skip to main | skip to sidebar

Tinta Perjalanan

Pages

  • Home
 
  • RSS
  • Facebook
  • Twitter
  • Linkedin
  • Youtube
  • DheTemplate.com
  • Free Templates
  • Drop Menu 1
    • Child Menu 1.1
    • Child Menu 1.2
    • Child Menu 1.3
  • Drop Menu 2
    • Child Menu 2.1
    • Child Menu 2.2
    • Child Menu 2.3
  • Daily Update Templates

Ahlan Wasahlan


Perjalanan Menuju Allah.

Monday, 24 June 2013

Ramadhan Yang Dirindui

Ditulis Oleh WAS Pada 18:31 – 0 Komen Anda
 

MARHABAN YA RAMADHAN!

Inilah sebutan yang sentiasa dilantunkan oleh umat Islam di seluruh dunia ketika tibanya bulan Ramadhan yang Mubarak.

Marhaban berasal dari perkataan ‘rahb’ yang bererti luas atau lapang. Ia menggambarkan suasana penerimaan tetamu yang disambut dan diterima dengan lapang dada serta penuh kegembiraan.

Marhaban Ya Ramadhan (selamat datang Ramadhan), mengandungi erti bahwa kita menyambut Ramadhan dengan lapang dada, penuh kegembiraan tanpa ada apa-apa keluhan di dalam hati kita.

Rasulullah saw sendiri sentiasa menyambut dengan penuh gembira setiap kali datangnya Ramadhan dan berita gembira itu disampaikan pula kepada para sahabatnya dengan sabdanya :

"Sungguh telah datang kepadamu bulan Ramadhan, bulan yang penuh keberkatan. Allah telah memfardhukan atas kamu puasanya. Di dalam bulan Ramadhan dibuka segala pintu syurga dan dikunci segala pintu neraka dan dibelenggu seluruh syaitan. Padanya ada suatu malam yang lebih baik dari seribu bulan. Barangsiapa tidak diberikan kepadanya kebaikan malam itu maka sesungguhnya dia telah dijauhkan dari kebajikan." (HR Ahmad)

Marhaban Ya Ramadhan kita ucapkan untuk bulan yang suci itu kerana kita mengharapkan agar jiwa raga kita diasah dan diasuh bagi meneruskan perjalanan menuju Allah swt.

Perjalanan menuju Allah swt itu dilukiskan oleh para ulama’ salaf sebagai perjalanan yang banyak ujian dan tentangan. Ada gunung yang perlu didaki dan itulah nafsu. Di gunung itu ada lereng yang curam, hutan yang tebal, bahkan banyak perompak yang mengancam serta iblis yang merayu agar perjalanan tidak dapat diteruskan. Bertambah tinggi gunung yang didaki, bertambah hebat pula ancaman dan rayuan serta semakin curam dan ganas pula perjalanan itu.

Namun, apabila tekad tetap membaja, tidak berapa lama lagi akan kelihatan :

     1.  Cahaya terang benderang.
     2.  Petunjuk-petunjuk yang jelas.
     3.  Tempat-tempat yang indah untuk berteduh.
     4.  Telaga-telaga jernih untuk melepaskan dahaga.
Setelah perjalanan diteruskan, akan ditemui kenderaan “Ar-Rahman” untuk menghantar sang musafir bagi bertemu dengan kekasihnya.

Untuk sampai kepada tujuan, tentulah diperlukan bekalan yang cukup.

Bekalan itu adalah :

  1. Benih-benih kebajikan yang perlu kita tabur di dalam jiwa kita.
  2. Tekad yang keras dan membaja untuk memerangi nafsu.
Semua bekalan ini perlu kita miliki agar kita mampu menghidupkan malam Ramadhan dengan solat dan tadarrus, serta siangnya dengan ibadah kepada Allah melalui pengabdian untuk agama.

RAMADHAN BULAN KEBERKATAN

Salah satu sifat Allah swt adalah Ia memiliki iradah (kehendak) sebagaimana firmanNya :

"Dan Tuhanmu menciptakan apa yang Dia kehendaki dan memilihnya. Sekali-kali tidak ada pilihan  bagi mereka. Maha Suci Allah dan Maha Tinggi dari apa yang mereka persekutukan (dengan Dia)." (QS Al Qasshash : 68)

Allah memilih :

  1. Sesuatu yang dikehendakiNya.
  2. Tempat yang dikehendakiNya.
  3. Manusia yang dikehendakiNya.

PilihanNya sendiri ada yang menjadi Rasul, pemimpin negara, cendekiawan dan sebagainya.

Allah memilih :

  1. Gua Hira' yang dikehendakiNya sebagai tempat pertemuan Rasul dan Malaikat Jibril.
  2. Kota Makkah yang dikehendakiNya sebagai kiblat kaum Muslimin.
  3. Kota Madinah sebagai asas pertahanan Rasulullah saw dalam menyebarkan risalah Ilahi.
Begitu pula halnya dengan bulan-bulan dalam setahun di mana Allah saw telah memilih Ramadhan sebagai bulan yang istimewa, yang namanya disebutkan di dalam Al Qur’an.

