skip to main | skip to sidebar

Tinta Perjalanan

Pages

  • Home
 
  • RSS
  • Facebook
  • Twitter
  • Linkedin
  • Youtube
  • DheTemplate.com
  • Free Templates
  • Drop Menu 1
    • Child Menu 1.1
    • Child Menu 1.2
    • Child Menu 1.3
  • Drop Menu 2
    • Child Menu 2.1
    • Child Menu 2.2
    • Child Menu 2.3
  • Daily Update Templates

Ahlan Wasahlan


Perjalanan Menuju Allah.

Thursday, 30 May 2013

Membentuk Generasi Pengubah

Ditulis Oleh WAS Pada 18:56 – 0 Komen Anda
 
Di antara perkara yang sentiasa tersemat di dalam pemikiran kita bahwa dakwah yang kita laksanakan bukan bertujuan untuk mendapat habuan duniawi tetapi adalah untuk kesejahteraan ummat manusia.
 
Yang menjadi persoalan hanyalah bagaimanakah tindakan kita untuk kerja-kerja dakwah ini  dan tentunya Allahlah yang sentiasa memudahkan setiap langkah-langkah kita dalam perjalanan dakwah yang panjang dan tiada hentinya ini.

Perlu kita ingatkan bahwa dakwah pasti akan mencapai kemenangan samada dengan atau tanpa kita. Maka, keterlibatan kita dalam dakwah adalah suatu pilihan dan terpulang kepada kita samada hendak menjadi :
 

a.      Penonton.

b.     Pemain utama.

c.      Sekadar komentator dakwah.

 
Semoga Allah berkenan menjadikan diri kita sebagai sebahagian dari pelaksana bagi kemenangan dakwah itu.

Firman Allah swt :

“Wahai orang-orang yang beriman, barangsiapa di antara kamu yang murtad dari agamanya, maka kelak Allah akan mendatangkan suatu kaum yang Allah mencintai mereka dan merekapun mencintaiNya, yang bersikap lemah lembut terhadap orang yang mukmin, yang bersikap keras terhadap orang-orang kafir, yang berjihad dijalan Allah, dan yang tidak takut kepada celaan orang yang suka mencela. Itulah kurniaan Allah, diberikan-Nya kepada siapa yang dikehendaki-Nya, dan Allah Maha Luas (pemberian-Nya), lagi Maha Mengetahui.” (QS Al-Maidah : 54)

Sejarah sentiasa berulang dan dalam pengulangan peristiwa sejarah itu terdapat cerita tentang keadaan umat manusia yang berulang kali menyimpang dari jalan yang benar dan berulang kali pula datang kelompok lain yang menyeru mereka untuk kembali ke jalan yang lurus.

Rasulullah saw memberi pencerahan terhadap perkara ini sebagaimana hadith berikut :

“Rasulullah saw membuat garisan dengan tangannya lalu bersabda, ‘Ini jalan Allah yang lurus.’ Lalu baginda membuat garisan-garisan di kanan kirinya, kemudian bersabda, ‘Ini adalah jalan-jalan yang sesat, tidak satu pun dari jalan-jalan ini kecuali di dalamnya terdapat syaitan yang menyeru kepadanya. Seterusnya baginda membaca firman Allah swt, ‘Dan bahwa (yang Kami perintahkan ini) adalah jalanKu yang lurus maka ikutilah dia janganlah kamu mengikuti jalan-jalan (yang lain) kerana jalan-jalan itu menceraiberaikan kamu dari jalanNya. Yang demikian itu diperintahkan oleh Allah kepadamu agar kamu bertaqwa.” (QS Al-An’am : 153) (HR Ahmad dan Nasa’ie)

Begitu hebat Rasulullah saw melakukan pengajaran pada umatnya melalui sebuah grafik bervisual sehingga para penuntut ilmu yang kuat daya visualnya akan menangkap kuat kesan itu pada kotak pemikiran mereka.

Garisan yang lurus itu telah diterokai oleh Nabi Nuh as, Hud as, Soleh as, Ibrahim as, Luth as, Syu’aib as dan para nabi beserta para pengikutnya. Mereka semua adalah kelompok reformis yang berusaha untuk mengubah keadaan ruh masyarakat yang telah lesu agar menjadi segar kembali.

