skip to main | skip to sidebar

Tinta Perjalanan

Pages

  • Home
 
  • RSS
  • Facebook
  • Twitter
  • Linkedin
  • Youtube
  • DheTemplate.com
  • Free Templates
  • Drop Menu 1
    • Child Menu 1.1
    • Child Menu 1.2
    • Child Menu 1.3
  • Drop Menu 2
    • Child Menu 2.1
    • Child Menu 2.2
    • Child Menu 2.3
  • Daily Update Templates

Ahlan Wasahlan


Perjalanan Menuju Allah.

Sunday, 9 June 2013

Amal Secara Berjamaah

Ditulis Oleh WAS Pada 23:34 – 0 Komen Anda
 

Ketika Nabi Muhammad saw memulakan dakwahnya, baginda hanya berseorangan. Setelah 23 tahun berlalu tatkala baginda melaksanakan hajjatul wada’, kaum Muslimin telah berjumlah sekitar 100 hingga 125 ribu orang dalam berbagai riwayat.

 

Dengan jumlah penduduk dunia ketika itu sekitar 100 juta orang, maka nisbah kaum Muslimin terhadap penduduk dunia adalah 1 per 1000 orang.

Sekarang, setelah berlalu 1,500 tahun, jumlah kaum Muslimin telah bertambah tanpa henti dan menjadi 1.5 bilion hingga 1.9 bilion. Bayangkanlah bagaimana nisbah itu bertambah dari 1 per 1000 menjadi 1 per lima dalam jarak masa 1,500 tahun.

 

Islam sebagai agama bekerja dalam skala waktu sejarah dan bukan dalam skala waktu individu atau umat.

Ia akan terus tumbuh hingga tidak ada sejengkal bumipun yang tidak dijangkaunya dan tidak ada seorang manusia pun yang tidak mendengar nama Allah disebutkan.

Maka, pertumbuhan yang berterusan inilah yang menjadi ciri utamanya.

Kesedaran akan waktu bukan sahaja menumbuhkan kemampuan berfikir dan kesedaran akan kesan pengumpulan, tapi juga pada makna pertumbuhan sebagai cara untuk mengukur kekuatan dan prospek dari sebuah idea atau amal.

Kekuatan utama dari sebuah idea atau amal sentiasa dapat diukur dari kemampuannya untuk tumbuh secara berterusan.

Berapa banyak ideologi dan gerakan dalam sejarah manusia yang lahir, tumbuh dan mekar lalu mati dalam kurun waktu yang singkat.

Sebagai contoh, fahaman komunis yang pada awalnya gegak gempita sejak kelahirannya sebagai sebuah ideologi hingga ia berkembang pesat dengan dukungan sebuah kuasa besar, namun ia tidak berumur panjang malah tidak lebih dari satu abad.

Umur ideologi dan gerakan apapun bentuknya, sentiasa ditentukan oleh kekuatan utamanya untuk tumbuh secara berterusan kerana inilah yang menentukan dalam skala waktu apakah ideologi dan gerakan itu bekerja.

Ideologi dan gerakan yang tidak mempunyai potensi pertumbuhan berterusan biasanya hanya akan bekerja dalam skala waktu individu atau paling jauh, dalam skala waktu komuniti atau masyarakat.

Pertumbuhan berterusan adalah alat ukur sejarah kerana hanya ideologi dan gerakan yang bekerja dalam skala waktu sejarah yang akan mampu tumbuh secara berterusan.

Itulah sebabnya mengapa Al Qur’an memberi ruang yang begitu luas untuk membicarakan sejarah walaupun kita semua sedar bahwa hanya ketika kita bekerja dalam skala waktu sejarah, kita mempunyai peluang untuk tumbuh tanpa henti.

Tidak ada dakwah yang besar tanpa menghadapi tentangan yang besar kerana itulah momentum yang disediakan oleh Allah swt untuk membesarkan dakwah dan itulah juga merupakan isyarat kemenangan.

Secara nalurinya, kita pasti cenderung untuk melalui jalan yang mudah menuju kemenangan tetapi jika Allah hendak memberikan kita kemenangan yang besar, Ia akan alihkan jalan kita.

Itulah yang berlaku pada tahun pertama Rasulullah saw di Madinah di mana para sahabat memilih untuk menghalang kafilah Abu Sufyan tapi akhirnya yang mereka hadapi adalah peperangan badar.