Firman Allah swt :

"(Beberapa hari yang ditentukan itu ialah) bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) Al Qur'an sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza (antara yang hak dan yang bathil). Oleh kerana itu, barangsiapa di antara kamu hadir (di negeri tempat tinggalnya) di bulan itu, maka hendaklah ia berpuasa pada bulan itu, dan barangsiapa sakit atau dalam perjalanan (lalu ia berbuka), maka (wajiblah baginya berpuasa), sebanyak hari yang ditinggalkannya itu, pada hari-hari yang lain. Allah menghendaki kemudahan bagimu, dan tidak menghendaki kesukaran bagimu. Dan hendaklah kamu mencukupkan bilangannya dan hendaklah kamu mengagungkan Allah atas petunjuk-Nya yang diberikan kepadamu, supaya kamu bersyukur." (QS Al Baqarah :185)

Jika Allah berkehendak, tentu ada suatu maksud tertentu di sebalik kehendakNya itu. Allah swt mengutus Rasulullah saw dengan satu maksud iaitu untuk menyampaikan risalah-Nya.

Begitu pula halnya dengan bulan Ramadhan kerana Allah tidak akan mengatakan Ramadhan sebagai bulan istimewa jika tidak ada sesuatu di sebalik itu.

Baginda Rasulullah saw, ketika berada di penghujung bulan Sya'ban, sentiasa mengatakan kepada sahabatnya :

"Telah datang padamu bulan Ramadhan, penghulu segala bulan. Maka sambutlah kedatangannya. Telah datang bulan puasa yang membawa segala keberkatan, maka alangkah mulianya tamu yang datang itu." (HR Ath Thabrani)

Dalam sabda baginda yang lain :

"Sesungguhnya telah datang padamu bulan Ramadhan, bulan yang diberkati, Allah memerintahkan berpuasa di dalamnya. Pada bulan itu, dibukakan segala pintu syurga, dikunci segala pintu neraka dan dibelenggu syaitan-syaitan. Di dalamnya ada suatu malam yang lebih baik dari 1000 bulan. Barangsiapa yang tidak diberikan kebajikan malam itu, bererti telah diharamkan baginya segala rupa kebajikan." (HR An Nasai’e dan Al Baihaqi)

Jika kita menoleh ke belakang, melihat sirah Rasulullah saw, kita akan dapati betapa banyaknya peristiwa penting berlaku pada bulan Ramadhan, di antaranya :

PERTAMA : BULAN DITURUNKAN AL QUR’AN

Firman Allah swt :

 "(Beberapa hari yang ditentukan itu ialah) bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) Al Qur'an sebagai petunjuk bagi manusia dan penjelasan-penjelasan mengenai petunjuk itu dan pembeza (antara yang hak dan yang bathil)." (QS Al Baqarah : 185)

Dalam tafsir ‘Mafatihul Ghaib’ berkenaan dengan ayat di atas, Imam Ar Razi berkata :

“Allah telah menjadikan bulan Ramadhan istimewa dengan jalan menurunkan Al Qur’an. Kerananya, Allah swt mengkhususkannya dengan satu ibadah yang sangat besar nilainya, yakni puasa (shaum). Puasa adalah satu senjata yang mengungkapkan tabir-tabir yang menghalang kita manusia dari memandang nur Ilahi yang Maha Quddus. Al Qur’an adalah suatu kitab yang tiada bandingannya, pemisah yang haq dan bathil, berlaku sepanjang masa dan menjadi pengikat seluruh ummat Islam di seluruh dunia.”

KEDUA : BULAN DITURUNKANNYA KITAB-KITAB SUCI YANG LAIN

Di bulan ini pula, Allah swt menurunkan kitab-kitabNya yang lain kepada para Rasul sebagaimana yang diriwayatkan dalam sebuah hadits :

"Shuhuf Ibrahim diturunkan pada malam pertama bulan Ramadhan, Taurat diturunkan pada 6 Ramadhan dan Injil diturunkan pada 13 Ramadhan sedangkan Al Qur-an diturunkan pada 24 Ramadhan." (HR Ahmad)

Itulah keberkatan bulan Ramadhan iaitu bulan turunnya ayat-ayat Qauliyah, ‘minhajul hayah’ (panduan kehidupan) bagi keberadaan manusia di muka bumi serta menjadi penunjuk jalan bagi orang-orang yang mahu menyucikan dirinya.

 KETIGA : BULAN PILIHAN ALLAH UNTUK BERLAKUNYA PERANG BADAR

Ia adalah bulan pilihan Allah bagi berlakunya perang Badar iaitu perang pertama yang dilalui oleh kaum Muslimin, di mana peperangan ini menjadi penentu kelangsungan perjuangan dakwah yang dilakukan oleh Rasulullah saw bersama para sahabatnya.