Sedangkan orang-orang yang berada di garisan yang ada di kanan dan di kiri garisan yang lurus itu adalah penyembah berhala, peliwat, pembunuh unta betina milik Allah, pedagang yang curang dan kaum penyimpang lainnya.

Hati boleh menjadi berkarat dan keadaan umat boleh menjadi keruh. Oleh yang demikian, ia perlu disegarkan kembali.

Ketika datang seseorang mengeluh betapa hari-hari kebelakangannya dilanda perasaan jemu sehingga Ibnu Mas’ud menasihati orang itu agar :

1.     Membaca Al-Qur’an.

2.     Mendatangi majlis ilmu.

3.     Bersunyi-sunyi menghadapi Allah di malam yang gelap.

Pesanannya kepada orang itu adalah :

“Hati boleh menjadi jemu. Mintalah kepada Allah akan hati yang segar.”

Oleh kerana itu, ruh umat ini juga boleh menjadi lesu apabila berlakunya penyimpangan di kalangan mereka.

Imam Hasan Al-Banna juga melakukan usaha penjelmaan semula pada ruh umat ketika beliau berpesan kepada barisan pendakwah yang ikhlas :

“Kamu adalah ruh baru di tengah-tengah umat.”

Ini adalah di antara sebuah ungkapan yang terkenal di kalangan para pendakwah.

Ruh baru adalah suatu kelompok istimewa yang menyeru perkara-perkara yang ma’ruf kepada umatnya dan mencegah berlakunya kemungkaran.

“Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan, menyuruh kepada yang ma’ruf dan mencegah dari yang mungkar; merekalah orang-orang yang beruntung.” (QS Ali-Imran : 104)

Ruh baru inilah yang disebut oleh Allah dalam surah Al-Maidah ayat 54 di atas di mana mereka akan didatangkan apabila umat manusia telah “membelakangi” agama yang lurus.

Dalam ayat tersebut, Allah swt telah menjelaskan tentang ciri-ciri generasi yang berusaha untuk mengubah keadaan masyarakat tersebut.

Tiga perkataan yang merangkumi ciri-ciri kelompok tersebut adalah :

a.      Cinta.

b.     Keharmonian.

c.      Amal atau kerja.

PERTAMA : CINTA

Golongan yang bekerja dengan cinta itu digambarkan oleh Allah swt dengan kata-kata :

“kaum yang Allah mencintai mereka dan merekapun mencintai-Nya.”

Adalah suatu kemestian bahwa cinta yang suci itu tetap berada di muka bumi.

Apabila umat manusia membangkang, membelakangi agama yang lurus dan menyia-nyiakan kekuatan cinta kepada Allah swt, maka boleh dipastikan bahwa umat tersebut berada di hujung kemusnahannya. Ini adalah janji Allah bahwa Ia akan menggantikan mereka dengan golongan yang menjaga hubungan cinta ini.

Cinta kepada Allah tentulah memiliki berbagai keterikatannya. Ia boleh berupa aktiviti :

1.     Mencintai Rasulullah kerana Allah.

2.     Mencintai  ibubapa kerana Allah.

3.     Mencintai jihad kerana Allah.

4.     Mencintai objek dakwah kerana Allah.

Cinta kepada Allah wujud dalam berbagai dimensi aktiviti manusia yang diniatkan untuk mencari ridha Allah. Maka penuhlah gerakan generasi pengubah itu dengan nyalaan cinta.

Sebagai timbal baliknya, Allah swt juga mencintai generasi pengubah. Bahkan tindakbalas  Allah lebih cepat dari manusia. Cinta Allah swt meskipun tidak mungkin diterjemahkan dalam bentuk kuantiti, namun yang pasti ianya lebih besar dari cinta manusia dengan segala keterbatasannya. Keyakinan seperti ini dapat difahami melalui hadith qudsi berikut :

“Aku sesuai dengan sangkaan hamba-Ku, dan Aku bersamanya jika dia mengingati-Ku. Jika dia mengingati-Ku dalam dirinya, pasti Aku mengingatinya dalam diri-Ku. dan jika dia mengingati-Ku dalam suatu himpunan (majlis), pasti Aku mengingatinya dalam majlis yang lebih baik dari mereka. Dan jika dia mendekatiku sejengkal, pasti Aku mendekatinya sehasta, dan jika dia mendekati Aku sehasta, pasti Aku mendekatinya sedepa. Dan jika dia datang kepada-Ku berlari, pasti Aku datang kepadanya berlari-lari kecil.” (HR Bukhari)

KEDUA : KEHARMONIAN

Ada satu falsafah hidup yang terkenal dari negara Cina iaitu : Yin Yang.