 

“Dan (ingatlah) ketika Allah menjanjikan kepada kamu salah satu dari dua angkatan, menjadi untuk kamu (menghadapinya), sedang kamu suka kiranya (angkatan perniagaan) bukan angkatan (perang) yang mempunyai kekuatan itu yang dijadikan untuk kamu (menghadapinya). Padahal Allah menghendaki untuk menetapkan yang benar (ugama Islam) dengan Kalimah-kalimahNya, dan untuk membinasakan kaum yang kafir seluruhnya.” (QS Al Anfaal : 7)

Lima tahun pertama setelah berdirinya negara Madinah, Rasulullah saw telah berperang sebanyak 48 kali dan 5 tahun terakhir pula baginda telah mengharunginya sebanyak 20 kali.

Jadi, jumlah pertempuran yang telah dihadapi oleh Rasulullah saw selama menegakkan negara Madinah adalah 68 kali atau hampir 7 kali setahun.

Dari jumlah 68 kali pertempuran itu, Rasulullah saw memimpin sendiri sebanyak 28 kali dan itu semua adalah dalam rangka untuk mengukuhkan posisi negara Madinah.

Dalam menghadapi tentangan dan halangan musuh, ada beberapa syarat yang perlu ada pada sesuatu kelompok atau organisasi :

PERTAMA :

Memperkuatkan hubungan dengan Allah kerana Dialah yang mengatur semua percaturan manusia dan Dialah sumber ketenangan, keteguhan dan keberanian.

KEDUA :

Memiliki kelapangan dada dengan cara tidak menjadikan sesuatu masalah itu bersifat peribadi, tidak berdendam dan tidak marah apalagi panik.

KETIGA :

Kefahaman yang menyeluruh terhadap keseluruhan situasi dan lingkungan serta peta masalah yang jelas.

KEEMPAT :

Keteguhan organisasi dan pasukan yang memungkinkan semua rancangan terlaksana dengan baik.

Dengan memiliki keempat-empat syarat di atas, kita akan mempunyai kelebihan untuk mengubah tentangan dan halangan menjadi peluang dan dalam masa yang sama, serangan musuh akan menjadi “boomerang” bagi pihak lawan.

Jadi, tentangan dan halangan haruslah dipandang sebagai sebuah keberkatan dan sumber kebaikan kerana Allah akan mengurniakan peluang di sebalik semua itu.

Maka, kita seharusnya tersenyum dan menyambut sebuah tentangan dan halangan sebagai keberkatan yang akan melapangkan jalan kita untuk tumbuh menjadi besar dan kukuh.

Dalam organisasi dakwah, salah satu ciri yang sentiasa dibangunkan dan ditumbuhkan adalah “kebersamaan dalam amal secara berjamaah”.

Ada kepimpinan dakwah yang memberikan arahan, membuat penyelarasan serta pengukuhan amal secara berjamaah agar ianya dapat berjalan lurus dan berkesan.

Ada aktivis dakwah yang bekerja di bidang masing-masing sesuai dengan arahan dan pembahagian tugas dari kepimpinan serta pengurusan organisasi.

Walaupun ada arahan dari kepimpinan dan ketaatan aktivis dakwah, namun Al Qur’an mengarahkan akan pentingnya kejelasan dalam segala sesuatu.

Penting bagi organisasi dakwah untuk membudayakan sikap kritikal dan membiasakan munculnya hujjah atau perbahasan di kalangan aktivis dakwah agar dalam melaksanakan tugas, ianya sentiasa berdasarkan ilmu pengetahuan dan kejelasan dan bukan melaksanakan tugas dakwah semata-mata kerana ketaatan yang tidak berlandaskan ilmu, kefahaman dan kejelasan.

Allah swt telah berfirman tentang kisah Nabi Ibrahim as yang bersifat kritikal dan berani menampilkan hujjah untuk mendapatkan kejelasan.

“Maka tatkala rasa takut hilang dari Ibrahim dan berita gembira telah datang kepadanya, diapun bersoal jawab dengan (malaikat-malaikat) Kami tentang kaum Luth. Sesungguhnya Ibrahim itu benar-benar seorang yang penyantun lagi penghiba dan suka kembali kepada Allah. Wahai Ibrahim, tinggalkanlah soal jawab ini, sesungguhnya telah datang ketetapan Tuhanmu, dan sesungguhnya mereka itu akan didatangi azab yang tidak dapat ditolak.” (QS Hud : 74 – 76)

Ada beberapa pelajaran Fiqh Dakwah yang boleh diambil dari rangkaian ayat tersebut :

PERTAMA : PENTINGNYA HUJJAH BAGI AKTIVIS DAKWAH

Dakwah bukanlah sebuah proses indoktrinasi tetapi ia adalah suatu proses memberi kesedaran  yang menjadi salah satu kaidah dalam dakwah.

