skip to main | skip to sidebar

Tinta Perjalanan

Pages

  • Home
 
  • RSS
  • Facebook
  • Twitter
  • Linkedin
  • Youtube
  • DheTemplate.com
  • Free Templates
  • Drop Menu 1
    • Child Menu 1.1
    • Child Menu 1.2
    • Child Menu 1.3
  • Drop Menu 2
    • Child Menu 2.1
    • Child Menu 2.2
    • Child Menu 2.3
  • Daily Update Templates

Ahlan Wasahlan


Perjalanan Menuju Allah.

Friday, 18 October 2013

Penggabungan Meneruskan Dakwah

Ditulis Oleh WAS Pada 18:30 – 0 Komen Anda
 
Seorang Syeikh mengingatkan muridnya bahwa dakwah mestilah terus bergerak dan tidak boleh
berhenti meskipun wadahnya sebagai medium aspirasi perjuangannya dibubarkan oleh pemerintah setempat.

“Sekalipun wadah kita telah dibubarkan, aktiviti dakwah kita tidak boleh terbubar dan tidak dapat dibubarkan”.

Demikian penegasan Syeikh tersebut.

Kalimat itu benar-benar menghentakkan kesedaran muridnya akan kewajiban mereka untuk sentiasa berdakwah dengan berbagai keadaan dan suasana.

Bukan sesuatu yang mudah malah kita akan menjadi bingung untuk melakukan sesuatu lantaran wadahnya sudah dibubarkan kerana hakikat asas bagi aktivis dakwah adalah berdakwah untuk memberikan sumbangan amal soleh dalam rangka mendekatkan diri kepada Allah swt.

Dengan kata lain, dakwah adalah mutlak bersifat tetap (tsawaabit), ertinya tetap terus berjalan dan dilaksanakan sedangkan wasilah, gaya pendekatan dan strategi termasuk perkara-perkara yang boleh berubah (mutaghayyiraat)  sesuai dengan tuntutan situasi dan keadaan yang ada.

Suatu keadaan yang pahit seringkali membuatkan orang merasa berat untuk menerimanya. Meski pun kenyataan berat seperti itu boleh difahami namun, sebagai aktivis dakwah selayaknya kita
tidak berada pada titik keadaan tersebut.

Namun, sebaliknya kita hendaklah menghadapi situasi tersebut dengan berpegang kepada kriteria dan asas (Dhawaabit) yang jelas dalam amal dakwah ini sehingga kita tidak kehilangan keseimbangan ketika berada di atasnya.

Melalui kriteria dan asas tersebut kita mampu melangkahkan kaki bersama dakwah dengan tegap tanpa ragu dan bingung.

Kriteria atau asas (Dhawaabit) ini akan memandu ke arah mana jalan yang perlu ditempuh dan menjadi batu-batu tanda yang akan memberitahu kita apa yang mesti dilakukan.

Keterikatan aktivis dakwah terhadap dakwah tidak boleh mengalami penurunan dalam situasi yang tersepit sekalipun akan tetapi peningkatan dan pengukuhanlah yang mesti dilakukan mereka.

Bersama dakwah :

1.      Prinsip hidup mukmin terus terjaga.
2.      Komitmen kepada Islam semakin kuat.

Sebaliknya tanpa bersama dakwah, jurang sentiasa menganga di hadapan kita dan bahaya sentiasa mengancam. Bahkan yang perlu kita faham adalah tanpa penggabungan dakwah, kewujudan kita dalam barisan ini akan digantikan oleh mereka yang lebih baik penggabungannya daripada diri kita.

Dalam keadaan bahaya sekalipun, penglibatan diri kita terhadap dakwah mesti berterusan apalagi dalam keadaan tenang.

Rasulullah saw mengatakan bahwa Islam adalah roda yang berputar maka berputarlah bersama Islam bagaimanapun putarannya sebagaimana sabdanya :

Dari Muadz bin Jabal ra berkata :

“Aku pernah mendengar Rasulullah saw bersabda : “Ketahuilah sesungguhnya roda Islam akan terus berputar, maka berputarlah kamu bersama Al-Qur’an ke manapun  ia berputar.”

Ucapan baginda ini menegaskan bahwa aktivis dakwah mesti sentiasa menyertainya dalam setiap
keadaan kerana penggabungan yang lemah akan menjadi sebab
untuk diganti dengan orang lain yang lebih baik.

