Politik batu api adalah salah satu cara penjajah Eropah untuk memecahbelahkan kesatuan masyarakat yang hidup di sesebuah negara yang dijajah oleh mereka.
Mereka menamakannnya sebagai strategi : ‘Divide and Rule’ (Pecah dan Perintah).
Ini adalah sebuah strategi yang digunakan oleh penjajah Barat untuk kepentingan politik, ketenteraan dan ekonomi mereka.
Politik batu api ini juga digunakan untuk mempertahankan kekuasaan dan pengaruh mereka di tanah jajahan mereka.
Secara prinsipnya, praktik politik batu api adalah memecahbelahkan serta saling mengadu domba kelompok yang dianggap memiliki pengaruh dan kekuatan.
Tujuannya adalah agar kekuatan tersebut akan terpecah-belah menjadi kelompok-kelompok kecil yang tidak berdaya. Dengan yang demikian, kelompok-kelompok kecil tersebut dengan mudah dapat dilumpuhkan dan dikuasai.
Unsur-unsur yang digunakan dalam praktik politik jenis ini adalah :
1. Menciptakan atau mendorong perpecahan dalam masyarakat untuk mencegah terbentuknya sebuah pakatan yang memiliki kekuatan besar dan berpengaruh.
2. Memunculkan ramai tokoh baru atau tokoh boneka yang saling bersaing dan saling melemahkan.
3. Mendorong ketidakpercayaan dan permusuhan antara ahli dalam masyarakat.
4. Mendorong bantuan sesama kelompok yang pada akhirnya akan mengakibatkan timbulnya rasuah, kronisma dan nepotisma.
Siapa sahaja yang dapat dijadikan mangsa adu domba samada dari warga masyarakat biasa hingga ke warga kelas atasan akan menjadi objek sasaran.
Boleh jadi sesama penyokong kelompok boleh dirasuk perpecahan gara-gara masalah kecil yang berkembang menjadi konflik yang besar.
Perbezaan agama, suku bangsa dan etnik boleh memunculkan percikan api konflik yang apabila dicurahkan minyak akan segera berkobar menjadi konflik besar.
Kita sudah banyak melihat buktinya yang berlaku di medan nyata. Malah media massa seolah-olah bertepuk tangan dan ikut sama dalam memberi semangat dalam melihat kejadian ini.
Adakah ini yang dimaksudkan dengan demokrasi?
Dalam politik batu api, konflik sengaja diciptakan dan perpecahan tersebut dimaksudkan untuk mencegah dari wujudnya satu pakatan yang mampu menyaingi status quo kekuasaan samada di peringkat pemerintahan, parti, kelompok dalam masyarakat dan sebagainya.
Pihak-pihak atau orang-orang yang bersedia untuk bekerjasama dengan kekuasaan yang ada, akan dibantu atau dipromosikan manakala, mereka yang tidak bersedia untuk bekerjasama akan segera disingkirkan.
Ketidakpercayaan terhadap pimpinan atau suatu kelompok sengaja diciptakan agar pemimpin atau kelompok tersebut tidak tumbuh membesar dan kuat.
Adakalanya tidak hanya ketidakpercayaan, bahkan permusuhan pun sengaja disemai dan teknik yang biasa digunakan adalah :
a. Goncangan.
b. Propaganda.
c. Desas-desus.
d. Fitnah.
Praktik seperti ini tumbuh dengan begitu subur ketika ini.
Jika di zaman penjajahan dahulu, mereka mengambil beberapa penduduk pribumi untuk menjadi orang bangsawan di kalangan mereka, diberi kehidupan yang selesa, tapi sedar atau tidak, mereka dibentuk untuk mengkhianati bangsanya sendiri.
Kadang-kadang ada raja di sesebuah kerajaan diadu domba dengan raja lain yang pada akhirnya akan menimbulkan perpecahan dan peperangan dan akibatnya, kesan dari perpecahan dan peperangan tersebut, tidak akan muncul sebuah kerajaan yang besar dan kuat.
Jika kita renung dalam masyarakat kita dewasa ini, di era teknologi maklumat yang sangat liberal, sikap batu api ini menjadi tontonan sehari-hari.
Kita secara tidak berakhlak telah dipersembahkan dengan berita-berita tentang :
1. Perseteruan antara kelompok untuk merebut kekuasaan.
2. Usaha saling tuduh menuduh dan perbuatan fitnah.
3. Saling caci mencaci dan maki hamun.
4. Saling siku menyiku dengan putar belit politik yang sangat kasar dan kejam.
Persembahan isu-isu di atas samada disedari atau tidak, dilakukan sedemikian rupa untuk saling menghancurkan.
