Dalam organisasi dakwah, salah satu dari ciri-ciri yang sentiasa disemai dan dibangunkan adalah kebersamaan dalam amal jama’ie.
Kita lihat ada pertautan yang rapat antara dua kelompok dalam organisasi dakwah iaitu :
1. Ada kepimpinan dakwah yang memberikan arahan, membuat koordinasi serta penyelarasan amal jama’ie agar ianya mampu berjalan secara lurus dan berkesan.
2. Ada aktivis dakwah yang bekerja dalam bidang tugas masing-masing sesuai dengan arahan dan pembahagian tugas dari kepimpinan serta pengurusan organisasi.
Meskipun wujud arahan kepimpinan dan ketaatan aktivis dakwah, namun Al Qur’an mengarahkan kepada kita akan peri pentingnya kejelasan dalam segala sesuatu.
Adalah penting bagi sesebuah organisasi dakwah untuk membudayakan sikap kritikal dan membiasakan munculnya hujjah atau perbahasan di kalangan aktivis dakwah agar dalam melaksanakan tugas, mereka sentiasa melakukannya berdasarkan ilmu pengetahuan dan kejelasan.
Dengan kata lain, kita bukan melaksanakan sesuatu tugas dakwah semata-mata kerana ketaatan yang tidak berlandaskan :
a. Ilmu.
b. Kefahaman.
c. Kejelasan.
Allah swt telah berfirman tentang kisah Nabi Ibrahim as yang bersifat kritikal dan berani menampilkan hujjah untuk mendapatkan kejelasan.
“Maka tatkala rasa takut hilang dari Ibrahim dan berita gembira telah datang kepadanya, diapun bersoal jawab dengan (malaikat-malaikat) Kami tentang kaum Luth.Sesungguhnya Ibrahim itu benar-benar seorang yang penyantun lagi penghiba dan suka kembali kepada Allah.Wahai Ibrahim, tinggalkanlah soal jawab ini, sesungguhnya telah datang ketetapan Tuhanmu, dan sesungguhnya mereka itu akan didatangi azab yang tidak dapat ditolak” (QS Hud : 74 – 76)
Ada beberapa pelajaran Fiqh Dakwah yang boleh diambil dari rangkaian ayat tersebut seperti berikut :
PERTAMA : PENTINGNYA HUJJAH BAGI AKTIVIS DAKWAH
Dakwah bukanlah sebuah proses indoktrinasi atau proses cuci otak, tetapi ianya adalah suatu proses memberi kesedaran dan ini adalah salah satu kaidah dalam dakwah.
Oleh kerana ianya bukan sebuah proses indoktrinasi, maka para aktivis dakwah mestilah menjadi bijak dan memiliki hujjah (perbahasan dan pandangan) yang kuat sebagai bekalan dalam melaksanakan dakwah di tengah kehidupan masyarakat.
Dakwah akan lebih mudah untuk diterima dan dicerna apabila ianya disertai dengan hujjah yang kuat.
Penting bagi Nabi Ibrahim as untuk mendapatkan kejelasan tentang kaum Nabi Lut, maka baginda pun berdialog dengan para malaikat Allah.
Nabi Ibrahim tidak ingin memiliki ketaatan yang membuta tuli, namun memberikan keteladanan kepada kita agar sentiasa memiliki ketaatan yang berlandaskan kefahaman, pengetahuan dan kejelasan.
Baginda perlu memiliki keyakinan dalam dirinya, sehingga baginda akan mampu memberikan hujjah yang tepat.
Maka, untuk itulah baginda bertanya dan menyatakan pandangan kepada malaikat Allah mengenai kaum Nabi Lut
.
KEDUA : KEBERANIAN MENYATAKAN PANDANGAN
Para aktivis dakwah juga perlulah memiliki keberanian untuk menyatakan pandangan agar mendapatkan kejelasan dalam melaksanakan tugas dakwah.
Walaupun berhadapan dengan perintah Allah, namun ianya tidak menghalang Nabi Ibrahim as untuk bertanya dan menyatakan pandangan dalam rangka mendapatkan kejelasan.