Perang Badar dinamakan oleh Allah swt dengan sebutan "Yaumul Furqan" (hari pembeza antara yang haq dan bathil) sebagaimana firmanNya :

"Ketahuilah, sesungguhnya apa sahaja yang dapat kamu perolehi sebagai rampasan perang, maka sesungguhnya seperlima untuk Allah, Rasul, kerabat Rasul, anak-anak yatim, orang-orang miskin dan ibnussabil, jika kamu beriman kepada Allah dan kepada apa yang kami turunkan kepada hamba Kami (Muhammad) di hari Furqaan, iaitu di hari bertemunya dua pasukan. Dan Allah Maha Kuasa atas segala sesuatu." (QS Al Anfal : 41)

Ustaz Muhammad Qutb mengatakan dalam tafsirnya bahwa peperangan ini dari awal hingga akhirnya adalah rancangan Allah swt yang dilaksanakan dengan pimpinan dan bantuanNya.

Melalui jalan pertempuran, Allah swt memenangkan kaum Muslimin yang mempunyai keanggotaan dan persenjataan yang minima, ditambah pula dengan keadaan fizikal kaum Muslimin yang secara lahiriahnya lebih lemah kerana sedang berpuasa setelah menerima perintah yang baru dari Allah swt

Namun, itu bukanlah satu halangan untuk mendapat kemenangan kerana kekuatan utama kaum Muslimin adalah kekuatan ruhiyah mereka dengan keyakinan akan kebenaran janji Allah swt.

Peperangan ini membuka babak baru dalam sistem gerakan Islam di mana ianya memperbaharui keadaan umat Islam setelah dengan sabar dan tabah menempuh tahap-tahap perjuangan dakwah, maka lahirlah susunan baru dalam kehidupan manusia bagi penerapan hak-hak asasi serta sistem dan struktur baru bagi masyarakat dan negara.

KEEMPAT : BULAN YANG DIPILIH BAGI TERBEBASNYA KOTA MAKKAH

Peristiwa "Fathul Makkah" (pembukaan Kota Makkah) berlaku pada pertengahan bulan Ramadhan iaitu sekitar 10,000 kaum Muslimin memasuki Makkah dari segala penjuru.

Pada ketika itulah berlaku fenomena kemenangan yang tidak ada tolok bandingnya dalam sejarah manapun, di mana semua musuh, hingga para pemimpinnya menerima dan mengikuti agama pihak lawannya.

Ini tidak berlaku melainkan dalam sejarah Islam. Kemenangan ini hakikatnya adalah kemenangan aqidah, kalimat tauhid dan bukan kemenangan individu atau sikap balas dendam.

KELIMA : BULAN YANG DIPILIH ALLAH UNTUK LAILATUL QADR

Ini dijelaskan oleh Allah swt dalam firmanNya :

 "Sesungguhnya Kami telah menurunkannya (Al Qur'an) pada malam kemuliaan. Dan tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu ? Malam kemuliaan itu lebih baik dari seribu bulan. Pada malam itu turun malaikat-malaikat dan malaikat Jibril dengan izin Tuhannya untuk mengatur segala urusan. Malam itu (penuh) kesejahteraan sampai terbit fajar." (QS Al Qadr :1-5)

KEENAM : BULAN YANG DIPILIH UNTUK PERLAKSANAAN PUASA DAN PEMINDAHAN QIBLAT

Ini sebagaimana firman Allah swt :

 “Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa.” (QS Al Baqarah : 183)

Bersamaan dengan turunnya ayat perintah berpuasa di bulan Ramadhan, pemindahan qiblat umat Islam dari Baitul Maqdis ke Masjidil Haram inipun menjadi pembeza antara yang haq dan bathil, di mana   sebelumnya, orang Yahudi merasa lebih benar kerana puasa mereka dan kiblat mereka diikuti oleh kaum Muslimin.

Namun dengan perintah itu, maka berbezalah kaum Muslimin dengan ahlul kitab. Berbeza pula kiblat kaum Muslimin dengan mereka serta puasa kaum Muslimin berbanding dengan mereka. Kecongkakan merekapun berakhir dengan keberkatan bulan ini.

KENAPA RAMADHAN DIRINDUI?

Sebahagian sahabat Rasulullah saw menjadikan Ramadhan sebagai titik bermulanya perancangan kehidupan mereka di mana mereka mengambil bekalan-bekalan yang banyak dari bulan ini untuk menghadapi sebelas bulan yang akan datang.

 Oleh kerana itu, mereka sentiasa menanti-nanti akan kedatangan Ramadhan dengan penuh kerinduan untuk mendapatkan pelbagai bekalan, ganjaran dan kenikmatan untuk hari-hari yang mendatang.

Berikut adalah di antara perkara-perkara yang menjadi kerinduan mereka :

PERTAMA : MENDAPAT GELARAN TAQWA

Taqwa adalah gelaran tertinggi yang dapat diraih oleh manusia sebagai hamba Allah. Tidak ada gelaran yang lebih mulia dan tinggi dari itu.

