skip to main | skip to sidebar

Tinta Perjalanan

Pages

  • Home
 
  • RSS
  • Facebook
  • Twitter
  • Linkedin
  • Youtube
  • DheTemplate.com
  • Free Templates
  • Drop Menu 1
    • Child Menu 1.1
    • Child Menu 1.2
    • Child Menu 1.3
  • Drop Menu 2
    • Child Menu 2.1
    • Child Menu 2.2
    • Child Menu 2.3
  • Daily Update Templates

Ahlan Wasahlan


Perjalanan Menuju Allah.

Tuesday, 9 July 2013

Mengejar Matlamat Puasa

Ditulis Oleh WAS Pada 01:36 – 0 Komen Anda
 

Marhaban Ya Ramadhan! Selamat datang wahai penghulu segala bulan. Bulan penuh barakah yang disucikan oleh Allah swt.

Di bulan ini, Allah swt berjanji akan menjamu semua hamba-hambanya yang beriman. Demikian hebatnya jamuan Allah sehingga sesiapa pun yang melalui Ramadhan ini dengan sebaik-sebaiknya, maka Allah akan menjamin keselamatannya di dunia dan di akhirat.

Seperti keadaan seorang anak kecil yang sangat gembira jika mendapat hadiah, maka demikian juga dengan kita. Pada bulan Ramadhan yang mendatang ini, sungguh banyak "hadiah" yang telah Allah siapkan untuk kita jika kita mampu meningkatkan mutu ibadah di bulan ini.

Maka, alangkah bijaknya jika kita dapat memanfaatkan bulan suci ini sebagai wasilah peningkatan amal ibadah kita kepada Allah dan kita jadikan bulan ini sebagai wasilah meraih darjat ketaqwaan.

Pada bulan mulia ini, kita dianggap sebagai tetamu Allah dan sebagai tuan rumah, Allah sangat mengetahui bagaimana cara memperlakukan tetamuNya dengan baik.

Walaubagaimanapun, Allah hanya akan memperlakukan kita dengan baik jika kita tahu adab dan berakhlak sebagai tetamuNya.

Salah satunya ialah dengan menjaga puasa kita sesempurna mungkin bukan hanya sekadar menahan lapar dan dahaga sahaja tetapi juga menjaga seluruh anggota tubuh badan kita.

Cuba kita tanya diri kita, apakah yang akan kita lakukan ketika kita pergi ke medan perang?

Tentu sekali kita akan mempersiapkan diri sebaik mungkin termasuk mempersiapkan :

a.      Fizikal.

b.     Mental.

c.      Persenjataan.

d.     Penguasaan medan.

e.      Strategi jitu.

Tujuannya adalah untuk memenangkan peperangan. Amat lemahlah kalau kita menuju ke medan perang tanpa memiliki persiapan sedikitpun.

Sesungguhnya, kehidupan di bulan Ramadhan boleh diumpamakan sebagai medan perang.

Prinsip yang berlaku di sini adalah menang atau kalah iaitu samada kita menjadi pemenang atau menjadi orang yang kecundang.

Hadiah yang disediakanpun sungguh fantastik iaitu syurga yang abadi bagi pemenang dan azab dan kesusahan di akhirat bagi orang yang kecundang.

Namun kita berperang dengan siapa?

Tentu saja berperang dengan syaitan dan hawa nafsu kita.

Syaitan adalah musuh terbesar dan paling nyata bagi manusia.

Firman Allah swt :

“Wahai orang-orang yang beriman, masuklah kamu ke dalam Islam secara keseluruhannya,
dan janganlah kamu turut langkah-langkah syaitan. Sesungguhnya syaitan itu musuh yang nyata bagimu.” (QS Al Baqarah : 208)

Berperang melawan syaitan tentunya tidak sama dengan berperang melawan manusia.

Syaitan itu :

1.     Lebih canggih tipu dayanya.

2.     Lebih profesional pekerjaannya.

3.     Lebih banyak jumlahnya.

4.     Tidak nampak kewujudannya oleh mata kasar manusia.

Ia umpama sebuah pertandingan tinju di mana peninju pertama ditutup kepalanya sehingga tidak dapat melihat sedangkan peninju kedua tidak ditutup kepalanya dan boleh bebas bergerak.

