Melahirkan
aktivis dakwah yang baik bukanlah sebuah hasil, melainkan ianya adalah sebuah proses
yang perlu diusahakan dengan memperkuatkan kefahaman dan kesungguhan dalam
beramal.
Di
antara aktivis-aktivis dakwah yang baik itu, ada yang menjadi baik :
1.
Dengan kuatnya ibadah
yang mereka lakukan.
2.
Kerana hebat dalam
keilmuan.
3.
Lantaran keluasan
usaha dakwahnya yang luar biasa.
4.
Kerana banyak
melakukan kebaikan.
Itulah
di antara bukti baik dan sejahteranya iman mereka.
Namun,
ibarat sebuah besi di mana hanya mereka
yang diasah secara terus menerus sahaja yang akan menjadi pisau yang tajam dan
sentiasa mampu untuk memotong dan menghancurkan kebatilan-kebatilan.
Boleh
jadi, seorang aktivis dakwah memiliki kebaikan yang membuatkan mereka baik tetapi jika
tidak terus di asah, ianya tidak menutup kemungkinan dirinya akan menjadi tumpul
dan rosak.
Begitu
juga seorang aktivis dakwah yang sangat bersemangat beramal tapi jika tidak
diiringi dengan proses tarbiyah yang sehat, maka cepat atau lambat ia akan
segera “tumpul dan rosak”.
Ini
juga berlaku sebaliknya.
Maka
oleh yang demikian, sebuah pisau yang baik adalah yang tajam, dipakai lalu
tumpul, diasah dan menjadi tajam lagi, dipakai lagi lalu tumpul semula, diasah
lagi dan seterusnya.
Proses
ini berjalan terus menerus dan tidak terputus. Dengan cara begitu, pisau akan
terus dalam keadaan baik dan memberi manfaat.
Di
sinilah terdapat sebuah pola yang mengkagumkan bahwa untuk tetap menjadi aktivis
dakwah yang baik diperlukan satu syarat di mana syarat ini boleh menentukan
kualiti daya tahan mereka dalam berdakwah, iaitu KETETAPAN (consistency).
Nama
lain dari ketetapan adalah :
a.
Berkesinambungan.
b.
Berkelanjutan.
c.
Berterusan.
d.
Stabil.
e.
Istiqamah.
Katakanlah
ada aktivis dakwah yang sangat bersemangat dalam berdakwah. Dalam satu minggu, dirinya
akan hadir di setiap pertemuan ataupun agenda-agenda dakwah tanpa terkecuali. Ini
adalah baik tapi setelah beberapa ketika, batang hidungnyapun tidak pernah
kelihatan lagi dan inilah yang tidak baik.
Begitu
juga jika ada aktivis dakwah yang bertilawah satu juz sehari, itu baik tapi
kalau beberapa hari kemudiannya ia tidak bertilawah, itu satu petanda yang
tidak baik.
Itulah
sebabnya, tanpa ketetapan, seseorang tidak akan menjadi aktivis dakwah yang
baik kerana predikat atau kata sifat ‘baik’
itu adalah sebuah proses dan bukan hasil. Maka oleh kerana itu, perlu diusahakan
untuk laksanakan secara terus menerus atau istiqamah.
Lebih
baik “1 x 10” iaitu kita membuat satu kebaikan secara berulang selama 10 kali daripada
“10 x 1” iaitu kita membuat 10 kebaikan tapi hanya sekali sahaja.
Dengan
kata lain, lebih baik kita melakukan kebaikan kecil tapi secara istiqamah
daripada berbuat sesuatu yang besar tapi jarang-jarang.Meski lebih baik lagi
adalah menjalankan kebaikan besar dengan tetap konsisten.
Rasulullah saw bersabda :
“Amal yang paling disukai Allah ialah yang berterusan,
sekalipun hanya sedikit.” (HR Bukhari)
Pada
akhirnya, dakwah ini hanya dapat dipikul oleh mereka yang memiliki sifat
istiqamah.
