farukh
dalam kitabnya “Al-Raid Durus Fi Ad-Dakwah Wat Tarbiyah” menyebut beberapa cara
agar kita menjadi orang yang ‘tsabat’ di jalan Allah, di
antaranya :
PERTAMA : KEYAKINAN KITA TERHADAP KEBENARAN
AJARAN AGAMA YANG KITA ANUTI
Kita sedar bahwa
jalan Allah bukanlah hamparan jalan yang ditaburi dengan bunga mawar dan
keindahan tetapi ia adalah jalan yang dipagari dengan duri dan diselimuti oleh batu-batu
yang licin dan curam. Namun, kita yakin bahwa di akhirat sana ada :
a. Bidadari
bermata jeli yang sedang menanti kedatangan kita.
b. Pahala
yang berlipat ganda menunggu kita.
c. Syurga
yang mendambakan kedatangan kita ke sana.
KEDUA : MEMILIKI KETERIKATAN HATI YANG KUAT
DENGAN AL QUR’AN
Ini adalah
kerana Al Qur’an merupakan :
1. Penuntun
jalan hidup kita.
2. Pelita
hidup kita.
3. Obor
penerang dalam perjalanan kita.
4. Ruh
penggerak amal soleh kita.
5. Ubat
penawar penyakit hati kita.
6. Pengingat
di kala kita lupa.
7. Pembangkit
saat kita terjatuh.
8. Pembangun
ketika kita terlelap.
Sukar untuk membayangkan
seorang mu’min yang berjauhan dengan Al-Qur’an; tentulah :
a. Matanya
sayu.
b. Wajahnya
suram.
c. Hatinya
gelap.
d. Pandangannya
redup.
e. Perkataannya
kasar.
f. Perilakunya
tidak sedap di pandang mata.
g. Percakapannya
panas didengar oleh telinga kita.
KETIGA : MENENGADAHKAN TANGAN KE LANGIT
(BERDOA KEPADA ALLAH SWT) MEMOHON KETEGUHAN HATI
Kita menjadi
kuat jika kita berpegang pada pautan Zat yang Maha Kuat. Ia adalah suatu
perkara yang sangat-sangat kita perlukan agar kita mampu melalui ujian-Nya
dengan penuh keridhaan.
KEEMPAT : BANYAK BERINTERAKSI DENGAN
ORANG-ORANG YANG TSABAT
Imam Ahmad justeru
belajar ‘tsabat’ dari seorang pencuri, yang ‘tsabat’ ketika dirotan
puluhan kali setiap hari kerana ia telah mengambil barang orang lain tanpa hak.
KELIMA : MEMBUKA LEMBARAN HIDUP PARA
SALAFUS SOLEH
Ibrahim Al-Harbi
pernah berkata,
“Aku menemani Imam Ahmad selama dua puluh
tahun, di kala malam dan siang, musim panas dan musim dingin, aku tidak melihat
setiap harinya kecuali aku saksikan ke-tsabatan-nya semakin mengkagumkan dan
amalannya semakin bertambah.”
KEENAM : MENGENANG NIKMAT ALLAH SWT DI MANA
DIA MEMILIH KITA SEBAGAI PEJUANG DI JALANNYA
Ada lagikah satu
nikmat yang lebih besar dari nikmat tersebut? Tentu tidak ada wahai saudaraku.
Menjadi bahagian dari busur-busur kebaikan dan kebenaran adalah nikmat terbesar
yang Allah anugerahkan kepada kita.
Maka, mulai hari
ini dan seterusnya, marilah kita belajar bagaimana untuk :
1. ‘Tsabat’
dalam menjalani ujian kehidupan.
2. Sabar
dalam menghadapi mihnah-Nya.
3. Tegar
dalam menelusuri tribulasi-Nya.
Sesungguhnya ‘Thabat’
merupakan satu taklif atau tanggungjawab yang amat besar, oleh itu ganjarannya
juga amat besar.
Allah swt akan :
a. Bersama dengan hambanya yang ‘thabat’.
b. Menenangkannya.
c. Meringankan rasa bebanannya.
d. Melapangkan dadanya.
e. Menolongnya.
f. Mendekatkan mereka kepada-Nya di dalam
syurga di tempat yang disenangi di sisi Tuhan Yang Maha Kuasa.
Ini semua kita
lakukan agar kita mendapat balasan lima puluh kali ganda dibandingkan pahala
yang Allah berikan kepada para sahabat, generasi terbaik umat ini.
Ya Allah,
kurniakanlah kepada kami ‘thabat’ (ketegaran) untuk meniti
jalanMu walaupun tabiat jalan ini adalah panjang, sukar dan dihiasi dengan
pelbagai ujian yang berat sehingga kami kembali kepadaMu samada dengan
memperolehi kemenangan ataupun syahid di atas jalanMu serta mendapat syurga dan
keridhaanMu.
Ameen Ya Rabbal
Alameen
WAS