Oleh kerana ianya bukan sebuah proses indoktrinasi, maka para aktivis dakwah mestilah  menjadi seorang yang bijaksana dan memiliki hujjah serta pandangan yang kuat untuk bekalan dalam melaksanakan dakwah di tengah-tengah kehidupan masyarakat. Dakwah akan lebih mudah diterima dan dicerna apabila ianya disertai dengan perbahasan yang kuat.

Disebabkan pentingnya bagi Nabi Ibrahim as untuk mendapatkan kejelasan tentang kaum Luth, maka iapun berdialog dengan para malaikat Allah.

Nabi Ibrahim as tidak ingin memiliki ketaatan yang membuta tuli, namun memberikan keteladanan kepada kita agar sentiasa memiliki ketaatan yang berlandaskan kefahaman, pengetahuan dan kejelasan.

Nabi Ibrahim as perlu memiliki keyakinan dalam dirinya, sehingga ia akan mampu memberikan hujjah yang tepat. Untuk itulah ia bertanya dan menyatakan pandangan kepada malaikat Allah mengenai kaum Luth.

KEDUA : KEBERANIAN MENYATAKAN PANDANGAN

Para aktivis dakwah juga perlu memiliki keberanian untuk menyatakan pandangan agar mendapatkan kejelasan dalam melaksanakan tugas dakwah.

Walaupun berhadapan dengan perintah Allah, namun ianya tidak menghalang Nabi Ibrahim as untuk bertanya dan menyatakan pandangan dalam rangka mendapatkan kejelasan.

Nabi Ibrahim as memberikan contoh keberanian dalam menyatakan pandangan, bukan untuk menolak ketetapan Allah, bahkan ianya adalah dalam rangka untuk mendapatkan kejelasan.

Aktivis dakwah tidak sepatutnya menyimpan ketakutan atau keengganan menyatakan pandangan yang konstruktif bagi gerakan dakwah.

Tentu sahaja ianya harus disertai dengan etika dan mengerti akan mekanisma yang tepat serta saluran komunikasi yang betul dalam organisasi dakwah.

Apabila ketaatan dibangunkan di atas landasan kefahaman, maka dakwah akan menjadi kukuh dan gerakan dakwah akan tegap berdiri.

Ini sebagaimana rangkaian rukun-rukun bai’ah yang disusun oleh Imam Hasan Al Banna, yang menempatkan kefahaman pada rukun pertama, ketaatan pada rukun keenam serta tsiqah pada rukun kesepuluh.

Kita juga boleh merujuk kepada kisah Nabi Ibrahim as yang meminta kepada Allah untuk menunjukkan kepadanya bagaimana Allah menghidupkan makhluk yang telah mati, sebagaimana yang diabadikan dalam surah Al Baqarah ayat 260.

Kisah-kisah seperti ini semakin menguatkan kefahaman kita bahwa Al Qur’an mengarahkan kita untuk berani menyatakan hujjah untuk mendapatkan kejelasan.

KETIGA : KEPIMPINAN MESTI BERJIWA BESAR UNTUK MENERIMA PANDANGAN

Dalam organisasi dakwah, pihak kepimpinan perlu menyediakan kelapangan jiwa untuk menerima pandangan, pendapat dan hujjah dari para aktivis dakwah.

Mereka perlu memberikan ruangan yang memadai dan seimbang bagi munculnya pertanyaan dan pandangan dari para aktivis dakwah.

Sikap ini justeru akan semakin memberikan kekuatan kedudukan dan menambah penghormatan kepada pihak kepimpinan kerana berbagai pandangan para aktivis dakwah dapat disalurkan.

Allah swt tidak menyalahkan atau mencela Nabi Ibrahim as di atas pertanyaan dan pandangan yang disampaikan, bahkan dalam ayat tersebut Allah swt memberikan pujian terhadap baginda :

“Sesungguhnya Ibrahim itu benar-benar seorang yang penyantun lagi penghiba dan suka kembali kepada Allah”.

Oleh kerana itu, pihak kepimpinan adalah dituntut untuk memiliki jiwa besar dalam berinteraksi dengan para aktivis dakwah dan masyarakat pada umumnya untuk menerima pandangan dengan tulus.

KEEMPAT : TAAT KEPADA KETENTUAN ALLAH

Ketika pandangan sudah disampaikan, ia bukanlah bererti keputusan akhir mesti sentiasa sesuai dengan pandangan tersebut kerana dalam organisasi dakwah, ada ramai aktivis dakwah yang masing-masing membawa hujjah.

Tidak mungkin semua pandangan tersebut akan diambil sebagai keputusan akhir. Setelah berbagai pandangan dikumpulkan, maka apapun keputusan, ia akhirnya perlulah ditaati dan dilaksanakan bersama.