Ringkasnya, Yin Yang menggambarkan dua karakter yang berlawanan, namun mampu membangun dan membentuk keharmonian.

Gambaran karakter berlawanan namun membangun keharmonian itulah yang ada pada watak generasi pengubah.

Karakternya adalah :

“yang bersikap lemah lembut terhadap orang yang mukmin, yang bersikap keras terhadap orang-orang kafir.”

Kelembutan dan watak keras bersepadu pada sebuah peribadi dan tersalur pada objek yang tepat.

Islam mengenali keharmonian dari dua karakter yang berlawanan ini.

Misalnya  :

a.      Islam menyuruh manusia mencari akhirat, namun melarang untuk melupakan dunia.

b.     Ada istilah bagi tentera Islam iaitu  “Rahib di malam hari, dan penunggang kuda yang hebat di siang hari.”

Begitulah ramuan yang wujud dalam karakter lembut dan tegas dari seorang ahli generasi pengubah iaitu ianya sebuah keharmonian cara penyikapan.

Kelembutan ia praktikkan pada sesama mukmin yang hatinya terikat pada Allah swt dan ketegasan ia lampiaskan pada manusia yang tidak mahu tunduk kepada peraturan Allah swt.

Namun watak keras dan tegas itu bukan bererti menghapuskan kewajiban bersikap adil dan berlaku baik pada orang kafir.

“Allah tiada melarang kamu untuk berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang-orang yang tiada memerangimu kerana agama dan tidak (pula) mengusir kamu dari negerimu. Sesungguhnya Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil.” (QS Al Mumtahanah : 8)

Pada tahap perlaksanaan, semua itu bersifat anjal.

Perkataan “a-‘izzatin” (bererti kemuliaan, kekuatan atau kewibawaan; dalam ayat ini diterjemahkan dengan “bersikap keras kepada orang kafir”) ini mestilah diterapkan dalam semua dimensi.

1.     Umat Islam memiliki ‘izzah dalam ekonomi sehingga tidak ditindas oleh kaum kafir pendatang.

2.     Umat Islam memiliki ‘izzah dalam kekuatan ketenteraan sehingga tidak ditindas oleh negara kafir yang berjiran.

3.     Umat Islam memiliki ‘izzah dalam pendidikan sehingga tidak perlu menempuh perjalanan yang jauh ke negara kafir yang begitu rosak moralnya hanya demi mendapatkan gelaran dalam bidang pendidikan.

Generasi pengubah mestilah bersedia untuk mengisi berbagai dimensi kehidupan dengan kemuliaan umat Islam sehingga karakter “a-‘izzatin ‘alal kafirin”, dapat dipenuhi.

KETIGA : AMAL ATAU KERJA

Ciri yang terakhir adalah karakter pekerja :

“Yang berjihad dijalan Allah, dan yang tidak takut kepada celaan orang yang suka mencela.”

Jihad memerlukan kerja kuat dan mental yang waja kerana jihad sentiasa dibayangi oleh celaan orang yang suka mencela.

Perhatikanlah bagaimana orang-orang munafik Madinah mengolok-olokkan kaum muslimin setelah pulang dari perang Uhud.

Celaan orang munafik ini ibarat garam yang ditabur di atas luka yang diperolehi dari medan jihad. Mereka dengan sombongnya menganggap orang muslim tidak mengerti taktik berperang dan berkata sekiranya orang munafik itu yang ada di medan perang, tentu umat muslim tidak dilanda kekalahan. Ini adalah satu celaan yang menyakitkan.

Namun, respon dari celaan itu adalah dengan tetap berjihad hingga datang suatu pembuktian dan jaraknya tidak terlalu jauh dari celaan orang kafir itu hingga Rasulullah saw dengan jihad baginda itu mampu menaklukkan Makkah. Fokus bekerja dan pembuktian itu datang atas kehendak Allah swt.