Ini sebagaimana firman Allah swt :

“………jika kamu berpaling niscaya Dia akan mengganti kamu dengan kaum yang lain dan mereka tidak seperti (kualiti) kamu ini”. (QS Muhammad : 38)

Konteks ayat ini membicarakan tentang seruan berinfak dan ancaman bagi satu bangsa dan kaum yang tidak mahu berinfak, samada infak waktu, tenaga, idea, gagasan, pemikiran dan harta di mana mereka akan digantikan oleh Allah swt peranannya dalam meneruskan usaha dakwah ini oleh bangsa lain.

Oleh kerana itu, ketika kita melibatkan diri kita dalam dakwah ini dan terus meningkatkan komitmen (iltizam) kita dengan susunan harakah ini, melaksanakan semampu mungkin segala bentuk kewajiban semasa di dalam jamaah, menghadiri pertemuan-pertemuan susunan jamaah seperti halaqah, usrah, daurah, katibah, rehlah dan mukhayyam samada berbentuk dalaman atau luaran, InsyaAllah, Allah swt tidak akan menggantikan kita dengan yang lain.

Penggabungan kita dalam dakwah ini memerlukan kita supaya tidak boleh kikir dan bakhil, ertinya hendaknya kita tidak segan-segan dan sentiasa bersemangat memberikan sumbangan sebahagian waktu, idea, gagasan, pemikiran dan wang yang kita miliki, demi keberlangsungan dakwah ini dan juga demi supaya kita tidak ingin digantikan dengan kelompok lain.

Imam At-Thabary dalam kitab tafsirnya menjelaskan ayat ini dengan mengutip hadits riwayat Imam Tirmidzi dari Abu Hurairah ra, Ia berkata :

Ayat ini turun pada saat Salman Al-Farisi berada di samping Rasulullah saw dengan saling berhimpitan lutut keduanya, para sahabat bertanya : “Ya Rasulallah!, Siapakah mereka yang apabila kita berpaling mereka akan menggantikan kita dan mereka tidak seperti kita?. Sambil menepuk paha Salman, Rasulullah saw bersabda : “Orang ini dan kaumnya (Bangsa Parsi)”.

 Abdurrahman bin Jabir dan Syuraih bin Ubaid menafsirkan kaum pengganti dalam ayat tersebut adalah Bangsa Yaman. Hal ini mungkin kerana bangsa yang paling dekat dengan bangsa Arab pada masa itu dan yang sudah mulai berbondong-bondong masuk Islam adalah Bangsa Yaman. Wallahu ‘A’lam.

Maksudnya adalah bangsa Parsi atau Bangsa Yaman  akan menggantikan bangsa Arab dalam memimpin dan mengelola dakwah ini, apabila mereka bakhil dan kikir.

Walaupun Rasulullah saw sendiri berasal dari bangsa Arab, tetapi baginda begitu bersikap objektif  di mana dakwah ini akan dikendalikan oleh bangsa lain apabila bangsa Arab tidak mahu berkorban untuk dakwah ini. Demikian pula hal itu akan berlaku kepada kita sekalian Wal – ‘iaadzu billah!!!

Sayyid Qutb dalam Tafsir Fi Zhilalnya menambah penjelasan ayat tersebut di atas dengan mengatakan bahwa ayat tersebut adalah gambaran tentang ciri-ciri yang muncul berkait dengan realiti jamaah dakwah pada masa itu (zaman Rasulullah saw) dan juga berkait dengan realiti setiap manusia yang dihadapkan dengan kekikiran dan kebakhilannya sendiri untuk berkorban demi dakwah dalam segala situasi dan keadaan.

Oleh kerana itulah Al-Qur’an mengingatkan kita akan ancaman yang boleh membuatkan kita digantikan oleh orang lain dalam memimpin dan mengelola dakwah ini.

Tarbiyah sebagai wasilah pembentukan diri bagi aktivis dakwah tidak boleh kendur dan menurun dalam keadaan apapun, kerana perkara itu merupakan ‘tsawaabit’ (unsur tetap) yang tidak boleh hilang dan berhenti.

Mereka yang berada dalam barisan dakwah mentarbiyah diri menjadi aktivis dakwah yang mesti berjalan berterusan dan tidak berhenti walau sejenak pun kerana tarbiyah merupakan titik tolak bagi aktivis dakwah dalam membina diri menuju keperibadian muslim yang soleh dan musleh.
Apalagi iklim yang berlaku di sekitarnya sangat berperanan menjadi penghalang untuk mencapai cita-cita mulia tersebut.