Allah swt menegaskan kepada Nabi Ibrahim as agar menghentikan dialog itu, kerana Allah telah memberikan waktu yang cukup bagi kaum Luth namun mereka tidak mahu kembali kepada kebenaran.

Maka azab Allah akan ditimpakan kepada kaum Luth sebagai balasan atas kezaliman dan keingkaran mereka.

“Wahai Ibrahim, tinggalkanlah soal jawab ini, sesungguhnya telah datang ketetapan Tuhanmu, dan sesungguhnya mereka itu akan didatangi azab yang tidak dapat ditolak.”

Pada akhirnya Nabi Ibrahim as tunduk dan taat secara mutlak kepada ketentuan Allah dengan penuh kerelaan.

Demikian pula para aktivis dakwah mestilah tunduk kepada ketentuan Allah. Dalam beramal secara berjamaah, para aktivis dakwah perlu tunduk kepada keputusan jamaah, walaupun keputusan jamaah itu tidak sesuai dengan pendapat dan pandangan peribadinya kerana tidak mungkin seluruh pendapat dan pandangan dari para aktivis dakwah akan dijadikan sebagai keputusan akhir kerana pasti ada pendapat dan pandangan yang tidak dapat dipertimbangkan.

Jika pandangannya tidak dipertimbangkan dalam keputusan organisasi, tidak layak para aktivis dakwah menolak untuk mengikuti hasil keputusan dengan alasan :

a.     “Itu bukan pendapat saya”.

b.     “Saya sudah memberi pendapat tetapi tidak diterima”.

c.      “Sia-sia sahaja saya memberi pendapat kerana ternyata ianya tidak digunakan untuk mengambil keputusan”.

Sebuah organisasi hanya boleh tumbuh membesar jika sistemnya lebih besar dan lebih kuat dari individu-individunya.

Jika individu lebih kuat dari sistem maka organisasi itu pasti akan berumur pendek iaitu seumur individu itu kerana jika dia pergi, maka organisasi itu akan mati.

Jika sistem lebih kuat dari individu maka organisasi akan hidup selama mana sistem itu hidup kerana individu boleh datang dan pergi.

 

Sebuah sistem organisasi perlulah mampu memiliki 3 perkara :

1.     Mampu mendorong pertumbuhan yang dinamik.

2.     Mampu menyerap kepelbagaian keanggotaan.

3.     Mampu bertahan terhadap segala penyakit.

Sebuah sistem yang teruji dengan goncangan-goncangan besar, jika ia kuat maka ia akan wujud dan tumbuh secara kukuh dan bersih dari sebarang penyakit.

Sistem yang dapat mendorong kepada pertumbuhan yang dinamik adalah yang berasaskan kepada kelayakan serta berorientasikan pembelajaran dan inovasi.

Sistem yang menyerap kepelbagaian keanggotaan menjadi faktor produktif kerana ia berasaskan kepada syura dan tradisi pengetahuan.

Sistem yang mempunyai daya tahan terhadap segala jenis penyakit adalah yang berasaskan kepada hukum yang ketat dan ukuran etika yang tinggi.

Sistem yang kuat seperti itu akan tumbuh cepat di tengah-tengah suasana tentangan kerana sifat kedisiplinan dan kelenturannya sekaligus.

Umat ini bermula serta lahir dari dakwah seorang lelaki yang faham dan  berhimmah. Ini yang tertulis di dalam koleksi puisi Allamah Muhammad Iqbal yang khusus menggambarkan tentang diri tersebut :

 

“Umat ini lahir dari hati seorang yang mulia”. 

 

Memang itulah langkah pertama di mana mesti ada seorang yang memulakan dengan hati yang berjiwa besar lalu menepuk dadanya di hadapan kaum muslimin seluruhnya seraya berkata :

 

“Inilah aku”. Kesucian aqidah dan keunggulan peribadiku menyebabkan manusia tertarik lalu mereka berhimpun di sekelilingku.”

 

‘Aku’ itulah permulaan hidupnya.


Inilah bahasa kebangkitan untuk kembalinya hidup ini.



Inilah ‘Mujaddid’ menurut istilah Islam. Islam tidak pernah mengenal erti “kekuasaan berada di tangan jahiliyah dan dia hanya menjadi ‘pak turut’”.

 

Tidak mungkin cukup dengan sekadar wujud di sana-sini individu atau orang-orang yang berpegang teguh kepada Islam sedangkan kehidupan masyarakat yang luas melata bercampur-baur antara jahiliyah dan Islam.