Maka, setiap hamba yang telah mampu meraih gelaran taqwa, ia dijamin hidupnya di syurga dan diberi kemudahan-kemudahan di dunia dan puasa adalah wasilah untuk mendapatkan gelaran taqwa itu.

"Wahai orang-orang beriman, diwajibkan atas kamu berpuasa sebagaimana diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu agar kamu bertaqwa." (QS al-Baqarah : 183)


Kemudahan-kemudahan yang diberikan oleh Allah kepada hamba-hambanya yang bertaqwa, antara lain :

a. Jalan keluar dari semua masalah

Kemampuan manusia amat terbatas, sementara persoalan yang dihadapinya begitu banyak. Mulai dari masalah dirinya, isteri, anak, adik beradik, ibu bapa, pejabat tempat bekerja dan sebagainya.

Namun, jika orang itu bertaqwa, Allah akan menunjukkan jalan keluar terhadap berbagai persoalan itu. Bagi Allah tidak ada yang sulit, kerana Dialah pemilik kehidupan ini.

"..Barangsiapa bertaqwa kepada Allah, niscaya Dia akan mengadakan baginya jalan keluar." (QS Ath Thalaaq : 2)

"..Dan barangsiapa bertaqwa kepada Allah, niscaya Allah menjadikan baginya kemudahan dalam urusannya." (QS Ath Thalaaq : 4)

b. Dicukupi keperluannya

"Dan memberinya rezeki dari arah yang tidak disangka-sangkanya. Dan barangsiapa bertawakkal kepada Allah, niscaya Allah akan mencukupkan (keperluan)nya...."(QS. Ath Thalaaq : 3)

c. Ketenangan jiwa, tidak khuatir dan sedih hati

Bagaimana kita boleh bersedih hati, padahal di dalam dada kita tersimpan ingatan yang kuat kepada Allah. Kita telah menggantungkan segala sudut kehidupan kita kepada Pemilik kehidupan itu sendiri. Maka orang yang sentiasa mengingati Allah, ia bakal memperolehi ketenangan.

"Wahai anak-anak Adam, jika datang kepadamu rasul-rasul daripada kamu yang menceritakan kepadamu ayat-ayat-Ku, maka barangsiapa bertaqwa dan mengadakan perbaikan, tidaklah ada kekhuatiran terhadap mereka dan tidak (pula) mereka bersedih hati." (QS al-A'raaf : 35)


KEDUA : BULAN PENGAMPUNAN

Tidak ada manusia tanpa dosa, walau sebaik manapun dia. Sebaik-baik manusia bukanlah yang tanpa dosa kerana itu adalah sesuatu tidak mungkin.

Manusia yang baik adalah yang paling sedikit dosanya, lalu ia bertaubat dan berjanji tidak akan mengulangi perbuatan dosa itu lagi.

Oleh kerana dosa manusia itu setompok, maka Allah telah menyediakan alat penghapus yang canggih iaitulah puasa pada bulan Ramadhan.

Beberapa hadith menyatakan demikian dan salah satunya yang diriwayatkan oleh Bukhari :

"Barangsiapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan kerana iman dan mengharap pahala (ridha Allah), maka diampuni dosa-dosanya yang terdahulu.” (HR Bukhari)

KETIGA : PAHALANYA DILIPATGANDAKAN

Tidak hanya pengampunan dosa, Allah swt juga telah menyediakan ‘bonus’ pahala berlipat kali ganda kepada siapapun yang berbuat baik pada bulan mulia ini.

Rasulullah saw bersabda :

"Setiap amal anak keturunan Adam dilipatgandakan. Tiap satu kebaikan sepuluh kali gandanya hingga tujuh ratus kali gandanya." (HR Bukhari & Muslim)

Bahkan amalan-amalan sunnah yang dikerjakan pada bulan Ramadhan, pahalanya dianggap sama dengan mengerjakan amalan wajib (HR Bahaiqi dan Ibnu Khuzaimah).

Maka, perbanyakkanlah amal dan ibadah sementara Allah menawarkan pahala yang murah.

KEEMPAT : PINTU SYURGA DI BUKA DAN PINTU NERAKA DITUTUP

" Jika tiba bulan Ramadhan, maka dibuka pintu-pintu syurga dan ditutup pintu-pintu neraka dan dibelenggu semua syaitan.” (HR Bukhari dan Muslim)

Kenapa pintu syurga terbuka?

Ini adalah kerana dengan sedikit sahaja amal soleh yang dilakukan, ianya boleh menghantarkan seseorang ke syurga. Boleh diumpamakan bulan puasa itu sebagai bulan jualan murah. Orang yang tidak membeli akan rugi dan amal yang sedikit sahaja akan dilipatgandakan ganjarannya sedemikian rupa.

Jualan murah dari segi ganjaran itu adalah bagi mendorong orang melakukan amal-amal kebaikan di bulan Ramadhan. Dengan yang demikian, secara automatiknya pintu neraka tertutup dan tidak ada lagi kesempatan buat syaitan untuk menggoda manusia.