Selekoh-selekoh tajam yang berbahaya berada di kiri dan kanan jalan yang akan menjerumuskannya ke dalam jurang yang dalam.

Maka tarbiyah sebagai jawaban untuk membina diri bagi aktivis dakwah dalam menghadapi keadaan tersebut perlu tetap berjalan.

Kurangnya aktiviti tarbiyah dapat memberi pengaruh kepada ketahanan mental dan menyebabkan ‘ma’nawiyah’ aktivis dakwah semakin melemah.

Kelemahan ini kadang-kadang menjadi sebab dari berbagai permasaalahan yang melanda aktivis dakwah samada pada skala individu mahupun sosial.

Oleh sebab itu tarbiyah dalam situasi apapun mesti terus berjalan. Apabila ia mendapatkan rintangan dari kiri ia perlu memutar haluan dengan cepat ke kanan. Begitu juga apabila ada gangguan dari sebelah kanan ia pun perlu menghadapinya dengan cepat membelok ke kiri.

Ini bererti meskipun banyak halangan yang dihadapi, tarbiyah perlu terus berjalan dari berbagai arah sehingga ia sentiasa mengalir dengan lancar.

Banyak sekali kita temui keterangan dalam Al Qur’an dan Hadith yang menjelaskan bahwa berjamaah merupakan suatu keperluan untuk setiap muslim.

Oleh yang demikian, berjamaah dan beramal jama’ie juga merupakan ‘tsawaabit’ (unsur tetap).   Dengan berjamaah kita akan mendapat keberkatan yang melimpah.

a.       Yang lemah akan menjadi kuat.
b.      Yang kurang akan mendapatkan tambahan.
c.       Yang menyimpang akan dapat diluruskan dan banyak kebaikan lainnya. 

Oleh kerana itu,  berjamaah  menjadi  keperluan  yang  asasi  bagi  aktivis dakwah di mana ia  akan  mampu menghadapi segala keadaan dengan berjamaah.

Keberadaannya dalam jamaah ini tentulah bukan sekadar hadir di dalamnya melainkan ia aktif dan terlibat penuh dengan berbagai aktivitinya. Dengan sikap begitu, ia akan merasakan keberadaan jamaah pada dirinya.

Allah swt memandang orang mu’min sentiasa berjamaah sebagaimana ‘tsabit’ dalam nash Al Qur’an. Hal ini sekaligus menyuruh orang-orang mu’min sentiasa dalam keadaan berjamaah.

Orang yang bersendirian berpeluang untuk mendapatkan mara bahaya. Apalagi dalam situasi yang tersepit dan sukar. Oleh kerana itu, Rasulullah saw mengingatkan kita untuk sentiasa berjamaah, sebagaimana sabdanya :

“Wahai sekalian manusia!,  Hendaknya kamu berjamaah dan hindarkanlah perpecahan!, Ishaq meriwayatkan Rasulullah saw mengucapkan hal itu tiga kali.”  (HR Ahmad)

Abdullah bin Mas’ud juga telah mengingatkan kita agar kita terikat pada jamaah.

Baginda saw berkata:

“Hendaklah kamu berjamaah kerana sesungguhnya Allah swt tidak mengumpulkan umat Nabi Muhammad saw di atas kesesatan, sampai orang yang baik dapat beristirehat tenang  atau tidak disibukkan oleh para durjana dan pembuat dosa.”

Peranan kepimpinan dalam hal ini adalah menetapkan suatu  polisi yang akan menjadi arahan dan rujukan yang jelas bagi perajuritnya. Polisi tersebut adalah untuk dilaksanakan oleh pengikut bawahannya secara cepat dan tepat.

Dalam situasi yang getir, seorang pemimpin tidak boleh lambat dalam mengambil suatu keputusan. Keputusan yang lambat boleh membawa kepada kekeliruan dalam bersikap dengannya dan akhirnya kekeliruan dalam menghadapi suatu keadaan akan mengakibatkan kegagalan bagi perjalanan dakwah.

Namun, keputusan yang cepat tidak bererti asalkan ditetapkan sebagai sebuah keputusan
melainkan ianya berasal dari pemikiran dan perhitungan yang tajam akan keputusan tersebut.

Di samping itu, peranan kepimpinan  adalah untuk memberikan arahan dan ‘taujihat’ yang sangat diperlukan oleh para pendokongnya.