 

Justeru, Islam di setiap masa sentiasa memerlukan kewujudan manusia-manusia yang kuat yang menentukan serta memimpin perjalanan sejarah kepada Islam. Tidak kira samada kerja dan usaha mereka syumul dalam segenap jurusan kehidupan atau terbatas kepada sebahagian darinya.

 

Golongan inilah yang digelar sebagai ‘Mujaddid’.

 

Oleh kerana jalan ini memerlukan pengorbanan, maka salah satu syarat yang mesti ada ialah mereka mestilah seorang berjiwa pahlawan dan berani kerana :

 

“Siapa yang tidak mampu berkorban demi cita-cita tertinggi, maka dia tidak akan berani berhadapan dengan bahaya dan kesusahan. Orang yang hanya mencari kesenangan, keselesaan dan kemewahan di dunia ini niscaya akan sentiasa terikut dengan suasana dan mudah tunduk kepada tekanan apa sahaja. Mereka ini tidak akan dapat menyumbangkan apa-apa kepada sejarah kemanusiaan. Lukisan sejarah hanya mampu dibuat oleh pahlawan­-pahlawan yang gagah berani. Hanya  dengan jihad dan pengorbanan mereka, perjalanan hidup manusia dan corak pemikiran dunia akan berubah.”

 

Syeikh Muhammad Ahmad Ar Rasyid menukilkan di dalam kitabnya, “Al Munthalaq” (Langkah bermula) bahwa Imam Hasan Al Banna pernah mengatakan dengan nada yang sama bahwa :

 

“Inilah aku”

 

Beliau melaungkan suaranya dan mengisytiharkan kelahiran satu perkumpulan pada tahun 1928 iaitu sepuluh tahun selepas umat Islam tenggelam di dalam kebingungan kesan daripada malapetaka yang mereka alami akibat Perang Dunia Pertama.

 

Perkumpulan ini segera mendapat sambutan dan sokongan gerombolan pertama yang terdiri dari pekerja-pekerja di Terusan Suez. Itulah dakwah Islam yang mewarisi dakwah salafussoleh melaksanakan amar makruf nahi mungkar.

 

Dalam masa yang sama, di benua India, Ustaz Abul A’la Al-Maududi menyediakan kajian berharganya serta bersiap sedia untuk memulakan usaha membentuk sebuah perkumpulan pada tahun 1938.

 

Dakwah Imam Al-Banna ini kemudiannya segera disambut oleh beberapa tokoh di negara-negara Arab. Setelah itu, di setiap tempat lahirlah lelaki-lelaki berani dan berkumpullah di sekeliling mereka angkatan pelopor. Maka dakwah ini pun bermula di  Sudan, Syria, Pal­estin, Iraq, Jordan dan Lubnan.

 

Di bawah kepimpinan Imam Hassan Al-Banna, tokoh-tokoh ini bersama-sama dengan angkatan pelopor lain mula menggariskan bentuk praktikal bagi Usul Fiqh amal secara berjamaah untuk zaman moden ini. Mereka melaungkan kefasihan Al-Syahid Sayyid Qutb untuk mengungkapkan jalan perjalanan dakwah ini.

 

Mereka mengajak kita untuk mengingati,

 

“…bagaimana gerakan Islam ini bermula dahulu. Seorang lelaki berdiri menghadapi manusia seluruhnya, membawa manhaj Allah sambil berkata kepada mereka (sebagaimana dia disuruh) : “Manusia semua berada dalam jahiliyah. Tiada petunjuk kecuali petunjuk Allah.”

 

Sejarah mula berubah. Ia berubah apabila hakikat agung dan hebat ini telah bertapak teguh di dalam hati tokoh tersebut. Sejarah berubah sepertimana yang diketahui oleh kawan dan lawan.

Hakikat yang tertanam di hati tokoh tersebut terus wujud sepertimana wujudnya hukum alam yang agung. Kehidupan manusia sesat juga masih wujud dan mereka telah kembali kepada jahiliyah semula.

 

Begitulah ia berlaku secara ringkas.

 

Oleh yang demikian, mesti ada satu titik permulaan atau noktah mantap tentang hakikat ini di dalam satu hati.  Kemudian ia berkembang ke dalam beberapa hati, seterusnya di dalam hati sekumpulan manusia yang beriman. Ia kemudiannya berangkat dan bergerak di atas jalan yang panjang serta penuh duri ini.

 

Jalan ini begitu asing pada hari ini sebagaimana asingnya ia ketika petunjuk Allah mula-mula datang dahulu, dengan beberapa pengecualian. Akhirnya kafilah ini pasti akan tiba juga ke penghujung jalan yang panjang dan penuh onak ini sebagaimana generasi Islam pertama dulu telah sampai.