Di era kemerdekaan seperti sekarang ini, tentu kita tidak ingin dijadikan bahan adu domba oleh sesiapapun dan dari pihak manapun.
Kunci untuk mengatasi masalah ini adalah sama dengan yang digunakan ketika mengusir penjajah dahulu, iaitu :
a. Persatuan dan kesatuan.
b. Melakukan reformasi dalam setiap cabang kehidupan masyarakat.
Reformasi (Ishlah) adalah perubahan sesuatu menuju kepada yang lebih baik. Oleh sebab itu, lawan bagi perkataan reformasi adalah deformasi (Ifsad).
Gerakan reformasi adalah gerakan yang mengajak segmen masyarakat manusia untuk memperbaiki apa yang telah rosak dalam berbagai bidang dan membawa kehidupan ke tingkatan yang lebih tinggi dalam kemajuan manusia.
Pemikiran sosial Barat membezakan antara reformasi dan revolusi dari sudut perubahan kedalaman dan cakupannya.
Reformasi menurut pemikiran ini adalah suatu perubahan ‘parsial’ dan tidak mendalam sedangkan revolusi adalah perubahan mendasar dan menyeluruh.
Berbeza dengan konsep Islam tentang terminologi reformasi (Ishlah) ini.
Di sana tidak dibezakan antara istilah reformasi dan istilah revolusi dari segi kedalaman perubahan dan cakupannya, melainkan perbezaannya hanya terletak pada cara perubahan ia dilakukan.
Ini adalah kerana kedua-dua terminologi ini mempunyai pengertian melakukan perubahan menyeluruh dan mendalam, namun revolusi biasanya :
1. Menempuh jalan kekerasan.
2. Bersifat mendadak.
3. Ingin cepat dalam perubahan itu.
Sementara perubahan secara reformasi pula berjalan secara bertahap kerana dalam reformasi (Ishlah), objek yang pertama sekali diberi tumpuan adalah manusia itu sendiri agar ia menjadi baik (soleh) yang merupakan pelaku perubahan realiti yang ada di sekelilingnya secara mendasar dan menyeluruh setelah wujudnya perubahan itu pada dirinya secara mendasar dan menyeluruh.
Perbezaan intipati yang ada dalam pengertian Islam ini tentang reformasi (Ishlah) menjadi alasan mengapa misi para rasul disebut sebagai seruan ‘Ishlah’ yang dimulai dengan usaha mewujudkan perubahan mendasar dan menyeluruh menuju keadaan yang lebih baik dengan cara mengganti perosakan (Ifsad) dengan perbaikan (Ishlah) terhadap objek dakwah (umat dan masyarakat).
Nabi Syu’ib umpamanya, menyeru penduduk Madyan :
“Wahai kaumku, bagaimana fikiranmu jika aku mempunyai bukti yang nyata dari Tuhanku dan aku dianugerahi dari Dia kurniaan yang baik (patutkah aku menyalahi perintah-Nya?) Dan aku tidak menghendaki menyalahi kamu (dengan mengerjakan) apa yang aku larang. Aku tidak bermaksud kecuali (mendatangkan) perbaikan selama aku masih berkesanggupan. Dan tidak ada taufik bagiku melainkan (dengan pertolongan) Allah. Hanya kepada Allah aku bertawakkal dan hanya kepada-Nyalah aku kembali.” (QS Hud : 88)
Allah yang “mengetahui orang yang berbuat kerosakan dari orang yang berbuat baik” (QS Al-Baqarah : 220) telah memberi peringatan dengan firmanNya :
“Janganlah berbuat kerosakan di muka bumi sesudah Allah memperbaikinya.” (QS Al A’raaf : 56)
Suatu yang perlu kita sedari dalam usaha melaksanakan gerakan reformasi (Ishlah) ini adalah meraih kemenangan di sisi Allah perlu menjadi sasaran pertama dan utama sebelum meraih kemenangan menurut penilaian manusia.
Jika kita meraih kemenangan menurut penilaian manusia, sementara kalah menurut penilaian Allah, maka kita akan rugi serugi-ruginya.
Rumusan kemenangan rabbani yang sangat sederhana ini pernah disampaikan oleh Imam Ahmad bin Hanbal yang mengatakan bahwa definisi kemenangan itu adalah :
“Maa laazumul haqqu qulubana” ertiya :
“Selama kebenaran masih tetap kukuh di dalam hati kita.”