‘Taujihat’ yang tepat dan mengena dari kepimpinan menjadi cucuran air hujan di musim kemarau. Pendokong yang aktif memerlukan arahan apalagi setelah letih melakukan operasi kerja yang besar.

Di sinilah perlunya kepimpinan yang bijaksana dan di sini pulalah keperluan bahwa tidak semuanya mesti terjun ke medan lapangan bahkan perlu ada sebahagian yang melibatkan diri secara bersungguh-sungguh dengan ilmu pengetahuan agar dapat memberikan arahan, sebagaimana firman Allah swt :

“Tidak sepatutnya bagi orang-orang yang mu’min itu pergi semuanya ke medan perang. Mengapa tidak pergi dari tiap-tiap golongan di antara mereka beberapa orang untuk memperdalam pengetahuan mereka tentang agama dan untuk memberi peringatan kepada kaumnya apabila mereka telah kembali kepadanya supaya mereka itu dapat menjaga diri.” (QS At Taubah : 122)

Sedangkan peranan para perajurit ialah bersikap bersiap sedia dan patuh dalam menjalani tugas
dan kewajibannya. Sikap yang sentiasa melekat pada setiap perajurit.

Perajurit yang baik adalah mereka yang sentiasa berusaha secara maksimum dalam menjalani  tugasnya.  Apabila ditugaskan  di  barisan  hadapan  ia  akan  berada  pada  posisinya manakala apabila ditempatkan di bahagian belakang ia tetap menunaikannya. Apabila diperintahkan, ia laksanakan dengan segera. Sebaliknya perajurit yang diam terpaku dan termenung menghadapi tugasnya akan memperlambatkan kerja dan tugasnya. Bahkan ia akan mengakibatkan keburukan secara keseluruhannya.

Dalam  perjalanan dakwah dan harakah, ada perkara-perkara yang boleh berubah. Perubahan ini boleh berlaku kerana situasi dan keadaan yang berkembang di sekitarnya.

Perubahan tersebut dibenarkan asalkan ianya tidak merubah prinsip dan arah harakah dakwah ini melainkan sebagai usaha untuk tetap meneruskan perjalanannya. Perubahan itu boleh meliputi perubahan nama, bentuk, mekanisma dan tatacara prosedur.

Perubahan nama merupakan sesuatu yang biasa dalam dinamik dakwah dan pergerakannya. Perubahan nama boleh berlaku beberapa kali. Hal ini berlaku kerana faktor yang tidak dapat memunculkan nama  lamanya sehingga perlu menampilkan diri dengan nama barunya.

Perubahan bentuk juga mungkin boleh berlaku hingga beberapa kali untuk dapat diterima oleh masyarakat luas sehingga perjalanannya tetap berterusan. Semua perubahan itu sangat mungkin
boleh berlaku dan oleh kerananyalah, aktivis dakwah tidak boleh mengalami kejutan yang berpanjangan lantaran hal itu.

Perubahan polisi yang dilakukan oleh kepimpinan, samada melalui mekanisma syura ataupun secara terus oleh kepimpinan itu sendiri, boleh sahaja dilakukan sesuai dengan tuntutan situasi dan keadaan yang ada.

Walaubagaimanapun polisi yang bersifat secara langsung dari kepimpinan tidak boleh sering berlaku, tetapi sebaiknya lebih banyak dihasilkan melalui mekanisma syura. Di sinilah para perajurit dihadapkan dengan ujian ketsiqahan terhadap kepimpinannya dan jamaah sebagai institusi juga diuji keteguhan strukturnya.

Setiap polisi memang seringkali menimbulkan kejutan dan ketidaksiapan psikologi untuk menerimanya, contohnya ketika berlaku perubahan arah kiblat di mana kaum Muslimin sudah terbiasa solat menghadap ke Baitul Maqdis, lalu turunlah firman Allah swt :
  
“Orang-orang yang kurang akalnya di antara manusia akan berkata: "Apakah yang memalingkan mereka (umat Islam) dari kiblatnya (Baitul Maqdis) yang dahulu mereka telah berkiblat kepadanya?" Katakanlah: "Kepunyaan Allah-lah timur dan barat; Dia memberi petunjuk kepada siapa yang dikehendaki-Nya ke jalan yang lurus.”

Ayat di atas dari segi intipatinya berbicara tentang perubahan arah kiblat dari Masjidil Aqsa ke Masjidil Haram. Namun perkara itu bukanlah sesuatu yang seharusnya diperdebatkan kerana yang penting adalah beribadahnya kita kepada Allah swt dan bukan semata-mata menghadap kepadanya.