Nabi Ibrahim as memberikan contoh keberanian dalam menyatakan pandangan dan bukan untuk menolak ketetapan Allah, bahkan ianya adalah dalam rangka untuk mendapatkan kejelasan.
Pada hakikatnya, aktivis dakwah tidak layak menyimpan ketakutan atau keengganan bagi menyatakan pandangan yang membina bagi gerakan dakwah dan tentu sahaja ia perlu disertai dengan etika di samping mengerti mekanisma yang betul serta saluran komunikasi dalam struktur organisasi dakwah.
Apabila ketaatan dibangunkan di atas landasan kefahaman, maka dakwah akan menjadi kukuh dan gerakan dakwah akan mantap.
Ini sebagaimana rangkaian rukun-rukun bai’ah yang disusun oleh Imam Hasan Al Banna yang menempatkan kefahaman pada rukun pertama, ketaatan pada rukun keenam serta tsiqah pada rukun kesepuluh.
Kita juga boleh merujuk kepada kisah Nabi Ibrahim as yang meminta kepada Allah untuk menunjukkan kepadanya bagaimana Allah swt menghidupkan makhluk yang telah mati sebagaimana yang diabadikan dalam surah Al Baqarah ayat 260.
Kisah-kisah seperti ini semakin menguatkan kefahaman kita bahwa Al Qur’an mengarahkan kita untuk berani menyatakan hujjah untuk mendapatkan kejelasan.
KETIGA : KEPIMPINAN MESTILAH BERJIWA BESAR UNTUK MENERIMA PANDANGAN
Dalam organisasi dakwah, para pimpinan mestilah menyediakan kelapangan jiwa untuk menerima pandangan, pendapat serta perbahasan dari para aktivis dakwah.
Para pimpinan perlulah memberikan ruangan yang memadai dan secukupnya bagi munculnya pertanyaan dan pandangan dari para aktivis dakwah.
Sikap ini justeru akan semakin memberikan kekuatan kepada kedudukan dan menambah penghormatan kepada para pimpinan organisasi dakwah disebabkan berbagai pandangan para aktivis dakwah dapat disalurkan.
Allah swt tidak menyalahkan atau mencela Nabi Ibrahim as di atas pertanyaan dan pandangan yang disampaikan, bahkan dalam ayat tersebut, Allah swt memberikan pujian terhadap baginda as :
“Sesungguhnya Ibrahim itu benar-benar seorang yang penyantun lagi penghiba dan suka kembali kepada Allah”.
Oleh kerana itu, para pimpinan organisasi dakwah dituntut untuk memiliki jiwa besar dalam berinteraksi dengan para aktivis dakwah dan masyarakat pada umumnya untuk menerima pandangan dengan tulus ikhlas.
KEEMPAT : TAAT KEPADA KETENTUAN ALLAH
Ketika pandangan sudah disampaikan, bukanlah bererti keputusan akhir akan sentiasa sesuai dengan pandangan tersebut kerana dalam organisasi dakwah, ada ramai para aktivis dakwah yang masing-masing membawa hujjah dan pandangan, maka, tidak mungkin semua pandangan tersebut akan diambil sebagai keputusan akhir.
Setelah berbagai pandangan dikumpulkan, maka apapun keputusan akhirnya perlulah ditaati dan dilaksanakan bersama.
Allah swt menegaskan kepada Nabi Ibrahim as agar menghentikan dialog itu, kerana Allah telah memberikan waktu yang cukup bagi kaum Lut namun mereka tidak mahu kembali kepada kebenaran.
Maka azab Allah swt akan ditimpakan kepada kaum Nabi Lut sebagai balasan di atas kezaliman dan keingkaran mereka.
“Wahai Ibrahim, tinggalkanlah soal jawab ini, sesungguhnya telah datang ketetapan Tuhanmu, dan sesungguhnya mereka itu akan didatangi azab yang tidak dapat ditolak”.
Pada akhirnya Nabi Ibrahim as tunduk dan taat secara mutlak kepada ketentuan Allah dengan penuh kerelaan.