Apa yang akan berlaku?

Peninju yang ditutup kepalanya pasti akan menjadi mangsa lawannya.

Pertarungan kedua peninju tersebut sesungguhnya menggambarkan pertarungan antara syaitan dengan manusia.

Betapa sengsaranya jika kita perlu bertarung dengan makhluk yang tidak kelihatan di alam nyata sedangkan ia dapat melihat kita.

Tugas syaitan hanya satu, iaitu menggoda dan menggelincirkan manusia sedangkan tugas kita sangat banyak. Syaitan menggoda manusia secara berkumpulan sedangkan kita perlu menghadapinya sendirian.

Tanpa kesungguhan untuk menghadapinya, kita akan dengan mudah menjadi tawanan
mereka.

Bagaimana tidak, di mana pun dan bila-bila masapun, syaitan bebas menembakkan panah-panah beracun kepada kita tanpa kita menyedarinya.

Syaitan akan membidikkan :

a.      Panah asmara ke dalam hati dua orang yang bukan muhrim untuk berzina.

b.     Panah ke mata manusia sehingga ia merasa nikmat melihat perkara-perkara yang diharamkan oleh Allah.

c.      Panah ke lidah manusia sehingga ia merasa senang untuk mengumpat, memfitnah, memecahbelah serta berdusta.

Bagaimana kita nak memenangkan peperangan dengan musuh seperti ini?

Kata kuncinya adalah :

“Memohon perlindungan dari Allah swt.”

Firman Allah swt :

“Dan jika kamu ditimpa sesuatu godaan syaitan, maka berlindunglah kepada Allah.
Sesungguhnya Allah Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” (QS Al A’raaf : 200)

Oleh itu, marilah kita perbaiki segala kekurangan dan kelalaian akhlak kita sebagai tetamu Allah kerana tidak mustahil Ramadhan tahun ini merupakan Ramadhan terakhir yang akan kita jalani dalam kehidupan kita. Jangan sampai disia-siakan.

Bulan Ramadhan adalah bulan latihan diri yang seharusnya dapat dimanfaatkan untuk menjadikan akhlak dan peribadi kita menjadi lebih indah.

Ibarat sebuah kepompong di mana bulan Ramadhan ini mesti menjadi wasilah bagi kita untuk meningkatkan kualiti diri.

Kita lihat kepompong di mana ia bermula dari ulat yang menjijikkan, kemudiannya menjalani
proses dan akhirnya keluarlah rama-rama indah yang berterbangan ke sana ke mari menambahkan lagi keindahan sebuah taman.

Ramadhan merupakan sebuah kesempatan yang telah Allah berikan kepada kita untuk memperbaiki sikap dan perilaku kita.

Jadi, gunakanlah Ramadhan kali ini secara berkesan bagi meningkatkan kualiti ibadah kerana kita tidak tahu bila umur kita akan berakhir.

Waktu terus berlalu dan umur kita dari hari ke hari semakin berkurang. Jangan sampai kita menjadi orang yang kurang cerdik dengan menyia-nyiakan saat berharga di bulan mulia ini dengan melalaikan ibadah.

Pantang bagi kita untuk menyia-nyiakan perjalanan detik demi detik di bulan yang mulia ini tanpa apa-apa amalan soleh.

Kedatangan Ramadhan ini sungguh berharga bagi kita sehingga kita perlu memperhitungkan agar setiap ucapan, fikiran dan perilaku kita menjadi amal soleh.

Mari kita isi Ramadhan ini dengan amal ibadah. Segala aktiviti kita adalah benilai ibadah jika  niat kita benar dan cara perlaksanaannya juga benar. Gunakanlah bulan Ramadhan ini sebagai wasilah peningkatan kualiti keilmuan kita.

Salah satu caranya adalah dengan membuat skala keutamaan :

PERTAMA :

Pengurusan waktu kita perlu dikendalikan dengan baik sehingga semua aktiviti kita dapat dirancang dengan baik dan tidak membazir.

KEDUA :

Kita perlu meningkatkan kualiti dan kuantiti amal ibadah, contohnya solat. Sebenarnya solat khusyuk itu tidaklah susah tetapi yang susah adalah membulatkan tekad untuk khusyuk.