Samada Masjidil Aqsha ataupun Masjidil Haram memiliki kemuliaan  dan warisan sejarah nubuwwah yang sama. Ketetapan Allah swt merubah arah kiblat kaum Muslimin semata-mata hanya untuk menjadikan Masjidil Haram di mana Ka’bah berada sebagai pusat persatuan umat dan fokus perjuangan untuk membebaskan Ka’bah dari simbol-simbol kemusyrikan.

Di sudut lain, perubahan arah kiblat juga menjadi wasilah persediaan bagi para sahabat dalam hal ketsiqahan mereka terhadap Allah swt dan Rasulullah saw sebagai pemimpin, sebagaimana firman Allah swt :

“Dan Kami tidak menetapkan kiblat yang menjadi kiblatmu (sekarang) melainkan agar Kami mengetahui (supaya nyata) siapa yang mengikuti Rasul dan siapa yang membelot.”

Apabila kita renungkan perubahan arah kiblat adalah perubahan sebuah polisi yang datangnya dari Allah swt yang disampaikan melalui lisan Rasul-Nya dan di sudut yang lain, perubahan polisi ini juga menjadi ujian bagi keteguhan dan keutuhan jamaah, ketsiqahan perajurit dengan kepimpinannya, apakah mereka masih setia mengikuti Rasulullah saw atau akan membelot.

Memang, kadang-kadang perubahan polisi dalam kehidupan berjamaah seringkali menimbulkan kejutan dan ketidaksiapan psikologi sepertimana seorang sahabat seumpama Umar bin Al Khattab ra pun pernah terkejut dengan polisi Rasulullah saw yang menerima begitu sahaja butir-butir kesepakatan perjanjian Hudaibiyah yang disodorkan oleh  delegasi Kafir Quraisy, padahal selama ini kaum Muslimin sentiasa menunjukkan semangat mereka bagi memenangkan peperangan dan tidak mahu dikalahkan begitu sahaja dalam setiap peperangan melawan kafir Quraisy, sehingga Umar bin Al Khattab ra berkata kepada Rasulullah saw :

“Mengapa kita mahu direndahkan begitu sahaja oleh mereka?”.

Namun, Rasulullah saw meyakinkan Umar bahwa sikap yang diambilnya tidak akan sia-sia. Dengan kata lain, akan ada hikmah yang datang dari Allah swt di sebalik polisi tersebut.

Ini ternyata memang benar di mana sikap menerima tawaran perdamaian meskipun dirasakan isi perjanjiannya tidak adil dan seimbang, tetapi menjadikan peluang dakwah semakin besar, suasananya semakin aman dan kondusif serta aman dari ancaman gangguan peperangan.

Jika ditinjau secara lebih luas lagi, Islam bukan hanya agama peribadi, tetapi juga sebuah arus dan ideologi yang mesti diperjuangkan agar nilai-nilainya berjalan di muka bumi.

Untuk tujuan ini, maka penggabungan kepada Islam dan perjuangan dakwah Islam menjadi suatu keperluan dan wujud dari rasa syukur manusia kepada Allah.

Islam adalah ideologi dan risalah Allah yang mesti sampai kepada seluruh manusia atau menjadi rahmat bagi semesta alam. Tugas besar ini memerlukan orang-orang yang memiliki komitmen dan kesetiaan serta keterikatan yang kuat kepada Islam.

Pembelaan dan sikap berpihak kita kepada Islam memperlihatkan kewujudan penggabungan kita kepada Islam dan gerakan dakwah.

Penggabungan kita kepada Islam bukan bererti mengungkung manusia, mengikat manusia dan merasa tidak merdeka.

Sudut lain dari kefahaman penggabungan yang dapat diwujudkan adalah seperti apa yang dikatakan oleh Imam As Syafi’ie dalam suatu sya’irnya :

”Orang yang merdeka adalah orang menjaga (merawat) kasih sayang (ukhuwah) yang hanya sebentar atau orang yang bergabung kepada orang yang telah memberikan manfaat meskipun hanya satu perkataan.”

Dakwah dan tarbiyah telah memberikan sesuatu yang banyak kepada kita. Kita bukan hanya menerima ukhuwah sesaat dari ikhwah lainnya, bahkan bertahun-tahun kita telah hidup menjalin ukhuwah.