Demikian pulalah para aktivis dakwah perlu tunduk kepada ketentuan Allah di mana dalam beramal jama’ie, para aktivis dakwah perlu tunduk kepada keputusan jamaah walaupun keputusan jamaah itu tidak sesuai dengan pendapat dan pandangan peribadinya kerana tidak mungkin seluruh pendapat dan pandangan dari para aktivis dakwah akan dijadikan sebagai keputusan akhir di mana pasti ada pendapat dan pandangan yang tidak dapat diambil kira dalam membuat keputusan.
Jika pandangannya tidak diambil kira dalam keputusan organisasi, maka tidak layak bagi para aktivis dakwah menolak untuk mengikuti hasil keputusan dengan alasan :
1. “Itu bukan pendapat saya”.
2. “Saya sudah memberi pendapat tetapi tidak diambil kira”.
3. “Sia-sia sahaja saya memberi pendapat, ternyata tidak digunakan untuk membuat keputusan”.
CINTA ASAS DAKWAH
Dakwah mestilah dibangunkan dengan ikatan cinta. Gerabak dakwah akan terus melaju dengan berbagai proses serta penuh dinamik menuju harapan dan cita-cita yang telah dicanangkan.
Dalam perjalanan inilah munculnya:
a. Pergeseran.
b. Perbezaan pandangan.
c. Khilaf antara satu dengan yang lain.
di mana akhirnya di kalangan orang-orang yang saling cinta mencintai itu, akhirnya muncul :
1. Perasaan kecewa.
2. Prasangka.
3. Syak wasangka.
4. Tuduhan.
Nabi saw adalah manusia pilihan, tanpa cacat dan cela sebagai seorang yang menjadi teladan, manakala para sahabat adalah generasi pilihan yang menjadi generasi terbaik sepanjang sejarah Islam.
Namun para sahabat juga tidak dapat menghindarkan diri dari dihinggapi perasaan kekecewaan setelah Perjanjian Hudaibiyah selesai dimaktubkan oleh Nabi saw dan Suhail.
Kita dapat lihat bahasa kekecewaan mereka yang dizahirkan apabila tiga kali Nabi saw memerintahkan, untuk menyembelih korban di mana tidak seorangpun dari para sahabat yang melaksanakannya.
Namun hanya dalam peristiwa Perjanjian Hudaibiyah ini sahajalah perkara seperti ini terserlah dan tidak pada kejadian yang serupa di masa lain.
Kita juga dapat merenung perasaan kekecewaan sebahagian sahabat dalam kisah pembahagian harta rampasan setelah selesainya perang Hunain.
Abu Sufyan bin Harb, bekas tokoh penentang Islam sejak permulaan dakwah di Makkah itu, telah mendapatkan bahagian seratus ekor unta dan empat puluh uqiyah perak. Demikian pula Yazid dan Mu’awiyah, dua orang anak Abu Sufyan, mendapat bahagian yang sama dengan bapanya. Kepada tokoh-tokoh Quraisy yang lain baginda memberikan bahagian seratus ekor unta. Ada pula yang mendapatkan bahagian lebih sedikit dari itu, hingga seluruh harta rampasan habis dibahagikan.
Melihat akan pembahagian itu, para sahabat Anshar memandang antara satu sama lain. Maka, muncullah gejolak jiwa di kalangan sahabat Ansar, hinggakan seorang di antara mereka berkata :
“Mudah-mudahan Allah memberikan ampunan kepada RasulNya, kerana baginda telah memberi kepada orang Quraisy dan tidak memberi kepada kami, padahal pedang-pedang kami yang menitikkan darah-darah mereka.”
Ada pula di antara mereka yang berkata :
“Rasulullah sekarang telah menemukan kembali kaum kerabatnya.”
Dalam kisah ketidakpuasan para sahabat setelah selesainya Perjanjian Hudaibiyah dan kekecewaan setelah Perang Hunain, semuanya berakhir dengan sangat indah dan cepat.