Kedatangan Ramadhan sebenarnya memayungi kehidupan kita agar menjadi mulia lagi berkat.

Di dalamnya terdapat :

1.     Kebaikan berantai-rantai yang tiada putus.

2.     Hembusan rahmat Allah yang bertali arus.

3.     Limpahan kasih Ar-Rahman yang mengalir laksana arus.

Sesungguhnya Ramadhan benar-benar bulan rahmah, maghfirah dan kebebasan dari belenggu api neraka.

Firman Allah swt :

“…(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadhan yang padanya diturunkan Al-Qur’an, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia dan menjadi keterangan-keterangan yang menjelaskan petunjuk dan (menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah...” (QS Al Baqarah : 185)

Ketahuilah sesungguhnya perjalanan yang panjang itu memerlukan bekalan sebagaimana firman Allah swt :

“….dan hendaklah kamu membawa bekal dengan secukupnya kerana sesungguhnya sebaik-baik bekal itu ialah taqwa dan bertaqwalah kepadaKu wahai orang-orang yang berakal (yang dapat memikir dan memahaminya).” (QS Al Baqarah : 197)

Hendaklah kita jadikan Ramadhan ini masa untuk menyiapkan bekalan setahun.

Jadikan puasa, qiam, wirid, i'tikaf, sedekah dan solat sebagai bekalan dalam perjalanan menghadap Tuhan.

Daripada bekalan itu kita dapat :

a.      Berdiri tegap secara istiqamah.

b.     Membangun cita-cita yang tinggi.

c.      Memperkuatkan keazaman yang murni.

Ketika kita beramal di bulan yang mulia ini, hati kita :

1.     Bertaut dengan Kekasih kita.

2.     Tidak lepas ikatan denganNya.

3.     Tidak putus pengharapan kepadaNya.

Manakala jiwa kita akan mencapai keberuntungan berjual beli dengan Allah Yang Maha Esa sebagaimana firmanNya :

“Dan di antara manusia ada yang mengorbankan dirinya kerana mencari keredhaan Allah semata-mata dan Allah pula amat belas-kasihan akan hamba-hambaNya.” (QS Al Baqarah : 207)

Jadikanlah Ramadhan ini titik bertolak ke arah mencapai tujuan di mana kita perlu jadikan Islam sebagai sebuah daulah yang bergerak di dalam jiwa-jiwa manusia dan melekat di dalamnya merangkumi :

a.      Aqidah dan iradah.

b.     Amal dan ibadah.

c.      Ilmu dan kepimpinan.

d.     Keagungan dan ketuanan.

Biarlah Islam :

1.     Menjadi aqidah yang menggerakkan iradah (kemahuan).

2.     Menuntun ibadah yang melahirkan amal.

3.     Mewarisi ilmu yang melayakkan kepimpinan.

4.     Mendapat penghormatan dan ketuanan.

Semuanya terhasil dan tercerna mengikut acuan rabbani yang amat luas.

Dalam setiap kegiatan yang kita lakukan, kita perlu menetapkan matlamat. Dengan matlamat yang jelas, kita akan dapat mengarahkan pekerjaan kita untuk mencapainya.

Demikian pula dengan puasa yang kita lakukan. Kita perlu mempunyai matlamat untuk apa kita berpuasa?

Kita perlu mengetahui dan menyedari tujuan puasa kita agar puasa kita itu benar dan terarah serta dapat sampai kepada matlamat yang hendak kita capai.

Hendaklah semua hati-hati kita menjadikan matlamat puasa seperti yang telah digariskan di dalam firman Allah swt :

“Wahai orang-orang yang beriman, diwajibkan ke atas kamu berpuasa sebagaimana telah
diwajibkan ke atas orang-orang sebelum kamu, agar kamu bertaqwa.” (QS Al Baqarah : 183)

Taqwa bermakna takut, iaitu takut kepada Allah swt. Rasa takut kepada Allah swt itu disalurkan dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan menjauhi segala larangan-Nya.

Melaksanakan semua perintah dan menjauhi segala larangan Allah swt adalah "kayu pengukur" perilaku yang dapat dinilai dari seseorang yang bertaqwa.

Ini merupakan perwujudan secara zahir dari ketaqwaan seseorang.