Meskipun,
banyak sebab yang boleh melemahkan mereka, tapi mereka sentiasa tetap dapat
bertahan dalam menjejaki dakwah ini kerana kekuatan mereka terletak pada
besarnya cinta mereka kepada Allah swt.
Bukankah
cinta dan istiqamah saling berkait?
Bukan
cinta namanya apabila tidak disertai dengan istiqamah dan tidak ada istiqamah
jika tidak berlandaskan dengan rasa cinta.
Sejarah
mengajarkan kepada kita betapa istiqamahnya para pejuang dakwah yang telah melahirkan
perubahan dan karya yang besar di dunia ini.
Lihatlah
Rasulullah saw, meskipun ditentang dakwahnya sehingga diboikot selama tiga
tahun di samping menghadapi banyak peperangan melawan pihak-pihak yang
mendokong kebatilan, baginda tidak pernah surut dalam berdakwah.
Bahkan
di saat dipujuk rayu oleh kaum Quraisy dengan harta, wanita dan kedudukan, baginda
tampil menyuarakan bahwa :
“Jika mereka meletakkan matahari di tangan
kananku, bulan di tangan kiriku, untuk meninggalkan urusan ini (dakwah), aku
tidak akan bersedia hingga Allah memenangkan kebenaran atau aku mati dalam
usaha ini.”
Sikap
istiqamah yang sama juga terserlah dengan jelas pada perjuangan Nabi Nuh as.
Sebahagian besar usianya yang ‘seribu kurang lima puluh’ itu telah
dihabiskan untuk berdakwah siang dan malam samada secara sembunyi-sembunyi ataupun
terang-terangan. Meskipun demikian, amatlah sedikit yang menjadi pengikutnya di
mana selebihnya lebih banyak membangkang termasuk anaknya sendiri.
Namun,
apakah Nabi Nuh as menyerah kalah?
Tidak!
baginda tetap berjuang hingga Allah swt memberikan pertolonganNya.
Siapa
yang tidak kenal ‘Syaikhul Islam’, Ibnu Taimiyah?
Agak
lama dirinya dipenjarakan hingga akhir hayatnya kerana dianggap dakwahnya tidak
selari dengan penguasa Mesir yang zalim pada masa itu. Namun, dirinya tetap
tidak berhenti berdakwah sehingga ramai para banduan yang insaf dan menjadi
pendukungnya. Bahkan banyak karya-karya besarnya yang ia tulis di dalam
penjara!
Kesempurnaan
perjuangan ini juga telah ditunjukkan oleh ‘Syaikhul Intifadhah’, Syeikh
Ahmad Yasin.
Usianya
yang tua renta dengan matanya yang sukar untuk melihat serta tubuhnya yang
lumpuh tidak pernah menyekat langkah dakwahnya. Ia tetap memimpin pergerakan
dakwah dan perjuangan untuk membebaskan Palestin serta juga melindungi kiblat
pertama Masjidil Aqsha yang dirampas oleh Israel hingga akhirnya beliau gugur syahid
dalam jihadnya.
Dalam
perjalanan hidup para Nabi dan Rasul, Sahabat, para Tabi’in, Tabi’ut Tabi’in
dan para salafus soleh, sentiasa sahaja kita temui :
1.
Perjuangan yang tidak pernah
mengenal erti berhenti.
2.
Semangat yang
membuncah.
3.
Sumbangan terus
menerus demi dakwah Islam.
Mereka
tetap istiqamah kerana mereka mencintai kebenaran serta mencintai dakwah dan
itu semua adalah kerana cinta mereka kepada Allah swt.
Sebagaimana
berterusannya titisan air, walau sekeras manapun batu, pasti ia akan luluh
juga.
Maka,
tidak ada istilah menyerah dalam perjuangan kerana aktivis dakwah yang baik
menyedari bahwa dakwah ini adalah keperluan hidup mereka. Mereka menyedari bahwa
dakwah ini tidak tersekat ruang dan waktunya selama mana kaki mereka masih
berpijak di bumi dan semangat dakwah ‘ilallah’ mereka
sentiasa melangit.