 

Sesungguhnya kita tidak mendakwa bahwa kerja ini mudah dan ia bukan perjuangan yang singkat, tetapi yang pasti ia akan tetap berhasil. Semua unsur akan menyokongnya dan semua unsur yang hakiki dan fitrah samada semulajadi dan naluri manusia tidak dapat tidak akan  menyokongnya.

 

Ia pasti pula akan ditentang oleh timbunan sampah sarap realiti kesombongan kemanusiaan yang hebat. Namun, semua itu hanyalah buih-buih di permukaan. Ya, rintangan memang besar tetapi ia hanya buih-buih. 

 

‘Noktah bidayah’ (Titik bermula) hari ini adalah sama dengan ‘noktah bidayah’  ketika manusia mula-mula menerima Islam dahulu. Ia mesti bermula dengan wujudnya di suatu tempat kumpulan manusia yang berpegang kepada agama yang benar.

 

a.      Mereka yakin dan mengaku dengan sesungguhnya tiada Tuhan kecuali Allah dan Muhammad itu utusan Allah.

b.     Mereka menerima dan berpegang dengan hakimiyah dan Allah sahaja sebagai penentu hukum.

c.      Mereka melaksanakannya betul-betul dalam realiti kehidupan.

d.     Kemudian mereka mula bergerak di muka bumi untuk menyebarkan berita ini dan membebaskan manusia dari jahiliyah.” 

 

Mesti ada sekumpulan pelopor yang mengambil keazaman ini untuk meneruskan perjalanan. Tiga akan menjadi sepuluh dan sepuluh akan menjadi seratus dan dari seratus menjadi seribu dan dari seribu menjadi dua belas ribu.

 

Inilah cara pelopor dalam usaha kebangkitan Islam demi merealisasikan manhaj hidup Islam.

 

Manhaj ini hanya dapat direalisasikan apabila ianya di bawa oleh satu kumpulan manusia yang benar-benar beriman dengannya, beristiqamah sedaya mungkin dan kemudiannya berusaha bersungguh-­sungguh untuk merealisasikannya di dalam hati dan kehidupan orang lain.”

 

Tidak dapat tidak, “Islam mesti dibangkitkan sekalipun jarak memang amat jauh antara permulaan kebangkitan dengan masa menerima kepimpinan dan kemenangan. Memulakan kebangkitan Islam adalah langkah pertama. Perjalanan tidak akan bermula tanpa langkah pertama ini.” 



Angkatan pelopor Islam itulah angkatan yang mendapat taufik dari Allah dan akan berjaya.

 

Sesiapa yang tidak menyertai mereka sekarang, pasti akan menyesal dan ‘kecewa habis-habisan’ sebagaimana Zul Jausyan Al-Dhababi ra, seorang sahabat Rasulullah saw yang belum masuk Islam kecuali selepas pembukaan Makkah.

 

Rasulullah saw pernah mengajaknya kepada Islam selepas peperangan Badar.

 

“Baginda bersabda:


“Tidak mahukah kamu menjadi salah seorang pelopor dalam kerja itu”?


Dia berkata: “Tak mahu.”


Baginda bersabda: “Apakah yang menahan kamu”?


Dia menjawab:

 

“Aku telah melihat kaummu mendustakan, mengusir dan memerangi kamu. Tengoklah nanti. Jika kamu mengalahkan mereka, aku akan berimanlah.. dan aku akan mengikutmu. Jika mereka mengalahkan kamu, aku tidak akan mengikutmu.”

 

Setelah beliau masuk Islam, dia sentiasa kecewa dan menyesal kerana tidak segera menyahut seruan Islam ketika diajak oleh Rasulullah saw.” 

 

Bukankah pada hari ini, ramai orang yang berfikiran sama sepertimana Zul Jausyan?

 

Realiti pertempuran Is­lam mengajak mereka supaya menjadi kelompok perintis,  pelopor, pendahulu dan ketua kebangkitan Islam, namun mereka enggan. Mereka hanya duduk memerhati di belakang dan menunggu siapakah yang akan menang.

 

Ingatlah bahwa ujian dan cobaan belum berakhir. Cepat atau lambat ia akan datang kembali menghadang dan mencuba untuk memporak-porandakan barisan kita. Ketahuilah, musuh-musuh dakwah dan para pendengki tidak akan pernah diam. Mereka akan sentiasa mengawasi dan mengintai seluruh gerak langkah kita serta menunggu-nunggu kesempatan untuk menyerang dan menggoyahkan kedudukan kita. Oleh kerana itu, bersiap siagalah!