Namun, melihat kepada yang nampak secara zahir semata-mata tidaklah cukup kerana letaknya taqwa itu bukanlah sekadar pada pekerjaan yang nampak secara zahir sahaja.

Rasulullah saw bersabda :

“Taqwa itu di sini, taqwa itu di sini, dua kali atau tiga kali, sambil baginda
menunjuk dengan tangan baginda ke arah dadanya.”' (HR Ahmad)

Taqwa itu pangkalnya di hati yang sentiasa ingat kepada Allah swt.


Intipati dari ketaqwaan adalah sentiasa ingat Allah swt yakni suatu kesedaran :

a.      Yang mendalam pada diri kita bahwa Allah swt sentiasa hadir dalam kehidupan kita.

b.     Mengenai ke-MahaHadir-an Allah swt dalam segala ruang dan waktu.

c.      Bahwa Allah swt sentiasa bersama kita.

Allah swt telah berfirman :

“'Dan Dia bersamamu di mana pun kamu berada. Dan Allah Maha Mengetahui tentang segala sesuatu yang engkau kerjakan.” (QS Al Hadid : 4)

Kesedaran Ilahiah semacam ini dalam agama kita disebut juga dengan istilah “ihsan”.

Mengenai makna “ihsan”, Rasulullah saw telah bersabda :

“Hendaklah engkau beribadah kepada Allah seakan engkau melihat-Nya, dan jika engkau tidak melihat-Nya, maka sesungguhnya Dia melihatmu.” (HR Bukhari)

Sikap ihsan ini akan menjadikan seseorang itu :

1.     Sentiasa berbuat baik.

2.     Selalu melaksanakan segala sesuatu yang diperintahkan Allah swt.

3.     Sentiasa melakukan sesuatu yang diridhai oleh Allah swt.

Dengan menyedari akan kehadiran Allah swt dan kebersamaan denganNya bila-bila masa dan di mana pun, seseorang akan sentiasa :

a.      Menghindari perbuatan jahat.

b.     Menghindari perbuatan tercela.

c.      Menjauhi segala larangan-Nya.

d.     Menjauhi perbuatan yang dapat mendatangkan kemurkaanNya.

Berangkat dari kesedaran ketuhanan yang terhunjam di dalam kalbu kita, maka akan memancarlah sifat-sifat mulia dan terpuji pada perilaku seseorang dalam kehidupannya sehari-hari.

Jika individu-individu dalam masyarakat memiliki sikap dan perilaku yang demikian, maka
akan tercipta suatu kehidupan masyarakat ideal yang bermoral dan beradab.

Inilah gambaran sebuah masyarakat yang dibangun di atas asas taqwa kepada Allah swt di mana salah satu wasilah untuk mewujudkannya adalah melalui ibadah puasa di bulan Ramadhan.

Beramallah dengan bersungguh-sungguh supaya bulan ini tidak pergi kecuali dalam keadaan kita telah :

1.     Memperlihatkan kepada Allah keyakinan kita kepada janjiNya.

2.     Beriltizam dengan perintahNya.

3.     Berjalan mengikut manhajNya.

Pada sepuluh hari terakhir Ramadhan, kita cuba usahakan untuk merenung dan menangis kepada Allah swt dengan memohon keampunan semasa melakukan i'tikaf.

Demikian juga dengan sedekah di mana Allah swt menjamin akan melipatgandakan pahala dan rezeki bagi kita jika kita ikhlas dalam bersedekah.

Tidak akan ada seorang pun yang akan menjadi miskin kerana menikmati hidup ini dengan bersedekah.

Firman Allah swt :

“Syaitan itu menjanjikan (menakut-nakutkan) kamu dengan kemiskinan dan kepapaan (jika kamu bersedekah atau menderma) dan dia menyuruh kamu melakukan perbuatan yang keji (bersifat bakhil kedekut); sedang Allah menjanjikan kamu (dengan) keampunan daripadaNya serta kelebihan kurniaNya dan (ingatlah), Allah Maha Luas limpah rahmatNya, lagi sentiasa Meliputi PengetahuanNya.” (QS Al Baqarah : 268)

Tentu sahaja kemampuan ekonomi di antara kita berbeza-beza. Namun perlu difahami bahwa sedekah itu tidak diukur dari besar kecilnya nilai bahan sedekah itu, tetapi kekuatan keupayaan dan keikhlasan yang kita lakukan.