Ilmu dan nilai yang bermanfaat buat kehidupan telah banyak kita dapatkan dari murabbi kita dan dari pimpinan kita serta ikhwah yang bersama kita.

Jadi, kita telah banyak berhutang kepada dakwah dan pelaku dakwah itu sendiri, apalagi kepada Allah, sumber segala kebaikan.

Dengan banyaknya kebaikan yang kita dapatkan dari dakwah dan tarbiyah, maka kita belum dapat dikatakan merdeka jika kita tidak dapat berterima kasih kepada para da’ie, murabbi, pemimpin, masul kita yang telah menunaikan hak ukhuwah kepada kita bukan hanya “lahzhah,” beberapa minit, tetapi bertahun-tahun kita merasakan kebaikan ukhuwah tersebut.

Manfaat yang kita dapatkan dari perkataan murabbi kita bukan hanya “lafzhah” iaitu sepatah dua patah, tetapi ribuan perkataan dalam bentuk arahan, taujih, bahan dan berbagai pelajaran telah kita dapatkan, bahkan sebahagian kita ada yang membukukan bahan yang mereka dapatkan.

Sudah semestinya dan tanpa ragu-ragu, kita perlu memberikan sumbangan kita kepada dakwah dan gerakan dakwah ini sebagai tanda kewujudan dan bukti penggabungan kita kepada Islam.

Misi dakwah telah dibebankan kepada para dai’e. Mereka adalah manusia. Kepada merekalah kita menunjukkan penggabungan Islam kita. Kepada murabbi, kepada naqib, kepada masul, kepada kepimpinan dan kepada mereka yang urusan kita menjadi tanggungannya, kita bekerja sama dan beramal jama’ie.

Ketaatan kita kepada kepimpinan dan masul merupakan cerminan penggabungan kita kepada gerakan dakwah kerana Allah memerintahkan kita untuk taat kepada pemimpin.