Nabi saw sebagai kepimpinan menyelesaikan suasana tersebut dengan sangat tepat sehingga kekecewaan tidak membesar dan menjalar. Ini adalah kerana keperibadian Nabi sebagai manusia pilihan yang dikuatkan dengan wahyu sehingga baginda tidak akan tersalah langkah serta tindakan baginda akan sentiasa tepat.
Jika kedudukan Nabi saw yang tanpa cacat celapun masih mendapatkan lontaran kekecewaan, bagaimanakah dengan kita yang sama sekali bukan Nabi dan bukan pula sahabat Nabi, bahkan bukan pula murid para sahabat dan para tabi’in.
Jika sahabat Nabi sekalipun masih boleh menyimpan perasaan kekecewaan, bagaimana dengan kita yang tidak memiliki kualiti sebagai sahabat Nabi?
Kita hidup di zaman maya di mana semua kejadian, peristiwa dan sesuatu keadaan sangat cepat tersebar tanpa batas dan tanpa senggang waktu melalui e-mail, milis, Twitter, Facebook, Blackberry Messenger, SMS, telefon dan lain-lain.
Semua yang kita terima itu, apa sahaja akan menjadi berita. Sayang sekali, ramai yang tidak dapat membezakan manakah maklumat dan manakah analisa. Semua berita yang muncul di ‘internet’ dan dunia maya dianggap sebagai kebenaran.
Di tengah-tengah keadaan kita yang tidak ada Nabi, maka, tatkala berbagai berita tersebar tentang kepimpinan, tentang dakwah, tentang jamaah dan tentang “segala sesuatu” yang cenderung menjadi gosip, sikap kita hendaklah mencontohi perilaku Nabi saw dan para sahabat baginda.
Tentu sahaja, ia tidak akan sama sepenuhnya, namun jangan sampai kita terlepas dari contoh keteladanan mulia mereka.
Apakah sikap keteladanan mulia dari mereka?
PERTAMA :
Landasan hubungan di antara Nabi saw dengan para sahabat adalah berasaskan cinta kasih. Cinta dan kasih sayang secara timbal balik telah terbentuk begitu kuat antara para sahabat dengan Nabi saw. Ini yang menyebabkan bahasa hati mereka sentiasa menyambung, bertemu serta sentiasa berada dalam kebersihan dan kebaikan.
KEDUA :
Perlu mendahulukan sikap baik sangka kepada kepimpinan meskipun ada kekecewaan di mana mereka tetap memiliki sikap yang positif sehingga mudah untuk mendengarkan penjelasan dari Nabi saw.
Mereka mudah mendengar dan menerima penjelasan dari Nabi saw tanpa membantah dan mengomel di belakang. Ini adalah kerana sikap positif yang mereka miliki, iaitu sentiasa tsiqah dengan kepimpinan.
KETIGA :
Para sahabat tidak membesar-besarkan dan menambah kusut sesuatu permasalahan sehingga masalah berada dalam ruang lingkup yang terbatas.
Mereka tidak membentuk kekecewaan untuk dijadikan alasan bagi memberontak atau tidak setia kepada kepimpinan. Kisah kekecewaan para sahabat di Hudaibiyah sangat ‘natural’ dan ianya tidak disusunatur atau digerakkanoleh seseorang.
KEEMPAT :
Mereka tidak mengungkit-ngungkit lagi permasalahan tersebut setelah selesainya kejadian. Setelah permasalahan selesai, jelas serta terang benderang, mereka kembali berkumpul, berjamaah, membuat kegiatan bersama seperti tidak pernah berlaku kejadian sebelumnya.
Mereka tidak lagi mengungkit-ngungkit “si Fulan dan si Fulan ini dulu pernah melontarkan kekecewaan kepada Nabi”.
Apabila persoalan selesai, maka mereka kembali bersama seperti sediakala.
a. Tidak ada dendam.
b. Tidak ada permusuhan yang diwariskan.
c. Tidak ada sakit hati yang tersimpan.
Jadi, kita hanya perlu duduk bersama mendengarkan bahagian-bahagian cerita serta merungkai berbagai peristiwa.