KELIMA : IBADAH ISTIMEWA

Keistimewaan puasa ini disebut oleh Allah melalui hadith qudsiNya :

"Setiap amalan anak Adam itu untuk dirinya, kecuali puasa. Itu milik-Ku dan Aku yang membalasnya kerana ia (orang yang berpuasa) meninggalkan syahwat dan makanannya kerana Aku." (HR Bukhari & Muslim)

Menurut Profesor Quraish Shihab, puasa dikatakan untuk Allah dalam ertikata untuk meneladani sifat-sifat Allah kerana itulah intipati puasa.

Misalnya :

  1. Dalam bidang jasmani, kita tahu Allah tidak beristeri. Jadi ketika berpuasa, kita tidak boleh melakukan hubungan seks.
  2. Begitu juga Allah tidak makan, tapi memberi makan kepada makhluknya. Maka, cara untuk meneladani Allah ialah ketika berpuasa, kita tidak makan, namun di akhir puasa kita, kita menyediakan makanan untuk orang yang berbuka puasa. Ini merupakan tahap yang asas dalam meneladani Allah.
Selain itu, masih ada tahap lain yang lebih tinggi dari sekadar itu.

  1. Maha Pemurah adalah salah satu dari sifat Allah yang seharusnya juga kita teladani. Maka dalam berpuasa, kita dianjurkan banyak bersedekah dan berbuat kebaikan. 
  2. Allah Maha Mengetahui. Maka dalam berpuasa, kita perlu banyak belajar. Belajar melalui membaca Al-Qur'an, membaca kitab-kitab yang bermanfaat bagi meningkatkan pengetahuan ilmiah.
  3. Allah swt setiap saat sibuk mengurus makhluk-Nya. Dia bukan hanya mengurus manusia bahkan juga mengurus binatang samada besar atau kecil di samping mengurus rumput-rumput dan daun-daun yang bergoyang. Manusia yang berpuasa meneladani Allah dalam sifat-sifat ini, sehingga dia perlu sentiasa dalam kesibukan melaksanakan tanggungjawab-tanggungjawab yang ditaklifkan kepadanya.
Perlu ditekankan di sini bahwa meneladani Allah itu hendaklah sesuai dengan kemampuan kita sebagai manusia.

Kita tidak mampu untuk tidak tidur sepanjang malam maka hendaklah kita tidur secukupnya.

Kita juga tidak mampu untuk terus-menerus tidak makan dan tidak minum. Maka, jika begitu, cukup untuk kita tidak makan dan tidak minum sejak dari terbitnya fajar hingga tenggelamnya matahari sahaja.

KEENAM : DICINTAI ALLAH

Seseorang yang sentiasa meneladani Allah, jiwanya akan begitu dekat kepada-Nya. Apabila sudah dekat, mintalah apa sahaja niscaya akan mudah dikabulkan.

Apabila Allah telah mencintai hambanya, dilukiskan dalam satu hadis Qudsi :

“Jika Aku telah mencintai seseorang, Aku menjadi pendengaran untuk telinganya, menjadi penglihatan untuk matanya, menjadi pegangan untuk tangannya, menjadi langkah untuk kakinya." (HR Bukhari)

KETUJUH : DOA DIKABULKAN

"Dan apabila hamba-hamba-Ku bertanya kepadamu tentang Aku, katakanlah bahwa Aku dekat. Aku mengabulkan permohonan orang berdoa apabila dia berdoa, maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah)Ku." (QS Al-Baqarah : 186)

Memperhatikan dengan teliti kalimah-kalimah dalam ayat di atas, bererti ada orang berdoa tapi sebenarnya tidak berdoa. Iaitu doa orang-orang yang tidak memenuhi syarat.

Apa syaratnya?

"Maka hendaklah mereka itu memenuhi (segala perintah)Ku."

Perlu diingat bahwa segala makanan yang kita makan, kesucian pakaian, kesucian tempat dan sebagainya mempunyai hubungan yang erat dengan pengabulan doa.

Nabi saw pernah bersabda tentang seorang yang sudah kotor pakaiannya, kusut masai rambutnya berdoa kepada Tuhan. Sebenarnya keadaannya yang tidak bersih itu boleh  menyebabkan  doanya itu tidak diterima. Apatah lagi jika makanannya haram, minumannya haram, pakaian yang dipakainya diambil dari barang yang haram, maka bagaimanakah doanya itu akan dikabulkan?

Jadi, doa itu berkait rapat dengan kesucian jiwa, pakaian dan makanan.

Di bulan Ramadhan, jiwa kita sentiasa diasah hingga menjadi bersih. Semakin bersih jiwa kita, semakin tulus kita, semakin bersih tempat, pakaian dan makanan, maka semakin besar pula kemungkinan untuk dikabulkan doa kita.

KELAPAN : TURUNNYA LAILATUL QADR

Pada bulan Ramadhan Allah swt menurunkan satu malam yang sangat mulia. Begitu mulianya malam tersebut sehingga Allah menggambarkan malam itu nilainya lebih dari seribu bulan.