Begitulah karakter generasi pengubah di mana mereka adalah generasi pekerja yang berusaha melawan arus dengan mengajak umat kembali ke jalan yang lurus dan ini adalah sesuatu yang tidak popular di tengah-tengah masyarakat yang telah membelakangi agamanya.

Oleh yang demikian, bersedialah dan jangan takut dengan celaan orang yang suka mencela!

Ulama’ telah menerangkan bahwa jihad wujud dalam berbagai dimensi kehidupan umat Islam.

a.      Ada jihad dalam bentuk ekonomi.

b.     Ada jihad dalam bentuk mencari ilmu.

Namun, tentulah jihad yang utama adalah berbentuk konfrontasi termasuk menyiapkan kekuatan yang mampu menggentarkan musuh Allah.

Untuk mengubah masyarakat memerlukan jihad dalam berbagai aspek kehidupan.

Di saat masyarakat sudah terbiasa dengan ekonomi riba, tidak ada cara lain mengubahnya melainkan dengan jihad.

Di saat masyarakat berpandangan sekular disebabkan oleh kurikulum yang dilalui mereka dalam pembelajaran, maka jalan jihad adalah cara untuk mengubah kurikulum pendidikan.

Begitulah jihad diperlukan dalam berbagai dimensi kehidupan yang lain.

Jadi, terpulang kepada kita untuk memilihnya samada ingin menjadi generasi yang diganti, atau menjadi generasi pengganti / pengubah kerana syarat-syaratnya sudah jelas.

Namun ramai manusia yang tidak sedar bahwa Islam datang dengan dua tarikan :

1.     Tarikan kebenaran yang bersifat abadi.

2.     Tarikan manusia muslim yang bersifat sementara.

Pada setiap momentum sejarah di mana kedua-dua tarikan ini bertemu, Islam sentiasa berada di puncak kekuatan dan kejayaannya.

Suatu yang perlu difikirkan adalah Islam memang tidak akan pernah kehilangan tarikan kebenarannya kerana kebenarannya bersifat abadi. Namun, ia kini masih kehilangan tarikan kemanusiaannya.

Bagi menjadikan muslim sebagai tarikan Islam, maka kita perlu mempertemukan manusia-manusia muslim itu dengan hakikat kecemerlangan dirinya melalui batu-batu tanda dalam perjalanan kehidupannya.

BATU TANDA PERTAMA : KONSEP DIRI

Konsep diri adalah suatu kesedaran peribadi yang utuh, kuat, jelas dan mendalam tentang :

a.      Visi dan misi hidup.

b.     Pilihan jalan hidup beserta prinsip dan nilai yang membentuknya.

c.      Peta potensi diri.

d.     Keupayaan diri.

e.      Kecemerlangan diri.

f.      Peranan yang menjadi wilayah perlaksanaan dan sumbangan.

g.     Rancangan amal dan karya yang unggul.

Konsep diri menciptakan perasaan terarah dalam struktur kesedaran peribadi kita di mana perasaan terarah ini adalah salah satu dari hakikat kecemerlangan.

Konsep diri manusia Muslim adalah kesedaran yang mempertemukan antara :

1.     Kehendak-kehendaknya sebagai manusia.

2.     Model manusia Muslim yang ideal dan sejagat dengan keupayaan dirinya yang nyata dan unik.

3.     Nilai-nilai Islam yang komprehensif dan bersepadu dengan keunikan-keunikan peribadinya sebagai individu.

4.     Ruang amal dan ciptaan yang disediakan Islam dengan kemampuan peribadinya untuk beramal dan berkarya.

5.     Idealisma Islam dengan realiti peribadinya.

BATU TANDA KEDUA : CAHAYA FIKIRAN

Perubahan, perbaikan dan pengembangan keperibadian mestilah sentiasa dimulai dari fikiran kita.

Ini adalah kerana tindakan, perilaku, sikap dan kebiasaan kita sesungguhnya ditentukan oleh fikiran-fikiran yang memenuhi kotak pemikiran kita.

Bukan hanya itu, semua emosi atau perasaan yang kita rasakan dalam jiwa kita seperti kegembiraan dan kesedihan, kemarahan dan ketenangan, juga ditentukan oleh fikiran-fikiran kita.