Kemuliaan
dakwah tidak pernah bertukar di mana jika usaha yang mereka lakukan belum
membuahkan hasil, itu tidak akan mengurangi sedikitpun kemuliaan mereka.
Banyaknya
ujian yang mereka terima, tidak pernah melemahkan mereka kerana :
a.
Mereka menyedari bahwa
tidak ada kata gagal dalam dakwah ini.
b.
Mereka meyakini bahwa
kemenangan dakwah ini terletak pada hidayah dan pertolongan yang Allah berikan.
Mereka
hanya perlu berusaha semaksimum yang mungkin dan selebihnya mereka bertawakkal
kepada Allah swt. Mereka meyakini betul bahwa hakikat kegagalan sesungguhnya
adalah ketika mereka berhenti untuk mencuba.
Penolakan
terhadap dakwah atau usaha yang belum menampakkan hasil bukanlah alasan untuk
menghentikan dakwah ini.
Itulah
sebabnya kesabaran menjadi daya tahan utama seorang aktivis dakwah.
Rasulullah
saw telah diingatkan agar jangan sampai mengikuti kekhilafan Nabi Yunus as yang
meninggalkan kaumnya lantaran tidak mahu menerima dakwahnya.
“Maka bersabarlah kamu (wahai
Muhammad) terhadap ketetapan Tuhanmu, dan janganlah kamu seperti orang yang
berada dalam (perut) ikan ketika ia berdoa sedang ia dalam keadaan marah
(kepada kaumnya).” (QS Al-Qalam : 48)
Itulah
konsep ketetapan atau istiqamah di mana ianya dibalut dengan jiwa yang penuh :
1.
Keikhlasan.
2.
Kesabaran.
3.
Kesyukuran.
4.
Tawakkal.
Mereka
tidak pernah berputus asa terhadap rahmat Allah dan oleh yang demikian, mereka
tidak akan terperosok jika menghadapi kegagalan.
Begitu
juga, mereka pun tidak cepat puas hati jika mendapat keberhasilan.
Bahkan,
mereka tetap istiqamah dan terus berdakwah sambil memohon kepada Allah agar
dimudahkan usaha dakwahnya se bagaimana kata-kata seorang pendakwah :
“Mungkin kita sudah berusaha mengajak hingga ke
1,000 kali, tapi boleh sahaja hidayah Allah itu turun pada usaha kita yang ke 1,001,”
Sifat
istiqamah seorang pendakwah adalah sebuah harga tetap. Ia menjelma sebagai sebagai
suatu kewujudan dari integriti di samping kemandirian seorang aktivis dakwah
dalam menjaga komitmennya dalam berdakwah. Sifat inilah yang melahirkan
keselarasan dalam perbuatan, perkataan, pemikiran hingga kepada keimanan.
Dengan
yang demikian, jika setiap dari aktivis dakwah bersungguh-sungguh untuk memproseskan
diri mereka untuk menjadi aktivis dakwah yang baik serta memiliki sifat
istiqamah yang baik, niscaya tidak akan ada lagi isu-isu yang melibatkan :
a.
Tiada disiplin.
b.
Tiada kawalan.
c.
Tidak bergerak.
d.
Lemah semangat.
e.
Keburukan akhlak.
yang
mungkin wujud dalam dakwah mereka.
Semuanya
akan menjadi baik kerana sifat istiqamah itu telah terpancar pada :
1.
Ibadah mereka.
2.
Tarbiyah mereka.
3.
Dakwah mereka.
4.
Amal mereka.
5.
Setiap aspek
kehidupan mereka.
Oleh sebab itu , untuk menjadi seorang aktivis dakwah yang baik, memang
kita dituntut untuk terus belajar.
Mengingatkan begitu banyaknya persoalan umat dan pergolakan dalam
dakwah, ianya membuatkan kita perlu terus sentiasa belajar dan menjadi seorang
pelajar.