Dikatakan mulia kerana :

  1. Malam itulah permulaan Al-Qur'an diturunkan.
  2. Kedua, begitu banyak anugerah Allah diturunkan pada malam itu.
Beberapa hadits shahih meriwayatkan malam Al Qadr itu jatuh pada sepuluh hari terakhir bulan Ramadhan seperti berikut :

“Lailatul qadr adalah di akhir bulan Ramadhan tepatnya di sepuluh terakhir, malam kedua puluh satu atau dua  puluh tiga atau dua puluh lima atau dua puluh tujuh atau duapuluh sembilan atau akhir malam Ramadhan. Barangsiapa mengerjakan qiyamullail (solat malam) pada malam tersebut kerana mengharap ridha-Ku, maka diampuni dosanya yang lampau atau yang akan datang.” (HR Ahmad)

Mengapa malam Al-Qadr diletakkan di akhir Ramadhan dan bukan pada awal Ramadhan?

Rupa-rupanya kerana dua puluh malam awal Ramadhan, kita mengasah dan mengasuh jiwa kita. Itu adalah suatu persiapan untuk menyambut ‘lailatul qadr’.

Ada dua tanda ‘lailatul qadr’. Al Qur'an menyatakan :

"Pada malam itu turun malaikat-malaikat dan malaikat Jibril dengan izin Tuhan mereka untuk mengatur segala urusan. Malam itu (penuh) kesejahteraan/kedamaian sampai terbit fajar. (QS Al-Qadr: 4-5)

Malaikat bersifat ghaib, kecuali bila ia berubah bentuk menjadi manusia. Namun, kehadiran malaikat dapat dirasakan.

Syeikh Muhammad Abduh menggambarkan :

“Kalau kamu menemui sesuatu yang sangat berharga, di dalam hati kamu akan tercetus suatu bisikan, ‘Ambil barang itu!”

‘Ada bisikan lain berkata, 'Jangan ambil, itu bukan milikmu!'

Bisikan pertama adalah bisikan syaitan. Bisikan kedua adalah bisikan malaikat.”

Oleh yang demikian, bisikan malaikat sentiasa mendorong seseorang untuk melakukan perkara-perkara positif. Jadi kalau ada seseorang yang hari demi hari sisi kebajikan dan positifnya terus bertambah, maka yakinlah bahwa ia telah bertemu dengan ‘lailatul qadr’.

KESEMBILAN : PENUH HARAPAN

Ketika berpuasa, ada sesuatu yang diharap-harapkan dan harapan itu kian besar menjelang petang. Sehari penuh menahan lapar dan minum, lalu apabila datang waktu berbuka, wah... rasanya lega sekali.

Alhamdulillah. Itulah harapan yang terkabul. Apalagi harapan bertemu Allah, masya'Allah, menjadikan hidup lebih bermakna.

"Setiap orang berpuasa selalu mendapat dua kegembiraan, iaitu tatkala berbuka puasa dan saat bertemu dengan Tuhannya." (HR Bukhari)

KESEPULUH : MASUK SYURGA MELALUI PINTU KHUSUS, ‘RAYYAN’

“Sesungguhnya di syurga itu ada sebuah pintu yang disebut ‘rayyan’ yang akan dilalui oleh orang-orang yang berpuasa pada hari kiamat nanti dan tidak diperbolehkan seseorang melaluinya selain mereka. Ketika mereka dipanggil, mereka akan segera bangkit dan masuk semuanya kemudian ditutup.” (HR Bukhari)

KESEBELAS : MINUM AIR TELAGA RASULULLAH SAW

“Barangsiapa pada bulan Ramadhan memberi makan kepada orang yang berbuka puasa, maka itu menjadi ampunan bagi dosa-dosanya, dan mendapat pahala yang sama tanpa sedikit pun mengurangi pahala orang lain. Mereka (para sahabat) berkata, 'Wahai Rasulullah, tidak setiap kami mempunyai makanan untuk diberikan kepada orang yang berbuka puasa.' Baginda berkata, 'Allah memberikan pahala kepada orang yang memberi buka puasa meskipun dengan sebiji kurma, seteguk air, atau sesisip susu...Barangsiapa memberi minum orang yang berpuasa maka Allah akan memberinya minum seteguk dari telaga-ku dimana ia tidak akan haus hingga masuk syurga.” (HR Ibnu Khuzaimah dan Baihaqi)

KEDUABELAS : ‘QAULAN TSAQILAA’ (PERKATAAN YANG BERAT)

Pada malam Ramadhan ditekankan (disunnahkan) untuk melakukan solat malam dan tadarus al-Qur'an. Waktu paling baik menunaikan solat malam sesungguhnya seperdua atau sepertiga malam terakhir (QS Al Muzzammil : 3).

Tetapi demi menyemarakkan syiar Islam pada Ramadhan, ulama’ membolehkan melakukan tarawih pada awal malam selepas solat isya' dengan berjamaah di masjid. Solat ini masyhur disebut sebagai solat tarawih.