Jika memang ada yang terbukti melakukan kesalahan, tentu sahaja perlu diberikan teguran atau hukuman yang sesuai dengan peraturan organisasi dan sesuai pula dengan tingkatan kesalahan yang dilakukan.
Namun jika yang berlalu hanyalah kesalahfahaman, maka tidak perlu diteruskan atau diperpanjangkan lagi. Semuanya sudah selesai dan saling memaafkan di atas perkara yang tidak pada tempatnya.
Jadi :
1. Tidak perlu kita membuat perkumpulan yang baru hanya disebabkan oleh kekecewaan.
2. Tidak perlu membuat organisasi baru disebabkan kerana sakit hati.
3. Tidak perlu penyelarasan untuk menyatukan pihak-pihak yang merasa kecewa atau merasa dizalimi.
Ini adalah kerana :
a. Perkumpulan seperti apakah yang akan terbentuk dari jiwa-jiwa yang kecewa?
b. Organisasi seperti apakah yang akan muncul dari hati-hati yang menyimpan kebencian?
Kelak, ketika terbentuknya organisasi baru, pasti akan ada yang kecewa lagi.
Maka, marilah kita duduk bersama-sama membingkaikan hati, mengekang keinginan jiwa serta berbicara dengan bahasa ruhani kerana :
1. Bukankah kita semua ini adalah para aktivis dakwah yang saling mencintai?
2. Bukankah kita semua telah berikrar untuk sentiasa berada di atas jalanNya termasuk ketika menyelesaikan permasalahan?
3. Bukankah kita semua sangat mencintai jalan dakwah ini?
Lalu, mengapa kita perlu mengambil langkah sendiri hanya kerana tidak dapat memahami keputusan organisasi?
Sesungguhnya agak sukar untuk dimengerti mengapa ada organisasi yang didirikan hanya kerana disebabkan oleh kekecewaan dan sakit hati padahal, aktiviti yang dirintis dengan sepenuh cinta sahajapun, masih boleh menumbuhkan rasa kecewa.
Alangkah indahnya jika dalam organisasi dakwah, kita semua sanggup berbicara, berdiskusi serta berkomunikasi dengan :
a. Bahasa hati.
b. Bahasa cinta.
c. Membawa hati dan jiwa yang bersih.
bukan dengan tuduhan, caci maki, sumpah seranah yang sangat jauh dari etika Islam.
Alangkah indahnya jika dalam gerakan dakwah, semua pihak dapat menjaga adab sesuai dengan kedudukan masing-masing di mana ada adab dengan kepimpinan dan ada adab dengan pengikut.
Bukankah kita semua berkumpul dalam dakwah kerana ikatan kecintaan, ikatan ukhuwah serta ikatan kebersamaan dan BUKAN :
1. Ikatan kepentingan.
2. Ikatan kedengkian.
3. Ikatan politik.
4. Ikatan kebendaan.
Lalu menjadi sesuatu yang amat penting untuk kita benar-benar menjunjung Fiqh Dakwah dalam kita melaksanakan tugas-tugas dakwah dalam suatu organisasi sehingga penglibatan kita di dalamnya adalah berdasarkan ilmu, kefahaman dan kejelasan.
TAUBAT USTAZ SOLEH ‘ASYMAWIAda satu kisah yang menarik berlaku kepada Ustaz Soleh `Asymawi, semoga Allah swt merahmatinya dan mudah mudahan cerita dan taubatnya boleh kita jadikan sebagai qudwah (contoh keteladanan).
Ustaz Soleh `Asymawi mempunyai kedudukan yang tinggi dalam Jamaah Ikhwanul Muslimin di mana beliau adalah dari golongan “du`at qudama’” (pendakwah ulung terawal) dan tokoh generasi pertama Ikhwan.
Dia telah bersama Imam Hasan Al Banna sebagai Pengasas Ikhwanul Muslimin dalam satu tempoh sebagai seorang pendakwah yang paling baik amalannya dan menjadi salah seorang anggota Maktab Irsyad.
Apabila Imam Hasan Al Banna dibunuh, maka :
a. Mehnah dan tribulasi mulai mencengkam.
b. Bercampur baurlah kertas-kertas percaturan.
c. Semua urusan mula menjadi keliru.
d. Desas desus mulai bergerak.