Sementara pembelajaran pertama yang mesti kita lakukan adalah
belajar untuk terus belajar. Ketika kita tidak belajar untuk terus belajar,
maka kita bukanlah seorang pelajar yang baik kerana hanya seorang pelajarlah
yang dapat mengajar atau berdakwah.
Betapa ramai di antara kita yang mungkin sudah kepupusan dari segi ‘tarbiyah’ atau telah terpelanting
dari dakwah lantaran tidak mampu bertahan untuk terus belajar termasuk :
a. Belajar memahami kepimpinan atau pengikutnya.
b. Belajar menghargai waktu.
c. Belajar menahan ego.
d. Belajar bersikap amanah.
e. Belajar ridha kepada keputusan jamaah.
f. Belajar sabar ketika merasa paling benar.
g. Belajar bersyukur walau hati sedang hancur.
h. Belajar istiqamah meskipun itu terasa susah.
Pembelajaran sebenar akan membawa kita kepada sebuah proses
pendewasaan yang mana akan melahirkan kebijaksanaan dan kesedaran sehingga
seorang aktivis dakwah yang betul-betul belajar, dirinya tidak akan terkungkung
pada perkara-perkara yang bersifat ‘juziyyah’ tanpa memahami intipati
secara umum atau sebaliknya, terjebak dengan intipati secara umum tanpa
memperhatikan perkara-perkara yang bersifat ‘juziyyah’.
Diri kita akan tahu mana agenda yang perlu diberi keutamaan
misalnya antara memilih kepentingan ‘wajihah’ atau
mengutamakan ‘organisasi’ secara lebih luas.
Ukuran untuk memilih juga tidak terletak pada mana yang ‘enak’
untuk dirinya atau tidak. Ada kefahaman yang ia sedari bahwa agenda dakwah ini
bukanlah berbentuk upacara istiadat atau kesenangan semata-mata, melainkan ada
tujuan yang lebih besar di sebalik itu semua.
Namun, tujuan besar dakwah ini tidak akan mampu direalisasi
sekiranya para aktivis dakwahnya masih memandang ringan perkara-perkara yang mungkin
dianggap remeh temeh seperti :
1. Penjagaan waktu.
2. Kebersihan.
3. Komunikasi yang baik.
Sebagai contoh, dirinya tidak akan terlambat datang pada
pertemuan-pertemuan halaqah atau usrah tanpa ada ‘uzur syar’ie’.
Walaupun dalam keadaan benar-benar ia tidak dapat datang, ia akan
mengatakan :
“Minta maaf
banyak-banyak, ketika ini, saya masih menguruskan agenda X. Sekiranya telah selesai,
saya akan sampai ke sana dalam setengah atau satu jam lagi.”
Sekiranya sukar untuk dia datang ke pertemuan halaqah atau usrah
dia akan mengatakan :
“Minta maaf, sekiranya kamu
izinkan, saya tidak hadir. Bagaimana pandangan kamu? Saya bersedia menerima
apapun keputusan kamu.”
Dirinya akan menjelaskan situasinya dengan lengkap, tanpa
dikurangi atau ditambah dan yang terpenting adalah, dirinya meminta izin dan
bukannya memberitahu izin seperti :
“Minta maaf, tidak dapat
datang.”
Menjadi aktivis dakwah adalah menjadi agen bagi sebuah perubahan.
Maka sudah selayaknyalah, perubahan besar umat ini kita mulai dengan belajar
merubah diri kita sendiri.
Ibarat lilin di mana dirinya tidak akan mampu menyalakan lilin
lainnya, apabila dirinya sendiri tidak menyala, bukan?
Seperti yang pernah diungkapkan oleh seorang pujangga :
“Orang yang tidak siuman
adalah orang yang menginginkan hasil yang berbeza, tapi tidak mengubah
tindakannya.”