Kita sesungguhnya adalah apa yang kita fikirkan.

Maka, kekuatan keperibadian kita akan terbangun di saat kita mulai memikirkan :

a.      Fikiran-fikiran kita sendiri.

b.     Cara kita berfikir.

c.      Kemampuan berfikir kita.

d.     Bagaimana seharusnya kita berfikir.

Benih dari setiap karya-karya besar yang kita saksikan dalam sejarah sentiasa terlahir pertama kalinya di sana iaitu di alam fikiran kita. Itulah ruang pertama dari semua kenyataan hidup yang telah kita saksikan.

BATU TANDA KETIGA : KEKUATAN TEKAD

Tekad adalah jambatan di mana fikiran-fikiran masuk dalam wilayah fizikal dan menjelma menjadi tindakan.

Tekad adalah tenaga bagi jiwa yang memberikan kekuatan kepada fikiran untuk merubahnya menjadi tindakan.

Fikiran tidak akan pernah berakhir dengan tindakan jika ia tidak turun dalam wilayah hati dan berubah menjadi keyakinan dan kemahuan serta kemudiannya membulat menjadi tekad.

Apabila ia menjelma menjadi tekad, maka ia akan memperolehi tenaga yang akan merangsang dan menggerakkan tubuh untuk melakukan perintah-perintah fikiran.

Apabila tekad itu kuat dan membaja, maka tubuh tidak akan sanggup menolak perintah-perintah fikiran tersebut.

Namun, apabila tekad itu lemah, maka daya rangsangan dan gerakannya terhadap tubuh tidak  kuat sehingga perintah-perintah fikiran itu tidak begitu berwibawa untuk dilaksanakan oleh tubuh kita.

Maka, kekuatan dan kelemahan keperibadian seseorang sangat ditentukan oleh sebesar mana tekadnya yang merupakan tenaga jiwa dalam dirinya. Tekad yang membaja akan meluluskan setiap fikiran di seluruh prosedur kejiwaan dan segera merubahnya menjadi tindakan.

BATU TANDA KEEMPAT : KELUHURAN SIFAT

Sesungguhnya, semua kekuatan dalaman samada konsep diri, fikiran dan tekad yang telah kita bangunkan dalam diri kita, sepatutnya berakhir pada kemunculan sifat-sifat keluhuran.

Kecemerlangan seseorang di dalam kehidupan sesungguhnya berasal (salah satunya) dari hakikat keluhuran budi pekertinya.

Dari hakikat keluhuran itu, semua nilai-nilai kemanusiaan yang mulia terjalin menjadi satu kesatuan dan menampakkan diri dalam bentuk sifat-sifat terpuji.

Sifat-sifat itulah yang akan nampak di permukaan keperibadian kita mewakili keseluruhan tarikan kekuatan keperibadian yang kita miliki, yang sebahagiannya terpendam di kedalaman dasar keperibadian kita.

Kekuatan tarikan sifat-sifat keluhuran itu umpama sihir yang akan menaklukkan akal dan hati orang-orang yang ada di sekitarnya atau yang berhubungan dengannya secara langsung.

Setiap sifat memiliki akar tersendiri yang terhunjam di kedalaman fikiran dan emosi kita.

Seperti juga sebuah pokok, sifat-sifat itu tersusun sedemikian rupa di mana sebahagian mereka melahirkan sebahagian yang lain.

Ada sejumlah sifat-sifat tertentu yang berfungsi seperti akar pada pokok yang kemudiannya tumbuh berkembang menjadi batang, dahan, ranting, daun dan buah.

Demikianlah kita tahu bahwa semua sifat keluhuran berakar pada lima sifat iaitu :

1.     Cinta kebenaran.

2.     Kesabaran.

3.     Kasih sayang.

4.     Kedermawanan.

5.     Keberanian.

BATU TANDA KELIMA : PENGURUSAN ASET ASASI

Cita-cita besar, fikiran-fikiran besar dan kemahuan-kemahuan besar sentiasa memerlukan daya dukung yang juga wasilahnya besar. Salah satunya dalam bentuk pengelolaan dua aset asas secara baik, iaitu kesihatan dan waktu.