Yang paling penting kita mesti meningkatkan kemampuan kita bersedekah dengan apa cara sekalipun yang ada pada diri kita.

Mulailah dari yang paling murah dan mudah, iaitu senyum. Sesungguhnya ini adalah sesuatu yang menyenangkan.

Mengapa kita tidak membahagiakan orang lain dengan senyuman yang tulus?

Marilah kita pacakkan bendera yang bersesuaian bagi setiap sepuluh hari bulan Ramadhan :

a. Sepuluh yang pertama haraplah rahmat dengan berkasih sayang dan menghubung silaturahim.

b. Sepuluh kedua harapkan keampunan dengan memohon ampun dan saling bermaafan agar terlerai segala dosa dan kesilapan lalu.

c. Sepuluh terakhir haraplah kebebasan dari segala belenggu di dunia dan di akhirat.

“Di antara orang-orang yang beriman itu, ada yang bersikap benar menunaikan apa yang telah dijanjikannya kepada Allah (untuk berjuang membela Islam); maka di antara mereka ada yang telah selesai menjalankan janjinya itu (lalu gugur syahid), dan di antaranya ada
yang menunggu giliran dan mereka pula tidak mengubah (apa yang mereka janjikan itu) sedikitpun.” (QS Al-Ahzab : 23)

Sahutlah seruan untuk hidup pada bulan Ramadhan ini supaya sepanjang tahun akan datang nanti terus mekar dan subur berpanjangan.

“Wahai kaum kami! Sahutlah (seruan) Rasul (Nabi Muhammad) yang mengajak ke jalan Allah, serta berimanlah kamu kepadanya, supaya Allah mengampunkan sebahagian dari dosa-dosa kamu dan menyelamatkan kamu dari azab siksa yang tidak terperi sakitnya.” (QS Al Ahqaf : 31)

Awas dan waspadalah!

Jangan sampai Ramadhan kali ini terlepas dari genggaman kita!

Jika itu berlaku, rugilah kita dengan kerugian yang tidak mungkin ditampung dengan apa usaha sekalipun.

“Dan sesiapa tidak menyahut (seruan) Rasul yang mengajaknya ke jalan Allah, maka dia tidak akan dapat melepaskan diri (dari balasan azab walau ke mana sahaja dia melarikan diri) di bumi dan dia tidak akan beroleh sesiapapun yang lain dari Allah sebagai pelindung- pelindung yang membelanya; mereka (yang demikian sifatnya) adalah dalam kesesatan yang nyata.” (QS Al-Ahqaf : 32)

Ya Allah, kuatkanlah keimanan dan keazaman kami untuk menyediakan bekalan-bekalan yang mencukupi untuk kami menghadapi kehidupan setahun yang akan datang. Sesungguhnya tidak ada kenikmatan yang lebih baik yang kami perolehi dariMu melainkan sifat taqwa yang terbentuk di dalam jiwa raga kami setelah berjaya melalui sistem pendidikan dan latihan yang sistematik di bulan Ramadhan di samping segala ganjaran-ganjaran yang Engkau janjikan bagi mereka-mereka yang ikhlas melaksanakan puasa semata-mata keranaMu.

Ameen Ya Rabbal Alameen
WAS



Labels: Motivasi Email This BlogThis! Share to X Share to Facebook

Leave a Reply

Newer Post Older Post
Subscribe to: Post Comments (Atom)

Yang Setia

Pautan

  • Muharikah
    Antara dua pilihan
    3 years ago
  • Angel Pakai Gucci!
    Doa Itu Bom Nuklear Bagi Orang Mu'min!
    5 years ago
  • Majalah Jom!
    Isu 45: ALAMAK, AKU SALAH PILIH! (EDISI ISTIMEWA)
    9 years ago
  • دعوتنا DAKWATUNA -dakwahkite-
    Di antara Kefahaman dan Pelaksanaan (Sudut Pandang Parti Kebebasan dan Keadilan FJP – Mesir)
    10 years ago
  • ZADUD-DUAT
    Wahai Ikhwah, Persaudaran adalah rahsia kekuatan anda
    11 years ago
  • Popular
  • Recent
  • Archives
 

Diri Ini

My photo
WAS
Blog ini memaparkan bahan-bahan bacaan dan artikel yang boleh meningkatkan ilmu dan kefahaman Islam anda..
View my complete profile

Blog Ini Menarik??