Itulah kemenangan dan keberhasilan.
Dalam sesuatu percaturan dan pertempuran, samada ianya percaturan pemikiran, politik, pilihanraya dan sebagainya, pertama sekali yang mesti diraih adalah kemenangan menurut penilaian Allah.
InsyaAllah, jika kita dinilai Allah sebagai pemenang, Allah akan memberikan kemenangan yang dinilai oleh manusia.
Itu rumusan asas yang perlu kita pegang.
Jangan sampai sasaran kemenangan-kemenangan tersebut membuatkan kita kalah menurut perhitungan Allah swt disebabkan kekalahan kerana godaan-godaan jawatan sebagai pemimpin di semua peringkat.
Di sudut yang lain pula, jika kita menang menurut manusia, namun jika kemudiannya dalam posisi itu, ia adalah hasil dari kecurangan, kezaliman dan ketamakan, maka itu sebenarnya kalah menurut Allah.
Ini adalah kerana :
a. Kebenaran itu sudah tercabut dari hati kita.
b. Amanah itu sudah tercabut dari hati kita.
c. Kejujuran itu sudah tercabut dari hati kita.
Hakikatnya itu adalah kekalahan di sisi Allah swt.
Islam tidak mungkin tegak tanpa dakwah dan perjuangan sedangkan dakwah dan perjuangan tidak dapat menghasilkan keberkatan dan hasil yang gemilang kecuali memiliki empat syarat.
Keempat-empat syarat tersebut disebutkan oleh Allah swt dalam firmanNya :
“Maka tetaplah kamu pada jalan benar, sebagaimana diperintahkan kepadamu dan (juga) orang yang telah taubat bersama kamu dan janganlah kamu melampaui batas. Sesungguhnya Dia Maha Melihat apa yang kamu kerjakan. Dan janganlah kamu cenderung kepada orang-orang yang zalim yang menyebabkan kamu disentuh api neraka, dan sekali-kali kamu tiada mempunyai seorang penolongpun selain daripada Allah, kemudian kamu tidak akan diberi pertolongan.” (QS Hud : 111-112)
Keempat-empat syarat tersebut adalah :
PERTAMA : Al MINHAJ
‘Al Minhaj’ iaitu prinsip-prinsip (mabaadi`) dan ajaran-ajaran (ta’alim) yang mesti dipegang dan dilaksanakan secara konsisten.
Jadi, minhaj adalah agama dan syariat Allah swt. Allah Jalla Jalaaluhu memerintahkan Nabi saw dan para Sahabat Radhiyallaahu ‘Anhum untuk ‘iltizam’ (memberi komitmen) pada syariah secara benar sebagaimana yang diperintahkan.
Umar Bin Al Khatthab ra berkata :
“Hendaknya kamu istiqamah atas perintah dan larangan. Dan janganlah kamu menjalankan tipudaya padanya sebagaimana tipudaya musang.”
Kesimpulan tersebut diambil dari firman Allah swt :
“Maka tetaplah kamu pada jalan benar, sebagaimana diperintahkan.”
KEDUA : AL IMAM
Al Imam, iaitu pemimpin para pendakwah dan orang-orang yang berjuang untuk menegakkan agama Allah.
Imam atau qiyadah mestilah orang yang faqih tentang agama dan syariat Allah swt serta istiqamah di atasnya.
Jika imam atau qiyadah jahil tentang agama dan syariat Allah maka sudah pasti dia akan memperdayakan Allah dan rasul-Nya atau mungkin dia akan melakukan ‘talfiiq’ dan ‘takhriij’ yang batil sehingga :
1. Yang batil nampak seperti haq.
2. Yang bid’ah dikatakan sunnah.
3. Yang menyeleweng dipandang istiqamah.
Salah satu persoalan besar yang dihadapi oleh gerakan dakwah pada hari ini adalah munculnya imam atau qiyadah yang jauh dari petunjuk Allah dan rasul-Nya serta tidak istiqamah melaksanakan perintah dan larangan.
Kesimpulan ini juga diambil dari firman Allah swt di atas.
KETIGA : AL JAMAAH
Al Jamaah iaitu sekelompok kaum Mukminin yang dipersatukan dalam dakwah, cita-cita menegakkan agama, menegakkan tauhid dan melaksanakan syariat terutama perintah solat dan zakat.