Jika nikmat keislaman kita syukuri dengan berwala’ kepada Allah, Rasul dan pemimpin Islam, maka nikmat berukhuwah dapat kita syukuri dengan sentiasa bergabung kepada gerakan dakwah dalam kerja dan ketaatan kepada polisi dakwah.
Walaupun kita lihat sesebuah gerakan dakwah itu mantap dari segi wala’nya kepada Allah, Rasul dan pemimpin Islam manakala pendokongnya menunjukkan sifat pengorbanan yang tiada tolok bandingnya, namun kadang-kadang kemenangan itu terlambat datangnya terhadap orang-orang yang dizalimi dan diusir dari negeri mereka tanpa asas kebenaran selain mereka berkata :
“Tuhan kami adalah Allah”.
Menurut Sayyid Qutb bahwa kelambatan ini disebabkan oleh suatu hikmah yang diinginkan oleh Allah swt.
Kadang-kadang terlambat datangnya kemenangan kerana struktur umat Islam :
1.      Belum cukup matang.
2.      Belum cukup sempurna.
3.      Belum berhimpun semua kekuatannya.
4.      Belum terurus dengan baik dan bersatu seluruh jaringannya supaya diketahui seberapa tingginya kekuatan persediaan yang dimilikinya.
Jika ia mendapatkan kemenangan pada saat itu ia akan mudah runtuh kerana tidak mempunyai kemampuan menjaganya dalam waktu yang lama.
Kadang-kadang kemenangan terlambat datang hingga seluruh pejuang mencurahkan segala kemampuan yang ia miliki dan mengeluarkan apa sahaja yang ia punya. Maka tidak ada lagi yang tersisa dari barang yang mahal dan berharga kecuali sudah ia sumbangkan. Dia tidak hanya mencurahkan hal yang ringan lagi murah di jalan Allah.
Kadang-kadang kemenangan itu lambat datangnya supaya para pendokong kebenaran dapat mencuba seluruh kekuatan dan kemampuannya, hingga pada akhirnya ia sedar bahwa seluruh kekuatan itu tidak ada ertinya tanpa sokongan dari Allah dan tidak akan mencukupi untuk memperolehi kemenangan. Kemenangan itu hanya akan turun apabila seluruh kemampuan sudah dicurahkan dan kemudian menyerahkan hasilnya kepada Allah.
Kadang-kadang lambat datangnya kemenangan supaya semakin bertambah kedekatan orang-orang beriman kepada Allah ketika mereka menanggung kesulitan, kepedihan dan pengorbanan.
Ketika itu, mereka tidak menemui sandaran selain Allah. Dan mereka tidak menghadapkan segalanya kecuali kepada Allah satu-satunya di dalam kesusahan itu. Hubungan ini menjadi jaminan keistiqamahan mereka nanti setelah Allah memberikan kemenangan hingga mereka tidak akan membangkang dan melencong dari kebenaran, keadilan dan kebaikan di saat kejayaan menyapa mereka.
Kadang-kadang lambat datangnya kemenangan kerana umat yang beriman belum betul-betul melepaskan segalanya dalam berjuang dan mencurahkan apapun demi Allah dan demi dakwahnya.
Ia berperang untuk mendapatkan harta rampasan perang atau kerana darjah kehormatanya, atau supaya disebut sebagai ‘orang berani’ di depan musuhnya. Allah menghendaki supaya jihad untuk-Nya satu-satunya serta bebas dari segala bentuk perasaan yang menyamarkannya.
Kadang-kadang lambat datangnya kemenangan kerana di dalam kejahatan yang ditentang oleh umat yang beriman masih terdapat sisa-sisa kebaikan. Allah menghendaki ia betul-betul bersih dari kejahatan supaya dia betul-betul murni dan kejahatan itu menyingkir dengan sendirinya dalam keadaan hancur hingga tidak ada sedikitpun dari kebaikan yang ikut binasa bersamanya.
Kadang-kadang lambat datangnya kemenangan kerana kebatilan yang diperangi umat yang beriman belum tersingkap kepalsuannya di hadapan manusia dengan sempurna. Andaikata orang beriman mengalahkannya pada waktu itu, pasti akan ada pembantu dari orang-orang yang tertipu olehnya yang belum yakin dengan kerosakannya dan belum yakin jika dia boleh lenyap.
Maka nanti ia akan tetap mengakar dalam jiwa-jiwa orang awam yang belum dapat menyingkapkan hakikat mereka sehingga Allah membiarkan kebatilan sampai betul-betul terbuka di depan manusia dan mereka tidak akan merasa kecewa dengan kehilangannya.
Kadang-kadang lambat datangnya kemenangan kerana lingkungan belum kondusif untuk menerima kebenaran, kebaikan dan keadilan yang dimainkan peranannya oleh umat yang beriman. Andaikata diberi kemenangan pada waktu itu pasti ia mendapatkan penentangan dari lingkungannya sendiri dan ia tidak akan dapat tenteram bersamanya.
Sentiasa pertarungan itu berterusan hingga jiwa-jiwa betul-betul siap siaga untuk menerima kebenaran dan meyakini bahwa kebenaran itu mesti berjaya.
Disebabkan semua ini serta sebab-sebab yang lainnya dari hal-hal yang hanya diketahui oleh Allah swt, kadang-kadang menjadikan lambat datangnya kemenangan.
Maka di saat itu akan berlipat kali ganda jumlah pengorbanan dan akan berlipat kali ganda pula rasa pedih, pilu dan sakit, bersamaan dengan datangnya pembelaan Allah terhadap orang-orang beriman dan wujudnya pertolongan bagi mereka pada akhirnya.
Ya Allah, sesungguhnya Engkau berkewajiban menolong hamba-hambaMu yang beriman dan berjuang di jalanMu. Tetapkanlah kaki-kaki kami di atas jalanMu dengan penggabungan kami di dalam jamaah hamba-hambaMu dan kurniakanlah antara dua kebaikan samada kemenangan di dunia apabila syariatMu diangkat tinggi serta dilaksanakan di dalam masyarakat ataupun jiwa kami diambil oleh malaikatMu dan dibawa bertemuMu dalam keadaan ridha dan meridhai.
Ameen Ya Rabbal Alameen
WAS


Labels: Dakwah Email This BlogThis! Share to X Share to Facebook

Leave a Reply

Newer Post Older Post
Subscribe to: Post Comments (Atom)

Yang Setia

Pautan

  • Muharikah
    Antara dua pilihan
    3 years ago
  • Angel Pakai Gucci!
    Doa Itu Bom Nuklear Bagi Orang Mu'min!
    5 years ago
  • Majalah Jom!
    Isu 45: ALAMAK, AKU SALAH PILIH! (EDISI ISTIMEWA)
    9 years ago
  • دعوتنا DAKWATUNA -dakwahkite-
    Di antara Kefahaman dan Pelaksanaan (Sudut Pandang Parti Kebebasan dan Keadilan FJP – Mesir)
    10 years ago
  • ZADUD-DUAT
    Wahai Ikhwah, Persaudaran adalah rahsia kekuatan anda
    11 years ago
  • Popular
  • Recent
  • Archives
 

Diri Ini

My photo
WAS
Blog ini memaparkan bahan-bahan bacaan dan artikel yang boleh meningkatkan ilmu dan kefahaman Islam anda..
View my complete profile

Blog Ini Menarik??