“Tentangan, ujian dan cobaan adalah suatu kemestian dalam perjuangan.”

Ungkapan ini rasanya sudah terakam dalam pemikiran kita sejak sekian lama iaitu sejak belasan bahkan puluhan tahun yang lalu. Dahulu, kita mengenalinya sebagai teori namun kini ternyata ia sedang menuntut pengamalan secara nyata dari kita.

1.     Goncangan demi goncangan menerpa kita.

2.     Berbagai tuduhan, olok-olokan, penghinaan dimuntahkan ke arah kita secara bertubi-tubi, umpama desingan peluru.

3.     Kelemahan dan kekurangan kita menjadi mainan dan sasaran empuk mereka.

4.     Hujahan demi hujahan terus menghentam kita tanpa belas kasihan seolah-olah kita bukanlah manusia biasa yang boleh berbuat salah dan terpalit dengan dosa.

5.     Sementara kebaikan-kebaikan kita dipandang sebelah mata, lalu dilontarkan dengan berbagai bentuk interpretasi yang buruk, sinis, curiga serta penuh prasangka seolah-olah kita adalah musang berbulu ayam.

6.     Musuh-musuh dakwah dan para pendengki itu tidak melihat kita kecuali dengan menggunakan kaca mata hitam.

7.     Mereka tidak melihat sesuatu yang ada pada kita kecuali warna hitam dan kegelapan.

Apakah semua cobaan ini membuatkan tekad dan semangat kita surut?

Apakah tentangan ini membuat kita lemah, lesu dan sanggup menyerah?

Akankah perkara ini membuatkan kita berniat untuk pencen dari medan dakwah?

Naudzubillah…semoga tidak!

Ini adalah kerana para mujahid dakwah adalah manusia-manusia yang teguh. Mereka adalah manusia-manusia yang tahan lasak.

Mari kita hadapi semua itu dengan sabar dan taqwa sebagaimana diperintahkan oleh Allah swt :

“Jika kamu bersabar dan bertaqwa, niscaya tipu daya mereka tidak akan mendatangkan kemudaratan kepada kamu sedikit pun. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui segala apa yang mereka perbuat.” (QS Ali Imran : 120)

Berkata Qatadah dalam menjelaskan ayat ini sebagaimana yang diriwayatkan oleh Ibnu Jarir At Thabari :

“Allah memerintahkan kepada umat Islam dalam menghadapi kelicikan dan niat jahat kaum kafir itu (orang yang memusuhi dakwah) agar sentiasa bersifat sabar dan taqwa serta penuh tawakkal kepada-Nya. Dengan yang demikian, kelicikan mereka itu tidak akan membahayakan sedikitpun. Allah Maha Mengetahui segala tindak tanduk mereka.”

Kefahaman terhadap slogan “Inilah aku” yang dipopularkan oleh Allamah Muhammad Iqbal dan Imam Hasan Al Banna amat diperlukan oleh umat kini.

 

Ia melambangkan erti ‘mengenali diri’ dan dalam masa kebingungan seperti itu, ia bererti mengenali jalan yang betul, bermula dengan tarbiyah individu muslim di atas aqidah Islam yang sejati dan kemudiannya berkembang menjadi satu perkumpulan yang mempunyai kepimpinan dan perancangan.

 

Maka dengan amal yang dilakukan secara berjamaah itulah, kemenangan dari Allah swt akan diraih dan diperolehi.

Ya Allah, berilah kefahaman yang benar terhadap asal usul diri kami sehingga dengan pengenalan diri yang benar tersebut memberi ruang untuk kami memulakan langkah menegakkan kekuatan keperibadian Islam di dalam diri kami sehingga ianya tersebar dalam bentuk perkumpulan yang akan berkorban untuk menegakkan kalimahMu sehingga ianya menjadi lebih tinggi dari segala-galanya.

 

Ameen Ya Rabbal Alameen

WAS

 
Labels: Fikrah Email This BlogThis! Share to X Share to Facebook

Leave a Reply

Newer Post Older Post
Subscribe to: Post Comments (Atom)

Yang Setia

Pautan

  • Muharikah
    Antara dua pilihan
    3 years ago
  • Angel Pakai Gucci!
    Doa Itu Bom Nuklear Bagi Orang Mu'min!
    5 years ago
  • Majalah Jom!
    Isu 45: ALAMAK, AKU SALAH PILIH! (EDISI ISTIMEWA)
    9 years ago
  • دعوتنا DAKWATUNA -dakwahkite-
    Di antara Kefahaman dan Pelaksanaan (Sudut Pandang Parti Kebebasan dan Keadilan FJP – Mesir)
    10 years ago
  • ZADUD-DUAT
    Wahai Ikhwah, Persaudaran adalah rahsia kekuatan anda
    11 years ago
  • Popular
  • Recent
  • Archives
 

Diri Ini

My photo
WAS
Blog ini memaparkan bahan-bahan bacaan dan artikel yang boleh meningkatkan ilmu dan kefahaman Islam anda..
View my complete profile

Blog Ini Menarik??