Kesimpulan ini diambil dari firman Allah swt :
“…dan (juga) orang yang telah taubat bersama kamu.”
Dalam ayat tersebut jelas bahwa jamaah mesti beranggotakan “orang yang telah bertaubat”.
Dengan kata lain, mereka :
a. Bukan sebarangan orang.
b. Bukan orang jalanan.
c. Bukan pelaku dosa.
d. Bukan orang fasik.
e. Bukan orang zalim.
f. Bukan penipu-penipu yang menjual agama demi mendapatkan kenikmatan dunia.
g. Bukan pelaku-pelaku khurafat dan syirik.
KEEMPAT : JALAN YANG BENAR
‘Ath Thariiqah Ash Shahihah’ (jalan yang benar) itu adalah melaksanakan agama dan syariat secara benar dan tepat serta tidak bersikap seperti berikut :
1. “Jangan kamu melampaui batas”.
2. “Jangan kamu cenderung kepada orang-orang yang zalim”.
Ini bagi menjamin sikap istiqamah di atas perintah Allah swt dalam dakwah dan perlaksanaan syariat.
Jadi, jalan yang diambil adalah pertengahan yang :
a. Tidak ada ‘ifraath’ (berlebihan).
b. Tidak ada ‘tafriith’ (bermudah-mudah).
Al-Qur’an telah mengungkapkannya dengan beberapa uslub sebagaimana berikut :
“Orang-orang bodoh (yang kurang akal pertimbangannya) akan berkata: "Apa sebabnya yang menjadikan orang-orang Islam berpaling dari kiblat yang mereka mengadapnya selama ini?" Katakanlah (wahai Muhammad): "Timur dan barat adalah kepunyaan Allah - (maka ke pihak mana sahaja kita diarahkan Allah mengadapnya, wajiblah kita mematuhiNya); Allah yang memberikan petunjuk hidayahNya kepada sesiapa yang dikehendakiNya ke jalan yang lurus". (QS Al Baqarah : 142)
“Dan juga mereka yang tidak menyembah sesuatu yang lain bersama-sama Allah, dan tidak membunuh jiwa yang diharamkan Allah membunuhnya, kecuali dengan jalan yang hak (yang dibenarkan oleh syara’), dan tidak pula berzina; dan sesiapa melakukan yang demikian, akan mendapat balasan dosanya.”(QS Al Furqan : 68)
Apabila surah Hud yang merupakan surah Makkiyyah yang mana diturunkan dalam fasa pembentukan jamaah kaum Mukminin dan masa pertumbuhan pokok-pokok iman dan tiang-tiang syariah, Allah swt memerintahkan kaum Mukminin untuk iltizam dan istiqamah serta melarang “perbuatan melampaui batas” dan “cenderung kepada kaum Musyrikin dan pelaku maksiat”, sedangkan dalam fasa memiliki negara dan kekuasaan, Allah swt juga tidak mengizinkan meninggalkan semua itu, maka jelaslah bahwa ketetapan-ketetapan tersebut wajib dilaksanakan dan tidak ada tawar menawar sehingga hari kiamat kelak.
Sesungguhnya, melakukan tipu muslihat dan merubah sesuatu adalah :
1. Pangkal dari penyimpangan.
2. Kesesatan.
3. Hilangnya pertolongan Allah swt.
Syeikh Mutawalli Asy Sya’rawi dalam tafsirnya mengatakan :
“Kehancuran dunia adalah disebabkan cenderung kepada orang-orang yang zalim kerana cenderung kepada mereka bererti semakin mendorong mereka bertahan dalam kezaliman dan melipatgandakan kezalimannya.”
Marilah kita menjadi orang-orang yang beruntung dengan memiliki empat kriteria :
a. Sabar.
b. Melipatgandakan kesabaran.
c. ‘Murabathah’ (tetap siap siaga).
d. Bertaqwa kepada Allah swt.
“Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan), dan kuatkanlah kesabaran kamu lebih daripada kesabaran musuh, di medan perjuangan), dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan) serta bertaqwalah kamu kepada Allah supaya, kamu berjaya (mencapai kemenangan).” (QS Ali Imran : 200)
Menurut mufassirin, makna ‘murabathah’ dalam ayat tersebut adalah menjaga benteng dari serangan musuh untuk melindungi umat.
Ketika umat Islam di suatu negeri tidak menghadapi serangan bersenjata tetapi serangan pemikiran, maka konotasi ‘murabathah’ adalah menjaga benteng untuk melindungi umat Islam dalam semua aspek kehidupan meliputi aqidah, ekonomi dan politik.