Oleh kerana itu, marilah kita membuat penilaian di mana barangkali
ada yang salah pada diri kita atau kita sememangnya salah terutama dalam melihat
penilaian itu sendiri sehingga tidak hairan jika selama ini, dari setiap penilaian,
poin-poin kesalahan masih tetap sahaja sama dari masa ke masa kerana kita lupa
bahwa sentiasa ada pembelajaran yang dapat kita petik dari setiap penilaian itu
iaitu pembelajaran yang menimbulkan perbaikan dan melahirkan kebaikan.
Kita jangan lupa bahwa tanggungjawab terbesar kita
adalah melakukan ‘tajdid’ (pembaharuan)
dan ‘naql’ (mengalih generasi) iaitu pembaharuan
ajaran Islam dan proses perubahan terhadap seorang muslim dari satu keadaan ke
keadaan yang lain dan perubahan umat Islam dari satu fasa ke fasa yang lain.
Melalui
penjelasan dari Imam Hasan Al-Banna tentang usaha-usaha yang dilakukan oleh
Jamaah Ikhwanul Muslimun, kita mendapati ada dua fenomena :
PERTAMA :
Ikhwan sebagai sebuah jamaah yang memusatkan perhatian
kepada masyarakat umum di mana ia ikut bersama-sama dengan semua jamaah Islam
yang ada untuk berkhidmat kepada masyarakat umum dengan berbagai wasilah.
KEDUA :
Ikhwan sebagai sebuah gerakan pembaharuan.
Imam Hasan Al-Banna telah memfokuskan perhatiannya
pada fenomena yang kedua ini kerana aspek inilah yang terpenting.
Di antara fenomena pembaharuan dalam gerakan ini ialah
Ikhwan memahami betul berbagai keperluan amal islami dewasa ini, yang selama
ini diabaikan oleh umat Islam sendiri.
Islam memerlukan sebuah gerakan yang menyeluruh yang
menjadikan seorang muslim dapat :
a.
Merasakan bahwa dirinya muslim.
b.
Merasakan bahwa kita hidup secara bersama-sama.
c.
Merasakan ketertarikan secara umum dengan Islam dan
kaum muslimin.
d.
Merasakan pula ikatan khusus dengannya.
Di samping itu, kita memerlukan gerakan secara
menyeluruh yang dimulai dengan pengenalan Islam, diteruskan dengan proses ‘takwin’ (pembinaan) secara mendalam dan
berakhir dengan perlaksanaan secara menyeluruh untuk mewujudkan tujuan besar
yang telah Allah swt tugaskan kepada setiap muslim untuk mewujudkannya, samada
di peringkat kawasan, nasional, ataupun antarabangsa.
Bagi mewujudkan semua ini, Islam memerlukan sebuah
jamaah yang mampu menggerakkannya sedangkan jamaah itu sendiri (untuk dapat tegak)
memerlukan konsep dan tata nilai yang komprehensif.
Tentang dakwah kita, Imam Hasan Al-Banna berkata :
“Bersama kita,
ia akan tegak sebagai salah satu dari berbagai dakwah pembaharuan bagi
kehidupan umat dan bangsa-bangsa yang telah menggariskan sebuah manhaj baru
yang diyakini dan dijadikan sebagai panduan.”
Berkaitan dengan aspek terakhir ini beliau berkata :
“Akan tetapi,
intipati dakwah mereka (Ikhwan) adalah ‘fikrah’ (pemikiran)
dan ‘aqidah’.
Mereka sematkan keduanya dalam jiwa semua orang lalu mereka bangunkan pandangan
umum dengannya, dan mereka yakinkan semua hati kepadanya sehingga berhimpunlah
semua ruh di sekelilingnya. Itulah prinsip-prinsip amal untuk dan bersama Islam
dalam berbagai sektor kehidupan.”
Pada bahagian
lain beliau berkata :
“Wasilah-wasilah umum dakwah ini tidak
berubah, tidak diganti dan tidak akan melampaui tiga perkara berikut :
1.
Iman yang
mendalam.
2.
Pembinaan
yang cermat.
3.
Amal yang berterusan.”
Di tempat
yang lain beliau berbicara tentang unsur yang perlu ada dalam gerakan ini, iaitu
:
a. Manhaj
yang sahih.
b. Mukmin
yang aktif.
c. Pemimpin
yang tegas lagi dipercayai.