Solat malam itu merupakan peneguhan jiwa, setelah siangnya jiwa dibersihkan dari nafsu-nafsu kotor lainnya. Ditekankan pula selepas solat malam untuk membaca Kitab Suci Al-Qur'an secara tartil (memahami maknanya). Dengan membaca Kitab Suci itu seseorang bakal mendapat wawasan-wawasan yang luas dan mendalam, kerana Al-Qur'an memang sumber pengetahuan dan ilham.

Dengan keteguhan jiwa dan wawasan yang luas itulah Allah kemudian mengurniakan ‘qaulan tsaqilaa’ (perkataan yang berat). Perkataan-perkataan yang bernilai dan berwibawa. Ucapan-ucapannya sentiasa berisi kebenaran. Maka orang-orang yang suka melakukan solat malam wajahnya bakal memancarkan kewibawaan.

KETIGABELAS : HARTANYA DISUCIKAN

Setiap Muslim yang mampu pada setiap Ramadhan diwajibkan mengeluarkan zakat. Ada dua jenis zakat, iaitu fitrah dan harta benda.

Zakat fitrah nilainya  sebesar 2.5 kilogram seorang berupa bahan-bahan makanan asasi manakala zakat harta benda pula sebesar 2.5 peratus dari seluruh kekayaannya apabila sudah mencapai batas nisab dan waktunya.

Zakat di samping bermaksud untuk menolong fakir miskin, ia juga dapat menyucikan harta kita. Harta yang telah disucikan bakal mendatangkan keberkatan dan menghindarkan pemiliknya dari siksa api neraka.

Harta yang berkat akan mendatangkan ketenangan, kedamaian dan kesejahteraan. Sebaliknya, harta yang tidak berkat akan mengundang kekhuatiran dan ketidaksejahteraan.

SERUAN KEPADA AKTIVIS DAKWAH

Wahai aktivis dakwah! Jalanmu penuh dengan rintangan, laut jiwamu dalam tidak terhingga.

Puasa bagimu merupakan benteng penahan.Tidak seorang pun yang mampu kecuali mereka yang perkasa, dipercayai, penuh waspada serta rendah diri, serius, tangkas dan rela berkorban.

Peliharalah lidahmu, kerana tidak ada sesuatu pun yang dapat membuatkan manusia tersungkur ke dalam api neraka kecuali kerana buah mulut mereka sendiri. Jangan mengumpat, kendalikanlah matamu dari pandangan was-was ‘al-khannas’.

Bukankah kamu tahu bahwa Rasulullah saw pernah bersabda : "Siapa yang berpuasa, hendaklah mengendalikan pendengaran dan penglihatannya".

 Oleh kerana itu, jadikanlah ucapanmu berupa dakwah ilallah, pendengaranmu hanya untuk mengingati Allah. Dengan begitu, di dalam dirimu terhimpunlah kebahagiaan dunia dan kebahagiaan akhirat.

Sesungguhnya puasa zahir ditandai dengan berakhirnya siang, iaitu ketika mulai tenggelamnya matahari dan seseorang itu kembali kepada keadaan asal dengan rasa gembira tatkala berbuka. Ini dialami oleh semua orang yang berpuasa.

Namun, puasa orang-orang yang muttaqin yang penuh keikhlasan, tidak berhujung dan tidak berakhir dengan jatuhnya matahari dan tidak dimulai dengan syuruq. Ia tidak dapat dihitung dengan bilangan jam dan tidak pula mempunyai batas waktu.

Kitalah pengendali yang paling dipercayai ke atas diri kita dan ke atas diri saudara-saudara kita. Itulah 'amanah' dari ujian ini.

Bagaimana seandainya kita melalaikannya atau terlepas dari ceruk hati kita di tengah-tengah bersimpang siurnya berbagai godaan dan pemikat-pemikat?

Apakah akan kita biarkan kedatangannya berlalu dan bahkan terlepas dari diri kita?

Tidakkah kita merasa perlu kembali memperhatikan janji kita kepada Allah, yang mendatangkan pahala begitu besar?

Itulah amanah puasa yang sebenar-benarnya.

Ya Allah, sesungguhnya kami sentiasa merindui kedatangan Ramadhan Al Mubarak kerana kehadirannya akan meningkatkan keimanan dan ketaqwaan kami kepadaMu. Kurniakanlah kekuatan dalam hati kami untuk melawan semua tarikan-tarikan syahwat yang akan menodai keimanan dan ketaqwaan kami serta permudahkanlah kami dalam mengambil bekalan-bekalan dari Ramadhan untuk kami menghadapi sebelas bulan yang akan datang.