Fizikal adalah kenderaan jiwa dan fikiran. Perintah-perintah fikiran dan kehendak-kehendak jiwa tidak akan terlaksana dengan baik apabila fizikal tidak berada dalam keadaan kesihatan yang terbaik.

Kadang-kadang, jumlah “penumpang” yang menonggang fizikal kita melebihi kapasitinya dan membuatnya jadi goyang namun, rawatan yang baik akan menciptakan keseimbangan yang rasional antara muatan dan kapasiti kenderaan.

Waktu adalah kehidupan. Setiap manusia diberikan kehidupan sebagai batas masa kerja dalam jumlah yang berbeza-beza yang kemudiannya kita sebut dengan umur yang terbentang dari kelahiran hingga kematian.

Tidak ada manusia yang mengetahui akhir dari batas masa kerja itu yang kemudiannya kita sebut sebagai ajal. Hal ini menciptakan suasana ketidakpastian, tetapi itulah aset paling berharga yang kita miliki.

Ibarat menempuh sebuah perjalanan yang panjang, fizikal kita berfungsi sebagai kereta dan waktu yang terbentang jauh atau dekat seperti jalanraya.

Seorang pemandu boleh menentukan destinasi terakhir yang dituju, tetapi dia perlu menjamin bahwa kereta yang dipandunya dan jalanraya yang akan dilaluinya benar-benar berada dalam keadaan yang baik.

Kesihatan dan waktu adalah dua unsur berharga kehidupan yang sangat terbatas, namun  manusia-manusia cemerlang dan bermental pengubah sentiasa dapat meraih sesuatu secara maksimum dari semua keterbatasan yang melingkunginya.

BATU TANDA KEENAM : INTEGRASI SOSIAL

Kemampuan beradaptasi dengan lingkungan masyarakat di mana kita berada bukan sahaja merupakan ukuran kematangan peribadi seseorang, tetapi ianya lebih dari itu kerana lingkungan sosial kita mestilah dipandang sebagai wadah kita untuk menyemai semua kebaikan yang telah kita kembangkan dalam diri kita.

Dengan cara pandang seperti ini, maka setiap diri kita akan membangunkan hubungan sosialnya dengan semangat penyertaan dan menebarkan bunga-bunga kebaikan di taman kehidupan masyarakat kita.

Dengan semangat ini, maka semua usaha kita untuk menciptakan keharmonian sosial menjadi nyata. Bukan sahaja dengannya kita dapat menyebarkan kebaikan yang tersimpan dalam diri kita, tetapi juga kerana kita menciptakan landasan yang kukuh untuk meraih kejayaan, keberkatan kehidupan dan kebahagiaan dalam hidup.

Jika kematangan peribadi merupakan landasan bagi kejayaan sosial, maka kejayaan sosial merupakan landasan bagi kejayaan lain dalam kehidupan seperti kejayaan profesyen.

BATU TANDA KETUJUH : SUMBANGAN

Kehadiran sosial kita tidak boleh berhenti pada tahap penyertaan. Perlu ada langkah yang lebih jauh dari sekadar penyertaan iaitu :

a.      Karya besar yang kita sumbangkan kepada masyarakat, yang berguna bagi kehidupan mereka.

b.     Suatu usaha yang akan dicatat sebagai jejak sejarah kita.

c.      Suatu amal utama yang membuatkan kita layak mendapatkan ridha Allah swt dan sebuah tempat terhormat dalam syurga-Nya.

Sumbangan itu boleh kita berikan pada :

1.     Wilayah pemikiran.

2.     Wilayah profesionalisma.

3.     Wilayah kepemimpinan.

4.     Wilayah kewangan.

Namun, sumbangan apa pun yang hendak kita berikan, seeloknya memenuhi dua syarat :

a.      Memenuhi keperluan masyarakat kita.

b.     Ia dibangunkan hasil dari keupayaan dan ketrampilan kita.

Masyarakat adalah pengguna karya-karya kita, maka yang terbaik yang kita berikan kepada mereka adalah apa yang paling mereka perlukan dan apa yang tidak dapat dipenuhi oleh orang lain.

Walaubagaimanapun, kita tidak dapat berkarya secara maksimum di luar dari keupayaan dan ketrampilan kita. Oleh yang demikian, kita perlu mencari titik pertemuan di antara keduanya.