Para pendakwah yang berusaha membenteng aqidah umat adalah ‘murabith’ (penjaga benteng).
Demikian pula para guru, pendidik yang membina aktivis Muslim, ahli politik dan ekonomi yang membela ekonomi umat, termasuk dalam kategori penjaga benteng.
Kita sekarang sangat memerlukan penjaga benteng yang melindungi aqidah, ekonomi, budaya dan seluruh bidang kehidupan Muslim.
Rasulullah saw memberikan berbagai keutamaan kepada para ‘murabathah’ ini.
PERTAMA : “Siap siaga sehari lebih baik dari dunia dan isinya.” (HR Bukhari)
KEDUA : Siap siaga sehari semalam lebih baik dari puasa dan qiyam sebulan penuh pada bulan Ramadhan.
Abu Darda’ meriwayatkan, Rasulullah saw bersabda :
“Siap siaga satu bulan lebih baik dari puasa satu tahun. Barangsiapa meninggal dalam keadaan siap siaga di jalan Allah, akan aman dari fitnah kiamat dan dia mendapatkan rezekinya dari syurga dan terus ditulis amal seorang penjaga benteng sampai dibangkitkan hari kiamat.” (HR Thabrani)
KETIGA : Semua amalan seseorang terputus ketika mati kecuali ‘murabith’.
Rasulullah saw bersabda :
“Setiap mayat ditutup amalnya kecuali murabith di jalan Allah. Amalnya ditumbuhkan sampai hari kiamat dan akan aman dari fitnah kubur.” (HR Abu Daud, Tirmizi dan Al Hakim)
Rasulullah saw bersabda :
“Empat kelompok yang amalnya tetap mengalir setelah meninggalnya: penjaga benteng fi sabilillah, perbuatan seseorang yang diamalkan orang lain, seseorang yang sedekahnya masih tetap bermanfaat, dan seorang yang meninggalkan anak soleh yang selalu mendoakannya.” (HR Ahmad dari Abu Umamah)
KEEMPAT : Penjaga benteng di jalan Allah, apabila meninggal akan dibangkitkan dalam keadaan aman dari fitnah hari kiamat.
“Menjaga benteng satu hari di jalan Allah lebih baik dari puasa dan qiyam selama Ramadhan, barangsiapa yang meninggal saat menjaga benteng maka pahala amalnya terus ditulis (sampai kiamat), dan diberi balasan rezekinya di syurga dan aman dari fitnah kubur (pertanyaan Munkar dan Nakir).” (HR Muslim)
KELIMA : “Penjaga benteng apabila meninggal akan dibangkitkan pada hari kiamat sebagai syahid.” (HR Ibnu Majah dari Abu Hurairah)
KEENAM : Penjaga benteng fi sabilillah akan mendapatkan pahala dari orang-orang yang hidup selepasnya.
KETUJUH : “Menjaga benteng satu hari di jalan Allah lebih baik dari seribu hari dari darjat amalan lainnya.” (HR Turmudzi, Nasai dan Ibnu Abi Syaibah)
Dakwah ini adalah projek dari Allah dan kita hanyalah pelaksananya sahaja.
Jika langkah-langkah kita sesuai dengan ‘irsyadat (bimbingan) dan ‘taujihat’ (arahan-arahan) ‘rabbaniyyah wa-nnabawiyah’ (Rabb dan Nabi), kita akan dimenangkan oleh Allah swt, insya Allah.
Maka, marilah kita bersatu menghimpun kekuatan bersama dan jangan biarkan diri kita dihina dan diadu domba oleh kelompok-kelompok yang berkepentingan. Hanya dengan kesatuan, kita mampu berpakat serta melangkah ke depan dengan memiliki potensi yang besar yang menjadi harapan masyarakat untuk menuju kehidupan yang lebih baik dan sejahtera.
Ya Allah, jadikanlah kami golongan yang sentiasa menyeru kepada persatuan dan kesatuan serta memelihara ikatan persaudaraan di kalangan ahli dalam masyarakat. Hindarkanlah kami dari terpalit dengan kelompok yang menyalakan politik batu api yang ingin memecahbelahkan masyarakat dan menyebarkan fitnah dan kejahatan serta berilah bantuanMu kepada kami sehingga kami dapat mencapai kemenangan yang dinilai oleh manusia dan diterima di sisiMu.
Ameen Ya Rabbal Alameen
WAS