Walaubagaimanapun, apabila tahun-tahun yang penuh dengan kekalutan itu berlalu dan fitnah mulai padam, Ustaz Soleh mulai merasa menyesal terhadap apa yang telah berlaku dan beliau benar-benar melaksanakan ‘taubat nasuha’ yang paling berkesan.
Pernah diceritakan oleh seorang pendakwah terkenal, Ustaz Muhammad Ahmad Ar Rasyid yang melawat pejabat Majalah Dakwah pada zaman Ustaz Umar At Tilmisani menjawat jawatan Mursyidul Aam ketiga, beliau dapati ada seorang lelaki tua yang merendah diri dan dia duduk dengan penuh tawadu’ di hadapan pintu satu unit kediaman dalam sebuah bangunan pangsapuri di atas sebuah kerusi rotan yang lusuh, seolah-olah dia adalah penjaga pintu.
Dari raut wajahnya, seolah-olah dia memiliki kehebatan dan mempunyai sinaran ruhaniah.
Ustaz Ar Rasyid memberi salam kepadanya dan meminta izin, maka beliau memberikan keizinan lalu Ustaz Ar Rasyid pun masuk.
Seorang ikhwah yang berada di situ bertanya kepada Ustaz Ar Rasyid :
“Kamu kenalkah lelaki terhormat seolah-olah penjaga pintu itu?”
Ustaz Ar Rasyid menjawab :
“Tidak, tetapi dia benar-benar menarik perhatian saya.”
Ikhwah tersebut menjawab :
“Dia adalah Soleh `Asymawi. Dia pernah merasa dirinya selesa apabila mereka yang menimbulkan masaalah mengangkatnya sebagai ketua dan memanggilnya amir.
Namun, dia berazam untuk kembali sebagai tentera biasa yang berada di akhir saf. Dia berkeras bahawa itulah kesempurnaan bagi taubatnya lalu dia memilih untuk menjadi penjaga pintu.
Jika dia tahu ada lagi kedudukan yang lebih rendah dari itu, niscaya dia akan memilihnya. Dengan cara itulah dia menghapuskan sikap zaman silamnya yang mempunyai keinginan untuk berada di posisi kepimpinan.”
Ustaz Ar Rasyid merasa hairan dan kagum dengan jiwa yang bersih dan hati yang besar yang ditunjukkan oleh Ustaz Soleh ini.
Kemudian Ustaz Umar At Tilmisani berkata kepada Ustaz Ar Rasyid :
“Kami berdoa untuknya dan kami ajak dia supaya menjadi seorang akh yang ikut serta (berkongsi mengurus jamaah) seperti orang-orang lain dan Allah swt akan ampunkan mereka yang telah bertaubat, tetapi dia tetap enggan dan menolak. Kami terus menerus berusaha bersungguh-sungguh untuk meyakinkannya, namun dia tetap tidak berganjak dari menghukumkan dirinya dengan berada di saf yang paling akhir.”
Selepas beberapa tahun, Ustaz Umar At Tilmisani menyampaikan ucapannya kepada anggota Ikhwan dengan berkata :
“Ustaz Soleh `Asymawi telah bertaubat dengan satu taubat yang saya anggap jika ianya diagihkan kepada semua pendakwah Islam di Kaherah, ianya akan merangkumi mereka semua.”
Semoga Allah swt mencucuri rahmatnya ke atas Ustaz Soleh ‘Asymawi dan menjadikan taubatnya sebagai contoh tauladan yang terbaik untuk kita semua.
Ya Allah, kurniakanlah kepada kami akan kefahaman yang jelas tentang fiqh dakwah dalam penglibatan kami untuk kerja-kerja dakwah di jalanMu. Bukakanlah pintu-pintu kefahaman itu sehingga kami benar-benar yakin dan bersabar untuk tetap berada di atas jalan ini sehingga kami pulang menemuiMu dalam keadaan ridha dan meridhai.
Ameen Ya Rabbal Lameen