Caranya adalah seperti berikut :

1.     Buatlah peta keperluan keadaan masyarakat kita.

2.     Kemudian buatlah peta potensi kita untuk menemukan keupayaan dan ketrampilan diri kita.

3.     Apabila titik pertemuan itu telah kita temukan, maka masih ada satu lagi yang perlu kita lakukan iaitu menjemput momentum sejarah untuk meledakkan potensi kita menjadi karya-karya besar yang monumental.

Ini semua memerlukan kita memiliki kesedaran yang mendalam akan tugas sejarah kita sebagai peribadi, sekaligus firasat yang tajam tentang momentum-momentum sejarah kita.

BATU TANDA KELAPAN : ISTIQAMAH

Sebagai manusia beriman, kita meyakini sebuah prinsip bahwa bahagian yang paling menentukan dari seseorang adalah akhir kehidupannya.

Maka, persoalan paling berat yang kita hadapi sesungguhnya bukanlah mendaki gunung, tetapi bagaimana bertahan di puncak gunung itu hingga ke akhir hayat.

Mengukir sebuah prestasi besar dalam kehidupan dan mempertahankannya hingga akhir hayat adalah dua misi dan tugas hidup yang berbeza.

Ianya berbeza pada :

a.      Kapasiti tenaga jiwa yang diperlukannya.

b.     Proses-proses psikologinya.

c.      Ukuran kejayaannya.

Untuk dapat bertahan di puncak, kita perlu mengelakkan diri dari jerat-jerat kejayaan seperti rasa puas hati yang berlebihan atau perasaan menjadi besar dengan kejayaan yang telah kita raih.

Kita sebenarnya perlu :

1.     Mempertahankan obsesi pada kesempurnaan peribadi.

2.     Melakukan perbaikan secara berterusan.

3.     Melakukan pertumbuhan tanpa batas akhir.

4.     Mempertahankan semangat kerja dengan menghadirkan kerinduan abadi kepada syurga dan kecemasan abadi dari neraka.

5.     Menyempurnakan semua usaha-usaha fitriyah kita dengan berdoa kepada Allah untuk mendapatkan husnul khatimah.

Semua itu kita lakukan agar kita mampu menjemput takdir sejarah kita yang terhormat di bawah naungan ridha Allah swt dan agar kita kelak akan menceritakan episod panjang semangat kesatria ini kepada saudara-saudara kita di syurga nanti, insyaAllah.

Ya Allah, kurniakan kepada kami tekad dan kekuatan untuk tetap berada di jalan kebenaran dan ilhamkanlah kepada kami untuk melakukan semua kebaikan yang Engkau sukai. Bersihkanlah hati kami dari segala bentuk kemunafikan, riya, keangkuhan serta penuhilah hati kami dengan keikhlasan, kejujuran dan kerendahan hati. Jadikanlah amal-amal kami ikhlas hanya untukMu, benar sesuai dengan tuntunan NabiMu, bermanfaat bagi kaum muslimin dan seluruh manusia serta jadikanlah kami dari golongan generasi pengubah yang sentiasa berusaha untuk menjelmakan ruh baru yang segar ke dalam hati ummat bagi melaksanakan dan memenuhi tuntutan agamaMu.

Ameen Ya Rabbal Alameen
WAS



 
Labels: Fikrah Email This BlogThis! Share to X Share to Facebook

Leave a Reply

Newer Post Older Post
Subscribe to: Post Comments (Atom)

Yang Setia

Pautan

  • Muharikah
    Antara dua pilihan
    3 years ago
  • Angel Pakai Gucci!
    Doa Itu Bom Nuklear Bagi Orang Mu'min!
    5 years ago
  • Majalah Jom!
    Isu 45: ALAMAK, AKU SALAH PILIH! (EDISI ISTIMEWA)
    9 years ago
  • دعوتنا DAKWATUNA -dakwahkite-
    Di antara Kefahaman dan Pelaksanaan (Sudut Pandang Parti Kebebasan dan Keadilan FJP – Mesir)
    10 years ago
  • ZADUD-DUAT
    Wahai Ikhwah, Persaudaran adalah rahsia kekuatan anda
    11 years ago
  • Popular
  • Recent
  • Archives
 

Diri Ini

My photo
WAS
Blog ini memaparkan bahan-bahan bacaan dan artikel yang boleh meningkatkan ilmu dan kefahaman Islam anda..
View my complete profile

Blog Ini Menarik??