Yang Paling Digemari

  • Tsabat Memenangkan Dakwah
    ‘ Tsabat ’ bermakna teguh pendirian dan tegar dalam menghadapi ujian serta mehnah di jalan kebenaran. Ia merupakan benteng bagi seorang ak...
  • Memohon Dari Al Jabbar
    Seringkali manusia terjebak oleh pemikirannya sendiri dan merasa mampu untuk merancang segala sesuatu. Padahal tidak ada kekuatan dalam d...
  • Qudwah Di Jalan Dakwah
    Ustaz Mustafa Masyhur dilahirkan pada 15 September 1921 di Kampung Sa'din, dari kota Manya Al-Qamh, Mesir. Beliau terdidik di dalam s...
  • Menjelmakan Makna Tarbawi
    Sehingga ke saat ini Allah swt masih memberikan rahmat kepada kita melalui hidayah, iman, Islam serta dakwah dan tarbiyah. Sungguh, n...
  • Melahirkan Murabbi Yang Berjaya
    Proses tarbiyah adalah suatu pekerjaan yang sangat berat dan tidak mudah kerana tarbiyah bererti: 1. Mempersiapkan manusia. 2. Membentuk d...

Arkib

  • ►  2017 (1)
    • ►  April (1)
  • ►  2016 (4)
    • ►  September (2)
    • ►  March (1)
    • ►  January (1)
  • ►  2015 (39)
    • ►  November (1)
    • ►  October (2)
    • ►  September (2)
    • ►  August (3)
    • ►  July (1)
    • ►  June (5)
    • ►  May (6)
    • ►  April (6)
    • ►  March (6)
    • ►  February (2)
    • ►  January (5)
  • ►  2014 (42)
    • ►  November (5)
    • ►  October (4)
    • ►  August (4)
    • ►  July (1)
    • ►  June (9)
    • ►  May (8)
    • ►  April (4)
    • ►  February (3)
    • ►  January (4)
  • ▼  2013 (72)
    • ►  December (1)
    • ►  November (5)
    • ►  October (4)
    • ►  September (5)
    • ►  August (6)
    • ►  July (5)
    • ▼  June (7)
      • Ramadhan Dua Zaman
      • Ramadhan Yang Dirindui
      • Murabbi Merintis Jalan Ke Syurga
      • Nikmat Menjadi Murabbi
      • Nasyid Perjuangan 3
      • Isra' Mi'raj Dari Perspektif Harakah
      • Amal Secara Berjamaah
    • ►  May (5)
    • ►  April (7)
    • ►  March (7)
    • ►  February (9)
    • ►  January (11)
  • ►  2012 (163)
    • ►  December (8)
    • ►  November (9)
    • ►  October (9)
    • ►  September (9)
    • ►  August (6)
    • ►  July (12)
    • ►  June (9)
    • ►  May (15)
    • ►  April (16)
    • ►  March (18)
    • ►  February (24)
    • ►  January (28)
  • ►  2011 (93)
    • ►  December (24)
    • ►  November (69)

Susunan

  • Akhlak (6)
  • Aqidah (17)
  • Dakwah (73)
  • Fikrah (74)
  • Ilmu (38)
  • Motivasi (10)
  • Muslimah (3)
  • Mutiara Hikmah (12)
  • Mutiara Hikmah Para Duat (21)
  • Mutiara Hikmah Ramadhan (3)
  • Renungan (31)
  • Ruhiyah (8)
  • Tarbiatuna (5)
  • Tarbiyah (34)
  • Tausiyah (31)
  • Tokoh (8)
  • Uslub (11)
  • Video (29)

Panji Islam

Asmaaul Husna

Kalam Hikmah

Coretan Anda

Pengunjung

Free CountersFree CountersFree CountersFree CountersFree Counters

Detik Kehidupan

Hari Ini

Waktu Solat

Pelawat


widgets

Selamat Melayari

  • NEW POSTS
  • COMMENTS
  • flickr

    Get your Flickr ID!
 
 
© 2011 Tinta Perjalanan | Designs by Web2feel & Fab Themes

Bloggerized by DheTemplate.com - Main Blogger