Dari
pemaparan sekilas lalu tentang poin-poin di atas, kita mengetahui tanggung
jawab besar yang pertama bagi kita iaitu proses pembaharuan di tengah umat
Islam.
Selain itu
kita juga mengetahui salah satu unsur penting yang diperlukan oleh proses
tersebut iaitu menurut istilah Imam Hasan Al-Banna adalah :
PERTAMA : PEMIMPIN YANG TEGAS LAGI
DIPERCAYAI
Setiap
langkah yang tidak bertolak dari permulaan ini adalah langkah yang rapuh dan
tidak akan dapat bertahan. Selain itu ia tidak dapat memainkan peranan
pentingnya.
Dengan yang
demikian, maka titik permulaan adalah sebuah kepimpinan yang mampu :
1. Melakukan
pembaharuan.
2. Mewujudkan
cita-cita.
3. Memutuskan
dan melakukan perubahan.
4. Menunaikan
semua kewajiban.
Untuk
memenuhi hajat Jamaah dan umat ini sekaligus, maka pencarian unsur-unsur
kepimpinan Islam, lalu melatih dan memberinya peranan yang tepat merupakan perkara
penting dan pokok di dalam medan amal Islami dan jalan menuju ke sana perlulah
ditempuh dengan penuh cermat.
KEDUA : MENGUBAH UMAT SEBAGAI PENGANTAR
KEPADA MENGUBAH DUNIA
Tanggungjawab
pertama Jamaah atau pimpinannya adalah mengubah keadaan peribadi muslim dan seterusnya
kaum muslimin.
Kebanyakan orang
Islam di zaman kini telah mula lemah rasa keislamannya dan lemah pula
penisbatan dirinya kepada Islam, selain juga lemah perasaannya bahwa dia adalah
sebahagian dari umat Islam.
Oleh yang
demikian, usaha pertama kita adalah membangkitkan perasaan orang-orang Islam tentang kewujudan keislamannya dan kewujudan sifat
berjamaahnya.
Dengan kata
lain, ramai kaum muslimin merasakan ikatan umumnya dengan Islam dan
institusi-institusi umum, tetapi ikatan khususnya dengan Islam serta ikatan
emosinya dengan kaum muslimin hampir-hampir hilang.
Oleh kerana
itu, menjadi tanggungjawab pertama Jamaah Ikhwanul Muslimin adalah menumbuhkan
perasaan seorang muslim terhadap kewujudan dirinya sebagai muslim dan ikatannya
kepada kaum muslimin secara umum.
Setelah itu,
usaha-usaha hendaklah dilaksanakan bagi menghantarkannya ke suatu tingkatan
yang lebih tinggi dalam Islam dan menggabungkannya ke dalam saf agar proses
perubahan umat Islam dari satu fasa ke fasa berikutnya dapat berjalan dengan
sempurna sehingga pada akhirnya terwujudlah impian-impian Islam, samada di peringkat
kawasan mahupun antarabangsa di muka bumi ini.
Inilah dua
tanggungjawab besar yang seharusnya disedari oleh aktivis dakwah dalam proses
pembelajarannya sehingga ia menjadi seorang aktivis dakwah yang :
a.
Istiqamah.
b.
Berkoordinasi dengan baik.
c.
Menjaga perasaan saudaranya untuk
tetap baik.
d.
Memberikan sumbangan terbaik.
e.
Berakhlak dan menunjukkan
keteladanan yang baik.
Ya
Allah, jadikanlah kami sebagai aktivis dan pemimpin dakwah yang mampu mewujudkan iman
yang mendalam ke dalam jiwa umat, memandu proses pembinaan yang cermat dan
membiasakan amal yang berterusan seiring dengan manhaj yang sahih serta
bekerjasama dengan para aktivis muslim lainnya bagi meningkatkan kesedaran umat
ke arah perubahan yang dicita-citakan.
Ameen Ya Rabbal Alameen
WAS