Yang Paling Digemari

  • Tsabat Memenangkan Dakwah
    ‘ Tsabat ’ bermakna teguh pendirian dan tegar dalam menghadapi ujian serta mehnah di jalan kebenaran. Ia merupakan benteng bagi seorang ak...
  • Memohon Dari Al Jabbar
    Seringkali manusia terjebak oleh pemikirannya sendiri dan merasa mampu untuk merancang segala sesuatu. Padahal tidak ada kekuatan dalam d...
  • Qudwah Di Jalan Dakwah
    Ustaz Mustafa Masyhur dilahirkan pada 15 September 1921 di Kampung Sa'din, dari kota Manya Al-Qamh, Mesir. Beliau terdidik di dalam s...
  • Sifat Bolak Balik Hati
    Manusia dari masa ke semasa akan mengalami perubahan dan pergantian. Bermula dari seorang bayi, kemudian berkembang menjadi seorang anak ...
  • Seni Menciptakan Manusia
    Gerakan dakwah adalah diumpamakan seperti para pendaki gunung. Apabila kita sudah sampai pada suatu ketinggian, jika kita melihat ke punc...

Arkib

  • ►  2017 (1)
    • ►  April (1)
  • ►  2016 (4)
    • ►  September (2)
    • ►  March (1)
    • ►  January (1)
  • ►  2015 (39)
    • ►  November (1)
    • ►  October (2)
    • ►  September (2)
    • ►  August (3)
    • ►  July (1)
    • ►  June (5)
    • ►  May (6)
    • ►  April (6)
    • ►  March (6)
    • ►  February (2)
    • ►  January (5)
  • ►  2014 (42)
    • ►  November (5)
    • ►  October (4)
    • ►  August (4)
    • ►  July (1)
    • ►  June (9)
    • ►  May (8)
    • ►  April (4)
    • ►  February (3)
    • ►  January (4)
  • ▼  2013 (72)
    • ►  December (1)
    • ►  November (5)
    • ►  October (4)
    • ►  September (5)
    • ►  August (6)
    • ►  July (5)
    • ►  June (7)
    • ▼  May (5)
      • Membentuk Generasi Pengubah
      • Kesabaran Menentukan Keunggulan
      • Harga Sebuah Perjuangan
      • Saat Perlaksanaan Amanah
      • Ini Kalilah Pilih Pemimpin
    • ►  April (7)
    • ►  March (7)
    • ►  February (9)
    • ►  January (11)
  • ►  2012 (163)
    • ►  December (8)
    • ►  November (9)
    • ►  October (9)
    • ►  September (9)
    • ►  August (6)
    • ►  July (12)
    • ►  June (9)
    • ►  May (15)
    • ►  April (16)
    • ►  March (18)
    • ►  February (24)
    • ►  January (28)
  • ►  2011 (93)
    • ►  December (24)
    • ►  November (69)

Susunan

  • Akhlak (6)
  • Aqidah (17)
  • Dakwah (73)
  • Fikrah (74)
  • Ilmu (38)
  • Motivasi (10)
  • Muslimah (3)
  • Mutiara Hikmah (12)
  • Mutiara Hikmah Para Duat (21)
  • Mutiara Hikmah Ramadhan (3)
  • Renungan (31)
  • Ruhiyah (8)
  • Tarbiatuna (5)
  • Tarbiyah (34)
  • Tausiyah (31)
  • Tokoh (8)
  • Uslub (11)
  • Video (29)

Panji Islam

Asmaaul Husna

Kalam Hikmah

Coretan Anda

Pengunjung

Free CountersFree CountersFree CountersFree CountersFree Counters

Detik Kehidupan

Hari Ini

Waktu Solat

Pelawat


widgets

Selamat Melayari

  • NEW POSTS
  • COMMENTS
  • flickr

    Get your Flickr ID!
 
 
© 2011 Tinta Perjalanan | Designs by Web2feel & Fab Themes

Bloggerized by DheTemplate.com - Main Blogger