Yang Paling Digemari

  • Tsabat Memenangkan Dakwah
    ‘ Tsabat ’ bermakna teguh pendirian dan tegar dalam menghadapi ujian serta mehnah di jalan kebenaran. Ia merupakan benteng bagi seorang ak...
  • Memohon Dari Al Jabbar
    Seringkali manusia terjebak oleh pemikirannya sendiri dan merasa mampu untuk merancang segala sesuatu. Padahal tidak ada kekuatan dalam d...
  • Menjelmakan Makna Tarbawi
    Sehingga ke saat ini Allah swt masih memberikan rahmat kepada kita melalui hidayah, iman, Islam serta dakwah dan tarbiyah. Sungguh, n...
  • Apabila Hijab Terbuka
    Terbukanya hijab  (sekatan pembatas)  antara kita dengan Allah adalah sumber ketenangan dan kebahagiaan hidup. Ketika hijab telah terbuka, s...
  • Melahirkan Murabbi Yang Berjaya
    Proses tarbiyah adalah suatu pekerjaan yang sangat berat dan tidak mudah kerana tarbiyah bererti: 1. Mempersiapkan manusia. 2. Membentuk d...

Arkib

  • ►  2017 (1)
    • ►  April (1)
  • ►  2016 (4)
    • ►  September (2)
    • ►  March (1)
    • ►  January (1)
  • ►  2015 (39)
    • ►  November (1)
    • ►  October (2)
    • ►  September (2)
    • ►  August (3)
    • ►  July (1)
    • ►  June (5)
    • ►  May (6)
    • ►  April (6)
    • ►  March (6)
    • ►  February (2)
    • ►  January (5)
  • ►  2014 (42)
    • ►  November (5)
    • ►  October (4)
    • ►  August (4)
    • ►  July (1)
    • ►  June (9)
    • ►  May (8)
    • ►  April (4)
    • ►  February (3)
    • ►  January (4)
  • ▼  2013 (72)
    • ►  December (1)
    • ►  November (5)
    • ▼  October (4)
      • Qudwah Di Jalan Dakwah
      • Penggabungan Meneruskan Dakwah
      • Zulhijjah Madrasah Iman
      • Langkah Membangun Peradaban
    • ►  September (5)
    • ►  August (6)
    • ►  July (5)
    • ►  June (7)
    • ►  May (5)
    • ►  April (7)
    • ►  March (7)
    • ►  February (9)
    • ►  January (11)
  • ►  2012 (163)
    • ►  December (8)
    • ►  November (9)
    • ►  October (9)
    • ►  September (9)
    • ►  August (6)
    • ►  July (12)
    • ►  June (9)
    • ►  May (15)
    • ►  April (16)
    • ►  March (18)
    • ►  February (24)
    • ►  January (28)
  • ►  2011 (93)
    • ►  December (24)
    • ►  November (69)

Susunan

  • Akhlak (6)
  • Aqidah (17)
  • Dakwah (73)
  • Fikrah (74)
  • Ilmu (38)
  • Motivasi (10)
  • Muslimah (3)
  • Mutiara Hikmah (12)
  • Mutiara Hikmah Para Duat (21)
  • Mutiara Hikmah Ramadhan (3)
  • Renungan (31)
  • Ruhiyah (8)
  • Tarbiatuna (5)
  • Tarbiyah (34)
  • Tausiyah (31)
  • Tokoh (8)
  • Uslub (11)
  • Video (29)

Panji Islam

Asmaaul Husna

Kalam Hikmah

Coretan Anda

Pengunjung

Free CountersFree CountersFree CountersFree CountersFree Counters

Detik Kehidupan

Hari Ini

Waktu Solat

Pelawat


widgets

Selamat Melayari

  • NEW POSTS
  • COMMENTS
  • flickr

    Get your Flickr ID!
 
 
© 2011 Tinta Perjalanan | Designs by Web2feel & Fab Themes

Bloggerized by DheTemplate.com - Main Blogger