Ameen Ya Rabbal Alameen

WAS
Labels: Ilmu Email This BlogThis! Share to X Share to Facebook

Leave a Reply

Newer Post Older Post
Subscribe to: Post Comments (Atom)

Yang Setia

Pautan

  • Muharikah
    Antara dua pilihan
    3 years ago
  • Angel Pakai Gucci!
    Doa Itu Bom Nuklear Bagi Orang Mu'min!
    5 years ago
  • Majalah Jom!
    Isu 45: ALAMAK, AKU SALAH PILIH! (EDISI ISTIMEWA)
    9 years ago
  • دعوتنا DAKWATUNA -dakwahkite-
    Di antara Kefahaman dan Pelaksanaan (Sudut Pandang Parti Kebebasan dan Keadilan FJP – Mesir)
    10 years ago
  • ZADUD-DUAT
    Wahai Ikhwah, Persaudaran adalah rahsia kekuatan anda
    11 years ago
  • Popular
  • Recent
  • Archives
 

Diri Ini

My photo
WAS
Blog ini memaparkan bahan-bahan bacaan dan artikel yang boleh meningkatkan ilmu dan kefahaman Islam anda..
View my complete profile

Blog Ini Menarik??

Yang Paling Digemari

  • Tsiqah Membangun Kekuatan
    Imam Hasan Al Banna menjelaskan bahwa makna tsiqah adalah ketenangan ‘jundi’ (perajurit dakwah) terhadap ‘qiyadah’ nya dalam hal kemampuann...
  • Apabila Hijab Terbuka
    Terbukanya hijab  (sekatan pembatas)  antara kita dengan Allah adalah sumber ketenangan dan kebahagiaan hidup. Ketika hijab telah terbuka, s...
  • Memohon Dari Al Jabbar
    Seringkali manusia terjebak oleh pemikirannya sendiri dan merasa mampu untuk merancang segala sesuatu. Padahal tidak ada kekuatan dalam d...
  • Tsabat Memenangkan Dakwah
    ‘ Tsabat ’ bermakna teguh pendirian dan tegar dalam menghadapi ujian serta mehnah di jalan kebenaran. Ia merupakan benteng bagi seorang ak...
  • Ciri-Ciri Khusus Dakwah
    Dakwah Islam memiliki beberapa ciri yang menggambarkan bagaimana Islam sebenarnya. Ia adalah dakwah yang juga mempunyai karakter dan sif...

Arkib

  • ►  2017 (1)
    • ►  April (1)
  • ►  2016 (4)
    • ►  September (2)
    • ►  March (1)
    • ►  January (1)
  • ►  2015 (39)
    • ►  November (1)
    • ►  October (2)
    • ►  September (2)
    • ►  August (3)
    • ►  July (1)
    • ►  June (5)
    • ►  May (6)
    • ►  April (6)
    • ►  March (6)
    • ►  February (2)
    • ►  January (5)
  • ►  2014 (42)
    • ►  November (5)
    • ►  October (4)
    • ►  August (4)
    • ►  July (1)
    • ►  June (9)
    • ►  May (8)
    • ►  April (4)
    • ►  February (3)
    • ►  January (4)
  • ▼  2013 (72)
    • ►  December (1)
    • ►  November (5)
    • ►  October (4)
    • ►  September (5)
    • ►  August (6)
    • ►  July (5)
    • ▼  June (7)
      • Ramadhan Dua Zaman
      • Ramadhan Yang Dirindui
      • Murabbi Merintis Jalan Ke Syurga
      • Nikmat Menjadi Murabbi
      • Nasyid Perjuangan 3
      • Isra' Mi'raj Dari Perspektif Harakah
      • Amal Secara Berjamaah
    • ►  May (5)
    • ►  April (7)
    • ►  March (7)
    • ►  February (9)
    • ►  January (11)
  • ►  2012 (163)
    • ►  December (8)
    • ►  November (9)
    • ►  October (9)
    • ►  September (9)
    • ►  August (6)
    • ►  July (12)
    • ►  June (9)
    • ►  May (15)
    • ►  April (16)
    • ►  March (18)
    • ►  February (24)
    • ►  January (28)
  • ►  2011 (93)
    • ►  December (24)
    • ►  November (69)

Susunan

  • Akhlak (6)
  • Aqidah (17)
  • Dakwah (73)
  • Fikrah (74)
  • Ilmu (38)
  • Motivasi (10)
  • Muslimah (3)
  • Mutiara Hikmah (12)
  • Mutiara Hikmah Para Duat (21)
  • Mutiara Hikmah Ramadhan (3)
  • Renungan (31)
  • Ruhiyah (8)
  • Tarbiatuna (5)
  • Tarbiyah (34)
  • Tausiyah (31)
  • Tokoh (8)
  • Uslub (11)
  • Video (29)

Panji Islam

Asmaaul Husna

Kalam Hikmah

Coretan Anda

Pengunjung

Free CountersFree CountersFree CountersFree CountersFree Counters

Detik Kehidupan

Hari Ini

Waktu Solat

Pelawat


widgets

Selamat Melayari

  • NEW POSTS
  • COMMENTS
  • flickr

    Get your Flickr ID!
 
 
© 2011 Tinta Perjalanan | Designs by Web2feel & Fab Themes

Bloggerized by DheTemplate.com - Main Blogger