Yang Paling Digemari

  • Tsabat Memenangkan Dakwah
    ‘ Tsabat ’ bermakna teguh pendirian dan tegar dalam menghadapi ujian serta mehnah di jalan kebenaran. Ia merupakan benteng bagi seorang ak...
  • Qudwah Di Jalan Dakwah
    Ustaz Mustafa Masyhur dilahirkan pada 15 September 1921 di Kampung Sa'din, dari kota Manya Al-Qamh, Mesir. Beliau terdidik di dalam s...
  • Memohon Dari Al Jabbar
    Seringkali manusia terjebak oleh pemikirannya sendiri dan merasa mampu untuk merancang segala sesuatu. Padahal tidak ada kekuatan dalam d...
  • Menjelmakan Makna Tarbawi
    Sehingga ke saat ini Allah swt masih memberikan rahmat kepada kita melalui hidayah, iman, Islam serta dakwah dan tarbiyah. Sungguh, n...
  • Melahirkan Murabbi Yang Berjaya
    Proses tarbiyah adalah suatu pekerjaan yang sangat berat dan tidak mudah kerana tarbiyah bererti: 1. Mempersiapkan manusia. 2. Membentuk d...

Arkib

  • ►  2017 (1)
    • ►  April (1)
  • ►  2016 (4)
    • ►  September (2)
    • ►  March (1)
    • ►  January (1)
  • ►  2015 (39)
    • ►  November (1)
    • ►  October (2)
    • ►  September (2)
    • ►  August (3)
    • ►  July (1)
    • ►  June (5)
    • ►  May (6)
    • ►  April (6)
    • ►  March (6)
    • ►  February (2)
    • ►  January (5)
  • ►  2014 (42)
    • ►  November (5)
    • ►  October (4)
    • ►  August (4)
    • ►  July (1)
    • ►  June (9)
    • ►  May (8)
    • ►  April (4)
    • ►  February (3)
    • ►  January (4)
  • ▼  2013 (72)
    • ►  December (1)
    • ►  November (5)
    • ►  October (4)
    • ►  September (5)
    • ►  August (6)
    • ▼  July (5)
      • Ramadhan Mentarbiyah Umat
      • Kembalikan Semangat Ramadhan
      • Mengejar Matlamat Puasa
      • Menjadi Pendokong 'Al Haq'
      • Puasa Di Bawah Naungan Al Qur'an
    • ►  June (7)
    • ►  May (5)
    • ►  April (7)
    • ►  March (7)
    • ►  February (9)
    • ►  January (11)
  • ►  2012 (163)
    • ►  December (8)
    • ►  November (9)
    • ►  October (9)
    • ►  September (9)
    • ►  August (6)
    • ►  July (12)
    • ►  June (9)
    • ►  May (15)
    • ►  April (16)
    • ►  March (18)
    • ►  February (24)
    • ►  January (28)
  • ►  2011 (93)
    • ►  December (24)
    • ►  November (69)

Susunan

  • Akhlak (6)
  • Aqidah (17)
  • Dakwah (73)
  • Fikrah (74)
  • Ilmu (38)
  • Motivasi (10)
  • Muslimah (3)
  • Mutiara Hikmah (12)
  • Mutiara Hikmah Para Duat (21)
  • Mutiara Hikmah Ramadhan (3)
  • Renungan (31)
  • Ruhiyah (8)
  • Tarbiatuna (5)
  • Tarbiyah (34)
  • Tausiyah (31)
  • Tokoh (8)
  • Uslub (11)
  • Video (29)

Panji Islam

Asmaaul Husna

Kalam Hikmah

Coretan Anda

Pengunjung

Free CountersFree CountersFree CountersFree CountersFree Counters

Detik Kehidupan

Hari Ini

Waktu Solat

Pelawat


widgets

Selamat Melayari

  • NEW POSTS
  • COMMENTS
  • flickr

    Get your Flickr ID!
 
 
© 2011 Tinta Perjalanan | Designs by Web2feel & Fab Themes

Bloggerized by DheTemplate.com - Main Blogger